Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ahli Parlimen tolak usul kerajaan dianggap letak jawatan -MoU

    Ahli Parlimen tolak usul kerajaan dianggap letak jawatan -MoU

    USUL  Percaya dan Rang Undang-undang Perbekalan antara lima perkara dipersetujui gabungan politik yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) permuafakatan antara gabungan bawah Kerajaan Perpaduan..

    FMT melaporkan, ia antara lain turut membawa kepada pengosongan kerusi Parlimen yang dimenangi sekiranya gagal, enggan atau cuai ketika menjalankan tanggungjawab mereka, menjelang sidang khas Parlimen, Isnin ini.

    Melalui perkara itu, ia menuntut supaya setiap parti dan pihak mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

    Ia juga menetapkan bahawa setiap parti dan pihak-pihak perlu bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman dalam parti masing-masing bagi memastikan sokongan Parlimen untuk mengekalkan kerajaan perpaduan Malaysia dalam sebarang undian yang membawa kesan kepada keabsahan kerajaan perpaduan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

    Selain itu, semua gabungan yang menandatangani persefahaman juga bersetuju ia perlu memastikan bahawa setiap Ahli Parlimen mereka mengundi seperti mana klausa 4(a) dalam perjanjian berkenaan.

    Sekiranya berlaku kegagalan, keengganan atau kecuaian mana-mana Ahli Parlimen dalam gabungan berkenaan berbuat demikian, perjanjian itu menyatakan ia perlu diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti itu.

    Justeru, ia dianggap sebagai peletakan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen manakala kerusi Ahli Parlimen terbabit dikosongkan seperti dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

    “Kegagalan, keengganan atau kecuaian dari berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti itu, yang dianggap sebagai peletakan jawatan dan atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

    “Parti Ahli Parlimen tersebut hendaklah mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya kecil,” katanya menurut intipati perjanjian itu.

  • Shamsul Iskandar, Ming Kai dilantik Setiausaha Politik PM

    Shamsul Iskandar, Ming Kai dilantik Setiausaha Politik PM

    DUA bekas Ahli Parlimen PKR – Shamsul Iskandar Md Akin dan Chan Ming Kai – dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Shamsul Iskandar memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Politik.

    The Vibes melaporkan, Shamsul Iskandar berkata beliau mempunyai tugas berat menanti kerana dijangka membantu Perdana Menteri melaksanakan dasar.

    “Rakyat mempunyai harapan yang tinggi terhadap kerajaan ini dan oleh itu kita perlu bekerja keras sebagai satu pasukan dan menyokong kepimpinan PM,” katanya.

    Shamsul Iskandar, 47, juga adalah seorang peguam dan pernah menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal. Kerjaya politiknya menyaksikan parti meletakkannya sebagai calon di tiga negeri berbeza.

    Pelantikannya tidak mengejutkan kerana dia dikenali sebagai penyokong setia Anwar selama dua dekad.

    Semasa pilihan raya 19 November, beliau diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan bagi Bagan Datuk dan hampir menyingkirkan penyandangnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Pelantikan Shamsul dan Chan berkuat kuasa pada 1 Disember.

    Chan menulis tentang pelantikannya di laman Facebooknya malam tadi dan menyifatkan tugasnya sebagai cabaran baru.

    Bercakap kepada Malaysiakini, Chan berkata tugasnya adalah untuk membantu perdana menteri dalam apa jua cara yang perlu.

    “Saya akan melaporkan apa yang sebenarnya berlaku di lapangan,” kata Chan dalam jawapan ringkas kepada portal itu.

    Sejak 2008, Chan juga telah menjadi ahli parlimen PKR di tiga negeri berbeza. Bagaimanapun, dia tidak diturunkan untuk pilihan raya baru-baru ini.

  • Tubuh suruhanjaya siasat tragedi tanah runtuh di Batang Kali

    Tubuh suruhanjaya siasat tragedi tanah runtuh di Batang Kali

    SAHABAT Alam Malaysia (SAM) melahirkan rasa amat terkejut dengan tragedi tanah runtuh yang dahsyat di Batang Kali, Selangor yang meragut beberapa nyawa termasuk kanak-kanak dan menggesa punca utama tragedi itu disiasat dan didedahkan secara terbuka.

    Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, pihaknya telah berkali-kali memberi amaran mengenai kebenaran kerja tanah dan bentuk aktiviti lain di tanah tinggi dan lereng bukit yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar.

