Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lelaki bertelekung curi barang jemaah wanita ketika solat dicekup

    Lelaki bertelekung curi barang jemaah wanita ketika solat dicekup

    SEORANG lelaki yang tular mengenakan telekung sebelum mencuri barang jemaah wanita ketika solat di masjid sekitar Seksyen 18, di Shah Alam diberkas polis, tengah malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, tangkapan ke atas suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu susulan laporan dibuat oleh mangsa.

    Katanya, polis menerima dua laporan polis mengenai kes kecurian barangan milik jemaah wanita ketika menunaikan solat di masjid sekitar kawasan Seksyen 18, pada 20 Disember lalu.

    “Kejadian pertama dilaporkan pada 3.41 petang oleh seorang wanita berusia 60 tahun yang menunaikan solat subuh di Masjid Al-Azahariah, Seksyen 18, Shah Alam.

    “Sementara, kes kedua dilaporkan pada 10.47 malam oleh wanita berusia 58 tahun yang menunaikan solat isyak di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18. Kerugian bagi kedua-dua kejadian dianggarkan RM3,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedua-dua tempat kejadian mendapati suspek adalah individu sama.

    Katanya, suspek menggunakan modus operandi sama iaitu memakai telekung masuk ke ruangan jemaah wanita seterusnya mengambil barang berharga milik jemaah yang sedang solat.

    “Kira-kira 12.05 tengah malam (23 Disember) polis berjaya menangkap suspek yang berasal dari Padang Jawa di kawasan Seksyen 18.

    “Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui dan merampas dua buah telefon bimbit yang dicuri semasa kejadian. Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Katanya, semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod kes penyalahgunaan dadah dan empat rekod kes jenayah.

    “Suspek ditahan reman selama empat hari dari bermula hari ini sehingga 26 Disember untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Jalan Batang Kali-Genting dijangka dibuka untuk motosikal

    Jalan Batang Kali-Genting dijangka dibuka untuk motosikal

    JALAN Batang Kali-Genting, Hulu Selangor yang ditutup susulan kejadian tanah runtuh Jumaat lalu, dijangka dibuka untuk pengguna motosikal dalam tempoh seminggu lagi.

    Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pihaknya kini sedang membuat pemantauan sebelum keputusan laluan itu dibuka kerana mahu memastikan laluan berkenaan benar-benar selamat.

    Jelas beliau, sehingga kini pihaknya mengesan masih berlaku pergerakan bawah tanah antara 2 hingga 4 milimeter (mm) menyebabkan sehingga kini laluan berkenaan masih tidak selamat.

    “Kita mendapat permintaan supaya laluan berkenaan dibuka kerana walaupun terdapat laluan alternatif, ia jauh dan mengambil masa.

    “Setiap permohonan kita akan pertimbangkan dan kita jangkakan dalam tempoh seminggu lagi laluan berkenaan akan dibuka kepada pengguna motosikal sahaja,” katanya, lapor Berita Harian hari ini.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Jambatan Kusial, di Tanah Merah, Kelantan yang mengalami runtuhan tebing di bawah jambatan itu akibat banjir pada Ahad lalu.

  • 25 orang terperangkap banjir diselamatkan selepas 12 jam

    25 orang terperangkap banjir diselamatkan selepas 12 jam

    SEBANYAK 25 individu berdepan detik cemas apabila terperangkap banjir di pusat peranginan Polumpung, Kampung Melangkap Baru, di Kota Belud Sabah, semalam.

    Dalam insiden kira-kira pukul 6 petang itu, lima lelaki dan 20 wanita terperangkap selepas jalan raya dinaiki air dan kenderaan tidak dapat melaluinya.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.28 petang.

    Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi berkenaan.

    “Sebaik tiba, pasukan bertindak membuat pemeriksaan di kawasan yang dinaiki air dan keadaan mangsa, serta menasihati mereka supaya bergerak ke tempat selamat.

    “Operasi mengeluarkan mangsa dari kawasan itu dijalankan pada 6 pagi tadi, menggunakan sistem hauling.

