Author: Wartawan WartaRakyat

  • (TIDAK RASMI) PRU 15: Peja dahului kerusi panas Tambun

    (TIDAK RASMI) PRU 15: Peja dahului kerusi panas Tambun

    CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendahului dengan 984 undi di kerusi Parlimen Tambun diikuti Datuk Aminuddin Md. Hanafiah (BN) 353 undi, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH) 118 undi dan Abdul Rahim Tahir (GTA) dengan tujuh undi.

  • PRU15: Petugas SPR meninggal dunia di pusat mengundi

    PRU15: Petugas SPR meninggal dunia di pusat mengundi

    SEORANG petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meninggal dunia dalam kejadian di pusat mengundi Sekolah ACS Methodist Jalan Raya Barat di Klang, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan itu dipercayai tidak sedarkan diri atas sebuah kereta buggy semasa bertugas di lokasi pusat mengundi tersebut.

    Menurutnya, polis menerima makluman berkaitan kejadian pukul 12.15 tengah hari berkaitan mangsa berumur 45 tahun itu.

    “Mangsa didapati tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menggunakan ambulans.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah meninggal dunia.

    “Siasatan awal daripada keterangan isteri mangsa menyatakan bahawa mangsa sebelum ini pernah menerima rawatan sebagai pesakit jantung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik, HTAR untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

    “Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Polis nafi berlaku gangguan elektrik di pusat undi SJKC Kepong

    Polis nafi berlaku gangguan elektrik di pusat undi SJKC Kepong

    POLIS menafikan berlaku gangguan bekalan elektrik di pusat mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Kepong, Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata sebaliknya, hanya set generator di pusat mengundi berkenaan yang mengalami kerosakan akibat gangguan bekalan elektrik.

    “Kami mendapati set generator yang digunakan rosak pagi ini tetapi keadaan itu berjaya dibaik pulih,” katanya.

    Beliau berkata tiada sebarang provokasi berlaku semasa kejadian.

    Sementara itu, TNB Careline menerusi kenyataan dalam Facebook memaklumkan siasatan mendapati punca kejadian itu disebabkan masalah pendawaian dan gangguan sistem bekalan melalui jana kuasa mudah alih di pihak pengguna.

    “TNB akan terus memantau bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil sepanjang proses pengundian ini selesai,” menurut kenyataan itu.

    Terdahulu, terdapat dakwaan mengenai kejadian power trip hampir satu jam di pusat pengundian itu dan pengundi terpaksa mengundi dalam gelap.

  • Suami isteri maut kemalangan selepas mengundi

    Suami isteri maut kemalangan selepas mengundi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEPASANG suami isteri maut selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan selepas pasangan itu selesai mengundi, dalam kejadian di Kilometer 46 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, pukul 12.08 tengah hari tadi.

    Kemalangan berkenaan melibatkan kereta Perodua Alza dinaiki tiga beranak itu dan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, siasatan mendapati Perodua Alza dalam perjalanan untuk ke Skudai, Johor Bahru setelah selesai mengundi di Lok Heng dekat Kota Tinggi.

    “Perodua Alza tersebut yang menghala ke Johor Bahru terbabas semasa melalui selekoh dan berpusing di laluannya sebelum masuk ke laluan bertentangan menghala ke Mersing.

    “Perodua Alza itu kemudian bertembung Toyota Hilux tersebut dalam keadaan jalan basah akibat hujan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Alza iaitu lelaki berusia 37 tahun dan isterinya, 31, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya patah kaki kanan.

    Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 46 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, hari ini

    Sementara lelaki memandu Toyota Hilux berkenaan yang berusia 60 tahun katanya, tidak mengalami kecederaan.

    Jelasnya, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Alza yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik.

    Menurut Hussin, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Normak berkata, seramai lapan anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Mohd Rafi berkata, pasangan suami isteri terbabit tersepit di tempat duduk masing-masing manakala anaknya tidak tersepit.

    “Kanak-kanak perempuan tersebut dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum bomba tiba. Bomba mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dengan peralatan khas.

    “Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Beliau menambah, operasi menyelamat mangsa tersebut tamat pada pukul 1.09 petang.

