Author: Wartawan WartaRakyat

  • Anwar beritahu Rafizi, Aminuddin bantah pencalonan saya, dakwa Rafie

    Anwar beritahu Rafizi, Aminuddin bantah pencalonan saya, dakwa Rafie

    CALON Bebas, Rafie Abdul Malek mendakwa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkannya bahawa Rafizi Ramli dan DatuK Seri Aminuddin Harun membantah pencalonannya bagi mempertahankan kerusi Ampangan.

    Rafie, yang dipecat PKR kerana bertanding atas tiket Bebas mendakwa, Rafizi berbohong dengan berkata beliau tidak tahu senarai calon untuk PRN Negeri Sembilan.

    “Pada 26 Julai, presiden PKR telah menghubungi saya menyatakan Rafizi selaku Timbalan Presiden dan Aminudin Harun sebagai Naib Presiden membantah keras pencalonan saya.

    “Mereka (Rafizi dan Aminuddin) terbabit secara langsung dan mereka mahu mencalonkan (Timbalan Ketua PKR Negeri Sembilan) Nazree Kasim.

    “Anwar berkata, untuk mengimbangi keadaan, dia tolak dua-dua nama. Saya tak dibenarkan bertanding, Nazree pun ditolak, maka dia pilih calon wanita (Tengku Zamrah Tengku Sulaiman) untuk mengimbangi keadaan,” katanya dalam sidang media di Seremban.

    Rafie kemudian memutuskan untuk bertanding di kerusi Ampangan sebagai calon Bebas.

    Semalam, Rafizi dilaporkan berkata, calon PRN Negeri Sembilan dipilih secara telus dan mengikut proses ditetapkan parti.

    Rafie kemudian mempersoalkan sama ada Rafizi atau Anwar berbohong mengenai pemilihan calon, selain bertanya mengapa Aminuddin mempertahankan kerusinya di Sikamat, yang disandangnya selama tiga penggal.

    Bekas Exco itu menegaskan Aminuddin yang kini Ahli Parlimen Port Dickson, selepas memenangi kerusi itu pada PRU15 November lalu tidak membawa pembangunan di Sikamat.

    “Saya mahu tanya pengundi Sikamat: apa pembangunan yang dibawa Aminuddin ke Sikamat? Jika dibandingkan dengan Ampangan, begitu banyak pembangunan berlaku sepanjang saya menjadi Adun.

    “Apa yang memusnahkan PKR sekarang ialah kehadiran pemimpin tidak berkualiti seperti Rafizi dan Aminuddin,” dakwanya, lapor FMT.

    Pada 2021, Rafie menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi Aminuddin sebagai ketua PKR negeri dengan mendakwa beliau gagal mengukuhkan akar umbi parti menjelang PRU15.

    Ini membawa kepada spekulasi Aminuddin akan diketepikan sebagai Menteri Besar, walaupun Rafie, yang juga Exco negeri, menafikan ada langkah sedemikian.

  • Ejen ‘selesaikan’ kes di KLIA gagal dikesan SPRM

    Ejen ‘selesaikan’ kes di KLIA gagal dikesan SPRM

    EJEN kepada wanita warga China yang cuba memasuki Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga mencetuskan kekecohan membabitkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing, kini gagal dikesan.

    Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mengarahkan siasatan kes itu dilengkapkan.

    “Perkara ini juga sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dibuat kajian dan melihat kepada sebarang unsur jenayah berdasarkan hasil siasatan.

    “Saya ingin katakan juga, kerana masih lagi orang tak percaya kepada SPRM yang mengatakan dua saksi itu sudah balik ke China

    “Tapi kalau ada yang boleh tunjukkan di mana saksi itu, kami bersedialah. Sebab ramai pandai-pandai kat luar tu kata saksi itu ada di Malaysia… Jadi tunjuklah kepada kami,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Body-Worn Camera (BWC) dan Vest SPRM, di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya, hari ini.

    Tambahnya, SPRM sudah memeriksa dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan sistem menunjukkan bahawa mereka sudah meninggalkan negara.

    Sebelum ini Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai JIM di pintu masuk negara KLIA.

