Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tanah runtuh Batang Kali: Polis selesai rakam keterangan 53 individu

    Tanah runtuh Batang Kali: Polis selesai rakam keterangan 53 individu

    PIHAK polis selesai merakam keterangan 53 individu berhubung tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, antara yang memberi keterangan adalah pengusaha tapak perkhemahan termasuk mangsa terselamat serta ahli keluarga mereka.

    “Kita jangka ada beberapa lagi individu yang akan dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung insiden itu bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 304A/290 Kanun Keseksaan dan Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Balai Polis Semenyih, hari ini.

    Arjunaidi berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khusus di Hospital Sungai Buloh bagi membantu berhubung dengan pihak keluarga dan mangsa.

    “Pasukan itu dianggotai seorang pegawai berpangkat Asisten Komisioner dengan dibantu lapan anggota yang bertugas pada setiap syif.

    “Dari segi bantuan psikologi (mangsa terselamat dan ahli keluarga) tiada permintaan diterima daripada pihak kami, namun kita menyedari perkara ini dan akan bantu mereka,” katanya.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh sudah memasuki hari kelima hari ini dengan 24 mangsa disahkan terkorban, manakala sembilan lagi dilaporkan masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terbabit.

  • SKMM larang video mangsa renjatan elektrik ditularkan

    SKMM larang video mangsa renjatan elektrik ditularkan

    ORANG ramai khususnya warganet dinasihatkan agar berhenti menularkan video tiga beradik yang maut akibat terkena renjatan elektrik.

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini berkata, hal itu perlu dilakukan bagi bagi menghormati mangsa dan privasi keluarga mangsa yang terkesan akibat kejadian tersebut.

    Selain itu, MCMC memaklumkan pihak berkuasa juga perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden berkenaan.

    “Dalam masa yang sama, pihak Suruhanjaya juga telah mengambil langkah proaktif mengangkat perkara ini untuk perhatian dan tindakan selanjutnya daripada penyedia platform seperti Meta, Twitter dan TikTok dalam usaha mengekang penularan video yang berkaitan,” katanya.

    Mengulas lanjut, MCMC berkata, orang awam digalakkan untuk sentiasa mengawal selia kendiri dan peka tentang kandungan yang mereka terima atau di kongsi secara dalam talian, sama ada melalui aplikasi Whatsapp ataupun rakaman video di media sosial.

    Jelas MCMC, pengguna media sosial juga digalakkan untuk membuat laporan secara terus terhadap kandungan yang sensitif dan tidak sesuai untuk tatapan umum kepada penyedia platform.

    “Langkah ini penting bagi menghentikan penularan video seperti tersebut,” kata MCMC, lapor Utusan TV.

    Terdahulu, tiga beradik perempuan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah jiran mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau dekat Morak, di Tumpat, semalam.

    Kesemua mangsa berusia di antara 20 hingga 33 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian itu, kira-kira 11.45 pagi.

    Difahamkan, seorang daripada mangsa terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah jiran, sebelum terkena pula kepada dua adiknya turut berada di hadapan rumah.

  • ‘Pengadu tunjuk mesej, gambar lucah Ebit’ – Firdaus Wong

    ‘Pengadu tunjuk mesej, gambar lucah Ebit’ – Firdaus Wong

    SAKSI ketiga yang juga pendakwah bebas, Firdaus Wong memberitahu Mahkamah Majistret Tenom hari ini bahawa beliau melihat secara langsung mesej dari telefon bimbit pengadu dalam kes membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew.

    Firdaus Wong atau nama sebenarnya, Firdaus Wong Hai Hung, 39, mendakwa mesej dan gambar lucah dalam perbualan antara Ebit dengan pengadu daripada aplikasi WhatsApp pengadu.

    “Saya bertemu dengan pengadu dan suaminya pada 7 Ogos 2021 selepas waktu Isyak. Mereka meluahkan perasaan sedih dan marah terhadap apa yang berlaku. Saya ditunjukkan oleh pengadu menerusi telefon bimbitnya perbualan WhatsApp antara beliau dengan Ebit Lew.

