Author: Wartawan WartaRakyat

  • Peja optimis pertahan kerusi Tambun, harap SPR cepat kira undi

    Peja optimis pertahan kerusi Tambun, harap SPR cepat kira undi

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) diharapkan tidak mengheret keputusan pengiraan undi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hingga melewati waktu tengah malam.

    Menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ini kerana SPR mempunyai petugas yang mencukupi selain penggunaan teknologi yang boleh mempercepat dan melancarkan urusan berkenaan.

    “Saya harap jangan lama sangat. Dunia makin hari makin maju. Lagi pun SPR ada cukup petugas.

    “Saya fikir nak kira undi bukan terlalu sulit. Harap tak perlu tunggu sampai tengah malam. Saya juga harapkan semuanya berjalan lancar,” katanya selepas hadir mengundi di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Ihtidayah Tambun Height pagi tadi lapor Berita Harian.

    Sebelum itu, Ahmad Faizal yang juga calon PN kerusi Parlimen Tambun tiba bersama isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin kira-kira pukul 7.55 pagi.

    Mengenai peluang untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya itu, Ahmad Faizal optimis PN mampu mencapai kejayaan bersandarkan gelombang sokongan terhadap gabungan parti di seluruh negara.

    “Secara jujurnya selepas dua minggu berkempen, saya rasa ada gelombang di seluruh negara yang menyokong PN …sangat menggalakkan,” katanya.

    Berkenaan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang meninggal dunia pagi tadi, Ahmad Faizal berharap SPR dapat membuat satu keputusan yang baik untuk semua pihak.

    Kepada keluarga Allahyarham, beliau mengucapkan takziah sambil mendoakan rohnya dicucuri rahmat.

    “Saya rasa amat berduka cita dan ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga beliau dan kita sama-sama doakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-saa orang beriman serta beramal soleh,” katanya.

  • PRU-15: Pengundian DUN Tioman tangguh

    PRU-15: Pengundian DUN Tioman tangguh

    PROSES pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi ini. 

    Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang Datuk Zamree Hamli yang memaklumkan perkara itu berkata proses pengundian bagi Parlimen Rompin dan dua lagi DUN di bawahnya iaitu Muadzam Shah dan Bukit Ibam bagaimanapun berjalan seperti biasa. 

    “Status DUN Tioman akan disahkan oleh ibu pejabat SPR dan perkembangan berkaitan tarikh baharu juga mereka akan buat,”  katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

    SPR menetapkan hari ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Terdapat 42 kerusi DUN di Pahang.

    Md Yunus, 61, daripada PAS, meninggal dunia di Hospital Rompin pada kira-kira 3.30 pagi selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya dipercayai akibat serangan jantung.

    Pada PRU15, DUN Tioman sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

    Allahyarham yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada pilihan raya umum 2018.

    Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek memaklumkan pengeluaran kertas undi bagi DUN Tioman ditangguhkan ekoran kematian Md Yunus.

    “Penangguhan (pengeluaran kertas undi)  hanya melibatkan DUN berkenaan sahaja,” kata Ahmad Nasim. – BERNAMA 

  • Muhyiddin, isteri selesai mengundi di SMK Sri Muar

    Muhyiddin, isteri selesai mengundi di SMK Sri Muar

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selesai mengundi di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, Muar, hari ini.

    Beliau dan isteri menaiki kenderaan jenis Alphard berwarna hitam tiba di pintu masuk SMK Sri Muar kira-kira pukul 8.50 pagi.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan isteri itu selesai mengundi bagi kerusi Parlimen Muar pukul 9.05 pagi, lapor Sinar Harian.

    Muhyiddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pagoh selama enam penggal berdepan saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Muhyiddin dicabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Iskandar Shah yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

    Kerusi Parlimen Pagoh disandang Muhyiddin yang menang pada PRU14 dengan majoriti 6,927 undi, menewaskan calon Pas, Ahmad Nawfal Mahfodz dan dan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Mohamed.

    Sementara Razali, yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, menang tiga penggal berturut-turut pada PRU-11, PRU-12 dan PRU-13, namun tewas pada PRU-14 kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan majoriti 6,953 undi di kerusi Parlimen Muar.

  • PRU-15: Calon PN DUN Tioman meninggal dunia

    PRU-15: Calon PN DUN Tioman meninggal dunia

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Md. Yunus Ramli, meninggal dunia awal pagi tadi.

    Md. Yunus, 61, dipercayai meninggal dunia pada jam 3.30 pagi akibat komplikasi jantung

    Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata,
    Pas merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Md Yunus.

    Menurutnya, dalam undang-undang pilihan raya umum (PRU) sekiranya ada dalam kalangan calon di Parlimen atau DUN meninggal dunia, proses pengundian baharu perlu dilakukan.

    “PRU semula perlu dilakukan dengan satu prosedur baharu sebagaimana yang berlaku di Padang Serai, Kedah.

    “Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga calon yang meninggal,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di Maktab Sultan Ismail (SIC) di Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau hadir bersama isteri, Datin Seri Hariza Yusoff.

