Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pejuang sahkan pengunduran Tun M sebagai pengerusi parti

    Pejuang sahkan pengunduran Tun M sebagai pengerusi parti

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memaklumkan, pihaknya menerima keputusan Dr. Mahathir untuk berundur dari jawatan tersebut.

    “Seluruh Anggota Majlis Eksekutif Pusat dan ahli parti serata negara menyanjung tinggi jasa, pemikiran, tunjuk ajar dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan Pengerusi.

    “Penghargaan yang tidak terhingga kami ucapkan kepada Ayahanda Tun. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh membalas jasa beliau kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Menurut Muhkriz, biarpun tidak lagi memegang jawatan pengerusi, Dr. Mahathir kekal sebagai ahli Pejuang.

    Pejuang mencatatkan prestasi terburuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu apabila seramai 67 calon yang dipertaruhkannya hilang wang pertaruhan mereka, termasuklah Dr. Mahathir dan Mukhriz.

    Dr. Mahathir mengalami kekalahan teruk di Langkawi dengan menduduki tempat keempat dalam pertandingan lima penjuru.

    Mukhriz turut mengalami nasib yang sama, apabila tewas di Jerlun, kerusi yang disandangnya sejak 2018, selepas Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi itu dengan majoriti 20,456 undi pada 19 Nov lalu.

  • Hajiji tidak sah wakili GRS tandatangani persefahaman sokong kerajaan Persekutuan

    Hajiji tidak sah wakili GRS tandatangani persefahaman sokong kerajaan Persekutuan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Badan Perhubungan Perikatan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mempersoalkan tindakan Datuk Seri Hajiji Nor yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menandatangani persefahaman antara parti politik menyokong kerajaan Persekutuan semalam.

    Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu berkata, ini kerana Hajiji tidak lagi mempunyai keabsahan untuk kekal sebagai Pengerusi GRS termasuk mewakili gabungan tersebut menandatangani perjanjian itu kerana sudah keluar daripada Bersatu.

    “Oleh itu, keahlian beliau dalam GRS kini hanyalah sebagai ahli individu dan kedudukan beliau sebagai Pengerusi GRS hendaklah diputuskan semula oleh Majlis Tertinggi GRS.

    “Berikutan ini, perjanjian persefahaman gabungan parti-parti politik menyokong Kerajaan Persekutuan pimpinan PH yang ditandatangani oleh Datuk Hajiji Nor sebagai Pengerusi GRS semalam tidak sah dan tidak mewakili aspirasi Bersatu melalui GRS,” katanya.

    Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi GRS, Hajiji, manakala PH, diwakili DAtuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusinya.

    Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan ialah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab. Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S. Padua Jr. (Warisan).

  • Tanah runtuh Batang Kali: Pengurus tapak perkhemahan akan dipanggil – Polis

    Tanah runtuh Batang Kali: Pengurus tapak perkhemahan akan dipanggil – Polis

    POLIS akan memanggil pengurus tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Batang Kali di Hulu Selangori susulan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 23 mangsa setakat ini.

    Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah dalam sidang media di lokasi insiden, hari ini.

    “Setakat ini, kita akan panggil pengurus tapak perkhemahan dan kita akan mengambil tindakan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Semalam, tiga tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm dikenal pasti beroperasi tanpa lesen sejak 2020.

    Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, semakan mendapati syarikat itu hanya memohon lesen bagi membangunkan ladang organik di kawasan berkenaan.

    Katanya, itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta 133 iaitu Akta Parit dan Bangunan.

    Jika disabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak lebih RM50,000.

    Dalam kejadian pada awal pagi semalam, runtuhan tanah dianggarkan membabitkan sebanyak 450,000 meter padu (m³) tanah.

    Selain itu, ia turut membabitkan keluasan keseluruhan 225,000 meter padu dengan dimensi tanah runtuh di kawasan berkenaan membabitkan kawasan sepanjang 500 meter, 200 meter lebar dan sedalam lapan meter.

    Setakat pukul 1 tengah hari tadi, seramai 23 mangsa terkorban dalam kejadian tanah runtuh berkenaan, sementara 10 lagi masih hilang.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan seramai 135 petugas yang terdiri dari pakar kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.

  • Tragedi tanah runtuh: Mayat mangsa ke-24 ditemui

    Tragedi tanah runtuh: Mayat mangsa ke-24 ditemui

    MAYAT mangsa ke-24 dalam tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, ditemui petang tadi.

    Mangsa berkenaan merupakan kanak-kanak perempuan dan mayat ditemui pasukan mencari dan menyelamat pukul 4.35 petang, lapor Harian Metro.

