Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tanah runtuh Batang Kali: Wisma Putra sahkan tiga warga Singapura terlibat

    Tanah runtuh Batang Kali: Wisma Putra sahkan tiga warga Singapura terlibat

    KEMENTERIAN Luar Negeri mengesahkan tiga daripada 61 mangsa yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh merupakan warga Singapura.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, ketiga-tiga warga Singapura itu ditemui selamat dalam usaha misi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakan pihak berkuasa.

    “Kerajaan Malaysia sedang berusaha sehabis baik dalam memastikan semua yang terkesan dengan tragedi tersebut diberikan bantuan segera,” katanya kenyataan itu, lapor Astro Awani.

    Wisma Putra turut mendoakan keselamatan mangsa dan mereka yang terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat.

    Sebelum ini Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengucapkan takziah dan bersimpati kepada semua mangsa yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Genting Highlands.

    Hsien Loong turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas bantuan yang diberikan kepada rakyat Singapura yang terjejas akibat tanah runtuh itu.

    “Pasukan Pertahanan Awam Singapura bersedia untuk membantu usaha mencari dan menyelamat jika perlu,” kata beliau.

    Tengah malam tadi, operasi mencari dan menyelamat 12 lagi mangsa terpaksa ditangguhkan atas faktor cuaca hujan dan disambung semula jam 8 pagi Sabtu.

    Setakat tengah malam Jumaat, 12 orang masih dilaporkan hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

  • Lantikan politik dalam GLC terima surat penamatan

    Lantikan politik dalam GLC terima surat penamatan

    SEMUA lantikan politik dalam syarikat kerajaan telah menerima surat pemberitahuan bahawa khidmat mereka telah ditamatkan.

    Surat berkenaan telah dihantar semalam dan penamatan perkhidmatan mereka berkuatkuasa serta-merta, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Menurut FMT, pihaknya mendapat pengesahan itu melalui beberapa sumber bahawa surat itu dihantar kepada lantikan politik yang dilantik sebagai pengerusi atau ahli lembaga badan berkanun persekutuan.

    Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia, Datuk Larry Sng Wei Shien Larry Sng mengesahkan bahawa beliau telah menerima suratnya, begitu juga dengan ahli lembaga pengarah lain yang dilantik atas syor parti politik mereka.

    Sng, yang merupakan presiden Parti Bangsa Malaysia, dilantik oleh Zuraida Kamaruddin semasa beliau menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada Oktober 2021.

    Beliau berkata, penamatan pelantikan politik adalah langkah tepat dan Kerajaan Perpaduan perlu diberi ruang dan masa untuk membuat pelantikan sendiri kepada GLC dan agensi kerajaan lain.

    Kelmarin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, telah menghantar pekeliling kepada ketua setiausaha setiap kementerian mengatakan Jemaah Menteri telah bersetuju dengan penamatan serta-merta kontrak pelantikan politik.

    Mereka terjejas adalah dalam badan berkanun persekutuan dan syarikat kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, dan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan.

    Sng, yang merupakan MP Julau. berkata ramai bekas menteri dan ahli politik kanan sangat berkebolehan.

    “Adalah satu pembaziran untuk melepaskan bakat itu menerusi dasar menyeluruh yang menghalang ahli parti politik daripada memegang jawatan ini.

    “Saya menggesa pengkritik supaya bersabar dan membenarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri memanfaatkan bakat hebat dari pelbagai sektor untuk menerajui syarikat-syarikat ini. Mari kita menilai mereka selepas beberapa tahun,” katanya.

  • “Semua orang tahu saya tidak suka Pas, tapi saya puji Unit Amal Pas”

    “Semua orang tahu saya tidak suka Pas, tapi saya puji Unit Amal Pas”

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim memberi penghormatan kepada sukarelawan daripada Unit Amal Pas kerana membantu mencari mangsa dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali semalam.

    Wakil rakyat DAP itu berkata, unit berkenaan terkenal dengan etika kerja mereka.

    Beliau juga menceritakan penglibatan mereka dalam beberapa perhimpunan Bersih yang pertama pada masa lalu apabila parti itu adalah sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat ketika itu.

    “Semua orang tahu saya tidak suka Pas. Saya bukan diam-diam mengenai perkara itu. Tetapi apabila bercakap mengenai Unit Amal, saya sangat menghormati mereka,” katanya dalam catatan Twitter.

    Beliau mengulas catatan Twitter @fairuz_azmi83, yang berkongsi gambar anggota Unit Amal membantu dalam operasi mencari dan menyelamat di Batang Kali.

    Marina turut menasihatkan penyokong Pakatan Harapan (PH) untuk tidak menilai sukarelawan Unit Amal atau menuduh mereka hanya untuk menunjuk-nunjuk dalam membantu usaha menyelamat.

    “Jika pemimpin anda sendiri melakukan perkara yang sama, anda perlu mencari idea untuk ‘memusingkan’ dengan cara lain. Mari kita raikan apa sahaja yang baik,” katanya lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Unit Amal, juga dikenali sebagai Jabatan Amal Malaysia, adalah salah satu unit di bawah sayap pemuda Pas dan berfungsi sebagai pertubuhan sukarela kebajikan beruniform.

