Author: Wartawan WartaRakyat

  • BNM syor denda RM23 juta tapi AGC kenakan RM15 juta: Zeti

    BNM syor denda RM23 juta tapi AGC kenakan RM15 juta: Zeti

    BANK Negara Malaysia (BlNM) mengesyorkan denda RM23 juta terhadap 1MDB kerana gagal mematuhi arahan bank pusat di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, kata Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

    Saksi berumur 76 tahun itu berkata, untuk mengenakan penalti, BNM memerlukan persetujuan atau kebenaran AG pada masa itu.

    “AG menolak jumlah yang disyorkan oleh kami. Kami (BNM) mengesyorkan RM23 juta, namun AG mengurangkannya kepada RM15 juta,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata demikian ketika ditanya peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu yang membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Zeti: Bagi mendenda 1MDB, kami memerlukan persetujuan atau kebenaran Peguam Negara, dan Peguam Negara menolak denda yang disyorkan oleh bank pusat.

    Shafee: Berapa jumlah (denda yang disyorkan oleh BNM)?

    Zeti: RM23 juta.

    Shafee: Ini dikurangkan kepada RM15 juta.

    Zeti: Ya, betul.

    Pada 28 April 2016, BNM dilaporkan telah mengeluarkan surat kompaun kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan, yang adalah antara tindakan terakhir oleh Zeti sebelum bersara sebagai gabenor BNM.

    Kemudian pada 17 Ogos 2018, Gabenor Bank Negara ketika itu Nor Shamsiah Mohd Yunus mendedahkan bahawa 1MDB telah didenda RM15 juta.

    Antara 27 Julai 2015 dan 4 Jun 2018, peguang negara ketika itu adalah Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

    Sebelum ini, semasa perbicaraan 1MDB di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Zeti memberi keterangan bahawa Apandi pada 2015 tidak menerima cadangan BNM untuk mendakwa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol, Azral Ibrahim Halmi serta dua lagi bekas eksekutif firma itu, Casey Tang dan Nik Faisal Ariff Kamil.

    Mohamed Apandi Ali
    Perbicaraan akan bersambung esok.

    Najib, 70, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana daripada 1MDB yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

    Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

    Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

    Sementara itu, Bernama melaporkan dalam kenyataan saksinya, Zeti memberitahu bahawa ketidakupayaan 1MDB untuk membawa balik wang itu dan memberikan bukti mengenai status dana, mengakibatkan kompaun dikenakan ke atas dana kekayaan berdaulat itu.1MDB membayar kompaun pada 25 Mei 2016.

    Muhammad Shafee: Adakah terdapat sebarang percubaan oleh Menteri Kewangan ketika itu (Najib) untuk mengetepikan denda yang dikenakan ke atas 1MDB ini?

    Zeti menjawab, “Saya tidak tahu”.

    Selain itu, Zeti juga menegaskan bahawa AmBank memberitahunya bahawa Najib akan membuka akaun dengan bank itu, tetapi berkata pengarah urusan bank berkenaan Cheah Tek Kuang tidak memberitahunya bahawa ada derma yang dijangka akan masuk.

    Zeti sekali lagi menegaskan bahawa bank pusat tidak menjalankan kajian sewajarnya ke atas akaun individu, dan itu adalah kewajipan institusi kewangan masing-masing.

    Keterangan Zeti dilihat bercanggah dengan keterangan Cheah sebelum ini sebagai saksi pendakwaan ke-39 dalam perbicaraan 1MDB yang sama, apabila katanya dia telah memberitahu Zeti mengenai ‘derma’ yang dikatakan akan tiba.

    Cheah pada 4 Oktober 2022, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia telah mengikuti arahan pengerusi AmBank dan pergi ke rumah Najib pada awal 2011 untuk membantu Najib dengan dokumen pembukaan akaun bank, dan Najib mendakwa akan ada AS$100 juta derma yang datang dari kerajaan Arab Saudi untuk beliau, khusus bagi pelaksanaan aktiviti berkaitan Islam.

