Author: Wartawan WartaRakyat

  • Tanah runtuh: Mayat mangsa ke-26 lelaki dewasa ditemui – Bomba

    Tanah runtuh: Mayat mangsa ke-26 lelaki dewasa ditemui – Bomba

    PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tanah runtuh Father’s Organic Farm di Gohtong Jaya, Batang Kali, dekat Hulu Selangor, menemui satu lagi mayat mangsa dipercayai lelaki dewasa.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), mayat mangsa ditemui sekitar pukul 11.16 pagi.

    “Kemas kini setakat jam 11.16 pagi, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Operasi Tanah Runtuh Jalan Batang Kali – Genting Highlands telah berjaya menemui seorang lagi mangsa iaitu lelaki dewasa di sektor C.

    “Ini menjadikan jumlah mangsa korban tanah runtuh yang berjaya ditemui adalah sebanyak 26 orang.

    “Operasi SAR pada hari keenam diteruskan lagi bagi mencari baki tujuh mangsa yang masih hilang,” jelas kenyataan itu memetik laporan Astro Awani.

    Operasi turut dibantu 11 jengkaut tanah pelbagai agensi serta sembilan ekor unit anjing pengesan K-9.

  • Terkepung akibat banjir, 62 penduduk masak, minum guna air banjir

    Terkepung akibat banjir, 62 penduduk masak, minum guna air banjir

    SERAMAI 62 mangsa banjir di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang yang terkepung dan tiada bekalan air bersih memaksa mereka memasak air banjir untuk diminum sejak dua hari lalu.

    Kata penduduk, Muzipah Che Muda, 54, dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menggunakan air banjir untuk membuat susu kepada anak kecil.

    “Ini berikutan kawasan penempatan itu kini tidak dapat dilalui akibat ditenggelami air.

    “Walaupun tahu tindakan ini tidak begitu baik namun dia buntu kerana ramai kanak-kanak merengek kehausan begitu juga orang dewasa yang tidak dapat minum.

    “Malah, air ini juga kami gunakan untuk memasak secara bergotong-royong. Besar harapan kami supaya ada pihak yang masuk untuk menghantar bantuan air bersih buat kami di sini.

    “Kami tahu kawasan penempatan ini agak sukar diakses, oleh itu kami mencari ikhtiar lain terlebih dahulu dengan hanya tawakal sahaja semoga air yang diminum tidak memudaratkan.

    “Semua mangsa berkumpul di rumah milik salah seorang penduduk yang tidak dimasuki air tetapi halamannya digenangi banjir separas 0.5 meter,” lapor Berita Harian.

    Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd. Yatin Mat Yaacob, 46, berkata kesemua mangsa terpaksa tidur berhimpit, manakala sesetengah kumpulan lelaki tidur dalam kereta kerana tidak cukup ruang.

    “Kami tidak ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana sudah terlalu ramai dan penuh. Tambahan pula, hanya rumah ini yang tidak dimasuki air di sini.

    “Ada antara mangsa yang kediaman mereka hanya tinggal bumbung sahaja, namun kami reda dengan ujian ini dan bersyukur kerana masih ada tempat berteduh,” katanya.

    Katanya, mereka juga mengambil inisiatif menggunakan penjana elektrik bagi mendapatkan bekalan terutama untuk mengecas telefon bimbit kerana bekalan itu sudah ditutup sejak banjir melanda.

  • Muhyiddin tidak tempah Mercedes, tidak pernah guna kereta rasmi – Dr.Marzuki

    Muhyiddin tidak tempah Mercedes, tidak pernah guna kereta rasmi – Dr.Marzuki

    BEKAS Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8, Datuk Dr.Marzuki Mohamad menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahm terkhilaf apabila memberitahu Dewan Rakyat semalam Tan Sri Muhyiddin Yassin memesan (tempat) sebuah kereta rasmi yang dipercayai merujuk kepada kereta Mercedes S600.

