PERIKATAN Nasional (PN) negeri dijangka akan menggunakan formula lima dan tiga berhubung nisbah pembahagian jawatan dalam barisan Exco Kerajaan Perlis yang baharu.
Menurut sumber dalaman PN negeri, seramai lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas akan dilantik menjadi Exco diikuti tiga lagi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Pada dasarnya PN sudah mencapai persetujuan secara lisan berhubung nisbah jawatan Exco antara Pas dan Bersatu. Kita akan mengekalkan jumlah Exco seperti pentadbiran (kerajaan negeri ) BN sebelum ini.
“Bagaimanapun, perincian berhubung ADUN mana yang akan dilantik hanya akan dibuat selepas Menteri Besar mengangkat sumpah hari ini.
“Disebabkan kita berjaya memenangi 14 kerusi DUN pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) maka ADUN lain yang tidak dilantik menjadi Exco akan dipertimbangkan jawatan lain dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya pada Selasa, lapor Sinar Harian.
Majlis mengangkat sumpah Exco Kerajaan Negeri Perlis dijadualkan berlangsung pada Jumaat di Istana Arau, Arau.
PN berjaya membentuk kerajaan negeri di Perlis apabila memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRU15.
Pas memenangi kerusi DUN Simpang Empat, Santan, Mata Ayer, Sena, Chuping, Beseri, Bintong, Guar Sanji dan Sanglang.
Sementara Bersatu berjaya memenangi kerusi DUN Kuala Perlis, Kayang, Titi Tinggi, Pauh dan Tambun Tulang.
JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan sebuah syarikat mengeksport sisa logam seberat 158,284 kilogram secara haram ke luar negara.
Pengarah JKDM Sarawak Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, kesemua sisa logam itu yang dibawa menggunakan enam buah kontena yang didaftar sebagai ‘copper flakes’ dan ‘aluminium flakes’ ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuching di Pelabuhan Senari, Kuching kira-kira pukul 2.30 petang 12 Oktober lalu.
“Pemeriksaan yang dilakukan dalam pelaksanaan Operasi Demeter VIII 2022 oleh JKDM yang menyasarkan penyeludupan, mendapati barang yang diikrar tidak sama seperti dalam dokumen kastam.
“Rampasan dianggarkan bernilai RM2,168,200 dengan nilai cukai dianggarkan RM204,820,” katanya pada sidang media di Kuching, hari ini, lapor Harian Metro.
Katanya, semua kontena berkenaan kemudian ditahan dan dibawa untuk pemeriksaan lanjut di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan, Jalan Gedung, Kuching, Sarawak.
Jelasnya, turut ditahan ejen penghantaran dan pemilik syarikat tempatan terbabit yang masing-masing berumur lingkungan 40 tahun.
Beliau berkata, kesemua muatan sisa logam adalah barangan larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017 dan pengeksportan hendaklah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Justeru, Ahmad berkata kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a), Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan akan didenda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
KALI terakhir Malaysia berdepan dengan krisis ekonomi adalah pada tahun 1997 yang disebut sebagai Krisis Mata Wang Asia. Krisis Kewangan Asia ialah krisis kewangan yang bermula pada Julai 1997 di Thailand, dan mempengaruhi mata wang, bursa saham dan harga aset lainnya di beberapa negara Asia.
Ketika itu Malaysia memiliki defisit akaun mata wang melebihi 5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada bulan Julai tahun itu, ringgit Malaysia diserang oleh penyangak mata wang. Malaysia menambat mata wangnya pada 17 Ogos 1997 selepas ringgit jatuh menjunam. Empat hari kemudian Standard and Poor’s menurunkan rating hutang Malaysia. Seminggu kemudian, agensi rating tersebut menurunkan rating Maybank, bank terbesar Malaysia. Pada hari yang sama, Bursa Saham Kuala Lumpur jatuh 856 mata, titik terendahnya semenjak 1993.
Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berkeupayaan untuk menangani krisis kewangan negara ketika beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada tahun 1997 hingga 1998.
