Author: Wartawan WartaRakyat

  • Hamzah: Polis lepas rakam ceramah, beritahu keluarga sokong PN

    Hamzah: Polis lepas rakam ceramah, beritahu keluarga sokong PN

    BEKAS Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggesa anggota polis yang bertugas mengawasi kempen pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri supaya mempromosikan gabungan itu dalam kalangan ahli keluarga mereka.

    Setiausaha Agung PN itu berkata, anggota terbabit juga boleh mengambil kesempatan mendengar tawaran yang diberikan gabungan parti pembangkang itu.

    “Saya nak bagi tahu polis yang dengar ini (ceramah), kerja dia bukan sahaja ‘tangkap’ apa yang kita ucap, dia juga kena ingat dalam hati, kena jaga masa depan anak bangsa.

    “Jadi, bila dengar ucapan jangan rakam sahaja, dengar sekali. Macam kita…kita ucap, dengar balik dan buat kerja.

    “Begitu juga mereka…berita kepada anak-anak, keluarga dan sahabat handai, kerajaan yang lebih baik adalah kerajaan PN,” katanya.

    Hamzah berkata demikian ketika berucap pada Program Himpunan Jentera N.03 Sungai Panjang di Markaz Tarbiah PAS Smpang Lima, Sungai Besar, malam tadi.

    Mengakhiri ucapannya, beliau itu meminta penyokong yang hadir supaya berdiri sebelum meminta anggota polis yang berada pada majlis terbabit mengambil gambar mereka dan menunjukkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Polis, ambil gambar mereka. Tunjukkan kepada PM, mereka (rakyat) sudah bangkit,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Pada 24 Julai lalu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang yang mendakwa beliau menerima maklumat berkenaan PRN akan datang daripada ‘sahabat-sahabatnya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)’ yang PN sebenarnya mendahului di Selangor.

    Ini berbeza dengan dakwaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa Pakatan Harapan (PH) menikmati tahap sokongan yang lebih tinggi.

    Seramai 40,000 anggota dan pegawai polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata, jumlah berkenaan membabitkan anggota dan pegawai di negeri terbabit serta bantuan dari negeri lain.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

  • Gelombang ‘panas’ PN diterjemah pada PRN 2023

    Gelombang ‘panas’ PN diterjemah pada PRN 2023

    GELOMBANG sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) kekal panas dan bakal diterjemahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

    Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim yang bertanding atas tiket PN  berkata, rata-rata rakyat menerima pemerintahan PN di Kedah di bawah naungan Menteri Besarnya, Datuk Seri Sanusi Mohamad Md. Nor.

    “Sepanjang tempoh berkempen (untuk PRN 2023) ini, kita lihat rakyat menerima kita dan sambutan mereka sangat baik.

    “‘Fenomena angkat tangan’ Sanusi ini di mana-mana pun mereka tahu, kita angkat tangan mereka pun angkat tangan sekali dan alhamdulillah rakyat dapat menerima.

    “Gelombang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) masih ada, kebanyakan masyarakat yang kita jumpa mereka akan kata okay cikgu (Azhar) teruskan apa yang ada, kami sokong,” kata beliau.

    Sementara itu, seorang pengunjung, Suzana Mat Saad, 38, pengundi di DUN tersebut berkata, dia akan turun mengundi PN pada PRN nanti.

    “Insya-Allah saya akan mengundi PN kerana kita yakin dengan pemerintahan kerajaan negeri Kedah sekarang.

    “Cikgu Azhar pun tidak berkira, nak minta tolong pun senang, mudah bagi kami sebagai orang kampung ni,” ujarnya.

    Seorang lagi pengunjung, Ismail Din, 60, ketika ditemui HarakahDaily pula berkatail, dia tetap setia dengan  ‘bulan’ (Pas).

    “Saya tetap dengan ‘bulan’ (Pas), kerana parti lain tidak boleh melakukan seperti yang Pas buat.