  • PRU-15: SPR gantung pengundian 11 saluran di Parlimen Baram

    PRU-15: SPR gantung pengundian 11 saluran di Parlimen Baram

    Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menggantung pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di 11 Pusat Mengundi di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.220 Baram.

    Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ini kerana keadaan cuaca yang tidak baik serta menyebabkan petugas tidak sampai ke tempat bertugas sama ada melalui udara, darat dan air.

    Menurutnya, senarai pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) terlibat ialah: Sekolah Kebangsaan (SK) Long Naah (saluran 1 dan 2); SK Long Luteng (saluran 2); RH TK Matthew Belulok Lalo Kpg Lepo Gah (saluran 1 dan 2) dam Sekolah Kebangsaan Long Sait (saluran 2).

    Selain itu katanya, penangguhan juga melibatkan SK Long Tungan (saluran 1 dan 2); SK Long Moh (saluran 1 dan 2); SK Long Mekabar (saluran 1); SK LOng Jekitan (saluran 1 dan 2); SK Long Lamei (saluran 2); SK Lio Mato (saluran 1 dan 2) dan SK Long Banga (saluran 1 dan 2).

    Beliau berkata, tarikh baharu pengundian bagi pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) akan dimaklumkan kelak.

    Tambah beliau, ini setelah keadaan selamat untuk petugas dan pengundi sampai ke pusat mengundi bagi menjalankan pengundian.

    Pada PRU-15, kerusi Parlimen Baram menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Anyi Ngau (GPS); Roland Engan (PH) dan Wilfred Entika (Bebas).

  • Bangga menjadi rakyat Malaysia, Sergio Aguero teruja mengundi kali pertama

    Bangga menjadi rakyat Malaysia, Sergio Aguero teruja mengundi kali pertama

    PEMAIN naturalisasi, Sergio Aguero teruja dapat menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia apabila mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Menurut laporan BH Online, pemain bola sepak Sri Pahang FC itu mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Semambu, Kuantan, Pahang.

    “Saya berbangga kerana menjadi warganegara Malaysia dan menunaikan tanggungjawab mengundi buat kali pertama. Harapan saya semoga Malaysia akan membentuk kerajaan yang stabil,” kata pemain berumur 28 tahun itu.

    Aguero yang menyarung jersi Sri Pahang mengundi untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu dan Parlimen Indera Mahkota.

    Pada 16 September lalu, dia mengesahkan memiliki status warganegara Malaysia dan berbangga menjadi rakyat negara ini.

    Penyerang itu berterima kasih kepada pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan pengurusan kelab itu kerana menyokongnya sepanjang proses mendapatkan status warganegara.

    “Kuantan adalah tempat yang istimewa untuk saya dan keluarga. Saya jatuh hati dengan makanan, masyarakat yang sangat baik dan paling penting saya menemui ketenangan di sini bersama keluarga,” ujar beliau.

  • PRU-15: MySPR Semak ‘laku keras’, capai hits lepasi 2.5j persaat

    PRU-15: MySPR Semak ‘laku keras’, capai hits lepasi 2.5j persaat

    APLIKASI dan portal MySPR Semak mendapat hits yang terlampau tinggi sehingga melepasi 2.5 juta persaat, dedah Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

    Ini sekali gus menyebabkan berlakunya kesesakan dan gangguan pada capaian aplikasi dan portal berkenaan.

    Menurut SPR, telah memaksimakan penggunaan server yang ada bagi mengatasi masalah ini.

    “MySPR Semak mendapat hits yang terlampau tinggi sehing-ga melepasi 2.5 juta persaat. Ini sekaligus menyebabkan berlakunya kesesakan dan gangguan pada capaian aplikasi dan portal MySPR Semak.

    “Pihak SPR telah memaksimakan penggunaan server yang ada bagi mengatasi masalah ini,” kata SPR menerusi makluman di Facebook.

    Mengulas lanjut, SPR berkata, sebagai alternatif para pengundi boleh mendapatkan maklumat pengundian sama ada dengan menelefon talian hotline SPR.

    Ia boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8892 7218 atau menyemak dibarung SPR di semua pusat mengundi.

  • PRU-15: OKU guna van jenazah ke pusat pengundian

    PRU-15: OKU guna van jenazah ke pusat pengundian

    FAKTOR Orang Kelainan Upaya (OKU) bukannya penghalang bagi Nor Adnisa Muhammad Nasir, 24 untuk menunaikan tanggungjawab keluar mengundi.