    Kata Dr.Marzuki, Anwar memberitahu tempahan itu tidak diteruskan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dibatalkan oleh beliau.

    ‘’Sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes S600. Harga kedua-duanya terlalu mahal dan minit terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Jabatan Perdana Menteri ialah supaya harganya dikaji dan dirunding semula. Kelulusan akhir perlu dibuat oleh  Kementerian Kewangan. Saya kembalikan minit tersebut kepada pegawai dan ia terhenti setakat itu sahaja,’’ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dr.Marzuki berkata, sehinggalah Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos 2021, kereta Mercedes itu tidak pernah ditempah atau dibeli oleh kerajaan.

    ‘’Saya percaya kenyataan PM-10 bahawa Tan Sri Muhyiddin telah memesan kereta tersebut adalah terkhilaf,’’ katanya.

    Beliau berkata, Muhyiddin tidak menggunakan kereta rasmi kerajaan.

    ‘’Muhyiddin menggunakan kereta peribadinya yang sama sejak berada di dalam pembangkang, semasa menjadi Menteri Dalam Negeri, semasa menjadi Perdana Menteri dan sehinggalah sekarang,’’ katanya

  • Ambulans terbalik, 4 cedera

    Ambulans terbalik, 4 cedera

    EMPAT individu cedera selepas sebuah ambulans St. John yang dalam perjalanan menghantar pesakit ke Hospital Pulau Pinang (HPP) terbabas dan merempuh pembahagi jalan serta sebatang pokok lalu terbalik dalam kejadian di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang semalam.

    Kemalangan itu mengakibatkan pemandu ambulans berusia 22 tahun, pembantu perubatan (28 tahun), pesakit wanita (54 tahun) dan anak perempuannya (24 tahun) mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk di kepala dan muka.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan, kejadian itu berlaku pukul 4.40 petang ketika pemandu ambulans dan pembantu perubatan dalam perjalanan dari Sungai Ara selepas mengambil pesakit dan anak perempuannya untuk dibawa ke HPP.

    “Apabila menghampiri Jalan Masjid Negeri (menghala ke Jalan Scotland), pemandu ambulans hilang kawalan menyebabkan ambulans terbabas melanggar pembahagi jalan dan sebatang pokok di sebelah kanan jalan lalu terbalik.

    ”Pemandu ambulans, pesakit dan anak perempuannya tersepit di tempat duduk namun berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh anggota bomba,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, kejadian tersebut turut tular di dalam media sosial sejak malam tadi.

    Saravanan berkata, pemandu ambulans mengalami kecederaan di tangan dan kepala manakala pembantu perubatan cedera ringan di muka dan tangan.

    Sementara itu katanya, pesakit yang dibawa menggunakan ambulans tersebut mengalami kecederaan di kepala manakala anak perempuannya cedera di kepala dan muka.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Peguam dakwa Anwar mohon pengampunan sebanyak dua kali

    Peguam dakwa Anwar mohon pengampunan sebanyak dua kali

    SEORANG peguam menyanggah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengampunan yang diberi oleh Sultan Muhammad V ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 2018.

    Portal MalaysiaNow melaporkan, menurut dokumen Perintah Pengampunan dan Pembebasan Serta Merta Anwar yang dikongsikan Rafique Rashid di akaun media sosial beliau, Presiden PKR itu sebenarnya dua kali memohon kepada Lembaga Pengampunan pada 2015 dan 2017 untuk diampunkan namun kedua-dua rayuan tersebut ditolak.

    Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar selepas didapati bersalah atas tuduhan liwat.

    Berdasarkan dokumen itu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 16 Mac 2015 dan 27 Februari 2017 menimbang rayuan banduan dan fakta-fakta kes tersebut.

    Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan menasihatkan supaya hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap Anwar hendaklah diteruskan.

    “Dan bahawasanya adalah munasabah pada hemat Beta, belas kasihan patut diberi kepada Anwar Ibrahim,” demikian menurut dokumen yang mempunyai tandatangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada masa itu.

