SEORANG wanita warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret di Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh kekasihnya yang merupakan seorang lelaki tempatan di sebuah apartment di Taman Bukit Delima, Seremban minggu lepas.
Tertuduh, La Anh Thu, 33, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin, lapor Sinar Harian.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kematian ke atas, Lim Swee Shyong, 50, di Blok A Casa Prima, Jalan Bukit Delima 2, Taman Bukit Delima lebih kurang pukul 9 hingga 9.45 malam pada 21 November lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan hendaklah dihukum mati.
Tertuduh sebelum itu tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi dengan memakai baju kameja berwarna kuning kelihatan tenang.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur’Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Steward Abdullah, Mohd Khairullizan Kamisan dan Datuk Haniff Hasan.
Pihak pendakwaan memohon satu tarikh untuk mendapatkan laporan forensik, kimia dan perubatan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan kes disebut semula 26 Januari 2023 untuk serahan dokumen.
PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yakin Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada 7 Disember ini.
Beliau yakin dengan prestasi PN yang sangat baik susulan kemenangan gabungan itu di kerusi Parlimen Rompin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari.
“Ada petanda yang baik kerana prestasi kita sangat baik, bagi kerusi Parlimen Rompin kita menang.
“Kita harap undi itu tak berubah malah meningkat lagi,” katanya dalam satu sidang media bersama Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Tanjung Gemok, Rompin, lapor SatuBerita.
Ketika ditanya adakah gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan negeri Pahang akan mempengaruhi sentimen pengundi di kawasan Tioman, Abdul Hadi mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
“Itu kita tunggu dan lihat, itu kerajaan minoriti.
“Kita anggap kerajaan minoriti menghormati majoriti dengan menambah kemenangan di Tioman,” katanya lagi.
Calon PN, Nor Idayu Hashim berdepan empat calon lain dalam merebut kerusi DUN Tioman iaitu Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), dan Sulaiman Bakar (Bebas).
Pengundian PRU15, DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada hari pengundian 19 November lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini, dengan 3 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian awal.
DUN Tioman mempunyai 28,465 daftar pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis, dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.
POLIS New Delhi menahan seorang ibu dan anaknya selepas membunuh suami sendiri dengan memotong badan dan menyimpan dalam peti sejuk sebelum melupuskannya.
Mangsa, Anhan Das adalah penduduk di perkampungan Pandav Nagar dan menetap bersama isterinya, Poonam serta anak tirinya, Deepak.
Polis menahan kedua-dua suspek selepas menjumpai beberapa bahagian badan termasuk dua tangan, dua paha, tengkorak dan lengan di kawasan Trilokpuri, Kalyanpuri dan Pandav Nagar.
Identiti mangsa dikenal pasti selepas polis menjalankan siasatan dengan melihat kamera litar tertutup (CCTV) menyaksikan ibu dan anaknya bergerak membawa beg ke tanah terbiar.
Selepas siasatan lanjut, kedua beranak tersebut mengaku melakukan jenayah kejam itu dan mendakwa suaminya menjalinkan hubungan sulit.
“Pada 30 Mei, mereka meletakkan pil tidur dalam minuman Anjan dan kemudian mengelar lehernya. Mereka meninggalkan mayat dalam rumah selama sehari bagi membuang darah sepenuhnya.
“Kemudian mereka memotong badan kepada beberapa bahagian. Setakat ini polis hanya menemui enam bahagian,” kata polis, menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi.
Media tempatan melaporkan kedua-dua suspek mengecat rumah selepas menyimpan mayat dalam peti sejuk untuk mengelakkan bau busuk.
Difahamkan, pasangan tersebut berkahwin pada 2017 dan kerap bergaduh.
HAKIM Mahkamah Tinggi mengingatkan peguam Datin Seri Rosmah Mansor supaya memberi keutamaan kepada kes pengubahan wang haram dan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, kes itu sepatutnya diberi keutamaan peguam kerana belum dibicarakan walaupun selepas empat tahun Rosmah didakwa iaitu pada 4 Oktober 2018.
“Kes ini sudah mengambil masa yang lama, sejak 2018 lagi,” katanya lapor BH Online.
Bagaimanapun, Mohamed Zaini berkata, beliau berpandangan peguam hanya boleh mengutamakan kes lain jika ia membabitkan pertuduhan yang membawa hukuman mati.
Hakim itu berkata demikian selepas diberitahu oleh peguam Ravin Kumar bahawa peguam Datuk Geethan Ram Vincent ada kes lain yang perlu dikendalikan.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember ini bagi sebutan untuk menetapkan tarikh perbicaraan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu mahkamah, pendakwaan akan memanggil antara 13 hingga 14 saksi untuk memberikan keterangan.