    “Semua mangsa seramai 25 orang dikeluarkan pasukan bomba dengan selamat dan ditempatkan sementara di homestay berhampiran, selain ada yang diambil keluarga,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, air semakin surut namun enam kenderaan pelbagai jenis milik mangsa masih terperangkap.

    “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8 pagi tadi,” katanya.

  • Banjir: Bomba kerah dua helikopter ke kawasan terputus hubungan

    Banjir: Bomba kerah dua helikopter ke kawasan terputus hubungan

    JABATAN Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan mengerakkan dua helikopter miliknya ke kawasan yang terputus hubungan akibat banjir di Pantai Timur, kata Pengarah Bahagian Operasi jabatan itu Datuk Nor Hisham Mohammad.

    Beliau berkata unit udara dikerahkan sekiranya bantuan aset darat dan air menghadapi masalah untuk ke kawasan yang terjejas akibat banjir seperti di Gua Musang, Kelantan yang terputus hubungan sejak empat hari lepas.

    “Unit udara akan digerakkan ke kawasan tersebut bagi menghantar bekalan makanan kepada mangsa yang berada di lokasi,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia di TV1 hari ini.

    Nor Hisham berkata bantuan seperti penggunaan lori muatan besar seberat 10 hingga 20 tan digunakan secara praktikal di kawasan-kawasan bandar dalam menggerakkan mangsa banjir.

    Dalam pada itu, Nor Hisham menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan daripada berada di kawasan peranginan di negeri-negeri yang sedang menghadapi banjir.

    “Kami tidak mahu insiden seperti kepala air berlaku di kawasan peranginan dan mohon agar orang ramai tangguh percutian mereka ke negeri-negeri terjejas banjir,” katanya.

    Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi dan memantau anak-anak mereka yang berada di kawasan banjir bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku. – BERNAMA

  • Maritim Malaysia rampas 107 set bubu naga

    Maritim Malaysia rampas 107 set bubu naga

    Oleh BADLISHAH MAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 107 set bubu kambang atau bubu naga dalam satu operasi khas yang dilakukan di empat lokasi sepanjang perairan Yan, semalam.

    107 set bubu kambang atau bubu naga dirampas dalam satu operasi khas yang dilakukan Maritim Malaysia di empat lokasi sepanjang perairan Yan, semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi khas membanteras bubu naga ini dilaksanakan berikutan terdapat rungutan dan aduan yang diterima pihak Maritim Malaysia.

    Katanya, empat lokasi rampasan bubu naga terbabit adalah di sekitar 0.4 batu nautika hingga 0.8 batu nautika merangkumi sekitar Kuala Sedaka hingga ke perairan Kuala Sala.

    “Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemukan pelampung penanda dan pancang yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang di beberapa lokasi.

    “Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai RM12,840 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Noor Azreyanti, pihaknya melihat penggunaan bubu naga perlu dicegah bermula dengan penjualan di darat oleh jabatan berkaitan kerana ianya dijual dengan harga yang murah.

    “Ini sekali gus tidak akan memberi kesan ke atas rampasan-rampasan yang dibuat memandangkan penggunanya masih boleh membeli di pasaran.

    “Nelayan juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan,” katanya.

    Tegas beliau, Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara dan sentiasa komited meneruskan operasi serta rondaan di sepanjang kawasan tanggungjawab bagi mengekang aktiviti haram di laut.

    Katanya, semua pihak juga dialu-alukan membuat aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut yang boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

  • 21 penumpang berdepan detik cemas, bas ekspres masuk parit

    21 penumpang berdepan detik cemas, bas ekspres masuk parit

    SEBANYAK 21 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan itu terbabas ke dalam parit di Jalan Sungai Manik dekat Teluk Intan hari ini.

    Bagaimanapun kesemua penumpang bas terselamat dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku selepas bas berkenaan melanggar tiang elektrik.

    Katanya, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan itu sendiri.

