DENGAN Perikatan Nasional (PN) dilihat menguasai sebilangan besar kerusi Parlimen, pemimpin tertingginya masih belum membuat sebarang pengumuman setakat ini.
Lapor Berita Harian, setakat pukul 1.32 pagi, suasana di Pusat Media Utama PN di Glenmarie Hotel & Golf Resort di Shah Alam, masih dipenuhi penyokong gabungan berkenaan yang menantikan pengumuman rasmi daripada pemimpin mereka.
Ketika ini, beberapa pemimpin tertinggi PN termasuk Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sedang berada di bilik menunggu khas.
Difahamkan, satu sidang media akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Berdasarkan paparan skrin di Pusat Media Utama gabungan itu, gabungan itu secara tidak rasmi memperoleh 55 kerusi Parlimen setakat pukul 1.11 pagi.
KEPUTUSAN tidak rasmi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang selepas 65 tahun memerintah negeri berkenaan sejak merdeka.
Perikatan Nasional (PN) bakal membentuk kerajaan baru selepas berjaya memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan di Parlimen Padang Besar dan Arau.
Sinar Harian melaporkan, gabungan itu juga berjaya memenangi tiga kerusi DUN Bintong, Sena dan Kayang manakala Pakatan Harapan (PH) menang di DUN Indera Kayangan dan Kuala Perlis.
Sehingga pukul 12.30 tengah malam ini, hanya keputusan Parlimen Kangar belum diketahui.
PENGERUSI Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.
Turut menerima nasib serupa ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang tewas mengejut kepada calon PAS-Bersatu Datuk Mohd Azizi Abu Naim dalam usaha beliau mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12
Menurut keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini, Dr Mahathir, 97, yang merupakan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh negara serta calon tertua pada PRU15, hanya memperoleh 4,566 undi berbanding 25,463 undi diterima Mohd Suhaimi yang mencatatkan majoriti 13,518 undi.
Tiga lagi calon yang tewas dalam perebutan kerusi itu ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Armishah Siraj yang memperoleh 11,945 undi, calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah Zabidi Yahya (5,417 undi) dan calon Bebas yang menggunakan lambang bunga Datuk Abd Kadir Sainudin yang hanya meraih 89 undi dan turut hilang deposit.
Pada PRU14, Dr Mahathir memenangi kerusi Parlimen Langkawi di bawah tiket PKR dengan majoriti 8,893 undi untuk menewaskan calon BN Datuk Nawawi Ahmad dan Zubir Ahmad dari Pas.
Sementara itu, Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi apabila memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh yang mewakili BN mendapat 21,663 undi.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gua Musang Ab Pattah Hasbullah.
Tengku Razaleigh, 85, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, juga merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.
Pada PRU14, Tengku Razaleigh memenangi kerusi Parlimen Gua Musang dengan majoriti 3,913 undi selepas menewaskan pencabarnya daripada PAS dan PKR.
MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Fakhrul Anwar Ismail dalan pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Azlan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, hanya memperolehi 2,996 undi, berbanding 7,325 undi yang diperoleh Fakhrul Anwar.
Fakhrul Anwar menang dengan majoriti 4,329 undi dalam saingan lima penjuru itu, lapor Berita Harian.
Calon Pakatan Harapan (PH) memperolehi undi sebanyak 2,029; Shazwan Suban (PEJUANG) 157 undi; Datuk Hashim Suboh (Bebas) 157 undi dan Mohamad Khair Mohd Noor (WARISAN) 57 undi.
BARISAN Nasional (BN) Melaka terpaksa berputih mata apabila tewas di semua enam kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Senario itu menyaksikan BN julung kalinya terlepas semua kerusi Parlimen apabila tiga kerusi di Parlimen Tangga Batu, Jasin dan Masjid Tanah berjaya ditawan Perikatan Nasional (PN) manakala tiga lagi kerusi di Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka berada dalam genggaman Pakatan Harapan (PH), lapor Astro Awani.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang membuat penampilan sulung di kerusi Parlimen Alor gajah berjaya menumbangkan calon ‘heavyweight’ BN iaitu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dengan majoriti 890 undi.