    Beliau mendedahkan perkara itu selepas mengakui dirinya adalah individu yang terbabit dalam insiden kekecohan di KLIA, selepas dikatakan cuba ‘melepaskan’ masuk seorang wanita warga China yang dilarang memasuki negara ini oleh pegawai imigresen.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengakui budaya rasuah masih berlaku dalam kalangan penguat kuasa tetapi hanya membabitkan segelintir mereka di KLIA.

  • Nik Abduh umum ‘berpuasa’ dari politik

    Nik Abduh umum ‘berpuasa’ dari politik

    ANAK bekas menteri besar Kelantan, Tan Sri Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, hari ini mengumumkan akan ‘berpuasa’ daripada politik untuk suatu tempoh yang belum diputuskan.

    Kata Nik Abduh, apa yang sedang dihadapi sekarang merupakan detik yang paling sukar untuk dirinya dan keluarga.

    Tanpa menjelaskan apa yang dirujuknya dengan lebih lanjut, dipercayai Nik Abdul membuat keputusan tersebut ekoran kemelut politik yang membayangi langkah Pas menyertai pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Di sebalik keberadaannya yang boleh dianggap berprofil tinggi, Nik Abduh tidak dicalonkan untuk mewakili Pas dalam PRN walaupun namanya ada dikaitkan dengan kerusi tertentu di Kelantan.

    “Saya puasa dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh. Ia tempoh paling sukar untuk saya dan bonda,” katanya dalam hantaran menerusi media sosial petang ini.

    Pernah menjadi Ketua Pemuda Pas Malaysia serta memperoleh undi terbanyak bagi jawatan ahli Jawatankuasa Pas Pusat, perjalanan politik Nik Abduh mula merosot selepas beberapa insiden berlaku.

    Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas pada PRU ke-13 sebelum dipindahkan ke Bachok untuk penggal seterusnya sebelum digugurkan apabila PRU ke-15 tiba pada tahun lalu.

    Nik Abduh, 53, dikatakan berminat untuk bertanding dalam PRN kali ini di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang pernah diwakili bapanya, Allahyarham Nik Abdul Aziz.

    Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai langkah terbarunya, Nik Abduh sempat mendoakan Pas agar terus ‘gagah’.

    “Semoga Pas bertambah gagah dengan kepimpinan terbaik untuk memacu masa depan negara,” katanya.

    Kemelut dalaman Pas Kelantan menjadi bertambah menarik apabila dua hari lalu adik Nik Abdul Aziz, Nik Din Nik Mat, mendakwa Mohd. Amar merupakan dalang di sebalik ketiadaan nama Nik Abduh sebagai calon PRN Kelantan.

    Sedangkan katanya, beliau sendiri bertemu dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila pada 23 Jun lalu dan diberi jaminan bahawa Nik Abduh akan dicalonkan.

    “Haji Hadi maklumkan parti memang perlukan Nik Abduh kerana dia seorang yang cerdik, kerjanya bagus, dan rajin bersuara di Parlimen,” katanya dalam video tular itu.

    Menanggapi dakwaan Nik Din, Mohd. Amar yang juga Timbalan Presiden Pas mendakwa beliau menjadi mangsa fitnah bapa saudara Nik Abduh berkenaan.

    Beliau juga menjelaskan nama Nik Abduh memang tidak tersenarai sejak awal lagi.

    “Itu fitnah bila mengatakan saya yang menghalang sedangkan dia (Nik Din) tidak terbabit dalam mesyuarat pimpinan parti selain tiada jawatan dalam parti,” kata Mohd. Amar, lapor Malaysiakini.

    Untuk rekod sebelum ini Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Nik Abduh menolak dua kerusi yang ditawakan kepadanya.

    Kata Tuan Ibrahim, ketika menolak tawaran berkenaan Nik Abduh berkata, beliau tidak bertanding pun tidak mengapa kerana mahu menumpukan perhatian kepada sekolah agama yang diuruskannya.

  • Sindiran ‘biadab’ umur Mahathir, Fahmi diserang lagi

    Sindiran ‘biadab’ umur Mahathir, Fahmi diserang lagi

    MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mendapat kecaman daripada pengguna media sosial kerana menyindir usia Tun Dr Mahathir Mohamad, lebih sebulan selepas beliau dikecam secara meluas kerana mengancam pengguna TikTok dengan tindakan polis jika mereka memuat naik komen mengkritik kerajaan. 