Yih Tinn berkata, rayuan Rosmah supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada kes itu pula ditetapkan bagi sebutan pada 23 Disember ini.
Rosmah, 70, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.
AHLI Parlimen yang terlibat dalam kes salah laku tidak boleh menyertai Kabinet jika kerajaan benar-benar serius untuk tidak berkompromi dalam isu integriti.
Penganalisis politik, Prof. Wong Chin Huat berkata, jika individu yang berdepan kes mahkamah diturut sertakan dalam pentadbiran, rakyat akan marah dan pembangkang akan menggunakannya sebagai senjata untuk menyerang kerajaan.
“Kalau kemudian kes mereka digugurkan kerana Peguam Negara kita masih belum direformasikan, rakyat akan melihat keadilan itu digadai atas pertimbangan politik – jadi itu tak boleh berlaku.
“Secara terus terang, saya rasa ada empat Ahli Parlimen dalam kerajaan campuran ini yang tak boleh jadi ahli Kabinet – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Lim Guan Eng, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda Awani, semalam.
Katanya, keempat-empat individu tersebut masih menjalani perbicaraan di mahkamah atas dakwaan salah guna kuasa dan korupsi.
“Beberapa penganalisis sebelum ini juga menyatakan perkara sama, walaupun seseorang itu masih tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, tumpuan mereka nanti akan lebih terarah kepada mahkamah dan mustahil untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.
Secara kolektifnya, kata Chin Huat, jika individu terbabit dan mereka yang tidak mempunyai reputasi bersih dilantik menjadi anggota pentadbiran, kerajaan nanti akan sentiasa dalam posisi defensif lantas tidak dapat berfungsi sepertimana diharapkan.
KETETAPAN UMNO sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu dibuat untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bukan untuk selepasnya, kata Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, kerjasama antara blok ialah pendekatan baharu yang diyakini menjadi perintis perpaduan dan keharmonian seperti diilhamkan Yang di-Pertuan Agong.
“Kerjasama strategik ini tidak mengabaikan prinsip UMNO. Perlu difahami bahawa prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah untuk berdepan pada PRU15 dan bukannya untuk pasca pilihan raya,
“Kesinambungan politik ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti, iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa.
“UMNO tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap sederhana dan progresif dalam menangani perubahan,” katanya dalam Facebook.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO menolak parti yang menggunakan agama untuk berpolitik.
“Sebaliknya, UMNO secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya lagi memetik laporan FMT.
DAKWAAN bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan bermula 2020 hingga 2022 adalah tidak benar, tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menerusi hantaran di Facebook, bekas Perdana Menteri itu berkata, semua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.
“Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan ini tidak benar,” katanya dalam hantaran itu.
Beliau mengulas satu dakwaan di Twitter kononnya perbelanjaan berjumlah RM620 bilion bermula 2020 hingga 2022 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak direkod.
Mengulas lanjut, Ismail berkata nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion di mana sebahagian besar tidak melibatkan perbelanjaan Kerajaan (seperti moratorium pinjaman oleh bank).
“Perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan tersebut telahpun diluluskan Parlimen sebulat suara,” katanya lagi memetik laporan FMT.
PERIKATAN Nasional (PN) Perak menafikan dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bahawa terdapat cubaan mendapatkan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN bagi membentuk kerajaan negeri.
Setiausahanya, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, cubaan ‘mencuri’ empat wakil rakyat parti itu minggu lalu adalah tidak benar serta tidak berasaskan fakta.
Jelas beliau, itu merupakan tuduhan yang tidak berasas dan PN tidak pernah memberi atau menawarkan mahupun mahu membeli ADUN BN.
“Janganlah membuat tuduhan begitu. Saya sendiri tidak pernah hubungi mana-mana ADUN BN sehinggalah Saarani mengangkat sumpah pada Isnin.
“Saya sendiri jumpa beliau pada pukul 3 pagi pada Ahad minggu lalu untuk bertanyakan kerjasama itu sahaja,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Menurut Zainol Fadzi, beliau ada menghubungi dua ADUN BN untuk bertanyakan mengenai pelantikan Exco.
“Tiada pula arah atau menghantar ejen seperti yang didakwa apatah lagi meminta mereka keluar parti kerana semuanya saya kenal dan bersahabat baik.
“Saya faham tekanan yang beliau hadapi disebabkan keputusan yang telah diambil cuma dalam kes ini tidak timbul isu cubaan membeli ADUN BN.
“Waktu pertemuan Saraani bersama Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu adalah untuk melihat gabungan PN dan BN menubuhkan kerajaan Perak itu sahaja,” katanya.
