Author: Wartawan WartaRakyat

  • Legenda bola sepak Kelantan meninggal dunia

    Legenda bola sepak Kelantan meninggal dunia

    LAGENDA bola sepak Kelantan, Mohd. Hashim Mustapha, 57, meninggal dunia pada pukul 10.25 malam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian hari ini.

    Menantunya, Mohd. Nizab Ayub berkata, bapa mentuanya itu menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga.

    “Urusan pengkebumian akan dilakukan pada esok (Rabu),” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Pada Sabtu lalu, medi melaporkan bekas penyerang terbilang Kelantan yang merupakan legenda bola sepak negeri itu, Mohd Hashim terpaksa ditidurkan oleh doktor akibat masalah komplikasi kecing manis.

    Perkhabaran itu dikongsikan oleh menantu kepada bekas penggempur berbisa Kelantan, Mohd. Nizab Ayub yang pernah bermain bersama The Red Warriors (TRW) sebelum ini.

  • Anak durjana hidang teh panas beracun bunuh ibu, ayah serta kakak

    Anak durjana hidang teh panas beracun bunuh ibu, ayah serta kakak

    POLIS menahan seorang pemuda selepas dipercayai membunuh tiga ahli keluarganya di sebuah kediaman dekat Mertoyudan, Magelang, Jawa Tengah, semalam.

    Memetik laporan Kompas.com, suspek yang dikenali sebagai DDS, 22, membunuh bapa, ibu dan kakaknya dengan menggunakan racun dipercayai arsenik.

    Ketua Perhubungan Awam Polis Jawa Tengah, Iqbal Alqudusy berkata, mangsa ialah Abbas Ashar, 58, Heri Riyani, 54, dan Dhea Choirunnisa, 24.

    “Suspek yang merupakan anak kedua mengaku telah mencampurkan racun yang dibeli secara dalam talian ke dalam bancuhan teh panas dan kopi ais,” ujarnya.

    Jelasnya, saksi kejadian mendapati ketiga-tiga mangsa mula loya dan muntah sebelum terbaring di dalam tandas.

    “Saksi kemudian memanggil penduduk untuk membawa mangsa ke hospital.

    “Bagaimanapun, hasil pemeriksaan pegawai perubatan medapati ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

    Iqbal berkata, suspek kini ditahan di Unit Siasatan Jenayah Polis Magelang bagi tindakan lanjut.

    Sementara jenazah tiga sekeluarga itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Sasono Loyo, Prajenan, petang semalam.

  • Kanak-kanak maut dihempap tiang eletrik, dua rakan tidak sedar diri

    Kanak-kanak maut dihempap tiang eletrik, dua rakan tidak sedar diri

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak maut, manakala dua rakannya tidak sedarkan diri akibat dihempap tiang elektrik yang dilonggok di tepi jalan di Kampung Belukar Changlun, Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang tadi, kesemua kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun itu dipercayai bermain di atas longgokan tiang tersebut yang kemudian terjatuh.

    Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian disahkan oleh petugas kesihatan.

    Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian disahkan oleh petugas kesihatan.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saadon berkata, dua kanak-kanak yang tidak sedarkan diri itu kini menerima rawatan di Hospital Jitra.

    “Komander Operasi melaporkan kejadian melibatkan tiga mangsa yang dipercayai bermain berdekatan tiang elektrik itu yang dilonggokan di tepi jalan berkenaan.

    “Tiang tersebut dipercayai telah terjatuh dan menghempap mangsa. Semasa anggota tiba di lokasi ketiga-tiga mangsa telah berjaya dibawa keluar oleh orang awam dengan menggunakan jengkaut,” katanya hari ini.

    Semua kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun itu dipercayai bermain di atas longgokan tiang tersebut yang kemudian terjatuh.

    Menurut Saayani, pasukannya membawa seorang mangsa yang tidak sedarkan diri ke Hospital Jitra, manakala seorang lagi mangsa dibawa oleh ambulan Kementerian Kesihatan.

    “Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • Warga emas patah kaki langgar buaya lintas jalan

    Warga emas patah kaki langgar buaya lintas jalan

    SEORANG warga emas patah kaki selepas motosikal ditunggangi terlanggar buaya di jalan Kampung Kubang Telaga, di Bachok pukul 12.30 tengah hari tadi.

    Menurut mangsa, Rossazali Abdullah, 61, mendakwa terlanggar buaya sepanjang lebih dua meter yang sedang melintas jalan.

    “Kejadian berlaku ketika saya menunggang motosikal bersendirian dari Gunong, Bachok untuk pulang ke rumah di Taman Desa Anda, Pasir Puteh.

    “Setibanya di tempat kejadian, saya terkejut melihat seekor buaya atas jalan dan tidak sempat menekan brek.