    Seterusnya dokumen itu disambung dengan perintah baginda supaya Anwar diberi pengampunan penuh dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan serta diberi pembebasan serta merta.

    Menurut Rafique, dokumen ini jelas menunjukkan Anwar membuat permohonan pengampunan sebelum ini, cumanya ia ditolak.

    “Perdana menteri, sila betulkan fakta. Lembaga Pengampunan terletak di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan. Dalam apa jua keadaan, jelas menunjukkan anda sebanyak dua kali, pada 2015 dan 2017, cuba mendapatkan pengampunan tetapi tidak berjaya,” kata Rafique.

    Tambah beliau, rayuan pengampunan ini hanya melibatkan kes liwat kedua dan tidak termasuk kes salah guna kuasa ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

    “Itu masih kekal sebagai kesalahan yang mana hukuman telah dijalankan,” katanya.

    Di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menjelaskan beliau tidak memohon pengampunan sebaliknya ia adalah insiatif daripada Sultan Muhammad V.

    Katanya, Sultan Muhammad yang aktif mengikuti perkembangan perbicaraan kesnya  telah menelefon untuk memaklumkan sendiri bahawa beliau akan diberi pengampunan penuh.

    “Saya tidak mohon pengampunan kerana saya dihukum, biar ini jelas dalam rekod.

    “Kita bantah penghakiman yang melanggar prinsip hukum mengada-adakan kes.

    “Yang mengambil inisiatif itu ialah Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu,” kata Anwar di Dewan Rakyat hari ini.

    Semalam Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin mencabar  Anwar mengambil tindakan terhadap media antarabangsa yang mengeluarkan laporan hingga boleh mencemarkan imej negara.

    Beliau menggunakan contoh laporan media dari Itali Agenzia Nova yang menerbitkan artikel bertajuk “First Full-blown Homosexual Elected Prime Minister in an Islamic Country”.

  • Kerajaan umum bantuan tambahan mangsa banjir

    Kerajaan umum bantuan tambahan mangsa banjir

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali mengumumkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir.

    “Perkara iniu selaras pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, bagi menambah jumlah peruntukan sedia ada iaitu RM400 juta melibatkan mangsa banjir.

    “Kerajaan akan menambah peruntukan itu sebab kita melihat terdapatnya keperluan tambahan bukan hanya untuk operasi banjir tetapi juga bantuan kepada mangsa banjir,” katanya pada sidang media di Parlimen.

    Ahli Parlimen Papar itu berkata, peruntukan tersebut akan diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama kerajaan negeri yang terkesan dengan bencana itu.

    Antara bantuan akan diberikan kepada mangsa banjir adalah wang ihsan RM1,000 untuk satu keluarga dan bantuan kematian RM10,000 bagi setiap individu.

    Selain itu, beliau turut mengumumkan bantuan barangan rosak di rumah terkesan sebanyak RM2,500 serta bantuan pembaikan kecil untuk rumah yang rosak sebanyak RM5,000.

    “Bantuan ini tidak termasuk bantuan bina rumah baharu dan bantuan pembaikan rumah yang diseleraskan antaranya melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Sebelum ini, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan bajet operasi sementara bernilai RM107.7 bilion.

    Bajet mini dibentangkan Anwar yang juga menteri kewangan itu diluluskan melalui undian suara selepas bacaan kedua dan ketiga.

    Perdana menteri berkata, bajet mini juga penting untuk membantu Nadma menangani banjir dan membantu mangsa.

    “Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan sumber kewangan tambahan sekiranya perlu bagi memastikan kelancaran pengurusan banjir,” kata Anwar.

  • Tukang gunting didakwa menyamar anggota polis

    Tukang gunting didakwa menyamar anggota polis

    SEORANG tukang gunting rambut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulim, hari ini, atas pertuduhan menyamar sebagai pegawai polis bagi mendapatkan RM5,000 sebagai memperdaya mangsa agar boleh membebaskan seorang tahanan lokap.