Semalam, Saarani mendedahkan kononnya terdapat cubaan pihak tertentu mendapatkan sokongan ADUN BN sebelum pembentukan kerajaan negeri.
TIGA lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan kereta di Kilometer 15 Jalan Kluang-Teck Wah Hing, Kluang pada pukul 4 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan dalam keadaan hujan renyai itu melibatkan sebuah kereta Proton Wira dengan sebuah van Placer-X.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati van dari arah Renggam menghala ke Kluang manakala kereta pula dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu disyaki telah hilang kawalan dan masuk laluan van lalu berlanggar.
“Akibat daripada perlanggaran itu, pemandu kereta tersebut, Muhammad Haziq Haiqal Mohd. Faizal, 20 cedera teruk di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Pemandu dan semua penumpang yang menaiki van cedera dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang
Katanya, penumpang belakang kereta berkenaan, Muhammad Khairil Rosli, 17, juga cedera teruk di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara seorang penumpang hadapan kereta itu katanya, Ariffudin Khairum Ab. Ghafar, 21, cedera dalaman dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Menurutnya, seorang lagi penumpang belakang kereta berkenaan, Muhd. Haziq Kamarul Azhar, 17, patah kaki kiri serta masih menerima rawatan Zon kuning di HEBHK.
Bahrin berkata, pemandu van pula, Ariffin Othman, 43, cedera di kepala, tangan kiri dan kanan serta kaki sebelah kanan, masih menerima rawatan zon hijau di HEBHK.
“Isterinya iaitu penumpang hadapan van tersebut, Zalinda Mohamad, 42, cedera di mata sebelah kiri serta masih menerima rawatan zon hijau di HEBHK.
Pemandu dan penumpang belakang kereta Proton Wira maut di tempat kejadian manakala seorang penumpang hadapan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital
“Sementara anaknya yang merupakan penumpang belakang, Mohamad Hazriq Saufi Ariffin, 15, cedera di kaki kanan patah serta masih menerima rawatan zon kuning di HEBHK.
“Begitu juga dengan seorang lagi anak mereka iaitu penumpang belakang van berkenaan, Nur Elsta Soffiya Ariffin, 11, cedera di kaki kanan serta masih menerima rawatan zon hijau di hospital sama,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, sebuah jentera Fier Rescue Tedner (FRT) bersama lapan anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.29 petang.
Anggota bomba membersihkan laluan tersebut dan operasi tamat pada jam 5.14 petang tadi
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta dan van berkenaan.
“Terdapat empat mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut dengan dua daripadanya iaitu di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang kereta disahkan maut di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“PKO bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan memotong manakala seterusnya empat mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulan KKM.
“Mangsa yang maut di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada 5.14 petang tadi,” katanya.
PAS beranggapan tiada beza saiz kabinet lebih kecil yang akan dibentuk Kerajaan Perpaduan jika terdapat dua atau tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM), kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Pembaharuan dalam sistem pentadbiran berkait saiz kabinet tersebut adalah antara manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
“Tak ada makna kalau kabinet kecil, tetapi TPM sampai dua atau tiga. Kecil di bawah, besar di atas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jamuan Kesyukuran anjuran Pas Kubang Kerian di pekarangan Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh di Kota Bharu hari ini.
Mengulas lanjut katanya, gabungan Perikatan Nasional (PN) yang memenangi jumlah kerusi yang besar pada PRU15 akan bertindak memantau Kerajaan Perpaduan termasuk berkaitan pembentukan kabinet berkenaan.
Jelanya, PN akan bertindak sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan itu dan pantau semua perbelanjaan termasuk polisi dalam Parlimen.
“Insya-Allah, kami yakin dengan kepakaran dalam PN, kami mampu mengetengahkan polisi dan memberikan idea yang baik,” katanya lapor Sinar Harian.
Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar mengumumkan beliau akan menyelesaikan pembentukan Jemaah Menteri kerajaan yang dipimpinnya dalam tempoh beberapa hari lagi.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berpandangan kerajaan yang terbentuk di peringkat nasional antara PH dan Barisan Nasional (BN) itu bukanlah Kerajaan Perpaduan sebaliknya hanya sebuah kerajaan campuran.
“Konsep kerajaan perpaduan perlu ada semua parti. Harus menghormati parti-parti yang utama. Rakyat beri mandat kepada PN dengan Pas sahaja mendapat 49 kerusi tertinggi tetapi tiba-tiba yang rakyat kehendaki itu tidak berada dalam kerajaan.
“Saya fikir ini bukan Kerajaan Perpaduan, ini kerajaan campuran PH dan BN macam ABC, air batu campur,” katanya.