    “Saya terlanggar bahagian tengah badan reptilia itu dan ekornya melibas saya menyebabkan saya dan motosikal terbabas ke dalam kawasan lumpur di tepi jalan itu,” kata Rossazli yang juga pesara kerajaan ketika dihubungi.

    Rossazali berkata, buaya itu menghilang ke semak berdekatan, manakala penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan itu membantunya keluar daripada lumpur.

    “Penduduk turut membantu membersihkan lumpur pada motosikal, manakala saya dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan X-ray mendapati kaki kanannya patah dan kini dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

    Sementara itu, Rossazali berkata, laporan polis juga belum dibuat memandangkan dia perlu menjalani rawatan terlebih dulu.

  • Aktiviti sorok telur mustahil berlaku

    Aktiviti sorok telur mustahil berlaku

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur menafikan, masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran adalah disebabkan peniaga menyorok komoditi tersebut.

    Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, perkara tersebut tidak mungkin berlaku kerana jangka hayat telur sangat pendek selain mudah rosak.

    Katanya, masalah kekurangan bekalan berlaku kerana pengguna melakukan pembelian panik atau membeli pada kuantiti terlalu banyak.

    Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Ariffin Samsudin. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kita tiada pun sebarang aduan rasmi mengenai perkara tersebut dan kita pun faham telur ini mempunyai had jangka hayat pendek.

    “Jadi agak mustahil untuk sorokkan telur ini sebagai salah satu komoditi. Jadi tak mungkin berlaku untuk sorok telur ini.

    “Apa yang berlaku di Kuala Lumpur adalah lebih kepada pembelian panik yang menyebabkan setiap orang membeli pada kadar yang tidak sepatutnya,” katanya.

    Sebahagian daripada bekalan telur ayam yang terdapat disalah sebuah pasaraya di Setiawangsa, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemantauan harga telur ayam di salah sebuah pasar raya di Titiwangsa, hari ini.

    Pada masa sama, Ariffin menegaskan, telur merupakan barang kawalan yang mana harganya tidak boleh naik sewenang-wenangnya di pasaran.

    Malah, pihaknya turut memiliki pegawai yang akan menjalankan pemantauan dalam memastikan harga telur di pasaran dipatuhi setiap peniaga.

    “Kita tidak terima sebarang aduan berkenaan (telur) melebihi harga kawalan, sebab kita control, telur gred A B dan C adalah di bawah kawalan kita.

    Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Ariffin Samsudin (tengah) bersama pegawainya memeriksa bekalan telur ayam ketika mengadakan pemantauan bekalan telur ayam disalah sebuah pasaraya di Setiawangsa, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kita juga setiap hari ada pegawai pemantau harga yang memantau, jadi bila dia memantau kita dapat lihat harga-harga.

    “Tak nampak sebarang unsur mengatakan telur kawalan ini dijual pada harga melebihi harga,” katanya lagi.

    Beliau menambah jumlah bekalan telur di ibu negara masih pada kadar sama iaitu sekitar 140,000 sehingga 120,000 biji.

    Sehubungan itu, Ariffin berharap, pengguna tidak melakukan pembelian panik dan menggunakan telur pada kadar sama seperti mana kebiasaan.

    “Jadi saya nasihatkan kembali kepada cara hidup yang lama, kalau biasa makan lima biji, beli lima biji, jangan beli lebih-lebih.

    “Dia ‘expired’ cepat, telur Omega pun beli hari ini 20 hari bulan sudah expired, takkan nak simpan sampai 20 hari,” tegasnya.

  • Hanya PN layak bicara soal prinsip – Wan Saiful

    Hanya PN layak bicara soal prinsip – Wan Saiful

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, rakyat sudah nampak bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah rosak dan hilang hala tuju selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU)

    “Perasuah, penyamun, kluster mahkamah dan pendendam kepada penjawat awam kini dilihat sudah berkumpul dalam satu kelompok.

    “Kelompok itu mengidamkan kuasa dan takhta sehingga prinsip dengan mudah dilempar ke tong sampah,” ujar Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.

    Sebaliknya kata beliau, Perikatan Nasional (PN) berada di tempat paling baik untuk menggantikan BN sekarang ini.

    “Apabila kita berjaya meraih kepercayaan kaum bukan Melayu dan Melayu bandar, kita juga boleh menggantikan PH.

    “Rakyat sudah nampak ketegasan kita dalam memperjuangkan prinsip. Hanya kita yang layak bercakap mengenai prinsip pada hari ini.

    “PRU15 juga melambangkan kemunculan satu paksi baharu dalam politik negara yang mengambil integriti dan semangat Islami sebagai tunjangnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tegas beliau, PN adalah tunjang utama kepada paksi baharu itu dan mereka perlu terjemahkannya menjadi paksi yang mencakupi rakyat berbilang kaum dan segenap lapisan umur.

