Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRU15:Kemenangan PN, BN dijangka 4-4 di Parlimen Terengganu

    PRU15:Kemenangan PN, BN dijangka 4-4 di Parlimen Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PARTI manakah yang mampu meraih kemenangan bagi kerusi Parlimen di Terengganu akan diketahui malam esok.

    Seramai 922,101 pengundi berdaftar di negeri ini akan keluar membuang undi mulai awal pagi esok bagi memilih serta menentukan lapan orang calon parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

    Malah, pemilihan yang dilakukan pengundi juga bakal membantu pembentukan pemerintahan kerajaan baharu di negara ini sama ada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau pun Gerakan Tanah Air (GTA)?

    Jawapannya, sudah tentu terletak di tangan rakyat yang akan menentukan kuasa pemutus bagi memilih calon pilihan masing-masing sewaktu keluar membuang undi esok.

    Tapi awas, setiap pengundi diharap tidak tersilap membuat pilihan kerana ia boleh menjejaskan kehidupan mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.

    Oleh itu, setiap pengundi semestinya memilih calon yang benar-benar cakna rakyat, berintergriti, bersih, amanah dan bebas rasuah.

    Bagi setiap rakyat, debaran menantikan siapakah yang bakal menang dalam PRU kali ini akan terjawab selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selesai mengadakan penjumlahan undi.

    Pengumuman keputusan dijangka diketahui selewat-lewatnya pada tengah malam nanti.

    Sehingga ini, persaingan dan perebutan lapan kerusi parlimen di Terengganu dikatakan agak sengit melibatkan PN, BN, PH dan GTA.

    Namun, bagi kebanyakan penganalisis dan pemerhati politik di negeri ini mereka menyifatkan persaingan utama hanya tertumpu kepada PN dan BN manakala lain-lain gabungan parti dianggap sebagai pelengkap.

    Maka itu, banyak pihak berpendapat dan menjangkakan kedudukan kerusi parlimen di Terengganu adalah sama rata bakal dimiliki PN dan BN.

    Ada yang menjangkakan dengan membuat ramalan bahawa keputusan adalah 4-4 atau 5-3 di antara PN dan BN.

    PN dijangka tidak berhadapan masalah untuk mengekalkan kemenangan di Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

    Sementara BN pula cuba meletakkan sasaran untuk pertahankan Besut dan Hulu Terengganu selain sasaran di Kemaman dan Setiu.

    Ada juga pihak mengatakan salah satu parti mungkin bakal menang 5-3 sama ada PN atau BN.

    Antara faktor penentu kedudukan tersebut adalah membabitkan pengundi atas pagar dan pengundi berusia 18 tahun yang buat pertama kali membuang undi.

    Bagaimanapun, ianya terserah kepada kemampuan jentera parti ketika menjalankan aktiviti berkempen dengan mendekati para pengundi terbabit.

  • PRU-15: PDRM buka 28 kertas siasatan pelbagai kesalahan

    PRU-15: PDRM buka 28 kertas siasatan pelbagai kesalahan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka 28 kertas siasatan melibatkan pelbagai kes kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara, semalam.

    Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali berkata lima kertas siasatan di Kedah, Johor (empat), Pahang (empat), Sabah (tiga), Selangor (tiga), Kuala Lumpur (dua), Kelantan (dua) manakala Sarawak, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang masing-masing satu kertas siasatan.

    Beliau yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman berkata PDRM turut menahan seorang wanita di Kota Setar, Kedah kerana disyaki mencabut bendera parti politik yang dipasang di atas jambatan Alor Semadom.

    Selain itu, PDRM turut mengeluarkan sebanyak 1,907 permit ceramah PRU15 semalam, katanya dalam kenyataan hari ini.

    Permit berkenaan melibatkan 312 permit di Sabah, Sarawak (271), Perak (188), Johor (172), Kedah (149), Kelantan (147), Selangor (142), Terengganu (141), Pahang (126), Negeri Sembilan (90), Melaka (67), Pulau Pinang (48), Perlis (28) dan Kuala Lumpur (26).

  • Mereka semua cakap terima kasih Abah – Muhyidin

    Mereka semua cakap terima kasih Abah – Muhyidin

    PNEGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sokongan rakyat terhadap gabungan itu semakin meningkat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), esok.

    “Apabila saya menjelajah ke seluruh negara, dari utara ke selatan saya telah bertemu dengan ramai orang.

