Author: Wartawan WartaRakyat

  • Banjir: Jenazah warga emas terkandas 14 jam dalam rumah

    Banjir: Jenazah warga emas terkandas 14 jam dalam rumah

    JENAZAH seorang warga emas terkandas hampir 14 jam di kediamannya di Kampung Gaung, di Besut yang dinaiki air sejak awal pagi tadi.

    Difahamkan Che Gayah Mohamad, 81, meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam tadi akibat sakit tua selepas terlantar hampir enam bulan.

    Cucunya, Nik Mohd. Fhaiez Mohd. Khalil, 30, berkata jenazah sepatutnya dikebumikan malam tadi tetapi disebabkan proses dokumentasi mendapatkan permit kubur tidak lengkap, ia terpaksa ditunda pagi ini.

    “Sekitar pukul 3 pagi air banjir melimpah ke kawasan rumah sehingga hampir masuk ke dalam rumah, kami semua terkandas tidak dapat keluar.

    “Kami cuba menghubungi bilik gerakan banjir tetapi tidak berjaya dan terus menunggu sekiranya ada anggota penyelamat yang boleh masuk ke kawasan ini.

    “Namun sehingga pukul 8 pagi masih belum ada bantuan sampai untuk membawa keluar jenazah nenek ke Hospital Besut bagi mendapatkan pengesahan kematian,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

    Katanya, mereka juga terpaksa meminta bantuan melalui media sosial supaya dapat keluar dari kawasan rumah secepat mungkin.

    “Syukur kira-kira pukul 10 pagi ada bot persendirian yang berjaya masuk ke kawasan ini dan membantu kami membawa keluar jenazah ke jalan utama.

    “Jenazah nenek dijangka dikebumikan petang ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung yang terletak kawasan berbukit,” katanya.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR mencabar, struktur tanah sedalam 16 meter

    Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR mencabar, struktur tanah sedalam 16 meter

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor agak mencabar susulan struktur tanah yang berada pada kedalaman 16 meter.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Selangor, Hafisham Mohd. Nor berkata, ini berikutan faktor cuaca hujan yang turut menyebabkan permukaan tanah menjadi lembik.

    “Struktur tanah yang asal kini telah mencecah 16 meter yang tertinggi direkodkan dan keadaan tanah jadi lembik dan becak.

    “Namun di kawasan itulah kita akan berusaha untuk membuat pencarian, kita akan korek sehingga mencecah dasar,” katanya ketika sidang media hari ini, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, operasi pencarian pada hari ini akan menumpukan di sektor A dan C serta kawasan yang masih belum digali.

    Ini berikutan tiada sebarang lagi penemuan baharu setakat operasi yang berlangsung sejak semalam.

    “Kita harap usaha ini membuahkan hasil kerana kita dah usaha seharian semalam, malangnya tiada lagi penemuan” ujarnya lagi.

    Selain itu, pihaknya turut menggerakkan sebanyak lapan jentera pengorek bagi membantu memudahkan operasi SAR.

    Setakat ini, seramai 135 anggota ditempatkan di lapangan dengan kersama pelbagai agensi untuk mencari sembilan lagi mangsa yang belum ditemui.

    Sebagai langkah keselamatan, Hafisham memberitahu, pegawai keselamatan turut ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau risiko anggota yang terlibat dalam operasi SAR.

    “Pegawai keselamatan akan tiup wisel sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.

    “Kita telah dimaklumkan semalam oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) risiko gelinciran tanah sangat rendah jadi dengan maklumat itu kita teruskan operasi hari ini,” katanya lagi.

  • Bekalan elektrik di empat daerah Kelantan diputuskan, banjir semakin buruk

    Bekalan elektrik di empat daerah Kelantan diputuskan, banjir semakin buruk

    SEBANYAK 94 pencawang elektrik di Kelantan ditutup sementara waktu mulai semalam berikutan hujan lebat dan banjir yang semakin teruk.

