Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRN : Yin-Hlin calon termuda, Ravinder calon tertua

    PRN : Yin-Hlin calon termuda, Ravinder calon tertua

    CALON termuda yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri ialah Melanie Ting Yi-Hlin, 23, manakala Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM) MS Ravinder Singh, 80, menjadi calon paling tua.

    Melanie, yang juga Ketua Turus Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), berdepan persaingan tiga penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Kamri Kamaruddin dan Shasha Lyna Abdul Latif daripada Perikatan Nasional (PN).

    MS Ravinder Singh, yang juga bekas guru, bertanding di Pantai Jerejak dalam persaingan empat penjuru menentang Fahmi Zainol (PH-PKR), Oh Tong Keong (PN-Gerakan) dan calon MUDA Loh Xiang Pin.

    PRN kali ini turut menyaksikan pembabitan anak-beranak dan mereka yang mempunyai pertalian kekeluargaan,lapor Bernama.

    Isteri bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad iaitu Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid tampil bergandingan dengan anaknya, Mohd Najib Mohd Isa yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Port Dickson, bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) masing-masing di Juasseh dan Bagan Pinang.

    Bibi Sharliza, yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, akan menentang Datuk Eddin Syazlee Shith (PN-Bersatu) manakala Mohd Najib berdepan pertandingan satu lawan satu dengan Abdul Fatah Zakaria (PN-PAS).

    Turut bertanding Nurul Syazwani Noh dan Danni Rais, yang mewakili PN, masing-masing di DUN Permatang, Selangor dan DUN Klawang, Negeri Sembilan.

    Nurul Syazwani, yang juga anak bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar, menentang Mohd Yahya Mat Sahri (PH-PKR) manakala Danni, anak bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, berdepan pertembungan tiga penjuru dengan Saiful Bahri Jaaman @ Sharman (Bebas) dan Datuk Bakri Sawir (PH-Amanah).

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta PRK bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

    PRK bagi Parlimen Kuala Terengganu diadakan setelah kerusi itu diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 27 Jun lepas membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15.

  • Polis aktifkan bilik gerakan Op Cantas pantau PRN

    Polis aktifkan bilik gerakan Op Cantas pantau PRN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengaktifkan bilik gerakan Op Cantas bagi pengumpulan maklumat berkaitan perjalanan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri terlibat.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bilik gerakan yang akan berpusat di Bukit Aman itu berperanan dalam mengenal pasti kesalahan yang dilakukan termasuk provokasi atau sebarang elemen negatif sepanjang PRN.

    Menurutnya, segala maklumat akan dihantar terus ke bilik gerakan yang dikenali Op Room Cantas yang berpusat di Bukit Aman.

    “Bilik gerakan ini berperanan sebagai tempat pengumpulan maklumat berkaitan provokasi yang dicetuskan mana-mana pihak bagi memastikan tindakan dijalankan segera,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

    Tambah beliau, setiap insiden akan dirakam mengikut masa sebenar (real time) melibatkan keenam negeri terlibat.

    “Pelaksanaan tugas ini turut dijalankan oleh unit dron yang mana dron akan diterbangkan di kawasan terlibat di enam negeri,” katanya.

    Beliau berkata, selain penugasan pasukan Op Cantas yang ditugaskan sebelum ini, polis turut menjalankan pemantauan menggunakan dron dan menyalurkannya kepada bilik gerakan Op Cantas itu.

    Katanya, sejumlah 17,136 anggota PDRM telah digerakkan bagi memantau tahap keselamatan di setiap DUN yang terlibat PRN di enam negeri.

    “Penugasan turut dibantu 572 anggota Rela selain sejumlah 82 pasukan Cantas berjumlah 1,459 pegawai dan anggota terlibat bagi memantau proses penamaan calon hari ini.

    “Op Cantas, keanggotaan ini telah bermula pertengahan Mei bagi lima lagi negeri telah bermula 29 Jun lepas dengan tangkapan lebih 400 orang,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar semua parti politik memohon permit sebelum menjalankan sebarang ceramah atau ‘walkabout’ ketika berkempen sepanjang PRN ini.

    Jelas Razarudin, ia bagi memudahkan pihak polis untuk melaksanakan pemantauan sekali gus mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

    “Sebaiknya mohon sehari awal untuk kita pastikan segala proses berjalan lancar, namun saya telah maklumkan kepada Ketua Polis Negeri terlibat, permohonan dalam tempoh 24 jam tetap kita akan teliti.

