Author: Wartawan WartaRakyat

  • Muda bidas pendirian Saifuddin pertahankan Sosma

    Muda bidas pendirian Saifuddin pertahankan Sosma

    Parti ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengkritik pendirian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang bercadang mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dikenali sebagai Sosma.

    “Laungan reformasi itu berasaskan dari semangat mahu mengubah institusi dan sistem kenegaraan yang lebih baik, saya kira wajar kerajaan hari ini berpandukan kepada hasrat murni ini.

    “Sekiranya kita kembali kepada sistem dan takuk yang lama, kelak apa bezanya dengan kerajaan-kerajaan sebelum ini,” soal Naib Presiden Muda, Zaidel Baharudin dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam sidang media pada 13 Disember lalu, Menteri Dalam nlNegeri yang baharu itu berkata, beliau tidak berhasrat untuk menyemak semula Sosma.

    Saifuddin menyatakan bahawa Sosma bukanlah undang-undang penahanan tanpa bicara tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1967 (ISA) yang sudah dimansuhkan.

    Beliau berhujah bahawa undang-undang itu hanya membenarkan penahanan selama 28 hari dan suspek akan mendapat akses kepada perkhidmatan guaman jika kes itu dibawa ke mahkamah.

    Bagaimanapun, kata Zaidel pada asasnya Sosma masih satu ‘undang-undang yang sangat berat sebelah.’

    Ini walaupun akta itu kelihatan lebih progesif berbanding ISA, jelasnya.

    “Sosma memberikan banyak kuasa yang diberikan kepada pihak penguasa tanpa sebarang semak dan imbang, sebagai contoh penahanan selama 28 hari tanpa perlu melalui proses mahkamah (dalam tempoh penahanan) kalau jatuh kepada individu biasa, itu merupakan satu hukuman yang amat berat tanpa sebarang perbicaraan atau pertuduhan.

    “Sosma juga membenarkan pihak penguatkuasa memintas komunikasi secara terus tanpa sebarang mekanisme semak dan imbang yang jelas.

    “Saya berpendapat kuasa yang menyeluruh seperti ini membolehkan ianya terdedah kepada penyalahgunaan,” kata Zaidel lagi.

    Pakatan Harapan atau mana-mana parti lain tidak berjanji untuk mengkaji semula atau memansuhkan Sosma dalam manifesto menjelang pilihan raya 19 November.

    Namun, sebelum ini pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin ditahan pada 18 November 2016 selama 10 hari.

    Beliau dilaporkan berkata bahawa penahanan itu, yang berlaku pada malam perhimpunan Bersih 5.0, adalah zalim dan menindas.

    Maria ditahan dalam kurungan bersendirian dalam sel tanpa tingkap berukuran 15 kaki kali lapan kaki, dan dinafikan katil, dalam apa yang disifatkannya sebagai ‘penahanan ala ISA’.

    Pada Januari 2020, Peguam Negara ketika itu Tommy Thomas berkata, Putrajaya berhasrat untuk meminda Seksyen 13(1) pada Mac tahun itu. Bagaimanapun, berlaku pertukaran kerajaan tidak lama kemudian.

  • Lelaki ditahan miliki pornografi kanak-kanak

    Lelaki ditahan miliki pornografi kanak-kanak

    SEORANG lelaki tempatan ditahan disyaki pemangsa seks yang menyasarkan kanak-kanak dalam satu serbuan di sekitar Klang kelmarin.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saadudin berkata, serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

    Hasil pemeriksaan di rumah suspek katanya, mendapati terdapat sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer milik lelaki berkenaan.

    “Hasil siasatan mendapati suspek yang berusia 39 tahun turut berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak di samping memuat turun pornografi kanak-kanak menerusi media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah dan mangsa-mangsa yang terlibat dalam kes berkenaan.

    Beliau berkata, polis telah merampas beberapa perkakasan di rumah suspek termasuk sebuah komputer, cakera keras luaran, router, dan telefon pintar untuk siasatan lanjut.

    “Suspek direman empat hari bermula 14 hingga 17 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 10 Akta Seksual Terhadap Kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” ujarnya lapor Sinar Harian.

  • Bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI

    Bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan kru warga asing pukul 9.13 pagi semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Kapal ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot nelayan kelas C2 sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kedudukan 62 batu nautika barat Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu dikendalikan lima kru pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berumur antara 20 hingga 43 tahun.