    Badan sukarelawan itu diasaskan pada 1991 dan dikenali dengan kerjanya dalam membantu mangsa bencana alam dan orang ramai ketika perhimpunan Bersih di pusat bandar Kuala Lumpur.

  • 32 ejen ‘bookie’ Piala Dunia ditahan di Pulau Pinang

    32 ejen ‘bookie’ Piala Dunia ditahan di Pulau Pinang

    SERAMAI 32 individu yang dipercayai terlibat sebagai ejen ‘bookie’ pertaruhan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 ditahan di Pulau Pinang dalam Ops Soga IX yang dijalankan antara 19 November hingga 14 Disember lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua mereka iaitu masing-masing 28 lelaki warga tempatan serta empat warga asing ditahan dalam 19 serbuan yang dilakukan di seluruh negeri itu.

    Jelas beliau, operasi itu bertujuan mencegah dan membanteras aktiviti perjudian catit taruh tanpa lesen sah sepanjang berlansungnya kejohanan bola sepak Piala Dunia.

    “Dalam operasi ini, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM64,873, 26 unit telefon bimbit termasuk sim kad, satu unit komputer riba, satu unit modem dan tujuh kertas catitan dalam operasi itu.

    “Kesemua tangkapan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4 (1) (d) Akta Pertaruhan 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, Ops Soga IX itu juga dijalankan bagi menahan mana-mana individu yang bertindak sebagai ‘bookie’ kerana melakukan kesalahan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953.

    Tambah beliau, polis Pulau Pinang komited dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat menganjur serta menjalankan aktiviti pertaruhan tanpa lesen berlandaskan undang-undang sedia ada.

    ”Polis juga memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan pertaruhan bola sepak melalui hotline Bilik Gerakan Polis Pulau Pinang menerusi talian 04- 2221522 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Tanah runtuh: Lima orang guru masih hilang

    Tanah runtuh: Lima orang guru masih hilang

    TUJUH orang guru wanita Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dilaporkan terbabit dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor awal pagi tadi.

    Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SJKC Mun Choong, U Chin Ong berkata, dua daripada tujuh orang guru itu ditemui selamat.

    “Nasib lima orang lagi guru masih belum diketahui dan masih dicari,” katanya di sini hari ini.

    Chin Ong berkata, kumpulan 23 orang itu membabitkan orang guru dan keluarga mereka berada di tapak perkhemahan sejak Rabu lalu.

    “Mereka sepatutnya pulang pagi ini,” katanya, lapor Berita Harian.

    Chin Ong berkata, antara peserta perkhemahan dan mangsa bencana ialah waris petugas sekolah, termasuk pengusaha kantin.

    Mengulas lanjut, Chin Ong berkata,  aktiviti perkhemahan di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm itu bukan aktiviti rasmi sekolah.

    Sebaliknya kata beliau, ia hanya aktiviti bersama guru dan rakan-rakan mereka sendiri.

  • Operasi SAR tanah runtuh berjalan 24 jam

    Operasi SAR tanah runtuh berjalan 24 jam

    MISI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tertimbus tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran Father’s Organic Farm di Goh Tong Jaya, di Hulu Selangor akan diteruskan selama 24 jam dengan tumpuan diberikan kepada sektor B dan C.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, misi itu bagaimanapun akan dihentikan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan.

    Norazam Khamis

    Beliau juga mengakui pasukan penyelamat berdepan kesukaran dalam misi SAR berikutan keadaan mangsa yang dipercayai tertimbus pada kedalaman kira-kira 1.2 meter (m), selain kedudukan mereka teralih berikutan gelongsoran tanah.

    Sejumlah 16 mangsa yang maut katanya ditemui di sektor A, manakala tiga lagi di sektor C, selain menjangkakan baki mangsa yang masih tertimbus berada di sektor B dan C.

    Sektor A bagi misi SAR berkenaan terletak di kem Hillview, manakala sektor B di kem Farmview dan sektor C pula berhampiran kem Riverside.

    “Setakat ini masih ada runtuhan susulan di sektor A antara jam 7 hingga 9 pagi tadi, namun sekarang sudah stabil dan kita sentiasa dalam keadaan waspada kerana terdapat aliran air di kawasan runtuhan.

    “Kita juga masih meneliti pergerakan tanah dan akan meminta pasukan penyelamat menghentikan misi jika berlaku sebarang insiden atau aktiviti geologi di kawasan pencarian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

  • Angka korban tanah runtuh meningkat 21 orang

    Angka korban tanah runtuh meningkat 21 orang

    TRAGEDI tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor, awal pagi ini meragut nyawa 21 orang mangsa manakala tujuh yang lain cedera setakat ini.

    Bahagian Operasi HQ JBPM dalam kenyataan berkata, setakat pukul 6.18 petang, 12 mangsa dikhuatiri masih hilang.