    “Sebarang ceramah atau ‘walkabout’, mohon permit dahulu supaya tidak berlakunya pertembungan dengan parti lain,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PN akan tunai janji dalam manifesto, wujud kerajaan negeri adil,saksama,efektif – Muhyiddin

    PN akan tunai janji dalam manifesto, wujud kerajaan negeri adil,saksama,efektif – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) berjanji  melaksanakan segala yang dijanjikan dalam manifestonya yang akan dilancarkan tidak lama lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi PN itu berkata, jika terpilih gabungan itu mahu mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang adil, saksama, efektif.

    ‘’Apa yang paling penting ialah bertindak cepat untuk menangani masalah kehidupan rakyat seperti isu kos sara hidup, kenaikan harga barang, inflasi, peluang pekerjaan serta hal-hal yang berkaitan pemulihan ekonomi negara. Semua ini terkandung dalam Manifesto PN yang akan kita lancarkan tidak lama lagi,’’katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri hari ini mengiringi tiga calon PN)ke pusat penamaan calon bagi kerusi DUN Sungai Tua Muhammad Hanif Jamaluddin , DUN Gombak Setia Hilman Idham dan DUN Hulu Kelang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Mengulas proses penamaan calon, Muhyiddin berkata, beliau  gembira melihat semangat para penyokong dan pendukung PN yang begitu ramai dan bersemangat.

    ‘’Marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan semua calon yang mewakili PN akan menang dan dapat membentuk kerajaan negeri yang dipimpin oleh PN, insya-Allah,’’ katanya.

    Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan proses penamaan calon di semua negeri terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) juga berjalan lancar.  

    ‘’Terima kasih kepada semua pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bekerja keras untuk memastikan proses penamaan calon berjalan dengan sempurna,’’ katanya.

  • Bergema pada hari pencalonan, lagu Hoi Hoi Ya Hoi ‘makan diri’

    Bergema pada hari pencalonan, lagu Hoi Hoi Ya Hoi ‘makan diri’

    CALON Pakatan Harapan (PH), Altimet yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya tidak kisah apabila lagunya Hoi Hoi Ya Hoi ‘bergema’ dinyanyikan semula penyokong Perikatan Nasional (PN) semasa beliau tiba di pusat pencalonan hari ini.

    Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang sinis atau menyindir tetapi bersyukur kerana lagu itu bakal menjadi tarikan rasmi untuk orang mengingati PH.

    “Kita kena tengok sesuatu dan rasa bersyukur sebab berapa banyak lagu dilupakan.

    “Ini bukti apabila mereka menyanyi, lagu ini masih relevan dan malar (segar),” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang hari ini.

    Altimet, 45, akan berdepan Sharifah Haslizah Syed Ariffin dari calon PN di kerusi tersebut pada pilihan raya negeri (PRN) di Selangor.

    Ditanya perasaannya apabila penyokong parti pembangkang menyanyikan lagu itu sebagai sindiran buatnya, Altimet berkata, ia adalah sesuatu yang positif jika lagu itu diingati seperti lagu Balik Kampung.

    “Macam lagu balik kampung, orang tak balik kampung pun menyanyi lagu itu, saya anggap (Hoi Hoi Ya Hoi) milik rakyat,” katanya, lapoor Harian Metro.

    Sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, lagu ciptaan Altimet berjudul Aduh Malaysia, menjadi siulan buat penyokong-penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

    Altimet mencipta lagu itu dengan mengubah lirik asal Ali Baba dengan 40 Penyamun dan dilancarkan sendiri di pentas politik.

    Lagu itu kemudian menjadi tular sepanjang kempen PRU15 dan digunakan oleh pemimpin serta jentera PH untuk dijadikan sebagai bahan kempen.

    Namun selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, Altimet diserang oleh netizen kerana rata-rata warganet media sosial meluahkan kekesalan dan meninggalkan sindiran halus seolah-olah lagu itu memakan dirinya.

  • PRN: Pas urus isu tidak puas hati ahlinya terhadap pencalonan Presiden Gerakan

    PRN: Pas urus isu tidak puas hati ahlinya terhadap pencalonan Presiden Gerakan

    PESURUHJAYA Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof berkata, pihaknya sedang menguruskan ahli-ahlinya yang tidak berpuas hati dan ‘panas’ apabila kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas diwakili Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau.

    Beliau berkata, berikutan pemilihan Lau mewakili Perikatan Nasional (PN), dikatakan
    timbul unsur sabotaj dan boikot dalam jentera parti.

    Jelas beliau, perkara itu sedang diuruskan oleh pihak kepimpinan supaya dapat diredakan dan kembali pulih sekali gus berharap dapat berjalan dengan baik sepanjang tempoh pilihan raya negeri (PRN).