  • PRU-15: Pilih parti terbaik bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PRU-15: Pilih parti terbaik bentuk kerajaan – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin meminta pengundi memilih dengan betul bagi menentukan pembentukan kerajaan Persekutuan yang terbaik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu meminta semua pengundi memilih parti yang membuktikan wadah perjuangan yang mendengar denyut nadi rakyat, selain menjulang aspirasi dan cita-cita rakyat dalam tempoh singkat.

    Bekas Perdana Menteri itu antara lain mengajak pengundi menolak parti yang tidak mementingkan integriti, membudayakan rasuah dan tidak mampu menunaikan janji.

    “Dalam sesi bersama rakyat, ada yang bertanya kepada saya. Mengapa kita perlu memilih PN? Saya sering menjawab pilihlah PN kerana ia parti yang mengarusperdanakan agenda prihatin dalam kerajaan, mengutamakan rakyat dan tidak putus-putus membantu rakyat.

    “Daripada memberi bantuan tunai ke bakul makanan, subsidi upah ke moratorium, memastikan vaksinasi diberi kepada semua secepat mungkin, telah Kerajaan PN lakukan dan buktikan ketika mentadbir di era pandemik (Covid-19).

    “Kerajaan PN ikhlas membantu mengemudi negara dan membantu semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya menerusi Amanat Abah sempena PRU15, malam ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengajak pengundi memilih PN bagi membentuk kerajaan bersih, dipimpin individu berintegriti dan berlaku adil kepada semua.

    Selain itu, katanya, kerajaan stabil dapat dijana melalui keharmonian politik parti yang mentadbir, selain memaklumkan PN sentiasa menghormati semua pihak, setiakawan dan bekerjasama ke arah kebaikan negara.

    “Kestabilan dijamin melalui politik harmonis inilah yang akan menjamin kestabilan Kerajaan PN, membolehkan kita mentadbir dengan efektif dan inklusif apabila mendapat mandat daripada rakyat, insya-Allah.

    “Kestabilan inilah yang akan menjana pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan keyakinan pelabur di dalam dan luar negara untuk terus melabur dan merancakkan ekonomi negara,” katanya seperti dilaporkan BH Online

    Calon PN Parlimen Pagoh itu berkata, Covid-19 juga membuktikan kemampuan semua pihak bersatu padu menghadapi ancaman kepada negara, selain menegaskan kesan pandemik berbeza kepada setiap rakyat.

    Beliau juga menginsafi hakikat lebih 36,000 terkorban akibat pandemik dan jutaan lagi yang dijangkiti, selain mendoakan kesejahteraan semua pihak yang pernah dijangkiti Covid-19, termasuk saya serta keluarga.

    Katanya, berkat usaha semua pihak, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi pekerja swasta berjaya dilaksanakan.

    “Berkat usaha kerajaan dipimpin saya ketika itu, kita bersama-sama keluar daripada pandemik ini melalui Pelan Pemulihan Negara yang membawa semua negeri bergerak keluar dengan selamat dan teratur melalui empat fasa mengikut tiga nilai ambang iaitu bilangan kes, kapasiti hospital dan kadar vaksinasi.

    “Kejayaan kita membekalkan vaksinasi dengan kadar segera, telah menyelamatkan jutaan nyawa rakyat. Terima kasih tidak terhingga saya kepada barisan hadapan kesihatan dan keselamatan yang membantu memastikan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya.

    Mengimbau ketika menggalas jawatan Perdana Menteri, beliau berkata, banyak keputusan sukar diambil, selain mengakui beliau dihina, dikeji dan dicaci berikutan tindakan berkenaan.

    “Tidak mengapa. Setiap keputusan saya ambil dikaji dengan teliti, mengambil kira pandangan pakar, baik kesihatan mahupun ekonomi, serta bersama sama pemimpin negeri dan rentas parti. Semua dibuat berdasarkan data dan sains, dan keputusan bersama, demi kebaikan negara dan rakyat,” katanya.

  • ‘Superman Hew’ rayu sokong PH, kutuk ‘Melayu berbalut kepala’

    ‘Superman Hew’ rayu sokong PH, kutuk ‘Melayu berbalut kepala’

    SEBUAH video yang merakamkan seorang aktivis Pakatan Harapan (PH) menggesa masyarakat Cina supaya mempergunakan situasi perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu bagi membolehkan ‘tumbukan maut’ dilancarkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tular.

    Video berkenaan tular dalam aplikasi media sosial hanya beberapa jam sebelum kempen berakhir secara rasmi tengah malam ini.

    Dalam video itu, penceramah kontroversi dari DAP, Hew Kuan Yew dilihat memberitahu hadirin dalam ceramah kempennya bahawa perpecahan Melayu sepatutnya disambut baik oleh masyarakat Cina.

    “Sekarang biarkan Melayu yang nak ketuanan Melayu, Melayu yang balut kepala yang nak ketuanan Islam, maksudnya Pas yang jah**** itu,” kata Hew dalam bahasa Kantonis.

    “Sekarang biarkan mereka yang ketuanan Melayu dan mereka beragama Islam yang boleh mampus berpecah belah.

    “Apabila mereka bersatu, kami Cina tak dapat hidup. Bila mereka berpecah belah, itulah masa kita tumbuk mereka sampai mam***,” lapor Malaysianow hari ini.

    Video berdurasi satu minit itu turut disertakan dengan sari kata dalam bahasa Melayu.

