Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kabinet Kerajaan Perpaduan: 27 Timbalan Menteri selesai angkat sumpah jawatan

    Kabinet Kerajaan Perpaduan: 27 Timbalan Menteri selesai angkat sumpah jawatan

    SERAMAI 27 Timbalan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini.

    Upacara itu dimulakan dengan istiadat angkat sumpah dua Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong, Timbalan Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin dan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

    Ahmad Maslan ketuai kumpulan pertama angkat sumpah Timbalan Menteri Timbalan Menteri lain yang turut mengangkat sumpah ialah Akmal Nasrullah Nasir (Pembangunan Kerajaan Tempatan), Adly Zahari (Pertahanan), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Kerja Raya), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (Dalam Negeri), Liew Chin Tong (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Yusof Apdal (Pendidikan Tinggi), Datuk Arthur Joseph Kurup (Sains, Inovasi dan Teknologi), Aiman Athirah Sabu (Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat) , Fuziah Salleh (Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).

    Selain itu Ramkarpal Singh (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Hwang Tiong Si (Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), Saraswathy Kandasamy (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Mohamad Alamin (Luar Negeri), Khairul Firdaus Akbar Khan (Pelancongan, Seni dan Budaya), Teo Nie Ching (Komunikasi dan Digital), Lim Hui Ying (Pendidikan), Adam Adli Abdul Halim (Belia dan Sukan), Mustafa @ Mohd Yunus Sakmud (Sumber Manusia), Lukanisman Awang Sauni (Kesihatan) dan Datuk Wilson Ugak Kumbong (Jabatan Perdana Menteri).

  • Tarikh bubar DUN Kelantan diputuskan selepas Februari

    Tarikh bubar DUN Kelantan diputuskan selepas Februari

    PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dijangka diputuskan selepas Februari iaitu sebaik tamat musim tengkujuh.

    Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, berkata kerajaan negeri sedang memerhati perkembangan dan menilai suasana politik negara sementara menunggu keputusan untuk pembubaran DUN.

    “Belum ada keputusan dan tak bincang apa-apa lagi, cuma kita sedang memerhati perkembangan dan menilai suasana (politik).

    “Tahun depan walau macam mana sekalipun akan bubarlah, cuma bulan belum pasti. Mungkin lebih awal dari bulan lima (Mei) sebab bulan itu pun DUN terbubar dengan sendiri.

    “Saya percaya, dengan perkembangan politik ketika ini, kemungkinan besar bukan hanya Kelantan, malah beberapa negeri lain juga akan bubar DUN lebih awal dari bulan lima, itu jangkaan kita,” katanya kepada pemberita di Kompleks Tarbiah DUN Panchor, Kota Bharu, hari ini lapor BH Online.

    Mohd. Amar berkata, pembubaran DUN tidak boleh dijalankan dalam masa terdekat kerana musim tengkujuh masih belum berakhir dan mengikut pengalaman di negeri itu, tempoh banjir berlanjutan hingga Februari.

    Katanya, faktor perantau yang baru kembali ke negeri luar selepas pulang mengundi, baru-baru ini juga perlu diambil kira kerana ia membabitkan kos dan membebankan mereka.

    Ditanya mengenai calon, Mohd. Amar berkata, Pas akan menampilkan 30 peratus muka baharu seperti kelaziman yang berlaku setiap kali pilihan raya.

  • Hamzah Zainuddin Ketua Pembangkang Dewan Rakyat – Takiyuddin

    Hamzah Zainuddin Ketua Pembangkang Dewan Rakyat – Takiyuddin

    MESYUARAT Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) bersetuju melantik Ahli Parlimen Larut yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu telah diputuskan dalam satu mesyuarat yang diadakan beberapa hari lepas.

    Beliau berkata, pencalonan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang juga telah dihantar ke Parlimen.

    Kita telah menubuhkan satu jawatankuasa dalam kalangan 74 Ahli Parlimen PN dan bersetuju melantik Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

    “Jawatankuasa juga turut melantik Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Ahli Parlimen PN dan timbalannya ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis kesyukuran meraikan jentera Pilihan Raya Dewan Udangan Negeri Bunot Payung di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, hari ini.

    Selain itu, Takiyuddin berkata, jawatankuasa juga bersetuju melantik beliau sebagai Ketua Whip PN. – Bernama

  • Tekad bangkit kembali, Bersatu akan kekal di Sabah

    Tekad bangkit kembali, Bersatu akan kekal di Sabah

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus kekal di Sabah dan kembali bangkit, biarpun pemimpinnya meninggalkan parti hari ini.

    Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Bersatu akan segera membentuk semula struktur parti yang runtuh di negeri itu.

    “Pengurusan parti akan segera membentuk struktur yang runtuh di pelbagai peringkat untuk tujuan kembali memperkasakan parti.

    “Kita amat yakin dengan penerimaan dan sokongan rakyat kepada Bersatu di seluruh negara termasuk di Sabah. Bersatu akan kekal di Sabah dan akan bangkit daripada situasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu menyusul selepas pemimpin tertinggi Bersatu Sabah diketuai ketuanya, Datuk Hajiji Noor, hari ini mengumumkan keluar parti itu lapor BH Online.

