KONVOI bermotosikal yang disertai seorang lelaki bertukar tragedi apabila motosikal ditunggangnya terbabit nahas dengan sebuah lori tanpa muatan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Simpang Pulai, di Ipoh, tengah hari ini.
Lebih tragis apabila mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal Yamaha MZ150 maut selepas digilis tayar lori berkenaan pada bahagian kepala.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Mohd Sapri Yeop Mohamad berkata, kejadian turut mengakibatkan seorang lagi penunggang motosikal lain berusia 50-an yang berada di belakang cedera ringan akibat terbabas.
“Difahamkan terdapat 40 motosikal dalam perjalanan ke Cameron Highlands kerana mengikuti konvoi itu.
“Lori yang terbabit dalam nahas ini adalah lori 10 tan tanpa muatan. Bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi membawa keluar mangsa yang digilis itu,” katanya sewaktu dihubungi, lapor Harian Metro.
Khidmat anggota bomba BBP Simpang Pulai digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pukul 1.49 tengah hari tadi dengan operasi tamat pukul 3.19 petang.
JUMLAH mangsa banjir di Kelantan dan Pahang merekodkan peningkatan petang ini, manakala Segamat menjadi daerah pertama di Johor dilanda bencana itu.
Setakat 4 petang tadi, mangsa banjir di empat negeri yang terjejas merekodkan seramai 1,806 orang.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 657 orang daripada 212 keluarga petang ini, berbanding 280 mangsa daripada 84 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan memaklumkan kesemua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Rantau Panjang, Pasir Mas.
Seramai 450 mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok (81), SK Kubang Kual (66) dan PPS Putat Tujoh (60).
Di PAHANG, 581 orang telah dipindahkan ke 11 PPS sehingga 4 petang tadi berbanding 537 mangsa di lapan PPS pada 8 pagi tadi.
Sekreteriat JPBN Pahang memaklumkan daerah Temerloh mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu seramai 382 orang diikuti Lipis (83), Raub (48), Jerantut (39) dan Bera (29).
Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam satu kenyataan memaklumkan 22 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat pada 12 tengah hari tadi susulan limpahan air dari Sungai Muar.
Menurut kenyataan itu kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 546 orang daripada 137 keluarga petang ini berbanding 599 mangsa daripada 154 keluarga pagi tadi.
Sekretariat JPBN Terengganu dalam kenyataan memaklumkan setakat 3 petang tadi, tujuh PPS dibuka di empat daerah iaitu di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman.
Daerah Kemaman menempatkan 279 mangsa banjir, Kuala Nerus (220), Kuala Terengganu (43) dan Setiu (empat).- BERNAMA
BEKAS Ketua Wanita UMNO Perlis, Datin Seri Shamsiah Yasin mendakwa pemecatan keahlian beliau hanya kerana menemani suaminya Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menghantar borang pencalonan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Shamsiah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau digantung sementara jawatan peringkat UMNO cawangan dan bahagian pada 13 November lalu oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana didakwa terbabit secara langsung atau tidak langsung dan menyokong calon parti lawan pada PRU15.
Menurutnya, beliau sekadar menemani Shahidan ketika penamaan calon di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau pada 5 November lalu.
“Walaupun saya ahli UMNO, pada hari penamaan calon, saya mengiringi suami saya sahaja. Tiada niat pun saya cuba untuk mensabotaj parti Barisan Nasional (BN) kerana saya hadir mengiringi suami saya atas dasar saya ini isteri kepada calon berkenaan.
“Saya tidak faham mengapa timbul dakwaan saya cuba mensabotaj parti. Ini tidak benar kerana pada sepanjang tempoh kempen, saya tidak terbabit dengan apa jua kempen membabitkan suami saya. Jadi, apabila saya dimaklumkan pada Khamis saya dipecat, saya terkejut.
“Saya sudah pun menghantar surat tunjuk sebab pada 24 November lalu kepada Lembaga Disiplin UMNO menjelaskan apa yang berlaku dan menafikan sebarang tuduhan sabotaj. Sebelum pilihan raya juga, saya sudah memaklumkan kepada semua Ketua Wanita UMNO di peringkat cawangan seperti di Kangar supaya terus membantu calon BN, Datuk Dr Fathul Bari dengan menyantuni bertemu rakyat. Apa sebab saya dipecat,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata kepada pemberita dalam sidang media di kediamannya di Taman Jejawi, di Arau hari ini.
