Author: Wartawan WartaRakyat

  • Penjenamaan semula AKSB antara 18 program tawaran PN Kelantan

    Penjenamaan semula AKSB antara 18 program tawaran PN Kelantan

    PERIKATAN Nasional (PN) Kelantan menawarkan 18 program utama sebagai manifesto berdepan pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Tema ‘Kelantan maju, rakyat sejahtera’ diangkat dengan membabitkan 96 pengisian tawaran.

    PN Kelantan antara lain menawarkan program pembangunan sosioekonomi yang memberi fokus pembukaan bandar-bandar baru dan membangunkan bandar sempadan yang mampu menambah peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

    Selain itu, gabungan parti diterajui Pas yang mentadbir Kelantan sejak 33 tahun itu menawarkan pembangunan bekalan air bersih dengan penjenamaan semula Air Kelantan Sdn Berhad (AKSB) dan menambah simpanan bekalan air melalui projek takungan air pinggiran sungai (Taps).

    Melalui buku tawaran program yang diedarkan, ia juga menawarkan program pembangunan insaniah, pembangunan pendidikan dan kemahiran, pembangunan wanita, pembangunan keluarga dan masyarakat, anak muda bermaruah, kecaknaan insan istimewa, perluasan prarasana digital dan memajukan produktiviti pertanian.

    Selain itu ia juga meliputi pelestarian alam sekitar, ihtirafi tadbir urus, kesejahteraan rakyat, seni budaya dan warisan Kelantan, kesukanan dan reakrasi, mengukuhkan hubungan antara kaum, cakna perantau dan kebersamaan NGO.

    Sementara itu Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika mengumumkan tawaran itu berkata, program yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun akan datang sekiranya terus diberi mandat oleh rakyat.

    Tegasnya, ia bukan tawaran retorik atau janji kosong sebaliknya kesemua program itu akan dilaksanakan sebagai janji malam ini.

    “Apa yang kita tawarkan itu juga mengikut keupayaan negeri selepas mengadakan perbincangan dan berharap rakyat terus mengekalkan pemerintahan Pas di Kelantan,” katanya pada sidang media selepas majlis ceramah dan pelancaran program PN Kelantan, di Tanah Merah, malam tadi.

    Tambah Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan, untuk manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pihaknya berjaya menyelesaikan 98 peratus.

    “Hanya dua peratus sahaja yang tidak selesai dan perkara itu akan diteruskan untuk tawaran kali ini,” jelasnya.

  • UMNO akan ‘makan kawan’ bila semakin berkuasa, Tuan Ibrahim beri amaran

    UMNO akan ‘makan kawan’ bila semakin berkuasa, Tuan Ibrahim beri amaran

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran UMNO akan mengkhianati kawannya apabila parti itu semakin berkuasa.

    Contohnya kata beliau, UMNO menarik sokongan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

    “Jika tuan-tuan perhati, bila masa UMNO rasa dia kuat, dia lawan, dia makan kawan sendiri. Di Perak dia tarik sokongan, undi tak percaya pada Peja (Faizal) akhirnya tukar (menteri besar) kepada UMNO.

    “Di Persekutuan, mereka tarik sokongan pada Muhyiddin walaupun duduk dalam Kabinet sama, bincang sama-sama. Waktu susah bersama-sama, bila senang, 15 orang (Ahli Parlimen) tarik sokongan pada Muhyiddin,” katanya dalam ceramah di Lenggeng, Negeri Sembilan malam tadi.

    Tuan Ibrahim berkata, Pas turut membantu UMNO ketika dalam susah, termasuk pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau.

    “Bila UMNO kalah, Pas satu-satunya parti yang datang membantu. Kita pernah mengecam UMNO, tetapi akhirnya saya beritahu semua tolong sokong UMNO,” katanya, lapor FMT.

    Muhyiddin dilantik Perdana Menteri susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad tumbang selepas 22 bulan berkuasa.

    Bagaimanapun, Muhyiddin memegang jawatan itu hanya selama 17 bulan, sebelum Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya dan kerajaan diterajui Perikatan Nasional.

    Beliau digantikan Naib Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan kompromi antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN).

