Author: Wartawan WartaRakyat

  • Duta: Majikan aniaya pekerja dilarang masuk ke Indonesia

    Duta: Majikan aniaya pekerja dilarang masuk ke Indonesia

    Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono menegaskan pentingnya pekerja dilindungi dengan mengatakan Indonesia akan mengenakan sekatan perjalanan ke atas rakyat Malaysia yang mengeksploitasi pekerja Indonesia, demi menegakkan keadilan.

    Hermono berkata, sebagai contoh, Radzuan Abu Hadzim dan isterinya Rosnajihah Ramli, yang dibebaskan daripada tuduhan pemerdagangan manusia pada 9 Dis lalu akan menjadi rakyat Malaysia pertama yang akan dilarang memasuki negara itu.

    Pasangan itu menafikan menggajikan pembantu rumah warga Indonesia sejak tujuh tahun lalu, dan difahamkan mereka juga enggan menjelaskan bayaran gaji pembantu rumah berkenaan.

    “Radzuan dan Rosnajihah dibebaskan daripada pertuduhan pemerdagangan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007/22 (Atipsom) yang telah dipinda, tetapi jika keadilan tidak ditegakkan, mereka akan menjadi rakyat Malaysia pertama yang disekat masuk ke Indonesia kerana mengeksploitasi pekerja Indonesia,” kata Hermono kepada Malaysiakini.

    Hermono berkata, ketika perbicaraan kes Atipsom di mahkamah di Klang, pasangan itu memberitahu mereka menyediakan penginapan sementara untuk Yati Karyati yang berusia 60 tahun sementara menunggu untuk dia dihantar pulang.

    Bagaimanapun, Yati didapati tidak memiliki dokumen apabila dia diselamatkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Selangor pada Mac lalu berikutan aduan yang dibuat anak perempuannya melalui sebuah NGO di Indonesia.

    Kedutaan Indonesia bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja dalam menjejaki Yati selepas majikannya berpindah dari kediaman mereka sebelum ini di Bukit Jelutong dan selepas Yati tidak dibenarkan menggunakan telefon.

    Dalam temu bual menerusi telefon dengan Malaysiakini dari Bandung di Jawa Barat, Yati berkata, dia meminta untuk pulang ke rumah selepas dua tahun apabila gajinya tidak dibayar.

    Yatie mendakwa, dia bekerja dalam tempoh yang panjang untuk pasangan itu dan lima anak mereka di rumah dua tingkat dan lima bilik tidur milik pasangan itu.

    Yati berkata, selepas tiga bulan bekerja, bayaran sebanyak RM282 diberikan kepada anak perempuannya di Bandung melalui ejen – tetapi selepas itu, Yati tidak pernah menerima sebarang bayaran lain.

    Yati juga memberitahu pasportnya telah ditahan dan dia tidak dibenarkan pulang ke rumah walaupun dia ingin berjumpa dan bercakap dengan lima anaknya sendiri.

    Sebelum pulang ke Bandung, Jabatan Tenaga Kerja memaklumkan Yati bahawa majikannya berhutang dengannya sebanyak RM84,000 dalam bentuk gaji yang belum dibayar.

    Yati yang dimaklumkan mengenai pembebasan majikannya berkata, mereka sepatutnya dijatuhi hukuman penjara jika tidak menjelaskan gajinya secara penuh.

    “Saya berasa sangat sedih, kecewa dan marah.

    “Gaji saya tidak boleh dirunding dan saya mahu dibayar jumlah penuh, pun begitu saya dipaksa pulang tanpa gaji,” kata Yati.

  • Adakah Anwar akan pecat Zahid jika bersalah? – Dr Afif

    Adakah Anwar akan pecat Zahid jika bersalah? – Dr Afif

    PEMIMPIN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Afif Bahardin hari ini mempersoalkan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memecat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi jika timbalannya itu didapati bersalah bagi pertuduhan rasuah, berikutan kenyataan perdana menteri itu bahawa menteri akan dipecat jika didapati terlibat rasuah.

    Afif yang merupakan timbalan ketua Bersatu Shah Alam turut berkata tindakan Anwar yang melantik Zahid ke jawatan nombor dua kerajaan dilihat bercanggah dengan pendiriannya berhubung rasuah, sedangkan Presiden UMNO itu masih berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah.

