Author: Wartawan WartaRakyat

  • Johari Abdul dipilih sebagai Speaker baharu Dewan Rakyat

    Johari Abdul dipilih sebagai Speaker baharu Dewan Rakyat

    BEKAS ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan.

    Proses pengundian yang dibuat melalui kertas undi menyaksikan Johari memperoleh 147 undi, sementara calon mewakili blok pembangkang Tan Sri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad memperoleh 74 undi.

    Terdahulu, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin memaklumkan dua cadangan nama tersebut yang masing-masing dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 5 Disember lalu.

    Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun (Pakatan Harapan) mencadangkan Johari mewakili kerajaan dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Hamzah yang juga Ketua Pembangkang pula mencadangkan bekas Menteri Dalam Negeri, Radzi sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, lapor Astro Awani.

    Johari kemudian mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

    Johari berkhidmat sebagai ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal, namun tidak menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebaliknya digantikan anaknya, Dr. Mohammed Taufiq yang menjadi satu-satunya wakil Pakatan Harapan (PH) menang di Kedah.

    Pada 2 Disember lalu, Tan Sri Azhar Azizan Harun dilapor mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.

  • Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Perak meningkat

    Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Perak meningkat

    JUMLAH mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Perak mencatatkan peningkatan malam tadi manakala di Johor kekal seperti petang semalam sepasukan.

    Di KELANTAN, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,642 orang daripada 1,679 keluarga malam tadi berbanding 3,320 orang daripada 975 keluarga pada sebelah petang.

    Menurutnya, sebanyak 58 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan lapan daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

    Berdasarkan kenyataan di laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, tujuh sungai utama melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 36.10 meter (m) manakala Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli pada paras 29.55 m.

    Selain itu, Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah pula pada paras 25.00 m, Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.39 m), Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (2.56 m), Kampung Jenob, Tanah Merah (25.00 m) dan Jambatan Melor, Bachok (9.42 m).

    Di TERENGGANU, situasi banjir semakin serius apabila angka mangsa terjejas terus melonjak kepada 3,785 orang daripada 1,068 keluarga berbanding 1,866 orang daripada 512 keluarga petang tadi.

    JPBN memaklumkan sebanyak 76 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu satu PPS di Kuala Terengganu, Besut (26), Hulu Terengganu (25) Setiu (11), Dungun (enam), Kemaman (enam) dan Marang (satu).

    Di PERAK pula, terdapat dua PPS iaitu di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4, Teluk Intan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat, Selekoh yang menempatkan 49 orang daripada 16 keluarga setakat 8 malam sekali gus menyaksikan peningkatan bilangan mangsa berbanding petang tadi iaitu 47 orang daripada 15 keluarga.

    Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), beberapa kawasan membabitkan Kerian, Larut, Matang, Selama dan Kuala Kangsar dijangka mengalami hujan berterusan hingga 20 Dis ini.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di daerah Segamat kekal 75 orang daripada 21 keluarga dan mereka masih ditempatkan di tiga PPS.

    JPBN dalam kenyataan memaklumkan seramai 34 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak, 27 masih berada di Balai Raya Kampung Kuala Paya manakala Dewan Komuniti Kampung Tasek menempatkan 14 mangsa. 

    Dalam pada itu, berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat melepasi paras amaran dengan ketinggian 8.91 m. 

  • Ramai ahli UMNO nyata minat sertai Pas

    Ramai ahli UMNO nyata minat sertai Pas

    PAS Negeri Sembilan menjangkakan lebih ramai ahli UMNO di negeri itu akan menyertai parti tersebut pada masa hadapan.

    Pesuruhjayanya, Rafiei Mustapha berkata, ini terbukti apabila Pas menerima kemasukan lebih daripada 3,000 ahli baharu di seluruh negeri dalam masa dua bulan.

    Selain itu, katanya lagi, beberapa kepimpinan UMNO peringkat cawangan di Kuala Pilah turut menyatakan hasrat untuk bersama Pas.

    “Buat masa ini saya tidak mahu dedahkan siapa. Tapi itu menunjukkan ahli UMNO ada hasrat sertai Pas disebabkan situasi yang berlaku kepada UMNO sekarang,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

    Rafiei bagaimanapun menafikan Pas mahu mengambil kesempatan di atas permasalahan yang berlaku di dalam UMNO.

