Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis siasat video Jalur Gemilang dikibar dengan bendera Israel

    Polis siasat video Jalur Gemilang dikibar dengan bendera Israel

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung penyebaran klip video menunjukkan beberapa individu menyanyikan lagu Negaraku sambil menaikkan bendera Malaysia dan Israel.

    Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashriman Ku Mahmood berkata, siasatan dilakukan susulan satu laporan dibuat seorang lelaki tempatan pada 29 Nov lalu yang melihat rakaman video itu tular di WhatsApp.

    Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada September lalu ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan bersama agensi pelancongan.

    “Kita menerima satu laporan polis daripada lelaki warga tempatan yang menyatakan melihat rakaman video berdurasi 47 saat di kumpulan sembang WhatsApp, di mana lagu Negaraku dinyanyikan beberapa individu dan bendera Malaysia dikibarkan bersama bendera Israel.

    “Siasatan awal mendapati kejadian dalam video itu berlaku pada September lalu ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke sebuah negara bersama agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan.

    Ku Mashriman berkata, meminta orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan dan menyebarkan sebarang bahan di mana-mana platform.

    Katanya, ia bagi mengelakkan spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan polis serta menggugat ketenteraman awam.

    Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Operasi Maritim Malaysia, AADK tahan 19 nelayan positif dadah

    Operasi Maritim Malaysia, AADK tahan 19 nelayan positif dadah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 19 individu terdiri daripada nelayan di Kuala Kedah ditahan akibat positif dadah dalam operasi bersepadu dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar dan Pokok Sena, semalam.

    Sebahagaian daripada nelayan yang diperiksa Maritim Malaysia dan AADK dalam operasi dijalankan semalam.

    Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd. Nadzir, operasi tersebut bermula kira-kira pukul 10 pagi semalam bertujuan membanteras kegiatan penagihan dadah dalam kalangan komuniti nelayan.

    “Serbuan dilakukan di jeti-jeti bot sekitar muara Kuala Kedah serta pemeriksaan awak terhadap bot nelayan tempatan yang berada di kawasan berhampiran.

    “Hasil operasi itu, seramai 19 individu ditahan kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine. Selain itu sebuah bot nelayan tempatan kelas B turut diambil tindakan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan.

    Tambahnya, operasi tersebut melibatkan seramai 60 pegawai dan anggota dari kedua-dua agensi terlibat.

    “Kesemua individu ditahan merupakan warganegara tempatan berusia antara 25 hingga 50 tahun. Mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Menurutnya, Maritim Malaysia sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang di perairan negara.

    “Kami amat mengalu-alukan aduan mahu pun laporan mengenai sebarang aktiviti jenayah mahu pun kecemasan di laut.

    “Maklumat mengenai perkara itu boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

  • Kerajaan PH belum stabil, boleh diugut seperti kerajaan PN – Wan Saiful

    Kerajaan PH belum stabil, boleh diugut seperti kerajaan PN – Wan Saiful

    KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak stabil dan boleh diugut pada bila-bila masa.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, situasi itu sama sahaja ketika pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Kasihan kepada perdana menteri cakap pasal reformasi tetapi berhadapan dengan kelompok yang boleh ugut dia, pernah ada rekod jatuhkan kerajaan sendiri, kalau tak penuhi tuntutan mereka masa Muhyiddin dan Ismail sebelum ini.

    “Muhyiddin dijatuhkan oleh beberapa pemimpin BN yang tarik sokongan,” katanya dalam temubual di Agenda Awani semalam lapor BeritaBersatu.

    Beliau merujuk kepada beberapa pimpinan BN yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sebelum ini sehingga digantikan dengan Ismail.

    Dalam pada itu, Wan Saiful berkata kerajaan di bawah pimpinan Anwar pada masa ini bergantung pada BN dalam blok kerajaan.

    Katanya, sekiranya diganggu-gugat kesungguhan Anwar untuk reformasi, kerajaan akan terus tidak stabil

    “Jadi kes mahkamah ini akan jadi perhatian. Tiba-tiba Zahid Hamidi (presiden Umno) tak bersalah…..apa akan berlaku?…. dan jika Zahid bersalah apa kesannya dalam konteks kerajaan. Ini perkara besar,” katanya.