    “Dakwaan Anwar bahawa beliau akan memecat menteri yang terpalit rasuah seakan satu percubaan untuk mengalihkan kebimbangan dan kemarahan orang ramai yang dikejutkan dengan pelantikan Zahid sebagai timbalan perdana menteri,” tambahnya.

    “Jika Zahid disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan rasuah dalam kes yang sedang berjalan, adakah Anwar akan pecat beliau serta-merta? 

    “Atau Anwar akan beri alasan Zahid boleh kekal sebagai timbalan perdana menteri sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan?”

    Pada 11 Disember, Anwar berkata sesiapa yang terlibat dalam rasuah atau salah guna kuasa akan disingkirkan dari Kabinet serta-merta.

    “Saya kata ‘no corruption’. Saya bercakap dengan ketua parti komponen… kalau ada (rasuah) semasa pentadbiran saya, saya minta mereka dipecat serta-merta. Saya tak tolak ansur,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.

    Pada Oktober, Zahid, yang turut memegang portfolio kemajuan desa dan wilayah dalam Kabinet itu dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah dalam kes sistem visa luar negara.

    Bagaimanapun, beliau masih menghadapi 47 pertuduhan lain berkait rasuah dan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi.

    Dalam kenyataannya hari ini, Afif turut bertanya sama ada Anwar akan memecat mana-mana menteri yang turut didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.

    “Jika jawapannya adalah ya, mengapa beliau melantik Zahid sebagai timbalan perdana menteri, yang sudah pun didakwa? Jika tidak, maka dakwaan Anwar bahawa beliau akan memecat menteri yang mempunyai kes rasuah adalah terbukti palsu,” katanya.

    “Anwar mesti jelas dan terang mengenai perkara ini kerana beliau sudah pun melanggar janji tadbir urus yang baik dengan melantik Zahid yang menghadapi pelbagai pertuduhan rasuah.”

  • Saya tidak ada kepercayaan terhadap Anwar, itu hak saya sebagai MP

    Saya tidak ada kepercayaan terhadap Anwar, itu hak saya sebagai MP

    TIADA arahan khusus diberikan kepada ahli Parlimen supaya menyokong Perdana Menteri dalam usul undi percaya di sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.

    Sehubungan dengan itu, Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan satu pramesyuarat bagi membincangkan perkara mahu dibawakan dalam persidangan Dewan Rakyat.

    Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mesyuarat yang akan diadakan sehari sebelum persidangan Dewan Rakyat itu memutuskan strategi bakal digunakan mereka.

    “(Mesyuarat) mengenai bagaimana kita nak masuk ke Parlimen, apa mesej yang kita nak bawa dan keputusan-keputusan perlu kita undi nanti.

    “Semua itu dalam pramesyuarat,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian pada Isnin.

    Wan Saiful yang merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, beliau tidak akan menyokong usul percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    “Saya secara peribadi sudah pasti akan menolak melainkan kalau ada arahan daripada parti sebaliknya. Tetapi saya tak boleh nak bayang bahawa kita akan menyokong Anwar.

    “Saya tidak ada kepercayaan terhadap Anwar dan itu hak saya sebagai ahli Parlimen,” tegasnya.

  • Nelayan ditahan bersama dadah

    Nelayan ditahan bersama dadah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG nelayan ditahan polis bersama dadah jenis heroin dan syabu di tepi jalan Kampung Bukit Malut, Langkawi, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan kira-kira pukul 12.15 pagi tadi.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat enam peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat kira-kira 197.47 gram.

    “Selain itu terdapat 4 peket plastik lutsinar dan satu keratan tiub straw berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 36.39 gram,” katanya.

    Tambahnya, suspek telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Langkawi untuk siasatan lanjut.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • KPPA ditamat perkhidmatan berkuat kuasa semalam

    KPPA ditamat perkhidmatan berkuat kuasa semalam

    PERKHIDMATAN Mohd. Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) telah ditamatkan berkuat kuasa semalam.

    Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata, penamatan perkhidmatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, lapor Berita Harian.

    Shafiq sebelum ini dilaporkan terbabit dengan kontroversi mengherdik seorang pegawai imigresen di tempat awam.

    Satu jawatankuasa tertinggi kemudiannya ditubuhkan untuk menjalankan siasatan.