    Pada Jumaat, ketua penerangan PKR itu menggunakan istilah ‘Maha Tua’ untuk merujuk kepada pemimpin berusia 98 tahun itu, menyindir prestasi bekas perdana menteri tersebut dalam pilihan raya umum tahun lepas apabila beliau tewas di Langkawi, Kedah.

    “Dia boleh bagi bayangan, firasat dia, dia baca PN boleh menang 5-1. Hai Maha Tua, kamu kalah dekat Langkawi, hilang deposit!” katanya dipetik pada ucapan dalam satu ceramah di Taman Medan, Petaling Jaya.

    Video ucapan penuh Fahmi itu kemudiannya dimuat naik oleh portal berita pro Pakatan Harapan (PH) Malaysiakini di platform YouTube. 

    Fahmi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mahathir meramalkan Perikatan Nasional (PN) akan menang mudah 5-1 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini. 

    Rata-rata pengguna maya yang menonton video itu meluahkan kekecewaan terhadap menteri berkenaan dengan melabelkan beliau sebagai ‘terlalu mentah’ dalam politik tetapi sudah ‘celupar’ atau kurang ajar. 

    Mereka juga mengingatkan Fahmi supaya tidak berlagak sehingga sanggup mempersendakan Mahathir yang sudah dianggap sebagai ikon pemimpin yang disegani di mata dunia. 

    “Kamu baru setahun jagung, Tun Mahathir itu banyak jasa kepada negara. 

    “Walaupun kamu ahli Parlimen berpuluh tahun belum tentu dapat majukan Malaysia seperti Tun M,” tulis mohdfairuz9876. 

    Mohd. Saif pula mempersoalkan pengisian ucapan Fahmi sepanjang 40 minit itu sebagai kosong dan tiada idea-idea baru yang dikemukakan untuk kempen PRN.

    Sementara itu, segelintir yang lain membayangkan masa depan Fahmi dalam perjalanan politik tidak mampu bertahan lama disebabkan sikapnya yang secara terbuka tidak menghormati orang yang lebih tua dan berpengalaman luas. 

    “Dia akan berterusan mengharapkan PMX sahaja untuk terus bersuara,” tulis TaibAhmad4218.

    “Berhati-hati menegur orang tua. Jangan hina orang berjasa kepada negara,” tulis studio0733. 

    Pada 26 Jun lalu, dalam siaran langsung TikTok Live yang dihoskan oleh Fahmi berakhir dengan beliau mengancam penonton untuk mengambil tindakan polis kerana menyiarkan komen mengkritik beliau dan kerajaan semasa.

    Fahmi berada dua jam dalam siaran itu apabila beliau nampaknya berdepan banyak komen yang menyindirnya dan mempersoalkan banyak dasar kerajaan. 

    “Kamu semua yang menyertai sesi live saya dan membuat kenyataan seperti ini, kamu sedang dipantau oleh pihak berkuasa.

    “Jangan marah saya jika ada panggilan atau kereta polis di depan rumah anda. Kami sedang memantau, jaga kelakuan anda,” katanya, lapor MalaysiaNow.

  • 3 laporan rosakkan bendera parti diterima polis Pulau Pinang sejak hari berkempen

    3 laporan rosakkan bendera parti diterima polis Pulau Pinang sejak hari berkempen

    POLIS Pulau Pinang menerima tiga laporan berhubung kejadian merosakkan bendera parti politik bermula hari berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin setakat tengah malam tadi.

    Jurucakap Media PRN Ke-15, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner W. Pusphanathan berkata, ketiga-tiga kejadian itu dilaporkan berlaku di daerah Seberang Perai Tengah (SPT); Seberang Perai Utara (SPU) dan Barat Daya.

    Pusphanathan yang juga Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Pulau Pinang menambah, kesemua kes itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) kerana kesalahan merosakkan bendera parti politik bertanding, namun tiada tangkapan dilakukan setakat ini.

    “Bermula tempoh kempen PRN sejak kelmarin juga, polis Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak 107 permit bagi mengadakan ceramah oleh parti-parti yang bertanding setakat ini.

