Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki baling batu ke arah Ibu Pejabat Pas ditahan

    Lelaki baling batu ke arah Ibu Pejabat Pas ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki berumur 36 tahun di sini semalam, yang disyaki terlibat membaling batu ke arah Ibu Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut, kelmarin, sehingga mengakibatkan dinding kaca pejabat itu pecah.

    Menurut sumber, penganggur itu ditahan di Lorong Tiong Nam, Chow Kit pada pukul 10 malam dan dia akan direman hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat.

    Menurut sumber itu lagi, difahamkan lelaki berkenaan berbuat demikian kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan parti PAS, dari segi kerjasama politik.

    “Siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk sembilan rekod kesalahan dadah,” katanya kepada Bernama.

    Sabtu lepas, Pas membuat laporan polis selepas dinding kaca di Ibu Pejabat Pas Pusat dibaling dengan batu oleh seorang lelaki, beberapa jam sebelum bermula proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

  • Segera hentikan komen terbuka isu dalaman Pas

    Segera hentikan komen terbuka isu dalaman Pas

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengingatkan agar ahli parti itu segera menghentikan sebarang tindakan memberi kenyataan umum yang boleh menjejaskan peluang mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Jelasnya, larangan tersebut membabitkan sebarang urusan dalaman parti dan melalui apa saja saluran yang ada.

    “Larangan kenyataan tersebut juga meliputi isu pemilihan calon Pas-PN,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

    Ujar Takiyuddin lagi, semua ahli Pas perlu faham bahawa proses pemilihan calon bagi mewakili Pas dibuat mengikut ketetapan yang jelas diperuntukkan dalam perlembagaan parti, bukannya hasil desakan atau tekanan mana-mana pihak.

    “Ini juga dibuat selepas mengambil kira pandangan semua peringkat dalam Pas.

    “Justeru sebarang kenyataan yang berupa sedemikian lebih-lebih lagi yang membawa risiko sokongan kepada Pas-PN perlu dihentikan segera bagi mengelakkan pihak berkuasa tatatertib parti terpaksa menjalankan prosidingnya,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Pas bersama PN bakal menyertai PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini.

    Pemilihan calon dilihat antara isu yang menjadi duri dalam daging di sesetengah tempat, khususnya membabitkan kawasan PAS yang ditandingi calon dari parti komponen PN.

    Antara yang paling menonjol ialah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas yang diberikan kepada Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau.

    Menjelang pengumuman calon bagi kawasan itu pemimpin Pas di peringkat negeri dan cawangan sudah menyatakan bantahan mereka, khususnya apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut merupakan kawasan majoriti Melayu.

    Rasa tidak puas hati Pas setempat juga dapat dikesan melalui beberapa hantaran yang dibuat sama ada secara langsung atau berkias di pelbagai platform media sosial.

    Persaingan di DUN Ayer Hangat juga menyaksikan seorang ahli Pas menjadi calon Bebas di situ selepas tidak berpuas hati apabila wakil Bersatu yang terpilih.

    Pas-PN sudah menyatakan keyakinan mereka untuk memenangi semua enam negeri yang terbabit dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Arahan mengekang ahli daripada membuat kenyataan yang dikeluarkan semalam bukanlah kali pertama dibuat Pas.

    Pada 27 Julai lalu peringatan sama juga dikeluarkan Takiyuddin serta Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Takiyuddin berkata, sebarang persoalan atau rasa tidak puas hati berkaitan pertikaian dalaman ahli Pas perlu disuarakan mengikut saluran yang ada pada pertubuhan tersebut.

    “Sebagai sebuah parti arus perdana, Pas bersama rakan-rakan gabungan dalam PN yakin akan terus diberikan mandat dalam PRN ini untuk mara berkhidmat kepada negara dan rakyat jelata,” ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi.

  • Calon BN DUN Jeram Padang kemalangan, pemandu kritikal

    Calon BN DUN Jeram Padang kemalangan, pemandu kritikal

    CALON Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Mohd. Zaidy Abdul Kadir dilaporkan terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan pemandu kereta dinaikinya kritikal, awal pagi tadi.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan kemalangan berlaku 3.25 pagi di Jalan Pasir Besar-Palong, Tampin.