  • PRK: Calon PN akur larangan tidak berkempen di masjid, dekati 400 pengundi sehari

    PRK: Calon PN akur larangan tidak berkempen di masjid, dekati 400 pengundi sehari

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LARANGAN kerajaan Johor untuk tidak berkempen di masjid atau surau sepanjang pilihan raya kecil di negeri ini perlu dipatuhi bagi mengelak perpecahan serta memelihara kesucian rumah ibadat tersebut.

    Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar berkata, larangan itu perlu dipatuhi semua pihak semasa PRK Parlimen Pulai di sini dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Muar.

    Beliau berkata, larangan tersebut tidak menjejaskan kelancaran jadual kempen PN dan sejak mula berkempen tiga hari lalu, jentera gabungan itu memastikan pemilihan lokasi yang selamat, sesuai untuk berkempen dan mematuhi peraturan ditetapkan.

    “Malah jentera PN juga memastikan lokasi dipilih itu mudah mendekati kumpulan pengundi. Sepanjang tempoh berkempen ini, kita akan berusaha mendekati kira-kira 400 pengundi setiap hari.

    “Larangan ditetapkan kerajaan kita kena ikut dan wajib, kita tidak boleh bantah selain ia juga langsung tidak menganggu jadual.

    “Kita mengetahui ia adalah tempat ibadah, saya pun tidak menggunakan baju parti ketika ke masjid atau surau selain menghormati larangan itu,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan ‘walkabout’ di gerai makan di Taman Kemas, Johor Bahru hari ini.

    Sementara itu, Zulkifli berkata, sudah menjadi kebiasaannya untuk memenuhi jadual yang padat.

    “Saya bergerak dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini selain saya kerap jalan jauh. Saya sudah biasa, namun kami menyesuaikan jadual mengikut cuaca,” katanya.

    Zulkifli juga mengakui tidak asing dalam kalangan masyarakat tempatan kerana kelebihannya sebagai anak jati Tampoi.

    Zulkifli yang juga usahawan kelahiran Tampoi berkata, beliau akan menggunakan tempoh kempen sepanjang 14 hari sebaiknya dengan memfokuskan keseimbangan dan kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

    “Saya bersyukur kerana semua mereka sudah mengenali saya walaupun nampak dari jauh,” katanya.

    Kerajaan negeri melarang semua pihak termasuk calon-calon yang bertanding dalam Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram untuk berkempen di dalam masjid dan surau.

    Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid menerusi suatu kenyataan pada Ahad menyatakan larangan itu bagaimanapun tidak membabitkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi atau pihak yang mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

  • PRK DUN Pelangai: Pas Pahang serah tiga nama calon

    PRK DUN Pelangai: Pas Pahang serah tiga nama calon

    PAS Pahang menghantar tiga nama calon kepada Pas Pusat untuk dipertimbangkan sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober depan.

    Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, senarai nama bagi ketiga-tiga calon yang diterima daripada Bahagian Pas Bentong itu sudah diserahkan Majlis Syura Pas pada minggu lalu.

    “Calon yang dipilih memenuhi kelayakan, terdiri daripada pemimpin aktif di Bentong dan boleh diterima serta disenangi masyarakat di kawasan itu.

    “Kita tunggu dan bersedia terima keputusan daripada kepimpinan Pas Pusat, sesiapa sahaja dicadangkan dan dicalonkan kita akan terima.

    “Jadi, apa- apa pun kita serah kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat pilihan dan membuat pengumuman calon berkenaan,” katanya ketika memetik laporan Sinar Harian.

    Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah itu berkata, persiapan menghadapi PRK kali ini akan diselaraskan dalam kalangan rakan gabungan PN.

    Beliau menjangkakan beberapa siri mesyuarat akan diadakan bagi memastikan semuanya berjalan lancar menjelang hari penamaan calon.

    PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

    Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

    Pada Pilihan Raya Umum PRU15, Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

  • Bayi lelaki setahun maut dipercayai akibat didera

    Bayi lelaki setahun maut dipercayai akibat didera

    LAGI kes kanak-kanak maut didera kali ini berlaku di Seberang Jaya, Pulau Pinang melibatkan seorang bayi lelaki warga tempatan yang baru berusia setahun.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada pihak Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang mendakwa bayi tersebut maut dengan kesan dera kira-kira pukul 7 petang.