    “Tiada mangsa yang tersepit, semua 21 penumpang bas termasuk pemandu kedua terselamat dalam kejadian itu.

    “Hanya pemandu bas berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan ringan dan anggota telah membuat rawatan awal kepada mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Difahamkan, bas dua tingkat berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim.

  • Dakwa bongkar maklumat peribadi: Syamsul  akan saman JAWI RM10 juta

    Dakwa bongkar maklumat peribadi: Syamsul akan saman JAWI RM10 juta

    PENGARAH sensasi, Syamsul Yusof bakal mengenakan tindakan saman berjumlah RM10 juta terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

    Menerusi pesanan suara dihantar dalam aplikasi WhatsApp, Syamsul berkata, tindakan itu berikutan JAWI didakwa membongkar maklumat peribadi yang disifatkan fitnah.

    “Saya sudah berbincang dengan peguam dengan panjang lebar mengenai satu perkara. Dipendekkan cerita, saya akan saman JAWI sebanyak RM10 juta kerana sudah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap saya.

    “Ia tidak benar. Mereka memberi maklumat tidak benar kepada ahli keluarga saya, sedangkan palsu dan fitnah,” katanya lapor BH Online.

    Bagaimanapun, Pengarah filem epik, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu tidak menjelaskan maklumat terperinci mengenai perkara itu.

    Syamsul berkata, tindakan susulan akan dibuat dan dia sendiri bakal memaklumkan perkara tersebut.

    “Perkara tersebut adalah dokumen rasmi kerajaan. Saya perlu ambil tindakan, setakat ini, itu dahulu. Selebihnya, saya akan maklumkan kemudian,” katanya.

    Dipercayai dokumen berkenaan berkaitan kemelut rumah tangga Syamsul bersama isterinya, Puteri Sarah Liyana yang turut membabitkan orang ketiga didakwa sebagai perosak rumah tangga mereka, Ira Kazar.

    Sementara itu, Puteri Sarah membalas kenyataan Syamsul secara sinikal menerusi Instagram Story (IG).

    “Jadi betullah gosip itu? Okay mengaku sajalah. Tiba masanya untuk awak mengakui semuanya,” katanya ringkas.

    Dalam hantaran berbeza menerusi IG Story, Puteri Sarah berkata, “Benda macam ini tiberrr (tiba-tiba) muncul.

    “Tiberrrr (tiba-tiba) nak saman. For what? Benda baik tu baik umumkan sebelum menimbulkan fitnah dan prasangka buruk daripada keluarga sendiri,” tulisnya.

    Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.

  • Mangsa tanah runtuh Batang Kali 92 orang, seorang belum ditemukan – Polis

    Mangsa tanah runtuh Batang Kali 92 orang, seorang belum ditemukan – Polis

    POLIS mengesahkan jumlah rasmi dan sebenar kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat sini adalah seramai 92, dan bukannya 94 orang sebagaimana yang diumumkan sebelum ini.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata jumlah baharu itu diperoleh setelah perkiraan dan semakan semula dibuat beberapa kali, berdasarkan maklumat dan laporan yang diterima dari pelbagai pihak termasuk ahli keluarga. 

    “Ini adalah jumlah rasmi, kecuali ada mana-mana pihak lagi yang datang mengatakan bahawa ada lagi ahli keluarga yang hilang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Dengan perkembangan terbaharu itu, beliau berkata ia menjadikan jumlah terkini mangsa yang meninggal dunia seramai 30 orang, selamat (61 orang) dan yang belum dijumpai seorang.

    Arjunaidi berkata sebelum ini pihaknya menggunakan angka 94 orang meliputi orang yang hilang, selamat dan meninggal dunia, yang diperoleh berdasarkan data mereka yang berdaftar di pusat perkhemahan berkenaan.

    Menurutnya kekeliruan timbul disebabkan terdapat pertindihan data dan perkara itu diketahui pihaknya beberapa hari lepas.