Datuk Seri Anwar ketika itu lebih berminat untuk mengambil cadangan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa IMF untuk menjalankan Pakej Penjimatan (Austerity Package) dengan mengurangkan belanja kerajaan sehingga 18 peratus dan memberhentikan projek-projek besar.
Perkara itu telah menyebabkan Tun Dr Mahathir memandang bahawa Anwar tidak mampu menangani krisis ekonomi dengan tindakan yang boleh memburukkan keadaan. Beliau telah memindahkan tanggungjawab itu dengan melantik Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), sebuah jawatankuasa think tank yang ditubuhkan khusus untuk menangani masalah kesusutan nilai ringgit dan ekonomi negara waktu itu.
Pengarah Urusan Ewein Bhd Ewe Swee Kheng (kedua dari kiri) dilihat bergambar bersama menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng dan beberapa ahli perniagaan Pulau Pinang dalam acara pemberian sumbangan bagi Tabung Harapan pada 2018. Gambar: Bernama
Ia tidak terhenti di situ, Pakatan Harapan (PH) telah mendakwa Malaysia menanggung hutang yang sangat besar hampir mencecah RM1 trilion dan hampir bankrupt. Susulan itu, ketika Pakatan Harapan mengambil alih negara, Menteri Kewangan PH, Lim Guan Eng ketika itu telah mengambil tindakan popular iaitu, dengan mengurangkan bajet Program-program tertentu dalam Belanjawan Negara 2019 ketika diumumkan, penjualan aset-aset negara dianggarkan melebihi RM16 bilion, membuka Tabung Harapan, dan menghentikan projek besar.
Projek itu termasuk pembinaan tiga jambatan di Rambungan, Igan dan Batang Lupar di Sarawak berjumlah RM900 juta yang dibatalkan pada awal 2019 selain infrastruktur lain seperti sekolah dan jalan raya. Malah, PH turut melengahkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Namun begitu, tindakan itu tidaklah berkesan mengurangkan hutang negara sepertimana krisis ekonomi tidak selesai dengan tindakan DSAI yang berlaku tahun 1997-1998.
Hutang negara pada akhir tahun 2017 adalah sebanyak RM687 bilion dengan peningkatan sebanyak 5.92 peratus berbanding akhir tahun 2016. Setelah Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan negara dan Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, hutang negara meningkat kepada RM741 bilion pada akhir tahun 2018 dengan kadar peningkatan sebanyak 7.89 peratus.
Setelah kerajaan membuat pinjaman Bon Samurai, hutang negara pada suku kedua tahun 2019 adalah RM799 bilion dengan peningkatan sebanyak 10.19 peratus. Ini bermakna Lim Guan Eng juga tidak mampu memulihkan atau mengurangkan hutang negara dan menghentikan projek besar negara juga telah menyebabkan pelabur-pelabur lari dari melabur ke dalam Malaysia.
Mengingat kembali keruncingan rakyat dan negara menghadapi pandemik Covid-19 bermula April 2019, kita juga berdepan dengan pertukaran tampuk kepimpinan negara yang ketika itu Perdana Menteri Malaysia ke-8 Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada Pakatan Harapan telah meletakkan jawatan. Kekuatan suara Penyatuan Ummah telah membuka jalan kerjasama antara parti Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah menggantikan PH. Atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, pengganti yang dicalonkan namanya telah dilantik ketika itu adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang disusun beliau.
Keadaan ekonomi dunia pada masa itu telah dipengaruhi oleh pandemik Covid-19 khususnya dalam memasuki akhir dari suku pertama 2020 menjadi fenomena yang merugikan bagi seluruh umat manusia di berbagai negara pada masa itu. Sehingga kini masih lelah mencuba untuk bangkit dan mengubati kegawatan yang berlaku.