    Menurut Cheng San, mangsa sebelum itu dibawa ke hospital tersebut oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mendakwa bayi malang itu pengsan dan memerlukan rawatan susulan.

    “Suspek bagaimanapun bergegas meninggalkan kawasan hospital tidak lama kemudian.

    “Ekoran kejadian tersebut, empat lelaki dan lima wanita warga tempatan yang berusia antara 16 hingga 48 tahun ditahan di sekitar Seberang Perai bagi membantu siasatan.

    “Siasatan lanjut mendapati, salah seorang daripada suspek yang ditahan itu mempunyai lima rekod jenayah atas pelbagai kesalahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah Cheng San, kesemua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk direman dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • Abdul Hadi sedia beri keterangan kepada Bukit Aman

    Abdul Hadi sedia beri keterangan kepada Bukit Aman

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman berhubung suatu laporan polis terhadap ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Johor.

    Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman berkata, pihaknya telah dihubungi Bukit Aman pagi tadi untuk memberi keterangan.

    “Perkara ini telah pun dimaklumkan kepada Tan Sri Tuan Guru dan beliau menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman.

    “Malah sebelum ini Tan Sri Tuan Guru telah pun memberikan keterangan kepada Bukit Aman, termasuklah menyerahkan peranti (telefon bimbit) milik pengendali akaun Facebook rasmi beliau (Setiausaha Akhbar) kepada pihak Bukit Aman dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membantu siasatan.

    “Dalam hal ini, Tan Sri Tuan Guru menaruh kepercayaan penuh terhadap profesionalisme pihak PDRM dan SKMM dalam menjalankan tugas dan siasatan,” katanya menerusi Facebook hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hari ini, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyiasat kenyataan Abdul hadi yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramah beliau di Markas Pas Kawasan Bakri, Muar pada 26 Ogos 2023.

    Menurut Kamarul Zaman, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duannya.

    Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.

  • Bukit Aman siasat ceramah Abdul Hadi dalam PRK pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

    Bukit Aman siasat ceramah Abdul Hadi dalam PRK pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UNIT Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menyiasat kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di Markas Pas Bakri, Muar malam kelmarin.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.

    “Tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada malam kelmarin, Abdul Hadi ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas Pas Kawasan Bakri mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.

    Menurut Abdul Hadi, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.

    “Undang-undang Islam dilaksanakan untuk mendidik bukan menyeksa,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.

    Justeru bekas Duta Khas bertaraf menteri itu lagi, Pas mahu peruntukan undang-undang yang ada sekarang ditukar kepada peraturan Islam.

  • Cuba bunuh diri selepas isteri minta cerai

    Cuba bunuh diri selepas isteri minta cerai

    GARA-GARA isteri meminta cerai membuatkan seorang lelaki ‘hilang semangat’ apabila cuba membunuh diri dari sebuah papan tanda pada ketinggian 12 meter di Tasik Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam hari ini.

    Lelaki tersebut berusia 50an turut berada di papan tanda dalam keadaan meracau serta berteriak kepada anggota bomba yang cuba menyelamatkannya.

    Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 8.35 pagi.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian didapati lelaki berkenaan turut mengugut untuk terjun ke bawah pada ketinggian kira-kira 12 meter.

    “Siasatan awal mendapati punca lelaki tersebut bertindak sedemikian ekoran isterinya telah meminta cerai.

    “Sepanjang berada di papan tanda itu juga didapati lelaki berkenaan telah meracau sendirian,” katanya ketika dihubungi Kosmo Online hari ini.

    Beliau menambah, pujukan yang berlangsung selama dua jam akhirnya berjaya menenangkan diri lelaki itu sebelum dibawa turun oleh anggota bomba dalam keadaan selamat.

    “Proses pujukan juga dibantu isteri lelaki dan rakan-rakannya,” jelasnya.

  • Pukul bapa hingga maut, buang tepi jalan

    Pukul bapa hingga maut, buang tepi jalan

    SEORANG anak lelaki tergamak membunuh bapanya, sebelum mayatnya dibalut dengan langsir sebelum dibuang di tepi jalan di hadapan sebuah kondominium di Sungai Way, di kelmarin.

