Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Parlimen tergantung, Agong boleh perintah secara isytihar darurat’

    ‘Parlimen tergantung, Agong boleh perintah secara isytihar darurat’

    HANYA Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa muktamad membantu mencari jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan kerajaan baharu dapat dibentuk dalam masa terdekat jika semua parti gagal mencapai kata sepakat.

    Bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika kesemua ketua gabungan parti yang meraih kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencari kata sepakat membentuk kerajaan

    Beliau berkata, sekiranya tiada gabungan parti mendapat majoriti 112 kerusi, maka kuasa itu kembali kepada Yang di-Pertuan Agong dan hanya baginda yang boleh menentukan caranya.

    “Kalau semua parti tidak dapat menghasilkan satu formula untuk bekerjasama, mungkin Yang di-Pertuan Agong akan memerintah secara darurat.

    “Ini menerusi kuasa yang ada pada baginda mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan sehingga keadaan boleh menubuhkan kerajaan. Ini adalah pendapat saya,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

    Veteran UMNO itu berkata, tempoh darurat tersebut jika diisytiharkan kelak, bergantung kepada keupayaan semua parti mendapat kesepakatan membentuk kerajaan.

    “Berapa lama tempoh, itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong. Sekiranya Baginda rasa perlu pegang setahun, dua tahun, tiga tahun sehingga pihak politik boleh berdamai sesama mereka, bersetuju berpakat.

    “Jika tidak, perkara akan jadi seperti ini semula (kerajaan tergantung) atau mungkin lebih teruk lagi daripada ini saya fikir,” katanya.

    Mengenai khabar angin mengatakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan dilantik sebagai Perdana Menteri Interim, beliau berkata perkara itu tidak mungkin berlaku.

    “Macam-macam khabar angin di media sosial, bahawa Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri interim, mana boleh…

    “Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sahaja ketika ini menjadi Perdana Menteri ‘caretaker’. Bila tugasnya selesai, kerajaan baharu mesti ditubuhkan dan ketua gabungan mesti dapat 112 majoriti,” katanya, lapor Berita Harian.

    Dalam pada itu, katanya usaha pembentukan kerajaan yang baharu perlu mengambil sensitiviti yang paling utama iaitu majoriti populasi negara ini adalah orang Melayu dan Bumiputera.

    “Soal pokoknya bukan soal kerjasama parti dengan parti, soal pokok yang kita semua perlu fikir adalah majoriti penduduk di Malaysia adalah Melayu dan Bumiputera, yang mana lebih 50 peratus dari populasi, kita tidak boleh abaikan ini, ini sensitiviti.

    “Kalau anda tanya Ketua Pembangkang dulu pun, dia selalu menimbulkan ‘the leader of this country must be an acceptable Malay’ (pemimpin negara ini mestilah dalam kalangan orang Melayu yang diterima).

    “Jika kita bercakap mengenai Anwar Ibrahim, dia adalah pemimpin PH yang mana ada DAP, AMANAH dan PKR tetapi PKR cuma ada 27 kerusi, Amanah (Parti Amanah Negara) ada tiga (kerusi) dan DAP ada 40 kerusi. Parti ini (PH) didominasi oleh DAP.

    “Bolehkan Anwar mengawal PH dengan cara yang dia fikir boleh kawal? Yang mana Tun Dr Mahathir (Mohamed) gagal ketika 22 bulan beliau mengetuai kerajaan PH, apa yang buat kamu fikir Anwar dapat buat lebih baik dari Dr Mahathir,” soalnya.

    Katanya, PH memerlukan 112 kerusi dan memerlukan sokongan parti lain untuk menubuhkan kerajaan dan sekiranya UMNO menyokong, adakah ia akan diterima oleh rakyat dan ahli UMNO di peringkat akar umbi.

    “Harap Yang di-Pertuan Agong dapat memberikan nasihat yang terbaik sebelum dipersetujui pembentukan kerajaan.

    “Perlu ambil faktor ini (sensitiviti Melayu dan Bumiputera) selain daripada soal kesihatan rakyat, ekonomi yang merundum jatuh tetapi masalah politik tidak selesai, tidak stabil yang menghimpit kehidupan rakyat.

    “Kita berharap apa juga persetujuan dicapai akan memenuhi kehendak orang ramai kerana faktor utama adalah populasi Melayu dan Bumiputera yang mana populasi terbesar dalam negara ini,” katanya.

    Tegasnya, penubuhan kerajaan negeri Perak menerusi gabungan BN dan PH juga kini menjadi tanda tanya kerana melanggar prinsip ‘No Anwar, No DAP’. Sebahagian atau seluruh ahli UMNO tidak boleh terima DAP.