    “Generasi baru mahukan Malaysia yang benar-benar baru. Generasi baru mahukan saf kepimpinan politik yang mendahulukan rakyat dan berprinsip.

    “Perikatan Nasional mesti menggalas amanah tersebut dan memperjuangkan sebuah Malaysia baru yang makmur dan sejahtera untuk semua tanpa mengira agama dan bangsa,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan PN wajib bangga dengan pencapaian dalam PRU15 kerana gabungan itu bukan sahaja mencatat peningkatan kerusi sehingga penganalisis tersalah jangka malah berjaya mewujudkan gelombang kebangkitan generasi baharu.

    Begitupun, beliau menegaskan PN tidak boleh berasa selesa dan mesti menerima hakikat bahawa masih ada ruang yang boleh diperbaiki.

    “Gabungan parti-parti dalam PN berjaya memperkukuh satu sama lain. Bersatu membawa imej dan ketrampilan kepimpinan. Pas membawa kekuatan jentera dan kelangsungan fikrah perjuangan.

    “Gerakan, SUPP dan STAR membawa kekayaan budaya dan resam untuk membolehkan PN diterima semua. Saling kebergantungan ini menghasilkan satu kebersamaan yang menyeluruh dan inklusif.

    “Tidak ada satu parti dalam PN yang boleh mendakwa mereka membawa lebih banyak sumbangan. Kerana rangkaian imej, jentera, dan penerimaan semuanya diperlukan serentak. Sekiranya satu tiada, maka cacat semuanya,” katanya.

  • Pelajar berkelah bersama rakan lemas di air terjun

    Pelajar berkelah bersama rakan lemas di air terjun

    KEGEMBIRAAN 26 penuntut Politeknik Jeli yang berkelah di air terjun di Lata Goleng dekat Kampung Sungai Rual di Jeli, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas pagi tadi.

    Mangsa, Wan Mohammad Syahiid Wan Abdul Aziz, 20, ditemukan lemas pada pukul 10.40 pagi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, mangsa ditemui di dasar sungai iaitu sejauh 7.5 kilometer dari lokasi dia terjatuh di kawasan air terjun itu.

    Katanya, mangsa dipercayai dibawa arus deras kerana paras air sungai naik mendadak selepas hujan lebat malam tadi.

    “Mayat mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Jeli,” katanya di Jeli, hari ini lapor BH Online.

    Beliau berkata, mangsa terjatuh ke dalam sungai pukul 4.43 petang semalam sebelum rakan mangsa meminta pertolongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

    Katanya, sebaik mendapat panggilan, anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

    “Operasi itu disertai oleh 13 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk daripada PPDA Machang dan Pengkalan Chepa,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

  • Dua cedera tabung NGV lori meletup ketika diisi gas

    Dua cedera tabung NGV lori meletup ketika diisi gas

    DUA lelaki termasuk seorang warga emas cedera selepas tabung gas asli (NGV) pada sebuah lori meletup di sebuah stesen minyak dekat Kawasan Perindustrian Dato Onn, Jalan Langkasuka, Johor Bahru, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, pemandu lori berusia 64 tahun dilaporkan cedera ringan di tangan, namun pekerja stesen minyak berkenaan berusia 57 tahun cedera dan perlu dikejarkan ke hospital.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd. Faiz Suleiman, kedua-dua mangsa itu cedera selepas terkena serpihan tabung NGV yang meletup itu.

    Letupan tabung NGV itu turut mengakibatkan sebuah teksi yang berada di stesen minyak, bangunan stesen minyak dan sebuah asrama pasar raya berhampiran stesen minyak rosak.

    Katanya, letupan tabung NGV itu turut mengakibatkan sebuah teksi yang berada di stesen minyak, bangunan stesen minyak dan sebuah asrama pasar raya berhampiran stesen minyak rosak.

    “Selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.05 tengah hari, seramai 14 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Letupan berlaku ketika pengisian gas ke dalam tabung tong NGV itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Pemandu lori berusia 64 tahun dilaporkan cedera ringan di tangan, namun pekerja stesen minyak berkenaan berusia 57 tahun cedera dan perlu dikejarkan ke hospital.

    Beliau berkata, pihaknya kemudian memberi rawatan kepada pemandu lori yang cedera ringan dan kemudian menghantar pekerja stesen minyak ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    “Seorang lagi pekerja stesen minyak iaitu wanita berusia 37 tahun dilaporkan selamat, namun trauma,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

  • PM diminta bukti ketegasan, tolak ahli Kabinet ada kes mahkamah – MCW

    PM diminta bukti ketegasan, tolak ahli Kabinet ada kes mahkamah – MCW

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta untuk membuktikan ketegasan dengan melantik ahli Kabinet dalam kalangan mereka yang berintegriti tinggi.