    “Sudah tentu mereka ‘panas’, ada berlaku kekhilafan dan sebagainya, maka perkara ini (sabotaj) memang berlaku dalam mana-mana proses sepanjang PRN yang saya ikuti.

    “Malah, ini (pemilihan Dominic sebagai calon) sudah diputuskan oleh Majlis Kepimpinan PN Pusat walaupun kita sudah usaha minta calon Pas (mewakili kerusi DUN Bayan Lepas).

    “Ia (pemilihan Dominic) juga berdasarkan atas kapasitinya sebagai Presiden Gerakan dengan meminta supaya bertanding juga satu (kerusi), mungkin atas sebab itulah (nama) dia dipertimbangkan untuk bertanding (di DUN Bayan Lepas),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Institut Kemahiran Mara (IKM) Tasek Gelugor di Butterworth, hari ini.

    Muhammad Fauzi merupakan calon PN bagi kerusi DUN Sungai Dua akan menentang calon PH-BN daripada UMNO, Datuk Shaikh Hussein Mydin dalam pertandingan satu lawan satu.

    Sementara itu, beliau berkata, buat masa ini pihaknya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan mana-mana parti yang bertanding akan mengetuai jentera parti di kawasan tersebut.

    “Kita cuma nak meredakan semua pihak dan tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Jadi kita meletakkan asas mana-mana parti yang bertanding maka dialah ‘lead’ (ketua) di situ.

    “Contohnya kalau Pas bertanding di situ, Pas lah yang ‘lead’ di situ, begitu juga Bersatu. Jadi, kita cuba buat yang terbaik.

    “Ini adalah asas yang kita letak supaya kekuatan parti itu ditunjukkan dan dipraktikkan dalam proses pilihan raya ini,” katanya.

    Sebelum ini, pencalonan Dominic di DUN Bayan Lepas yang mempunyai 64 peratus pengundi Melayu itu mendapat bantahan keras penyokong Pas Cawangan Bayan Lepas yang mengugut akan memboikot hari penamaan calon dan menutup menutup Bilik Operasi Pas di seluruh kawasan itu.

  • Sanusi mahu rakyat jadikan PRN 6 negeri referendum kepada Kerajaan PH-BN

    Sanusi mahu rakyat jadikan PRN 6 negeri referendum kepada Kerajaan PH-BN

    PERIKATAN NASIONAL (PN) yang berjaya membuktikan keupayaan dan pencapaian dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah telah menimbulkan cemburu, sakit hati dan iri hati Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

    Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional Datuk  Seri Muhammad Sanusi Md Nor  berkata, kehidupan aman damai dan sungai jernih dinikmati rakyat negeri ini juga tiba-tiba bagai didatangi kerbau yang membawa lumpur.

    Tegasnya, Kedah kini dihadapkan dengan tuduhan fitnah dan adu domba yang sangat luar biasa lagi pelik dan beliau percaya PH-BN tewas nanti, ia akan menyebabkan negeri ini berdepan serangan lebih dahsyat.

    “Termasuk sebar fitnah dan berita tidak benar selagimana mereka ada kuasa di peringkat Persekutuan dengan menggunakan agensi kerajaan untuk memburukkan PN. Jadi, mantapkan hati kita, ketahanan diri kita untuk terus yakin kepada PN. Kita tekad, jadikan PRN ini untuk tamatkan riwayat PMX dan Kerajaan PH-BN,” katanya yang juga Calon PN kerusi DUN Jeneri di Pejabat Majlis Tindakan DUN Belantik, di Sik, lapor HarakahDaily.

    Sanusi berkata, Kerajaan PH-BN hanya ghairah mencari salah lawan politik mereka, menyebabkan tiada fokus diberikan kepada pentadbiran.

    Sedangkan kata  beliau, masalah rakyat seperti kenaikan harga barang dan sebagainya masih gagal diselesaikan di mana semua itu merupakan janji mereka ketika menjadi pembangkang.

    Sanusi yang juga Menteri Besar berkata, jika perkara demikian menjadi sikap pemerintahan beliau, tentulah Kerajaan Negeri Kedah juga tidak dapat memberi tumpuan kepada pentadbiran.

    “Jadi (PRN) inilah peluang untuk kita hantar isyarat kepada PMX dan kerajaannya, (bahawa) ‘masa kamu sudah berakhir’,” katanya.