    Penemuan itu sekali gus menjadikan jumlah mangsa korban tragedi itu seramai 24 orang dengan baki sembilan mangsa masih dikesan.

    Pada pukul 1.05 tengah hari tadi, pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat dua beranak yang juga mangsa ke-22 dan ke-23 tertimbus kira-kira satu meter di kawasan Hillview.

    Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah dilaporkan berkata, mayat wanita berusia anggaran 30-an dan kanak-kanak lelaki berusia antara 7 hingga 10 tahun itu ditemukan anggota penyelamat yang melakukan pengorekan tanah di kawasan terbabit.

    Semalam, media melaporkan seramai 94 mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh pada pukul 2.24 pagi.

  • Sah atau tidak? Peguam berbeza pandangan

    Sah atau tidak? Peguam berbeza pandangan

    PERJANJIAN persefahaman kerjasama yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengundang reaksi berbeza daripada pengamal undang-undang.

    Peguam, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, menyifatkan perjanjian terbabit sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan.

    Katanya, tiada terma ‘perjanjian’ yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, boleh dikatakan sah dari segi polisi awam.

    “Wakil rakyat memiliki tanggungjawab keperlembagaan untuk membentangkan pendirian mereka bagi pengundi yang diwakili.

    “Tanggungjawab ini, mesti mengatasi apa-apa yang diperuntukkan dalam mana-mana perjanjian,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

    Nizam Bashir berkata, sebarang kekangan atas tanggungjawab keperlembagaan, khususnya jika ia membelakangkan kepentingan rakyat, tidak wajar dihujahkan sebagai konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

    “Ruang mesti wujud untuk seorang wakil rakyat melaksanakan tanggungjawabnya iaitu untuk tidak menyokong sekiranya Perdana Menteri bertindak membelakangkan kepentingan rakyat,” katanya.

    Sementara itu, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, berkata perjanjian itu adalah sah dan tidak melanggar mana-mana klausa Perlembagaan kerana selaras dengan Akta Anti-Lompat Parti.

    Mengulas sama ada perjanjian itu adalah haram dan tidak berperlembagaan serta akan membawa kepada pemerintahan diktator, Mohd. Khairul hanya menjawab, ‘tidak setuju’.

    Semalam, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.

    Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan ialah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan).

  • Lokasi tragedi Batang Kali adalah kawasan sensitif kerana pembangunan tanah

    Lokasi tragedi Batang Kali adalah kawasan sensitif kerana pembangunan tanah

    KAWASAN tragedi runtuhan cerun yang meranapkan tiga tapak perkhemahan milik Father’s Organic Farm di Hulu Selangor awal pagi semalam, disifatkan sebagai kawasan yang sensitif kepada pembangunan tanah.

    Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dalam kenyataannya menjelaskan, ciri fizikal kawasan itu adalah bukit batu granit yang dikelilingi Hutan Simpan Batang Kali iaitu hutan perlindungan tanah dan hutan taman negeri yang mempunyai dengan kecerunan sekitar 30 hingga 45 darjah.

    “Ketinggiannya yang mencapai 600 meter daripada aras laut, membuatkan ia terletak dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 2 di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN).

    “RFN memperuntukkan, tiada sebarang pembangunan boleh dijalankan dalam kawasan KSAS Tahap 2, melainkan aktiviti seperti penyelidikan, pelancongan terkawal dan penebangan hutan secara terpilih.

    “Namun, dalam kes ini, liputan hutan di lokasi sudah dibersihkan untuk projek pertanian organik dan ditambah kawasan perkhemahan. Masa sama, kontraktor tidak membuat penanaman semula di cerun terbuka dengan pokok-pokok asal bagi mengawal runtuhan,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsi dalam Twitter, lapor BH Online.

    KUASA menegaskan, aktiviti penebangan hutan secara habis untuk pembukaan ladang organik dan perkhemahan itu sudah tentu melanggar syarat pembangunan yang ditetapkan mengikut status KSAS Tahap 2.

    Katanya, zon guna tanah semasa berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) adalah zon komersial, walaupun sebelum ini, kawasan terbabit dikenali sebagai zon berhutan.

    “Yang menimbulkan persoalan adalah mengenai kelulusan pembangunan ladang pertanian organik, sedangkan ladang pertanian seharusnya di bawah zon pertanian. Bagaimana zon komersial ini boleh bertindih di bawah KSAS Tahap 2?.