    “Bahkan Perhimpunan Agong UMNO (PAU) sudah membuat keputusan tidak akan bekerjasama bukan sahaja dengan DAP atau PH tetapi dengan pimpinan Anwar Ibrahim. Itu keputusan PAU, bukan mesyuarat agung cawangan tetapi UMNO sudah menubuh kerajaan campuran di Perak, ini menjadi tanda tanya,” katanya.

  • Dewan Tertinggi BN bermesyuarat sekali lagi malam ini

    Dewan Tertinggi BN bermesyuarat sekali lagi malam ini

    DEWAN Tertinggi Barisan Nasional (BN) dijangka akan bersidang sekali lagi melibatkan pimpinan utama gabungan tersebut di Manara Dato’ Onn, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, pukul 8.30 malam ini.

    Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ketika ditemui pemberita, hari ini.

    “Saya tidak pasti setakat ini, saya baru terima panggilan mengenai mesyuarat ini,” katanya ringkas, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perincian mesyuarat tersebut.

    Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong turut mengesahkan mengenai mesyuarat tersebut namun mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut.

    “Tunggu dan lihat, kamu sudah tahu, kenapa tanya lagi? Bagi saya sedikit masa, saya nak berehat dan makan,” katanya ringkas.

    Sumber memberitahu, mesyuarat Dewan Tertinggi BN itu akan disusuli dengan pertemuan bersama kesemua 30 ahli Parlimen BN.

    Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat kira-kira pukul 11 pagi tadi membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan

    Menurutnya, setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang.

    Selain itu, kesemua 30 Ahli Parlimen daripada BN juga akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara individu pada jam 10.30 esok.

    Menurut kenyataan Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, proses ini bertujuan agar Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang bagi hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

    Ia selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

  • ‘Saya tidak jangka jadi MB’- Mohd Shukri

    ‘Saya tidak jangka jadi MB’- Mohd Shukri

    PESURUHJAYA Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli mengakui tidak menjangka dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu dan menyifatkan pelantikan itu sebagai amanah daripada rakyat yang perlu dilaksana dengan sebaiknya.

    Mohd Shukri, 61, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis berkata, beliau bersama wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bekerja keras bagi memastikan manifesto PN bertemakan ‘Prihatin, Bersih, Stabil’ dapat dilaksana ke arah membentuk ‘Perlis Baharu’.

    “Perubahan khususnya dari segi pembangunan ekonomi dan insan seperti yang dijanjikan dalam manifesto PN sebelum ini akan ditunaikan secara berperingkat,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Terdahulu, Mohd Shukri mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di Arau.

    Mohd Shukri yang mesra dipanggil ‘Cikgu Shukri’ mengucapkan terima kasih kepada rakyat Perlis atas kepercayaan kepada kerajaan PN untuk mentadbir negeri itu.

    Menurut Mohd Shukri, langkah pertama akan dilakukannya ialah bertemu pegawai kanan kerajaan negeri bagi membincangkan perkara yang perlu diteruskan bagi menjaga kebajikan rakyat.

    Mengenai pelantikan Exco kerajaan negeri, Mohd Shukri berkata, beliau telah mengenal pasti enam Ahli Dewan Undangan Negeri daripada PAS dan tiga lagi daripada Bersatu untuk dikemukakan pada mesyuarat PN Perlis dalam masa terdekat.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada PRU15.

  • 30 Ahli Parlimen BN dititah menghadap Agong esok

    30 Ahli Parlimen BN dititah menghadap Agong esok

    YANG di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap baginda esok.

    Menurut kenyataan Istana Negara, sesi menghadap itu bagi membolehkan Agong buat keputusan melantik Perdana Menteri ke-10.

    “Proses ini adalah bertujuan supaya Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri,” kata kenyataan itu, hari ini.

    Dalam pada itu Agong menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

    Sesi menghadap secara individu itu dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi esok.

  • Muhyiddin tolak cadangan kerajaan perpaduan bersama PH

    Muhyiddin tolak cadangan kerajaan perpaduan bersama PH

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar gabungan itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan perpaduan.

    Beliau berkata, cadangan Al-Sultan Abdullah dibuat selepas tiada gabungan yang mempunyai jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan.

    Namun Muhyiddin menegaskan, PN tidak akan kerjasama dengan PH kerana ia pendirian parti sejak dulu sampai ke hari ini atas tujuan apa sekali pun.

    “Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) mencadangkan supaya kita bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan tetapi kami telah berbincang perkara itu sejak awal lagi.

    “Memang kita sepakat atas sebab yang kita tahu mengapa kita tak boleh bekerjasama dengan PH. Ini umum semua tahu dan itu pendirian yang kita buat untuk tujuan itu (pembentukan kerajaan).