    Beliau berkata, walaupun PRN kali ini hanya di enam negeri, tetapi keikhlasan kerja dan kesungguhan PN dalam pemerintahan ke atas rakyat akan membuka hati banyak pihak untuk mengundi gabungan itu kali ini.

    “Kita doa, Allah alih hati manusia, buka hati orang UMNO, orang PKR, orang PAN untuk undi PN. Untuk bina semula negara ini. Walaupun PRN ini hanya di enam negeri, tetapi ia boleh jadi referendum atau isyarat besar,’’ katanya.

  • PRN:Presiden Gerakan yakin dapat sokongan, ‘restu’ ahli Pas

    PRN:Presiden Gerakan yakin dapat sokongan, ‘restu’ ahli Pas

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau yakin mendapat sokongan daripada semua parti komponen PN termasuk daripada ahli-ahli Pas pada pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu.

    Beliau yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas berkata, ini boleh dibuktikan apabila ahli Pas hadir memberi sokongan kepadanya pada proses penamaan calon di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar, Bayan Lepas hari ini.

    Menurutnya, bukan sahaja parti komponen, malah beliau yakin akan ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak gereja dan tokong yang akan bantunya berkempen dan menang di kerusi berkenaan.

    Jelasnya, ini kerana, pengundi bukannya semua datang daripada parti politik, sebaliknya terdiri daripada rakyat Pulau Pinang.

    “Saya betul-betul berharap agar mereka beri sokongan penuh untuk membolehkan saya mendapat mandat dalam pilihan raya negeri (PRN) pada kali ini,” ujar beliau ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon.

    Kerusi DUN Bayan Lepas itu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Dominic dengan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga penyandang, Azrul Mahathir Aziz.

    Terdahulu, Dominic ditanya sama ada kelibat jentera Pas turut hadir memberi sokongan kepadanya pada proses penamaan calon hari ini berikutan kontroversi pencalonannya di kerusi itu yang mendapat tentangan ahli-ahli Pas.

    Sebelum ini, ahli-ahli Pas Cawangan Bayan Lepas mengugut boikot pencalonan Dominic kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pucuk pimpinan PN meletakkan beliau bertanding di kerusi DUN Bayan Lepas yang merupakan majoriti pengundi Melayu serta kubu kuat Pas.

    Difahamkan, calon PN di kerusi DUN Bayan Lepas itu pada mulanya diberikan kepada Pas yang menamakan Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim.

    Sementara itu, ditanya berkenaan cabaran untuk mendapatkan sokongan orang Melayu yang merupakan pengundi majoriti di DUN Bayan Lepas, Dominic berkata, PN mengharapkan sokongan daripada semua kaum, bukan hanya daripada pengundi Melayu.

    “Pengundi di Bayan Lepas adalah pelbagai kaum, oleh itu sebagai calon PN, kami mahu daptkan sokongan semua lapisan masyarakat tak kisah daripada mana-mana kaum dan agama atau yang miskin dan kaya.

    “Sebab kita akan berusaha untuk dapatkan mandat dan sokongan daripada seluruh penduduk Pulau Pinang,” katanya.

    Dalam pada itu, Azrul Mahathir berkata, beliau tidak akan mengambil mudah cabaran pada PRN kali ini meskipun turun sebagai penyandang kerana menyedari lawannya memiliki nama besar dalam politik.

    Begitupun, jelasnya, PH sudah bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja lawan di kerusi itu dan yakin rakyat sudah membuat keputusan dan menilai parti yang dimahukan mereka sejak lima tahun lepas.

    “Kita nampak kesatuan mereka (PN) tak kukuh, ada masalah dengan parti dan calon yang mahu bertanding di sini, jadi itu akan jadi kekuatan kepada kita semula,” katanya.

  • Menormalisasikan rasuah : ‘’Dia boleh cakap apa saja’’ – jawab Zahid kepada Syed Saddiq

    Menormalisasikan rasuah : ‘’Dia boleh cakap apa saja’’ – jawab Zahid kepada Syed Saddiq

    PENGERUSI BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan tindakannya mengumumkan peruntukan di Terengganu semalam, sehari sebelum penamaan calon, walaupun dikritik sebagai “menormalisasikan rasuah”.

    Menjawab kenyataan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman, Zahid berkata Presiden Muda itu boleh berkata apa sahaja berkenaan perkara itu.

    “Dia boleh cakap apa saja tapi yang penting para belia perlukan peruntukan yang cukup untuk menjalankan aktiviti, sama ada persatuan-persatuan belia di peringkat daerah ataupun juga negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan jentera tiga DUN di bawah parlimen Kota Bharu, di Kota Bharu, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Zahid demikian ketika diminta mengulas kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa beliau cuba menormalisasikan rasuah susulan mengumumkan berjumlah peruntukan RM250,000 kepada Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri Terengganu, semalam.