    Tegasnya, mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian mangsa dalam tragedi Batang Kali mesti dibawa ke muka pengadilan.

    “Suruhanjaya Siasatan mestilah dijalankan untuk mendapatkan punca sebenar dan bagi langkah pencegahan serta pemulihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan bagaimana tapak perkhemahan tersebut dibenarkan di kawasan berbukit.

    “Gambar menunjukkan kegagalan cerun yang besar telah berlaku di bawah lebuh raya berhampiran di bahagian atas tapak. Apakah yang mencetuskan perkara itu berlaku?

    Dalam pada itu tambah Meenakshi, perlu ada moratorium ke atas semua pembangunan cerun bukit selanjutnya sehingga terdapat semakan menyeluruh mengenai betapa terdedah atau berdaya tahan kawasan ini terhadap peningkatan intensiti dan kekerapan hujan akibat perubahan iklim.

    Tegasnya, kerajaan juga perlu menyegerakan Pelan Adaptasi Nasional untuk memahami kawasan yang terdedah dan berisiko tinggi kepada kesan iklim dan mengambil langkah segera untuk membina daya tahan iklim.

  • 4 gabungan politik meterai perjanjian, kukuhkan Kerajaan Perpaduan

    4 gabungan politik meterai perjanjian, kukuhkan Kerajaan Perpaduan

    LIMA gabungan parti politik hari ini menandatangan memorandum persefahaman (MoU) permuafakatan antara gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri.

    MoU itu ditandatangani oleh Anwar sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Abang Johari Openg, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji Noor dan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.

    Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan adalah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (WARISAN).

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Nekad korek tanah dengan tangan selamatkan ibu dan bayi tertimbus

    Nekad korek tanah dengan tangan selamatkan ibu dan bayi tertimbus

    SEORANG mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di Hulu Selangor, awal pagi tadi nekad menggunakan tangannya mengorek tanah bagi mengeluarkan seorang wanita dan bayinya yang tertimbus.

    Lelaki berusia 30-an yang tidak mahu dikenali itu berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama dua anaknya dan isteri sedang tidur di dalam khemah di lokasi tanah runtuh.

    Katanya yang berasal dari Melaka, kejadian berlaku ketika dia bersama dua anaknya dan isteri sedang tidur di dalam khemah di lokasi tanah runtuh.

    “Kita tak nampak, kita dalam khemah tengah tidur, sekali bunyi sangat kuat. Nasib saya punya khemah yang akhir sekali, ada sedikit terseliuh di kaki sebab lari.

    “Ketika kejadian, kami dengar bunyi sahaja, semua mangsa yang selamat keluar angkat lampu suluh, semua cari mangsa yang tertimbus,” katanya ketika menceritakan detik cemas itu kepada Astro Awani di Balai Polis Ulu Yam hari ini.

    Kata lelaki itu lagi, dia dan rakannya dapat menyelamatkan seorang wanita dan bayinya yang turut tertimbus.

    “Tengok berapa lama kita boleh, kita korek tanah, korek tanah sampai kita nampak kepala wanita, kita pun tak tahu dia siapa.

    “Nampak wanita itu boleh bernafas, wanita itu kata jangan selamatkan saya, selamatkan bayi saya.

    “Kita pun korek sebelah kawasan tu, kita korek selepas itu ternampak seorang bayi, saya dan kawan saya kemudian tarik keluar bayi itu. Nasib baik dapat selamat, ibu dia pun turut serta korek tanah,” katanya lagi.

    Tambah lelaki itu, dua anaknya dan isterinya berjaya melarikan diri ketika kejadian dan tiada kecederaan dialami mereka.

    Sementara itu, pekerja kebun sayur warga Myanmar yang turut menjadi mangsa, Thawng Uk, 35, berkata dia tersedar dari tidur selepas asrama mereka dirempuh sebahagian runtuhan tanah.

    “Tengah tidur, tanah runtuh terkena rumah kami, selepas itu kami lari. Bunyi sangat kuat, dalam rumah ada 13 orang semua pekerja.

    “Saya pegang lampu suluh, kami lari di sebelah jalan raya,” katanya ketika ditemui.

    Jelas Uk, kawasan perkhemahan terletak kira-kira 15 minit dari rumah mereka.

    “Kita lari, tiada hujan ketika itu tapi bunyi sangat kuat. Di sini ada kebun, ada sungai, rumah kita di sebelah, kita lari di tepi jalan raya.

    “Khemah-khemah itu 15 minit dari rumah kami, agak jauh,” tambahnya.