Shamsiah memberitahu, walaupun Shahidan menyertai PN secara rasmi, beliau dinasihatkan suaminya untuk meneruskan kempen untuk BN dan tidak perlu menyertai kempen bersama PN.
“Ramai sahaja ahli politik yang pasangan masing-masing tidak sehaluan dari segi sokongan terhadap parti politik dan ketika itu, saya tetap bersama BN walaupun suaminya saya sudah menyertai PN,” katanya.
Shamsiah berkata, selepas ‘dihalang’ untuk berkempen membantu calon BN, beliau mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan tidak menyertai kempen dalam PRU lalu.
“UMNO kini sudah berubah wajah menjadi ‘parti pecat’ di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Sesiapa sahaja yang cuba menghalang cita-cita presiden atau menegur kepimpinan parti, siap sedialah untuk dipecat.
“Saya sedih presiden UMNO sepatutnya tak perlu rakus memecat semua orang yang tidak sehaluan pendapat dengannya. Apa salahnya berbincang demi menguatkan saf dan perjuangan UMNO,” katanya.
Beliau yang sudah berada dalam UMNO sejak 1986 menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh UMNO itu menyebabkan beliau berasa ‘tawar hati’ untuk berjuang dalam politik, sebaliknya kini beliau menumpukan kerja kemasyarakatan membantu rakyat Perlis menerusi badan bukan kerajaan, Perpaduan Ummah.
Selain Shamsiah, UMNO pada Khamis lalu turut memecat Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang juga isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.
SEORANG peguam Perikatan Nasional (PN) berpandangan kerusi Parlimen dimenangi empat wakil rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu dikosongkan selepas mereka mengumumkan keluar daripada Bersatu semalam.
Ini menjadi polemik terbaharu mengenai status empat ahli Parlimen itu yang bertanding pada PRU-15 atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun menjadi ahli Bersatu.
Menurut Ketua Pasukan Undang-Undang Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN), Wan Rohimi Wan Daud, tindakan keempat-empat Ahli Parlimen itu memenuhi syarat yang diperuntukkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan peruntukan itu katanya, empat wakil rakyat berkenaan perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing kerana pembabitan mereka dalam GRS turut tergugur apabila mengumumkan keluar daripada BERSATU.
“Apabila empat Ahli Parlimen ini mengisytiharkan keluar Bersatu, mereka bukan lagi ahli kepada mana-mana komponen parti dalam GRS.
“Pada peringkat itu, mereka secara automatik bukan lagi ahli kepada gabungan GRS kerana telah memutuskan talian keahlian melalui parti komponen Bersatu.
“Mereka tidak boleh mengatakan keluar Bersatu tetapi kekal dalam GRS kerana keahlian mereka (dalam GRS) bersifat ‘by extension’ atau atas keanggotaan mereka sebagai ahli Bersatu.
“Berhenti daripada menjadi ahli Bersatu, maka secara jelasnya mereka turut berhenti daripada menjadi ahli gabungan GRS.
“Justeru operasi undang-undang berkaitan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(i) adalah terpakai ke atas empat Ahli Parlimen ini.
“Maka, keahlian mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat turut gugur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.
Empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah yang bertanding atas tiket GRS adalah Datuk Azmizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Peguam kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu mengulas pengumuman keluar parti oleh pemimpin BERSATU Sabah semalam, termasuk semua empat Ahli Parlimen dan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.
Bekas Ketua Badan Pimpinan Bersaatu Sabah, Datuk Hajiji Nor yang mengumumkan perkara itu memaklumkan, kumpulan itu akan menubuhkan parti tempatan baharu, namun buat masa ini mereka secara kolektif akan menjadi ahli GRS.
Berita Harian yang sebelum itu memetik Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpandangan, status empat Ahli Parlimen dan 15 ADUN itu tidak gugur dan tidak perlu mengosongkan kerusi yang disandang.
Beliau berpandangan tindakan mereka tidak tertakluk dalam Perkara 49A yang mula berkuat kuasa pada 5 Oktober lalu, kerana empat Ahli Parlimen itu bertanding dalam PRU15 atas tiket GRS yang sudah didaftarkan, bukannya Bersatu.
Katanya, kedudukan 15 ADUN juga tidak terkesan memandangkan enakmen khusus berkenaan larangan bertukar parti belum diwarta untuk dikuatkuasakan di Sabah.
