Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kumpulan hak asasi kecam menteri KDN berhubung dakwaan penderaan di depoh imigresen

    Kumpulan hak asasi kecam menteri KDN berhubung dakwaan penderaan di depoh imigresen

    KUMPULAN hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung responsnya terhadap dakwaan wujud penderaan di depoh tahanan imigresen, mengatakan ia adalah perkara serius yang memerlukan siasatan secara menyeluruh dengan segera oleh pihak berkuasa.

    Pada 9 Disember, Saifuddin berkata bahawa adalah ‘tidak adil’ untuk memperbesar-besarkan dakwaan layanan buruk terhadap tahanan di pusat tahanan Kimanis, dan memberikan laporan berat sebelah.

    “Susut (keadaannya) bukan sebab ditahan tetapi ketika belum masuk lagi. Dia susut bukan disebabkan berada di pusat tahanan,,” katanya.

    Pengarah LFL Zaid Malek berkata, cara Saifuddin memberikan respons mengenai perkara tersebut tidak boleh diterima.

    Malah katanya, itu bertentangan dengan tadbir urus yang baik di mana beliau dilihat menolak mentah-mentah aduan serius sedemikian, menyifatkan kenyataan Saifuddin itu sebagai “salah satu jawapan paling tidak masuk akal yang pernah dikemukakan oleh seorang menteri dalam negeri ketika berdepan isu penderaan tahanan.

    “LFL kecewa kerana kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH), yang sekian lama menguar-uarkan diri mereka sebagai ‘reformis’, kini mengikut jejak langkah kezaliman pendahulu mereka.

    “Tuduhan penderaan di pusat tahanan adalah perkara serius yang memerlukan siasatan yang menyeluruh dan segera oleh kerajaan,” katanya.

    Zaid turut berkata, Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan melindungi nyawa dan kebebasan mana-mana individu yang berada di Malaysia – hak yang turut diberikan kepada pendatang tanpa dokumen yang ditahan di depoh imigresen.

    “Layanan terhadap pendatang adalah perkara penting yang mesti dipandang serius oleh kerajaan kerana ia boleh menjejaskan hubungan dua hala dengan negara lain yang akan memberi kesan buruk kepada ekonomi kita, di mana beberapa industri sangat bergantung dengan pekerja asing,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    “Sudah tentu, negara akan mendapat imej buruk apabila ia dilihat bersifat kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana pendatang diperlakukan sebegitu rupa,” tambahnya, memetik langkah Indonesia pada Julai lalu yang memutuskan untuk menangguhkan kemasukan pekerja asing ke Malaysia kerana pelanggaran perjanjian yang bertujuan untuk menambah baik perlindungan terhadap pekerja domestik.

    Zaid juga menggesa siasatan segera dan bebas berhubung dakwaan itu dibuat, dan hasil siasatan perlu dibentangkan kepada awam dan Dewan Rakyat.

  • ‘MN terima lebih 10,000 ahli selepas beberapa jam dibuka’

    ‘MN terima lebih 10,000 ahli selepas beberapa jam dibuka’

    PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN) yang dipengerusikan Tan Sri Annuar Musa didakwa menerima lebih 10,000 permohonan keahlian selepas dibuka sejak beberapa jam lalu.

    Perkara itu dikongsikan Annuar Musa menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

    “Subhanallah… baru beberapa jam keahlian MN dibuka sudah lebih 10,000 permohonan keahlian diterima.

    “Saya amat terharu betapa ramainya di luar sana, anak bangsa yang prihatin terhadap agama, bangsa dan negara serta cintakan muafakat,” katanya.

    Annuar berkata, sokongan ditunjukkan itu memberi satu kekuatan baharu kepadanya untuk terus berjuang.

    “Tiba tiba saya merasa suatu kekuatan baharu untuk terus berjuang bersama mereka yang jujur dan ikhlas.

    “Semoga Allah SWT memudahkan segala urusan kita seterusnya,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.

    Kelmarin, permohonan untuk MN sebagai ahli baharu telah dibuka dan Annuar menjelaskan permohonan itu sepatutnya dibuka minggu hadapan, namun atas permintaan ramai ia dibuat lebih awal melalui laman web rasmi MN di https://muafakatnasional.org.my.

  • Pelakon veteran Bollywood, Veena Kapoor dibunuh anak sendiri kerana harta

    Pelakon veteran Bollywood, Veena Kapoor dibunuh anak sendiri kerana harta

    PELAKON televisyen veteran Bollywood, Veena Kapoor dibunuh anak lelakinya sendiri dalam satu pergaduhan akibat harta.