    “Sebelum ini saya menetap di Pulau Pinang tetapi tetap akan pulang mengundi di sini, kiranya pilihan raya kali ini sudah hampir 10 kali saya mengundi di sini.

    “Sekarang pakcik sudah menetap di sini, kita akan pertahankan kepimpinan yang ada, jangan jadi orang munafiq yang sentiasa berbohong,” katanya lapor Harakahdaily.

  • Bersih lancar kempen #UndiLokal

    Bersih lancar kempen #UndiLokal

    GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) melancarkan kempen #UndiLokal bagi mengembalikan tumpuan pengundi di enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini kepada isu negeri dan tempatan.

    Pengerusinya, Thomas Fann berkata, perkara ini penting kerana sekiranya kerajaan negeri tidak dipilih dengan baik akan menjejaskan kebajikan dan masa hadapan rakyat.

    “Sebuah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk melantik ahli majlis, yang mana keputusan akan memberi kesan secara langsung kepada perkhidmatan, pembangunan dan perniagaan tempatan.

    “Secara rumusannya, PRN ini adalah penting kerana ia secara langsung memberi kesan kepada kualiti hidup kita,” katanya ketika sidang akhbar pelancaran kempen #UndiLokal di pejabat Bersih dekat Petaling Jaya hari ini.

    Katanya, pada pemantauan Bersih ketika ini, kempen parti politik yang bertanding dilihat lebih memfokuskan kepada isu yang lebih nasional serta memainkan isu referendum terhadap Kerajaan Perpaduan mengenai isu-isu seperti 3R (Kaum, Agama, Raja).

    Justeru ujar beliau, pihaknya mahu isu-isu yang lebih bersifat tempatan diutamakan selain memfokuskan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan.

    Selain itu, katanya, #UndiLokal juga meminta pengundi untuk turun beramai-ramai bagi menjalankan tanggungjawab demokrasi pada 12 Ogos nanti.

    Jelasnya, matlamat kempen itu juga adalah mahu meningkatkan peratusan keluar mengundi pada PRN.

    “Data sejarah PRN yang tidak diadakan sempena Pilihan Raya Umum (PRU) menunjukkan peratusan keluar mengundi adalah 10-15 peratus lebih rendah daripada PRU,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau memberitahu, kadar keluar mengundi untuk PRU15 ialah 74 peratus sekali gus bermakna peratusan keluar mengundi untuk enam PRN mungkin sekitar 59-64 peratus, jika pihaknya tidak menyeru untuk peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi.

    Tambahnya lagi, untuk itu pihaknya berharap peratusan keluar mengundi pada enam PRN kali ini boleh mencecah lebih 70 peratus keluar mengundi.

    “Jadi jika anda mahu pengurusan perkhidmatan, pembangunan dan perniagaan tempatan yang lebih baik, keluarlah mengundi dan undilah kerajaan negeri yang lebih baik,” katanya.

    Kempen #UndiLokal itu mendapat kerjasama Astro Awani serta beberapa NGO yang lain, ia menggesa orang ramai untuk menggunakan tanda pagar #UndiLokal untuk menyuarakan isu tempatan di kawasan mereka serta tag kepada calon-calon yang bertanding untuk perhatian mereka.

  • PRN: Kemenangan PN baik untuk pemulihan ekonomi negara

    PRN: Kemenangan PN baik untuk pemulihan ekonomi negara

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri di enam negeri pada 12 Ogos ini akan memberi kesan baik kepada ekonomi negara

    Peguam Datuk Zaid Ibrahim berkata, PN boleh menggunakan kepakaran Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengembalikan ekonomi negara ke landasan yang betul.

    Tegasnya, ketika pemimpin lain masih bergelumang dengan teori-teori pemulihan, Mahathir ‘telah ada rekod baik’ dan negara perlu memanfaatkan kepakaran itu ketika masih berpeluang.

    “Komuniti perniagaan Cina dan India perlu belajar dari sejarah; mereka sentiasa maju apabila mereka ada hubungan baik dengan jiran Islam mereka.