    Jelas beliau, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

    “Bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut yang dianggarkan kira-kira 150 kilogram (kg) dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu tambahnya, Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Kalau anak tirikan Kedah, Anwar koyak – Sanusi respon saman PM

    Kalau anak tirikan Kedah, Anwar koyak – Sanusi respon saman PM

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yakin saman difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya tidak akan menjadi penyebab kepada kerajaan Kedah dipinggirkan oleh kerajaan Persekutuan.

    Muhammad Sanusi berkata, tindakan Anwar mengemukakan saman terhadapnya adalah urusan peribadi kedua-dua mereka dan langsung tidak ada kaitan dengan hubungan antara kerajaan negeri serta Persekutuan.

    “Kes saman itu melibatkan Anwar Ibrahim dengan Sanusi. Saya tidak meletakkan itu sebagai satu asbab yang menjadi punca kepada ‘pemisahan’ antara negeri dan Persekutuan.

    “Semua itu tak perlu kerana apa yang berlaku adalah antara saya dengan Anwar. Kalau beliau ambil perkara itu untuk menganak tirikan Kedah, saya rasa beliau koyaklah.

    “Panas tak apa, jangan koyak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Alor Setar.

    Kelmarin, Anwar memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar berhubung ucapan berbaur fitnah yang didakwa dilafazkan dalam kempen ceramah Jelajah PN Best di Tambun, Perak.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat menyatakan kesediaan untuk berdepan Anwar di mahkamah tanpa menunjukkan sebarang keinginan untuk meminta maaf.

    Dalam pada itu, ditanya pandangannya mengenai isu empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Muhammad Sanusi berkata, semua pihak harus menunggu keputusan muktamad mengenai perkara tersebut.

    “Saya pun tak tahu siapa yang akan buat keputusan kerana ada yang kata jawatan ahli Parlimen mereka itu gugur dan ada yang kata tidak. Saya tak tahu siapa nak buat keputusan itu, mungkin mahkamahlah agaknya.

    “Kerana mereka melompat ‘pergi’ kepada kerajaan dosanya kurang tetapi kalau lompat ke pembangkang, dosanya mungkin besar. Sebab kita berada dalam majlis sastera, macam itulah jawapannya,” katanya.

  • Rogol budak OKU, bapa saudara dipenjara 40 tahun, 32 sebatan

    Rogol budak OKU, bapa saudara dipenjara 40 tahun, 32 sebatan

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 40 tahun dan 32 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan merogol anak saudaranya yang kelainan upaya (OKU) dan menggunakan objek untuk melakukan hubungan seks dengan mangsa.

    Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang berusia 42 tahun itu selepas didapati bersalah atas empat tuduhan berkenaan.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan hubungan seks dengan objek terhadap mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun, lapor Harian Metro.

    Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, tertuduh didakwa merogol mangsa sama.

    Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Marang antara Nov hingga Dis 2017.

    Mangsa merupakan anak saudara tertuduh yang juga OKU kategori masalah pembelajaran.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA dan Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

    Nooriah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan serta 20 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua.

    Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan ketiga dan keempat.

    Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula hari ini untuk pertuduhan pertama dan kedua, manakala hukuman bagi pertuduhan ketiga dan keempat berjalan selepas tamat hukuman pertama dan kedua.

  • Mangsa letupan tong gas memasak stabil, tapi terpaksa ditidurkan

    Mangsa letupan tong gas memasak stabil, tapi terpaksa ditidurkan

    MANGSA kejadian letupan tong gas petroleum cecair (LPG) di sebuah rumah di Taman Sena Permai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam dilaporkan berada di dalam keadaan stabil.

    Bagaimanapun, Siti Hajar Hanis Muhamad, 26, yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) terpaksa ditidurkan berikutan kecederaan yang dialaminya ekoran kejadian tersebut.

    Adik mangsa, Muhammad Azib Muhamad, 25, bagaimanapun berkata, kakaknya itu kini dirawat di HSJ selepas dipindahkan dari Hospital Kepala Batas (HKB).

    Tambahnya, kakaknya itu sepatutnya dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di bawah seliaan pakar kulit (dermatologi) namun tiada kekosongan katil di HPP ketika ini.

    “Buat sementara waktu, rawatan diteruskan di HSJ dan pihak hospital akan maklumkan sekiranya ada tempat untuk kakak saya mendapatkan rawatan di HPP nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Dalam pada itu, Muhammad Azib berkata, keluarganya akan menunggu Siti Hajar sedar terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada pernikahan kakaknya yang dijadualkan berlangsung bulan depan diteruskan atau sebaliknya.

    Jelasnya, keluargnya sudah berbincang dengan keluarga tunang kakaknya dan sekiranya keadaan mengizinkan majlis akad nikah mungkin boleh dijalankan terlebih dahulu.