    Menurut sumber, mayat lelaki berusia 74 tahun itu ditemui pada jam 2 pagi.

    “Siasatan mendapati kesan kecederaan di kepala, tangan sebelah kiri disyaki patah, kesan lebam di bahagian dada mangsa.

    “Pemeriksaan di lokasi rumah mangsa pula, terdapat kesan tompokan darah di bahagian dinding dan pintu bilik tidurnya serta kesan seretan di bahagian ruang tamu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, pemeriksaan pada sebuah kenderaan yang disyaki digunakan suspek berusia 40-an untuk membawa mangsa terdapat kesan tompokan darah di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

    “Suspek yang juga anak kandung mangsa telah ditahan, dia disyaki memukul bapanya dengan menggunakan penyedok sehingga menyebabkan kematian.

    “Suspek kemudian bertindak membalut mangsa menggunakan langsir sebelum meletakkan mayat mangsa di tepi jalan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    “Kita akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kejadian itu dalam masa terdekat,” katanya.

  • Tak boleh elak jentera luar, calon PN sokong kempen berhemah

    Tak boleh elak jentera luar, calon PN sokong kempen berhemah

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr. Mohd. Mazri Yahya akur saranan supaya kempen dijalankan secara berhemah dan tertib.

    Mazri berkata pihaknya menyahut seruan Menteri Besar Johor Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi itu demi perpaduan rakyat di negeri ini.

    Bagaimanapun, katanya, pembabitan jentera luar negeri tidak dapat dielakkan kerana ia adalah lumrah bagi setiap kali PRK atau PRN.

    “Dalam mana-mana pilihan raya sekali pun, memang begitulah sama ada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan PN, perkara sama tetap akan dilalui.

    “Menariknya kerana kita baru selesai mengadakan PRN di enam negeri dan hanya dua sahaja PRK (Pulai dan Simpang Jeram Pulai), jadi jentera pasti tertumpu di Johor,” katanya menurut Berita Harian pada ceramah di Bakri malam tadi.

    Mazri akan berdepan Nazri Abdul Rahman yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas S Jeganathan.

    PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Jul lalu

  • TV Alhijrah pula diberi tekanan dalam siri sekatan terbaru terhadap media

    TV Alhijrah pula diberi tekanan dalam siri sekatan terbaru terhadap media

    SELEPAS beberapa siri sekatan terhadap beberapa portal berita dalam talian, cengkaman Putrajaya terhadap media berterusan dengan saluran penyiaran Islam kerajaan disiasat kerana menyiarkan semula rancangan realiti dari awal 2022 yang memaparkan kehadiran seorang pemimpin Pas yang pernah menjadi menteri hal ehwal Islam.

    TV AlHjirah, saluran televisyen tempatan di bawah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), menyiarkan tayangan semula “Hijrahkan Laguku”, pertandingan nyanyian Islamik yang pertama kali disiarkan pada Januari 2022. 

    Program itu turut menampilkan Datuk Idris Ahmad, Naib Presiden Pas yang ketika itu menjadi menteri yang menjaga agama Islam di Jabatan Perdana Menteri. 

    Pas adalah sebahagian daripada kerajaan Pusat dari Mac 2020 hingga November 2022, ketika Putrajaya berada di bawah gabungan Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Barisan Nasional.

    Pada Mei, hanya enam bulan selepas pertukaran kerajaan, Pengerusi TV AlHijrah Ab Halim Tamuri digantikan dengan bekas pensyarah undang-undang Khair Ngadiron. 

    Kerajaan juga mengumumkan pelantikan enam ahli lembaga pengarah baharu untuk syarikat penyiaran: Hakimah Mohd. Yusoff, Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Dzul Karnain Abdullah, Shamsul Qamar Abd. Rani, Azizuddin Ahmad dan Amran Idris. 

    Tayangan semula malam Sabtu lalu mendorong Fakhrurrazi Rashid, penyokong Pakatan Harapan (PH) yang sehingga baru-baru ini terikat dengan badan pemikir berkaitan DAP, mengkritik menteri hal ehwal Islam ketika ini, Datuk Na’im Mokhtar.