    Semua pencawang berkenaan membabitkan empat daerah iaitu Pasir Mas, dengan jumlah pencawang paling banyak iaitu 59 pencawang, Pasir Puteh (22), Tanah Merah (lapan) dan Kota Bharu (lima).

    Berikutan itu, bekalan elektrik di daerah terbabit diputuskan sehingga keadaan selamat dan banjir kembali pulih, lapor BH Online.

    Berdasarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline, usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan berkenaan dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

    Menurutnya, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang berkaitan jika banjir bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.

    TNB juga mengingatkan orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir serta menjauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Tujuh kenderaan ditemui, lima dikenal pasti

    Tanah runtuh Batang Kali: Tujuh kenderaan ditemui, lima dikenal pasti

    SEJUMLAH tujuh buah kenderaan telah ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, daripada jumlah itu, lima buah kenderaan telah dikenal pasti.

    “Daripada lima buah kenderaan, dua melibatkan mangsa yang masih hidup, dua mangsa yang telah meninggal dunia dan satu kenderaan membabitkan mangsa yang masih hilang,” katanya dalam sidang media di Hulu Selangor, hari ini, lapor Astro Awani.

    Mengulas perkembangan bilangan mangsa, beliau berkata, jumlah itu masih kekal seperti yang dilaporkan setakat semalam.

    Dalam masa sama, Suffian turut mengingatkan semua pihak agar menjaga sensitiviti mangsa terlibat dengan tidak menularkan gambar atau video yang bokeh mengaibkan pihak berkenaan.

    Operasi SAR hari ini kembali diteruskan seawal pukul 8 pagi dalam usaha mencari sembilan lagi mangsa yang masih dilaporkan hilang.

  • Tiada takrifan jelas ‘dikira letak jawatan dalam parti politik’ jadi lompang besar

    Tiada takrifan jelas ‘dikira letak jawatan dalam parti politik’ jadi lompang besar

    UNDANG-UNDANG Anti-Lompat mempunyai kelompangan ketara memandangkan peruntukan itu tidak mentakrifkan maksud ‘dikira meletak jawatan dalam parti politik’, kata pakar Perlembagaan.

    Shad Saleem Al Faruqi berkata, pindaan Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan undang-undang itu dikuatkuasakan, diwujudkan dengan hasrat mendisiplinkan parti dan mengekang kebebasan Ahli Parlimen untuk melompat.

    “Bagaimanapun, kelemahan paling besar ia tidak mentakrifkan apa yang dikatakan ‘dikira meletak jawatan dalam parti politik’. Justeru, peraturan dalaman parti akan diguna pakai bagi menentukan apa yang menjurus kepada peletakan jawatan sebagai ahli,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT).

    Beliau mengulas kenyataan peguam, Andrew Khoo yang berkata, klausa peletakan jawatan automatik terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) membabitkan Ahli Parlimen dalam parti membentuk kerajaan perpaduan mungkin tidak berperlembagaan.

    Khoo yang juga pengerusi bersama jawatankuasa Perlembagaan Majlis Peguam berkata, klausa itu secara efektif menghalang ahli Parlimen mereka bebas mengundi, selain beliau sangsi sama ada klausa automatik meletak jawatan itu boleh dipertahankan di mahkamah atau dikuatkuasakan.

    Katanya, klausa itu menekan hak ahli Parlimen mengundi berdasarkan nurani mereka.

    Mengulas mengenai MoU itu, Shad Saleem berkata, tidak wajar bagi Kerajaan Perpaduan untuk mengisytiharkan kerusi Parlimen kosong dan PRK akan dilaksanakan sekiranya ahli Parlimen enggan mematuhi hala tuju parti.

    Katanya, parti politik tidak mempunyai kuasa melakukan pengisytiharan seumpama itu mengambil kira Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa terbabit kepada Speaker Dewan Rakyat.

    Beliau berkata, parti atau gabungan boleh merangka peraturan dalaman membabitkan ahli dikira meletak jawatan dari parti.

