Author: Wartawan WartaRakyat

  • Zahid Hamidi normalisasikan rasuah, kata Syed Saddiq

    Zahid Hamidi normalisasikan rasuah, kata Syed Saddiq

    PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi cuba menormalisasikan rasuah.

    “Saya luluskan bantuan ratusan ribu… janji 12 Ogos nanti undi parti saya.

    “Tiada apa yang boleh dilihat di sini. Hanya normalisasi rasuah,” kata Syed Saddiq di Twitter.

    Syed Saddiq berkata demikian mengulas tindakan Zahid mengumumkan peruntukan RM250,000 kepada Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri itu.

    “Saya luluskan bantuan ratusan ribu…..janji 12 Ogos nantti undi parti saya”

    Zahid dalam pengumuman itu bagaimanapun meminta belia yang hadir dalam acara itu memilih ‘gelombang biru dan merah’ dalam pilihan raya negeri 12 Ogos ini.

    “Itu baru saya (umum). Lepas ini PM naik dia akan top up, akan tambah lagi, insya-Allah.

    “Asalkan pada 12 hari bulan Ogos nanti para belia mengikut gelombang biru (BN) dan gelombang merah (Pakatan Harapan) yang ada di negeri Terengganu ini,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Zahid kemudian berseloroh: “Kalau makin kuat tepukan, banyak banyak PM akan luluskan.”

  • Pelakon, pengarah drama sokong calon Bebas DUN Tendong

    Pelakon, pengarah drama sokong calon Bebas DUN Tendong

    PELAKON dan pengarah drama terkenal tanah air, Fauzi Nawawi hadir memberikan sokongan kepada Datuk Seri Suzainal Adnan Sukri yang bertanding di bawah tiket Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Fauzi berkata, kehadirannya itu sebagai tanda sokongan kepada Suzainal.

    “Saya sudah lama mengenali beliau (Suzainal) seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cukup prihatin kepada ahli.

    “Sikap prihatin memang ada pada beliau. Saya rasa dia mempunyai ciri-ciri sebagai seorang pemimpin di Tendong,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurut beliau, Suzainal sudah lama bekerja membantu rakyat di Pasir Mas dan pengundi perlu memberi sokongan kepada beliau.

    Beliau berharap Suzainal akan menang.

  • Lagu ‘sokong penyamun’ sambut perarakan calon PH-BN di Gombak

    Lagu ‘sokong penyamun’ sambut perarakan calon PH-BN di Gombak

    PERARAKAN PH-BN bersama beberapa pemimpin utama gabungan campuran itu berkumpul kira-kira 500m daripada pintu masuk pusat penamaan calon di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu.

    “Hoi hoi ya hoi…siapa sokong penyamun,” sorak penyokong Perikatan Nasional (PN) ketika perarakan PH-BN tiba di sebuah padang berdekatan kawasan sekolah berkenaan.

    Lagu tersebut merujuk kepada lagu gubahan daripada lirik asal filem tersohor P Ramlee, “Ali Baba dan 40 penyamun”.

    Lagu gubahan itu dinyanyikan semula oleh penyanyi rap Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman dan dilancarkan di pentas politik sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

    Altimet kini merupakan calon PH bagi kerusi DUN Lembah Jaya di Selangor.

    Ia juga disusuli dengan sorakan kata-kata yang dipetik daripada Pengerusi PH, DatuK Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam kempen.

    “Saya ulang… esok kita memerintah…,” yang kemudiannya disambung dengan gelak tawa penyokong PN, lapor Malaysianow.

    Sementara itu, penyokong wanita PN pula berkumpul sambil berselawat dan segelintir daruapda mereka dikesan berinteraksi secara langsung pada platform media sosial.

    Suasana dan perkembangan ini menandakan permulaan kepada perang saraf bagi kempen politik sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

    Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke pusat penamaan calon sekitar jam 9 pagi bagi mengiringi calon-calon DUN yang bakal bertanding

    PRN yang membabitkan enam negeri bermula hari ini dengan 173 pusat penamaan calon akan dibuka bermula 9 pagi ini.