    “Hari ini negara China mempunyai 120 juta penduduk Islam, tetapi negara sekitarnya di bahagian Asia Tengah juga dihuni majoriti penduduk beragama Islam.

    “Inisiatif The Chinese Road Belt tidak akan berjaya tanpa sokongan negara-negara Islam di Asia Tengah dan Afrika,” katanya dalam hantaran di Twitternya hari ini.

    Zaid seterusnya berkata, malah di era Nabi Muhammad hubungan perdagangan antara peniaga dari China dan Islam juga telah subur mekar.

    “Gelaran-gelaran pelik telah dicipta untuk menakutkan komuniti China dan India terhadap ‘gelombang hijau’. Bagaimanapun saya percaya komuniti perniagaan lebih bijak daripada ahli-ahli propaganda,” katanya.

  • Semua calon layak jadi MB baru Kelantan, kata Ahmad

    Semua calon layak jadi MB baru Kelantan, kata Ahmad

    SELEPAS Datuk Ahmad Yakob memaklumkan penyertaannya dalam pilihan raya 12 Ogos ini sebagai yang terakhir, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Pas tidak ada masalah untuk mencari penggantinya.

    Jelas beliau ini kerana, semua calon Pas kali ini layak untuk menjadi Menteri Besar.

    Bercakap kepada media di Kota Bharu hari ini, Ahmad juga berkata keputusan mengenai penggantinya hanya akan diumumkan selepas pilihan raya negeri (PRN) berakhir kira-kira dua minggu lagi dan Pas-PN berjaya membentuk kerajaan semula.

    “Tidak perlu bayangan, semua (calon yang bertanding pada PRN) dah layak menjadi Menteri Besar.

    “Exco layak.. Menteri Besar layak.. tidak ada (calon) yang tidak layak,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia selepas selepas merasmikan pelancaran e-wallet Kelantan Pay hari ini.

    Pada 29 Julai lalu Ahmad yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan menyatakan hasratnya untuk bersara selepas dilantik ke jawatan Menteri Besar pada Mei 2013.

    Ahmad merupakan ADUN Pasir Pekan sejak kawasan tersebut diwujudkan pada PRU kesembilan (1995).

    Beliau mengekalkan kemenangan bagi pihak Pas sejak itu.

    Kini berusia 73 tahun Ahmad menjadi Menteri Besar Kelantan ke-18 bagi menggantikan Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melepaskan jawatan tersebut selepas sebagai ketua kerajaan negeri sejak Oktober 1990.

    ADUN Panchor, Datuk Mohd. Amar Abdullah pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar.

    Menurut Ahmad, jika mengekalkan kemenangan untuk penggal ketujuh pada 12 Ogos nanti, beliau berasa sudah tiba masa untuk memberi laluan kepada ADUN lain yang lebih muda.

    Menjelang pengundian kali ini, Ahmad berkata, biarlah isu penggantinya dibiarkan dulu bagi membolehkan semua pihak dalam Pas memberi tumpun kepada berkempen dan mengekalkan kemenangan.

    “Selepas PRN kita (Pas) akan susun (secara) terbaik, sekarang ini Pas terbuka kepada rakyat dahulu untuk memilih mana-mana calon

    “Bila dah dapat keputusan dalam beberapa hari kita akan umum,” katanya.

  • GPS kekal pendirian tak hantar jentera PRN bantu PH-UMNO: Abang Jo

    GPS kekal pendirian tak hantar jentera PRN bantu PH-UMNO: Abang Jo

    TIADA jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan dihantar untuk membantu kempen Pakatan Harapan (PH)-UMNO di enam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Tan Sri Abang Johari Openg.

    Premier Sarawak itu menjelaskan pendirian GPS masih kekal untuk tidak menghantar jentera ke enam negeri dan kehadiran semasa hari penamaan calon hanya atas dasar memberi sokongan kepada kerajaan campuran.