    Veena, 74, dilapor dipukul dengan teruk menggunakan kayu besbol selepas bergaduh dengan anak lelakinya yang sebelum ini menetap di Amerika Syarikat (AS).

    Menurut Berita Harian yang memetik laporan Agensi, pihak berkuasa di sana memakumkan, anak lelakinya mengaku membunuh ibunya sendiri hanya disebabkan perselisihan faham membabitkan hartanah bernilai RM6.4 juta.

    Polis telah menahan tertuduh, Sachin Kapoor, 43, dan individu yang didakwa bersubahat dengannya, Chhotu atau nama sebenarnya Lalu Kumar Mandal, 25.

    Terdahulu, kehilangan aktres itu mulai dihidu oleh pengawal keselamatan kediaman Kapoor yang bertindak memaklumkan kepada polis Juhu.

    Difahamkan, selepas membunuh ibunya, Sachin telah membuang mayat Veena ke dalam sungai berhampiran Matheran di daerah Raigad, Mumbai.

    Veena pernah terbabit dalam drama ‘Bhabhi’ yang disiarkan sekitar tahun 2002 hingga 2008.

    Selain itu, antara filem lain lakonan Veena ialah ‘Mitter Pyare Nu Haal Mureedan Da Kehna’, ‘Dal: The Gang’ dan ‘Bandhan Pheron Ke’.

  • Dua mayat rentung dijumpai dalam pondok pengawal

    Dua mayat rentung dijumpai dalam pondok pengawal

    DUA ditemukan rentung dalam pondok pengawal keselamatan yang terbakar di Taman Bayam Indah, Lunas, Kulim, Kedah malam tadi.

    Difahamkan, mayat terbabit masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita ditemukan dalam pondok diperbuat daripada kontena di kawasan perumahan itu.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 10.56 malam memaklumkan mengenai kebakaran terbabit.

    “Ketika memadam kebakaran anggota bomba mendapati terdapat dua mangsa rentung dalam kontena terbabit.

    “Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada dalam kontena dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor BH Online.

    Difahamkan, setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dan bedah siasat sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.

  • Pelantikan timbalan menteri ‘amat mengecewakan’ – Pemuda Gerakan

    Pelantikan timbalan menteri ‘amat mengecewakan’ – Pemuda Gerakan

    PEMUDA Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) menyifatkan pelantikan timbalan menteri amat mengecewakan kerana bertentangan dengan aspirasi ingin dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sebuah kerajaan berkaliber.

    Menurut pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen, Perdana Menteri sentiasa berkata tentang pelantikan jawatan menteri dan timbalan menteri bukan sebagai ganjaran ke atas sokongan terhadap beliau tetapi atas komitmen ke atas ‘tata kelola’ dan nilai murni yang lain.

    “Timbalan Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, seorang adik kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, seorang lagi adik kepada Pengerusi Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    “Tolong beritahu saya apakah kelayakan kedua-dua pihak ini dan tolong buktikan ini bukan satu bentuk ganjaran,” desak Chia Zhen dalam satu kenyataan.

    Selain itu, Chia Zhen berkata, Perikatan Nasional (PN) mengambil pendirian yang tidak selari dengan Pakatan Harapan (PH).

    “Bagi saya, kami (PN) memainkan peranan sebagai pembangkang dalam soal semak dan imbang (check and balance).

    “Seboleh-bolehnya saya tidak akan komen pasal PH ‘sembang’ tentang manifesto yang tidak munasabah dengan kepercayaan kerja berpolitik telah tamat, sudah sampai masa kita membina negara bersama-sama.

    “Tetapi dengan titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan keputusan Anwar sebagai Perdana Menteri, kami ingin melihat langkah-langkah yang diambil sejurus dengan agenda reformasi dan niat yang ingin membawa negara ke landasan yang betul,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Tambah beliau, pelantikan menteri dan timbalan menteri amat penting kerana melalui penempatan itu ia memberi petanda akan hala tuju yang ingin diambil.

    “Malangnya, saya cuma nampak permainan sama di gelanggang yang lain. Cakap tidak serupa bikin,” tambahnya.

  • Pemimpin perlu fokus bantu rakyat bukan cari silap parti lawan – Shahidan

    Pemimpin perlu fokus bantu rakyat bukan cari silap parti lawan – Shahidan

    KERAJAAN pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta terus fokus bekerja untuk membantu rakyat bagi menangani kos sara hidup dan bukannya mencari kesalahan parti lawan.

    Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan dan sikap pemimpin politik dalam kerajaan yang berterusan mencari kesilapan parti lawan dilihat seperti parti pembangkang.

    “Isu rakyat banyak, kami akan membantu (kerajaan) untuk menyelesaikannya, bukan dengan korek cerita. Ini kerajaan korek ke kerajaan nak bela rakyat?

    “Ini kerajaan untuk membina rakyat, bukan kerajaan korek. Kalau panggil kerajaan ‘backhoe‘ marah pula.

    “Kalau korek ada bukti tidak apa, ini korek benda tidak logik kata RM600 bilion (dikaitkan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin).

    “Tender apa semua pegawai kerajaan buat, beliau umum sahaja, ingat prosedur kerajaan cukup ketat ada tender semua.

    “Pegawai kerajaan bukalah mulut, saya minta buka mulut biar rakyat tahu dan dengar,” katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Taman Tembusu, Arau, pada semalam.

    Shahidan berkata, isu rakyat seperti kekurangan telur ayam di pasaran yang menghimpit rakyat perlu diberikan perhatian serius kerajaan hari ini dan bukannya memfokuskan isu tidak penting.

    “Sekarang ini macam mana nak turunkan harga telur, saya dulu (dalam) jawatankuasa telur (Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi) dan Tan Sri Annuar Musa pengerusinya.

    “Kami tahu betapa sukar untuk menguruskan telur ini dan ayam. Jadi kerajaan kena tumpu kepada masalah ini,” ujar beliau.

    Jelasnya, beberapa isu yang dikaitkan dengan beliau baru-baru ini akan diselesaikan menerusi saluran undang-undang untuk memberikan pencerahan kepada rakyat.

    “Kerajaan sekarang perlu persembahkan apa yang mereka mahu buat pada rakyat.

    “Beberapa kenyataan yang dibuat kepada saya Insya-Allah akan diperbetulkan secara undang-undang sebab apa yang disebutkan itu salah, tidak benar dan merupakan pembohongan mutlak,” kata Shahidan, lapor Sinar Harian.

    Pada 7 Disember lalu, media melaporkan beliau menjelaskan pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan dirinya dengan pemilikan saham Padiberas Nasional Berhad (Bernas) RM400 juta adalah tidak benar.

    Shahidan turut mempersoal tindakan Anwar yang mendedahkan hanya beberapa nama terlibat dalam pembelian saham berkenaan selain mengumumkan secara terbuka butiran syarikat itu yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

    Menurutnya, penjelasan berhubung isu berkenaan hanya akan dilakukan kemudian dan kemungkinan dalam persidangan Parlimen akan datang.

  • Bimbang lihat calon kalah pegang jawatan dalam Kabinet

    Bimbang lihat calon kalah pegang jawatan dalam Kabinet

    PELANTIKAN calon kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai menteri dan timbalan menteri dianggap amalan membimbangkan memandangkan kebanyakan mereka tidak memiliki merit.

    Penganalisis politik dari Akademi Nusantara,, Azmi Hassan berkata, keputusan itu bagaimanapun boleh diterima jika mereka dilantik sebagai senator sahaja memandangkan ia sering menjadi ganjaran kepada pemimpin kerana menyokong parti.

    “Namun, saya fikir ia agak membingungkan dalam kes lantikan Jemaah Menteri dan timbalan. Ini kerana, daripada enam yang dilantik senator serta dipilih memegang jawatan kerajaan, hanya seorang sahaja memiliki kepakaran.

    “Beliau adalah menteri agama Na’im Mokhtar. Lima yang lain dilantik berdasarkan hubungan politik,” katanya lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

    Na’im pernah memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Syarie manakala yang lain merupakan calon bertanding di Parlimen tetapi kalah pada PRU lalu.

    Saifuddin Nasution Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zambry Abdul Kadir serta Tengku Zafrul Aziz dari UMNO dilantik sebagai menteri, manakala K. Saraswathy dan Fuziah Salleh dari PKR dilantik sebagai timbalan menteri.

    Saifuddin adalah Setiausaha Agung PKR, manakala K. Saraswathy merupakan Naib Presiden dilantik dalam parti itu.

    Zambry pula adalah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

    Kesemua tujuh mereka dilantik senator bagi membolehkan mengisi jawatan menteri atau timbalan menteri.