    Ia selepas mereka menyertai Kerajaan Perpaduan menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Parti Warisan (Warisan).

    Hajiji yang juga Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah dalam satu kenyataan pagi ini, berkata keputusan dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

    Beliau berkata, kerajaan negeri ditunjangi GRS –BN juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan,” katanya.

    Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, GRS menang di enam kerusi Parlimen, dua pemimpinnya, masing-masing menteri dan timbalan menteri juga dinamakan mewakili Kabinet yang dibentuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • Kesal tindakan Bersatu Sabah-Saifuddin

    Kesal tindakan Bersatu Sabah-Saifuddin

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) amat kesal dengan tindakan kepimpinan Bersatu di Sabah yang mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata, tindakan mereka tidak menyalahi Akta Anti Lompat Parti kerana Sabah masih belum meluluskan akta berkenaan.

    “Kita kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh teman saya di Sabah apabila mereka memenangi kerusi atas nama (Parti Bersatu) tetapi telah membuat keputusan untuk dikeluarkan parti ini.

    “Mereka dikatakan mahu membentuk parti baharu dan buat sementara waktu mereka berada di bawah parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    “Sungguhpun begitu, masih ada beberapa ahli Parlimen dan kepimpinan daripada Bersatu Sabah yang setia dan akan meneruskan perjuangan parti itu di negeri itu,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Komuniti Parlimen Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.

    Sebelum ini, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor membuat pengumuman semua kepimpinan Bersatu keluar daripada parti itu selepas mempertimbangkan keadaan landskap politik negara ketika ini.

    Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah menjelaskan keputusan sebulat suara itu adalah demi kepentingan Sabah, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

  • Hajiji dan kepimpinan Bersatu Sabah tinggalkan Bersatu, akan tubuh parti tempatan baharu

    Hajiji dan kepimpinan Bersatu Sabah tinggalkan Bersatu, akan tubuh parti tempatan baharu

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa hari ini.

    Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan lanskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.

    Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, semua bekas ahli Bersatu termasuk beliau akan menubuhkan sebuah parti tempatan baharu tetapi buat masa ini akan menjadi ahli GRS.

    “Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

    “Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Untuk rekod, terdapat empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bertanding atas tiket GRS.

    Malah, dua daripada mereka iaitu Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) manakala Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

    Di peringkat kerajaan negeri pula, terdapat 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Sabah termasuk dua ADUN Dilantik.

    Selain itu, terdapat dua Ahli Dewan Negara daripada Bersatu Sabah terdiri daripada Datuk Bobbey Suan dan Datuk John Ambrose.

    Tambah Hajiji, keputusan sebulat suara itu adalah demi kepentingan Sabah, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

    Sambil menyifatkan itu adalah keputusan terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik negeri, beliau dan kepimpinan akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia.

    “Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu,” katanya, lapor Astro Awani.

    Selain itu, Hajiji berkata, keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

    Katanya, ini kerana di peringkat Persekutuan Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Adalah menjadi komitmen kerajaan Sabah bersama Sarawak sebagai blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dilaksanakan sepenuhnya.

    “Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli parti itu,” katanya.

  • Ikon permotoran disyaki ugut bekas kekasih

    Ikon permotoran disyaki ugut bekas kekasih

    SEORANG ikon permotoran ditahan polis selepas disyaki mengugut menyebarkan gambar lucah bekas teman wanitanya, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, polis menahan suspek lelaki berkenaan selepas menerima laporan polis dibuat oleh mangsa.

    ‘Suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga 13 Disember ini bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

  • Sesi persekolahan 2023/2024 bermula 19 Mac

    Sesi persekolahan 2023/2024 bermula 19 Mac

    SESI persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024, akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024, bagi negeri Kumpulan A, manakala 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan B.

    Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, Kumpulan A membabitkan Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

    Katanya, berdasarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2021 sebelum ini, sesi persekolahan 2023/2024 ditetapkan pada 12 Mac bagi kumpulan A dan 13 Mac bagi kumpulan B.

    “Sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 dikekalkan pada Mac 2023 untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada satu ratus sembilan puluh (190) hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    KPM berkata, pihaknya juga mengambil maklum cadangan daripada beberapa pihak untuk mengembalikan permulaan sesi persekolahan kepada Januari.

    “KPM berpandangan bahawa perkara ini boleh dilaksanakan dengan memendekkan cuti persekolahan secara berperingkat bermula daripada 2023 sehingga 2026 dengan pematuhan kepada jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik.

    “Namun, mengambil kira kebajikan para guru, murid dan kesan kepada ekonomi negara, KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan cadangan ini bagi meminimumkan impak kepada pihak-pihak berkaitan,” katanya lapor BH Online.

    Tambah kenyataan itu, KPM juga mengambil kira pelbagai pandangan yang diterima daripada pemegang taruh untuk mengelakkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diadakan pada November dan Disember kerana bertembung dengan musim tengkujuh.

    “Pelaksanaan peperiksaan SPM dalam musim tengkujuh boleh menimbulkan tekanan bukan sahaja bagi guru dan petugas peperiksaan, malah kepada murid dan ibu bapa.