PH turut mengekalkan kemenangan di Parlimen Hang Tuah Jaya menerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim yang memperolehi majoriti 8,638 selepas menewaskan Ketua UMNO bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali daripada BN yang hanya memperoleh 30,780 undi.
Dua lagi calon lain di Parlimen itu ialah Timbalan Ketua Majlis Pimpinan Pejuang yang juga peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh daripada Gerakan Tanah Air (GTA) dan ahli perniagaan, Mohd. Azrudin Md. Idris daripada PN.
Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (DAP) turut berjaya mempertahankan kerusi itu yang disandangnya dengan majoriti selesa 46,420.
PN Melaka turut membuat kejutan apabila penyandang kerusi parlimen itu di Masjid Tanah iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 4,411 undi menewaskan calon BN yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid yang hanya meraih 21,193 undi.
Turut mencuri tumpuan apabila dua wakil Pas yang bertanding atas tiket PN berjaya menawan kerusi Parlimen Tangga Batu dan Jasin menerusi Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkifli Ismail di Jasin dengan majoriti 322 dan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Bakri Jamaluddin dengan majoriti selesa 8,849 undi di Tangga Batu.
KETUA Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki kalah lagi – kali kedua – dalam cubaannya untuk menjadi Ahli Parlimen menerusi Pilihan Raya Umum (PRU).
Pada PRU-14, Asyraf kalah dengan majoriti 1,360 undi di Parlimen Pasir Puteh di mana Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh daripada Pas menang undian sebanyak 32,307.
Kali ini, pada PRU-15, beliau berpindah kawasan ke kubu kuat UMNO/Barisan Nasional (BN) di Parlimen Gerik, Perak, dengan harapan memenangi hati pengundi di situ.
Bagaimanapun, tindakan UMNO/BN meletakkan beliau di kerusi berkenaan dengan mengetepikan anak tempatan menerima padah apabila Asyraf Wajdi tumbang ditangan calon Perikatan Nasional (PN), Fathul Huzir Ayob.
Keputusan itu diumumkan secara rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi.
Fathul Huzir memperoleh 15,105 undi, menang majoriti 1,377 undi.Asyraf Wajdi memperoleh 13,728 undi manakala calon PH, Tarmizi Mohd Jam (5,779 undi), lapor Agenda Daily.
PERIKATAN Nasional (PN) berjaya merobohkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Tasek Gelugor selepas calonnya, Datuk Wan Saiful Wan Jan menang dengan majoriti besar sebanyak 12,252 undi.
Sepanjang sejarah pilihan raya umum (PRU), kerusi Parlimen Tasek Gelugor tidak pernah dimenangi mana-mana parti selain BN atau lebih tepat menerusi calon UMNO.
Menerusi keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diumumkan Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) P.042 Tasek Gelugor, Supardi Amaludin kira-kira pukul 12.15 malam ini, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu berjaya mendapat sebanyak 31,116 undi.
Beliau menewaskan empat lagi calon iaitu daripada Barisan Nasional (BN), Muhamad Yusoff Mohd. Noor yang mendapat 18,864 undi; Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH) sebanyak 16,547 undi; Mohamad Akmal Azhar (Warisan) sebanyak 179 undi dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang) sebanyak 406 undi.
Dalam pada itu, Wan Saiful mengakui tidak menyangka dapat mencapai kemenangan dengan majoriti selesa memandangkan pada PRU14, kerusi itu menyaksikan persaingan sengit dengan majoriti hanya 81 undi.
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada pengundi Tasek Gelugor yang memberi kepercayaan kepada PN yang mana ia disifatkan isyarat jelas rakyat mahukan perubahan dalam pentadbiran negara.
“Kejayaan ini juga tidak akan berlaku tanpa adanya gelombang sokongan daripada anak-anak muda yang mahukan sebuah kerajaan Pusat yang bersih dan stabil yang akan dibawa oleh kerajaan PN khususnya di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada pemberita di Tasek Gelugor, malam ini, lapor SatuBerita.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon BN (UMNO), Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti 81 undi selepas mendapat 18,547 undi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Marzuki Yahya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendapat 18,466 undi dan calon Pas, Rizal Hafiz Ruslan (14,891 undi).