    “Tadi, saya diminta untuk menandatangani dokumen kerjasama tetapi saya tandatangan tidak bersetuju. Tan Sri Abdul Hadi Awang juga tandatangan tidak bersetuju atas sebab-sebab yang kita tahu tidak boleh kerjasama dengan PH,” katanya dalam sidang media di kediaman beliau petang ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendedahkan, PN telah pun menyerahkan dokumen akuan bersumpah sebanyak 115 sokongan ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri secara dalam talian kepada Istana Negara.

    Menurutnya, dokumen itu juga telah diperakukan penerimaannya oleh Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

    “Saya nak jelaskan bahawa semalam kita telah pun menyerahkan secara dalam talian dokumen diperlukan oleh pihak Istana Negara iaitu buktikan kami dari PN dengan gabungan banyak parti-parti dan ahli Parlimen parti lain berjumlah 115 disokong oleh akuan bersumpah (SD).

    “Telah pun ada akuan penerimaan daripada Datuk Nazim mengesahkan menerima dokumen ini.

    “Saya nak menunjukkan bukti bahawa waktu saya menyerahkan atau pun kami menghantarnya menerusi e-mel, ini bukti kami mempunyai sejumlah bilangan ahli Parlimen melebihi 112 yang dikehendaki dalam Perlembagaan.

    “Sebab itu kami yakin kami sewajarnya boleh membentuk kerajaan tapi maklumlah bila saya menghadap tadi, dikatakan ini tidak mencukupi.

    “Saya tidak tahu apakah sebab di sebalik itu tetapi buktinya ada di sini,” tambah beliau.

  • Tiga pemuda mengaku tidak bersalah rompak stesen minyak guna pistol mainan

    Tiga pemuda mengaku tidak bersalah rompak stesen minyak guna pistol mainan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIGA pemuda mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan pistol mainan di sebuah stesen minyak dekat Kodiang, Kedah kira-kira dua minggu lalu.

    Ketiga-tiga individu berkenaan, Mohd. Aliff Danish Abdullah, 24, Muhammad Iqmal Md. Yusli, 22 serta Mohd. Zamanizam Mat Hassan, 29, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim. Juraidah Abbas.

    Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan rompakan tersebut terhadap pekerja stesen minyak tersebut yang berusia 24 tahun dengan bersenjatakan pistol mainan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4.15 pagi, 12 November lalu di sebuah stesen minyak di Kodiang dekat Kubang Pasu.  

    Pertududuhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nur Syifa Mohd. Hamzah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 397 Kanun sama manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

    Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan disebat.

    Terdahulu Nur Syifa mencadangkan agar mahkamah menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

    Mohd. Aliff yang bekerja sebagai pembantu kedai telefon kemudiannya memohon agar kadar jaminan itu dikurangkan dengan jaminan tersebut akan dibayar oleh bapanya yang tinggal di Sarawak, kerana mengikuti jemaah tabligh.

    Dua lagi tertuduh iaitu Muhammad Iqmal dan Mohd. Zamanizam bagaimanapun hanya menyatakan bahawa tiada waris yang hadir ke mahkamah untuk menjamin mereka.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan ketiga-tiga tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan kesemua mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan pada setiap bulan, hingga kes tersebut selesai.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Disember depan.

  • Saya belum tahu keputusan Agong, kata Abang Johari

    Saya belum tahu keputusan Agong, kata Abang Johari

    PENGERUSI Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg memaklumkan masih menunggu keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menentukan langkah seterusnya berhubung pembentukan kerajaan campuran.

    Premier Sarawak itu berkata, beliau sibuk dengan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak hari ini.

    Keadaan itu membuatkan beliau tidak dapat mengikuti sepenuhnya perkembangan politik terbaru yang sedang berlaku di Semenanjung.

    “Tengoklah…saya belum tahu keputusan Agong, tak tahu….saya lagi (masih) di dewan (Dun),” katanya kepada media di ruang legar Kompleks Dun Sarawak, Kuching, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) untuk kekal sebagai pembangkang.

    Terdahulu, GPS dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong, mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

    GPS turut menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

    Beliau berkata, BN tidak menyokong mana-mana gabungan sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

    GPS kini memiliki 23 kerusi Parlimen susulan keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Baram yang disahkan petang semalam.

  • PM ke-10: Belum ada keputusan daripada Agong – Anwar

    PM ke-10: Belum ada keputusan daripada Agong – Anwar

    ISTANA Negara belum membuat sebarang keputusan berhubung pelantikan Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu setakat ini.