Mengulas lanjut, Wan Rohimi yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Pusat berkata, keanggotaan empat wakil rakyat Sabah itu bukan secara langsung dengan GRS, sebaliknya menerusi Bersatu.
“Ertinya, status mereka sebagai Ahli Parlimen GRS adalah bersyarat selagi mana mereka mengekalkan keahlian dalam Bersatu,” katanya.
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membuat keputusan keluar parti itu semalam akan dirujuk mengikut undang-undang antilompat parti.
Tegas Presiden Bersatu itu, ia ditentukan mengikut peruntukan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen BERSATU yang bertanding menggunakan logo GRS dalam PRU-15, kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dua daripada empat ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) manakala Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau kecewa dengan sikap bekas pemimpin Bersatu Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, ini selepas parti itu meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu lebih-lebih lagi kemenangan mereka adalah atas logo PN.
“Saya kecewa dengan sikap mantan kepimpinan Bersatu Negeri Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.
“Lebih-lebih lagi kemenangan mereka dalam PRN yang lalu adalah atas logo PN.
“Saya percaya ahli-ahli Bersatu di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam Bersatu yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau mengulas mengenai tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan beliau dan barisan kepimpinan Bersatu Sabah meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.
Menurut Hajiji, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan lanskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.
Selain itu, Hajiji berkata, keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.
NAIB Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu) Sabah dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri yang baharu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi walaupun bekas Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pengikutnya mengumumkan keluar parti.
Muhyiddin menjelaskan, badan pimpinan negeri, bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan Bersatu di negeri Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan hanya MPT Bersatu yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya.
“Sehubungan itu, sukacita saya ingin mengumumkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Naib Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Beluran, dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, Ronald bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan Bersatu Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah sehingga penyusunan semula Bersatu Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah diputuskan oleh MPT Bersatu dan MT PN.
Semalam, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mengumumkan beliau dan barisan kepimpinan Bersatu Sabah meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.
Namun Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran kekal bersama Bersatu di Sabah walaupun kepimpinan negeri itu bertindak keluar parti hari ini.
Kemelut Bersatu Sabah dengan Ronald tercetus apabila beliau tidak dicalonkan sebagai calon GRS pada PRU15 bagi kerusi Parlimen Beluran susulan kerjasama antara gabungan itu dengan Barisan Nasional.
Ekoran itu, kerusi Parlimen Beluran diberikan kepada calon BN, Benedict Asmat hingga memaksa Ronald bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Namun, Ronald berjaya menenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 1,594 undi.
SEJAK Khamis lalu, negeri-negeri di Pantai Timur termasuk Terengganu telah dilimpahi hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan tertentu mula dilanda banjir.
Perkembangan ini turut menggambarkan bahawa musim tengkujuh sudah bermula dan seperti biasa apabila tibanya musim yang dianggap oleh kebanyakan penduduk di Terengganu sebagai ‘musim sengsara’ ini, ia turut menjejaskan pelbagai perancangan aktiviti setempat.
Malah, setiap kali ketibaan tengkujuh, antara yang paling terasa adalah golongan nelayan pantai dan juga petani.
Negeri-negeri di Pantai Timur termasuk Terengganu telah dilimpahi hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan tertentu mula dilanda banjir sejak Khamis lalu
Ini kerana, pada musim tengkujuh golongan berkenaan terpaksa berkurung dalam rumah sehingga tempoh tertentu ekoran tidak dapat menjalankan rutin kerja seperti biasa.
Bagi nelayan, terutama yang menggunakan bot-bot kecil, mereka tidak mampu keluar menangkap ikan di laut kerana ketika ini angin Timur Laut agak kencang disamping ombak besar dan bergelombang menghalang mereka berbuat demikian.
Sebab itulah, sejak dari dahulu lagi apabila tiba musim tengkujuh, kebanyakan nelayan terpaksa melabuhkan bot-bot mereka di dalam muara.
Namun begitu, terdapat juga segelintir nelayan khususnya bot laut dalam masih sanggup menggadai nyawa dengan meredah lautan penuh bergelora itu demi mencari rezeki untuk keluarga.
Bagi sesetengah nelayan, laut seperti tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan mereka dan sekiranya tidak turun ke laut, bermakna dapur tidak akan berasap!, menyebabkan anak-anak kelaparan.
Berdasarkan itulah mereka seakan tidak gentar melakukan aktiviti berkenaan walaupun terpaksa berhadapan dengan maut dan adakalanya bot yang dinaiki pernah tenggelam di tengah lautan.