    Katanya, peraturan itu terbuka untuk diteliti badan kehakiman, namun berkemungkinan dipertahankan berdasarkan peruntukan jelas dalam Perkara 49A(1)(a)(ii) yang menyatakan bahawa pengosongan kerusi sememangnya termaktub sekiranya Ahli Parlimen tidak lagi menjadi ahli parti politik.

    Pada September, komponen Pakatan Harapan (PH) melibatkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP meminda perlembagaan parti masing-masing yang menyatakan wakil rakyat yang tidak mematuhi arahan parti dalam isu dasar secara automatik hilang keahlian.

    Ketika itu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, berkata pindaan itu dilakukan demi menyelamatkan parti daripada ‘lompang’ Undang-Undang Anti-Lompat yang mana wakil rakyat dipecat parti tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

    Shad Saleem berkata, menjadi tanggungjawab parti memaklumkan perkara berkaitan pemberhentian keahlian kepada Speaker.

    “Kemudian Speaker akan menentukan sama ada ia memenuhi Perkara 49A(1) bagi membolehkan PRK diadakan. Kesimpulannya, MoU dideraf secara tidak jelas, namun boleh diperbetulkan untuk dikira sebagai berpelembagaan mengikut Perkara 49A(1)(a) (ii),” katanya.

    Bekas presiden Majlis Peguam, Salim Bashir berkata, MoU ditandatangani parti membentuk kerajaan perpaduan tidak diikat dengan undang-undang memandangkan ia hanya berbentuk ‘persefahaman menunjukkan komitmen parti’ kepada kerajaan perpaduan.

    “Ia tidak memerlukan terma yang boleh dikuatkuasakan melalui undang-undang,” katanya.

    Pada Jumaat, parti membentuk Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani MoU, menjelang undi percaya, hari ini.

    Selain Anwar yang juga pengerusi PH, pemimpin lain yang berbuat demikian membabitkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Abang Johari Openg, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

  • Timbalan Menteri Hanifah tak sempat undi Speaker, alami migrain teruk

    Timbalan Menteri Hanifah tak sempat undi Speaker, alami migrain teruk

    AHLI Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib tidak sempat mengundi ketika proses pemilihan Speaker Dewan Rakyat di Parlimen susulan mengalami migrain teruk, pada awal pagi tadi.

    Pagi tadi, Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Speaker baharu selepas mendapat 147 undi menerusi undian bersurat, berbanding calon dinamakan pembangkang, Radzi Sheikh Ahmad yang memperoleh 74 undi, menjadikan keseluruhan Ahli Parlimen mengundi sebanyak 221.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Timbalan Menteri Ekonomi itu terpaksa mengambil ubat bagi meredakan kesakitan dialami.

    “Dalam perjalanan ke Parlimen, beliau terperangkap dalam kesesakan trafik dan sampai di Parlimen, namun tidak sempat untuk mengundi (calon) Speaker,” katanya memetik laporan FMT.

    Hanifah merupakan Timbalan Menteri Ekonomi dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), selain anak perempuan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud.

  • Anwar ketuai 222 Ahli Parlimen angkat sumpah

    Anwar ketuai 222 Ahli Parlimen angkat sumpah

    SERAMAI 222 Ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai majlis berkenaan diikuti dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Kemudian Ahli Parlimen Seremban yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke diikuti Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) mengangkat sumpah.

    Penggiliran majlis angkat sumpah itu dimulakan oleh Ahli-Ahli Parlimen kerajaan, didahului barisan menteri dan timbalan menteri diikuti Ahli Parlimen dari blok pembangkang, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat setelah Anwar mengemukakan cadangan mewakili kerajaan manakala Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

    Johari meraih 147 undian manakala Mohd Radzi dengan 74 undi.

  • Rayuan Rosmah didengar Jun 2023

    Rayuan Rosmah didengar Jun 2023

    MAHKAMAH Rayuan akan mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor pada 22 dan 23 Jun tahun depan, terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta, bagi kesalahan rasuah dikenakan terhadapnya.

    Tarikh perbicaraan itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norkamilah Aziz, hari ini ketika pengurusan kes membabitkan Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn berkata, rayuan Rosmah terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes dan membuat keputusan mengenai kes solar akan turut didengar pada tarikh sama.