    “Difahamkan, pemilik tanah melanggar syarat-syarat kelulusan dengan memberi izin kepada pembukaan kawasan agro-pelancongan atau perkhemahan dalam ladang. Ia adalah projek haram, tidak ada permit.

    “Tambahan, pembangunan sebelum ini seperti pembinaan jalan raya dan pembalakan sudah melemahkan struktur cerun. Untuk bina jalan, kawasan hutan perlu ditolak, sisa tanah ditolak tadi ditimbun atau ditambak di tebing bukit dan menjadi cerun baru buatan manusia.

    “Semasa musim hujan, limpahan hujan yang banyak akan mengalir di permukaan dan meresap ke dalam permukaan tanah cerun dan menyebabkan kegagalannya disebabkan tanah itu berat, ‘tepu air’ dan menyebabkan kestabilan menurun,” katanya.

    Persatuan itu mendakwa, situasi terbabit akan mendorong kepada berlakunya runtuhan tanah secara besar-besaran.

    Mereka menyifatkan, bencana kali ini amat malang kerana ‘kebetulan’ ada kawasan perkhemahan sekitar 100 meter di bawah tanah runtuh (30 meter di bawah paras jalan), membuatkan pengunjung yang sedang tidur dalam khemah tertimbus dengan runtuhan tanah berat.

    Katanya, bencana ini berlaku pada cerun buatan (cerun tambakan, dan pembersihan ladang), dan bukannya pada cerun semula jadi, yang menyaksikan gabungan pembinaan jalan raya dan pembukaan tanah pertanian hingga menyebabkan berlakunya runtuhan tanah yang dahsyat.

    “Justeru itu, KUASA menasihatkan agar kerajaan dan rakyat, wajib mengambil iktibar daripada kejadian ini bagi mengelakkan tragedi ini berulang dengan beberapa langkah. Kawasan sensitif perlu dizonkan semula sebagai kawasan perlindungan kerana kini ada banyak kawasan sensitif dizonkan dalam zon pembangunan.

    “Pewartaan kawasan sensitif ini sebagai kawasan terlindung adalah penting bagi menghalangnya daripada diceroboh, mahupun dibangunkan secara tidak mampan pada masa depan.

    “Kita kena kenal pasti banyak lagi kawasan sensitif yang baru di masa depan. Tindakan meluluskan projek pembangunan yang tidak sesuai di kawasan sensitif harus dihentikan menerusi komitmen kerajaan negeri.

    “Banyak senario di mana kerajaan negeri gagal mematuhi dasar Persekutuan, dengan meluluskan banyak projek tidak mampan di kawasan sensitif alam sekitar Tahap Satu, Dua dan CFS,” katanya.

    KUASA menyifatkan, pihak berkuasa negeri yang meluluskan projek seumpama itu masih jahil mengenai alam sekitar, pembangunan dan undang-undang yang berkaitan.

    Justeru itu katanya, kerajaan Persekutuan harus memantau serta mengawal kerajaan negeri bagi kelulusan ini supaya ia menepati dengan dasar perancangan fizikal dan alam sekitar negara

    “Kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan boleh diatasi sekiranya orang awam dilatih, khususnya penduduk tempatan mengenai ilmu serta kemahiran memahami SOP pembangunan supaya mereka boleh melaporkan sebarang kejadian pencerobohan dan perlanggaran syarat oleh kontraktor

  • Kenyataan Puad Zarkhashi dangkal, saya jalan tugas pro bono sahaja – Muhyiddin

    Kenyataan Puad Zarkhashi dangkal, saya jalan tugas pro bono sahaja – Muhyiddin

    KENYATAAN Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi yang mempersoalkan peruntukan beratus juta ringgit yang disalurkan kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN), bersifat dangkal.

    Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya berkata, pihaknya tidak menerima sebarang peruntukan mahupun elaun ketika beliau memegang jawatan berkenaan dalam kerajaan sebelum ini.

    Beliau berkata, MPN adalah badan penasihat sahaja dan bukan eksekutif selain tiada peruntukan.

    “Waktu saya memimpin pun saya jalankan tugas ‘pro bono’, tak ambil gaji satu sen. MPN ini badan advisory, dia bukan executive, tidak ada peruntukan.

    “Puad Zarkashi yang kata kita ada peruntukan, semaklah berapa juta, tidak ada peruntukan, cuma kita buat perakuan kepada Kabinet apa tindakan hendak dibuat maka serah pada Kabinet, kalau ikut kiraan kita hari itu 95 perkara Kabinet semua dah lulus, dia ada implikasi kewangan, itu soal kerajaan, tapi bukan peruntukan diberi kepada MPN,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran PN Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Pagoh, Muar hari ini.