Manakala bagi petani pula, pada musim seperti ini mereka hanya mampu merenung ke arah sawah bendang yang seolah olah berubah wajah bertukar menjadi lautan akibat ditenggelami air.
Jika bernasib baik, ada di antara petani terbabit masih berpeluang mengutip hasil tanaman masing-masing untuk dijual kepada orang ramai,tetapi sekiranya rosak sudah pasti mereka terpaksa menanggung kerugian.
Begitulah ujian dan nasib kehidupan golongan nelayan dan petani di Terengganu sepanjang mengharungi musim tengkujuh yang turut menyebabkan berlakunya kejadian banjir di beberapa kawasan tertentu.
Bagi masyarakat di Terengganu, musim tengkujuh bukan sahaja dikaitkan dengan musim sengsara, sebaliknya ia turut meletakkan mereka berada dalam kebimbangan dan keresahan terutama yang tinggal di pesisir pantai dan di kawasan rendah.
Hal ini kerana perkampungan di pesisir pantai bukan sahaja terdedah kepada tiupan angin kencang, sebaliknya ia turut berisiko dari segi ancaman ombak besar, hakisan pantai dan juga air laut pasang yang boleh menyebabkan rumah mereka musnah.
Manakala bagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah pula, hujan lebat secara berterusan selama beberapa hari boleh mengakibatkan kediaman mereka ditenggelami air.
Selain itu, fenomena air pasang besar disamping berlakunya pertembungan air laut dengan air di hilir sungai juga boleh menyebabkan berlakunya kejadian banjir ekoran paras air naik dan melimpah secara mendadak.
Dalam perkembangan banjir yang berlaku di Terengganu, sehingga pukul 7 pagi ini (Ahad) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan seramai 585 mangsa membabitkan 150 keluarga telah dipindahkan ke 10 Pusat Pemindahan Sementara(PPS).
Antara daerah terlibat ialah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Kemaman dan Setiu.
Memandangkan hujan masih berterusan dan bacaan beberapa paras sungai yang terus meningkat adalah dijangka jumlah mangsa berpindah akan terus bertambah.
Justeru, penulis ingin menasihati kepada semua penduduk yang tinggal di kawasan agar terus berwaspada dan sentiasa mendengar arahan daripada pihak berkuasa.
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah akan disusun dan distruktur semula selepas pemimpin parti itu termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu semalam.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penstrukturan semula itu akan diketuai Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Naib Presiden Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, tindakan pemimpin Bersatu keluar parti itu disifatkan sesuatu yang lumrah yang perlu dilalui mana-mana parti politik khususnya selepas berakhir pilihan raya umum.
Dalam masa sama, beliau yakin parti itu tidak akan terjejas memandangkan pernah melalui pengalaman sama sebelum ini iaitu ketika tokoh besar seperti bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad; anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Marzuki Yahya turut keluar daripada Bersatu dan menubuhkan parti Pejuang.
“Bersatu Sabah tetap kekal dan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), kita ada perancangan dan ada tindakan yang mana Timbalan Presiden akan mengetuai usaha menyusun semula bahagian-bahagian yang akan diisi pimpinan atasan nanti,” katanya kepada pemberita di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
Wan Saiful mengulas tindakan Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor semalam yang meninggalkan parti itu selepas mempertimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.
Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mendakwa, tindakan Hajiji itu didorong oleh kepentingan jawatan dan kuasa.
“Di Sabah, tak ada sebarang masalah tetapi tiba-tiba mereka nak keluar.
“Saya kata kalau Hajiji nak keluar, tak apa, bawa sama beberapa orang pengikutnya dan kita akan susun balik parti,” katanya.
PENGACARA popular tanah air, Datuk Aznil Nawawi meluahkan rasa kesal beliau berikutan sebuah video prank ‘kasar’ yang dilakukan oleh salah seorang peserta program di bawah anjurannya dan tular baru-baru ini.
Menenerusi video yang tular tersebut, peserta berkenaan dilihat mencampakkan sebiji kek ke muka seorang wanita di sebuah taman permainan dengan alasan hanya mahu menguji kesabaran wanita itu yang juga merupakan seorang ibu kepada anak kelainan upaya (OKU).
Bagaimanapun, Aznil atau mesra disapa Pak Nil yang juga bertindak selaku mentor program tersebut berkata tindakan peserta itu sudahpun melampui batas.
Malah dia sebagai Mentor pernah berpesan untuk tidak melakukan konten yang sedemikian.
