Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ras Adiba tiada masalah tak jadi calon PRN, sedia bantu PN berkempen

    Ras Adiba tiada masalah tak jadi calon PRN, sedia bantu PN berkempen

    BEKAS senator, Datuk Ras Adiba Radzi, mengambil sikap berlapang dada selepas namanya tidak menjadi pilihan Perikatan Nasional (PN) untuk dibertandingkan sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.

    Kata aktivis dan bekas personaliti televisyen itu, penyertaannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini bukan bertujuan untuk menjadi calon pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos nanti.

    “Semasa menyertai Bersatu hari tu, memang tak ada terfikir langsung untuk bertanding kerana misi utama saya ialah untuk menyokong parti saja.

    “Saya faham sekiranya ada pihak yang mungkin tertanya-tanya apa perasaan saya apabila tak dicalonkan… Saya OK saja,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Ras Adiba dilantik sebagai Senator bagi mewakili golongan kurang upaya (OKU) pada Mei 2020 iaitu selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan dan jawatan Perdana Menteri digantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Muhyiddin pula merupakan Presiden Bersatu merangkap pengerusi PN.

    Beliau juga dilantik menjadi pengerusi agensi berita rasmi negara ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

    Menurut Ras Adiba, beliau menyertai Bersatu untuk menyokong perjuangan gabungan PN dalam membela nasib rakyat termasuk golongan OKU.

    PRN akan melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan akan membuka tirai secara rasmi apabila penamaan calon dijalankan esok.

    Sementara itu mengulas mengenai percaturan PN di Negeri Sembilan, Ras Adiba, 55, menyifatkan senarai calon yang dipertaruhkan kali ini mampu memberikan kemenangan buat mereka.

    “Syukur alhamdulillah, saya berpuas hati apabila ada banyak wajah baru dan parti memberi peluang kepada mereka untuk bertanding.

    “Ini memang untuk kesejahteraan semua. Walaupun mungkin ramai calon yang orang tak berapa nak kenal, tapi muka-muka itu nampak bersungguh-sungguh untuk berkhidmat demi rakyat,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Menegaskan lagi sokongannya tidak berbelah-bahagi kepada Bersatu, Ras Adiba berkata, sebagai anak jati Seri Menanti di Negeri Sembilan beliau bersedia turun padang memberikan sokongan.

    Beliau juga bersiap-siaga sekiranya menerima arahan daripada pihak atasan untuk turun berkempen di negeri lain yang turut terlibat PRN.

    “Saya orang Negeri Sembilan akan turun sokong dan berkempen. Ini tak menjadi masalah sebab tiap-tiap minggu saya akan balik kampung.

    “Sekiranya diperlukan di lokasi lain, saya tetap akan turun berkempen juga, insya-Allah,” katanya lagi.

  • AJK Pemuda DAP: Kenapa Guan Eng tidak turut digugurkan?

    AJK Pemuda DAP: Kenapa Guan Eng tidak turut digugurkan?

    SEORANG pemimpin Pemuda DAP meminta pucuk pimpinan parti itu menjelaskan kenapa pengerusi mereka, Lim Guan Eng, tidak digugurkan daripada menjadi calon dalam pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang.

    Bercakap kepada Malaysiakini, Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Pulau Pinang, M. Kogilan berkata, dia kecewa melihat senarai nama calon-calon yang diputuskan parti.

    Katanya berdasarkan senarai itu ada sekurang-kurangnya lima muka lama digugurkan.

    “Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bahawa membawa pembaharuan dalam setiap pilihan raya termasuk menggugurkan beberapa ‘orang lama’ adalah proses biasa.

    “Justeru saya ingin bertanya kenapa parti tidak menggugurkan nama Lim Guan Eng?

    “Beliau juga orang lama yang bertanding dalam pilihan raya sejak 1986,” katanya.

    Tambah Kogilan dia juga tertanya-tanya jika Lim memang tidak berniat untuk membuka ruang kepada muka baru bagi menggantikannya.