    Berbekalkan semangat satu undi boleh membawa perubahan, beliau diiringi ibunya, Syuhaida Saad membuang undi di Pusat Pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad, Tambun Tulang, Perlis pagi tadi.

    Nor Adnisa merupakan pengundi kali pertama yang menginap penyakit Dystonia Cerebral Palsy pertama di Malaysia.

    Dia dibawa ke pusat mengundi menaiki Van Jenazah Wakaf Perlis (VJWP).

    Adnisa yang terlantar dan tidak berupaya untuk bangun diberi pengecualian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat pengundian dari dalam kenderaan dengan ditemani ibunya.

    “SPR beritahu ini adalah kes terpencil. Walaupun ambil masa sikit untuk siapkan anak istimewa ini, tetapi alhamdulillah sebagai ibu saya merasa puas dapat membawanya melaksanakan tanggungjawab mengundi.

    “Dia faham bila kita beritahu 19 November kita akan mengundi, pilih kerajaan dan dia pun memang teruja bila diberitahu layak mengundi,” kata ibunya semasa ditemui di pusat pengundian, lapor Harakahdaily.

    Kedua-dua beranak itu selesai mengundi pada pukul 11.30 pagi.

    Sementara itu, aktivis masyarakat Hanizan Hadrus berkata, ibu Adnisa menghubunginya untuk menggunakan khidmat VJMP bagi membawa anaknya ke tempat pengundian dari rumah mereka di Taman Cempaka Putih.

    “Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan. Selepas ini saya akan mengambil seorang lagi pesakit kronik di Guar Jentik untuk membawanya ke pusat pengundian,” katanya.

  • PRU15: Wan Saiful kesal tindakan provokasi pihak lawan

    PRU15: Wan Saiful kesal tindakan provokasi pihak lawan

    CALON Perikatan Nasional (PN) Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan kesal dengan tindakan pihak lawan yang menggantung beberapa kain rentang serta menyebarkan risalah bersifat provokasi pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Kain rentang itu dipasang di beberapa lokasi tumpuan awam termasuk berhampiran pusat pengundian di sekitar Tasek Gelugor sejak pagi Jumaat,” ujar Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

    Beliau berkata, pihaknya juga mendapati terdapat risalah sama turut disebarkan melalui masjid-masjid di kawasan ini selepas solat Jumaat.

    “Bagi saya dalam PRU kali ini biarlah kita bertanding dan bersaing secara sihat bukannya masih dengan elemen provokasi, fitnah dan perkara yang bukan-bukan…ini adalah taktik lama.

    Risalah provokasi dan kain rentang yang dikesan sekitar Tasek Gelugor.

    “Kita tahu siapa dalang di sebalik perbuatan terdesak ini dan matlamat mereka hanya untuk memecahbelahkan hubungan antara Bersatu dan Pas serta mempengaruhi pengundi pada hari ini,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan PN Tasek Gelugor di Tasek Gelugor, hari ini.

    Pihaknya akan membuat laporan berhubung provokasi itu dan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

    “Saya berharap masyarakat khususnya di Tasek Gelugor dapat menilai serta menentukan nasib mereka yang menyebarkan fitnah,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Acryl Sani nafi hubungi Anwar agar sedia bentuk kerajaan

    Acryl Sani nafi hubungi Anwar agar sedia bentuk kerajaan

    KETUA Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, menafikan dakwaan bahawa beliau menghubungi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi kononnya agar bersiap sedia untuk membentuk kerajaan.

    Ia selepas Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendakwa mampu memenangi 112 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dan ketua polis negara telah menghubungi memintanya bersedia.

    Menurut Acryl Sani berkata, dakwaan itu tidak benar.

    “Saya tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan berhubung ucapannya yang menyebut Ketua Polis Negara menghubunginya.

    “Mungkin beliau (Anwar) tersilap kata dalam keghairahan berceramah dan berkempen,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini hari ini, menurut Berita Harian.

    Sebelum itu, tular satu video ucapan Anwar ketika berkempen menyatakan ketua polis negara, memintanya bersedia yang berkemungkinan bakal membentuk kerajaan selepas PH dijangka memperoleh 112 kerusi Parlimen dalam PRU15.