Author: Wartawan WartaRakyat

  • MPHS arah tapak perkhemahan rekreasi dikosong serta merta

    MPHS arah tapak perkhemahan rekreasi dikosong serta merta

    MAJLIS Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengeluarkan 25 notis pengosongan tapak perkhemahan dan rekreasi di seluruh kawasan seliaannya berkuat kuasa serta-merta.

    Arahan tersebut dikeluarkan khusus buat tapak kawasan berdekatan cerun dan berisiko tinggi berlakunya kejadian yang sama seperti di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highland, di Hulu Selangor.

    Yang Dipertua MPHS, Mohd. Hasry Nor Mohd. berkata, tindakan itu selaras dengan arahan yang dikeluarkan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, semalam.

    “Kira telah mengeluarkan 25 notis kepada pengusaha tapak perkhemahan yang berisiko dan bercerun di sekitar Hulu Selangor.

    “Terdapat tapak yang tidak berlesen namun dalam proses pemutihan, kita dalam proses memutihkan kesemua ini mengikut SOP perlesenan,” katanya ketika ditemui pemberita memetik laporan SatuBerita.

    Semalam, Kor Ming  mengeluarkan arahan kepada 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengosongkan tapak perkemahan berisiko tinggi selama tujuh hari, berkuat kuasa pagi semalam.

    Arahan tersebut merupakan langkah bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland dekat Hulu Selangor berulang.

  • Tanah runtuh: Dua lagi mayat ditemui

    Tanah runtuh: Dua lagi mayat ditemui

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting di Hulu Selangor hari ini menemukan dua lagi mayat.

    Mayat itu dipercayai seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat di lokasi tanah runtuh.

    Menurut Sinar Harian, maklumat awal diterima kedua-dua mayat berkenaan ditemui pada pukul 1.40 petang.

    Pihak polis dijangka mengadakan sidang akhbar mengenai penemuan mangsa terbaharu tersebut dalam masa terdekat.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Identiti 21 mangsa maut belum dikenal pasti – Polis

    Tanah runtuh Batang Kali: Identiti 21 mangsa maut belum dikenal pasti – Polis

    IDENTITI kesemua 21 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Hulu Selangor masih belum dikenal pasti.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, mereka yang terkorban ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

    “Seramai 21 mangsa (terkorban) yang kita jumpa itu semuanya tiada dokumen.

    “Sekarang mereka Hospital Sungai Buloh dan sedang mencari waris mangsa yang hilang untuk membuat pengecaman,” katanya dalam sidang media di Hulu Selangor hari ini seperti dilaporkan Astro Awani.

    Suffian menambah arahan bedah siasat mangsa yang terkorban telah dikeluarkan semalam.

    Terdahulu, seramai 135 petugas operasi dan menyelamat (SAR) yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.

    Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, manakala 12 orang lagi masih hilang.

    Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.

  • Tanah runtuh: Peluang 12 mangsa ditemukan hidup tipis

    Tanah runtuh: Peluang 12 mangsa ditemukan hidup tipis

    PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis memaklumkan, peluang untuk 12 mangsa ditemukan dalam keadaan selamat disifatkan amat tipis.

    Jelas beliau, ini memandangkan faktor runtuhan dan jangka masa kejadian yang sudah memasuki hari kedua.

    “Secara kasarnya peluang untuk mangsa hidup amat tipis. Runtuhan melibatkan badan mangsa ditimbus dengan tanah sekali gus mengakibatkan mangsa sesak nafas berdasarkan keadaan dan lokasi kejadian.

    “Melainkan sekiranya mangsa di kawasan timbunan tanah yang mana terdapat timbunan kayu dan batu, risiko mangsa selamat mungkin ada kerana mempunyai ruang udara,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lokasi kejadian tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya di Hulu Selangor, hari ini.

  • Permulaan pemerintahan ‘ala diktator’, Mas Ermieyati kecam MoU Kerajaan Perpaduan

    Permulaan pemerintahan ‘ala diktator’, Mas Ermieyati kecam MoU Kerajaan Perpaduan

    BEKAS Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengecam perjanjian persefahaman (MoU) kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menyifatkannya sebagai satu permulaan kepada pemerintahan ‘ala diktator’.

    Beliau menyatakan mengenai syarat dalam MoU itu iaitu semua Ahli Parlimen wajib menyokong Perdana Menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

    “Satu lagi syarat pula menyatakan sekiranya mana-mana ahli parlimen kerajaan yang gagal mengundi sebagaimana yang telah diarah, mereka akan dianggap telah mengosongkan kerusi Parlimen mereka berdasarkan Artikel 49A Perlembagaan Persekutuan.