    “Atau adakah dia dilihat sebagai orang muda yang masih perlu bertanding dalam PRN kali ini,” katanya.

    Sebelum ini, Loke berkata keputusan DAP menggugurkan lima exco Pulau Pinang bagi menghadapi PRN kira-kira dua minggu lagi adalah usaha untuk meremajakan parti itu agar ia kekal relevan.

    Katanya, keputusan diambil atas pertimbangan penglibatan muka baru akan membawa nafas baru kepada parti itu yang sudah memerintah tiga penggal di Pulau Pinang.

    “Antara tokoh yang sudah lama berkhidmat termasuk P. Ramasamy yang sudah menjadi timbalan ketua menteri II selama tiga penggal, manakala Chong Eng menjadi Exco selama dua penggal, dan sebelum itu banyak penggal sebagai ahli Parlimen,” katanya.

  • Annuar jawab sindiran Puad Zarkashi tidak jadi calon PRN

    Annuar jawab sindiran Puad Zarkashi tidak jadi calon PRN

    BEKAS Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, menjadi calon dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini bukanlah matlamat perjuangannya.

    Sebaliknya, bekas ahli Parlimen Ketereh itu yang kini menyertai Pas, pemilihan calon bagi setiap pilihan raya adalah hak mutlak parti yang bertanding walaupun seseorang itu boleh memasang hasrat untuk dipertaruhkan.

    “Menjadi calon bukan matlamat perjuangan saya. Memilih calon, hak parti. Kita boleh memasang hasrat.

    “Jika dipilih, ia satu amanah. Jika tidak, ia bukan segalanya sehingga kita nak merajuk, apa lagi mengugut dan menggugat parti sendiri,” kata Annuar dalam hantaran dalam Facebook beliau hari ini.

    Annuar berkata demikian sebagai respon kepada sindiran Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi kerana namanya tidak dicalonkan Pas pada PRN di Kelantan.

    Puad mendakwa, tindakan Pas itu tentu mengundang sakit hati Annuar.

    “Kesian Annuar Musa. Mungkin ramai yang terkejut apabila Pas tidak mencalonkan Annuar. Sebenarnya Annuar sahaja yang terkejut.

    “Dia boleh bagi apa sahaja alasan. Hati tetap sakit. Tanpa kedudukan dia hilang platform untuk memusnahkan UMNO. Cakap-cakapnya mungkin tidak lagi dipedulikan,” sindir Puad dalam hantaran di Facebooknya.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu malah memerli Annuar agar tidak terkilan dengan tindakan Pas memandangkan beliau kini sudah memiliki ‘pahala’ yang banyak kerana telah menjadi ahli ‘parti Islam’.

    Mengulas lanjut, Annuar berkata, Puad tidak perlu menyindir Islam atau parti yang berhasrat memperjuangkan Islam.

    “Apa yang pasti adalah lebih baik berada di saf belakang perjuangan berlandaskan Islam dan muafakat berpaksikan Islam daripada menjadi hero dalam saf perjuangan yang menjulang mereka yang benci, atau menolak Islam serta mufarakah daripada muafakat orang Islam.

    “Pegangan kita berbeza,” tegas Annuar yang juga pengerusi Muafakat Nasional (MN).

    Tambah Annuar lagi, lazimnya beliau memang jarang melayan Puad namun kali ini ada beri reaksi perlu diberikan tentang tulisannya yang dianggap ‘bersimpati’ itu.

    Pada masa sama Annuar ‘terkilan’ apabila Puad didakwanya menggunakan nilai hidup untuk menyukat perasaan orang lain.

    “Saya bukan Puad Zarkashi. Puad sewaktu berjawatan tinggi dalam parti dan kerajaan telah memberontak apabila namanya tidak dipilih menjadi calon dalam PRU.

    “Beliau meletak jawatan dan mahu bertanding menentang calon parti sendiri. Malah ada tuduhan beliau sabotaj ketua wanita beliau yang telah dipilih jadi calon. Saya tidak begitu.

    “Saya juga berbeza dengan Puad apabila sebagai ketua UMNO bahagian, saya jaga anak buah saya sebaiknya walau ketika saya tiada apa-apa jawatan.