    “Kita tidak ada menghantar jentera (pilihan raya) kita. Saya ada di sana atas tanda kita sokong kerajaan perpaduan.

    “Bahkan, apa yang penting adalah kestabilan politik dan melaksanakan dasar-dasar yang akan menentukan hala tuju Malaysia,” katanya lapor AgendDaily.

    Beliau ditanya jika jentera pilihan raya GPS akan dikerahkan untuk membantu kempen PH dan BN bagi PRN enam negeri.

    Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor muncul bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Selayang dan Ampang, Selangor pada hari penamaan calon Sabtu lalu.

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menggesa pemimpin GPS membantu gabungan itu dalam kempen PRN enam negeri.

    Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, gabungan pemerintah Sarawak itu akan kekal berkecuali dan tidak terbabit dalam kempen PRN negeri lain.

    GPS kemudian setuju menyokong, tetapi hanya membabitkan Menteri dan Timbalan Menteri mereka sahaja.

  • MB Terengganu luang masa jumpa bidan ketika lahir

    MB Terengganu luang masa jumpa bidan ketika lahir

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meluangkan masa menziarahi bidan yang menyambut kelahirannya ketika berada di Jertih, semalam.

    Menurutnya, sosok wanita pertama yang menyambut kelahirannya, Mek Wook Hussain, 90-an atau dikenali sebagai Bidan Hajjah Mak Cik Wook di Kampung Pulau Panjang di Besut.

    Menurut Ahmad Samsuri, Mek Wook begitu dekat dan istimewa dihatinya malah beliau tidak pernah melupakan dan berharap agar wanita itu dikurniakan kesihatan yang baik.

    “Kebetulan saya berada di Jertih, saya tidak melepaskan peluang untuk menziarahi insan pertama yang menyambut kelahiran saya di dunia ini sejak 53 tahun yang lalu.

    “Walaupun sudah memasuki usia 90-an, Mak Cik Wook masih sihat dan mengenali saya dan mengingati Ummi. Setiap kali bertemu, pasti momen kelahiran saya diceritakan semula.

    “Semoga sosok tubuh ini sentiasa dikurniakan kesihatan oleh Allah SWT,” tulisnya melalui perkongsian di laman Facebooknya malam tadi.

    Pertemuan itu turut disertai isterinya, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd. Rahman.

    Ahmad Samsuri bersama Tuan Faezah menyertai ziarah Parlimen Besut semalam serta turut meluangkan masa ke DUN Hulu Besut bersama calon Pas, Mohd. Husaimi Husin atau lebih mesra dengan panggilan Abe Mie.

    Kesempatan yang ada itu juga dimanfaatkan dengan bertemu penduduk di Kampung Baruh Kual serta penduduk Kampung Warung Kayu Kelat, lapor Sinar Harian.

    Pada PRN 12 Ogos ini, Ahmad Samsuri akan mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) menentang calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah, Suhaimi Sulaiman.

    Sebelum ini, pada PRU14 lalu, Ahmad Samsuri menang dengan majoriti 6,028 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku yang mendapat 7,823 undi.

  • Permohonan perintah injuksi Anwar dibuat secara sebelah pihak dan sembunyi-sembunyi

    Permohonan perintah injuksi Anwar dibuat secara sebelah pihak dan sembunyi-sembunyi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pasukan peguamnya memaklumkan bahawa perintah injunksi interim diperolehi Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghalangnya daripada terus mengeluarkan kenyataan mengaitkan Perdana Menteri dengan perbuatan tidak bermoral, diperolehi secara ‘Ex-Parte’.

    Muhammad Sanusi mendakwa, permohonan tersebut dibuat oleh Perdana Menteri secara sebelah pihak dan sembunyi-sembunyi, tanpa menyerahkannya kepada pihak defendan dengan mereka berhujah sebelah pihak, tanpa defendan dipanggil berhujah dan dibenarkan mahkamah.