Bagaimanapun, Shabudin bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada Disember 2018 sebelum membuat keputusan untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi itu kali ini dan memberi laluan kepada Wan Saiful.
DATUK Seri Shahidan Kassim yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan di kerusi Parlimen Arau pada Pilihan raya Umum ke-15 (PRU-15).
Meskipun bertanding atas tiket Perikatan nasional (PN), Shahidan dilihat selesa mendahului dua pencabar di kerusi dimenanginya sejak 2013 itu dengan majoriti 23,216 undi, lapor BH Online.
Shahidan memperoleh 31,458 undi menewaskan calon BN, Datuk Rozabil Abdul Rahman yang memperoleh 8,242 undi serta calon Pakatan Harapan (PH), Fatin Amelina Fazlie dengan 7,089 undi.
Selain Parlimen Arau, PN turut menyapu bersih lima kerusi DUN dalam kawasan itu iaitu Pauh, Tambun Tulang, Guar Sanji, Simpang Empat dan Sanglang.
Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan pernah memenangi kerusi Parlimen Arau pada 1986 dan 1990, sebelum beralih ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang antara 1995 hingga 2008.
Selepas jawatan beliau selaku Menteri Besar Perlis digantikan dengan Datuk Seri Md Isa Sabu, Shahidan kembali bertanding di Parlimen Arau sejak 2013.
CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Radzi Jidin berjaya merampas kerusi Parlimen Putrajaya apabila menang dengan majoriti 2,310 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Kemenangan itu sekali gus menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN) di kawasan itu sejak empat PRU berturut-turut.
Radzi mendapat 16,002 undi mengetepikan saingan penyandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari BN yang hanya mendapat 13,692 undi.
Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz hanya mendapat 5,988 undi diikuti calon Pejuang, Datuk Mohd Rosli Ramli (878), calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi (63) dan calon Bebas, Lim Fice Bee (20).
Ini merupakan penampilan pertama Radzi bertanding di Putrajaya atas tiket PN.
KEKUATAN jentera Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Padang Terap menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan gabungan tersebut memenangi kerusi Parlimen itu yang sebelum ini disandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut Ahli Parlimen baharu di situ, Nurul Amin Hamid daripada PN, kekuatan yang dibentuk oleh jentera berkenaan menyebabkan PN sama sekali tidak gentar untuk menggempur ke mana-mana kawasan meski pun berdepan calon lawan yang dianggap sebagai ‘heavyweight’.
Malah katanya, cabaran dihadapi itu dianggap sebagai satu motivasi kepada seluruh jentera bagi memastikan kemenangan PN di kawasan Parlimen tersebut.
“Saya bersyukur dengan kemenangan dari Allah dan ini boleh disifatkan sebagai kemenangan seluruh rakyat di Padang Terap. Alhamdulillah, sepanjang kempen kita dapat melihat gelombang PN berlaku di seluruh negara.
“Saya berterima kasih kepada semua penyokong, pengundi dan semua yang terlibat dengan kejayaan ini. Doakan saya agar dapat berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Nurul Amin Hamid
Menerusi pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Terap, Datuk Abd. Ghani @ Zulkifli Zainuddin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi parlimen tersebut di Kolej Mara Kuala Nerang kira-kira pukul 11 malam tadi, Nurul Amin disahkan sebagai pemenang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 10,959 undi.
Beliau yang sebelum ini merupakan Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memperolehi 28,217 undi manakala Mahdzir yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar sekadar mendapat 17,258 undi.
Dua lagi calon bertanding iaitu Muaz Abdullah dari Pakatan Harapan (PH) dan Razali Lebai Salleh yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) jauh ketinggalan apabila masing-masing sekadar mendapat 2,702 dan 452 undi.
Sebaik diumumkan sebagai pemenang di kawasan Parlimen tersebut, Nurul Amin terus melaksanakan sujud syukur di atas pentas.
Ditanya langkah awal yang mahu dilaksanakannya sebaik terpilih sebagai Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada golongan kurang berkemampuan di kawasan itu terlebih dulu.
“Dalam masa sama, saya akan mengusahakan tujuh tawaran yang dinyatakan akan dilaksanakan di Padang Terap semasa dalam tempoh berkempen sebelum ini,” katanya.