    “Pemandu agak kritikal. Mohon semua dapat doakan agar keduanya kembali sembuh dengan sempurna dan diangkat segala kesakitan,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

    Difahamkan Zaidy dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Jempol.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab. Wahab ketika dihubungi FMT mengesahkan kejadian dan memberitahu kenyataan media akan dikeluarkan kemudian.

    “Kenyataan akan dibuat selepas siasatan di tempat kejadian selesai,” katanya.

    Pada PRN 12 Ogos depan, beliau akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Surash Sreenivasan di kerusi yang sebelum ini dimenangi BN menerusi MIC.

  • MBI lapor polis nafi dakwaan Saifuddin

    MBI lapor polis nafi dakwaan Saifuddin

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERBADANAN Menteri Besar (MBI) Kedah membuat laporan polis bagi menafikan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dianggap sebagai fitnah terhadap anak syarikat kerajaan negeri (GLC) itu.

    Jurucakap Polis Kedah, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, laporan itu dibuat seorang wanita yang merupakan Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran MBI Kedah.

    Katanya, laporan berkenaan dibuat kira-kira pukul 6 petang semalam.

    “Wanita itu membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan Saifuddin yang tular dalam media sosial pada 27 Julai lalu menyatakan terdapat seorang lelaki China bekerja dengan MBI Kedah.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

    Saifuddin dalam siri ceramah sebelum ini beberapa kali membuat dakwaan kononnya terdapat lelaki warganegara China yang dibawa masuk dan diambil bekerja dengan MBI bagi projek unsur nadir bumi (REE).

    Alzafny dalam pada itu memaklumkan, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai ucapan menyentuh perkara berkaitan agama, raja dan kaum (3R).

    “Secara keseluruhannya terdapat 59 ceramah diadakan di seluruh Kedah semalam iaitu 10 melibatkan Barisan Nasional (BN), lima Pakatan Harapan (PH), 38 Perikatan Nasional (PN) dan enam bebas.

    “Kota Setar mencatatkan jumlah ceramah terbanyak iaitu 13, diikuti Kulim (7), Baling (6) dan Kubang Pasu (5),” katanya.

  • Kecaman hanya kuatkan semangat Baddrol untuk bukti sesuatu

    Kecaman hanya kuatkan semangat Baddrol untuk bukti sesuatu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEKAS Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar tidak mengambil pusing kecaman diterimanya sebaik terjun ke dunia politik dan menganggap perkara itu sebagai cabaran biasa yang perlu ditempuhi dalam dunia baharunya itu.

    Katanya, beliau sedikit pun tidak berkecil hati sebaliknya kecaman sebegitu hanya membuatkannya lebih bersemangat untuk membuktikan bahawa langkahnya menyertai politik merupakan satu pilihan tepat.

    “Segala kata-kata itu saya anggap sebagai motivasi untuk terus memperjuangkan belia selain seluruh masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum di Kedah.

    “Bermain bola sepak mencabar, begitu jugalah politik. Saya akan berusaha memimpin, seperti mana saya memimpin rakan-rakan untuk mencapai kemenangan di atas padang,” katanya ketika ditemui dalam program santai bersama penduduk Kuala Kedah, petang semalam.

    Baddrol akan berdepan saingan Mohammed Firdaus Johari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    Ketika ini pelbagai kecaman dilemparkan terhadap Baddrol daripada penyokong parti lawan yang memperkecilkan kemampuan individu berusia 35 tahun tersebut dalam dunia politik.

    Mengulas lanjut Baddrol berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor banyak memberi panduan berkaitan politik.

    “Beliau banyak memberi inspirasi kepada saya. Muhammad Sanusi turut mengingatkan bahawa politik tidak seperti bermain bola sepak yang penatnya cuma 90 minit, politik pula penatnya 24 jam,” katanya.

  • ‘’Jangan bawa unsur kleptokrasi ke Terengganu’’- Razali

    ‘’Jangan bawa unsur kleptokrasi ke Terengganu’’- Razali

    CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Datuk Razali Idris menegaskan supaya tidak sesekali membawa unsur kleptokrasi di Terengganu.

    Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu itu berkata, ini kerana rakyat di negeri ini terutama golongan belia tidak terperdaya dengan dakyah tersebut yang masih segar dan mengakar dalam kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    Beliau berkata demikian sebagai respons kepada tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid ketika berceramah pada Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) yang disyaki mengandungi unsur sogokan terhadap pengundi muda.

    “Tolak kleptokrasi dalam kepimpinan kakistokrasi Kerajaan Perpaduan Madani ini. Kleptokrasi terbaharu datang dari Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika berucap sewaktu LesGU pada Jumaat lalu. Menggunakan platform Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang mana melaungkan kepada umum bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). Ia dikatakan bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri ini,” katanya di Facebooknya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di Terengganu.

    Perkembangan itu diumumkan ketika LesGU sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah di Dungun pada Jumaat.

    Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri tersebut.

    Mengulas lanjut, Razali berkata, kemudian disogokkan pula jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan belia dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Ujarnya, ia juga dicampur aduk dengan ucapan politik bahawa yakin gelombang biru dan merah akan mengubah ‘pantai politik’ di Terengganu pada PRN nanti apabila didukung golongan pengundi belia yang turut akan diberikan peruntukan RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri ini.

    “Sefaham saya agaknya berapa banyak persatuan permotoran di pantai timur ini dan agaknya semua dapat atau kroni atau geng nepotisme yang terpilih sahaja ? Inilah gula-gula PRN secara terang-terangan oleh kerajaan Perpaduan Madani.

    “Makin rosak nampaknya. Rakyat dan pengundi Terengganu semakin bimbang dengan sebuah pemerintahan yang dipimpin ahli-ahli korup menggunakan kuasa untuk mempergunakan rakyat dan sumber negara mereka agar dapat menambahkan kekayaan dan tampuk kekuasaan mereka sendiri,” jelasnya.

    Menurut Razali, sistem sebegini biasanya melibatkan penyelewengan simpanan negara sehingga menyusahkan rakyat termasuk ‘menggula-gulakan’ rakyat menerusi angka yang sangat mempersonakan.

  • ‘Sudah 8 bulan, tak nampak Anwar mampu tadbir negara’ – Muhyiddin

    ‘Sudah 8 bulan, tak nampak Anwar mampu tadbir negara’ – Muhyiddin

    “KALAU pun orang kata baharu lapan bulan, tapi lapan bulan tak menunjukkan satu keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik.”

    Itu kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sejak penghujung tahun lalu.

    Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, segala tadbir urus dan soal dasar yang direncana Anwar hanya dibuat secara umum tetapi tidak jelas.

    Malah, beliau turut mendakwa tiada satu pun perancangan dilaksanakan Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah rakyat.

    Jelas Muhyiddin, perkara itu cukup berbeza semasa beliau menjawat jawatan nombor satu negara itu apabila pelbagai bantuan dan sokongan diberikan untuk rakyat.

    “Di ceramah saya pergi banyak tempat, saya minta rakyat beri satu sahaja apa yang Anwar dah buat setakat ini. Tiada orang boleh jawab. Tiada respons jelas. Berbanding waktu Kerajaan Prihatin yang saya pimpin dahulu, mereka boleh jawab sampai hari ini. Mereka boleh ingat apa kita buat kerana ketika itu waktu susah dan sekarang pun zaman susah,” katanya kepada UtusanTV .

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mendakwa tidak nampak petanda bahawa Anwar mampu menguruskan negara berdasarkan tatakelola yang terbaik seperti yang sering diungkapkan Perdana Menteri.

    Kata beliau, soal kos sara hidup merupakan perkara besar yang sering dibangkitkan rakyat, namun perkara itu didakwa tidak ‘disentuh’ Kerajaan Madani ketika ini.

    “Bebanan hidup, pendapatan kecil, harga barang melambung malah tiada harga yang turun. Bila saya pergi bertemu rakyat, mereka kata satu sahaja yang turun iaitu hujan tapi harga barang lain semua naik. Kalau tak salah dalam kerajaan ada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL). Dengar tak apa cerita NACCOL? Tidak ada,” katanya.

