Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRU-15: Kenyataan Muhyiddin dimanipulasi tak jejas gabungan PN

    PRU-15: Kenyataan Muhyiddin dimanipulasi tak jejas gabungan PN

    KENYATAAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai Yahudi dan Kristian yang tular, didakwa tidak akan menjejaskan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini memandangkan rakyat sudah matang dan sedar bahawa ucapan Muhyiddin dimanipulasi oleh pihak tertentu.

    “Muhyiddin juga mengeluarkan kenyataan bertulis bahawa kenyataannya diambil di luar konteks. Saya percaya rakyat tidak akan mudah terpedaya dengan perkara itu.

    “Kepemimpinan Muhyiddin membuktikan bahawa kita sentiasa fokus untuk memastikan keharmonian rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Parlimen Gombak di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, Klang, lapor Berita Harian.

    Semalam, Muhyiddin menjelaskan kenyataannya dalam sebuah ceramah di Johor yang tular dalam media sosial, sengaja disunting dan diambil di luar konteks sebenar.

    Dalam rakaman sebuah ceramah di Johor pada Jumaat lalu, Muhyiddin dikatakan mendakwa kumpulan Yahudi mahukan Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU-15, selain mengatakan PH bekerjasama dengan Yahudi serta orang Kristian untuk ‘menjajah’ negara.

    Katanya, video berdurasi satu minit 35 saat yang disebarkan melalui TikTok itu sengaja diedarkan pihak lawan untuk mencemarkan imej beliau, selain bertujuan mewujudkan naratif palsu.

    Terdahulu, Azmin yang ditemani isterinya, Datin Seri Shamshidar Taharin tiba di sekolah itu pada pukul 8.35 pagi. 

    Azmin berdepan saingan lima penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omardi, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (PH), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (PEJUANG) dan Zulkifli Ahmad (Bebas).

    Kerusi Parlimen Gombak menjadi antara tumpuan kerusi panas dalam saingan PRU-15, dengan PH menjadikan kerusi itu sebagai medan menebus maruahnya.

    Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, antara DUN di bawah Parlimen Gombak menjadi taruhan besar PH untuk merampas kembali kerusi itu.

  • PRU15:Dua pengundi termasuk warga emas maut sebelum, selepas mengundi

    PRU15:Dua pengundi termasuk warga emas maut sebelum, selepas mengundi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SUASANA mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lancar Johor pagi tadi dikejutkan dengan insiden dua pengundi wanita meninggal dunia semasa berada di tempat pembuangan undi di Johor Bahru dan Kluang hari ini.

    Kejadian berkenaan berlaku di dua tempat pembuangan undi bersaingan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Johor Bahru dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lit Terk, Kluang.

    Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Juhara Syed Mohamad yang berusia 57 tahun maut selepas mengundi di Saluran 1 di SMK Sultan Ismail pada pukul 9.30 pagi.

    “Dia yang mengundi untuk Parlimen Pulai mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia secara mengejut.

    Petugas SPR dan orang ramai membantu seorang pengundi wanita yang mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia selepas mengundi di SMK Sultan Ismail, Johor Bahru, hari ini

    “Wanita itu hadir ke saluran mengundi itu dalam keadaan tidak sihat hasil pemerhatian petugas saluran, tapi ingin meneruskan pengundian,” menurut kenyataan itu hari ini.

    SPR Johor memaklumkan, pengundi kedua yang maut merupakan warga emas, Tuminah Ambiah, 85, yang sepatutnya mengundi di Saluran 1 di SJKC Lit Terk meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi.

    “Pengudi berkenaan belum sempat mengundi. Kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) berada di tempat kejadian dan mengesahkannya telah meninggal dunia selepas ambulan tiba di tempat kejadian,” jelas SPR lagi.

    Tuminah kata SPR Johor, sepatutnya mengundi untuk Parlimen Sembrong di SJKC berkenaan.

  • PRU15: Takiyuddin sasar lebih 80 peratus keluar mengundi

    PRU15: Takiyuddin sasar lebih 80 peratus keluar mengundi

    CALON Pas Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyasarkan lebih 80 peratus pengundi di Kota Bharu akan keluar mengundi.

    “Sasaran ini berdasarkan cuaca yang baik, kepulangan perantauan dengan jumlah yang tinggi, dan mood pengundi yang baik bagi proses pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

    “Melihat kepada cuaca yang baik walaupun hujan renyai-renyai, peratusan keluar mengundi hari ini dilihat sangat baik,” katanya ketika ditemui melawat kawasan di pusat pembuangan undi Sekolah Menengah Pintu Geng, Kota Bharu, hari ini.

    Takiyuddin juga yakin pilihan raya kali ini memperlihatkan ‘mood’ rakyat sangat baik kerana ramai yang pulang ke kampung untuk mengundi.