    Hujahan perlu difailkan pada atau sebelum 22 Mei 2023, manakala hujahan balas jika ada, perlu difailkan pada atau sebelum 7 Jun 2023.

    “Perayu (Rosmah) akan menulis surat rasmi memohon Mahkamah Rayuan untuk menetapkan tarikh bicara rayuan lanjut, pada 12 hingga 14 Julai 2023.

    “Permohonan tertakluk kepada persetujuan Mahkamah Rayuan. Tarikh pengurusan kes selanjutnya pada pukul 3 petang, 3 Februari 2023 menerusi aplikasi Zoom untuk pihak-pihak mendapatkan keputusan permohonan perayu,” katanya ketika dihubungi lapor BH Online.

    Rosmah, 70, diwakili peguam, Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader.

    Isteri Najib itu yang memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lalu, mengemuka 127 alasan, antaranya mendakwa keseluruhan keputusan Mohamed Zaini itu berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan betul.

    Pada 1 September lalu, hakim terbabit mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

    Rosmah juga diperintahkan supaya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

    Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Bomba temui 4 petunjuk baharu, pertama kali guna GPR

    Tanah runtuh Batang Kali: Bomba temui 4 petunjuk baharu, pertama kali guna GPR

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Selangor hari ini menemui empat petunjuk baharu yang berkemungkinan ada mayat tertimbus di lokasi tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di laluan Batang Kali-Genting Highlands.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, penggunaan radar penembusan tanah (GPR) itu, sangat membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam mengecilkan skop lokasi pencarian di semua sektor.

    Beliau berkata, ini adalah kali pertama alat mudah alih terbabit digunakan dalam operasi SAR bencana sedemikian di Malaysia, dan boleh menembusi tanah hingga sedalam lima meter (m) untuk tujuan pengesanan.

    Mohd. Khairi memaklumkan, alat berkenaan ditaja oleh syarikat Geoventure Solution melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada NADMA.

    “GPR berjaya mengesan objek disyaki tubuh manusia di bawah tanah, dan setakat ini membantu kenal pasti 14 titik.

    “Bagaimanapun, apabila penggalian dibuat pasukan tidak menemui sebarang badan mangsa. GPR tersebut mungkin telah kesan objek-objek lain di point tersebut. Namun, penggunaan GPR sangat membantu operasi SAR, dengan mengecilkan kawasan pencarian dalam sektor ditetapkan,” katanya, lapor Utusan TV.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitenden Suffian Abdullah berkata, tujuh kenderaan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Selangor, pada Jumaat lepas telah direkod nombor plat pendaftaran bagi mengenal pasti pemiliknya.

    Beliau berkata, polis akan meneliti kesemua nombor plat berkenaan untuk melihat jika berkait dengan sembilan mangsa yang masih hilang.

    “Saya akan semak dengan pemilik dan saudara mereka yang mempunyai kaitan dengan kereta-kereta yang terlibat,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

    Beliau berkata usaha mengesan mangsa yang dikhuatiri tertimbus pada hari ini menemui jalan buntu dan usaha mengesan mereka akan berterusan.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Cuaca mendung, operasi SAR sembilan lagi mangsa diteruskan

    Tanah runtuh Batang Kali: Cuaca mendung, operasi SAR sembilan lagi mangsa diteruskan

    MEMASUKI hari keempat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa yang hilang dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Hulu Selangor diteruskan hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Selangor Datuk Norazam Khamis ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan memberi fokus di Sektor A (Hillview) dan Sektor C (Riverside) serta kawasan sekitar yang belum digali.

    Enam anjing unit pengesan (K9) turut mula dibawa masuk ke kawasan pencarian pada 8.30 pagi tadi, dalam keadaan cuaca mendung pada pagi ini.

    Semalam operasi berkenaan ditangguhkan pada kira-kira 9.30 malam berikutan keadaan cuaca buruk.

    Setakat ini, 24 mangsa disahkan meninggal dunia dan 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa.–Bernama