  • Baru keluar penjara 5 bulan, lelaki Taiwan ditahan bersama dadah bernilai RM572,000

    Baru keluar penjara 5 bulan, lelaki Taiwan ditahan bersama dadah bernilai RM572,000

    SEORANG lelaki warga Taiwan yang baru dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada Februari lalu diberkas semula oleh pihak polis bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM572,000 pada Khamis lepas.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah pangsapuri di Cheras dalam satu operasi khas di sekitar daerah itu, Kuala Lumpur, Kajang, Selangor.

    Katanya, lelaki berkenaan telah masuk ke negara ini sejak tahun 2016 menggunakan pas pelancong dan baru sahaja dibebaskan atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2016.

    “Hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek menemukan 10 biji pil dipercayai dadah jenis Erimin 5.

    “Hasil ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur, hari ini.

    Susulan penangkapan itu, polis telah menyerbu sebuah rumah kedai di Kajang yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah.

    Hasil pemeriksaan menjumpai pelbagai jenis dadah termasuk sepucuk pistol jenis Glock dan 30 butir peluru hidup.

    “Modus operandi pengedaran itu adalah dengan menjadikan rumah kedai sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan.

    “Suspek yang merupakan orang suruhan kepada seorang lelaki tempatan kini diburu,” ujarnya, lapor Utusan TV.

    Tambahnya, rampasan termasuk Erimin 5 anggaran berat 5.6 kilogram (kg), Methamphetamine (0.33kg), Ecstacy (3.2kg), MDMA (0.6kg), serta Heroin base (0.7kg).

    Sebahagian daripada pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM572,000 yang dirampas selepas polis berjaya menahan seorang suspek warga asing yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan ketika Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu menampung penggunaan seramai 30,000 pengguna dadah.

    Sepucuk pistol automatik jenama Glock dan 30 butir peluru hidup yang dirampas selepas polis berjaya menahan seorang suspek warga asing yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan ketika Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Suspek direman selama tujuh hari sejak 28 Julai sehingga 3 Ogos ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Kumpulan lelaki berhimpun sokong LGBTQ depan Sogo ditahan

    Kumpulan lelaki berhimpun sokong LGBTQ depan Sogo ditahan

    LAPAN lelaki yang berhimpun di hadapan pusat beli belah SOGO di Kuala Lumpur, Sabtu lalu bagi menyokong hak golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) Sabtu lalu, sudah ditahan.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, berkata semua individu berusia antara 18 hingga 56 tahun ditahan pada hari kejadian.

    Menurut beliau, pada himpunan terbabit, mereka mempamer plakad dan kain rentang selain melaungkan “Hanya Tuhan Boleh Menghakimi dan Menjadi Gay Bukan Jenayah’ dan ‘Down down Syariah Court’.

    Siasatan mendapati semua mereka adalah pengikut ajaran ‘Ahmadi The Religion of Peace and Light’ sejak dua tahun lalu.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 9 Akta Perhimpunanan Aman 2012.

    “Siasatan lanjut mendapati salah seorang daripada mereka pernah ditahan di Putrajaya dua minggu lalu kerana mengedarkan risalah mengenai ajaran itu di Masjid Putrajaya, dua minggu lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, kesemua suspek direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

    “Setakat ini kita sudah merakam keterangan 11 saksi berkait kes ini dan kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

    “Polis turut difahamkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga sedang menjalankan siasatan ke atas kumpulan ajaran berkenaan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Terdahulu tular satu satu video berdurasi 48 saat dimuat naik pengguna TikTok memaparkan beberapa lelaki memegang plakad menyokong LGBTQ di hadapan pusat beli belah Sogo.

    Antara mesej terpampang di plakad berkenaan adalah ‘Gay people are not criminals and being gay is not a crime’ bermaksud golongan gay bukan penjenayah dan menjadi gay bukan satu jenayah.

  • OKT pakar buka gari ‘lolos’ berjaya ditahan semula

    OKT pakar buka gari ‘lolos’ berjaya ditahan semula

    ORANG kena tahan (OKT) warga asing berjaya ditahan semula beberapa jam selepas meloloskan diri dari kenderaan polis di Jalan Kuching arah pusat bandar, di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, suspek yang mempunyai kepakaran membuka gari melompat dari trak polis yang sedang bergerak pukul 12.50 tengah hari.

    Beliau memberitahu, pihaknya menutup beberapa jalan untuk mengesan OKT berkenaan yang berjaya meloloskan diri dan berjaya ditangkap semula pukul 9.20 malam di Masjid Medan Idaman, Setapak, di Kuala Lumpur.