    Tiada sebarang kompromi atas sebarang alasan melantik Ahli Parlimen yang sedang didakwa di mahkamah sebagai jemaah menteri Kerajaan Perpaduan.

    Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Anwar perlu membuktikan bahawa nilai integriti dan karisma adalah keutamaan ahli Kabinet yang bakal dipilih.

    Tegasnya, ini demi memartabatkan kembali nama Malaysia di persada dunia yang tercalar teruk akibat daripada pemimpin terpalit rasuah dan salah guna kuasa.

    “Kita sedar bahawa selama ini Perdana Menteri secara konsisten tegas dengan pandangan mahukan pemimpin-pemimpin yang berintegriti tinggi.

    “Nilai integriti, ketelusan dan salah guna kuasa mesti dizahirkan menerusi pelantikan anggota-anggota Kabinet yang mempunyai rekod bersih.

    “Inilah masanya untuk membuktikan ketegasan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini seperti dilaporkan UtusanTV.

    Jais berkata, MCW bersetuju dengan pendapat mengatakan sekiranya mereka yang masih memiliki kes mahkamah dilantik ia pasti akan melumpuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan ini.

    Tegasnya, Ahli Parlimen terbabit hanya boleh dilantik sehingga didapati tidak bersalah dan dilepaskan sepenuhnya oleh mahkamah.

    “MCW mewakili rakyat yang cintakan perjuangan antirasuah mengesa kerajaan terkini di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang mahu lakukan reformasi untuk bebaskan negara daripada cengkaman salah guna kuasa dan penyelewangan wang rakyat.

    “Hentikan kerakusan kuasa politik supaya semua Ahli Parlimen yang bakal dilantik dapat bertindak dan bekerja tanpa melatah dalam mainan politik kotor.

    “Berkhidmatlah dengan amanah demi kestabilan politik, kemakmuran rakyat dan bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19 serta senario ekonomi dunia yang semakin meruncing,” katanya lagi.

  • Ketengah pemimpin baharu, suburkan era PN lebih terampil

    Ketengah pemimpin baharu, suburkan era PN lebih terampil

    KERINGAT generasi baharu perlu ditagih sebagai pemimpin bagi menerajui era baharu Perikatan Nasional (PN).

    Seorang pemimpin parti komponen PN ketika menyarankan perkara itu berpendapat ia menjadi satu daripada enam syor yang perlu diberi perhatian segera oleh kepemimpinan tertinggi gabungan parti berkenaan.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, saranan itu dibuat kerana tidak mahu melihat gabungan parti itu terlalu selesa berikutan terdapat ruang yang perlu diperbaiki.

    Katanya, generasi baharu yang merangkumi golongan muda dan profesional perlu diangkat sebagai kelompok peneraju PN, namun mereka perlu dibimbing pemimpin berpengalaman.

    “Ini agar parti boleh memanfaatkan idea segar yang mereka bawa berlandaskan iktibar pengalaman tokoh lebih senior.

    “Jadi, perlu ada adunan orang baharu dan lama tanpa mengetepikan sesiapa,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau, hari ini.

    Wan Saiful turut mencadangkan agar PN tidak mengabaikan pengundi bukan Melayu termasuk Melayu di kawasan bandar kerana negara ini, memiliki populasi merangkumi pelbagai lapisan kaum serta masyarakat.

    Justeru, beliau menggesa supaya kepemimpinan PN bekerja dengan lebih kuat untuk meyakinkan kelompok pengundi terbabit.

    “Negara ini adalah milik semua dan PN mesti menjadi parti untuk semua lapisan rakyat,” katanya lapor BH Online.

    Selain itu, katanya, antara perkara yang perlu PN beri perhatian segera adalah pemikiran perjuangan PN yang mengangkat agenda prihatin, bersih dan stabil, bagi memastikan mesej itu sampai kepada rakyat demi membentuk Malaysia yang makmur serta sejahtera untuk semua.

    Pada masa sama, beliau mahu ukhuwah dan kemesraan sesama parti komponen diperkukuhkan agar PN dapat bergerak sebagai satu ketumbukan.

    Katanya, ini kerana generasi baharu jelik dengan politik kepartian yang sempit.

    “Keterampilan peribadi tokoh yang memimpin PN perlu dipindahkan menjadi keterampilan kelompok yang merangkumi keseluruhan parti agar tiada ‘hero worship’ (pemujaan hero) seperti yang wujud dalam parti lain.

    “Parti komponen PN juga perlu memperbanyakkan ruang perkongsian kepakaran dan membina kemampuan jentera secara bersama, terutama dalam memperkasa jentera akar umbi dalam kalangan orang muda,” katanya.