    Sementara itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata beliau bangga PN berada dalam blok pembangkang dan prinsip sanggup ketepikan jawatan dan kuasa itu dijaga.

    Berbeza dengan PH yang sanggup kompromi dengan parti yang dikutuk dan dihina sebelum ini hanya demi dapatkan kuasa.

    “Saya bangga duduk di sebelah PN. Cuma saya bimbang dengan sikap ahli politik populis dalam kerajaan PH inilah yang membuatkan rakyat dalam negara muak dengan orang politik.

    “Sekejap cakap lain, esok cakap lain dan lusa cakap lain,” katanya.

  • ‘MCA dimaklumkan supaya bersama PN lepas PRU-15’

    ‘MCA dimaklumkan supaya bersama PN lepas PRU-15’

    TIMBALAN Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon hari ini mendedahkan bahawa pemimpin kanan BN yang tidak dinamakan memaklumkan kepada parti itu supaya bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Pendedahan itu dibuat susulan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa PN memiliki akuan bersumpah (SD) daripada MCA dan MIC yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

    Mah dalam kenyataannya hari ini, tidak mengesahkan mahupun menafikan jika dua ahli parlimen parti itu ada menandatangani sebarang SD yang menyokong PN.

    “Selepas berakhirnya PRU-15, parti MCA telah dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin kanan dalam BN bahawa BN patut bersama PN bagi membentuk kerajaan berdasarkan kepada keputusan yang dibuat sebelum PRU15 iaitu, No DAP & No Anwar.

    “Situasi sama turut berlaku kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    “Laporan berita juga banyak menyiarkan mengenai sokongan GPS kepada PN selepas mereka dimaklumkan bahawa BN bersetuju menyokong PN,” katanya lapor Malaysiakini.

    Bagaimanapun, BN menafikan perkara itu, dan mesyuarat dewan tertinggi kemudian memutuskan ketika itu untuk kekal sebagai gabungan pembangkang yang berkecuali.

    Pada mesyuarat itu, Mah berkata bahawa Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga mencadangkan mana-mana pihak yang telah menandatangani SD yang menyokong PN supaya menariknya semula serta-merta, keputusan yang diterima pakai oleh BN secara keseluruhan.

    MCA dan BN kini menjadi sebahagian daripada kerajaan bersama Pakatan Harapan.

    Muhyiddin dan PN sebelum ini mendakwa mereka mempunyai sokongan 115 ahli parlimen tetapi Anwar kemudiannya berjaya mengumpulkan majoriti di Dewan Rakyat.

    Hadi memetik SD yang didakwa ditandatangani oleh MCA dan MIC dalam usaha untuk membuktikan bahawa partinya tidak ekstrem dan PN menikmati at sokongan parti-parti bukan Islam lain itu.

  • Warga emas meninggal dunia dalam tandas

    Warga emas meninggal dunia dalam tandas

    SEORANG pekerja tandas awam di Jalan Klebang Besar, Melaka ditemui meninggal dunia pada malam tadi.

    Mohamad Ismail Saadah, 67, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kerusi kaunter tandas milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu dan laporan polis telah diterima pada pukul 8.25 malam.

    “Siasatan mendapati tiada unsur jenayah pada mayat berkenaan. Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, punca kematian dipercayai akibat serangan jantung berdasarkan rekod kesihatan juga warga emas itu pernah menerima rawatan di hospital kerana menghidap penyakit itu tiga tahun lalu.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Tolak pemimpin kelabu mata demi jawatan, gadai prinsip – Hadi

    Tolak pemimpin kelabu mata demi jawatan, gadai prinsip – Hadi

    PRESIDEN Pas membidas pemimpin parti politik utama negara ini apabila bersikap kelabu mata menerima tawaran yang menjanjikan kedudukan tinggi seperti perdana menteri dan menteri besar dengan sanggup menggadai prinsip diperjuangkan mereka selama ini.

    Tegas Tan Sri Abdul Hadi Awang, perkembangan semasa itu agak malang jika dibandingkan dengan Sirah Nabawiyyah yang patut diteladani umat Islam.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selanjutnya menggesa rakyat yang melihat dan memahami perkembangan itu mesti menolak jenis pemimpin seperti itu.