    “Ketika kejadian, OKT berkenaan dalam perjalanan pulan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju selepas selesai permohonan reman di Lokap Berpusat Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurutnya, hasil soal siasat, suspek dipercayai mengambil masa sekitar 30 minit bagi melepaskan diri dari gari sebelum terjun.

    Jelasnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan turut dijalankan terhadap anggota kerana kecuaian ketika menjalankan tugas,” katanya.

    Tambahnya, pihak polis sedang mengesan dua rakan sejenayah OKT yang dipercayai terbabit dengan kegiatan samun di sekitar ibu negara.

    “Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Tukang masak didakwa 7 pertuduhan rogol, liwat pelajar Tingkatan Tiga

    Tukang masak didakwa 7 pertuduhan rogol, liwat pelajar Tingkatan Tiga

    SEORANG tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk merogol, meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar Tingkatan Tiga antara Mei hingga Jun tahun ini.

    Zulhazreen Shah Zulkufli, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Dia berdepan tiga pertuduhan merogol dan tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa yang berusia 15 tahun.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh turut berdepan satu pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa.

    Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di dalam kebun kelapa sawit di Jalan Bakri Muar pukul 1 pagi antara Mei hingga Jun lalu.

    Pertuduhan rogol dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

    Kesalahan amang seksual pula dituduh mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Bagi pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebelum itu, Danial memberitahu mahkamah kesalahan tersebut tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin, pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000.

    Tertuduh dalam rayuan meminta mahkamah agar merendahkan ikat jamin dan akan mendapatkan khidmat peguam bagi prosiding seterusnya.

    Hakim Abu Bakar kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.

    Sebutan kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 26 September depan.

    Dalam kes berasingan, seorang pekerja kilang dan seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap gadis bawah umur pada Julai.

    Tertuduh, Fakhrul Amin Mohd. Nor, 21, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam dan Muhammad Asri Ahmad Daud, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Mengikut pertuduhan, Fakhrul Amin didakwa melakukan amang seksual dengan cara menyentuh kemaluan mangsa berusia 13 tahun bagi tujuan maksud seksual.

    Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Batu Pahat pada kira-kira pukul 3 pagi, 27 Julai lalu.

    Muhammad Asri yang juga seorang peniaga didakwa menyentuh pipi dan mulut mangsa berusia 14 tahun di dua lokasi berasingan.

    Kejadian pertama dilakukan di belakang sebuah rumah di Muar pada pukul 5.40 petang 19 Julai lalu.

    Insiden kedua pula dilakukan tertuduh di sebuah padang lapang di Muar pada pukul 6 petang hari yang sama.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Hakim Abu Bakar membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 ke atas Fakhrul Amin dan RM10,000 kepada Muhammad Asri dengan masing-masing seorang penjamin selain kedua-duanya tidak boleh mengganggu mangsa serta perlu melapor diri balai boleh berhampiran setiap bulan.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 September depan bagi sebutan semula dan serah dokumen.

  • Stor IPD Sepang dipecah masuk, ada barang kes dicuri

    Stor IPD Sepang dipecah masuk, ada barang kes dicuri

    POLIS sedang memburu seorang individu selepas dipercayai memecah masuk dan mencuri beberapa barang kes di stor eksibit Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang di Sepang, Jumaat lalu.

    Menurut sumber, antara yang dilaporkan hilang dipercayai dicuri individu terbabit adalah beberapa barangan kes yang sedang menunggu untuk dilupuskan membabitkan siasatan sejak 2014.

    “Ia dalam tindakan pelupusan yang disimpan di ruang khas di pejabat stor terbabit dan barang kes terbabit dalam proses dikemas kini ke dalam komputer bimbit.

    “Kuantiti terperinci barangan yang hilang masih dalam siasatan,” katanya di Sepang, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

    “Saya sahkan kejadian ini dan ia masih dalam siasatan pihak polis,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

  • Pemuda PN buat laporan polis terhadap Anwar, Zahid

    Pemuda PN buat laporan polis terhadap Anwar, Zahid

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) hari ini tampil membuat dua laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Timbalan Ketua Pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, laporan pertama membabitkan ucapan Ahmad Zahid berkaitan pengumuman kewangan dalam sebuah program di Terengganu yang berbau sogokan.