    Hew, yang lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’ mengesahkan memberikan kenyataan tersebut, namun mendakwa sarikata bahasa Melayu dalam video itu tidak menggambarkan secara tepat mengenai isu yang sedang beliau bangkitkan.

    Dalam sebuah hantaran Facebook, beliau turut menuduh MCA telah menyunting rakaman ceramahnya dan menambah sarikata untuk digunakan oleh UMNO, supaya ia boleh disebarkan kepada masyarakat Melayu.

    Ketika dihubungi MalaysiaNow, Hew berkata, beliau menentang mana-mana parti politik ‘bersayap kanan’ dan ‘perkauman’ yang menggunakan agama bagi meraih undi.

    “Masyarakat Malaysia yang majmuk dan berbilang bangsa harus memberi sokongan padu kepada PH demi membentuk sebuah kerajaan baru yang bersih, sederhana, dengan minda reformasi tulen, menghormati hak berbilang kaum, khususnya dari segi sosial budaya,” katanya.

    Hew berkata, beliau akan terus berkempen untuk PH, menyifatkan gabungan itu sebagai ‘progresif dan inklusif’.

    “Saya sentiasa bersedia membantu sesiapa yang anti-BN dan PN yang munafik, inilah prinsip dan kriteria saya ketika meneliti undangan untuk berceramah,” katanya.

    ‘Tengok tumbukan saya’

    Dalam video tular itu, Hew turut menggesa sokongan diberikan kepada parti-parti komponen yang membentuk PH iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

    “Politik Melayu, politik kaum dan politik agama, biar mereka tikam sesama sendiri. Sekarang mereka berpecah belah, kita kena bersatu,” katanya.

    Sambil mengacungkan penumbuknya, Hew kemudiannya menggayakan cara beliau melancarkan pukulan maut.

    “Tengok buku lima saya… (ditapis).”

    Hew berkata, sebuah ‘upacara pengebumia’ sedang disiapkan pada Isnin untuk mereka yang berpakaian biru, dipercayai merujuk Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, dua gabungan diterajui parti Melayu yang bertanding pada pilihan raya kali ini.

    “Alangkah baik mengadakan upacara pengebumian pada hari Sabtu juga,” tambahnya.

    Ini bukan kali pertama Hew mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

    Pada 2016, beliau turut dirakam dalam sebuah video menggesa rakyat Sarawak untuk ‘menggunakan Melayu untuk ‘skru’ Melayu’ semasa kempen pilihan raya di negeri itu.

    Beliau kemudiannya meletak jawatan daripada DAP pada tahun yang sama, namun masih terus mempromosikan parti tersebut.

    Selepas PH berkuasa, Hew dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC).

    Beliau kemudiannya sekali lagi mengundang kontroversi berhubung penerbitan buku komik yang diharamkan kerana mempunyai propaganda komunis.

  • Dokumen Perjanjian Perikatan Harapan palsu – Muhyiddin

    Dokumen Perjanjian Perikatan Harapan palsu – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dokumen Perjanjian Perikatan Harapan yang kini tular adalah palsu.

    Perkara itu dinyatakan Muhyiddin dalam muat naik terkini dalam akaun Facebook beliau, malam ini.

    “Dokumen Perjanjian Perikatan Harapan yang tular ini adalah palsu,” tulis beliau ringkas.

    Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laporan Malaysiakini turut menafikan dakwaan beliu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Muhyiddin untuk membentuk kerajaan campuran yang digelar sebagai “Perikatan Harapan” selepas PRU15.

    Bercakap kepada pemberita petang tadi, Anwar menegaskan ia merupakan pembohongan yang ditimbulkan pihak tertentu yang tahu mereka akan kalah jika berlaku persaingan secara sihat pada pilihan raya esok.

    “Mula-mula kata (Ahmad) Zahid dan saya. Semuanya bohong,” katanya selepas bertemu orang ramai pada perlawanan bola sepak persahabatan petang tadi di Padang Meru Permai, Tambun di Perak.

    “Penipuan yang dibawa mereka yang rasa akan kalah kalau persaingan itu bersih. Maka mereka gunakan (penipuan). Dalam beberapa jam ini, banyak akan digunakan, banyak fitnah lagi, muflis akhlaknya dan terdesak.

    “Bagi saya teliti (dahulu) dan jangan percaya dan rujuk kepada sumber yang sahih, macam belajar hadith,” katanya.

    Presiden PKR itu mengulas MoU yang didakwa ditandatangani bersama Muhyiddin bertarikh 13 Nov untuk membentuk “Perikatan Harapan”, yang tular di media sosial.

    Menurut MOU itu, Muhyiddin dikatakan akan menjadi perdana menteri untuk tempoh dua tahun dari tarikh angkat sumpah sebelum Anwar mengambil alih dan berkhidmat sehingga akhir penggal.

    Sebelum ini, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad – yang mempertahankan kerusi Langkawi – mendakwa Zahid yang juga pengerusi BN mempunyai rancangan untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri selepas PRU15.

    Sebagai balasan, Mahathir mendakwa Anwar akan membebaskan Zahid daripada kes rasuah di mahkamah.

  • ‘Bapa PKP’: Anwar patut berterima kasih bukan tidak bersyukur – Muhyiddin

    ‘Bapa PKP’: Anwar patut berterima kasih bukan tidak bersyukur – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu yang tidak bersyukur.