    “Artikel 49A tidak boleh menyebabkan mana-mana kerusi dikosongkan atas alasan cara Ahli Parlimen mengundi. Tidak ada apa-apa perkara seperti itu di dalam Artikel 49A. Ianya hanya merangkumi situasi di mana seseorang Ahli Parlimen tersebut meletakkan jawatan atau berhenti menjadi ahli partinya.

    “Perjanjian ini adalah haram, tidak berpelembagaan, merbahaya dan tidak boleh diperkuatkuasakan,” tegas beliau, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Menurutnya, Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang Perlembagaan mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti pada 18 Julai pernah menyatakan mana-mana Ahli Parlimen yang tidak mengundi mengikut arahan parti tidak akan hilang kerusinya di bawah Artikel 49A.

    “Anwar dan pemimpin parti dalam kerajaan memilih untuk mengabaikan perkara itu ‘dalam satu tindakan terdesak untuk menakutkan dan mengugut Ahli Parlimen mereka sendiri untuk menurut kehendak parti.

    “Anwar dan parti-parti kerajaan tidak boleh bergantung kepada Artikel 49A untuk ugut Ahli Parlimen untuk mengundi bagi menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri pada Disember 19 atau selepas itu dalam mana-mana rang undang-undang atau perkara yang berkaitan dengan kepercayaan,” katanya.

    Dakwanya, ugutan serta intimidasi yang dibuat melalui perjanjian MoU terhadap Ahli Parlimen dari parti-parti kerajaan ini adalah satu permulaan kepada pemerintahan ala diktator.

    Tambahnya, Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan mutlak kepada mana-mana Ahli Parlimen yang telah dipilih untuk mengundi sebagaimana dirasakan betul demi kepentingan pengundi.

    Selain Anwar, MoU semalam itu turut ditandatangani Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Openg, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji Noor dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal. Ia juga ditandatangani oleh setiausaha agung parti masing-masing.

  • JKM kesan waris bayi ditinggalkan tanpa pakaian depan pintu rumah

    JKM kesan waris bayi ditinggalkan tanpa pakaian depan pintu rumah

    PEJABAT Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat momohon kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu kandung dan waris kepada seorang bayi lelaki yang ditinggalkan berdekatan pintu rumah penduduk di Saujana Impian, Kajang pada 17 November lalu.

    Pelindung Kanak-Kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Nur Shafizza Abu Bakar berkata, bayi yang ditinggalkan itu dianggarkan lahir tujuh hingga 10 hari ketika ditinggalkan.

    Menurutnya, ketika ditemui bayi itu hanya dipakaikan lampin pakai buang serta diletakkan di atas kerusi sekitar 6.45 petang ketika ditemui.

    Katanya, ketika ini bayi berkenaan ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah perintah mahkamah mengikut Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 sejak 8 Disember lalu.

    “Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung ibu kandung dan waris bayi berkenaan diminta menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Runtuhan setinggi bangunan 10 tingkat

    Tanah runtuh Batang Kali: Runtuhan setinggi bangunan 10 tingkat

    RUNTUHAN tanah yang melebihi 10 tingkat bangunan menyukarkan proses pencarian dan penyelamatan mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

    Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerusi kenyataannya berkata, runtuhan tanah adalah lebih daripada 10 tingkat bangunan sehingga ia menyukarkan kerja- kerja penyelamatan dijalankan

    “Walaubagaimana pun, usaha daripada anggota bomba yang tidak berputus asa mencari mangsa yang masih hilang adalah amat dihargai.

    “Mohon kepada semua pihak untuk mendoakan agar segala urusan dapat dipermudahkan dan semoga keluarga mangsa yang terkorban di tragedi Father’s Organic Farm diberi kekuatan dan kesabaran,” katanya menerusi satu hantaran di Twitter hari ini.

    Setakat ini 12 lagi mangsa runtuhan ketika perkhemahan itu masih belum dijumpai.

    Jelas beliau, kerja-kerja penyelamatan masih gigih dijalankan oleh pasukan bomba serta penyelamat di tempat kejadian dan kerajaan juga akan terus berusaha sehingga semua mangsa yang hilang dapat ditemui.

    Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen di Twitter mendoakan agar mangsa yang hilang dapat ditemui segera serta mendoakan agar ahli keluarga mangsa diberikan ketabahan untuk menghadapi dugaan tersebut.