    “Dan buat pertama kalinya, saya melihat gelombang sokongan yang semakin meningkat untuk PN. Mereka menyokong PN kerana apa yang saya lakukan sebagai Perdana Menteri sebelum ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah PN Best Final di pekarangan Kompleks Sukan Pagoh, Muar, malam tadi.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, ramai pengundi menyatakan penghargaan terhadap dasar dilaksanakannya ketika pandemik Covid-19 seperti moratorium kewangan dan pakej bantuan.

    “Mereka semua cakap terima kasih Abah,” katanya merujuk kepada gelaran yang diberikan kepadanya ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

    “Sokongan mereka adalah pengakuan, rasa percaya dan yakin bahawa PN adalah pilihan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya, lapor Berita Bersatu.

    Muhyiddin yang juga calon PN di Parlimen Pagoh turut menyeru semua pengundi menolak gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) iaitu saingan utama PN pada PRU15.

    “BN dan parti komponen utama UMNO mempunyai sejarah rasuah yang berleluasa, manakala PH sebagai sebuah gabungan tidak menghormati dasar yang melindungi hak orang Melayu dan institusi Islam.

    “Jadi BN dan PH terkeluar. Anda (rakyat) hanya tinggal satu pilihan sekarang, iaitu Perikatan Nasional.

    “Tiada pilihan tetapi ia adalah pilihan terbaik untuk memilih kerajaan PN. Inilah yang rakyat mahukan,” katanya.

  • Ummah dan gabungan lebih 185 NGO sokong kerajaan bersih, berintegriti dan Muhyiddin sebagai PM

    Ummah dan gabungan lebih 185 NGO sokong kerajaan bersih, berintegriti dan Muhyiddin sebagai PM

    GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) dan 185 Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini menyatakan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Berikut adalah kenyataan penuh Ummah dan gabungan NGO Islam terbabit:

    Gerakan Pembela Ummah bersama lebih 185 NGO Islam Malaysia bertarikh 18 November 2022 di Hotel Ideas Kuala Lumpur, telah membuat suatu ketetapan seperti berikut:

    1. Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan NGO Islam amat gusar melihat sokongan politik orang Melayu berpecah dalam PRU ke-15 ini dan kesannya DAP akan menguasai Kerajaan Malaysia melalui gabungan parti Pakatan Harapan.
    2. Sehubungan itu UMMAH dan Gabungan NGO Islam menyeru dan merayu Umat Islam seluruh Malaysia agar wajib (Fikh Al-Daulah) keluar mengundi dan menyatukan undi hanya kepada satu gabungan parti yang jelas mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara, serta bersih daripada rasuah, berwibawa dan berusaha memperkasa penyatuan ummah.
    3. Berdasarkan kepada penelitian dan penilaian calon dan parti yang bertanding, maka UMMAH dan Gabungan NGO Islam berpendirian bahawa calon dan parti yang menepati kriteria yang dinyatakan di atas adalah calon dan parti daripada gabungan Perikatan Nasional.
    4. Kami juga berpendirian berdasarkan kepada perbandingan dua calon Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih memenuhi kriteria menjaga agama, bangsa dan negara serta menghormati bangsa dan agama yang lain (tidak memudaratkan kaum dan agama yang lain serta mengukuhkan perpaduan kaum dan nasional)
    5. Berdasarkan prestasi yang lepas Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengurus tadbir negara dengan baik dan berjaya mengemudi negara berdepan dengan masalah besar Covid-19 dan kesuraman terhadap ekonomi negara.
    6. Oleh itu, UMMAH bersama Gabungan lebih 185 NGO Islam dan para agamawan menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon yang lebih layak dan berwibawa serta menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

    MOHD ZAI MUSTAFA
    Pengerusi
    Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
    Bersama Gabungan 200 NGO Islam

  • PRU-15: Pilih calon wakil rakyat yang paling ringan bahayanya – Khutbah Jumaat

    PRU-15: Pilih calon wakil rakyat yang paling ringan bahayanya – Khutbah Jumaat

    UMAT Islam diingatkan agar memilih calon parti politik yang paling ringan bahayanya di antara dua orang yang berbahaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok.

    Ia sesuai dengan kaedah fiqh yang menegaskan apabila bertembungnya dua mafsadah (kerosakan), maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.

    Menurut teks khutbah Jumaat di seluruh Selangor dengan tajuk “Kewajipan Mengundi Dalam Pilihan Raya”, memilih calon paling ringan bahaya itu adalah satu daripada tiga kaedah memiliki wakil rakyat mengikut Islam.