    Ia susulan kenyataan dibuat Anwar sewaktu berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang melabelkan bekas perdana menteri itu sebagai “Bapa PKP”.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak seharusnya dipertikaikan individu terbabit memandangkan ianya dibuat demi kepentingan rakyat.

    Menurutnya, PKP lebih banyak mendatangkan kebaikan berbanding kemaslahatan dan ianya tidak wajar dijadikan modal dalam berkempen.

    “Anwar Ibrahim patut bersyukur, semua rakyat Malaysia bersyukur. Sembahyang dan sujud bersyukur ataupun berterima kasih, tetapi dia langsung tidak berterima kasih kepada saya.

    “Bukan saya tuntut tetapi dia mengata saya. Dikatanya ‘Bapak PKP’. Bayangkan saudara dekat Bukit Treh ini tidak ada PKP, awak semua berkeliaran ke sana ke mari. Tak mati orang Bukit Treh ini? Hari ini kalau datang 100 nanti tinggal 30 sahaja,” katanya, lapor Astro Awani.

    Muhyiddin berucap demikian ketika Program Makan Tengah Hari Bersama Jemaah dan penduduk setempat di PDM Bukit Treh, hari ini.

    Tambahnya, semua pihak seharusnya berterima kasih kepada kerajaan yang melaksanakan PKP sebelum ini sehingga wabak COVID-19 ketika ini berjaya dikawal.

    Sekali gus menjadikan Malaysia antara negara terbaik dari segi pengurusan COVID-19 dan pemberian vaksin.

  • Perutusan khas Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena PRU-15

    Perutusan khas Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena PRU-15

    Assalamualaikum wbt, salam sejahtera. Apa khabar semua?

    1.Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Illahi, kerana dengan izin dan limpah kurnianya, musim kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini telah berjalan dengan lancar sekali.

    1. Alhamdulillah, sambutan yang diberikan dan sokongan yang dizahirkan oleh rakyat Malaysia kepada calon-calon Perikatan Nasional di seluruh negara amat memberangsangkan. Maklumlah,sebagai sebuah gabungan politik yang baharu, banyak cabaran yang kita perlu hadapi.
    2. Saya amat tersentuh dan terharu melihat rakyat Malaysia menerima perjuangan saya dan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional lain
      pelopori. Dari Perlis hingga ke Sabah, gelombang sokongan yang diberikan kepada Perikatan Nasional amat luar biasa sekali.
    3. Anak anak muda, mahasiswa universiti, warga emas, kaum wanita, penjawat awam, barisan hadapan kesihatan, barisan hadapan keselamatan, golongan professional, agamawan, pengusaha warung, pemandu lori, rider Grab dan Foodpanda, peneroka FELDA, peniaga kecil, penjaja dan freelancers ekonomi gig, di bandar, di desa dan di pinggiran bandar datang berduyun-duyun menzahirkan sokongan. Ada mereka yang datang membawa anak anak kecil, datang untuk menunjukkan sokongan. Jelas inilah keazaman rakyat Malaysia bangkit untuk memastikan sebuah kerajaan prihatin, bersih dan stabil dapat ditubuhkan.

    Saudari saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian,

    1. PRU-15 ini merupakan medan pertempuran yang amat sengit sekali. Penyertaan parti lama dan baharu, serta calon-calon bebas bermakna
      rakyat Malaysia disajikan dengan pelbagai pilihan.
    2. Namun, pilihlah dengan betul. Pilihlah parti yang telah membuktikan dalam masa yang singkat, bahawa ia adalah satu wadah perjuangan yang mendengar denyut nadi rakyat, yang menjulang aspirasi dan cita-cita rakyat. Tolak parti yang tidak mementingkan integriti, tolak parti yang membudayakan rasuah, tolak parti yang tidak mampu menunaikan janji.
    3. Dalam sesi sesi bersama rakyat, ada yang bertanya kepada saya. Mengapa kita perlu memilih Perikatan Nasional? Saya sering menjawab
      pilihlah Perikatan Nasional kerana ia adalah parti yang telah mengarusperdanakan agenda prihatin dalam Kerajaan, mengutamakan rakyat dan tidak putus putus membantu rakyat. Dari memberi bantuan tunai ke bakul makanan, subsidi upah ke moratorium, memastikan aksinasi diberi kepada semua secepat mungkin, telah Kerajaan PN lakukan dan buktikan ketika mentadbir di era pandemik. Kerajaan PN ikhlas membantu mengemudi negara dan membantu semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
    4. Kedua pilihlah Perikatan Nasional untul membentuk Kerajaan yang bersih, dipimpin pemimpin yang berintegriti dan berlaku adil kepada
      semua. Semestinya, kerajaan yang bersih akan memastikan rasuah ditolak, ketirisan ditampal supaya setiap ringgit dan sen duit rakyat dijaga dengan penuh amanah dan dibelanjakan untuk kepentingan rakyat
    5. Ketiga, kerajaan yang stabil dapat dijana melalui keharmonian politik parti yang memerintah. Di dalam Perikatan Nasional kami hormat
      menghormati antara satu sama lain, tiada istilah buli membuli, kami setiakawan dan bekerjasama ke arah kebaikan Malaysia. Kestabilan yang dijamin melalui politik yang harmonis inilah yang akan menjamin kestabilan kerajaan PN dan membolehkan kita mentadbir dengan efektif dan inklusif apabila mendapat mandat daripada rakyat insyaAllah. Kestabilan inilah yang akan menjana pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan keyakinan pelabur di dalam dan luar negara untuk terus melabur dan merancakkan ekonomi Malaysia.