(gambar hiasan)
Pertubuhan yang bertaraf Antarabangsa dalam bidang kewangan iaitu Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia telah meramalkan bahawa sehingga akhir suku pertama 2020 ekonomi global telah memasuki kemerosotan yang dirasai di seluruh dunia. Tidak terkecuali Malaysia, terpaksa kuarantin penuh selama 3 bulan pertama Covid-19 melanda, kuarantin berfasa pada suku berikutnya sehingga menyebabkan segala aktiviti pusingan ekonomi tergendala.
Malaysia telah mengalami kesan besar dalam sektor ekonomi termasuk penurunan nilai ringgit Malaysia (MYR) dan penurunan keluaran dalam negara kasar (KDNK) akibat pandemik Covid-19. Paling teruk dalam sejarah setelah kegawatan 1998. Wabak ini turut memberi kesan buruk kepada beberapa sektor utama negara termasuk sektor hiburan, pasar, peruncitan, perhotelan, dan pelancongan. Selain kekurangan barang dan perkhidmatan, banyak bisnes terpaksa menormalisasikan diri dan tempat kerja dengan konsep penjarakan sosial serta perintah berkurung yang mempengaruhi operasi dan pendapatan rakyat termasuk keselamatan pekerja migran yang bekerja di Malaysia.
Kerajaan yang baru sahaja terlantik dan terbentuk tanpa manifesto ketika itu telah berhadapan dengan masalah gejala wabak terbesar yang tidak pernah dihadapi mana-mana pemimpin negara yang ada kini semenjak merdeka, lapor Harakah Daily.
Kerajaan PN ketika itu dengan segera dibentuk dan turut bersegera mengorak langkah mengendali masalah dengan merancang macam-macam program bantuan dengan bajet besar seperti PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PEMERKASA, PENJANA, PEMULIH.
Tidak sahaja itu, walaupun ketika pandemik berlaku, kerajaan Kedah yang diterajui Menteri Besarnya telah membawa masuk pelaburan ke Kedah sebanyak RM68.3 bilion.
Oleh itu dakwaan dan persepsi kononnya PH ada tokoh utama yang berwibawa memulihkan ekonomi Malaysia hanyalah hiburan retorik dan khayalan serta manisan halwa telinga buat penyokong PH semata-mata.
CALON Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan kediamannya di Cheras, sekitar 11.05 pagi untuk ke ibu pejabat Pakatan Harapan di Petaling Jaya.
Apabila ditemui media yang berada di hadan rumahnya sebelum ke pejabat, beliau memaklumkan akan ke pejabat dahulu dan akan kembali ke kediaman itu kemudian, namun tidak menyebut jangkaan waktu yang tepat.
“Ofis (dahulu) … di (Jalan) Gasing. Lepas itu balik rumah,” katanya ringkas, lapor Astro Awani.
Anwar juga tidak memberi sebarang respons apabila ditanya jika beliau akan pergi ke Istana Negara hari ini.
Pemerhatian Astro Awani mendapati tiada sebarang pergerakan keluar masuk kenderaan yang membawa ahli-ahli politik lain, namun difahamkan rundingan antara PH dan BN masih berjalan di lokasi berlainan.
KEDIAMAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di Kuala Lumpur terus menjadi lokasi tumpuan susulan tempoh membentuk kerajaan tamat pada jam dua petang ini.
Media mula berkumpul sejak pukul 7 pagi bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi politik melibatkan gabungan parti mana yang akan membentuk kerajaan, lapor Astro Awani.
Bermula pukul 10 pagi tadi, beberapa pimpinan PN mula memasuki kediaman Muhyiddin antaranya Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Hari ini, Hamzah dalam satu kenyataan berkata, PN telah menerima satu lagi Surat Akuan Berkanun daripada seorang lagi Ahli Dewan Rakyat yang menyatakan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.
Kata Hamzah, Surat Akuan Berkanun berkenaan telah dihantar ke Istana Negara pagi ini.
Semalam, Abdul Hadi berkata, gabungan parti itu masih menunggu undangan Istana Negara pada bila-bila masa sahaja.
Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, PN sudah mempunyai lebih majoriti sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.