    “Kita telah meluluskan permit bagi kesemua permohonan untuk mengadakan ceramah di semua daerah di negeri ini yang mana tiada permohonan ceramah ditolak setakat ini.

    “Bagaimanapun, kita tetap menasihatkan parti-parti politik bertanding supaya memohon permit ceramah lebih awal supaya tiada masalah dari segi kelulusan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, hari ini.

    Sementara itu, Pusphanathan berkata, polis setakat ini juga tidak menerima sebarang laporan berkaitan kesalahan yang menyentuh mengenai isu agama, kaum dan raja (3R) sepanjang waktu berkempen.

    Dalam masa sama, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat berkenaan wujud elemen perjudian oleh mana-mana pihak sepanjang proses PRN negeri ini setakat ini.

    “Kita juga terus mengingatkan parti-parti dan individu terutama penyokong parti supaya tidak memainkan isu 3R dan tidak melakukan sebarang provokasi, kacau ganggu atau pergaduhan yang boleh mendatangkan ketidakharmonian dan kesejahteraan di negeri ini.

    “Polis akan mengambil tindakan tegas terrhadap mana-mana parti politik atau individu yang dikesan melakukan kesalahan ini tanpa mengira status mereka.

    “Berkempenlah secara harmoni dan patuhilah peraturan-peraturan serta undang-undang pilihan raya sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

    Dalam pada itu, tambahnya, polis Pulau Pinang turut mewujudkan 50 kumpulan cantas atau pemantau dengan kekuatan seramai 44 pegawai dan 195 anggota bagi memastikan ketenteraman awam terkawal sepanjang tempoh berkempen PRN kali ini.

  • PRN: PN Selangor yakin menang majoriti mudah 29 kerusi DUN

    PRN: PN Selangor yakin menang majoriti mudah 29 kerusi DUN

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor yakin dapat menang majoriti mudah di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor memasuki hari ketiga berkempen.

    Menurut Setiausaha Badan Perhubungan Bersatu Selangor, Datuk Azman Yaakob, keyakinan itu bersandarkan sokongan yang diterima gabungan itu daripada komuniti masyarakat India di 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

    “Kita berkeyakinan melepasi 29 kerusi DUN iaitu majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan pada 12 Ogos ini.

    “Insya-Allah kita lihat komuniti India sudah positif cenderung kepada arah PN,” jelasnya.

    Sementara itu, Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata ia melibatkan 16 kerusi DUN di bawah enam Parlimen yang dimenangi PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    “Kita sekarang memiliki enam kerusi Parlimen di kawasan luar bandar, di situ sahaja ada 16 kerusi DUN majoriti Melayu yang (kita) akan menang.

    “Selain itu, kita akan berikan saingan sengit di DUN Kuala Kubu Bharu di bawah Parlimen Hulu Selangor yang kita menang.

    “Juga DUN Sekinchan yang mana Parlimen Sungai Besar yang kita menang,” katanya.

    Tambah Roslan Shahir, ketika ini gelombang kebangkitan undi Melayu dilihat terarah kepada PN berbanding Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Itu satu indikator terbaik untuk kita, kita dah separuh jalan. Yang lain-lain kita menjangkakan di kawasan-kawasan Pas dan Bersatu pernah menang.

    “Kita juga mendapat dapatan kajian tentang kebangkitan, gelombang undi orang Melayu.

    “Kalau dahulu undi Melayu terhad di ‘Malay Belt’ dari Kuala Langat, Sepang ke Sungai Besar, sekarang undi Melayu di tengah-tengah Lembah Klang.

    “Kalau gelombang meningkat di Lembah Klang, tidak mustahil kita capai 29 kerusi DUN,” katanya lagi lapor Astro Awani.

    Mereka berkata demikian dalam sidang media khas pengenalan calon PN di Shah Alam hari ini.

    Sejumlah 147 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Selangor.

    Daripada jumlah itu, 44 calon mewakili Pakatan Harapan (PH), 12 mewakili Barisan Nasional (BN), 56 daripada Perikatan Nasional (PN), 14 daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), empat mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM), enam mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan satu mewakili Parti Utama Rakyat (PUR) manakala 10 adalah calon Bebas.

  • PRN: Mampukah Pas Terengganu kikis, buang ‘badi’ kerajaan sepenggal?