    Saudara saudari rakyat Malaysia yang saya hormati sekalian,

    1. Pandemik Covid-19 telah membuktikan bahawa kita mampu bersatu padu untuk menghadapi ancaman kepada negara. Seperti yang telah saya tekankan sebelum ini, kesan pandemik berbeza kepada setiap rakyat Malaysia. Saya menginsafi hakikat lebih 36,000 terkorban akibat
      pandemik ini dan jutaan lagi yang pernah dijangkiti. Kita sedekahkan bacaan Alfatihah untuk mereka yang terkorban dan doa saya juga buat kesejahteraan semua rakyat Malaysia yang telah dijangkiti virus Covid-19 termasuk saya dan keluarga.
    2. Namun syukur ke hadrat Ilahi berkat usaha kita semua program vaksinasi terbesar dalam sejarah Malaysia, Program Immunisasi Covid-19
      Kebangsaan (PICK) dan PIKAS untuk pekerja sektor swasta telah berjaya kita laksanakan. Berkat usaha kerajaan yang saya pimpin ketika itu, kita telah bersama sama keluar dari pandemik ini melalui Pelan Pemulihan Negara yang membawa negeri-negeri dalam Malaysia ini bergerak keluar dari pandemik dengan selamat dan teratur melalui 4 fasa mengikut 3 nilai ambang iaitu bilangan kes, kapasiti hospital dan kadar vaksinasi.
    3. Kejayaan kita membekalkan vaksinasi dengan kadar segera, telah menyelamatkan jutaan nyawa rakyat Malaysia. Terima kasih tidak
      terhingga saya kepada barisan hadapan kesihatan dan keselamatan yang membantu memastikan jutaan rakyat Malaysia selamat. Lapan pakej bantuan yang kita salurkan bernilai lebih RM530 billion termasuk lebih RM20 billion untuk bantuan tunai yang membantu lebih 10 juta rakyat Malaysia, hampir RM15 billion untuk subsidi upah, lebih RM6 billion untuk Geran Khas Prihatin untuk peniaga kecil. Semua ini dilakukan untuk melindungi ekonomi kita daripada lingkup. Setiap kali kita tutup kita bantu. Strategi ini sememangnya tepat kerana buktiknya kita lihat sekarang, apabila sektor ekonomi dibuka semula dan aktiviti ekonomi kembali rancak, pertumbuhan ekonomi Malaysia mencatatkan perkembangan positif.
    4. Sewaktu saya menjadi Perdana Menteri, banyak keputusan yang sukar telah diambil. Saya dihina, dikeji dan dicaci, tidak mengapa. Setiap satu keputusan yang saya ambil dikaji dengan teliti, mengambil kira pandangan pakar, baik kesihatan mahupun ekonomi, serta bersama sama pemimpin negeri dan rentas parti. Semua dibuat berdasarkan data dan sains, dan keputusan bersama demi kebaikan negara dan rakyat Malaysia.