    Puad Zarkashi sebelum ini mempersoalkan ke manakah perginya peruntukan beratus juta ringgit didakwa untuk MPN.

    Dakwanya, beliau difahamkan bahawa Muhyiddin telah menerima peruntukan khas tersebut daripada Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Puad Zarkashi turut mempersoalkan adakah peruntukan itu dibelanjakan untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja atau perkara lain selain turut meminta Muhyiddin memperjelaskan tentang butiran perbelanjaan dana MPN.

  • Tanah runtuh Batang Kali: 6 daripada 21 mangsa meninggal dunia dikenal pasti – NADMA

    Tanah runtuh Batang Kali: 6 daripada 21 mangsa meninggal dunia dikenal pasti – NADMA

    ENAM daripada 23 mangsa yang meninggal dunia dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali di Hulu Selangor telah dikenal pasti melalui proses pengecaman oleh waris atau melalui ujian cap jari.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan memaklumkan, proses bedah siasat dan pengecaman mayat yang lain masih dijalankan.

    “Lima dari enam mangsa yang meninggal dunia adalah wanita, manakala seorang lagi merupakan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.

    “Daripada lapan mangsa yang menerima rawatan di hospital, tiga telah dibenarkan pulang manakala lima lagi sedang menerima rawatan di hospital,” menurut kenyataan tersebut, lapor Astro Awani.

    Jelas kenyataan itu, tiga mangsa yang dibenarkan pulang itu menerima rawatan di Hospital Kual Kubu Bharu, Selangor, manakala empat mangsa masih dirawat di Hospital Selayang dan seorang lagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di Batang Kali masih diteruskan biarpun cuaca kurang baik.

    Setakat ini, angka korban telah meningkat ke 23 orang.

  • Remaja hilang dalam hutan ditemukan selamat selepas 5 hari

    Remaja hilang dalam hutan ditemukan selamat selepas 5 hari

    REMAJA lelaki yang hilang selepas melarikan diri ke dalam hutan di belakang rumahnya di Kampung Temalir, Selasa lalu ditemui selamat, hari ini.

    Dia yang berusia 18 tahun ditemui anggota penyelamat pada 10 pagi pada jarak 200 meter (m) dari lokasi hilang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, remaja itu ditemui lemah dan tidak bermaya di kebun getah berhampiran rumahnya.

    “Ketika dijumpai mangsa sedang berdiri dan tidak berpakaian selain mengalami luka serta calar di seluruh badan.

    “Mangsa kemudian dibawa pulang ke rumahnya dan diberikan rawatan oleh anggota keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Satu berita.

    Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dilaporkan hilang di Kampung Temalir, Selasa lalu, selepas dipercayai melarikan diri ke dalam hutan.

    Keluarga dan penduduk kampung berusaha mencarinya, namun tidak juga ditemui sebelum membuat laporan polis.

    Seramai 42 anggota pasukan keselamatan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selain bantuan penduduk kampung dan juga Unit Anjing Pengesan (K9) daripada JBPM.

  • Perjanjian permuafakatan bukti Anwar goyah, kata Muhyiddin

    Perjanjian permuafakatan bukti Anwar goyah, kata Muhyiddin

    PERJANJIAN permuafakatan antara gabungan parti politik yang dimeterai semalam, membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak yakin mampu meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam sidang khas Dewan Rakyat yang akan berlangsung 19 Disember ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian yang turut memaksa Ahli Parlimen mengosongkan kerusi sekiranya tidak menyokong Perdana Menteri dalam apa-apa usul juga, tidak pernah dilihat dalam mana-mana bentuk persefahaman atau undang-undang sebelum ini.

    “Saya tidak pernah lihat dalam mana-mana undang-undang perkara seperti itu dilaksanakan kecuali yang berkaitan dengan akta lompat parti yang mana kalau tidak sokong mesti gugurkan kedudukan dia sebagai Ahli Parlimen.

    “Jadi saya lihat macam Perdana Menteri tidak berapa yakin usul percaya itu boleh diteruskan (kerana) sepatutnya ada asas kepercayaan kepimpinan parti untuk sokong, tetapi tidak adalah menyokong (sehingga) seberat itu.

    “Saya fikir Ahli Parlimen sepatutnya tidak terasa dipaksa, ini tidak boleh dipaksa walaupun mereka dalam gabungan itu ada sefahaman,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran PN Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Pagoh, Muar, hari ini.