    Selain itu menurut teks berkenaan, umat Islam perlu memilih calon paling berkelayakan iaitu individu paling bertakwa dan mampu memikul tanggungjawab wakil dan suara rakyat, komitmen dengan kewajipan agama dan meninggalkan perkara-perkara haram dan syubhah.

    “Kaedah ketiga ialah, seorang pengundi tidak boleh mengubah pilihannya daripada memilih calon yang lebih layak kepada calon yang kurang layak dengan dorongan fanatisme, hubungan keluarga atau kepentingan tertentu.

    “Sekiranya ini dilakukan, bererti dia mengkhianati Allah dan Rasul SAW,” kata teks yang diterbitkan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor hari ini.

    Mengulas lanjut, teks itu menegaskan umat Islam wajib keluar mengundi untuk menentukan masa depan Islam, negara dan umat kerana sesiapa yang mengabaikannya dianggap berdosa, melanggar perintah dan suruhan Allah.

    Selain itu menurut teks berkenaan, umat Islam dingatkan tidak melantik pemimpin yang tidak amanah dan tidak berupaya menjaga Islam dan syariatnya.

    “Begitu juga Islam melarang menyokong pemimpin yang meminta jawatan dan mendapatkan jawatan melalui cara yang tidak baik dan tidak mampu berlaku adil.

    “Umat Islam hendaklah memilih pemimpin yang sentiasa mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan. Ini kerana masa depan Islam dan negara adalah di tangan kita semua.

    “Oleh itu pilihlah dengan ilmu dan kebijaksanaan, bukan dengan logik akal, amarah, dendam dan permusuhan,” kata teks itu lagi.

  • 2 maut terkena renjatan elektrik di Papar

    2 maut terkena renjatan elektrik di Papar

    DUA lelaki dipercayai kontraktor maut akibat terkena renjatan elektrik ketika sedang membaiki lampu jalan dalam kejadian di Apartment Bukit Melinsung, Papar, Kota Kinabalu, pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 8.25 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Papar ke tempat kejadian.

    “Didapati tiga mangsa terlibat dalam kejadian itu, seorang mangsa terselamat dan dua orang lagi disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.

    “Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd). Operasi ditamatkan pada 9.51 pagi,” katanya lapor FMT.

    Menurut jurucakap itu, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Abdul Rauf Manda, 61, dan Asnan Ab Wahid, 54, manakala mangsa yang selamat ialah Albrayan Binga, 27.

  • PN BEST jamin transformasi petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil

    PN BEST jamin transformasi petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil

    SEKTOR pertanian, penternakan serta perikanan memainkan peranan besar dalam struktur sosioekonomi negara.

    Pada ketika negara memberi tumpuan bagi memperteguh sekuriti makanan akibat ketidaktentuan global, golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil wajar diberikan perhatian.

    Jika tidak kerana golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil, bagaimana negara mampu mengukuhkan rantaian bekalan makanan.

    Justeru, Perikatan Nasional (PN) memberi perhatian serius terhadap usaha bagi mentransformasi petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil.

    Terkandung di bawah Tunjang 12 – manifesto ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau disebut PN BEST, nasib golongan itu akan diberi perhatian khusus sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Dua inisiatif utama di bawah Tunjang 12 adalah memperkasa petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil bagi mengukuhkan rantaian bekalan makanan negara di samping memelihara kebajikan petani, penternak, nelayan serta pekebun kecil.

    PN berazam mengoptimumkan hasil pertanian dan perikanan serta industri hiliran yang bernilai tinggi melalui insentif khas.

    Tawaran itu dalam usaha menggalakkan penggunaan teknologi dan pertanian pintar serta pemasaran yang cekap, lapor Utusan TV.

    Selain itu, PN juga akan menambah lesen perikanan bagi nelayan muda bagi kawasan laut yang sesuai di samping memodenkan sektor perikanan bagi meningkatkan taraf hidup nelayan.

    Inisiatif tersebut akan dilaksanakan dengan mewujudkan skim pembangunan terancang dan komprehensif.

    Pada masa sama, PN BEST turut menggariskan usaha penyediaan insentif ekopelancongan bagi membantu petani dan nelayan menambah sumber pendapatan.

    Bagi menjaga kebajikan dan meningkatkan pendapatan penoreh getah, PN juga berhasrat memodenkan industri getah.

    Bukan itu sahaja, kebajikan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil juga akan terus dipelihara menerusi PN BEST.

    Antara usaha yang akan dilakukan termasuk meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan melalui penyediaan latihan, bantuan khidmat nasihat dan teknikal serta pementoran.