    “Insiden ini sungguh menyayat hati. Semoga dipermudahkan segala urusan,” ciap seorang netizen, @ctkusut seperti dilaporkan SatuBerita.

    “Semoga semua ahli keluarga yang terlibat dan anggota penyelamat diberikan ketabahan mengharungi dugaan ini. Kami (rakyat Malaysia) sungguh bersimpati atas kehilangan yang anda alami,” kata @umiAuni3010 di Twitter. 

  • Wanita harap keluarga abang selamat

    Wanita harap keluarga abang selamat

    SEORANG wanita dari Machap Baru di Alor Gajah bimbang memikirkan nasib abang dan kakak iparnya yang tidak dapat dihubungi sejak insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Batang Kali, Hulu Selangor, semalam.

    Tai Yi Wei, 27, berkongsi perasaan yang menghantui mereka sekeluarga dengan memuat naik status di akaun Facebook miliknya.

    Katanya, abang keempat daripada tujuh beradik itu bekerja sebagai pengurusan mayat manakala isterinya bekerja sebagai guru pergi bercuti bersama dua orang anak mereka berusia empat serta tujuh tahun.

    “Percutian di perkemahan tersebut turut disertai keluarga rakan baik abang dari Melaka yang keseluruhan berjumlah lapan orang.

    “Sebelum insiden itu berlaku abang ada memuat naik status dalam Facebook miliknya memaklumkan dua buah keluarga itu dari Machap Baru berkhemah di Batang Kali.

    “Sehingga kini saya resah dan mengharapkan satu panggilan sahaja daripada mereka bahawa mereka selamat daripada kejadian tanah runtuh itu,” tulisnya beserta pautan berita mengenai insiden tersebut.

    Jelasnya, kawan abang yang turut bersama dalam perkhemahan itu ada menghubungi keluarganya dan memberitahu mereka telah selamat sampai di tapak perkhemahan itu di Batang Kali beberapa hari lalu.

    “Selepas insiden itu saya rasa tidak sedap hati dan cuba menghubungi mereka berulang kali.

    “Namun panggilan masih tidak dijawab, biarpun ada deringan dan mereka dijangka pulang semalam,” katanya lapor Sinar Harian, hari ini.

    Tambahnya, adik beradiknya yang lain telah ke hospital untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai mangsa terselamat, namun nama keluarganya. tidak tersenarai.

    Ujarnya, abang kelima mereka diberitahu terdapat sekumpulan lebih kurang 20 mangsa dari Melaka yang diselamatkan, namun malangnya nama keluarga abangnya tiada dalam senarai itu.

    “Kami mengharapkan keajaiban dan orang ramai tolong sama mendoakan keselamatan kedua-dua keluarga ini,” katanya.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR fokus dua tapak perkhemahan, guna jentera berat

    Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR fokus dua tapak perkhemahan, guna jentera berat

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya diteruskan dengan memberi tumpuan kepada dua kawasan di Farmview dan Riverside, dipercayai kawasan mangsa terperangkap.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kepada lokasi mangsa terakhir ditemukan antara dua lokasi tersebut semalam.

    “Operasi SAR hari ini turut menggunakan jentera berat atau jengkaut bagi mengalihkan tanah dan pokok besar yang tumbang bersama aliran tanah.

    “Setakat ini tiada pergerakan tanah dilaporkan namun masih terdapat aliran air dan keadaan tanah yang lembut dikhuatiri menyebabkan pergerakan dan gelinciran tanah,” katanya kepada pemberita di Batang Kali, hari ini.

    Semalam, tumpuan operasi diberikan kepada tiga sektor iaitu A, B dan C dengan sektor A terletak di kem Hillview, sektor B (Kem Farmview) manakala sektor C (Kem Riverside).

    Menurut Norazam, cabaran utama ketika ini adalah kestabilan runtuhan tanah berikutan terdapat aliran air dalam tanah dan kedudukan cerun pada tahap 45 darjah, selain ketebalan runtuhan tanah yang mencecah kedalaman 20 hingga 30 kaki.

    “Operasi SAR bersambung pada 8 pagi ini dengan beberapa agensi digerakkan ke lokasi insiden tanah runtuh melibatkan JBPM, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Gerakan Khas dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya, lapor Astro Awani.

    Setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, manakala 12 orang lagi masih dilaporkan hilang.

    Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi semalam.