    PRN: Mampukah Pas Terengganu kikis, buang ‘badi’ kerajaan sepenggal?

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    IMEJ dan dakwaan kerajaan sepenggal yang seringkali dikaitkan dengan Parti Islam seMalaysia (Pas) seakan sebagai satu ‘badi kepada parti tersebut ketika berjaya memerintah Terengganu.

    Hal ini kerana, dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, pentadbiran kerajaan negeri silih berganti di mana sudah berulang kali Pas hanya berjaya membentuk kerajaan dalam tempoh sepenggal pilihan raya sahaja ekoran tewas semula dalam pilihan raya berikutnya.

    Persoalannya, apakah ‘badi’ ini akan terus menghimpit parti berkenaan ketika berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini?

    Atau adakah ‘badi’ tersebut berjaya dikikis atau dibuang memandangkan Pas kini berada di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga Gerakan untuk membolehkan mereka terus kekal memerintah Terengganu?

    Justeru, ramai yang bertanya mampukah perkara ini dapat direalisasikan?

    Bagi penganalisis dan pemerhati politik tempatan rata-ratanya menyifatkan PRN kali ini merupakan peluang terbaik bagi Pas membuang ‘badi’ yang selama ini dikatakan sentiasa membelenggu parti itu dengan imej dan dakwaan sekadar menjadi kerajaan sepenggal dalam sejarah pilihan raya di negeri ini.

    Berdasarkan sejarah itulah Pas kini dilihat sentiasa bersungguh-sungguh mempertahankan kemenangan dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun 2018 lalu sekaligus ingin membuang ‘badi’ imej kerajaan sepenggal.

    Malah, kemenangan itu amat penting bagi memastikan Pas dan PN kekal menerajui pentadbiran kerajaan negeri Terengganu bagi penggal kedua berturut-turut.

    Mengimbas semula sejarah, Pas hanya menang sepenggal sahaja pada tahun 1959 hingga 1961 diikuti 40 tahun selepas itu, Pas menang semula pada tahun 1999 hingga 2004, sebelum kalah lagi dan menang semula pada tahun 2018, iaitu ketika PRU14 lalu.

    Melihat kepada pencapaian dan kemenangan besar Pas yang berjaya menawan kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU15, 19 November tahun lalu, banyak pihak percaya parti berkenaan bersama PN kali ini mampu membuang terus ‘badi’ dan imej kerajaan sepenggal yang dikaitkan pelbagai pihak.

    Sebab itulah, kepimpinan Pas Terengganu kini sedang bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan besar PN dalam PRN nanti.

    Selain mencari strategi terbaik, Pas juga berhati-hati dalam menampilkan calon bertanding di setiap kerusi DUN ditetapkan.

    Sepertimana kata Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini memaklumkan bahawa PN menampilkan calon berwibawa dan berkaliber dalam pelbagai bidang, sekaligus boleh menang pada PRN kali ini.

    Malah, beliau turut menyatakan keputusan mengenai pemilihan calon itu dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap beberapa faktor iaitu melibatkan status quo, kekuatan jentera serta berpotensi dan berwibawa.

    Sementara itu, Setiausaha Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah juga pernah berkata, pihaknya yakin akan dapat mengekalkan kemenangan dua penggal berturut-turut, sekali gus mampu mencipta rekod baharu pemerintahan parti itu di negeri ini.

    Malah, Wan Sukairi turut menaruh keyakinan bahawa parti itu mampu meraih kemenangan besar melibatkan kesemua 32 kerusi DUN di negeri ini dalam PRN nanti.

    Keyakinan itu berdasarkan pencapaian diraih dalam PRU15 lalu apabila PN memenangi kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu.

    Muslimat Pas pula meminta kesemua ahli dan penyokong parti dapat Pertahankan Kemenangan bagi memastikan Pas bukan lagi dikatakan sebagai kerajaan sepenggal.

    Sehubungan itu, Ketua Jabatan Pilihan Raya Muslimat Pas Parlimen Dungun (JPrMPD), Rugayah Mahmood meminta agar golongan muslimat mempertingkatkan gerak kerja bagi mempertahankan kemenangan sedia ada.