  • Tapak perkhemahan terlibat tanah runtuh beroperasi secara haram

    Tapak perkhemahan terlibat tanah runtuh beroperasi secara haram

    MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tiga tapak perkhemahan yang terbabit dalam kejadian runtuhan cerun di Jalan Batang Kali-Goh Tong dikenal pasti beroperasi secara haram sejak 2020.

    Jelas beliau, ketiga-tiga tapak berkenaan sebaliknya hanya memiliki Kebenaran Merancang untuk aktiviti pertanian organik yang diluluskan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 2019.

    Justeru beliau menegaskan, pengusaha tapak perkhemahan berkenaan dikenal pasti melanggar peruntukan di bawah Akta Jalan Saliran dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tiga tahun atau denda maksimum RM50,000.

    “Kerajaan akan ambil tindakan tegas (ke atas pengusaha). Kedaulatan undang-undang adalah Rukun Negara kita, tiada siapa yang boleh melangkaui undang-undang.

    “Malah, tindakan ini bukan hanya tertakluk kepada pengusaha tapak ini, sebaliknya akan diperluas ke seluruh negara. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengeluarkan kompaun manakala Pejabat Peguam Negara (AGC) akan membuat pertuduhan di mahkamah.

    “(Semua pengusaha tapak perkhemahan tidak berlesen diminta) hentikan operasi masing-masing, segera mohon lesen sebelum tindakan diambil,” katanya pada sidang media di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

    Semua tapak perkhemahan tepi sungai diarah tutup

    Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming sudah mengarahkan semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara diarah tutup selama tujuh hari, berkuat kuasa serta-merta.

    Beliau berkata, arahan berkenaan sudah dikeluarkan kepada 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pagi tadi, susulan ramalan hujan lebat berterusan selama lima hari ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku esok.

    “Saya tidak mahu lihat lagi kejadian seperti ini berulang. Semua tapak perkhemahan di tepi sungai, air terjun dan lereng bukit yang berbahaya akan dikosongkan selama tujuh hari sehingga kerajaan keluar arahan baharu,” katanya.

  • Kandungan air tinggi dalam tanah dipercayai punca cerun runtuh

    Kandungan air tinggi dalam tanah dipercayai punca cerun runtuh

    KADAR kandungan air yang tinggi yang mengakibatkan tanah menjadi lembap dipercayai mendorong kepada bebanan tinggi pada permukaan cerun sehingga berlakunya runtuhan tanah di Father Organic Farm, Batang Kali awal pagi tadi.

    Menurut Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer, ia antara faktor mengakibatkan permukaan cerun menjadi lemah kerana keadaannya yang perun dan mengandungi lodak tinggi.

    Beliau berkata, kegagalan cerun seperti yang berlaku dalam runtuhan tanah di Batang Kali berkemungkinan disebabkan kadar ketepuan tanah menjadi tinggi akibat air masuk jauh ke dalam bumi.

    “Cerun boleh gagal apabila ketepuan tanah itu tinggi dan tanah tebal sebenarnya, berpuluh meter ke dalam bumi dan ini menunjukkan apabila air masuk, air akan masuk jauh ke dalam.

    “Apabila jauh ke dalam, kawasan yang mungkin tepu air itu berada di dalam, bukan di permukaan. Sebab itu apabila kawasan yang dalam ini tepu air, skala pergerakan tanah akan menjadi besar kerana satahnya (permukaan rata) itu berada jauh di dalam bumi,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut Nor Shahidah berkata, apabila satah itu lemah, ia membawa turun sejumlah tanah yang besar menuruni cerun dan berlaku runtuhan tanah.

    Katanya, walaupun tanpa hujan lebat dua atau tiga hari sebelum kejadian runtuhan berlaku, kekerapan hujan sebelum tempoh itu menyebabkan pembasahan tanah secara berterusan.

    “Saya tak rasa pembersihan tanah antara punca tetapi mungkin ada unsur itu sedikit sebab ada pembinaan jalan raya di situ dan sudah tentu ada bukit yang dipotong. Jadi apabila bukit itu dipotong sedikit demi sedikit dan tanpa struktur penahan serta penstabilan cerun yang baik, cerun akan menjadi lemah.

    “Jadi sebab itu kita memerlukan struktur penstabilan cerun dibina di kawasan yang mengalami sedikit canggaan seperti memasang tembok penahan atau apa sahaja struktur yang bersesuaian,” katanya.