Malah, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam satu kenyataan berkata, surat akuan berkanun (SD) yang dihantar ke Istana Negara adalah melebihi 112 jumlah Ahli Parlimen.
Namun, perkara itu masih lagi menjadi persoalan selagi tidak ada sebarang perkhabaran rasmi dari Istana Negara.
Justeru, situasi semasa itu menyebabkan banyak pihak masih mencongak gabungan parti mana yang boleh membentuk kerajaan.
Dalam masa sama, kerusi parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan terus menjadi ‘rebutan’ bagi mencapai majoriti sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan PN menang 73 kerusi Parlimen setakat ini termasuk 22 calon PN yang menggunakan logo Pas.
GABUNGAN Parti Sarawak hari ini sekali lagi menegaskan cadangannya untuk menubuhkan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gerakan Rakyat Sabah (GRS), mengatakan penubuhan kerajaan yang stabil demi kepentingan negara adalah melebihi kepentingan peribadi.
Dalam sebuah kenyataan, Pejabat Premier Sarawak berkata, GPS menyerahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik kerajaan kukuh dalam mentadbir negara selari peruntukan kuasa dalam Perlembagaan Malaysia.
“GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan daripada gabungan PN, BN, GPS dan GRS mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
“Memandangkan kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian mandat rakyat hendaklah dihormati,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.
Pilihan raya umum pada Sabtu menyaksikan Pakatan Harapan bersama Muda memenangi 82 kerusi, diikuti PN (73), BN (30), GPS (23), GRS (enam) dan Warisan (tiga).
Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing memenangi satu kerusi manakala blok Bebas memenangi dua kerusi.
Sebelum ini, GPS berkata, ahli Parlimennya dan GRS akan menyokong Muhyiddin Yassin dalam gabungan PN.
Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya menafikan ahli Parlimen dari bloknya telah bersetuju untuk bergabung bersama GPS dan GRS untuk bekerjasama dengan PN, memberikan amaran bahawa hanya beliau yang mempunyai mandat untuk memutuskan siapa yang disokong oleh BN.
Zahid dan beberapa pemimpin BN turut mengadakan rundingan dengan pemimpin PH di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur semalam, bagaimanapun tiada sebarang keputusan muktamad dalam rundingan tersebut.
Dalam pada itu, PN menegaskan telah menerima sokongan lebih daripada 112 ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru.
WAKIL Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sudah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pengesahan perbincangan itu dimaklumkan oleh Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
“Berkaitan pembentukan kerajaan negeri Pahang, wakil Majlis Tertinggi PN Datuk Seri (Tuan Ibrahim) sudah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BN Pahang (Wan Rosdy).
“Hari ini, akan diadakan perbincangan selanjutnya,” kata Saifuddin memetik laporan BH Online.
Menerusi kenyataan media semalam, Majlis Tertinggi PN melantik Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Timbalan Presiden Pas untuk mengetuai rundingan pembentukan kerajaan Pahang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN Pahang memperoleh 17 daripada 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.
Berbanding BN, yang hanya memperoleh 16 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh lapan kerusi pada pilihan raya kali ini.
Bagaimanapun, itu bergantung kepada rundingan yang dilakukan tiga parti berkenaan iaitu PN, BN dan PH dalam membentuk kerajaan.
Perbincangan berkenaan boleh dilaksanakan antara PN-BN atau BN-PH.
PERIKATAN Nasional (PN) telah menerima satu lagi Surat Akuan Berkanun daripada seorang lagi Ahli Dewan Rakyat yang menyatakan kepercayaan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Surat Akuan Berkanun berkenaan telah dihantar ke Istana Negara pagi ini.
Semalam, Hamzah dalam kenyataan media berkata, gabungan berkenaan telah menyerahkan lebih daripada 112 akuan berkanun menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, kepada Agong.
“Parti Perikatan Nasional telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Jumlah Surat Akuan yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” kata hamzah.
Sementara Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, gabungan itu hanya menunggu untuk diundang ke Istana Negara setelah menyerahkan surat akaun bersumpah (SD) daripada semua ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kesepuluh.