    Ia perlu bagi memastikan Pas tidak lagi dikaitkan dengan dakwaan dan imej kerajaan sepenggal oleh sesetengah pihak.

    Dalam pada itu, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pula pernah menyatakan tidak mustahil parti itu berjaya menawan semula Terengganu.

    Kenyataan itu dibuat berdasarkan politik di negeri ini sentiasa berubah-ubah di mana rekod
    kerajaan yang memerintah kerajaan negeri sentiasa bersilih ganti di antara UMNO dan Pas.

    Sehubungan itu ujarnya, walaupun UMNO kalah teruk pada PRU15, namun tidak mustahil parti itu akan kembali menjadi kerajaan selepas PRN nanti.

    Pada PRU14 lalu, Pas berjaya memerintah Terengganu apabila memenangi 22 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.

    Kerusi tersebut ialah DUN Bandar, Ladang, Batu Burok, wakaf Mempelam, Rhu Rendang, Alur Limbat, Bukit Payong, Pengkalan Berangan, Rantau Abang, Sura, Paka, Bukit Tunggal, Manir, Tepoh, Buloh Gading, Kota Putera, Jabi, Chukai, Kuala Berang, Air Putih, Ajil dan Kemasik.

    Sementara BN pula hanya menang di 10 kerusi iaitu Seberang Takir, Kijal, Telemung, Hulu Besut, Bukit Besi, Jertih, Langkap, Batu Rakit, Kuala Besut dan Permaisuri.

  • Pas tolak politik ugutan, balas dendam, kata Ahmad Samsuri

    Pas tolak politik ugutan, balas dendam, kata Ahmad Samsuri

    PAS menolak sebarang bentuk politik berbaur ugutan dan balas dendam seperti dilakukan pihak tertentu semata-mata ingin mendapatkan sokongan pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Sebaliknya, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu lebih memilih pendekatan politik kasih sayang bagi mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

    “Pas tidak akan sesekali terikut-ikut dengan budaya tidak sihat seperti diamalkan segelintir pihak memandangkan rakyat kini telah bijak membuat penilaian,” tegas Menteri Besar Terengganu itu.

    Katanya lagi, beliau percaya kerosakan yang dibawa kerajaan lalu sangat besar namun pihaknya tidak ungkit perkara itu dan berusaha menyelesaikan masalah rakyat.

    “(Kerana bagi kita) yang pentingnya kita mengelak diri daripada budaya ugut-mengugut atau balas dendam sebagaimana yang diuar-uarkan pimpinan kerajaan terdahulu.

    “(Kalau kita lihat) nada balas dendam dan ugut-mengugut ini (dilakukan pimpinan kerajaan terdahulu) sentiasa berkumandang. Jadi, saya rasa rakyat harus (juga) sedar pendekatan yang di bawa oleh Pas ini iaitu politik kasih sayang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program menyantuni penduduk bersama calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri Mohd Yusop Majid di Kampung Merang, Permaisuri hari ini.

    Sementara itu, ditanya mengenai maklum balas rakyat terhadap parti berkenaan, Samsuri yang juga calon DUN Rhu Rendang berkata, sokongan yang diterima ketika ini sangat luas biasa.

    Katanya, perkembangan positif itu bukan sahaja melibatkan negeri yang ditadbir Pas iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah, tetapi di negeri Pantai Barat.

    “Kenapa saya kata (sokongan) luar biasa?..sebabnya kita lihat gelombang daripada itu sememangnya luar biasa daripada ketika berdepan dengan pelbagai pilihan raya sebelum ini dan kita harap momentum ini kekal sehingga hari pengundian,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Adun DAP dipilih timbalan speaker DUN Melaka

    Adun DAP dipilih timbalan speaker DUN Melaka

    AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.

    Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika mengusulkan cadangan untuk Kerk mengisi jawatan tersebut berkata Adun Ayer Keroh tersebut mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan politik.

    “Kerk, anak jati Melaka merupakan anak kepada (bekas) Adun Durian Daun (mendiang) Kerk Kim Hock pada 1986 hingga 1990.

    “Kerk juga mempunyai Ijazah Perdagangan dan Perakaunan di University of Melbourne, Australia dan mula aktif dalam politik sejak 2017,” katanya pada sidang DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di Melaka hari ini.