    “Saya pimpin UMNO Ketereh lebih 35 tahun, tidak pernah ditewaskan. Puad tewas jawatan ketua UMNO Batu Pahat ketika dia masih menjadi ahli MKT, wakil rakyat dan speaker DUN Johor,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Annuar juga menegaskan, beliau dan Puad jelas berbeza daripada segi nilai hidup dan politik.

    Sebelum ini beliau disebut-sebut antara individu berpengaruh yang mungkin menjadi pertaruhan PN di Kelantan.

  • Sanusi jawab Rafizi: Debat dengan saya tak akan baiki ekonomi

    Sanusi jawab Rafizi: Debat dengan saya tak akan baiki ekonomi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menolak cabaran Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli untuk berdebat secara langsung ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    Sanusi berkata perdebatan tersebut tidak akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

    “Suruh (Rafizi) jaga Kementerian Ekonomi elok-elok, guna formula-formula ajaib yang dia selalu cakap itu.

    “Kenapa nak sibuk berdebat, PRN ini bukan untuk pilih menteri ekonomi. Nak pilih kerajaan negeri saja.

    “Keadaan ekonomi negara kritikal sekarang, debat dengan saya tak akan ubah kedudukan ekonomi negara,” katanya kepada Malaysiakini.

    Rafizi yang merupakan Menteri Ekonomi dilaporkan mencabar Sanusi untuk berdebat dengannya dan menyifatkan sebagai Sanusi sebagai pemimpin pembangkang paling berani pada masa ini.

    Rafizi dan Sanusi adalah pengarah pilihan raya untuk parti masing-masing.

    Menurut Harian Metro, Rafizi berkata cabaran itu bagi memulakan budaya persaingan idea untuk membantu rakyat, berbanding tumpuan kepada retorik ‘siapa yang lebih Melayu’.

    “Saya dah bentangkan satu perkara yang mudah saja, macam mana kita nak tukar solar dan atap nak bantu rakyat. Saya nak tunggu daripada PN apa idea mereka, idea konkrit macam mana nak bantu rakyat,” katanya seperti dipetik.

    Rafizi juga berkata, beliau memberikan Sanusi kebebasan untuk memilih topik perdebatan asalkan ia melibatkan isu ekonomi seperti pembinaan lapangan terbang dan kebajikan golongan miskin.

    Debat itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tempoh dua minggu kempen dan merupakan cara terbaik untuk ‘menutup mulut’ Sanusi daripada memperlekehkan lawan politiknya, kata Rafizi.

    Sementara itu Sanusi mendakwa permintaannya untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak kerana ‘angkuh’.

    “Siapa yang angkuh? Peruntukan wajib kepada kerajaan negeri (daripada kerajaan Persekutuan) pun dikatakan sebagai bantuan Pusat kepada negeri,” katanya.

    Beliau merujuk kenyataan Rafizi dua minggu lalu yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) mendapat manfaat daripada pelaburan kerajaan Persekutuan di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

    Menjawab dakwaan kerajaan Persekutuan menganaktirikan Kedah, Rafizi mendakwa, 80 peratus daripada hasil kerajaan negeri itu adalah dari kawasan bandar dan perindustrian sekitar taman teknologi tersebut.

  • Tiada perbincangan turunkan harga minyak RON95, kata Rafizi

    Tiada perbincangan turunkan harga minyak RON95, kata Rafizi

    MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli mengesahkan tiada sebarang perbincangan di peringkat kerajaan untuk menurunkan harga runcit bahan api RON95 dan diesel.

    Menurutnya, desas desus penurunan harga RON95 itu baru pertama kali didengarinya.

    “Sampai sekarang, saya tidak pernah dengar malah, tidak pernah ada perbincangan mengenainya,” katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022 di Putrajaya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hakikatnya beliau berkata, harga minyak mentah dunia telah meningkat kepada AS$70 setong dan pernah mencecah sekitar AS$83 setong.