    Perkara itu disahkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini

    Anwar berkata dalam pertemuan itu, Agong menitahkan keperluan menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan yang inklusif untuk semua kaum, agama dan wilayah.

    Setakat ini katanya, tidak timbul persoalan mengenai pembentukan kerajaan minoriti.

    Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap di Istana Negara pada pukul 4.30 petang.

    Ini susulan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

  • Zahid wajar dengar desakan pemimpin, ahli untuk berundur – Ismail Sabri

    Zahid wajar dengar desakan pemimpin, ahli untuk berundur – Ismail Sabri

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mesti mendengar luahan dan pandangan pemimpin serta ahli akar umbi yang mendesak beliau untuk berundur dari parti.

    Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahmad Zahid tidak wajar menutup telinga, tanpa memberi sebarang kata putus terhadap desakan kepadanya.

    “Presiden kena dengar pandangan daripada semua. Bila Ketua Bahagian UMNO buat kenyataan, beberapa pihak buat kenyataan. Saya harap Presiden UMNO buat pertimbangan sewajarnya. Jangan menutup telinga untuk tidak mendengar langsung pandangan.

    “Mungkin untuk kebaikan parti, presiden mesti memikirkan masa depan parti, sama ada perlu kekal kerana dia menang pemilihan dan tak boleh dipecat begitu saja. Presiden kalau mahu dipecat mesti dua pertiga ahli panggil mesyuarat agung luar biasa untuk pecat presiden.

    “Tapi presiden juga boleh menarik diri atau berhenti. Itu kuasa yang diberikan Perlembagaan (parti). Presiden perlu memikirkan demi masa depan parti dan jangan menutup telinga (desakan) Ketua Bahagian UMNO, pemuda. Setiap hari kita dengar macam-macam desakan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Semalam, ramai pemimpin UMNO dan ahli akar umbi parti mendesak supaya Ahmad Zahid berundur daripada jawatannya, selepas Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh kemenangan bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15).

  • Rakyat perlu terima kerajaan gabungan: Yadim

    Rakyat perlu terima kerajaan gabungan: Yadim

    RAKYAT perlu terima kerajaan gabungan dan bukannya lagi gabungan politik tunggal yang mentadbir negara sepertimana kebiasaan dialami sejak berdekad lamanya.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, langkah untuk bekerjasama antara parti selepas tidak mendapat majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15 ) adalah pilihan kedua kepada sistem pemilihan yang bersifat majoriti dan bukannya berkadar.

    “Kerajaan gabungan tidak akan bercakap soal idealisme dan agenda parti masing- masing tetapi lebih kepada sasaran serta bidang tumpuan bersama.

    “Perbincangan ke arah kerajaan gabungan selepas pilihan raya pernah dibincangkan parti-parti politik di Malaysia.

    “UMNO pernah bercakap hal ini, Pas juga tidak ketinggalan selain parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) walaupun setiap pihak mahu menang dan membentuk kerajaan secara solo.

    “Cuma mungkin kerana ini realiti baharu yang dihadapi oleh kita, maka kita masih gayat dan mengulasnya berdasarkan pengalaman dan idealisme lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Di Malaysia, lebih 15 juta pengundi yang meletakkan rakyat pada realiti bahkan dalam dunia demokrasi yang matang dan maju, kerajaan gabungan terjadi dengan begitu biasa.

    Menafikan kerajaan gabungan sebenarnya lebih hipokrit, Tuan Kamarul Arief memberitahu, soal itu tidak berbangkit kerana ia realisme yang dipilih oleh pengundi.

    “Contohnya, kerajaan gabungan Cameron-Clegg yang terbina selepas parlimen tergantung di United Kingdom (UK) pada tahun 2010 telah menggabungkan dua parti yang bertentangan ideologi iaitu konservatif dan liberal.

    “Kerajaan ini berjaya mengimbangkan kembali ekonomi UK selepas krisis ekonomi global 2008-2010,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Tambah beliau, selain itu, Koalisi Indonesia Maju (KIM) merupakan gabungan 12 parti yang sangat bertentangan ideologi mereka.

    “Lebih menarik, Jokowi sendiri bukanlah pemimpin utama partinya PDI-P, tetapi diberi sokongan untuk mengetuai gabungan ini.

    “Hasilnya? Indonesia sekarang menjadi destinasi pelaburan bernilai tinggi dunia dan ke arah menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dunia menjelang 2030,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Tuan Kamarul Arief menegaskan, beliau yakin bahawa setiap pihak mempunyai cita-cita untuk Malaysia yang lebih baik.

    “Ini bukan masanya untuk mengangkat panji kerajaan PH, Perikatan Nasional (PN) atau BN. Ini kerajaan gabungan rakyat Malaysia,” katanya.