    “Itu maksud ‘ex-parte’ yang diperuntukkan di bawah Aturan 29 Kaedah 1(2A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk keadaan-keadaan tertentu saja.

    “Permohonan dibuat pada 26 Julai 2023, perintah diberikan empat hari selepas itu iaitu pada 30 Julai 2023.

    “Tak ada hujan, tak ada ribut. Tiba-tiba pokok bergoyang dan dedaun pun luruh,” dakwanya dalam laman Facebooknya, hari ini.

    Semalam media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperoleh perintah injunksi interim (sementara) terhadap Muhammad Sanusi bagi menghalang Menteri Besar Kedah itu daripada terus mengeluarkan kenyataan mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral.

    Perintah injunksi itu adalah berkaitan saman fitnah difailkan Anwar terhadap Sanusi pada 13 Disember tahun lalu berhubung dakwaan ucapan yang mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

    Dalam keputusan yang dibuat melalui permohonan secara ex-parte semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mahazan Mat Taib, memerintahkan Sanusi untuk tidak mengeluarkan, mengulangi, dan menerbitkan kenyataan berkaitan dengan saman fitnah yang difailkan Anwar.

    Hakim juga memerintahkan Sanusi perlu mematuhi perintah injunksi itu dengan serta merta selepas perintah berkenaan disampaikan kepadanya.

  • ‘Dia juga pembangkang dulu, jangan anggap pembangkang musuh’, kata Muhyiddin kepada Anwar

    ‘Dia juga pembangkang dulu, jangan anggap pembangkang musuh’, kata Muhyiddin kepada Anwar

    “JANGAN anggap pembangkang sebagai musuh. Dia juga pembangkang dulu. Ada orang dera dia?.”

    Persoalan itu dibangkitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ‘layanan’ kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini yang dilihat mahu ‘berperang’ dengan pembangkang.

    Menurut Muhyiddin, Anwar sepatutnya menghargai peranan pembangkang yang mempunyai sumbangan besar sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.

    Namun begitu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa apa yang dilakukan kerajaan ketika ini seolah-olah mahu ‘membunuh’ pembangkang dan pemimpin PN.

    “Saya tak tahu mungkin dah lama jadi pembangkang jadi dia tak tahu bertindak waras sebagai sebuah kerajaan.

    “Saya tak nak mengata buruk tetapi rakyat boleh menilai.

    “Kenapa kami jadi sasaran sedangkan kami ambil sikap untuk jadi pembangkang. Kalau ikut sejarah kami dipelawa untuk jadi sebahagian Kerajaan Perpaduan tetapi saya fikir kita buat keputusan yang tepat (jadi pembangkang),” katanya kepada UtusanTV baru-baru ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendakwa kerajaan ketika ini seolah-olah mempunyai niat jahat terhadap gabungan pembangkang.

    Katanya, apa yang sewajarnya dilakukan kerajaan ketika ini adalah mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi rakyat, bukannya ‘memburu’ satu per satu pemimpin pembangkang.

    “Waktu zaman saya pun ya, kami menentang rasuah tetapi saya tak sibuk menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka buat kerja sendiri.

    “Tetapi dalam banyak kes sekarang ini, dia (Anwar) campur urusan pihak berkuasa tertentu. Gunakan polis, SPRM. Rakyat tahu…nyata.

    “Ini satu perbuatan dan tindakan melampaui batas kuasa. Kalau nak katakan salah guna kuasa, kami tak salah guna kuasa kerana kami tak ada kuasa.

    “Siapa salah guna kuasa? Ini yang bagi saya kita cuma nak berdoa dia insaf dan sedar, tak boleh meneruskan amalan-amalan yang sebegini rupa dan timbulkan masalah kepada negara,” katanya.

  • Semak fakta: Kenyataan media larangan Hadi ke Saudi palsu

    Semak fakta: Kenyataan media larangan Hadi ke Saudi palsu

    SATU kenyataan media yang dikongsi secara meluas mendakwa kononnnya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilarang memasuki Arab Saudi didapati palsu.