    Jelasnya, keputusan menurunkan harga bahan api itu sebenarnya di bawah Kementerian Kewangan kerana membabitkan peruntukan subsidi bahan api.

    Sebelum ini, MIDF Research menjangkakan kerajaan akan mempertimbangkan untuk menurunkan harga runcit RON95 sebanyak 10 sen kepada RM1.95 seliter bulan depan.

  • Pegawai suruhanjaya tinggi, pengarah syarikat ditahan rasuah lulus visa RM100 juta

    Pegawai suruhanjaya tinggi, pengarah syarikat ditahan rasuah lulus visa RM100 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa sebuah Suruhanjaya Tinggi kerana didakwa bersubahat menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) untuk membawa masuk warga Bangladesh.

    Sumber SPRM berkata, turut ditahan pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja, dipercayai bersekongkol dengan pegawai terbabit untuk meluluskan visa warga Bangladesh, kononnya untuk melancong namun sebaliknya bekerja di Malaysia.

    Menurutnya, siasatan mendapati pegawai terbabit bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia sejak 2021 dan menerima bayaran sekitar USD300 ke USD500 bagi setiap kelulusan permohonan VLN.

    “Ia membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta, meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja,” katanya, memetik laporan FMT.

    Sumber berkata, penahanan itu adalah ketiga membabitkan pegawai agensi penguat kuasa untuk membantu siasatan Op Taka dilancarkan April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Imigresen.

    Suspek yang berusia lewat 30-an ditahan 6.30 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

    Majistret M. Mageshwary membenarkan suspek direman empat hari sehingga 31 Julai selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Shah Alam hari ini.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan menjelaskan siasatan dibuat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

  • Azmin setuju debat dengan Rafizi dengan syarat

    Azmin setuju debat dengan Rafizi dengan syarat

    BEKAS Menteri Kanan Kluster Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersetuju untuk berdebat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli namun
    disertakan dengan syarat.

    “Rafizi perlu membuktikan terlebih dahulu telah berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara.

    “Sebab itu wahai Rafizi, saya bersedia berdebat dengan saudara dengan syarat buktikan dahulu kamu berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara.

    “Pertama turunkan harga minyak terlebih dahulu. Bukan saya janji, kamu yang janji. ‘Hari ini saya jadi Perdana Menteri, esok minyak turun….dah turun belum? Kalau belum turun, turunkan dulu baru jumpa aku,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pengenalan Calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawa Gombak, malam tadi.

    Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor berkata, beliau mempunyai rekod inisiatif dilaksanakan dalam mengemudi Selangor dan ketika menjadi Menteri dahulu.

    “Bukan saya tidak mahu berdebat, saya nak jawab mudah sahaja. Saya boleh menyambut saranan beliau untuk berdebat. Tiada masalah.

    “Tetapi saudara tengok kenyataan dia, apa dia kata? ‘Azmin mendakwa beliau telah berjaya ketika menjadi Menteri Ekonomi dan Menteri MITI. Kalau benar dia berjaya, debat dengan saya’.

    “Engkau (Rafizi) tiada rekod. Kalau saya pergi debat dalam keadaan dia belum ada formula, belum ada penyelesaian, engkau nak debat dengan aku buat apa? ujar Mohamed Azmin.

    Rafizi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika menyampaikan ceramah Jelajah Madani di Sri Tanjung, Port Dickson pada Selasa, telah mencabar Mohamed Azmin berdebat mengenai ekonomi Malaysia sekiranya pemimpin Perikatan Nasional itu berani.

    Susulan itu, Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail telah memberikan kesediaan untuk menerbitkan debat antara Rafizi dan Mohamed Azmin.

    Surat jemputan mengenai debat berkenaan juga telah dihantar kepada kedua-dua belah pihak.

    Pada Rabu lalu, Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Ekonomi, Mohd. Rashidi Ruslan telah mengesahkan bahawa Rafizi bersetuju menerima jemputan ‘Debat Ekonomi Malaysia’ Mohamed Azmin.