    Katanya, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu jelas menyalahgunakan kuasanya dan kemudahan jawatan kerajaan untuk kepentingan politik sendiri apabila mengumumkan sejumlah peruntukan.

    “Ahmad Zahid telah mengumumkan peruntukan kewangan sekiranya belia di Terengganu mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN). Ini merupakan rasuah.

    “Beliau (Ahmad Zahid) menyebut, kalau tadi Belia Ketengah memberikan peruntukan RM30,000 dan saya tambah RM70,000 jadi RM100,000, untuk Majlis Belia Terengganu saya luluskan RM250,000. Untuk pasukan bermotosikal Terengganu saya beri peruntukan sebanyak RM200,000.

    “Kenyataan ini juga boleh disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas beliau menyebut, lepas ini bila PM datang, dia akan tambah insyaAllah, asalkan pada 12 Ogos nanti, para belia mengikut ‘Gelombang Biru dan Merah’ di Terengganu, boleh?” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ketua Armada Bersatu Wilayah Persekutuan, Mohd Safwan Manoga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

    Pada 27 Julai lalu media melaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.

    Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kenyataan yang mempunyai unsur sogokan terhadap pengundi-pengundi bagi PRN ke-15 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menterinya, Ahmad Zahid berkata jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Pada program Sentuhan Kasih Desa, yang dihadiri Anwar, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.

    Sehubungan itu, Ahli Parlimen Machang menggesa SPRM menyiasat kenyataan Ahmad Zahid merangkap Pengerusi BN yang didakwa berbaur sogokan bagi meraih undi pada PRN mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Sementara itu menurutnya, laporan lain yang dibuat membabitkan ucapan Anwar yang didakwa menggunakan kuasa eksekutif untuk mengerah agensi penguatkuasaan membuat siasatan yang bermotif politik.

    “Pada 24 Julai lalu di Machang, Anwar menyebut, tiga kali dah saya tegaskan kamu mesti pulangkan balik wang dan harta yang kamu curi daripada rakyat. Kalau tidak, saya minta semua badan siasat, pergi rumah dan pejabat dia, tengok akaun (bank) dia, semak mana yang dia curi (kemudian) ambil balik.

    “Anwar telah menyalahgunakan kuasanya selaku Perdana Menteri untuk menekan badan penguat kuasa memulakan siasatan terhadap PN untuk memberi gambaran salah bahawa tindakan Mahkamah yang diambil mempunyai asas sedangkan ia adalah palsu sama sekali.

    “Tindakan dan komplot Anwar dalam menggunakan agensi penguatkuasa bagi tujuan kolateral dan bagi kepentingan mereka sendiri adalah bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan prinsip pengasingan kuasa,” katanya, lapor MalaysianGazette.

    Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, Anwar melibatkan agensi penguatkuasaan supaya menyiasat dan mengenakan pendakwaan jenayah terpilih terhadap pemimpin pembangkang bagi melumpuhkan PN pada PRN yang sedang berlangsung.

    Dakwanya lagi, ia bagi menakut-nakutkan dan mendiamkan mulut pembangkang.

    Justeru Wan Ahmad Fayhsal menggesa PDRM menyiasat kedua-dua Anwar dan Ahmad Zahid bagi mengekang perbuatan jenayah dan salah guna kuasa oleh pemimpin kerajaan.

  • ‘Lebih baik fokus berkhidmat,’ kata Syahir tolak berdebat dengan Rafizi

    ‘Lebih baik fokus berkhidmat,’ kata Syahir tolak berdebat dengan Rafizi

    PENOLONG Setiausaha Agung Pas, Mohd. Syahir Che Sulaiman mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan bekerja dan berkhidmat bagi menyelesaikan segala tugasan berbanding berdebat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

    Dalam ciapan di Twitter, Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok turut berkongsi tangkap layar jawapan e-mel kepada Rafizi berhubung jemputan debat tersebut.

    Menerusi jawapan e-mel pada pukul 10.03 pagi tadi, Syahir memaklumkan beliau sependapat dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menolak untuk berdebat.

    Beliau turut berkongsi tangkap layar jemputan e-mel daripada Setiausaha Sulit Kanan Rafizi, petang semalam.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan bersedia berwacana dengan mana-mana pihak sebagaimana dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

    “Pertamanya, setinggi penghargaan di atas undangan dan pengiktirafan yang diberikan ini.