    “Apabila SPM diadakan pada Februari atau Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit bagi kemasukan ke universiti juga akan lebih pendek berbanding sebelum ini,” katanya.

    KPM berkata, walau bagaimanapun, KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum.

    Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 boleh di muat turun melalui laman sesawang KPM di pautan https//www.moe.gov.my/takwim.

  • PBM kecewa tiada wakil dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan

    PBM kecewa tiada wakil dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) yang menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa kerana tidak diberi jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

    Presiden PBM, Datuk Larry Sng berkata, pihaknya kecewa apabila tiada wakil parti itu dalam Kabinet, sedangkan mereka antara yang terawal memberi sokongan pada Perdana Menteri untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

    Beliau yang juga satu-satunya calon parti itu yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bagaimanapun menegaskan, PBM tetap mengutamakan kepentingan negara berbanding parti dan akan berusaha memainkan peranan terhadnya untuk membantu mengukuhkan kerajaan.

    “Tiada kata boleh diucapkan untuk menzahir kekecewaan terhadap pembentukan Kabinet berikutan PBM, yang menjadi antara terawal memberi sokongan pada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10, tiada wakil dalam Kabinet.

    “Bagaimanapun, sebagai sebuah parti, kita tidak boleh benarkan kepentingan parti melangkaui kepentingan negara,” ujar Ahli Parlimen Julau itu.

    “Dalam usaha untuk negara bergerak ke harapan, kami juga akan mainkan peranan terhad kami untuk memperkukuhkan asas kerajaan ini,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook miliknya, malam tadi.

    Larry menjadi satu-satunya wakil PBM yang menang dalam PRU15 apabila mempertahankan kerusi Parlimen Julau dengan majoriti 1,340 undi.

    Dalam PRU14, Larry yang bertanding atas tiket Bebas ketika itu, menang dengan majoriti 1,931 undi.

    Semalam, Anwar mengumumkan pelantikan 27 timbalan menteri, sekali gus melengkapkan Kabinet kerajaan perpaduan yang dianggotai 55 individu, termasuk dua timbalan perdana menteri dan 28 menteri.

    Mengulas lanjut, Larry memaklumkan PBM akan mengekalkan statusnya sebagai sebuah parti nasional dan mahu memperluaskan pengaruh parti itu, khususnya melalui kerjasama atau bergabung dengan mana-mana gabungan besar politik.

    “Saya tidak menolak kemungkinan bergabung dan pembentukan gabungan dengan parti politik lain, sama seperti yang dirancang sebelum PRU15,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Ops Tapis Khas:Pelajar antara tokan dadah ditahan

    Ops Tapis Khas:Pelajar antara tokan dadah ditahan

    TIGA pelajar termasuk seorang daripadanya tokan dadah antara yang ditahan dalam Op Tapis Khas Siri 7 di Felda, Felcra, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Perumahan Rakyat (PPR), jeti dan sarang penagih.

    Mereka antara 4,177 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah dalam operasi yang bermula Selasa lalu hingga kelmarin oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama kontinjen membabitkan 680 pemeriksaan di seluruh negara.

    Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin, sepanjang operasi berkenaan dijalankan, seramai 4,878 ditahan dan diperiksa.

    “Daripada jumlah itu, seramai 4,177 individu berusia 13 hingga 71 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah, manakala bakinya dilepaskan.

    “Mereka yang ditahan terdiri 484 tokan dadah termasuk seorang daripadanya masih belajar dan enam warga asing yang turut menjadi tokan.

    “Seramai 1,982 individu ditahan kerana menagih dadah membabitkan lima penjawat awam dan seorang lagi masih belajar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Noorsiah berkata, seramai 307 individu ditahan kerana dikehendaki polis atas pelbagai kesalahan dadah dan 1,404 atas kesalahan lain-lain dan daripada jumlah itu 177 warga asing serta seorang pelajar.

    Jelasnya, pecahan tangkapan mengikut siasatan pula adalah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (136), Seksyen 39A (2) ADB 1952 (83), Seksyen 39A(1) ADB 1952 (265), Seksyen 39C ADB 1952 (243) dan Seksyen 12(2) ADB 1952 (831).

    “Bagi Seksyen 6 ADB 1952 pula seramai 51 tangkapan, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (279), Seksyen 15(1)(a) ADB 1952(1,912) Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah 1983 (70) dan orang dikehendaki seramai 307 tangkapan,” katanya.

    Beliau berkata, dalam operasi itu seberat 181.84 kilogram (kg) dan 1,003.12 liter pelbagai jenis dadah berjaya dirampas yang dianggarkan bernilai RM3,634,566

    “Turut dirampas adalah senjata api, dua laras senapang buatan sendiri dan lima butir peluru hidup.

    “Selain itu, tindakan juga diambil mengikut ADB (Perlucuthakan Harta) 1988. JSJN menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai RM612,563.00 antaranya wang tunai berjumlah RM32,663, barang kemas bernilai RM49,600 dan kenderaan bernilai RM530,300,” katanya, lapor Harian Metro.