  • Lebih baik BN sertai PH sebagai parti komponen

    Lebih baik BN sertai PH sebagai parti komponen

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    WALAUPUN penyokong akar umbi masih tidak dapat menerima hakikat kerjasama BN dan PH yang melanggar prinsip perjuangan kedua-dua gabungan parti politik, pemimpin atasan mereka dilihat semakin hari makin selesa dan bertambah akrab.

    Semenjak bergabung untuk membentuk kerajaan perpaduan dan memegang jawatan dalam kerajaan, pemimpin BN dan PH yang dahulunya saling serang-menyerang dan berseteru boleh melupakan persengketaan berpuluh tahun dalam sekelip mata.

    Segala tuduhan antara satu sama lain sebelum ini yang dijaja sejak sekian lama hilang dengan pantas dan tidak lagi meniti di bibir pemimpin kedua-dua gabungan parti, malah saling memuji dan ada juga yang berbalas pantun untuk menunjukkan berakhirnya permusuhan dan mekarnya kemesraan pemimpin mereka.

    Melalui hubungan bersejarah yang tidak pernah tercapai di akal penyokong akar umbi, ramai yang melihat kepada keperluan BN yang ditunjangi UMNO untuk mengisytiharkan parti itu menyertai PH secara rasmi kerana ia memudahkan penyokong parti berkenaan untuk membuat keputusan sama ada untuk terus kekal atau menyertai parti lain.

    Dengan kemerosotan kerusi-kerusi Parlimen milik UMNO-BN, adalah sukar untuk komponen itu mengekalkan kuasa pada PRU16 kerana jika dilihat bermula pada PRU11 hingga PRU16, trend sokongan terhadap parti berkenaan menceritakan segala-galanya di mana kedudukan parti tertua itu ketika ini.

    Pada PRU11 parti keramat orang Melayu memenangi lebih 200 kerusi- satu kedudukan yang amat stabil dan pada tahun 2008 iaitu semasa PRU12, ia merosot kepada 140 kerusi Parlimen iaitu kehilangan 60 kerusi – suatu kehilangan yang agak besar.

    Disebabkan banyak isu besar yang membelenggu kerajaan pada waktu itu hingga tidak mampu dikawal, prestasi UMNO-BN makin merosot pada PRU13 apabila hilang lapan kerusi menjadikan kerusi dimenangi menjadi 132 kerusi.

    Pada PRU14, penolakan terhadap parti itu berterusan dan UMNO hilang lagi 53 kerusi menjadikan ketika itu tinggal 79 kerusi. Daripada 79 itu, UMNO makin hilang arah apabila 39 Ahli Parlimennya menyertai parti Bersatu kerana hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

    Dan pada PRU15, UMNO-BN kini hanya tinggal 30 kerusi iaitu kemerosotan yang amat teruk apabila dilihat penurunan jumlah kerusi dari tahun 2004 dengan lebih 200 kerusi kepada angka ketika ini pada tahun 2022.

    Pada pilihan raya umum baru-baru ini jelas kelihatan penolakan terhadap UMNO-BN apabila golongan muda yang pertama kali mengundi turut menunjukkan pendirian mereka terhadap parti gabungan itu.

    Dengan data-data yang jelas serta kehilangan sokongan ketara ketika ini, BN-UMNO sebenarnya tiada pilihan lain melainkan menyertai PH untuk mengelakkan jumlah kerusi mereka terus merosot hingga mencatat angka bawah 10 kerusi Parlimen.

    Sebenarnya secara logik akal, jika prestasi merosot seperti yang ditunjukkan oleh UMNO ini, nakhoda parti perlu mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan, tetapi ia tidak berlaku dan nampaknya mustahil untuk berlaku.

    Maka, dengan penyertaan kepada PH adalah jalan yang paling terbaik untuk memudahkan pengundi membuat keputusan terutamanya pada pilihan raya enam negeri yang akan berlangsung beberapa bulan lagi dan juga PRU16 kerana hanya ada dua gabungan yang bertanding iaitu PN dan PH.

    Pengundi juga tidak perlu lagi pening kepala ataupun diganggu dengan cubaan memecah undi kerana pilihan hanya ada dua. Lakukanlah segera kerana ia boleh menjadikan hubungan ‘perkahwinan’ BN-PH lebih rasmi tanpa perlu menipu penyokong lagi.

    Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi

    Tulisan ini disiarkan Warta Rakyat adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Warta Rakyat.

    Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. Warta Rakyat menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel [email protected].