    “Malangnya hari ini, apabila ditawarkan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar, Exco, dan sebagainya, terus kelabu mata untuk menerimanya dan sanggup menggadaikan prinsip. Kita sebenarnya belajar daripada siapa?

    “Maka, rakyat yang melihat dan memahami mesti menolak jenis pemimpin seperti ini,” katanya menerusi catatan Facebook terbaharu beliau hari ini.

    Mengulas lanjut Hadi menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW yang ditawarkan pemimpin Musyrikin Mekah dengan jawatan raja, harta kekayaan, dan wanita asalkan Nabi SAW meninggalkan dakwah Islamiah, Baginda SAW dengan tegas menolak tawaran tersebut.

    Walhal katanya, boleh saja Nabi Muhammad SAW menerima tawaran tersebut, kerana dengan kuasalah Baginda mampu melakukan apa-apa sahaja.

    Namun tegasnya, Nabi SAW menolak kerana Islam tidak dapat memimpin dan perlu menuruti kehendak orang kafir Quraisy.

    “Selepas berhijrah ke Madinah, barulah Rasulullah SAW menjadi pemimpin Madinah kerana Islam sudah boleh memimpin dan menyatupadukan seluruh masyarakat majmuk di sana. Inilah petunjuk Sirah Nabawiyyah yang patut kita teladani.

    “Marilah sama-sama kita mendukung Perikatan Nasional untuk melakukan perubahan dan membina kepimpinan negara secara istiqamah berdasarkan petunjuk Allah SWT,” tambahnya.

  • Wajib mengundi setiap kali pilihan raya, elak negara dalam bahaya

    Wajib mengundi setiap kali pilihan raya, elak negara dalam bahaya

    TAN Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengingatkan akan kewajipan mengundi kepada rakyat negara ini setiap kali mereka berdepan pilihan raya.

    Menurut Presiden Pas itu, kegagalan mengundi boleh mengakibatkan politik dan negara umat Islam dikuasai oleh mereka yang memusuhi Islam sekali gus mengundang pelbagai azab di dunia.

    Namun Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, sebahagian umat Islam itu sendiri mengabaikan tanggungjawab tersebut apabila ada yang tidak mahu turun mengundi.

    “Malah (sebahagian umat Islam) menolak demokrasi secara keseluruhan dengan alasan bahawa demokrasi berasal dari Barat.

    “Kesannya, politik dan negara umat Islam dikuasai oleh mereka yang memusuhi Islam atau tidak memahami Islam dengan makna yang sebenar, lantas mengundang pelbagai azab di dunia seperti keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, kemiskinan, kenaikan kos sara hidup, dan banyak lagi,” katanya menerusi catatan Facebook beliau hari ini.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, demokrasi pilihan raya hakikatnya berasal daripada Islam melalui kitab-kitab karangan para ulama Siyasah al-Syar‘iyyah berasaskan pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW.

    Beliau berkata, demokrasi pilihan raya kemudian dicedok oleh pihak Barat semasa mereka menjarah tanah air umat Islam.

    “Marilah kita umat Islam sama-sama kembali kepada penghayatan Islam yang hakiki, khususnya dengan melibatkan diri dalam politik demi menjamin masa depan umat dan negara yang lebih baik,” tambahnya.

  • PM tak patut lantik ahli JAC – Tuanku Muhriz

    PM tak patut lantik ahli JAC – Tuanku Muhriz

    PERDANA menteri tidak patut dibenarkan untuk melantik ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), kata Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

    Sebaliknya, beliau berkata, pelantikan itu boleh diberikan kepada institusi lain seperti Majlis Peguam, Persatuan Undang-undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak dan Jawatankuasa Khas Parlimen.

    “Untuk memastikan JAC bebas dalam melaksanakan tanggungjawab, saya mencadangkan agar lima ahli JAC tidak dibuat oleh perdana menteri.

    “Dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC akan lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260.

    JAC terdiri daripada sembilan ahli, iaitu empat pentadbiran badan kehakiman tertinggi yang diketuai ketua hakim negara, seorang hakim kanan Mahkamah Persekutuan dan empat individu terkemuka, yang dilantik perdana menteri.