    Sebaliknya kata beliau, parti itu sentiasa mengalu-alukan sesiapa saja yang berhasrat menyertai Pas.

    Dalam perkembangan lain, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri(PRN), pihaknya bercadang mengadakan program jelajah di setiap daerah dalam usaha menarik lebih ramai kemasukan ahli baharu.

  • Disangka patung rupanya mayat tersangkut

    Disangka patung rupanya mayat tersangkut

    SEORANG pekerja pam pasir yang dilaporkan terjatuh sungai sejak tiga hari lalu, ditemukan mayatnya tersangkut pada rumah rakit di Kampung Ekor Lambat di Parit, hari ini.

    Penduduk, Zulkhairi Meor Mohamed Amno, 28, berkata, pada mulanya disangkakan patung tersangkut pada rumah rakit berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari selepas terhidu bau busuk.

    “Saya bersama dua rakan selalu lepak di rumah rakit sambil menjahit jaring. Sebaik tiba sahaja di sini, saya tercari-cari bau busuk seperti bangkai di sekeliling rumah rakit.

    “Saya sangka objek terapung itu patung apabila saya mendekatinya, saya terkejut terus berlari naik atas tebing dan menghubungi pihak polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, itu merupakan pengalaman pertama jumpa mayat sepanjang lima tahun bekerja di premis ternakan ikan sangkar.

    Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, mayat mangsa dikenali sebagai M. Chandran, 38, ditemukan kira-kira 30 kilometer dari lokasi terakhir dilihat.

    Tambahnya, lelaki terbabit ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan selepas menerima panggilan sekitar pukul 11.17 lagi, Jumaat lalu.

    “Mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan tersangkut di kawasan ternakan ikan.

    “Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit menggunakan bot untuk mengambil mayat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Katanya, seramai 26 pegawai dan anggota daripada bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dan operasi ditamatkan pada pukul 2.20 petang.

  • Hassan pertikai MoU ‘tidak undi, hilang kerusi, sanggup ‘dipancung’, tidak rela demokrasi berkubur

    Hassan pertikai MoU ‘tidak undi, hilang kerusi, sanggup ‘dipancung’, tidak rela demokrasi berkubur

    PERJANJIAN persefahaman (MoU) antara lima gabungan parti yang mewajibkan Ahli-ahli Parlimennya memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam usul undi percaya di Parlimen esok terus mendapat kritikan, termasuk dari kalangan pemimpin parti Pakatan Harapan sendiri.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang sebelum ini mengkiritik Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana melantik pemimpin yang mempunyai kes mahkamah menyertai Kabinetnya melalui puisi, menulis sebuah satu deklarasi malam tadi menyatakan kekesalannya terhadap MoU yang ditandatangani antara pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan itu.

    MoU itu mewajibkan Ahli Parlimen di bawah Kerajaan Perpaduan menyokong Perdana Menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan pimpinan Anwar, yang mana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi Parlimen yang dimenangi.

    Dalam deklarasi yang disiarkan di Facebook miliknya, Hassan mempertikaikan mengapa MoU tersebut dijadikan senjata tajam dengan memberi kata dua kepada Ahli Parlimen untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri atau mereka akan kehilangan kerusi.

    Berikut petikan penuh deklarasi beliau:

    Ini bukan puisi
    Ini satu deklarasi
    Izinkan aku bertanya
    Parlimen itu apa?

    Aku diberitahu
    Oleh Magna Carta dan Bills of Rights
    Parlimen itu kemuncak suara demokrasi

    Oh, begitu rupanya,
    Jadi Parlimen bukanlah tempat makhluk zombi
    Yang bergerak satu hala saja
    Mengikut arah si sang ketua

    Biarlah aku bicara
    Sebagai seorang MP di sini
    Aku bukan robot, bukan zombi
    Aku masih ada maruah
    bukan bangkai bernyawa

    Lusa 19 Disember
    tarikh keramat di Palimen kami
    aku isytiharkan di sini,
    aku akan mengundi bebas ikut hatiku
    akan aku berikan undi kepercayaan
    kepada Perdana Menteri sahabatku

    Namun begitu,
    Sila dengar bicaraku
    Adakah kita punya legitimasi,……….wahai sahabat
    Beroleh sekian-sekian ratus undi selamat melebihi majoriti
    Tetapi para MP hilang hak kebebasannya untuk mengundi?