    “Patutlah orang Melayu masih percaya Pas masih kerajaan sekarang ke menteri agama tak berfungsi?” soalnya di Twitter.

    Kirimannya mendapat maklum balas segera daripada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau sudah menghubungi pengurusan TV AlHijrah “untuk penjelasan dan tindakan”.

    Ini diikuti dengan kenyataan ringkas daripada stesen itu, yang mengumumkan pelancaran siasatan dalaman.

    “Penambahbaikan proses dalaman juga akan dilakukan oleh pihak TV AlHijrah agar perkara tersebut tidak berulang.”

    Namun kenyataan itu mendapat reaksi yang lebih tegas daripada Na’im, yang secara terbuka menegur stesen TV itu yang terletak di bawah bidang kuasanya, menuduh kakitangannya sebagai “kecuaian dan kerja secara sambil lewa”.

    “Kecuaian dan kerja secara sambil lewa tanpa amalan ketelitian tidak dapat diterima dalam bidang penyiaran.”

    Kiriman tersebut tidak meredakan kemarahan penyokong PH di media sosial, yang kebanyakannya mendesak Na’im meletak jawatan kerana lambat menjalankan tugas.

    “Letak jawatan la. Kami bosan menteri agama lembab dan lemah,” tulis seorang pengguna media sosial.

    Dalam responsnya, Idris berkata, beliau sedih dengan reaksi kerajaan, sambil menambah tidak pernah menggunakan program itu untuk sebarang tujuan politik.

    “Saya hanya waktu itu menganugerahkan kepada artis-artis yang berhijrah, tiba-tiba keluar gambar saya. Saya waktu itu menteri, bukan pemimpin Parti Komunis Malaya,” katanya pada ceramah di Johor malam tadi.

    Sementara itu, kenyataan TV AlHijrah di Facebook menarik ratusan komen, yang kebanyakannya mempersoalkan cara pemimpin kerajaan bertindak semata-mata berhubung rakaman musuh politik yang muncul dalam program yang ditayangkan semula.

    “Kesian TV AlHijrah melayan menteri koyak,” tulis Mohd. Faisal Abdul Khanan.

    “Itu pun ambil peduli! Makin meluat pula, benda elok dan baik serta diminati ramai eloklah diulang siar,” kata Mohd. Firdaus Ahmad.

    “Siaran ulangan pun ada yang koyak ka?” tanya Abdul Aziz Yusoff Rantawi.

    “Hanya kerana beza politik,” kata Mohd. Taib Latip.

    Sebahagian besar pengulas sementara itu berkata, mereka tidak pernah menonton televisyen selama bertahun-tahun, dengan sesetengahnya mengatakan mereka tidak mengikuti saluran percuma.

    Insiden terbaru itu berlaku susulan siri sekatan terhadap saluran media di negara ini, yang terbaru ialah langkah menyekat TV Pertiwi, sebuah portal berita dalam talian yang mengkhususkan video pendek dan podcast politik lapor Malaysianow.

    Pada Jumaat, syarikat media itu enggan menurunkan enam kandungan berita, sebagai sebahagian daripada syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi di bawah kementerian Fahmi yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menggesa platform media sosial seperti X (dahulunya Twitter ) dan TikTok untuk mengeluarkan kandungan yang mengkritik kerajaan.

    Pada Jun, Fahmi mendapat kecaman hebat selepas portal berita MalaysiaNow disekat selama 48 jam. 

    SKMM enggan menjawab soalan yang diajukan berulang kali bagi mendapatkan penjelasan. 

    Bulan lalu, satu lagi laman sesawang isu semasa, UtusanTV, yang dikendalikan oleh bekas kakitangan syarikat media Utusan Melayu yang kini tidak beroperasi, turut disekat.

    SKMM juga melakukan sekatan capaian ke atas laman sesawang Malaysia Today yang dikendalikan oleh pengkritik kerajaan, Raja Petra Kamarudin, serta sebuah blog yang mengkhususkan kecurangan korporat dan kewangan yang dikendalikan oleh bekas ahli Parlimen DAP Wee Choo Keong.