    Tertuduh, Premantharan Pillai Vijayantharan, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mirza Mohamad.

    Astro Awani melaporkan, mengikut pertuduhan, tertuduh memperdaya Munesswary Maniam, 47, untuk mempercayai dia sebagai pegawai polis dan akan membebaskan tahanan lokap dengan menyerahkan wang sebanyak RM5,000.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Kulim dengan menggunakan nombor akaun atas nama Malathi Kesavan, 24, pada 11 Disember lalu pada sekitar pukul 3.21 petang.

    Majistret, kemudian memerintahkan tertuduh dibenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Januari depan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah seksyen yang sama.

    Mahkamah sama turut memerintahkan tertuduh kedua, Malathi Kesavan membayar denda RM900 atau penjara satu bulan setelah mengaku salah membenarkan akaun bank digunakan tertuduh pertama yang dipercayai sebagai pegawai polis.

    Mengikut pengakuan, ibu kepada seorang anak itu menyedari akaun bank miliknya digunakan untuk tujuan kemasukan wang sebanyak RM5,000 namun, tidak dapat memberi keterangan dari mana diperolehinya.

    Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nursalwati Wan Kamarul Ariffin.

  • Jenayah rogol remaja bawah umur di Pulau Pinang membimbangkan

    Jenayah rogol remaja bawah umur di Pulau Pinang membimbangkan

    SEBANYAK 77 kes jenayah rogol daripada 96 kes yang dilaporkan di Pulau Pinang antara Julai 2021 hingga November tahun ini adalah melibatkan remaja bawah umur atau juvana.

    Statistik itu menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, adalah sesuatu yang agak membimbangkan apatah lagi kebanyakan kes melibatkan pesalah juvana tersebut membabitkan individu yang dikenali mangsa.

    “Kebanyakan jenayah rogol ini didapati dilakukan oleh suspek yang dikenali mangsa yang mana ini secara tidak langsung memberi gambaran faktor seks bebas terlalu berleluasa dalam kalangan mereka yang di bawah umur ketika ini,” katanya.

    Mohd. Shuhaily berkata demikian kepada pemberita selepas sesi townhall anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang yang bertajuk ‘Remaja dan Jenayah : Isu dan Cabaran’ di Dewan Budaya di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

    Selain beliau, turut menjadi ahli panel dalam program tersebut ialah pakar motivasi, Mohamed Hanafiah Malek; Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad dari Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa USM serta Datuk Dr. P. Sudramoothy selaku moderator program.

    Menurut Mohd. Shuhaily, demografi yang terlibat dengan jenayah rogol itu juga menunjukkan mereka terdiri daripada remaja daripada kelompok B40.

    “Apa yang kita bimbangkan ialah bagaimana dengan nasib mangsa, stigma masyarakat dan apa jalan penyelesaian kepada isu ini.

    “Kita bimbang apabila remaja yang terlibat menjadikan hal ini satu perkara yang biasa bagi mereka dan lama-kelamaaan mereka bangga dengan jumlah lelaki yang mereka kenali pula,” katanya.

    Tambah Mohd. Shuhaily, secara keseluruhan juga statistik jenayah terutama melibatkan pesalah juvana di Pulau Pinang juga agak membimbangkan yang mana seramai 1,251 orang ditahan sejak Julai tahun lalu hingga November tahun ini.

    Jelas beliau, mereka yang ditahan itu berusia 10 hingga 19 tahun dan terdiri daripada 86 peratus lelaki iaitu 1,078 orang manakala selebihnya perempuan.

    “Statistik pelaku jenayah yang ditahan di dalam lokap adalah seramai 392 orang terdiri daripada 377 lelaki (96 peratus) dan 15 perempuan (empat peratus),” katanya.

  • Khidmat Naib Canselor UUM dipendekkan

    Khidmat Naib Canselor UUM dipendekkan

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi memendekkan khidmat Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah setakat 18 Januari tahun depan.