    “Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada tahap kesihatan kakak saya kelak,” katanya.

    Dalam kejadian pukul 8 pagi semalam, mangsa dikatakan mahu menggoreng ikan sebelum gas memasak LPG di rumah yang didiami bersama adik dan adik iparnya tiba-tiba meletup menyebabkan mangsa melecur pada hampir keseluruhan bahagian badan.

    Kejadian itu juga menyebabkan rumah teres dua tingkat yang didiami mereka hampir musnah dengan siling dan dinding turut roboh.

  • Shahidan cabar Adam buktikan badan sukan terlibat rasuah

    Shahidan cabar Adam buktikan badan sukan terlibat rasuah

    PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim mahu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli membuktikan dakwaannya bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.

    Jika tidak, Shahidan berkata mereka akan bertindak berhubung kenyataannya yang tidak berasas itu.

    “Jangan sekali-kali hendak menjadi juara dengan melemparkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas dan kurang fakta.

    “Sila dapatkan maklumat lengkap bagaimanakah badan-badan sukan diuruskan oleh orang-orang yang dipilih.

    “Sila buktikan badan sukan mana yang terlibat dengan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

    Bekas menteri wilayah persekutuan itu juga berkata Adam, sebagai timbalan menteri belia dan sukan, sepatutnya mempertahankan sukan di Malaysia dan bukannya membuat kenyataan yang memburukkan nama baik sukan dan badan-badan sukan.

    Komen sedemikian, katanya, adalah “kurang sihat dan tidak sesuai” dikeluarkan oleh seorang timbalan menteri.

    Shahidan juga menegaskan bahawa Adam adalah orang baru dalam dunia sukan.

    Sebelum ini, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Mohamad Norza Zakaria juga membidas Adam berhubung dakwaannya bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.

    Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Chong Kim Fatt turut tidak berkecuali dan berkata adalah baik sekiranya Adam berbincang dengan pihak berkepentingan sebelum membuat sebarang kesimpulan.

    Adam dilaporkan berkata dua hari lalu bahawa rasuah dalam badan sukan mesti ditangani bagi membolehkan atlet Malaysia merealisasikan potensi penuh mereka.

    Bagaimanapun, dia tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai unsur rasuah dalam badan sukan.

    Katanya lagi, dia perlu mempertahankan sukan berbanding mengeluarkan komen yang memburukkan nama baik sukan dan badan-badan sukan.

    “Ini adalah kurang sihat dan tidak sesuai dikeluarkan oleh seorang Timbalan Menteri Belia dan Sukan,” ujarnya lagi.

    Shahidan menggesa timbalan menteri belia dan sukan itu mendapatkan maklumat yang lengkap berkenaan badan-badan sukan diuruskan oleh orang-orang yang dipilih dan membuktikan badan sukan yang terlibat dengan rasuah.

    “Jika tidak kami akan mengambil tindakan terhadap dakwaan yang tidak berasas ini,” katanya lagi.

    Sebelum ini, beberapa badan sukan antaranya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut menyanggah dakwaan yang dibuat oleh Adam Adli terhadap industri sukan negara yang dikatakan terpalit rasuah.

    Mereka telah meluahkan rasa kekecewaan terhadap tuduhan yang dilemparkan dan menggesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu memberikan hujah terhadap dakwaannya.

  • ‘Pertemuan’ di Jakarta: Ismail Sabri arah peguam saman fitnah

    ‘Pertemuan’ di Jakarta: Ismail Sabri arah peguam saman fitnah

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebaran “fitnah” yang mendakwa beliau “merancang sesuatu” dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jakarta, baru-baru ini.

    Dakwaan itu tersebar gara-gara ketidakhadirannya dalam mesyuarat majlis kerja tertinggi (MKT) UMNO pada 8 Disember lalu.

    “Kalau nak fitnah orang pun biarlah munasabah sikit. Kalau dalam rekod imigresen, saya tak keluar negara. Maknanya saya dalam negaralah.

    “Saya sudah pun mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pemfitnah,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

    Selain Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga naib presiden UMNO tidak hadir dalam mesyuarat tersebut.

    Mesej di media sosial yang dikongsi berulang kali oleh individu yang tidak dikenali, mendakwa Ismail Sabri dan pemimpin UMNO yang tidak hadir mesyuarat MKT UMNO pada malam itu, berada di Jakarta dan “sedang merancang sesuatu.”

    Menggelarkannya sebagai “Langkah Jakarta”, Muhyiddin juga dikatakan turut berada di sana.

    Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan Mahdzir.

    Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau berada di Bera ketika mesyuarat MKT dan makan nasi daun pisang bersama seorang wartawan veteran ketika itu.

    Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi berkenaan.

    Pada sebelah malamnya pula, kata Ismail Sabri, beliau berada di kawasan parlimennya di Bera, Pahang untuk perasmian perlumbaan kereta pacuan empat roda terkenal Rainforest Challenge International (RFC).

    Dakwaan sedemikian bukanlah yang pertama kali.

    Ismail Sabri dan beberapa pemimpin BN sebelum ini turut didakwa dalam pertemuan tertutup bersama parti dari gabungan lain sebelum ini.

    Khabar angin seperti itu tersebar ketika BN dilihat terbahagi kepada dua kem antara mereka yang menyokong kerajaan perpaduan dengan PH, dan mereka yang tidak bersetuju.

  • Pas Pahang kesal perangai lama kerajaan negeri tak berubah

    Pas Pahang kesal perangai lama kerajaan negeri tak berubah

    PAS Pahang membidas sikap kerajaan negeri pimpinan UMNO-DAP yang dilihat tidak mengubah perangai lama dengan melarang fasiliti kerajaan daripada digunakan Perikatan Nasional (PN).

    Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu kesal dengan tindakan kerajaan negeri membatalkan tempahan Dewan Tun Razak, Temerloh bagi mengadakan majlis kesyukuran dan meraikan petugas PN serta masyarakat awam di daerah itu, hari ini.

    Beliau menegaskan, tempahan dan kelulusan penggunaan fasiliti itu telah diberi sebelumnya dan pembayaran sewa juga telah pun dibuat.

    “Pas Pahang kesal dengan tindakan kerajaan negeri melalui PBT Temerloh yang membatalkan tempahan Dewan Tun Razak, Temerloh bagi mengadakan majlis Kesyukuran dan meraikan petugas PRU serta masyarakat awam di Temerloh, pada hari ini.

    “Perangai lama mereka ini tidak berubah sejak dahulu dan ia menambahkan kemarahan orang ramai,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka itu dalam kenyataan di Facebook.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, dewan orang ramai sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai.

    Menurutnya, penggunaannya kemudahan awam sepatutnya tidak terhad kepada parti pemerintah sahaja.

    “Dewan orang ramai sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai, sayangnya ia hanya boleh digunakan oleh parti pemerintah sahaja.

    “Walaupun PRU lalu menyaksikan PN berjaya memenangi kerusi Parlimen Temerloh dan DUN Semantan dan Lancang,” katanya.

    Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Noor dalam kenyataan memberitahu semakan di pejabat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh menyatakan pembatalan tersebut dibuat selepas mendapat arahan terus secara lisan daripada kerajaan Pahang.

  • ‘Isytihar sahaja PN tidak boleh guna fasiliti kerajaan di Pahang’ – Jasri

    ‘Isytihar sahaja PN tidak boleh guna fasiliti kerajaan di Pahang’ – Jasri

    KERAJAAN UMNO-DAP di Pahang dicabar mengisytiharkan peraturan melarang fasiliti kerajaan daripada digunakan Perikatan Nasional (PN) sebagai tanda kerajaan tersebut benar-benar mempunyai maruah dan integriti.

    Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, langkah itu juga akan memudahkan penjawat awam pun menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka.

    “Kalau Menteri Besar UMNO-DAP mempunyai maruah dan integriti, isytiharkan saja Perikatan Nasional dilarang menggunakan fasilities dan kemudahan kerajaan. Hanya DAP sahaja yang dibenarkan.

    “Penjawat awam pun mudah untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

    Beliau mengulas tindakan menarik balik kebenaran penggunaan Dewan Tun Razak Temerloh kepada Perikatan Nasional bagi mengadakan jamuan kenduri rakyat.

    Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Noor dalam kenyataan memberitahu semakan di pejabat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh menyatakan pembatalan tersebut dibuat selepas mendapat arahan terus secara lisan daripada kerajaan Pahang.

    Jasri berkata, tindak-tanduk kerajaan UMNO-DAP Pahang jelas menggambarkan minda mereka masih ditakuk lama.

    “Jangan menafikan hak pengundi-pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional. Rakyat Melayu Pahang adalah ‘Puak Beraja’.

    “Kamu diberi mandat dan amanah oleh Istana untuk mentadbir secara profesional, jujur dan saksama. Menafikan hak mereka samalah menkhianati amanah dan mandat yang diberi,” katanya.

    Jasri menambah, masa berpolitik sudah habis dab pilihan raya sudah pun selesai.

    “Fokuslah untuk memajukan negeri dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.