    “Perbualan itu saya nampak bukan dari tangkap layar tetapi secara langsung dari aplikasi WhatsApp itu sendiri,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria.

    Ketika ditanya apa mesej dan gambar yang beliau lihat dalam aplikasi WhatsApp pengadu, Firdaus memaklumkan bahawa ada rakaman suara dan beberapa mesej yang dilihatnya.

    Antara mesej dan gambar lucah yang saya lihat di telefon bimbit pengadu adalah seperti berikut, voice note dari Ebit Lew ‘tunjuk kaki sikit, tunjuk kaki sikit’, ‘minta husband you ceraikan you, I bayar dia’.

    “Saya juga melihat gambar kemaluan lelaki di dalam perbualan antara pengadu dan Ebit Lew. Itu antara yang saya boleh ingat setakat ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Perbicaraan berehat pada tengah hari dan akan disambung semula pada pukul 2.30 petang.

    Ebit, 37, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim diwakili barisan peguamnya, Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

    Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

    Ebit sebelum itu berhadapan dengan berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

  • ‘’Propaganda, tindakan terdesak’’ – Ahli Parlimen PN bidas Fahmi

    ‘’Propaganda, tindakan terdesak’’ – Ahli Parlimen PN bidas Fahmi

    AHLI Parlimen Padang Serai dari Bersatu Datuk Azman Nasrudin membidas Fahmi Fadzil dan menolak kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu yang menyamakan perjanjian persefahaman (MoU) parti-parti kerajaan dengan yang dibuat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH).

    Beliau menyifatkan kenyataan Fahmi sebagai propaganda “tidak berasas” dan tindakan terdesak Menteri Komunikasi dan Digital itu.

    Azman turut menyifatkan kenyataan tersebut satu tindakan politik murahan bagi mengelirukan rakyat dan “tidak rasional”.

    “Pertamanya, dalam perjanjian Ismail Sabri-PH tidak wujud peruntukan yang memaksa ahli Parlimen untuk menyokong PM atau usul-usul lain berkaitan keabsahan kerajaan, seperti yang terdapat dalam MoU haram tersebut.

    “Jika gagal menyokong, ahli Parlimen parti kerajaan akan hilang kerusi Parlimen menurut Klausa 4 MoU tersebut.  Tidak ada apa-apa peruntukkan seperti Klausa  4 dalam perjanjian Ismail Sabri-PH, langsung tidak ada paksaan seperti itu,” katanya kenyataan hari ini, lapor MalaysiaNow.

    Dalam pada itu Azman berkata Perikatan Nasional (PN) tidak pernah mempertikaikan hak parti kerajaan untuk melakukan sebarang MoU.

    Bagaimanapun, kata beliau bantahan dan penolakan yang dibuat adalah berhubung “percubaan untuk membawa pemerintahan diktator” dengan memaksa ahli Parlimen untuk menyokong semua usul kerajaan di Dewan Rakyat.

    Fahmi Fadzil

    Pada 16 Disember, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai pemimpin PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan menandatangani MoU yang dimeterai bagi memastikan kerajaan campurannya kekal berkuasa, di mana ia turut memasukkan klausa kontroversi mengatakan mana-mana ahli Parlimen daripada parti yang tidak menyokong usul kerajaan akan dianggap hilang kelayakan dan kerusi mereka akan dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil diadakan.

    MoU yang dimeterai menjelang usul undi percaya terhadap Anwar yang dibentangkan semalam, turut menyatakan setiap parti bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen mereka yang mengundi bercanggah dengan keputusan parti.

    MoU tersebut mencetuskan pertikaian dari pelbagai pihak termasuk Majlis Peguam Malaysia yang mengatakan ia “secara jelas bercanggah” dengan akta anti lompat parti yang digubal dalam Perlembagaan negara.

    “Memandangkan MoU ketika ini terdiri daripada parti-parti politik yang tidak mempunyai sebuah gabungan berdaftar yang kukuh, maka MoU itu gagal mencapai perjanjian gabungan rasmi secara sepenuhnya bagi meneliti pelan lima tahun dasar bersama.”