    “Berdasarkan situasi ini, saya percaya pengundian rakyat dalam PRU15 berjalan lancar,” katanya, lapor Astro Awani.

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu ditemani isterinya untuk membuang undi di Maktab Sultan Ismail (SIC), sekitar jam 8 pagi tadi.

    Untuk rekod, Parlimen Kota Bharu menyaksikan persaingan sengit apabila enam parti politik bersaing merebut kerusi tersebut.

    Lima calon mencabar Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas dalam usahanya mempertahankan kerusi terbabit.

    Antara calon bertanding, Naib Ketua UMNO Kota Bharu, Datuk Rosmadi Ismail; Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Dr. Hafidzah Mustakim; Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar (Putra), Tan Boon Kian @ Andy Tan (PRM) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

  • SPR tetapkan 7 Disember hari mengundi DUN Tioman

    SPR tetapkan 7 Disember hari mengundi DUN Tioman

    TARIKH pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi DUN Tioman ditetapkan pada 7 Disember ini susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli pagi ini.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 13 hari, selepas hari penamaan pada 23 November.

    Katanya, hari mengundi awal pula ditetapkan pada 3 Disember.

    “Calon-calon yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.

    “Bakal calon baharu yang ingin bertanding…hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    SPR memaklumkan daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRU DUN Tioman adalah yang terkini sehingga daftar pemilihan tambahan Ogos 2022 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober.

    Proses pengundian PRU15 di DUN Tioman ditunda susulan kematian calon Perikatan Nasional Md Yunus Ramli.

    Yunus, 61, meninggal dunia di Hospital Kuala Rompin, Pahang pada 3.30 pagi tadi, dipercayai akibat komplikasi jantung.

    Beliau dijadualkan bersaing dengan empat calon lain, iaitu bekas penyandang Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan), Osman A Bakar (Pejuang), dan calon bebas, Sulaiman Bakar.

  • Perbualan WhatsApp minta ahli Pas undi calon BN palsu

    Perbualan WhatsApp minta ahli Pas undi calon BN palsu

    SATU tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp kononnya meminta ahli Pas menyokong calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah palsu.

    Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu hantaran di akaun Facebook rasmi beliau pada Sabtu.

    “Tangkap layar tersebut adalah palsu,” tulisnya ringkas di ruangan kapsyen.

    Tangkap layar palsu itu memaparkan di dalam kumpulan yang dinamakan ‘PN Johor 2022’ yang melibatkan seorang individu kononnya calon Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon mempersoal keputusan majlis tertinggi gabungan itu bersetuju agar ahli Pas untuk mengundi calon BN.

    Mesej berkenaan disusuli dengan individu yang dinamakan ‘TSMY’ yang dipercayai merujuk kepada Muhyiddin kononnya membalas persoalan itu dengan alasan gabungan itu memerlukan sokongan untuk menjadi sebahagian pembetukan Kerajaan Persekutuan selepas PRU-15.–SB

  • PRU-15: Dilarang rai kemenangan di jalan awam – Polis Terengganu

    PRU-15: Dilarang rai kemenangan di jalan awam – Polis Terengganu

    SEMUA penyokong parti diingatkan agar tidak terbabit dalam sebarang perarakan bagi meraikan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama di jalan awam.

    Ketua Urusetia Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Polis Terengganu, Superintendan Mohd Aluwi Husain, berkata sebarang aktiviti seumpama itu tidak dibenarkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

    Beliau berkata, pasukan polis bersiap sedia mengawal keadaan dan orang ramai digesa mematuhi segala peraturan dan undang-undang ditetapkan.

    “Polis Kontinjen Terengganu berharap proses PRU15 yang kini berjalan dengan aman dapat dikekalkan sehingga keputusan diketahui.

    “Justeru, kerjasama semua pihak amat diperlukan sehingga kerajaan dibentuk. Jangan timbulkan provokasi atau kekacauan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

  • ‘Apapun keputusan PRU-15, terima dengan tenang’

    ‘Apapun keputusan PRU-15, terima dengan tenang’

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru semua pengundi menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara berlapang dada dan tenang.

    Menurut beliau, rakyat perlu bersikap matang dan tidak mencetuskan sebarang provokasi atau kekecohan selepas pengumuman keputusan yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini.

    “Kita manfaatkan amalan demokrasi dengan cara yang beradab dan bersopan. Alhamdulillah saya dapati setakat ini (sepanjang kempen) tidak berlaku perkara yang tidak diingini di seluruh negara.

    “Ini satu keadaan yang baik, yang tenang. Kita harap suasana yang tenang dan aman ini berterusan walau apapun keputusan pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, Marang, hari ini.

    Ditanya sambutan terhadap Perikatan Nasional (PN) setakat ini, calon Parlimen Marang itu berkata ia menunjukkan perkembangan positif.