    Dalam pada itu, Tuanku Muhriz mencadangkan struktur JAC turut dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada, badan-badan guaman, institusi-institusi lain yang relevan.

    “Sekiranya semua ini dilaksanakan, saya yakin JAC akan mampu menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah dalam kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil,” katanya, lapor Free Malaysia Today

  • Dua TPM dalam 25 jemaah menteri Anwar

    Dua TPM dalam 25 jemaah menteri Anwar

    DUA Timbalan Perdana Menteri akan dilantik dalam senarai 25 ahli Jemaah Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurut sumber, Timbalan Perdana Menteri terdiri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

    “Parti Keadilan Rakyat (PKR), UMNO, DAP dan GPS mungkin diberi jawatan menteri paling banyak.

    “Parti Warisan (Warisan), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) juga dijadual dimasukkan dalam Jemaah Menteri pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu,” menurut laporan Free Malaysia Today.

    Sumber itu juga berkata, Anwar dijangka mengumumkan jemaah menteri esok.

    Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, Khamis lalu.

    Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, dikatakan bakal mengisi satu daripada dua jawatan Timbalan Perdana Menteri.

    Terdapat juga khabar angin mengatakan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam jemaah menteri Anwar.

    Anwar turut digesa supaya tidak menyenaraikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam jemaah menteri dan Ahli Parlimen lain yang berdepan kes mahkamah yang sedang berjalan, termasuk Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta yang lain.

    Bagaimanapun, semalam, bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, Zahid memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang akhirnya menyaksikan BN bersetuju bekerjasama dengan PH, sebelum gabungan dan parti lain menyusuli selepas itu.

  • PRU15: BN janji hak milik tanah, rasuah pilihan raya

    PRU15: BN janji hak milik tanah, rasuah pilihan raya

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang mendakwa tindakan calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain mahu menyelesaikan isu pemilikan tanah yang tertunggak lebih 40 tahun sebagai merasuah pengundi.

    Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, perkara itu tidak sepatutnya dilakukan terutama ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sedang berlangsung.

    “Ini rasuah pilihan raya berbentuk janji terhadap isu hak milik tanah yang sudah lama berlarutan. Walaupun ini amalan biasa bagi UMNO/BN tetapi amalan sebegini tidak harus dilakukan terutama pada ketika ini.

    “Jadi rakyat akan berharap dan bergantung penuh harapan apabila selepas PRU kelak isu ini boleh selesaikan. Janji ini adalah untuk meraih undi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Semalam, seorang pengguna media sosial Facebook memuat naik beberapa video memaparkan calon BN itu berjanji kepada penduduk yang terlibat untuk menyelesaikan segera isu pemilikan tanah sebelum hari mengundi.

    Mengulas lanjut, Andansura berharap penduduk di DUN Tioman tidak terpengaruh dengan janji sebegini dan mahu perkara tersebut dihentikan.

    Jelasnya, jika benar calon BN boleh menyelesaikan isu pemilikan sebelum 7 Disember, kenapa kerajaan Pahang tidak mengambil pendekatan sama di daerah lain seluruh negeri.

    “Jangan di DUN Tioman sahaja, hendak selesaikan isu itu sebab pilihan raya. Bila PRU sahaja, masalah lama boleh diselesaikan.

    “Boleh selesai terus masalah teknikal atau masalah lain sebab akan dapat undi daripada penduduk yang akan perolehi geran,” ujar beliau.

    Andansura yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah menyifatkan tindakan berkenaan seperti diskriminasi dan salah guna kuasa.

    Justeru, beliau harap kerajaan Pahang menyelesaikan masalah berkenaan secara menyeluruh.

    Menurutnya, ADUN daripada PN akan mengumpul semua penduduk yang mengalami masalah sama untuk juga diselesaikan.

    “Kita akan gerakan seramai mungkin mereka yang ada masalah begini di kawasan Beserah lebih kurang 300 orang akan dikumpulkan di pejabat tanah.

    “Kita tidak mahu ini menjadi satu diskriminasi kerana pilihan raya, sedangkan kawasan lain tidak selesai,” tegasnya.