Author: Wartawan WartaRakyat

  • Anggota polis bertugas di Istana Negara maut digilis

    Anggota polis bertugas di Istana Negara maut digilis

    SEORANG anggota polis yang bertugas di Istana Negara meninggal dunia selepas digilis kenderaan lain dalam satu kejadian dekat Putrajaya, pagi ini.

    Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku di Kilometer 37.7 Lebuhraya Elite arah utara melibatkan Lans Koperal Amirul Faiz Mohammad Ali, 31,.

    Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian, mangsa dari arah Melaka menghala ke Jalan Duta, Kuala Lumpur.

    Katanya, motosikal jenis SYM ditunggang mangsa hilang kawalan dan terlanggar besi penghadang jalan, yang menyebabkannya terjatuh di lorong paling kanan.

    “Akibatnya, mangsa digilis kenderaan lain yang belum dipastikan,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Wan Kamarul Azran berkata, motosikal mangsa rosak di bahagian kanan hadapan, lampu belakang dan lain-lain.

    Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

  • Anwar masih tak ada idea mengenai telur? Minta nasihat Ronald Kiandee

    Anwar masih tak ada idea mengenai telur? Minta nasihat Ronald Kiandee

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu mempunyai rekod yang baik dalam menjaga kebajikan rakyat.

    Justeru itu, beliau yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia mengesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar meminta nasihat daripada bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee bagi menangani isu kekurangan telur di negara ini.

    “Kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertanian, kalau gagal, apa kata minta nasihat daripada Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang lebih berjaya menangani segera krisis bekalan dan harga ayam sebelum ini.

    “Kalau PH-BN dah tak ada idea, kami PN ada track record yang solid menjaga rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Gesaan itu diusul Wan Saiful ekoran tiada jalan penyelesaian yang diketengahkan kerajaan setakat ini.

    Malah Wan Saiful berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hanya mencadangkan agar negara mengimport telur dari luar negara yang merupakan perancangan jangka pendek semata-mata.

    “Malaysia negara pengeksport telur kelima terbesar dunia berdasarkan data pada 2021. Tapi pelik apabila kita selaku negara pengeksport telur menghadapi kekurangan telur untuk rakyat sendiri.

    “Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula umumkan bahawa Malaysia akan mengimport telur untuk stabilkan bekalan. Kita ni negara pengeksport. Mana logiknya nak import pula,” soal beliau, lapor Satu berita.

    Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu hanya mengenal pasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan belakan telur ayam dalam negara dengan kadar segera untuk pelan jangka pendek.

    Mohamad berkata, inisiatif membawa masuk telur ayam dari luar itu bukan untuk menekan pengusaha industri tempatan sebaliknya bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

    Dalam sidang Kabinet pertama pada Disember lalu, Anwar ‘menegur’ Mohamad ekoran masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran.

  • Sorok diesel subsidi dalam ladang ternakan elak dikesan pihak berkuasa

    Sorok diesel subsidi dalam ladang ternakan elak dikesan pihak berkuasa

    SATU sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang berselindung di sebalik sebuah ladang ternakan di Valdor, Simpang Ampat, Pulau Pinang berjaya dipatahkan hasil serbuan sekumpulan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, seorang pemandu lori warga tempatan berusia 31 tahun turut ditahan ketika sedang memindahkan diesel seludup itu dari tangki sebuah lori tanah seberat 12 tan ke dalam tangki plastik.

    Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menjalankan risikan selain turut menggunakan teknologi dron memandangkan lokasi serbuan itu terletak di kawasan terpencil.

    Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat sebanyak 18 buah tangki plastik berkapasiti 1,000 liter setiap satu di lokasi itu dengan sebahagian besarnya berisi diesel.

    Secara keseluruhan ujar beliau, pihaknya merampas dan menyita dua buah lori masing-masing sebuah lori tanah seberat 12 dan tiga tan serta diesel sebanyak 10,400 liter.

    “Turut dirampas 18 unit tangki plastik, dua unit motor pam selain masing-masing satu unit pam hos dan telefon bimbit berjenama Vivo Y1s dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan RM92,560.

    “Pemilik ladang ternakan itu juga dipercayai mempunyai pertalian persaudaraan dengan suspek yang ditahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, ujar beliau, individu boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak lebih RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi atau berdepan tindakan tegas selain mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan berkaitan daripada orang awam.

  • Polis tahan dua pengedar dadah, rampas sepucuk pistol

    Polis tahan dua pengedar dadah, rampas sepucuk pistol

    POLIS menahan dua pengedar dadah warga Thailand dan merampas sepucuk pistol di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rahmat, Lubok Setol, Kuala Terengganu, semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu itu dilakukan pada pukul 10.30 pagi.