  • MOM gesa Adam Adli justifikasi dakwaan rasuah dalam badan sukan

    MOM gesa Adam Adli justifikasi dakwaan rasuah dalam badan sukan

    MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menggesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim supaya menjustifikasikan dakwaan beliau bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.

    Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata kenyataan sedemikian adalah tidak wajar, tidak adil dan prejudis kerana pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing selama berdekad-dekad.

    “Sebagai badan penaung 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti.

    “Sepatutnya Adam Adli hendaklah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan kenyataan menyeluruh yang mencerminkan pemahaman yang lemah mengenai struktur sedia ada,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Norza berkata beberapa NSA telah diiktiraf sebagai persatuan model dan mematuhi prinsip amalan terbaik tadbir urus yang baik.

    Beliau berkata NSA terbabit juga telah membantu meningkatkan profil sukan negara dengan melahirkan jaguh dunia yang digeruni dalam acara badminton, lumba basikal, terjun, boling tenpin dan silat.

    “Meskipun NSA terbabit tidak sempurna dan beroperasi dalam kekangan, anda tidak boleh menyamakan kami dengan mereka yang kurang bertanggungjawab. Tidak dinafikan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki namun tindakan mendakwa badan sukan mengamalkan rasuah adalah prejudis serta tidak matang,” katanya.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan sama menyebut adalah lebih baik jika Adam Adli mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum membuat kesimpulan.

    Melontarkan pandangan sama, Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) Chong Kim Fatt meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Adam Adli yang beliau anggap bersifat populis.

    “Kenyataan itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Ia hanya bersifat merobek perasaan NSA yang kononnya adalah pihak berkepentingan terbesar dalam dunia sukan.

    “Adalah tidak adil bagi mereka yang telah bertungkus-lumus dan bekerja siang malam untuk membuahkan kejayaan dalam acara sukan masing-masing,” katanya.

  • Tiga cedera terjatuh dari permainan ‘Sotong Ride’

    Tiga cedera terjatuh dari permainan ‘Sotong Ride’

    DUA orang wanita dan seorang kanak-kanak cedera termasuk seorang daripadanya parah selepas mereka terjatuh dari permainan taman tema di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, di Kuala Selangor malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 8.50 malam.

    Katanya, ketiga-tiga mangsa itu terjatuh dari permainan dikenali sebagai ‘Sotong Ride’ ketika sedang berpusing.

    “Seorang mangsa iaitu wanita cedera parah, manakala dua lagi tidak dipastikan keadaan mereka,” katanya.

    Mengulas lanjut Ramli berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

    Katanya, sebanyak tiga ambulans dan sebuah jentera bomba dkejarkan ke tempat kejadian.

    “Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 6 Enekmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995, iaitu beroperasi tanpa lesen,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sebelum itu, rakaman kejadian di sebuah taman tema di Bandar Puncak Alam itu tular di media sosial.

    Video berdurasi 29 saat itu menunjukkan permainan itu pada awalnya berjalan lancar sebelum situasi bertukar sebaliknya.

    Selain itu, kedengaran suara jeritan dipercayai daripada pengunjung taman tema turut dirakam menerusi video berkenaan.

    Orang ramai yang berada di sekitar lokasi kemudian membantu menenangkan mangsa.

  • Bapa dera anak perempuan hingga mati, tanam mayat di tepi jalan

    Bapa dera anak perempuan hingga mati, tanam mayat di tepi jalan

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki mendera anaknya hingga mati sebelum menanam mayat kanak-kanak itu berhampiran sebuah tempat riadah di Kuala Lumpur, bagi menyembunyikan jenayahnya itu semalam.

    Perbuatan kejam suspek itu terbongkar selepas polis menerima aduan isterinya, seorang warga asing pada Jumaat lalu memaklumkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun didera oleh suaminya.

    Isteri suspek berusia 41 tahun kemudian membuat laporan selepas mendapati anaknya dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulutnya, sebaik pulang bekerja kira-kira pukul 7 malam, Jumaat lalu.

    Kejadian berlaku di kediaman keluarga itu di Jalan Pudu di ibu negara, dan pengadu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mendakwa suaminya ada memukul anaknya itu kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian.