    Azmi berkata, tawaran menjadi senator sepatutnya hanya digunakan bagi menarik kumpulan profesional dan teknokrat dalam kerajaan dan bukannya menyediakan ‘pintu belakang’ bagi pihak yang kalah.

    Ditanya mengenai sama ada Dewan Negara perlu direformasi bagi menamatkan lantikan calon kalah pilihan raya atau dijadikan ganjaran kepada pemimpin parti, Azmi bersetuju sambil menyatakan pilihan raya bagi senator akan menjadikan Dewan Negara lebih cekap.

    Dalam pada itu, saintis politik, Wong Chin Huat dari Sunway University, juga bersetuju dengan cadangan diadakan pilihan raya membabitkan Dewan Negara.

    Beliau juga mencadangkan Sabah dan Sarawak masing-masing diberikan satu per enam kerusi untuk membentuk blok veto.

    Chin juga mencadangkan pengenalan perwakilan berkadar pada PRU kepada golongan profesional dan wakil sektor yang tidak mampu menang pilihan raya berdasarkan merit peribadi.

    Katanya, kaedah ‘senarai tertutup’ bagi perwakilan berkadar membolehkan pengundi memilih antara parti bertanding, dengan kerusi senator diperuntukkan kepada parti berdasarkan penguasaan undi diperolehi.

    “Ini jauh lebih baik berbanding melantik calon kalah atau teknokrat yang tidak dipilih masuk dalam pentadbiran. Amalan sedia ada memberi keselesaan kepada parti, namun melemahkan demokrasi dan keabsahan pentadbiran,” katanya.

    Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pelantikan senator membolehkan kumpulan minoriti seperti wanita dan etnik lain mempunyai wakil mengambil kira kesukaran dipilih.

    Azmil berkata, melantik calon kalah pilihan raya dalam kerajaan menerusi lantikan senator disifatkan tidak menimbulkan masalah selagi lantikan itu layak bagi portfolionya.

    “Selain itu, ia hanya dilihat sebagai satu bentuk politik naungan dan usaha mengukuhkan kuasa,” katanya.

    “Dalam kes di Malaysia, pelantikan senator sentiasa digunakan sebagai sebahagian politik naungan bagi memberi ganjaran kepada sekutu dan memperkukuh kuasa perdana menteri dalam kerajaan.”

  • 33 tinggal sehelai sepinggang, 5 rumah musnah dalam kebakaran

    33 tinggal sehelai sepinggang, 5 rumah musnah dalam kebakaran

    LIMA buah rumah musnah dalam kebakaran di Lorong 1, Kampung Pulo Ulu, di Kuching, awal pagi tadi.

    Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Hendery Ardimansyah berkata, kejadian menyebabkan 33 penghuni tinggal sehelai sepinggang.

    ‘Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pihaknl bomba menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 1.46 pagi dan segera mengaktifkan tiga jentera dengan kekuatan 29 anggota ke lokasi dari Balai Petra Jaya, Tabuan Jaya dan Padungan.

    “Setiba di lokasi, pasukan operasi melaporkan kebakaran melibatkan lima rumah jenis tidak kekal.

    “Pasukan operasi menggunakan tiga aliran dengan tujuh nozel untuk mengepung api daripada merebak lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, operasi memadam kebakaran lancar apabila tekanan air juga berfungsi baik, dengan pasukan menggunakan sumber pili, sumber terbuka dari Sungai Sarawak dan sumber air dari jentera.

    Kebakaran katanya, berjaya dikawal pada pukul 2.18 pagi, dengan pemadaman sepenuhnya berlaku pada pukul 5.51 pagi.

    Selain lima kediaman terbabit, siasatan awal mendapati sebuah kenderaan Perodua Axia dan empat motosikal berlainan jenama turut musnah, katanya.

    “Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba,” katanya lapor Astro Awani.

  • Empat bekas ahli Parlimen Bersatu perlu kosong kerusi, kata Wan Junaidi

    Empat bekas ahli Parlimen Bersatu perlu kosong kerusi, kata Wan Junaidi

    BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-Undang) berpandangan empat ahli Parlimen Bersatu Sabah yang keluar parti mesti mengosongkan kerusi mereka, jika peletakan jawatan mereka diterima.

    Untuk itu kata beliau, pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan di bawah undang-undang anti-lompat parti, yang digubal jawatankuasa Parlimen diketuainya.