    “Semasa tangkapan dibuat berlaku pergelutan dengan suspek sehingga menyebabkan salah seorang anggota mengalami kecederaan di bahagian dahi.

    “Sebaik sahaja kedua-dua suspek yang berusia 20 hingga 40 tahun itu diberkas dan pemeriksaan yang dijalankan di rumah tersebut telah menjumpai sepucuk pistol jenis S&W 38 bersama 25 biji peluru hidup.

    “Pada masa yang sama kita telah merampas 164 biji pil yaba,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini.

    Hadir sama Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Mannadzar Nasib.

    Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua tahun lalu.

    Ujarnya, polis turut mendapati rumah yang dijadikan sebagai ‘markas’ itu sudah disewa sejak dua tahun lalu.

  • Mohd Shukri nafi Perlis hadapi masalah kewangan

    Mohd Shukri nafi Perlis hadapi masalah kewangan

    MENTERI Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menafikan dakwaan kerajaan negeri pimpinannya menghadapi masalah kewangan sehingga tidak cukup untuk membayar gaji kakitangannya.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu, kerajaan Perlis sehingga kini masih mampu diuruskan dengan baik dan tidak timbul isu bahawa kerajaan itu menghadapi masalah kewangan.

    “Tak berbangkit isu ini, Perlis masih boleh di urus tadbir seperti biasa,” katanya yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis kepada Sinar Harian hari ini.

    Pada masa sama, Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang menghargai komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus membantu pembangunan Perlis dalam pertemuan yang diadakan di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya Isnin, lalu.

    Beliau berkata, pertemuan dan perbincangan tersebut memfokuskan kepada hal pembangunan negeri Perlis.

    Menurutnya, perbezaan politik di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perlis tidak akan menghalang hubungan dua hala yang akan terus diperkasakan demi kepentingan rakyat.

    “Perdana Menteri pun berjanji akan terus membantu (pembangunan di Perlis),” ujar beliau lagi.

    Anwar merangkap Menteri Kewangan dalam reaksinya pula seperti dipetik melalui laporan media juga mengharapkan semoga kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perlis terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.

  • Beri tuala wanita kepada golongan sasar, bukan pejabat kerajaan sahaja – Nancy

    Beri tuala wanita kepada golongan sasar, bukan pejabat kerajaan sahaja – Nancy

    BANTUAN tuala wanita oleh kerajaan sepatutnya diberikan kepada golongan sasar yang sangat memerlukan keperluan itu.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan tidak sepatutnya hanya menawarkan tuala wanita di kementerian atau pejabat kerajaan semata-mata.

    “Kita sokong untuk membantu rakyat. Sasaran adalah (golongan) B40, orang susah sampai ke tempat Orang Asli,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Isnin lalu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, kementeriannya akan mula menyediakan tuala wanita percuma bermula di ibu pejabat Kementerian Kesihatan dalam menangani kemiskinan haid.

    Katanya, inisiatif itu bagi melihat aspek pengoperasian serta maklum balas segera.

    Mengulas lanjut perkara itu, Nancy berkata, inisiatif diambil Kementerian Kesihatan perlu melangkaui kawasan pejabat semata-mata.

    “Kalau di pejabat itu mungkin mekanisme agak susah kita nak kata ini orang B40 kan? Kalau pejabat melainkan orang luar datang untuk guna,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Katanya, pihaknya bagaimanapun akan menumpukan kepada memberi mendidik remaja mengenai perkara itu.

    Inisiatif Zaliha itu mengundang kritikan daripada warganet termasuk Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, yang menyatakan bantuan tuala wanita percuma perlu disalurkan kepada golongan lebih memerlukan.

  • Remaja 18 tahun didakwa rogol adik kandung

    Remaja 18 tahun didakwa rogol adik kandung

    REMAJA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan merogol adik kandungnya yang berusia 15 tahun.

    Tertuduh berusia 18 tahun mengaku salah selepas dua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus, antara jam 2 hingga pukul 3 petang pada Mei lalu.

    Tertuduh didakwa mengulangi kesalahan sama di alamat sama, pukul 3.30 petang pada 5 November lalu, lapor Harian Metro.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

    Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 18 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

    Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Tiada keperluan meminda, semak semula Sosma – Saifuddin

    Tiada keperluan meminda, semak semula Sosma – Saifuddin

    MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengulangi pendirian kementeriannya berhubung keperluan untuk meneruskan pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

    Saifuddin berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk meminda dan menyemak semula akta itu, namun ia bersifat dinamik kerana Parlimen boleh menggubal serta meminda undang-undang berkenaan.

    Beliau turut mendedahkan ada menerima panggilan telefon daripada Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo yang menyuarakan pandangan supaya Sosma disemak semula.