    Saudara saudari rakyat Malaysia yang saya muliakan sekalian,

    1. Kita harus bergerak ke hadapan. Pemulihan ekonomi yang tidak sekata, menyebabkan ramai yang tidak menikmati sepenuhnya angka-angka pertumbuhan sukuan ekonomi negara yang positif. Hampir 70 peratus rakyat Malaysia berada dalam kategori ‘vulnerable’ dari segi
      ekonomi hari ini. Jika mengikut takrifan B40 terdahulu kini sudah melebar menjadi B61. Tekanan inflasi dan kejatuhan mata wang ringgit
      mencengkam ekonomi rakyat. Ramai dari kalangan rakyat Malaysia yang terpaksa mengikat perut, makan sekali sehari untuk memastikan anak anak mampu makan dan tidak berlapar, supaya lampin dan susu mampu dibeli, tambang bas sekolah mampu dibayar dan sewa rumah mampu dilunaskan.
    2. Tekanan kos sara hidup terutamanya di kawasan bandar ini bukan sahaja mendatangkan beban kewangan tetapi juga beban kesihatan
      termasuk kesihatan mental. Wang simpanan sudah kehabisan, wang KWSP telah dikorek dan diguna ketika pandemik, terhimpit pula dengan kos sara hidup yang melambung naik. Kadar kenaikan gaji dan gaji juga di paras rendah dan tidak mampu menampung kenaikan harga barang.Apatalah lagi cabaran ekonomi global tahun 2023 diramalkan tidak menentu dan kemelesetan hampir menjadi satu kepastian. Ini akan memberi kesan yang negarif kepada ekonomi negara.
    3. Menginsafi dan memahami hakikat ini, kami di Perikatan Nasional telah membuat tawaran melalui manifesto PN BEST untuk membantu
      melakar visi kehidupan yang seimbang dari segi tuntutan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
    4. Dalam tawaran PN Best, semua rakyat Malaysia akan menikmati manfaat daripada kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil. Tiada
      golongan yang terkecuali. Kita telah membuat 234 tawaran melalui 12 tunjang utama dan 30 pendekatan yang realistik, inklusif dan praktikal. Di sini saya ingin menyuntuh beberapa contoh tawaran kepada golongangolongan tertentu.
    5. Misalnya, bagi anak muda, terdapat 21 tawaran yang telah kita tawarkan, antaranya mencipta satu juta peluang pekerjaan berpendapatan
      tinggi, diskaun 25 peratus kepada bayaran PTPTN buat mereka yang mendapat kelas kedua atas di peringkat ijazah sarjana muda, pembiayaan rumah tanpa faedah bagi keluarga muda dan bantuan awal pengajian RM1,000 kepada semua pelajar baru mendaftar di IPT, untuk memastikan mereka yang layak tidak tercicir dan terlepas peluang melanjutkan pelajaran kerana masalah kewangan. Semua tawaran untuk anak muda ini bertujuan untuk memastikan beban kewangan anak muda di Malaysia boleh dikurangkan dan anak muda mampu membina kehidupan yang selesa dan bermaruah.
    6. Untuk golongan wanita pula, jika diberi mandat, Kerajaan Perikatan Nasional akan fokus dalam membina masa hadapan yang lebih baik
      dengan meningkatkan keupayaan dan mensaksamakan peluang dan meningkatkan kemampuan membina kerjaya. Ini soal kehidupan yang
      bermaruah dan lebih baik. Contohnya, meningkatkan 30% penyertaan wanita dalam jawatan utama, penglibatan wanita dalam industri, peluang penyertaan latihan skilling dan reskilling dipertingkat. Fokus kedua adalah membantu golongan wanita menjana pendapatan
      dan menjana kemakmuran keluarga, termasuk tawaran seperti pinjaman tanpa faedah sehingga RM20,000 untuk wanita yang mahu menceburkan diri dalam keusahawanan dan pelepasan cukai pendapatan tambahan RM1,000. Fokus ketiga adalah membantu wanita untuk memastikan mereka mampu menjalankan amanah mereka sebagai tonggak keluarga dan mempunyai pilihan untuk mengembangkan kerjaya. Kita bantu golongan wanita supaya tidak berada dalam dilema antara kerjaya dan keluarga. Contoh tawaran PN Best adalah Skim Pelindungan Suri Rumah, Sistem Sokongan Wanita Bekerja termasuk memperbanyakkan kemudahan taska di tempat kerja untuk penjagaan anak, memperkenalkan Kad Kasih Ibu dan memberikan Pek Permulaan Penjagaan Ibu dan Anak.
    7. Apabila bercakap soal wanita, bukan sahaja tawaran malah banyak yang telah kita lakukan sewaktu menjadi kerajaan, bukan sahaja dari segi bantuan tetapi juga dari segi dasar untuk melindungi dan mengangkat martabat wanita.
    8. Bagi mereka di luar bandar, terutamanya di skim Felda di seluruh negara, dimana Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran saya
      dahulu telah melupuskan lebih RM8.3 bilion hutang peneroka FELDA. Kerajaan PN juga telah berjaya mengumpul dana melalui penerbitan
      sukuk bernilai RM9.9 bilion untuk memulihkan FELDA. Apa yang kita telah lakukan untuk Felda ini menunjuk ilitizam politik kuat Kerajaan PN untuk memastikan kesejahteraan warga FELDA terbela. Warga Felda juga telah menikmati perumahan Generasi Baharu FELDA yang telah terbengkalai pada tahap 70 peratus. Dalam menggerak ke hadapan, jika kembali mentadbir, Kerajaan Perikatan Nasional akan terus memperkasakan warga FELDA melalui Wawasan FELDA Baru bagi menjamin masa depan yang lebih baik dengan mewujudkan peluang ekonomi baharu, meningkatkan peluang keusahawanan, meningkatkan infrastruktur asas termasuk liputan internet dan rumah milik.