    Menurut Facebook rasmi Pas, ‘dokumen’ itu bukanlah tulen, antara lain kerana tarikh yang dipaparkan dibuat menggunakan kalendar tahun Masihi dan bukannya Hijrah seperti yang lazim dipakai Riyadh.

    “Selain itu Tan Sri Abdul Hadi bukan lagi Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Kuis) seperti dinyatakan dalam paparan tersebut yang bertarikh 23 Julai,” menurut kenyataan itu.

    Semakan Malaysiakini terhadap kenyataan media oleh Kementerian Luar Arab Saudi yang berbahasa Inggeris sebelum ini juga mendapati bahawa ‘font’ yang digunakan dalam kenyataan memetik nama Abdul Hadi itu adalah berbeza.

    Arab Saudi juga biasanya menggunakan kedua-dua kalendar Masihi dan Hijrah dalam kenyataan bahasa Inggeris mereka.

    Malaysiakini telah menghubungi Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur untuk mendapatkan penjelasan.

    Isu mengenai sama ada Abdul Hadi diharamkan memasuki Arab Saudi pertama kali dibangkitkan pada 2017.

    Bagaimanapun selama bertahun-tahun Ahli Parlimen Marang itu menyangkalnya.

    Itu turut dinyatakan di Dewan Rakyat pada 2019.

    Kuis diletakkan dalam senarai pengganas pada 2017 oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Bahrain yang merupakan kumpulan negara yang dikenali secara meluas sebagai ‘negara-negara Teluk Arab.’

    Kuis berpangkalan di Qatar dan disertai kira-kira 90,000 ulama Islam dari seluruh dunia.

    Bagaimanapun senarai hitam itu tidak merujuk kepada ulama secara individu termasuk Abdul Hadi.

    Sebab-sebab Kuis disenarai hitam juga sukar difahami, dan berkait rapat dengan geopolitik negara-negara Arab terbabit.

    Pada Jun 2017, negara-negara itu memutuskan hubungan dengan Qatar atas alasan Doha memberikan Qatar terhadap keganasan – suatu tuduhan yang dinafikan oleh kerajaan negara berkenaan.

    Hubungan Doha – Riyadh memang renang sejak bertahun-tahun sebelum itu. Antara lain ekoran sokongan diberikan Qatar kepada kumpulan seperti Hamas dan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

    Kuis sendiri sebahagian besarnya terdiri daripada ulama yang mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin.

    Negara-negara Teluk Arab itu juga mengambil kira pelbagai keputusan dari Doha, termasuk keberadaan rangkaian berita Al Jazeera yang dibiayai Qatar.

    Krisis diplomatik itu menyebabkan masalah ekonomi dan sosial dengan sekatan sempadan darat dan ruang udara yang menjejaskan perjalanan dan perdagangan.

    Krisis yang memberi kesan di banyak negara lain itu akhirnya tamat pada Jan 2021 melalui perjanjian yang diusahakan oleh Kuwait serta Amerika Syarikat.

    Semasa senarai hitam tersebut dikeluarkan Kuis diketuai ulama terkemuka Mesir yang menetap di Doha, Yusuf al-Qaradhawi, iaitu tokoh yang dianggap oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai gurunya.

    Al-Qaradhawi (meninggal dunia pada 2022) dituduh oleh Barat sebagai mempromosikan keganasan walaupun beliau turut bersuara menolak kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

    Pada masa sama, Abdul Hadi menyalahkan kumpulan Mason-Zionis Antarabangsa yang mungkin merujuk kepada pakatan didakwa wujud antara Yahudi Zionis dengan Freemason sebagai dalang di sebalik penyenaraian Kuis sebagai pertubuhan pengganas.

    Malaysiakini adalah sebahagian daripada pakatan pemeriksa fakta Malaysia JomCheck.

    Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak kesahihan sesuatu fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian 017-477 6659 (WhatsApp sahaja) atau melalui pautan ini.