    “Kalau ditanya sekarang (semak semula Sosma), jawapannya adalah tidak,” katanya pada sidang media ketika Lawatan Rasmi Menteri Dalam Negeri ke Ibu Pejabat Jabatan Sukarelawan Malaysia di Putrajaya, hari ini, lapor Harian Metro.

    Pada Selasa, Saifuddin dilaporkan berkata, Sosma masih diperlukan kerana peruntukan undang-undang itu akan membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah terancang, terutama membabitkan tangkapan ahli sindiket.

    Antara lain, beliau dipetik berkata, pelaksanaan Sosma adalah lebih baik, berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat kerana ia membenarkan prosedur perundangan dibuat susulan penangkapan suspek kes terbabit.

    Sementara itu, Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Zaidel Baharudin dalam kenyataannya hari ini berpendapat, Sosma disifatkan rang undang-undang yang sangat berat sebelah, malah kuasa menyeluruh melingkari akta itu membolehkan ia terdedah kepada penyalahgunaan.

    Menurutnya, satu undang-undang jauh lebih baik boleh dirangka bagi menangani isu keselamatan bagi memberi kuasa untuk melaksanakan tindakan cepat, namun perlu proses semak dan imbang yang jelas.

  • Laporan: PM sedang pertimbang tiga calon sebagai AG

    Laporan: PM sedang pertimbang tiga calon sebagai AG

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang mempertimbangkan tiga calon untuk jawatan peguam negara.

    Menurut akhbar The Star, ketiga-tiga calon itu – kesemuanya hakim – ialah Ahmad Fairuz Zainol Abidin, Kamaludin Md Said dan Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

    Ahmad Fairuz dan Kamaludin sebelum ini pernah berkhidmat di kamar peguam negara sebelum dilantik sebagai hakim.

    Selain itu, Ahmad Fairuz juga adalah bekas timbalan ketua eksekutif Suruhanjaya Sekuriti.

    Ketika ini, Ahmad Fairuz adalah hakim mahkamah tinggi manakala Kamaludin adalah hakim Mahkamah Rayuan.

    Wan Ahmad Farid pula adalah satu-satunya calon yang mempunyai pengalaman politik, beliau adalah timbalan menteri hal ehwal dalam negeri antara Mac 2008 dan April 2009.

    Beliau meninggalkan UMNO pada 2013 dan dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2015. Dia kini adalah hakim mahkamah tinggi.

    Peguam negara semasa Idrus Harun, 67, telah berkhidmat dengan tiga perdana menteri sejak 6 Mac 2020.

  • Kuasa mengubah segalanya, Hassan Karim sindir pemimpin tertinggi PKR

    Kuasa mengubah segalanya, Hassan Karim sindir pemimpin tertinggi PKR

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan kuasa boleh mengubah peribadi dan pendirian seseorang pemimpin termasuk mengkhianati perjuangan parti sendiri.

    Menerusi puisi terbaharu bertajuk Kuasa Mengubah Segala-galanya yang ditulis Hassan, beliau meluahkan rasa kecewa dipercayai ditujukan terhadap pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Puisi berkenaan yang dimuat naik dalam entri terbaru Facebook miliknya pada mal tadi, beliau secara sinis dan berkias menujukan sindiran tajamnya terhadap pemimpin parti itu yang berubah apabila sudah mendapat kuasa.

    “Kuasa itu manis umpama madu, tetapi kuasa itu juga racun menghitamkan kalbu, kuasa boleh mengubah segala-galanya.

    “Dulu kita kata undang-undang itu zalim, kita panggil dia ‘draconian’, akta kuku besi, menafikan hak asasi, masa itu kita hanya reformis jalanan yang bergelandangan,” tulisnya dalam puisi tersebut.

    Kata Hassan lagi, apabila sudah mendapat kuasa merujuk kepada PKR yang menjadi tunjang Kerajaan Perpaduan paska Pilihan Raya Umum ke-15, ada pemimpin berubah dan tidak lagi berpegang dengan apa dikatakan atau diperjuangkan dahulu.

    “Kini sudah lain, dunia sudah berubah, kita sudah di tampuk kuasa, nun tinggi di Putrajaya.

    “Dari koridor kuasa kita mula bercakap, tahanan tanpa bicara hampir sebulan pun tidak mengapa, demi keselamatan negara, ketenteraman awam perlu dijaga,” sindir Hassan lagi.

    Beliau membayangkan dalam puisi tersebut bahawa pada hari ini suara Perdana Menteri seperti mewakili pihak polis.

    “Hari ini, suara Pak Menteri sudah semacam suara pak polisi. Lalu, aku yang berpuisi seperti ini, dianggap menembak kaki sendiri,” luahnya lagi yang dipercayai ditujukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.