    Saudara saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian,

    1. Ini hanya sebahagian daripada tawaran PN Best yang saya rasa anda sudah tahu dan baca. Seperti yang saya umumkan ketika melancarkan
      Tawaran PN Best ini, saya mendengar rintihan dan komen rakan rakan di media sosial dan di lapangan yang meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran bersasar KWSP. Jika ditakdirkan membentuk kerajaan, kita akan melaksanakan sebaik mungkin permintaan ini. Saya faham ini duit saudara-saudari untuk simpanan masa hadapan, namun saya juga sedar keadaan ekonomi sekarang di mana golongan rentan semakin meningkat bermakna mereka memerlukan lebih banyak sokongan. Kerajaan Perikatan Nasional akan terus membantu rakyat terkesan melalui penyelenggaraan semula sistem e-kasih dan memperkuatkan sistem jaringan keselamatan sosial negara, tetapi apakah guna kuasa yang ada jika kita tidak boleh bantu mempertimbangkan tuntutan rakyat yang susah dengan penuh bertanggungjawab? Kita perlu dengar denyut nadi rakyat tetapi pada yang sama terus bertanggungjawab dengan langkah yang teratur dan di luar kotak untuk memastikan kelangsungan hidup mereka tidak terjejas. Jika ditakdirkan menang juga, Kerajaan PN akan memperjuangkan moratorium pinjaman buat peniaga kecil supaya mereka tidak gulung tikar.
    2. Langkah-langkah menyelamatkan ekonomi kita tidak terhenti di sini. Kita perlu membawa ekonomi Malaysia ke satu tahap yang lebih maju dan makmur. Untuk itu, strategi ekonomi Malaysia di bawah Perikatan Nasional akan menumpukan kepada mencipta peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal dan meningkat. It is not just about JOBS, JOBS, JOBS but Jobs with decent and growing wages. Untuk itu kita memerlukan pelaburan dan pengaplikasian teknologi untuk menambah nilai industri kita supaya kita berada di dalam rantaian bekalan global yang lebih lumayan dan mampu membayar gaji yang tinggi. Aplikasi digital juga harus digunapakai supaya produktiviti tenaga kerja Malaysia mampu ditingkatkan dan ini menjamin gaji juga meningkat.
    3. Dengan Kerajaan yang bersih dan stabil, pelabur domestik dan antarabangsa akan terus melabur di Malaysia terutamanya di dalam
      sektor sektor strategik yang akan dikenal pasti dan dimajukan seperti pertanian, di mana pelaburan yang mengutamakan aplikasi teknologi
      tinggi akan diberi keutamaan. Ini bukan sahaja akan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan tetapi juga memastikan keselamatan makanan dan kedaulatan makanan kita terpelihara. Dengan strategi ini bukan sahaja rakyat Malaysia mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan petani, nelayan kita terus berkembang pendapatannya, tetapi kita juga akan mengawal kos tinggi harga barang dan sekaligus mengurangkan kebergantungan import barang makanan yang terdedah dengan turun naik kadar matawang dollar Amerika misalnya.

    Saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya hormati sekalian,

    1. Saya sudah menyentuh sedikit sebanyak visi ekonomi Kerajaan Perikatan Nasional dan apa yang akan kita lakukan jika diberi mandat oleh
      rakyat. Namun ingin saya tekankan, Kerajaan Perikatan Nasional akan memastikan pentadbiran dan dasar-dasar kami bersifat inklusif. Malaysia adalah milik rakyatnya yang berbilangan kaum dan agama, dan bukan milik mana mana pemimpin atau parti politik yang berkuasa.
    2. Walaupun banyak tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada Perikatan Nasional ketika berkempen oleh musuh-musuh politik kami, dan
      beberapa pernyataan disalah erti dalam kehangatan berkempen, saya ingin menegaskan sekali lagi komitmen kami menjunjung tinggi
      Perlembagaan Negara dan berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara sebagai panduan dalam memastikan hak semua yang tidak mengira bangsa dan agama terus terpelihara. Ketika pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya, dasar-dasar kerajaan pada ketika itu tidak mengira kaum dan agama. Lihat sahajalah program vaksinasi, bantuan tunai dan subsidi upah yang diberikan kerajaan. Adil untuk semua berdasarkan keperluan dan tidak bersandarkan warna kulit mahupun negeri. Lihat sahaja dalam isu royalti minyak, kita berlaku adil kepada semua. On this matter, I believe action speaks louder than words. Kerajaan Perikatan Nasional akan terus bersifat inklusif, membantu rakyat yang memerlukan, di mana sahaja mereka berada, bukan sahaja di Semenanjung Malaysia tetapi juga mereka di Sabah dan Sarawak.

    Saudara saudari rakyat Malaysia yang saya hormati sekalian,

    1. Berbaki berapa jam sahaja tempoh kempen PRU-15, saya ingin merakamkan penghargaan dan setinggi tinggi terima kasih kepada semua
      penjawat awam yang membantu dalam mengendalikan pilihanraya kali ini. Terima kasih kepada petugas SPR, kepada petugas keselamatan dan kepada sukaralewan yang bertugas sepanjang tempoh ini.
    2. Ingat, pilihan di tangan anda. Keluar mengundi awal ajak rakan-rakan, abang, kakak, ibu dan ayah, jiran tetangga untuk keluar mengundi awal. Semak pusat mengundi anda dan jangan lupa bawa kad pengenalan. Kuasa ada di tangan anda. Buatlah pilihan yang terbaik.
    3. Jangan termakan janji janji yang ditabur saudagar mimpi dan mereka yang tidak mementingkan integriti. Kembalikan Malaysia kepada satu
      sistem masyarakat yang menjunjung tinggi nilai nilai murni. Mari kita mulakan proses pembersihan negara daripada gejala rasuah. Let us stand up and say, enough is enough.
    4. Rakyat kini punya pilihan yang lebih baik. Pilihan itu adalah Perikatan Nasional. Yakin dan percaya bahawa kita boleh mebtadbir dan membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi, yang lebih cemerlang, yang lebih maju, aman dan makmur. Semua ini bermula dengan undi daripada anda semua.