    Selain 245 kerusi DUN dipertandingkan di enam negeri itu, turut diadakan ialah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu setelah kerusi berkenaan diisytiharkan kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada PRU15.

    Bagi PRN dan PRK berkenaan, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos nanti.

  • Dendangan lagu Warisan, zikir iringi calon PN:Rina Harun, Shukri

    Dendangan lagu Warisan, zikir iringi calon PN:Rina Harun, Shukri

    KIRA-KIRA 500 penyokong Perikatan Nasional (PN) mendendangkan lagu bertajuk Warisan nyanyian Sudirman semasa hari penamaan calon di Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen 19, Shah Alam pagi ini.

    Nyanyian tersebut adalah bagi memberikan sokongan dan semangat kepada calon mereka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N40 Kota Anggerik, Mohamed Shukri Omar dan N41 Batu Tiga, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

    Mereka yang hadir sekitar pukul 8.30 pagi selepas berarak sejauh 500 meter turut melaungkan zikir dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

    Juga kedengaran, laungan takbir daripada calon Pakatan Harapan, Najwan Halimi (Kota Anggerik) dan Danial Al Rashid (Batu Tiga) serta penyokongnya setelah tiba di pusat penamaan calon pada 8.45 pagi.

    Perarakan itu juga disertai oleh penyokong daripada Barisan Nasional (BN), masing-masing mengenakan baju berwarna merah dan biru serta membawa bendera parti, lapor Sinar Harian.

  • Noh iringi Nurul Syazwani ke pusat penamaan calon

    Noh iringi Nurul Syazwani ke pusat penamaan calon

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengiringi anaknya, Nurul Syazwani di Pusat Penamaan Calon di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang hari ini.

    Noh bersama isterinya, Puan Sri Dr. Aishah Salleh serta kira-kira 300 penyokong berarak dari tempat penyokong Perikatan Nasional (PN) dan tiba di luar pusat penamaan itu pada pukul 9.10 pagi.

    Nurul Syazwani mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbaju kurung hitam itu kelihatan sebak memasuki pusat penamaan selepas memeluk dan memohon restu daripada keluarga.

    Sinar Harian melaporkan, laungan takbir bergema di luar pekarangan itu bagi menyatakan sokongan kepada Nurul yang kali pertama bertanding di pentas politik.

    Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanjong Karang, Mohd. Yahya Mat Sahri tiba lebih awal diiringi kira-kira 300 penyokong PH dan Barisan Nasional (BN) pukul jam 9 pagi.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dimenangi calon PKR, Rozana Zainal Abidin dengan majoriti 1,158 undi selepas menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas).

    Rozana memperoleh 9, 208 undi menewaskan Sulaiman yang mendapat 8,050 undi dan Muhammad Jafaruddin meraih 2,746 undi.

  • PRN: Sanusi angkat tangan ‘ala Anwar’ di hadapan penyokong PH, BN

    PRN: Sanusi angkat tangan ‘ala Anwar’ di hadapan penyokong PH, BN

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tiba di pekarangan Pejabat Tanah dan Daerah Sik pada 9.10 pagi bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Kehadiran calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu diringi hampir 2,000 penyokongnya.

    Beliau turut mengangkat tangan ‘ala Anwar’ di hadapan ratusan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang berada di lokasi itu.

    Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah dijangka bertembung calon muka baharu BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.

    Sementara itu, bagi DUN Belantek, calon PN, Ahmad Sulaiman dicabar oleh calon PH, Mazli Saipi.

    Setakat ini, pertembungan di kedua-dua DUN itu menyaksikan dua penjuru apabila tidak kelihatan mana-mana calon bebas.

    DUN Jeneri mempunyai seramai 35,079 pengundi, manakala 28,006 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka di Belantek.

  • Lebih seribu penyokong iringi calon PN

    Lebih seribu penyokong iringi calon PN

    CALON Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Mohd. Radzi Md. Amin dan calon DUN Kuala Nerang, Munir@ Mohamad Yusof Zakaria tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi lebih 1,000 penyokong.

    Penyokong berpakaian serba biru dengan membawa sepanduk Perikatan Nasional (PN) berarak sejauh empat kilometer dari Pekan Kuala Nerang.