  • Hutang Felda: Muhyiddin failkan saman terhadap Anwar tuntut RM200 juta

    Hutang Felda: Muhyiddin failkan saman terhadap Anwar tuntut RM200 juta

    TAN Sri Muhyiddin Yassin memfailkan writ saman ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu penghapusan hutang peneroka Felda yang menyaksikan kedua-dua pemimpin politik itu terbabit dalam pertikaian.

    Saman berkenaan difailkan pasukan peguam bela PN dari firma Rosli Dahlan Saravana dan dilakukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

    Tindakan sivil itu dibuat susulan Muhyiddin dan Anwar saling mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan ucapan Perdana Menteri pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda di Serdang pada 7 Julai lalu.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang setimpal dengan pampasan RM200 juta daripada Anwar.

    Selepas menerima surat tuntutan daripada Muhyiddin atas dakwaan fitnah, pada 21 Julai pula Anwar membalas dengan menghantarnya ‘pendahuluan surat tuntutan’ sebanyak RM200 juta berhubung dakwaan memfitnah Perdana Menteri.

    Dalam pernyataan tuntutan mahkamah terkini, Muhyiddin berhujah bahawa semasa menjadi Perdana Menteri dalam tempoh pandemik Covid-19 2020 hingga 2021 dan selepasnya, beliau dan Kabinet membangunkan rancangan untuk meringankan kesusahan rakyat dan memacu pemulihan ekonomi.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata antara inisiatif berkenaan ialah menghapuskan kira 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion daripada RM12.1 bilion.

    Beliau berkata, semasa mesyuarat kabinet pada 14 Oktober 2020 beberapa keputusan dibuat, iaitu menghapus kira RM8.3 bilion hutang, meluluskan terbitan sukuk (bon Islam) RM9.9 bilion untuk dijamin oleh kerajaan bagi meningkatkan ekuiti Felda dalam FGV Holdings Berhad dan mengurangkan hutang Felda, dan meluluskan suntikan geran tahunan kerajaan RM990 juta kepada Felda untuk pembayaran balik sukuk.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa bahawa penepian hutang peneroka Felda dapat dibuktikan dengan beberapa peristiwa, seperti penyata kewangan Felda bagi tahun kewangan berakhir 2021.

    Plaintif berhujah hapus kira hutang itu dibuktikan dengan jawapan bertulis oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed di Dewan Rakyat bertarikh 16 Dis 2021, mengenai 98,605 peneroka Felda (kira-kira 87.54 peratus daripada 112,638 peneroka) telah dilaksanakan.

    Muhyiddin berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di parlimen bertarikh 23 Februari tahun ini pula menunjukkan pengecualian hutang diluluskan pada 2021.

    Plaintif juga menegaskan kenyataan media oleh Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dan peneroka sendiri bahawa RM8.3 bilion hutang telah dihapus kira pada 2021.

    Muhyiddin mendakwa kenyataan Anwar yang dibuat pada 7 Julai lalu antara lain membayangkan beliau berbohong mengenai penghapusan hutang peneroka Felda, serta seorang yang tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri ketika itu mengenai pengecualian hutang, dan menyalahgunakan kuasanya.

    Selain ganti rugi, Muhyiddin juga memohon antara lain injunksi untuk menghalang defendan daripada terus memfitnahnya serta perintah mahkamah agar perdana menteri menurunkan kenyataan fitnah yang didakwa dalam talian dalam video di Facebook Anwar serta YouTube.

    Muhyiddin juga meminta Anwar membuat permohonan maaf secara terbuka untuk disiarkan di semua portal berita, media massa dan platform media sosial.

    Muhyiddin juga mendakwa Anwar menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri sejak membentuk kerajaan selepas berakhinya PRU ke-15 akhir tahun lalu.

    Antara lain Muhyiddin mendakwa sebagai Menteri Kewangan Anwar membuat dakwaan sensasi, tidak berasas dan palsu terhadap plaintif dan keluarganya.

    Muhyiddin juga mendakwa Anwar meminta pelbagai agensi penguatkuasaan untuk menundukkan pemimpin pembangkang kepada pendakwaan jenayah.

    Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Anwar Sankara Nair berkata, bahawa anak guamnya telah dihantar salinan kertas kausa tuntutan mahkamah yang tidak dimeterai melalui e-mel.

  • PN Johor jangka saingan tiga penjuru di Pulai, Simpang Jeram

    PN Johor jangka saingan tiga penjuru di Pulai, Simpang Jeram

    PERIKATAN Nasional (PN) Johor menjangkakan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, berkata, ini susulan status Johor yang tidak melaksanakan konsep kerajaan Perpaduan seperti di peringkat kerajaan Persekutuan.

    Bekas Menteri Besar Johor itu menjelaskan, berdasarkan konsep berkenaan tidak mustahil Barisan Nasional (BN) berkemungkinan besar akan meletakkan calon di kedua-dua kerusi tersebut.

    “Sebagai penyandang kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Parti Amanah Negara (Amanah) sudah tentu mahu terus bertanding di situ.

    “Status Johor yang tidak melaksanakan konsep Kerajaan Perpaduan dalam pentadbirannya memungkinkan ada pertembungan dua parti dalam Kerajaan Perpaduan BN dan Pakatan Harapan (PH) di kedua-dua kerusi berkenaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Dr. Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong berkata, PN Johor semestinya akan bertanding dan meletak calon di dua kerusi berkenaan, lapor Sinar Harian.

  • PN akan PRN menang 5-1, tapi tak boleh tembus Pulau Pinang, kata Tun M

    PN akan PRN menang 5-1, tapi tak boleh tembus Pulau Pinang, kata Tun M

    TUN Dr Mahathir Mohamad yakin Perikatan Nasional (PN) mampu menang di lima daripada enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN), pada 12 Ogos ini.

    Bagaimanapun, katanya, gabungan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu diramal tidak dapat menembusi Pulau Pinang.

    “Saya berpendapat PN mempunyai potensi baik iaitu mereka mungkin menang semua negeri di Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu), selain di Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sebuah majlis di Langkawi, hari ini.

    “Kita dapati bahawa sentimen orang ramai bertukar. Tidak seperti pilihan raya dahulu.

    “Orang Melayu umpamanya berasa curiga tentang masa depan mereka, terutamanya generasi tua, generasi lama kerana mereka lihat kedudukan mereka tidak berubah, masih miskin dan berasa tertekan.

    “Mereka tak dapat petunjuk atau cadangan daripada kerajaan bagaimana untuk mengatasi masalah mereka,” katanya.

    Ditanya mengenai ramai calon yang dijangka bertanding atas tiket Bebas, beliau berkata, mereka bukanlah calon yang serius.

    “Apa boleh buat orang perseorangan yang jadi calon Bebas? Dia tak boleh buat apa pun. Dia boleh pergi ke Parlimen, bercakap. Tapi tak ada kesan sama sekali.

    “Yang berkesan kalau kita jadi kerajaan. Sebab itu dalam pilihan raya hasratnya nak mendirikan kerajaan, bukan nak jadi wakil rakyat,” katanya.

    Pada sidang media itu, Mahathir juga menjelaskan bahawa kehadirannya dalam program PN sejak kebelakangan ini bukan bermakna dirinya menyertai mana-mana parti.

    Katanya, penampilannya hanya untuk menyokong mereka kerana mempunyai objektif yang sama.

    “Saya hanya hadir untuk perjumpaan. Saya tidak menyertai Pas. Bukan Pas, bukan PN mahu pun Putra. Saya bebas daripada semua parti politik.

    “Mereka (Pas) mempunyai objektif sama dengan saya, jadi saya akan sokong mereka.

    “Kami lihat kerajaan sekarang adalah kerajaan yang dipanggil sebagai kakistokrasi yang tidak tahu bagaimana hendak memerintah. Jadi kita perlu ubah (kerajaan),” katanya, lapor Malaysiakini.

    Mahathir juga pernah bersama Bersatu tetapi kemudiannya dipecat oleh Muhyiddin.