    Ke mana perginya kepercayaan kita
    Kepada pertimbangan bijaksana?

    Mengapa MoU yang ditandatangani semalam menjadi senjata tajam
    Undi MP itu mesti mandatori
    Tiada lagi budi bicara menjadi neraca imbangan?

    Ke mana hilangnya keyakinan kita kepada hati nurani manusia
    Sehingga tergamak kita memberi kata dua:
    Patuh mengundi atau kamu hilang kerusi

    Kepada sahabatku
    Benarkan aku bertanya
    Ini autokrasi atau demokrasi?

    Kini kita kembali kepada sejarah Tuah dan Jebat
    Lalu rayuan terakhirku,
    Kembalikan hak kami para MP
    Bebas mengundi
    Menurut akal dan budi

    Maka
    Kepada mu abang Tuah
    Aku lafazkan satu deklarasi di sini

    Biarlah aku dipancung mati
    Aku tidak rela
    Di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi.

  • Bot nelayan tempatan dan Indonesia bersama 11 PATI ditahan

    Bot nelayan tempatan dan Indonesia bersama 11 PATI ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan dan sebuah bot nelayan asing Indonesia di perairan negeri itu dalam dua operasi berasingan, Jumaat lalu.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia melakukan penahanan pertama melibatkan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 71 batu nautika barat Pulau Kendi pada pukul 1.50 tengah hari.

    Tambah beliau, penahanan kedua iaitu sebuah bot nelayan asing Indonesia pula dilakukan di kedudukan 19.8 batu nautika bart daya Pulau Kendi pukul 7.20 petang ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.

    Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan enam Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar berusia antara 35 hingga 50 tahun yang didapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta permit bekerja.

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan asing Indonesia pula mendapati, bot terbabit berpangkalan di Tanjung Balai, Indonesia dan dikendalikan oleh lima kru warga negara itu berumur antara 13 hingga 30 tahun.

    Jelasnya, kesemua mereka juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

    Bot nelayan tempatan itu dikendalikan enam PATI warga Myanmar berusia antara 35 hingga 50 tahun yang didapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta permit bekerja

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

    Tambah beliau, kedua-dua bot serta kesemua kru itu ditahan termasuk hasil laut dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Dalam pada itu ujarnya, Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan tempatan termasuk pemilik bot agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada serta memastikan perairan negara sentiasa terkawal dari isu pencerobohan bot nelayan asing.
     
    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Pilu seorang nenek, hilang empat ahli keluarga sekelip mata

    Tanah runtuh Batang Kali: Pilu seorang nenek, hilang empat ahli keluarga sekelip mata

    LULUH jiwa seorang nenek apabila dia kehilangan empat ahli keluarga sekelip mata dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali, kelmarin.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Beh Su Lee, 59, kehilangan anak perempuannya, menantu serta dua cucu yang berusia satu dan enam tahun.

    Menurutnya, pengecaman mayat ke atas tiga mangsa dilakukan semalam manakala seorang lagi hari ini.

    “Semua empat, tiga (dibuat pengecaman) semalam hari ini satu,” katanya sambil menangis ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh (HSB), hari ini, lapor Astro Awani.

    Menurut Su Lee, anak perempuannya berusia 35 tahun manakala menantunya pula berusia 34 tahun.

    Keempat-empat mayat mangsa tanah runtuh itu dilihat meninggalkan HSB menaiki dua kenderaan Pusat Peringatan Nirvana pada pukul 1.22 tengah hari.

    Sebuah kenderaan membawa pasangan suami dan isteri, sementara sebuah lagi kenderaan membawa kedua-dua anak mereka.

    Dengan perkembangan ini, 21 daripada 24 mayat yang ditempatkan di HSB sudah dituntut sehingga pukul 2 petang.

  • Zool Amali, Dayangku Intan sertai Pas

    Zool Amali, Dayangku Intan sertai Pas

    HILANG kepercayaan terhadap kepemimpinan tertinggi UMNO, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin, bertindak meletakkan jawatan dan keluar daripada parti itu dengan menyertai Pas.

    Turut mengikut jejaknya ialah seramai 50 ahli jawatankuasa dan ahli biasa, khususnya daripada Cawangan UMNO Kampung Rawa Lenggeng.