    Bagaimanapun kementerian itu dalam satu kenyataan akhbar hari ini tidak memaklumkan sebarang penjelasan lanjut berhubung proses berkenaan.

    “Kementerian mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau,” kata kenyataan itu.

    Haim Hilman, 49, dilantik sebagai Naib Canselor UUM sejak 17 Januari lalu bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani yang menerajui UUM selama tiga tahun sejak 2018.

    Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom dan memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Strategik pada 2010 dari Universiti Putra Malaysia.

    Pada 24 Ogos lalu, Haim Hilman menafikan pernah menyatakan hasrat kepada mana-mana pihak tentang kesediaannya menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Menurutnya, fokus beliau kini diberikan sepenuhnya kepada pembangunan universiti berkenaan sejak dilantik mengemudi UUM.

    Beliau sebelum itu dikaitkan sebagai tiga nama calon yang terdiri daripada ahli pemikir atau ‘think tank‘ untuk dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) Selangor.

  • Penjawat awam ditahan terlibat sindiket seludup dadah dalam penjara

    Penjawat awam ditahan terlibat sindiket seludup dadah dalam penjara

    Oleh ABU UBAIDIILAH RAHMAN

    POLIS menahan tujuh lelaki dan wanita termasuk seorang penjawat awam selepas terlibat dengan sindiket penyeludupan dadah dalam penjara selepas melakukan lima serbuan berasingan sekitar Johor Bahru pada 15 Disember lalu.

    Kegiatan sindiket berkenaan terbongkar selepas pemeriksaan dilakuakan terhadap seorang banduan lelaki di mahkamah Johor Bahru.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sepasukan anggota dari polis cawangan mahkamah di Johor Bahru menjalankan pemeriksaan terhadap banduan berkenaan pada pukul 10.30 pagi.

    “Menerusi pemeriksaan terhadap orang kena tahan (OKT) reman Penjara Koreksional Ulu Choh yang selesai menjalani perbicaraan di mahkamah Johor Bahru, menemukan sembilan biji balutan mampat dalam bentuk ‘barrel’ berisi dadah yang disembunyikan dalam seluar dalam OKT.

    “OKT tersebut juga menelan sejumlah dadah berbentuk ‘barrel’ dalam badannya semasa di Kompleks Mahkamah Johor Bahru,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, dadah berkenaan dipercayai diberikan suspek semasa OKT di mahkamah dengan mengambil kesempatan ketika turun dan sebelum menaiki van atau lori polis untuk dihantar semula ke penjara.

    Menurutnya, selepas itu OKT berkenaan dibawa ke hospital sebelum dibedah dan berjaya mengeluarkan enam biji balutan mampat dalam bentuk ‘barrel’ berisi dadah dari dalam perutnya.

    Susulan itu katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan membuat lima serbuan berasingan dan menahan enam individu.

    Beliau memberitahu, mereka yang ditahan merupakan tiga lelaki tempatan termasuk penjawat awam terbabit dan tiga wanita tempatan berusia antara 25 hingga 37 tahun.

    Katanya, menerusi serbuan itu pihak polis merampas ganja seberat 44.74 gram dan bernilai RM12,237 serta syabu seberat 28.84 gram bernilai RM12,884 manakala keseluruhan dadah itu bernilai RM3,800.

    Jelasnya, hasil saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

    “OKT berkenaan pula mempunyai kes berkaitan dadah. Modus operandi mereka adalah dengan menelan dadah dalam bentuk ‘barrel’ dan dadah itu akan dibawa masuk ke penjara setelah selesai perbicaraan di mahkamah untuk diedarkan.

    “Kita masih menyiasat sudah berapa lama sindiket ini beroperasi termasuk sama ada masih ada saki baki ahli sindiket ini. Semua suspek direman enam hari bermula 15 hingga 20 Disember untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.