    Ab Rauf berkata Kerk, yang mula aktif dalam politik sejak 2017, pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Penasihat DAP Tan Sri Lim Kit Siang serta pernah menjawat jawatan Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Belia dan Sukan negeri pada 2018 hingga 2020.

    Cadangan Ab Rauf itu kemudiannya disokong Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

    Cadangan melantik Kerk sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka kemudiannya disokong 24 Adun, dua berkecuali manakala dua tidak hadir.

    DUN Melaka turut mencadangkan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Melaka merangkap Timbalan Ketua Umno Bahagian Alor Gajah Datuk Mustafa Musa sebagai Ahli Dewan Negara bermula hari ini selama tiga tahun.

    Cadangan itu dikemukakan Ab Rauf yang kemudiannya disokong Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan.

    Usul mencalonkan Mustafa sebagai Ahli Dewan Negara itu kemudiannya disokong oleh 24 Adun, dua berkecuali manakala dua tidak hadir.

    Sementara itu, Kerk ketika ditemui pemberita di luar sidang DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di Melaka, berkata beliau berhasrat untuk membawa reformasi dalam institusi legislatif tersebut.

    Katanya, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan supaya persidangan DUN dapat ditambah baik selepas ini.

    “DUN bukan satu tempat untuk wakil rakyat berbahas atau bertanyakan soalan semata-mata malah ia merupakan satu ruang dan platform untuk membawa aspirasi rakyat.

    “Ada banyak idea yang saya ingin bawa dalam konteks mereformasikan badan legislatif ini,” katanya.

    Mengulas pertanyaan adakah pelantikannya akan memperkukuh kerajaan Perpaduan di Melaka, beliau berkata ia merupakan satu lagi langkah diambil antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk tujuan itu.

    “Dalam beberapa bulan yang lalu, bila berlaku pembentukan kerajaan Perpaduan di Melaka sudah ada Exco dan Timbalan Exco yang dilantik dalam kalangan Adun PH.

    “(Pelantikan) saya ini merupakan satu lagi langkah…bukan kata untuk memperkukuh kerajaan Perpaduan tapi ia sendiri menjelaskan perpaduan dalam kerajaan negeri,” katanya.

  • Hassan tidak setuju Ahmad Zahid umum peruntukan pada kempen PRN

    Hassan tidak setuju Ahmad Zahid umum peruntukan pada kempen PRN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAH

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak bersetuju tindakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan peruntukan kepada Majlis Belia Negeri Terengganu dalam program di Terenganu, Jumaat lalu.

    “Sebagai ahli Parlimen saya tak setuju pengumuman geran tambahan oleh TPM (Timbalan Perdana Menteri) Zahid Hamidi di Terengganu ketika kempen pilihan raya.

    “Rasuah itu isu legal dan persepsi. Rasuah berkait soal etika, bukan legal semata-mata. Pilihan raya tanpa rasuah adalah pilihan raya yang adil dan bersih,” ciapnya dalam Tweeter milinya hari ini.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pengumuman Ahmad Zahid itu dan menyatakan peruntukan kepada golongan belia di Terengganu tiada kaitan dengan PRN pada 12 Ogos ini.

    Sebelum ini Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq

    Abdul Rahman menyelar tindakan Ahmad Zahid itu yang disifatkan sebagai satu bentuk rasuah menjelang PRN.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mengumumkan peruntukan terbabit semasa merasmikan Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah pada Jumaat.

    Ini termasuk peruntukan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM200,000 kepada Majlis Belia Malaysia Terengganu bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.

    Ahmad Zahid dalam pengumuman itu meminta belia yang hadir dalam acara itu memilih ‘gelombang biru dan merah’ dalam pilihan raya negeri 12 Ogos ini.

    “Saya luluskan bantuan ratusan ribu…..janji 12 Ogos nanti undi parti saya. Itu baru saya (umum). Lepas ini PM naik dia akan ‘top up’, akan tambah lagi, insya-ALLAH. Asalkan pada 12 hari bulan Ogos nanti para belia mengikut gelombang biru (BN) dan gelombang merah (Pakatan

    Harapan) yang ada di negeri Terengganu ini,” kata Ahmad Zahid.