    Dalam pada itu, Azman mempersoalkan retorik PH mengenai demokrasi apabila wujud unsur paksaan dan ugutan ke atas ahli-ahli Dewan Rakyat dengan menggunakan akta tersebut bagi menjustifikasi MoU tersebut.

    “Di mana demokrasi negara apabila ada paksaan dan ugutan ke atas ahli-ahli Dewan Rakyat?

    “Fasal 49A Perlembagaan yang sering dipetik oleh PH untuk memutihkan MoU haram mereka, hanya berkaitan lompat parti. Ia bukan memaksa ahli parlimen menyokong kerajaan atau mana-mana usul,” katanya, memetik Perkara 49A yang jelas menyebut seseorang ahli Parlimen akan kekal sebagai ahli Dewan Rakyat sekiranya beliau dipecat daripada partinya.

  • Warga emas didakwa lakukan amang seksual

    Warga emas didakwa lakukan amang seksual

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kelindan van sekolah didakwa Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dan mahu menghasilkan bahan pornografi terhadap seorang kanak-kanak perempuan, tiga tahun lalu.

    Goh Heng Hong, 67, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mengikut pertuduhan pertama, warga emas tersebut didakwa dalam persediaan untuk menghasilkan suatu pornografi kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia lapan tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam van sekolah di dalam daerah Johor Bahru antara Mac hingga Julai 2019.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan tidak kurang daripada lima sebatan, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan yang sama dengan menyentuh paha dan dada kanak-kanak itu di dalam van sekolah dalam daerah Johor Bahru antara Mei hingga Jun 2019.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebelum itu, Danial memohon kes berkenaan tidak ditawarkan sebarang ikat jamin memandangkan tertuduh masih bekerja sebagai kelindan van sekolah di laluan sama dengan mangsa hendak ke sekolah.

    Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM35,000 bagi setiap pertuduhan.

    Namun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan kepada RM1,000 memandangkan dia hanya bekerja sebagai kelindan van sekolah dan tinggal seorang diri kerana belum berumah tangga.

    Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai, menyerahkan pasport antarabangsa serta tidak mengganggu mangsa serta keluarganya.

    Mahkamah juga mengarahkan tertuduh mendapatkan khidmat guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan ( YBGK) kerana tertuduh tidak mampu melantik peguam.

    Kes disebut semula pada 25 Januari tahun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

  • Bomba selamatkan bayi dalam pantang ke PPS

    Bomba selamatkan bayi dalam pantang ke PPS

    SEORANG bayi berusia 40 hari bersama tujuh ahli keluarga antara mangsa banjir yang diselamatkan pihak bomba selepas kediamannya di Kampung Pulau Rusa Hilir di Kuala Terengganu, dinaiki air pada semalam.

    Pihak bomba mengambil masa kira-kira 45 minit bagi memindahkan keluarga terbabit ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Haja, seramai enam anggota bomba yang ditugaskan di situ berdepan cabaran arus deras sepanjang proses menyelamat kerana air sungai naik mendadak di kawasan berkenaan.

    “Sebelum sampai ke rumah tersebut, air sungai sedang naik dan pihak bomba berdepan cabaran arus sungai yang agak deras dan perlu lebih berwaspada dan mengutamakan aspek keselamatan.

    “Ketika pasukan penyelamat sampai di rumah itu, paras air sudah setinggi lebih satu meter.

    “Bagaimanapun, dengan kerjasama diberikan penduduk serta ahli keluarga mangsa banjir, proses pemindahan di situ berjalan lancar,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Dalam pada itu, Rozizah turut mengingatkan semua mangsa banjir untuk sedia berpindah lebih awal bagi mengelak kemungkinan tidak diingini.

    “Ada juga mangsa banjir yang pada mulanya enggan berpindah dengan memberikan alasan mahu berlindung di tingkat atas kediaman, namun mereka kembali menelefon pihak bomba untuk berpindah setelah air semakin naik.

    “Itu bukan langkah terbaik dalam tempoh bencana ini kerana kita bimbang proses menyelamat lebih sukar pada waktu malam.