  • Azam Baki kata pengumuman Zahid bukan sogokan

    Azam Baki kata pengumuman Zahid bukan sogokan

    GERAN berjumlah RM100,000 yang akan diberi kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu bukanlah satu bentuk rasuah.

    Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya melihat pemberian itu dari kementerian di peringkat Persekutuan.

    “Ini adalah sebuah kerajaan pemerintah yang boleh melaksanakan inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat. Pada hemat saya, tiada masalah berhubung isu pemberian geran ini kerana ia merupakan inisiatif kerajaan. Jadi kalau inisiatif peruntukan yang telah diluluskan kerajaan, ia tiada unsur rasuah,” katanya lapor Sinar Harian.

    Kata beliau, pemberian seumpama ini juga bukan berbentuk rasuah.

    Pada Jumaat, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Ketengah bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di Terengganu.

    Pengumuman itu disampaikan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Terengganu.

    Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.

  • ‘’Pengumuman Zahid sangat jelas beri sogokan, apa tindakan SPRM?’’ –  tanya Tuan Ibrahim

    ‘’Pengumuman Zahid sangat jelas beri sogokan, apa tindakan SPRM?’’ –  tanya Tuan Ibrahim

    PAS menyifatkan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu yang mengumumkan pelbagai sumbangan dan geran kepada belia negeri itu Jumaat lalu sangat jelas memberi sogokan dan bercanggah dengan undang-undang negara.

    Sehubungan itu Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu menanti apakan tindakan Suruhanjaya Pencecahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    ‘’Tindakan memberi pelbagai geran dan sumbangan kewangan dengan syarat mengundi BN-PH jelas merupakan satu bentuk rasuah menjelang pilihan raya negeri. ‘Walaupun pelbagai pihak meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam pelbagai diplatform media sosial di atas ucapan tersebut, nampaknya SPRM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan,’’ katanya dałam kenyataan hari ini, lapor Harakah Daily.

    Beliau mengulas pengumuman Ahmad Zahid pada Jumaat yang meluluskan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu, selain RM200,000 bagi kelab bermotosikal di negeri itu, sehari sebelum penamaan calon berlangsung semalam.

    Ahmad Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menggesa belia yang hadir pada majlis itu supaya mengundi “gelombang biru dan merah” pada PRN bulan depan.

    Beliau berkata, sikap SPRM jauh berbeza dengan tindakan segera SPRM yang mengeluarkan kenyataan terhadap tindakan pihak pembangkang.

    ‘’Sehinggakan menyediakan bas oleh kerajaan Kelantan untuk kemudahan pengundi pulang mengundi tanpa sebarang syarat pun dianggap oleh SPRM sebagai satu kesalahan rasuah.

    ‘’Hal yang sama turut dirasai rakyat terhadap BERSIH. Suatu masa dahulu BERSIH begitu lantang memperjuangkan sistem pilihanraya yang bersih dan adil namun turut sepi apabila parti pemerintah melakukan kesalahan,’’ katanya.

    Keadaan itu  kata beliau berbeza jika hal yang sama dilakukan oleh parti pembangkang, BERSIH akan segera mengeluarkan kenyataan yang begitu lantang membantah tindakan pembangkang.

    ‘’BERSIH kini dilihat gagal berperanan sebagaimana ia diasaskan diawal penubuhannya kerana dilihat condong menyokong parti pemerintah khususnya PH.

    ‘’Perjuangan untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya Malaysia semakin sepi bilamana beberapa orang tokoh mereka menyertai PH dalam pilihanraya dan tidak lagi dilihat adil terhadap parti pembangkang,’’ katanya.

    Tuan Ibrahim berkata, akyat kini menuntut tindakan segera sebelum mereka menterjemahkan dalam peti undi pada 12 Ogos nanti.