    Turut menyertai Pas termasuk penyanyi terkenal era 80-an, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Dayangku Intan.

    Zool Amali, 40, berkata keputusannya menyertai parti itu sudah dibincangkan dalam kalangan ahli jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian serta ahli di peringkat cawangan.

    Beliau berkata, pihaknya bersama ahli akar umbi berasa tertipu dengan sikap dan tindakan kepemimpinan parti terutama Presiden, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang bersekongkol dengan gabungan Pakatan Harapan (PH).

    “Saya rasa sudah tidak sesuai lagi untuk berada dalam parti yang penuh dengan kebatilan ini, lari dari prinsip asas perjuangan parti dan tindakan pemimpin UMNO yang cuba mempermainkan suara ahli akar umbi.

    “Kami hilang kepercayaan terhadap Presiden UMNO kerana segala tindakan yang beliau buat lari daripada keputusan yang dibuat dalam Persidangan Agung UMNO (PAU).

    “Ahli akar umbi rasa sedih dan kecewa dengan tindakan dilakukan kepemimpinan tertinggi parti, jadi sampai bila ahli bawah ini hendak diperkudakan sedemikian rupa,” katanya lapor BH Online.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan borang keahlian menyertai PAS kepada Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Yang Dipertua PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, di kediaman ahli keluarganya di Kampung Rawa Lenggeng.

    Yang turut hadir, Setiausaha Pas Kawasan Seremban, Ishak Yahya; Dayangku Intan dan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard.

    Zool Amali yang sinomin dengan panggilan Jebat berkata, tindakannya menyertai Pas bukan hendak mengejar apa-apa jawatan, sebaliknya dibuat dengan ikhlas kerana berasakan UMNO sudah jauh daripada perjuangan asal.

    “Tiada mana-mana pihak yang memaksa saya masuk Pas tetapi dengan kerelaan sendiri. Saya tak kisah hilang jawatan kerana berasakan UMNO tidak lagi sesuai,” katanya.

    Sementara itu, Dayangku Intan yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2020 berkata, beliau mahu meneruskan perjuangan dalam Pas kerana berpendapat parti itu lebih memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.

    Dalam pada itu, Rafiei berpandangan, kehadiran Zool Amali akan dapat menguatkan lagi Pas di Negeri Sembilan khususnya di kawasan Seremban terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    “Apabila ada kemasukan Zool Amali dan rakan-rakan lain untuk bersama dengan Pas, pastinya akan memberi kekuatan kepada parti dalam usaha untuk memenangkan Pas pada PRN nanti,” katanya.

  • Gendong suami dari tingkat empat ke hospital

    Gendong suami dari tingkat empat ke hospital

    SEORANG wanita mengendong suami menuruni tangga dari rumahnya di tingkat empat untuk dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan, tular dalam media sosial.

    Foto dan kisah guru agama dikenali Nik Junainah itu dikongsikan menerusi kenyataan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam Facebook, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, Nik Junainah perlu membawa suaminya ke hospital antara empat ke lima kali sebulan bagi pemeriksaan penyakit masalah kulit kronik (Psoriasis), sendi dan hati yang dihadapi sejak 12 tahun lalu.

    “Nik Junainah seorang isteri yang taat pada suami tercinta, berkongsi di waktu susah dan sukar. Walau dalam situasi seorang yang bekerjaya, namun tanggungjawab utamanya terhadap suami tetap dijalankan.

    “Jika dilihat pada sosok tubuh serta keupayaan seorang wanita, tidak mampu untuk mengendong, memapah tubuh yang tidak berdaya tetapi dengan kecekalan atas dasar tanggungjawab, segalanya menjadi mudah,” kata kenyataan itu.

    Tambah kenyataan itu, selain menguruskan suami sakit, Nik Junainah turut menguruskan dua anak yang masih bersekolah.

    “Dengan pendapatan sebagai guru agama ditambah sedikit elaun Perkeso yang diterima, sebahagiannya digunakan untuk membiayai pinjaman perumahan, rawatan dan keperluan harian,” kata kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, keluarga ini layak didaftarkan sebagai asnaf miskin berdasarkan semakan yang dilakukan.

    “Insya-ALLAH, mereka akan dibantu dengan bantuan kewangan, ansuran rumah serta bantuan perubatan bulanan untuk rawatan penyakit yang dihadapi. Kerusi roda serta katil khas juga akan diberikan kepada suaminya.