“Saya tertarik untuk mengulas sebuah video prank yang melampau, Pak Nil selaku mentor kepada peserta tersebut sangat kesal dengan kejadian ini.
“Sebab sebagai mentor saya pernah pesan kepada mereka bahawa prank di Malaysia tidak boleh sama dengan prank yang dilakukan oleh warga di negara lain.
“Kita masih mempunyai tanggungjawab terhadap agama, budaya dan negara. Masih tertakluk kepada tatasusila, itu perkara yang sangat saya utamakan,” katanya, lapor portal hiburan Gempak.
Beliau menyatakan rasa kesalnya itu menerusi satu hantaran video di laman TikTok miliknya baru-baru ini.
Pak Nil pada masa sama turut mengulas mengenai objektif utama program tersebut dianjurkan di mana ia bertujuan mahu melahirkan golongan anak muda yang mampu melakukan konten yang berkualiti.
“Mengenai projek ini, ia adalah tayangan untuk TikTok dan YouTube dengan tujuan ingin mereka mempunyai satu konten yang berkualiti daripada segi produksi dan juga isi.
“Disebabkan bekerjasama dengan TikTok, peserta-peserta ini hanya tertakluk kepada garis panduan komuniti (Community Guideline) yang disediakan oleh pihak TikTok.
“Seandainya TikTok melihat ia adalah sesuatu yang tidak mengganggu gugat komuniti, video itu masih lagi boleh dilihat di akaun peserta-peserta kami,” tambahnya.
Sementara itu, Pak Nil yang mewakili pihak produksi program tersebut memohon maaf kepada semua pihak yang terasa dan dia turut memaklumkan akan berusaha untuk berjumpa dengan peserta berkenaan bagi mendapatkan penjelasan sebenar.
“Untuk itu saya selaku wakil program tersebut ingin memohon maaf dan akan mengambil peluang untuk berjumpa peserta tersebut untuk mengetahui apa sebenarnya plan dia pada asalnya.
“Saya harap ini juga menjadi pengajaran pada semua orang untuk menghasilkan konten-konten yang lebih berkualiti dan jauh beza daripada budaya luar,” tambahnya.
AHLI Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman menyifatkan kenyataan Lim Kit Siang bahawa langkah perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam dalam dua kali lagi pilihan raya sebagai tidak bertanggungjawab dan merupakan hasutan bagi membangkitkan isu perkauman berasaskan agama.
Menurutnya, kenyataan yang bersifat provokatif dan ekstrimis oleh ahli politik veteran DAP itu perlu disiasat oleh pihak berkuasa.
“Beliau telah menyebutkan langkah-langkah perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi pilihan raya, yang dianggarkannya pada 2032, sepuluh tahun dari sekarang”.
“Ia adalah suatu tuduhan berat berniat jahat, hasutan bagi membangkitkan isu perkauman berasaskan agama dan ia perlu disiasat oleh pihak berkuasa.
“Perkara ini jelas menunjukkan beliau seorang yang tidak memahami Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menggariskan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, bahkan menjadi ejen penyuntik Islamofobia di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, lapor MalaysiaKini.
Pada 9 Disember lalu, Lim Kit Siang berkata kerajaan harus melaksanakan dasar-dasar reformasi dan program pembinaan semula negara bagi mencegah Malaysia tenggelam dalam “gelombang hijau” PAS.
Kata Lim, kerajaan harus mengambil pelajaran daripada pilihan raya umum ke-15 bagi mengelakkan demokrasi dirampas oleh politik “pembohongan, ketakutan, kebencian, perkauman dan agama”.
Katanya langkah itu boleh memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi pilihan raya, yang dianggarkannya pada 2032, iaitu sepuluh tahun dari sekarang.
Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi berkata PN enggan membentuk kerajaan perpaduan bukan kerana membantah cadangan Yang di-Pertuan Agong seperti dinyatakan PH dan BN, tetapi enggan berkrompromi dengan kluster mahkamah yang disifatkan seperti “enau dalam belukar dan “melepaskan pucuk masing-masing”.
“Kemenangan besar Perikatan Nasional dalam merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada PH dengan majoriti lebih 16,260 telah menterjemahkan penolakan dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan gabungan PH-BN yang tidak telus, bahkan sanggup berkompromi sehinggakan terpaksa melantik kluster mahkamah menjawat jawatan penting dalam kabinet demi kelangsungan kuasa mereka,” katanya.