    Pada hemat saya, adalah lebih baik kita fokuskan masa dan tenaga yang berbaki untuk bekerja dan berkhidmat bagi menyelesaikan segala tugasan dan permasalahan yang menanti.

    “Justeru dalam hal ini, saya sependapat dengan kekanda saya, YAB Dato Seri Muhammad Sanusi.

    “Insya-Allah, saya senantiasa bersedia untuk berwacana dengan mana-mana pihak sebagaimana dalam PRU-14 yang lalu; sepentas dengan Datuk Seri Mustapa Mohamed; Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof; Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Pemuda UMNO dan Pemuda PKR secara terbuka, matang dan harmoni,” katanya dalam e-mel tersebut.

    Pada masa sama, dalam ciapan berasingan, Syahir turut menyelitkan serangkap pantun.

    “Saya telah menerima e-mel daripada Pejabat Menteri Ekonomi dan telah memberikan jawapan.

    “Dalam tempoh ini, saya menurut jejak ‘senior’ saya, YAB Sanusi. #MasaUntukBekerja.

    “Hati-hati seberang titi,
    Bawa bersama sarang tempua,
    Hafal sifir lekat di hati,
    Jangan lupa teknik FORMULA,” katanya.

    Sementara itu, dalam jawapan balas di Twitter, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR menyatakan tiada sesiapa pun daripada Perikatan Nasional (PN) berani berdebat dengannya.

    “Saya dah hantar surat kepada Syahir.

    “Dari mantan menteri ekonomi PN ke panglima PN ke ekonomis teknokrat paling cerdik PN – semua tidak berani bentang agenda ekonomi mereka.

    “Pantun balas: ‘Nak ke bulan konon nak menang, perancangan rakyat tak keruan sembang kencang’,” katanya.

    Semalam, Syahir memaklumkan masih menunggu surat jemputan daripada Rafizi yang mahu berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi.

    Beliau berkata, sejak namanya disebut untuk menggantikan Muhammad Sanusi dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah menolak cabaran debat bersama Menteri Ekonomi itu.

    Sebelum itu, Rafizi mencabar Syahir untuk berdebat dengannya selepas cabaran itu ditolak Muhammad Sanusi dan Mohamed Azmin.

  • PRN: ‘Akaun Bersatu masih beku, calon PN bertanding guna duit sendiri’

    PRN: ‘Akaun Bersatu masih beku, calon PN bertanding guna duit sendiri’

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor mengakui kekangan kewangan antara cabaran utama dihadapi 56 calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

    Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, namun begitu perkara itu tidak membantutkan semangat gabungan tersebut untuk meneruskan perjuangan dalam misi merampas negeri Selangor kali ini.

    “Memang kewangan menjadi kekangan besar, akaun Bersatu telah dibeku oleh kerajaan entah berapa lama.

    “Sepatutnya kalau parti politik nak siasat lama pun… selepas siasat bagilah peluang mereka menguruskan duit mereka.

    “Kita dalam bajet yang terhad, Pas antara parti tidak banyak duit tapi kita percaya bukan duit menjadi keutamaan, mana kewangan yang ada kita gerakan,” katanya.

    Beliau berkata, selain menggunakan duit calon sendiri, PN juga turut mendapat sokongan rakyat.

    “Calon gunakan dana sendiri biar rakyat Selangor tahu, kita bertanding atas kewangan sendiri lawan parti yang menggunakan segala banyak kemudahan dan kepentingan,” katanya lagi.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media PN Selangor di Shah Alam pada Isnin.

    Dalam pada itu, beliau berkata PN menawarkan calon-calon yang bersih dan berintegriti tinggi untuk menerajui negeri Selangor sekiranya diberi mandat pada 12 Ogos nanti.

    “Calon PN tiada kluster mahkamah, tiada kluster yang keluar penjara, semuanya bebas. Kita harapkan rakyat Selangor, kita dah berikan yang terbaik, untuk beri khidmat terbaik kepada rakyat Selangor.

    “Berilah kepercayaan dan peluang, ini bukan pertama kali, kita pernah jadi kerajaan negeri sebelum ini, rakyat telah menilai dan ini peluang terbaik untuk rakyat buatkan perubahan bentuk Selangor baharu untuk PN,” katanya, lapor Astro Awani.