    29 Bismillahirahmanirrahim,

    Alhamdulillahi rabbil alamin hamdan yuwafi ni’amahu wa yukafi’u mazidah,
    Ya rabbana lakal hamdu kama yambaghi lijalali wajhika wa ‘azimi sultonik,
    Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim
    Kami bermunajat kepada-Mu Ya Allah
    Kami bermohon kepada-Mu agar Engkau satukan lah hati-hati kami,
    Lindungilah kami dan rahmatilah perjuangan kami.
    Berikanlah kekuatan kepada kami,
    Hamba-hamba-Mu yang lemah ini,
    Untuk berjuang menegakkan kebenaran,
    Menentang kemungkaran, rasuah dan penyelewengan,
    dan Menghadapi segala dugaan,
    Dengan hati yang sabar dan jiwa yang tenang,
    Mudah-mudahan dengan tekad kami mencegah kemungkaran,
    Dan menyeru ke arah kebaikan,
    Engkau kurniakan kepada kami kekuatan iman.
    Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
    Engkau rahmatilah seluruh rakyat Malaysia,
    Engkau lindungilah negara kami dan kedaulatannya,
    Engkau kurniakanlah segala kebaikan kepada kami semua,
    Engkau jauhilah kami dari segala mara bahaya dan fitnah dunia.
    Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
    Kami telah berusaha sehabis daya,
    Untuk menyelamatkan negara tercinta,
    Daripada cengkaman golongan kleptokrat yang hubbu al-dunia,
    Dan kezaliman golongan yang mengabaikan agama.
    Namun kami ini hanya insan-insan yang kerdil ya Allah,
    Yang bergantung harap kepada ihsan dan inayah-Mu ya Allah.
    Engkau lah yang Maha Kuasa,
    Yang memberikan kuasa kepada orang yang Engkau kehendaki,
    Yang menarik kekuasaan daripada orang yang Engkau kehendaki.
    Maka dengan kekuasaan-Mu yang Maha Esa ini ya Allah,
    Engkau berikanlah kemenangan kepada Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15,
    Semoga dengan kemenangan ini kami dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil,
    Supaya negara Malaysia yang tercinta ini terus terpelihara,
    Supaya rakyatnya hidup aman, makmur dan sejahtera,
    Terus maju dan terus berjaya.
    Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
    Kabulkanlah doa permintaan ikhlas dari hati-hati kami yang sentiasa berserah kepada-Mu ya Allah,
    Rayuan ikhlas hamba-hamba-Mu yang lemah ini,
    Yang bernaung hanya pada rahmat-Mu,
    Ya Rahman, Ya Aziz, Ya Rahim.
    Rabbana atina fiddunia hasanah,
    Wa fil akhirati hasanah,
    Wa qina azabannar.
    Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.

    1. Do what is right. Undilah Perikatan Nasional. Pilihan tepat yang prihatin, bersih dan stabil. Selamat mengundi dan semoga kemenangan
      milik kita bersama, rakyat Malaysia, insyaAllah. May the sum of all our efforts contribute to this meaningful victory for Malaysia. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, Wassalamualikum wbt, terima kasih rakyat Malaysia!
  • Calon wanita PN tidak gentar saingan 6 penjuru di Setiawangsa

    Calon wanita PN tidak gentar saingan 6 penjuru di Setiawangsa

    MESKIPUN namanya baru saja mula dikenali di arena politik negara, peguam dan aktivis muda yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Nurul Fadzilah Kamaluddin tidak gentar untuk berdepan dengan antara nama besar yang diketengahkan parti politik lain di Parlimen Setiawangsa.

    Fadzilah adalah antara calon muda yang memiliki kerjaya profesional diketengahkan PN untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus menunjukkan komitmen gabungan politik tersebut untuk membawa suara anak muda ke arena politik negara.

    Parlimen Setiawangsa menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk penyandang daripada Pakatan Harapan (PH), Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Pada PRU14 Nik Nazmi memperoleh majoriti 14,372 undi menewaskan calon daripada Barisan Nasional (BN) dan Pas.

    Menurut Fadzilah yang juga ketua Srikandi Muda Bersatu, politik dilihat sebagai platform terbaik untuk membantu orang ramai dan dia sebenarnya sudah lama aktif dalam bidang itu meskipun sebagai seorang peguam, cuma namanya tidak begitu menonjol.

    “Saya semakin aktif pada 2020 apabila kerap berinteraksi dengan orang awam untuk menghulurkan pelbagai bantuan ekoran penularan pandemik Covid-19,” katanya.

    Dipersoal mengenai keyakinannya berdepan dengan individu seperti Nik Nazmi, Fadzilah masih optimis terhadap peluangnya namun enggan terlalu yakin dan percaya setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing.

    “Kami tidak ada strategi khusus, tetapi antara sasaran utama ialah menarik undi golongan muda.

    “Justeru, selain daripada turun padang, kami juga aktif menggunakan media sosial untuk berkempen dan terus merapatkan hubungan dengan golongan muda,” katanya.

    Fazilah yang berpengalaman sebagai peguam selama 8 tahun, berkata, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat Setiawangsa, beliau akan usahakan 10 inisiatif berdasarkan maklum balas yang diterima daripada penduduk kawasan tersebut.

    Beliau berkata, antaranya ialah memastikan dirinya atau wakil bagi pihaknya akan hadir setiap jemputan rasmi dan tidak rasmi supaya dapat lebih dekat dengan rakyat dan mendengar suara mereka secara lebih efektif.

    “Saya juga ada dapat aduan berhubung isu penjaja yang mana ramai meluahkan pelbagai aduan sudah dibuat tetapi tidak ada sebarang tindakan,” tambahnya, lapor MalaysiaNow.