    Sementara itu, ditanya sejauh mana kerajaan persekutuan akan menunaikan peruntukan yang dijanjikan di negeri-negeri yang mungkin akan dimenangi pembangkang, Timbalan Perdana Menteri itu menjawabnya dengan memetik sepotong hadis.

    “Kita akan lakukan yang terbaik, tetapi kita mesti pegang kepada hadis sahih nabi: tidak namanya bersyukur pada Allah jika tidak berterima kasih kepada yang memberi.

    “Yang memberi adalah kerajaan Madani…Jangan soal bahawa kita akan melakukan perkara-perkara yang negatif tetapi kita soal kepada diri kita sendiri adakah kita bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada yang memberi,” katanya, sambil menambah kerajaan persekutuan bukanlah zalim dan tidak menepati janji.

  • Arwah bapa pesan kerja keras bantu rakyat, kata calon PN yang baru kematian bapa

    Arwah bapa pesan kerja keras bantu rakyat, kata calon PN yang baru kematian bapa

    CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin yang kematian bapa pada Jumaat tetap mengingati pesanan arwah bapanya supaya bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat.

    Mohd. Zamri atau lebih dikenali Ustaz Zamri Mantop berkata, Allahyarham bapanya, Mohd. Zainuldin Mohd. Jainuddin, 77, sentiasa menitip doa dan memberi sokongan penuh kepada beliau untuk bertanding di DUN itu dan dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

    “Arwah bapa saya beritahu, kalau hendak berkhidmat buatlah yang terbaik dan kena tolong masyarakat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhah Pekan Tanjong Karang, Kuala Selangor, hari ini.

    Mohd. Zamri yang selesai menghadiri proses penamaan calon di Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang kemudiannya menziarahi kubur bapanya itu terlebih dahulu sebelum turun berkempen.

    Allahyarham Zainuldin yang menghidap penyakit asma meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada pukul 7.32 pagi.

    Mohd. Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Karang berkata, Allahyarham bapanya juga seorang ahli dan penyokong Pas mahu beliau sentiasa berdamping dengan masyarakat setempat.

    “Arwah memang sentiasa latih saya mendekatkan diri berjumpa dengan masyarakat contohnya pergi kenduri dan ini sebagai persiapan mental pada peringkat awal ini,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Ditanya mengenai persediaan menghadapi saingan dua penjuru di DUN Sungai Burong, Mohd. Zamri memberitahu, saingan dihadapi sengit dan fokus untuk bertanding secara sihat, matang serta sejahtera bagi menyuburkan proses demokrasi di negara ini.

    “Kita serius untuk membawa rakyat supaya berfikir bagaimana hendak bawa negara dan negeri ini pada masa depan,” ujarnya.

    PRN kali ini menyaksikan Mohd. Zamri berdepan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Khir Ramli di DUN Permatang.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kerusi itu dimenangi calon BN, Datuk Mohd. Shamsudin Lias selepas memperoleh majoriti 2,330 undi.

    Mohd. Shamsudin mendapat 8,741 undi menewaskan Mohd. Zamri daripada Pas yang memperoleh 6,411 undi dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Tarmizi Lazim 5,323 undi.

  • SPRM lancar tujuh bilik gerakan sempena PRN

    SPRM lancar tujuh bilik gerakan sempena PRN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan tujuh bilik gerakan sempena pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.

    Suruhanjaya tersebut memaklumkan, langkah tersebut bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

    “Kesemua bilik gerakan beroperasi 24 jam mulai hari ini hingga 12 Ogos,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Bilik gerakan boleh dihubungi melalui 03-88911038 atau e-mel [email protected] (Ibu Pejabat SPRM), 03-55248318 atau [email protected] (Pejabat SPRM Selangor), 06-7625446 atau [email protected] pejabat SPRM Negeri Sembilan.

    Maklumat juga boleh disalurkan melalui talian 04-7001361 atau [email protected] (Pejabat SPRM Kedah), 04-2271982 atau [email protected] (Pejabat SPRM Pulau Pinang), 09-6301920 atau [email protected] (Pejabat SPRM Terengganu) dan 09-7661800 atau [email protected] (Pejabat SPRM Kelantan).

    “SPRM juga mengingatkan kepada semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya,” jelas SPR, lapor Sinar Harian.

    Tegas suruhanjaya tersebut, ini selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.