    Sebaik menerima aduan, sepasukan anggota polis bersama pengadu ke rumah suspek untuk mengambil anaknya yang ditinggalkan, namun anak serta suaminya tiada di rumah.

    Berikutan itu, pihak polis menjalankan usaha mengesan suspek sebelum dia berjaya dikesan dan ditangkap di Jalan Pasar Pudu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, ketika dihubungi Berita Harian, hari ini mengesahkan kejadian dan memaklumkan suspek, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

    Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek yang juga seorang penganggur, mengaku menanam mayat anaknya di tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy.

    Suspek kini direman tujuh hari dan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Dalam pada itu, Noor Dellhan meminta orang ramai terutama ahli keluarga atau jiran supaya sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang kes dera yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga atau jiran masing-masing.

  • Terkejut jumpa mayat bayi baru lahir dalam parit

    Terkejut jumpa mayat bayi baru lahir dalam parit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENDUDUK Kampung Melayu Pandan di Johor Bahru gempar selepas satu mayat bayi perempuan baru dipercayai baru dilahirkan ditemukan terapung-apung dalam parit di kampung itu, semalam.

    Mayat bayi berkenaan ditemukan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun selepas melihat satu objek dalam air parit sebelum menyedarinya objek itu adalah seorang bayi.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Dr. Mohd. Roslan Mohd. Tahir berkata, wanita itu memaklumkan pihak polis berkenaan penemuan mayat bayi tersebut pada pukul 11.50 pagi semalam.

    “Pihak polis juga mengesan satu rakaman video berdurasi 39 saat berkenaan penemuan mayat bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan.

    ‘Bertindak atas maklumat, pada pukul 1 hingga 1.30 petang semalam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam membuat tangkapan sepasang kekasih.

    “Polis menahan lelaki berusia 28 tahun dan wanita terbabit yang berusia 27 tahun di kawasan Kampung Melayu Pandan. Mereka bekerja sebagai operator kilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya merampas sehelai t-shirt unggu dan sehelai kain sarung warna hijau yang mempunyai kesan tompokan disyaki darah selain dua telefon bimbit dan 42 biji pil melibatkan empat jenis ubat.

    Mohd Roslan memberitahu, polis masih menyiasat punca kematian selain mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Kedua-dua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari mulai hari ini sehingga 15 Disember,” katanya.

  • Dua maut pondok pengawal terbakar: Rakaman CCTV papar kebakaran bermula dari dalam

    Dua maut pondok pengawal terbakar: Rakaman CCTV papar kebakaran bermula dari dalam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMATIAN seorang daripada dua individu yang ditemukan maut dalam kebakaran di pondok pengawal dekat Taman Bayam Indah 2, di Lunas, Kedah malam tadi dipercayai berpunca daripada sesak nafas akibat asap kebakaran.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, punca kematian itu diperolehi hasil bedah siasat dijalankan terhadap mayat lelaki yang ditemukan dalam pondok berkenaan.

    Mayat seorang lagi individu yang dipercayai merupakan wanita ditemukan di lokasi sama, akan dibedah siasat esok.

    “Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar mendapati mangsa lelaki maut akibat ‘inhalation of fire fumes’ manakala mayat wanita yang ditemukan di lokasi sama pula akan dibedah siasat kira-kira pukul 10.30 pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Terdahulu Warta Rakyat melaporkan mengenai penemuan dua mayat yang rentung dalam pondok pengawal keselamatan yang diperbuat daripada kontena.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.56 malam tadi.

    Mengulas lanjut Mohd. Redzuan berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati kontena tersebut terbakar dari arah dalam kira-kira pukul 10.45 malam.

    “Semakan CCTV itu tidak mendapati sebarang unsur khianat. Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang membuat pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati kedua-dua mangsa tidak memiliki kesan kecederaan berunsur jenayah.

    Kebakaran pada kedua-dua mangsa dianggarkan sebanyak 70 peratus, katanya.

    “Pihak polis turut memanggil beberapa individu yang disyaki mempunyai hubungan keluarga dengan kedua-dua mangsa bagi pengecaman dan mendapatkan sampel DNA. Namun waris gagal mengenal pasti identiti kedua-dua mereka dan mayat individu terlibat akan disimpan di hospital hingga keputusan DNA diperolehi,” katanya.

    Ujarnya, kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).