    Menurutnya, seramai 54 mangsa ditemui selamat dalam kejadian tanah runtuh itu.

    “Sehingga pukul 6.18 petang, seramai 54 orang mangsa selamat, 21 orang mangsa meninggal dunia dan 12 orang mangsa dikhuatiri masih hilang.

    “Mereka yang meninggal dunia terdiri daripada empat kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, 12 wanita dewasa dan empat lelaki dewasa.

    “Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih giat dijalankan,” kata kenyataan itu hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata,seramai 230 pegawai dan anggota JBPM dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan meneruskan pencarian sehingga malam ini.

    “Operasi mencari dan menyelamat akan dihentikan sekiranya cuaca tidak mengizinkan,” katanya.

  • MoU: Anwar yakin Kerajaan Perpaduan sampai habis penggal

    MoU: Anwar yakin Kerajaan Perpaduan sampai habis penggal

    DATUK Seri Anwar Ibrahim yakin Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan kukuh sehingga tamat penggal ini selama lima tahun, susulan perjanjian persefahaman permuafakatan yang dimeterai lima gabungan parti politik.

    Perdana Menteri juga yakin perjanjian itu mampu menjamin kestabilan politik dan memacu ekonomi negara.

    Katanya, keyakinan itu berdasarkan komitmen semua parti dan gabungan politik yang menandatangani perjanjian berkenaan untuk terus menyokong kepimpinannya.

    “Jika anda lihat apa yang sudah dirangka, perbincangan yang hebat (intense) untuk memahami , komitmennya adalah untuk menyokong kerajaan yang stabil, harapnya sehingga penggal berakhir.

    “Kita capai persefahaman atau muafakat dengan hala tuju jelas (untuk) membangun negara, menjamin supaya sistem stabil dan tumpu perhatian mengangkat martabat negara sebagai negara maju,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian itu, lapor FMT.

    Lima gabungan dan parti itu terdiri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan.

    Ia ditandatangan Anwar selaku pengerusi PH, Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi GPS Datuk Seri Abang Johari Openg, Pengerusi GRS Datuk Hajiji Noor dan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.

    Sementara itu, Zahid berkata empat prinsip dalam Perlembagaan menjadi antara perkara utama disepakati dalam perjanjian persefahaman ditandatagani hari ini.

    Timbalan perdana Menteri berkata, segala kekhuatiran mengenai agama Islam, hak istimewa Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan Institusi Diraja diambil kira dalam perjanjian itu.

    “Bagi BN, permuafakatan ini diterjemahkan dalam bentuk persefahaman setelah satu proses artikulasi terhadap hal yang termaktub dalam Perlembagaan menjadi persetujuan bersama,” katanya.

    Abang Johari pula berkata, kestabilan kerajaan menjadi keutamaan dalam perjanjian itu dan yakin Perdana Menteri akan membantu Sarawak dalam menyelesaikan masalah terutama pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19.

    Dalam pada itu, Hajiji berkata perjanjian itu sebagai detik istimewa negara memandangkan Sabah amat memerlukan suasana stabil dan perpaduan yang kukuh, manakala Shafie menyifatkan ia dapat memantapkan politik dalam negara termasuk dalam menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

  • Tanah runtuh: Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga, waris mangsa

    Tanah runtuh: Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga, waris mangsa

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga dan waris mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor, pagi ini.

    Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata, beliau pada masa sama berharap keluarga mangsa tabah dengan ujian itu dan bersabar menghadapi saat yang mendukacitakan ini.

    “Saya juga mendoakan kesembuhan segera kepada semua mangsa yang terselamat dan sedang menjalani rawatan di hospital.

    “Marilah sama-sama kita berdoa agar semua mangsa yang masih hilang dapat ditemui segera dan berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terbabit dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat khususnya pasukan keselamatan, agensi penyelamat dan pasukan perubatan yang bekerja keras sehingga ke saat ini bagi mencari dan menyelamatkan mangsa.

    Setakat pukul 4.40 petang ini, kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, itu mengorbankan 18 orang.

    Ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan pasukan penyelamat antaranya membabitkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

  • Tanah runtuh: Mayat ibu, anak ditemui berpelukan

    Tanah runtuh: Mayat ibu, anak ditemui berpelukan

    MAYAT mangsa ke-17 dan ke-18 kejadian tanah runtuh di Batang kali ditemui di bawah runtuhan dekat tepi sungai, pukul 4.40 petang tadi.

    Lapor Berita Harian, mangsa ditemui berpelukan ialah pasangan ibu dan anak perempuan berusia kira-kira tiga tahun.

    Kedua-dua mangsa dipercayai berkhemah di kawasan berhampiran tetapi pergerakan tanah menolak mangsa berhampiran sungai.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, penemuan mayat dua beranak itu menjadikan mangsa yang masih dikesan 15 orang.

    “Seramai 230 pegawai dan anggota JBPM dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan meneruskan pencarian sehingga malam ini.

    “Operasi mencari dan menyelamat akan dihentikan sekiranya cuaca tidak mengizinkan,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah dijadual mengadakan sidang media petang ini.