    Pesawah dan pekebun kecil akan turut menerima bantuan tunai masing-masing berjumlah RM1,200 di bawah Bantuan Tanaman Padi dan RM800 menerusi Bantuan Musim Tengkujuh.

    Malah, PN BEST akan turut mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar milik kerajaan bagi kegunaan sektor pertanian, penternakan dan akuakultur yang bersesuaian termasuk mewujudkan kebun komuniti.

    Akhir sekali, harga lantai getah akan ditingkatkan pada kadar yang berpatutan dan disemak secara berkala bagi menjamin kebajikan penoreh getah.

  • Tawaran PN BEST segerakan kajian pindaan perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan

    Tawaran PN BEST segerakan kajian pindaan perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan

    PERIKATAN Nasional (PN) berhasrat untuk memuktamadkan segera kajian pindaan perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pindaan itu akan membolehkan kewarganegaraan diberikan kepada anak yang dilahirkan oleh ibu rakyat Malaysia dengan suami warganegara asing di luar negara.

    Perkara tersebut terdapat di dalam Tunjang 8 manifesto Tawaran Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang atau PN BEST iaitu ‘Mengoptimumkan potensi wanita’.

    Ianya sejajar dengan matlamat PN yang mahu memartabatkan golongan wanita sebagai tiang seri negara, lapor Utusan TV.

    Usaha ini juga bagi membolehkan kaum wanita terus menjadi menyumbang utama kepada pembangunan Malaysia.

    Turut terdapat dalam manifesto tersebut adalah mengembangkan DanaNita atau Wanita Bangkit Berniaga bagi membantu usahanita baharu dengan menyediakan pinjaman tanpa faedah sehingga RM20,000 seorang

    Selain itu, PN juga akan melaksanakan intervensi agresif bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam jawatan utama di sektor awam dan swasta dicapai menjelang 2025.

    Selain menguatkuasakan serta mempercepatkan pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual dan penggubalan Rang Undang-Undang Anti- Stalking.

  • PRU-15: Cuaca baik diramal pada sebelah pagi di beberapa negeri esok

    PRU-15: Cuaca baik diramal pada sebelah pagi di beberapa negeri esok

    JABATAN Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi di beberapa negeri, pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), esok.

    MetMalaysia menerusi laman sesawangnya memaklumkan tiada hujan diramalkan pada sebelah pagi di Kuala Lumpur dan Perlis.

    Cuaca di Putrajaya pula dijangka baik pada sebelah pagi dan petang, manakala Melaka dan Labuan diramalkan mengalami cuaca baik, waktu petang.

    MetMalaysia turut meramalkan ribut petir dan hujan dijangka berlaku di kebanyakan negeri pada sebelah petang terutamanya negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, serta negeri-negeri di sebelah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

    Bagi Sarawak, cuaca diramalkan baik pada sebelah pagi esok, namun hujan di beberapa kawasan pada sebelah petang.

    Di Sabah, empat kawasan diramalkan mengalami hujan serta ribut petir pada waktu pagi dan petang iaitu di Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang.

    Suhu di seluruh negara diramal sekitar 23 darjah Celcius dan maksimum 33 darjah Celcius sepanjang hari pengundian esok.

  • PRU-15: Kesiapsiagaan agensi di bawah KDN di tahap tinggi-Hamzah

    PRU-15: Kesiapsiagaan agensi di bawah KDN di tahap tinggi-Hamzah

    AGENSI -AGENSI di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi untuk memastikan hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) esok berjalan lancar, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata pihaknya turut bersedia dengan kemungkinan berlakunya banjir di mana-mana lokasi hotspot yang telah dikenal pasti di seluruh negara pada hari pengundian berlangsung.

    “Simulasi (banjir dan PRU15) telah dibuat sebelum ini dan diharap tidak timbul situasi luar jangka kerana kita mahu rakyat Malaysia keluar mengundi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai-Pegawai Kadet Imigresen Gred KP41 dan Gred KP29 di Putajaya, hari ini.

    Majlis perbarisan tamat latihan 193 pegawai kadet Imigresen itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Hamzah berkata pegawai-pegawai kadet itu telah menjalani latihan selama empat bulan setengah di Akademi Imigresen Malaysia berbanding kursus sebelum ini yang hanya dijalankan selama 49 hari.

    “Pemanjangan tempoh latihan ini adalah untuk meningkatkan kualiti pegawai supaya mendapat pendedahan yang mencukupi. Ia bagi memastikan pegawai berupaya menghadapi cabaran yang bakal mereka hadapi nanti terutamanya dari aspek integriti,” katanya.