    “Kita nampak (sambutan terhadap PN) menunjukkan perkembangan positif di seluruh semenanjung, dari Perlis sampai ke Johor. Ia amat menggalakkan khususnya dengan kehadiran anak-anak muda (yang keluar mengundi) dan ini merupakan satu petanda yang baik.

    “Dengan keadaan cuaca yang baik kita harap peratusan keluar mengundi itu tinggi dan kesedaran juga tinggi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Abdul Hadi turut mengakui mampu kekalkan kemenangan di Marang berdasarkan peningkatan undi diterima setiap kali pilihan raya.

    Beliau turut menyeru kepada pengundi supaya keluar menunaikan kewajipan itu.

    “Saya menyeru kepada pengundi Islam, pengundi muda untuk keluar mengundi. Kita manfaatkan amalan demokrasi kerana kita tak boleh ketinggalan dalam masalah (perkara) ini.

    “Dan sebagai orang bukan Islam juga tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih pemimpin masing-masing,” ujar beliau.

  • PN tentukan calon DUN Tioman selepas PRU-15

    PN tentukan calon DUN Tioman selepas PRU-15

    CALON baharu Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman akan ditentukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ini bagi menggantikan calon gabungan itu, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia pagi ini.

    Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, berita kematian ini sudah memaklumkan kepada pucuk pimpinan tertinggi PN di pusat.

    “PN akan meletakkan calon lain sebagai ganti. Oleh kerana kerusi terbabit adalah milik Pas, maka Pas akan memilih calon daripada parti mereka.

    “Pemilihan itu akan dibuat secepat mungkin, namun bukan hari ini kerana semua pihak masing-masing sibuk dengan proses pengundian,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Talam hari ini lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu, Saifuddin membuang undi di sekolah terbabit pada pukul 9.25 pagi.

    Pada pagi Sabtu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek menangguh proses pengundian bagi kerusi DUN Tioman selepas Md Yunus meninggal dunia.

    Penangguhan ini hanya melibatkan kerusi DUN berkenaan manakala pemilihan bagi kawasan Parlimen Rompin akan dilakukan seperti biasa.

    Dalam pada itu Saifuddin turut menzahirkan rasa sedih di atas kehilangan calon tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

  • Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga calon PN Tioman

    Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga calon PN Tioman

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia awal pagi ini.

    Beliau yang juga calon PN Parlimen Pagoh berharap keluarga Allahyarham terus tabah dan cekal dalam menghadapi dugaan itu.

    “Ia berita yang amat menyedihkan.

    “Saya mengucapkan takziah kepada keluarga (Md Yunus),” katanya kepada pemberita selepas mengundi bagi kawasan Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar di sini hari ini.

    Muhyiddin turut ditemani isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

    Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin, Pahang pada 3.30 pagi ini, selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya dipercayai akibat serangan jantung.

    Dalam pada itu, Muhyiddin menasihatkan semua pengundi untuk keluar awal mengundi kerana bimbang banjir akan berlaku jika hujan lebat berterusan.

    Bagaimanapun, beliau melihat cuaca hujan hari ini di Muar tidak menjadi penghalang pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

    “Jadi keluar mengundi seawal mungkin adalah lebih baik,” katanya, kata lapor Sinar Harian.

  • PN bergabung dengan gabungan politik lain bentuk kerajaan bergantung keputusan PRU15-Azmin

    PN bergabung dengan gabungan politik lain bentuk kerajaan bergantung keputusan PRU15-Azmin

    PENGARAH Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perbincangan untuk PN bergabung dengan mana-mana parti politik bagi membentuk kerajaan masih belum dibuat setakat ini.

    “Fokus utama ketika ini adalah untuk mendapatkan seberapa banyak kerusi untuk membentuk kerajaan.

    “Sebab itu kita bertanding 171 kerusi atas tiket PN, dengan harapan kita mendapat sokongan yang wajar, sekurang-kurangnya 112 kerusi.

    “Jadi, tidak timbul soal nak membentuk kerajaan dengan gabungan lain,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Terdahulu, Azmin hadir bersama isteri Datin Seri Shamshida Taharin di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, Gombak, untuk membuang undi pada pukul 8.30 pagi.

    Ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu rela menjadi pembangkang daripada bergabung dengan Barisan Nasional (BN).

    Mohamed Azmin berkata, perkara itu bergantung kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.

    “Itu terpulang kepada keputusan hari ini dan kita akan bincang apakah langkah seterusnya, sekarang kita nak fokus mendapatkan kerusi yang secukupnya,” ujarnya.

    Abdul Hadi sebelum ini berkata, Pas tidak sekali-kali akan bergabung dengan BN yang dianggap masih `keruh’, selain masih mengekalkan pemimpin yang mempunyai kes mahkamah.