Dalam kenyataan ringkas dalam akaun media sosial beliau, Presiden Pas itu berkata gabungan itu sudah mempunyai SD mencukupi untuk membentuk kerajaan.
PAS memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya ‘tidak menangguk di air yang keruh dan jangan sesekali dijolok sarang tebuan’, demi menjaga kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa adalah penting untuk semua pihak menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Pas menyeru semua pihak menghormati keputusan pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung secara harmoni.
“Malaysia kini sedang melalui fasa penting pembentukan kerajaan melalui proses demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
“Justeru Pas menyeru semua pihak untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam, serta menghalang sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian dalam negara,” ujarnya, lapor Astro Awani.
Terdahulu, Pas memberi jaminan pihaknya tidak akan melaksanakan langkah-langkah yang menekan mana-mana pihak, khususnya di Sabah dan Sarawak, sekiranya ia menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan baharu.
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyangkal dakwaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyatakan tiada tawaran diberikan PN kepada Barisan Nasional (BN) Perak berkenaan pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Saaani melakukan penipuan besar apabila mendakwa PN Perak tidak mahu berjumpa dengannya berkenaan perbincangan untuk menubuhkan kerajaan menerusi kerjasama PN-BN.
“Hakikat sebenarnya ialah saya telah bertemu dengan beliau pada Ahad, 20 November 2022 di Kuala Lumpur. Perjumpaan itu turut dihadiri Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
“Kami telah berunding berkenaan kerjasama PN dan BN untuk menubuhkan kerajaan negeri Perak yang baharu. Dalam perjumpaan itu beliau menyatakan hasrat untuk kekal dicadangkan sebagai Menteri Besar Perak dan perkara itu adalah sesuatu yang amat penting.
“Saya juga telah menyatakan kebimbangan saya dengan keadaan di mana kerajaan negeri Perak belum membentangkan belanjawan negeri untuk tahun 2023 dan kemelut politik mesti dirungkai segera demi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Ahmad Faizal menegaskan, PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama namun Saarani bertegas untuk PN menawarkan tawaran jawatan-jawatan penting dalam kerajaan negeri.
“Beliau memohon untuk merujuk kepada kepimpinan UMNO sebelum membuat apa-apa keputusan,” ujar bekas Menteri Besar Perak itu.
“Namun pada hari ini beliau dan kepimpinan UMNO telah menyelamatkan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya sambil menipu perwakilan UMNO yang lalu dengan slogan ‘No DAP’,” katanya.
Katanya, tangggungjawab Menteri Besar adalah amat besar dan seharusnya sumpah setia jawatan yang dibacakan dengan kalimah suci tidak disusuli dengan penipuan kepada rakyat jelata.
Hari ini, BN dan PH bergabung membentuk kerajaan negeri Perak selepas mendapat majoriti 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melantik Saarani sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.
Keputusan PRU15 menyaksikan PN memenangi 26 kerusi DUN diikuti 24 kerusi dimenangi PH manakala BN hanya memenangi sembilan kerusi daripada 59 kerusi yang dipertandingkan.
Menerusi sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baharu, Saarani mendakwa, tiada sebarang bentuk tawaran yang diberikan PN kepada pihaknya bagi tujuan pembentukan kerajaan.
Saarani berkata: “Dia (Zainol Fadzi) minta saya berunding dengan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN). Maka pada pukul 10 pagi semalam, sebelum saya hadir mesyuarat Biro Politik UMNO, saya berjumpa dengan beliau dan Datuk Zainol.
“Saya memaklumkan kepada mereka bahawa saya telahpun diberi tawaran peranan itu (tawaran jawatan Menteri Besar oleh Pakatan Harapan (PH).
“Jadi jika Perikatan Nasional nak buat apa-apa tawaran kepada saya, silalah. Namun sehingga semalam saya tak ada menerima apa-apa tawaran,” kata Saarani yang juga Pengerusi BN Perak.