    Wan Junaidi berkata, tidak penting empat Ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau mewakili mana-mana gabungan lain kerana ia hanya relevan sama ada mereka meninggalkan parti mereka.

    Beliau juga menolak cadangan Bersatu Sabah adalah entiti berasingan daripada Bersatu kerana menurutnya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tidak akan membenarkan permohonan sedemikian.

    “Saya merangka undang-undang itu untuk melarang perkara seperti ini berlaku dan untuk mewujudkan kestabilan politik dalam negara,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Empat ahli Parlimen yang mencetuskan polemik itu adalah Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

    Ini susulan tindakan pemimpin Bersatu Sabah mengumumkan mereka meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu, semalam.

    Mengulas lanjut Wan Junaidi berkata, peletakan jawatan empat Ahli Parlimen itu perlu diterima secara rasmi Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin untuk mengesahkan mereka telah keluar parti.

    “Jika ya, mereka perlu mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil perlu diadakan.”

    FMT sudah menghubungi pembantu kepada Hamzah untuk mengulas sama ada empat Ahli Parlimen itu sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada parti.

    Di bawah undang-undang anti-lompat parti, yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain. Pengecualian untuk Ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

    Wan Junaidi berkata, mengikut prosedur, Ahli Parlimen akan memaklumkan Speaker Dewan Rakyat berlaku kekosongan dan selepas pengesahan, beliau akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kerusi itu diisi dalam masa 60 hari.

    “Apabila speaker mengesahkan fakta bahawa peletakan jawatan Ahli Parlimen itu diterima parti, mereka akan kehilangan kerusi mereka. Saya tidak pasti sama ada mahkamah akan mentafsirnya dengan cara lain kerana ia jelas termaktub dalam undang-undang,” katanya.

  • Agong titah perjelas keadaan sebelum Perdana Menteri angkat sumpah

    Agong titah perjelas keadaan sebelum Perdana Menteri angkat sumpah

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan kronologi dan titah di dalam Istana Negara sebelum beliau mengangkat sumpah, dua minggu lalu.

    Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan demikian supaya tidak timbul kekeliruan berhubung isu terbabit sehingga menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.

    “Semalam ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, baginda nyatakan ada baiknya jika Perdana Menteri jelaskan supaya jangan timbul kekeliruan, terutamanya yang menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

    Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

    Anwar menjelaskan, dalam isu pembentukan kerajaan sebaik Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berakhir, Yang di-Pertuan Agong mengambil tindakan selangkah di depan untuk mengadakan Sidang Khas Majlis Raja-Raja Melayu.

    Yang di-Pertuan Agong mengambil pendekatan mengikut Perlembagaan walaupun ini dipertikai oleh sesetengah tokoh Melayu dan Islam.

    “Penjelasan Yang di-Pertuan Agong kepada saya dan Raja-Raja Melayu yang sempat saya menghadap, adalah menyatakan daripada awal tidak dipertikaikan bahawa parti yang memperolehi kedudukan terbesar akan mendapat keutamaan.

    “Pada ketika itu, parti menang dengan kerusi terbesar adalah Pakatan Harapan (PH) sebanyak 83 kerusi Parlimen dan diikuti oleh Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 kerusi Parlimen.

    “Seterusnya ada usaha sambilan untuk mendapatkan akuan bersumpah (SD) dan ia terus berlaku dalam tempoh ditetapkan Yang di-Pertuan Agong, iaitu sehingga pukul 2 petang pada 21 November lalu.

    Beliau berkata, berapa pun jumlah SD yang diperoleh itu hanya akan ditetapkan setelah waktu diberikan berkenaan dimuktamad.

    “Seperti mana dalam perlumbaan dia boleh potong kita di ’round’ (pusingan) pertama. Kita potong dia ’round’ (pusingan) ketiga tapi yang pentingnya ialah garisan penamat.

    “Apabila di garis penamat, saya perolehi jumlah terbesar … kerana orang beri pengakuan sebelumnya, telah menarik balik (sokongan), sebelum tempoh 2 petang,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 19 Disember diadakan kerana beliau mahukan mandat yang lebih jelas untuk memimpin negara.

    “Rasa perlu untuk adakan undi percaya kerana jumlah jelas dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti kecil lain.

    “Saya jawab ampun tuanku, ini bukan soal peraturan dan undang-undang dibangkitkan, tapi kerana saya mahu memimpin dengan mandat yang jelas. Patik yakin perolehi majoriti.

    “Andai kata tidak perolehi, patik akan tunduk suara rakyat,” katanya.