    Sementara itu, Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd Rasid Jaapar, berkata bencana yang berlaku di Batang Kali dikenali sebagai ‘delayed deep-seated landslide’.

    Beliau berkata, cerun yang runtuh kemungkinan membabitkan cerun buatan manusia yang ditambak bagi pembinaan jalan raya.

    “Satah menggelincir mungkin pada kedalaman tiga hingga lima meter di bawah permukaan cerun. Biasanya ia adalah antara sempadan antara bahan yang diisi (untuk tambak cerun) dan tanah asal.

    “Saya percaya air yang meresap melalui sempadan ini dari tempat yang lebih tinggi (atas bukit) menyeberangi jalan. Hujan lebat berlaku beberapa hari sebelum itu meresap ke dalam tanah dan mengalir bawah tanah ke arah cerun dan itulah sebabnya kegagalan hanya berlaku selepas beberapa hari selepas hujan,” katanya.

    Abd Rasid berkata, semua lereng bukit berpotensi berlaku bencana namun bukan semua cerun berisiko dan sebarang aktiviti atau pembangunan di kawasan berkenaan perlu melalui kajian geologi terlebih dahulu.

  • Tanah runtuh: 16 maut setakat pukul 1 tengah hari

    Tanah runtuh: 16 maut setakat pukul 1 tengah hari

    LIMA lagi mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di Hulu Selangor ditemui meninggal dunia, setakat pukul 1 tengah hari tadi.

    Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia ketika ini seramai 16 orang.

    Suffian Abdullah

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, berdasarkan rekod, terdapat 17 lagi mangsa yang sedang dicari.

    “Pihak polis menggunakan kaedah inkubator dan sistem penyodok dalam mencari dan menyelamatkan mangsa,” katanya di lokasi kejadian, lapor Berita Harian.

    Suffian berkata, pada masa ini kekuatan pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi keselamatan ditambah membabitkan 15 agensi.

    Katanya, dari segi penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut sama membantu adalah Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerak Am (PGA),” katanya.

  • 22 mangsa tanah runtuh masih hilang – JBPM

    22 mangsa tanah runtuh masih hilang – JBPM

    SEKURANG-kurangnya 22 orang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di Hulu Selangor, awal pagi tadi.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi satu kenyataan berkata, setakat 11.41 pagi, sebanyak 12 orang disahkan meninggal dunia manakala 1 lagi cedera dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu.

    “Keseluruhan mangsa terlibat dikenalpasti ialah 94 orang. Sebanyak 59 orang terselamat, 12 orang disahkan meninggal dunia, 1 cedera dan 22 orang masih hilang.

    “Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang masih giat dijalankan,” katanya.

    Mengulas lanjut kenyataan itu berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu disertai pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, BP Rawang, BBP Genting, BBP Selayang, BBP Shah Alam, BBP Damansara, BBP KLIA, BBP Petaling Jaya, BBP Pandan, BBP Ampang, BBP Kajang dan BBP Andalas.

    Operasi turut disertai Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Pahang, STORM Putrajaya, STORM N. Sembilan, STORM Perak, STORM Kuala Lumpur.

  • Ada kemungkinan jumlah mangsa tanah runtuh lebih 94 orang

    Ada kemungkinan jumlah mangsa tanah runtuh lebih 94 orang

    TERDAPAT kemungkinan jumlah mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di Hulu Selangor, awal pagi tadi, lebih ramai.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

    Beliau berkata, ini kerana jumlah mangsa yang dikenal pasti ketika ini berdasarkan rekod pengusaha tiga tapak kem yang memaklumkan terdapat 94 individu berdaftar.

    “Ada kemungkinan angka ini berubah memandangkan mungkin pendaftaran dibuat atas nama suami atau isteri saja.

    “Justeru, kita memaklumkan kepada mana-mana balai supaya menerima laporan orang hilang yang diketahui datang ke tapak perkhemahan ini supaya maklumat ini dikumpul dalam operasi,” katanya lapor Harian Metro.

    Saifuddin Nasution memberitahu, pihaknya juga akan menambah jumlah anggota membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi ini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    Beliau berkata, mayat mangsa pertama dibawa keluar dari lokasi pukul 5.40 pagi tadi.

    “Mangsa terakhir dibawa keluar setakat pukul 11 pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan mangsa direkodkan seramai 11 orang.

    “Usaha mencari dan menyelamat 23 lagi mangsa yang dilaporkan hilang sedang giat dijalankan,” tambahnya.