  • Perikatan Nasional tidak akan khianati rakyat -Tuan Ibrahim

    Perikatan Nasional tidak akan khianati rakyat -Tuan Ibrahim

    PERIKATAN NASIONAL (PN) berpegang kepada janji tidak akan khianat kepada pengundi dan rakyat yang telah memberi keyakinan serta sokongan sebagaimana gelombang besar ditunjukkan.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas sudah menegaskan sebelum PRU15 lagi tidak akan bersama DAP dan Barisan Nasional (BN), tetapi kekal dengan Muafakat Nasional.

    “Sebab itu bagi kita kebangkitan rakyat sekarang, kenapa? Kerana tak percaya pada kerajaan yang ada. Hari ni saya menang, pagi besok minyak turun. Yang tahu semua orang boleh nilai, semua boleh tengok balik. Bercakap pagi lain, petang lain,” tegasnya di Kota Bharu lapor HarakahDaily.

    Kata beliau, selepas PRU-15 akhirnya rakyat termasuk ahli-ahli UMNO semakin yakin wujud rundingan antara pemimpin mereka walaupun telah bersumpah ‘wallahi, wabillahi, watallahi’ bahawa ‘No Anwar, No DAP’.

    Manakala di pihak satu lagi tegas beliau, bersumpah dengan nyanyian lagi ‘hoi hoi ya hoi’, serta serangan tuduhan seperti ‘penyangak, perompak, penyamun, perasuah, sakau’ yang membuatkan pengikut percaya.

    Kerana itu kata Tuan Ibrahim gelombang kali ini lebih besar disebabkan ahli dan penyokong masing-masing PH-BN sudah tahu bahawa pemimpin mereka telah melakukan pembohongan.

    Beliau berkata, gelombang besar yang awal sudahpun berlaku apabila rakyat mahukan kerajaan berintegriti berbanding parti-parti dipenuhi masalah dan terpalit dengan pelbagai dakwaan skandal rasuah.

    Beliau mengimbas kesungguhan pentadbiran PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membantu rakyat ketika berada dalam kesusahan dan cabaran pandemik Covid-19.

    Begitu juga menurutnya, rakyat merasai kesan dari melaksanakan tanggungjawab dalam pemerintahan sebagaimana model ditunjukkan Kerajaan Pas Kelantan kepada kerajaan-kerajaan yang lain.

    “Siapa yang memula kerja lima hari seminggu? Siapa mula keluarkan duit wang daripada bank-bank riba kepada Bank Islam. Siapa yang mulakan cuti isteri bersalin? Siapa yang beri cuti pada suami bila isteri bersalin? 

    “Siapa yang beri perumahan kepada rakyat yang miskin, yang susah pelbagai kemudahan? Siapa yang menutup mula menutup premis perjudian? Siapa yang tutup bar, disko dan kelab-kelab malam? 

    “Siapa yang mengadakan peraturan kepada persembahan kebudayaan? Kita mendahului orang contoh kita. Bila orang contoh kita, makna kita comel, kita molek. Kalau kita hodoh, contoh buat gapo? Kalau kita pelawak, orang tak ikut kita,” tegas beliau lagi.

    Tuan Ibrahim berkata,  pemerintahan Islam membuktikan keadilan dan keharmonian dalam semua aspek, berbeza  kebimbangan yang cuba dihasutkan g kononnya akan merobohkan rumah ibadah bukan-Islam.

    Beliau berkata, pemerintahan Islam bukan dilaksanakan dengan politik hawa nafsu tetapi berdasarkan panduan jelas yakni al-Quran daripada Allah SWT dan as-Sunnah Rasulullah SAW.

    Katanya, ‘Tuan Besar’ kepada bumi ini adalah Allah SWT dan manusia tidak boleh berbuat sesuka hati atau sewenangnya melainkan mengikut segala peraturan telah ditetapkan-Nya.

    “Sebab itu setiap kali kita sembahyang kita akan minta doa pada Allah. “Ya Allah tunjuk pada kami jalan yang betul”. Nak memerintah kena jalan betul. Nak masuk politik biar jalan betul. 

    “Nak meniaga biar yang betul. Nak bertani biar jalan yang betul. Semua mesti bergerak atas jalan yang betul. Barulah kita sampai pada penghujung jalan yang betul itu,” katanya.