    “Alhamdulillah, asbab dari zakat yang ditunaikan, dapatlah kita berkongsi rezeki membantu keluarga seperti keluarga Nik Junainah,” tambah kenyataan itu, lapor Sinar harian.

  • Awas! banjir gelombang kedua, elak ‘berpesta’ main ombak

    Awas! banjir gelombang kedua, elak ‘berpesta’ main ombak

    SEJAK awal pagi kelmarin, beberapa kawasan di negeri Terengganu seperti Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Besut Kemaman dan Dungun kembali diselaputi mendung kelabu dan sesekali disusuli dengan hujan lebat selama beberapa jam.

    Malah, jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah acap kali mengeluarkan kenyataan mengenai kemungkinan banjir besar bakal melanda di bebeberapa kawasan di negeri Pantai Timur termasuk Terengganu.

    Perkembangan ini menyebabkan beberapa lokasi tertentu di negeri ini kembali ditakungi air, sekaligus turut menjejaskan pihak penganjur mengadakan pelbagai aktiviti yang telah dirancang sebelum ini.

    Difahamkan ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ini juga terdapat banyak pusat peranginan di pulau-pulau seperti Redang, Kapas, Perhentian dan Tenggol terpaksa ditutup operasi buat sementara.

    Walaupun kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan berbuat demikian, tetapi terdapat sesetengah pengusaha terbabit mengambil inisiatif menutup operasi demi keselamatan para pengunjung.

    Namun begitu, aktiviti tahunan di Pulau Kapas seperti luncur ombak masih diteruskan oleh penganjur di atas permintaan pengemar aktiviti lasak berkenaan.

    Aktiviti tahunan di Pulau Kapas seperti luncur ombak masih diteruskan oleh penganjur di atas permintaan pengemar aktiviti lasak berkenaan.

    Nasihat penulis, walaupun ketika banjir gelombang pertama pada minggu lalu, Terengganu belum mencatatkan jumlah mangsa perpindahan yang ramai iaitu sekitar 659 orang membabitkan 168 keluarga yang berada di 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah negeri ini.

    Namun, penulis berharap rakyat negeri ini tidak terlupa bahawa kita masih lagi berada di awal bulan yang penuh sengsara ini, iaitu musim tengkujuh.

    Justeru, sekalipun kita masih terselamat daripada ancaman banjir gelombang pertama, orang ramai perlu ingat bahawa banjir gelombang kedua bakal melanda pada bila-bila masa sahaja.

    Ini kerana, meskipun hujan lebat secara berterusan hanya ‘hinggap’ di beberapa kawasan tertenu di negeri ini dalam tempoh singkat, iaitu dua atau tiga hari sahaja, keadaan langit ketika ini masih lagi mendung dan berkeladak dengan awam hitam.

    MetMalaysia dalam kenyataannya meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang berlaku sejak 17 Disember akan berterusan sehingga Selasa ini.

    Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan memaklumkan, luruan monsun dijangka memasuki rantau negara mulai 17 Disember berdasarkan analisis model-model cuaca.

    Keadaan ini amat berbahaya kepada semua aktiviti laut dan berhampiran pantai khususnya bot-bot nelayan.

    hujan lebat dan angin kencang yang berlaku sejak 17 Disember akan berterusan sehingga Selasa ini.

    Bukan itu sahaja, perkembangan ini juga turut merbahaya kepada orang ramai yang gemar berpesta dengan bermain di gigi ombak serta menyaksikan air pasang besar pada sebelah malam terutama di Pantai Batu Burok, Pantai Seberang Marang dan Pantai Seberang Takir yang juga dikenali sebagai Pantai Miami.

    Penulis berharap agar orang ramai dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh mengancam nyawa.

    Sebelum ini, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu telah menasihati orang ramai supaya tidak berkunjung ke pantai semata-mata untuk menyaksikan fenomena air pasang besar kerana ia bukanlah satu ‘pesta’.

    Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Rosman Abdullah menyatakan bahawa fenomena air pasang besar boleh menyebabkan ketinggian ombak mencapai antara 2.7 hingga 2.9 meter.

    Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya aktiviti beriadah di pantai wajar ditangguhkan buat sementara waktu bagi mengelak berlaku sebarang kejadian buruk susulan ombak besar.