    Perarakan turut disertai Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Abd Hamid, lapor Sinar Harian.

  • Muhyiddin iringi Azmin, calon Gombak Setia dan Sungai Tua

    Muhyiddin iringi Azmin, calon Gombak Setia dan Sungai Tua

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi tiga calon gabungan politik itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Gombak Setia dan Sungai Tua ke pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu.

    Mereka adalah Datuk Seri Azmin Ali (Hulu Kelang), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan Muhammad Hanif Jamaluddin (Sungai Tua).

    Terdahulu mereka bersama penyokong PN berkumpul di Masjid As-Shariff sebelum berarak sambil berselawat dan melaungkan takbir sejauh 500 meter ke pusat penamaan calon.

    Pusat untuk menghantar kertas pencalonan itu akan dibuka jam 9 pagi.

    Azmin, bekas Menteri Besar Selangor yang berpindah dari DUN Bukit Antarabangsa ke Hulu Kelang dijangka berdepan Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Juwairiya Zulkifli.

    Hilman selaku penyandang di Gombak Setia ditentang Ketua UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin.

    Hanif pula berdepan tugas besar berdepan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyandang kerusi Sungai Tua.

  • PN umum calon DUN Jeram Padang, Sri Tanjung

    PN umum calon DUN Jeram Padang, Sri Tanjung

    PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan mengumumkan dua lagi calon untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang dan Sri Tanjung.

    PN dalam satu kenyataan memberitahu, Jeram Padang akan ditandingi Surash Sreenivasan manakala Sri Tanjung diwakili Zabidi Ariffin.

    Dengan pengumuman itu senarai calon PN akan bertanding 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan kini lengkap.

    Untuk rekod, Surash pernah bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Jeram Padang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

    Beliau bakal bertembung calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Zaidy Abdul Kadir.

    Zabidi pula akan bertembung calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Sri Tanjung, Dr. Rajasekaran, lapor FMT.

    Semalam, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru akar umbi menganggap semua nama diumumkan sebagai ‘calon PN’.

    Katanya, PN akan mengumumkan calon bagi Sri Tanjung dan Jeram Padang hari ini, yang terpaksa ditangguhkan atas sebab teknikal.

  • 50 pemimpin MIC Selangor ikrar sokong PN

    50 pemimpin MIC Selangor ikrar sokong PN

    SERAMAI 50 pemimpin MIC di Selangor berikrar untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

    Kenyataan sokongan itu disuarakan Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC, Parthiban Karuppiah.

    Menurutnya, PN dipercayai komited dalam membela nasib kaum India apabila mengumumkan enam calon mewakili kaum itu berbanding Pkatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang meletakkan empat calon di Selangor.

    Beliau turut mendakwa MIC tidak dilayan secara adil dalam gabungan PH-BN itu selain nasib kaum India di negeri itu diabaikan.

    “Tindakan ini juga dibuat berikutan keputusan CWC MIC baru-baru ini untuk tidak berkempen bagi calon PH pada PRN akan datang di enam negeri. Keputusan itu dibuat selepas MIC tidak dilayan secara adil dalam gabungan BN dan dilihat tidak lagi memperjuangkan nasib kaum India di negeri-negeri ini,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

    Terdahulu, beliau bersama 50 pemimpin MIC hadir menyokong PN di hadapan Timbalan Pengerusi PN Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi di pejabat Pas Selangor

    Parthiban yang juga dikenali sebagai Cikgu Parthiban dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu merupakan penggerak kepada Kelab Penyokong Perikatan Nasional (PN) Selangor yang dilancarkan hari ini.

    Dalam pada itu, kenyataan sama turut memaklumkan Parthiban bersama pemimpin-pemimpin MIC akan memastikan gelombang masyarakat India terus membadai kawasan bandar di negeri ini.

    “Gelombang masyarakat India itu telah mula tercetus di kawasan luar bandar seperti di Tanjong Karang dan Kuala Selangor. Dengan lebih 40 peratus daripada jumlah populasi kaum India yang bermastautin di Selangor kami yakin dapat memberi kelebihan kepada PN,” katanya.