    “Jadi kita mohon sangat kepada mangsa banjir ini segera berpindah setelah pihak bomba sampai kerana nyawa lebih penting untuk diselamatkan. Apabila air kembali surut bolehlah pulang ke rumah,” katanya.

    Sementara itu, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sehingga pukul 10 pagi tadi, seramai 38,454 mangsa banjir dari 10,595 keluarga dipindahkan ke 315 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah selepas kediaman mereka dinaiki air.

    Banjir gelombang kedua di Terengganu kali ini disifatkan paling buruk apabila semua daerah iaitu Kemaman, Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun terjejas.

  • ‘’Saya tidak akan campur urusan badan kehakiman’’ – Anwar

    ‘’Saya tidak akan campur urusan badan kehakiman’’ – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaannya tidak akan campur tangan dalam mana-mana kes mahkamah yang sedang berlangsung.

    Beliau turut memberi jaminan bahawa beliau akan memastikan kebebasan badan kehakiman.

    “Selaku Perdana Menteri, saya tidak akan campur urusan badan kehakiman, dan mereka (hakim) jalankan (tugas) dengan bebas dan telus.

    “Mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada Perlembagaan (Persekutuan) dan rakyat, dan akhirnya kepada Allah SWT,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini, lapor FMT.

    Beliau mendakwa, pelabur antarabangsa keberatan untuk melabur di Malaysia kerana kurang keyakinan terhadap kebebasan dan ketelusan badan kehakiman dan agensi penguatkuasaan.

    Anwar juga berkata, beliau telah bercakap dengan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki untuk mengingatkan beliau sedang berhadapan dengan Perdana Menteri baharu yang “maksud apa yang beliau katakan” apabila membanteras rasuah.

    “Saya mahu membersihkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa,’’ tegasnya.

    Anwar juga menggesa Ahli Parlimen supaya menjaga tatasusila ketika berbahas di Dewan Rakyat, susulan perang mulut berlaku di Dewan Rakyat semalam.

    Beliau kemudiannya mengecam Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana didakwa memfitnahnya semalam dengan memetik laporan agensi berita Itali yang kurang dikenali yang menyifatkan beliau sebagai “homoseksual”.

    Hamzah bertanya kepada Anwar sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita, Agenzia Nova.

    Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mempersoalkan kredibiliti saluran berita itu, menunjukkan bahawa ia tidak berada dalam senarai saluran berita Reuters di Itali.

    Beliau memberitahu Hamzah supaya tidak “menipu” rakyat, sambil menambah beliau berpendapat ketua pembangkang itu akan memetik portal berita atau agensi yang betul “setaraf” dengan Bernama, BBC atau New York Times.

  • Tiga remaja maut, dua cedera kereta terbabas rempuh pembahagi jalan

    Tiga remaja maut, dua cedera kereta terbabas rempuh pembahagi jalan

    Oleh BADLISHAH MAT

    TIGA remaja lelaki maut, manakala dua rakan mereka cedera apabila kereta dinaiki dipercayai terbabas di Kilometer 63.5, Jalan Alor Setar-Butterworth di Sungai Petani, awal pagi tadi.

    Nahas kira-kira pukul 2.30 pagi itu mengorbankan pemandunya, Muhammad Aiman Rusdi, 17, dan dua penumpang, Muhammad Izani Mohd. Tuah, 15, serta Mohd. Iman Mohd. Akhir, 17.

    Ketiga-tiga mangsa terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.

    Dua lagi mangsa, Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, manakala Alif Danial Abdul Aziz, 15, pula hanya cedera ringan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki kesemua remaja itu dalam perjalanan dari Bakar Arang menghala ke Padang Temusu sebelum dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi kiri jalan.

    “Kereta jenis Honda itu dipercayai dipandu laju dengan impak pelanggaran yang kuat menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan serta seorang daripada tiga penumpang belakang maut di lokasi kejadian.

    “Mayat ketiga-tiga remaja itu kini telah dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat,” katanya.

    Tambahnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi semua mangsa sudah tidak bersekolah dan kereta yang dipandu adalah milik abang kepada pemandu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

  • Tekong bot nelayan dicari, tidak pulang selepas semalaman di laut

    Tekong bot nelayan dicari, tidak pulang selepas semalaman di laut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG tekong bot nelayan kini dicari apabila tidak pulang ke rumahnya setelah keluar ke laut dari Kuala Sanglang di Perlis, semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, individu berkenaan dikenali sebagai Zaizali Harun, 61, dipercayai menuju ke Selat Bagan Nyior untuk menangkap ikan.

    “Anak lelaki itu, Rokie Zaizali memaklumkan, bapanya tidak pulang ke rumah selepas keluar ke laut kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

    “Bot lelaki itu dipercayai mengalami kerosakan dan usaha mencari serta menyelamat mangsa kini giat dijalankan dengan turut dibantu agensi sahabat terdiri daripada Pasukan Polis Marin (PPM) serta beberapa bot nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, semua pihak yang turun ke laut diingatkan supaya mengambil langkah keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Pengesan Lokasi Individu (PLB).

    “Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750,” katanya.

  • Bapa berkali-kali kucup jenazah tiga beradik

    Bapa berkali-kali kucup jenazah tiga beradik

    BAPA kepada tiga beradik yang maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di Tumpat, tidak dapat mengawal kesedihan apabila menangis di sisi jenazah anak-anaknya.

    Mohd. Nadzir Mohamad, 67, dilihat berkali-kali mengucup tiga anak perempuannya, Nurul Syazwani, 33, Sakinah, 29 dan Noor Fathiah, 27, sebaik semua jenazah tiba di Masjid Al Ismaili, Kampung Morak, pukul 11 malam tadi, selepas proses bedah siasat selesai dibuat di Hospital Tumpat.

    Kira-kira 200 yang hadir mengiringi jenazah tiga beradik itu sebaik tiba dengan menaiki tiga van jenazah dan disolatkan di masjid berkenaan.

    Dalam keadaan mengalirkan air mata, Mohd. Nadzir reda dengan pemergian anak ketiga, lima dan enam dari lapan beradik itu dalam keadaan menyayat hati.

    Ketika ditemui, dia berkata, tiada perubahan ketara ditunjukkan tiga beradik itu kecuali layanan yang mesra diberikan oleh Nurul Syazwani dan Noor Fathiah, terhadap dirinya kebelakangan ini.

    “Sebelum ini, ketiga-tiga mereka memang sudah baik budi pekerti tapi kebelakangan ini melayan saya dengan sangat baik terutama Syazwani dan Fathiah yang sering bertanyakan makan minum saya.

    “Jika saya beritahu nak makan apa-apa, mereka segera menyediakannya dan saya tidak mengesyaki apa-apa sebaliknya apabila berlaku tragedi ini, baru saya sedar akan perubahan itu,” katanya ditemui malam tadi, lapor Harian Metro.

    Jenazah tiga beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak di Tumpat pukul 11.45 malam tadi.

    Mohd. Nadzir berkata, masih terbayang di ingatannya mengenai kejadian yang menimpa tiga anaknya itu pagi semalam dan memberitahu tidak pasti mampu atau tidak untuknya melupakan detik itu.

    “Luluh hati saya melihat tiga anak dalam keadaan bergelimpangan dalam air dan sebaik bekalan elektrik diputuskan, saya segera menerpa ke arah mereka bertiga sambil gagal menahan air mata meratapi pemergian mereka dengan cara itu.

    “Tidak dapat dinafikan naluri sebagai ayah menyebabkan saya sebak mengenangkan takdir ini namun dalam masa yang sama menerimanya dengan reda,” katanya.

    Dalam kejadian 11.45 pagi semalam, tiga beradik itu terkena renjatan elektrik sebaik seorang daripada mereka berpegang pada sebatang tiang di rumah jiran yang mengalirkan elektrik apabila ingin bermain air banjir.

    Tindakan itu menyebabkan ketiga mereka jatuh ke dalam air sebelum tubuh menjadi seakan kejang dan meninggal dunia serta-merta.