    “Kita tak tergesa-gesa umum sebab kita perlu membuat semakan daripada segi data-data dan laporan yang kita ada. Semua ini kita laksanakan dan berpuas hati setakat ini jumlah rasmi mangsa adalah 92, dan bukannya 94,” katanya. 

    Arjunaidi berkata identiti seorang lagi mangsa yang masih hilang setakat ini adalah seorang kanak-kanak lelaki namun belum dapat dikenal pasti lingkungan umur, dan operasi mencari dan menyelamat mangsa akan dijalankan sehingga kanak-kanak itu ditemukan atau setelah menerima pihaknya menerima arahan tertentu.

    Mengenai operasi hari ketujuh hari ini yang ditangguhkan sementara sejak petang tadi berikutan hujan lebat, katanya ia dibuat atas faktor keselamatan.

    “Kita tangguh sehingga keadaan selamat untuk menyambung operasi. Sekarang suasana (cuaca) hujan lebat dan pihak geologi terpaksa mengkaji semula dari segi pergerakan dan sebagainya. Kita fikirkan faktor keselamatan,” katanya. – BERNAMA 

  • Norazam terus ke lokasi tanah runtuh sebaik keluar hospital

    Norazam terus ke lokasi tanah runtuh sebaik keluar hospital

    PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis bergegas ke lokasi tanah runtuh di Batang Kali-Gohtong, sejurus dibenarkan keluar hospital, hari ini.

    Beliau yang dimasukkan ke Hospital Selayang (HS) sejak Isnin lalu kerana keletihan dan serangan angin ahmar ringan, memilih untuk bertemu pegawainya di lokasi tanah runtuh untuk melihat sendiri perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    Norazam turut bertemu petugas media dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang masih bertugas di lokasi sehingga kini.

    Ketika ditanya wartawan, Norazam berkata, beliau hadir kerana mahu memberi semangat kepada semua anggota dan pegawainya yang bertungkus lumus di lokasi mencari baki tiga mangsa yang belum ditemui.

    Doktor kesan saya mengalami ‘transient ischemic attacks’ (serangan angin ahmar ringan). Selepas ini perlu jalani rawatan susulan dan dibenarkan keluar (hospital) hari ini.

    “Saya dalam keadaan baik, datang ke sini sebab masih ada (mangsa) belum jumpa dan saya nak jumpa pegawai untuk bagi mereka semangat mencari baki mangsa,” katanya, lapor Berita Harian.

    Norazam pada masa sama berterima kasih atas sokongan diberikan semua pihak kepada semua petugas operasi SAR khususnya pasukan bomba.

    “Saya berterima kasih atas sokongan semua kerana memberikan semangat kepada kami. Setakat ini kita sudah menjumpai 30 mangsa.

    “Sokongan semua memberikan kita semangat untuk terus berada dan insya-Allah bakinya akan kita cari sedaya upaya,” tambahnya.

  • Harga telur import Gred C lebih mahal daripada Gred A tempatan

    Harga telur import Gred C lebih mahal daripada Gred A tempatan

    TELUR ayam yang diimport dari India dijual pada harga 50 sen sebiji, lebih mahal daripada telur Gred A, walaupun saiznya lebih kecil daripada Gred C tempatan.

    Pada masa ini, telur Gred C tempatan dijual pada harga 41 sen sebiji, manakala Gred A pula adalah 45 sen sebiji.

    Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin, mengakui harga telur import itu lebih mahal, namun ia masih mendapat permintaan daripada pengguna.

    “Walaupun saiz telur import itu lebih kecil daripada Gred C, manakala harganya lebih mahal daripada Gred A, namun sekurang-kurangnya kita ada bekalan itu terutamanya ia adalah sumber protein yang paling murah boleh didapati.

    “Kebanyakan makanan di negara ini memerlukan telur, disebabkan itu ia tetap ada pembeli walaupun harganya sebegitu,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari untuk menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain bagi tujuan mengawal harganya.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, import telur itu sudah bermula sejak 15 Disember lalu dengan permulaan kemasukan sebanyak 100,000 biji telur.

    Sementara itu, mengulas lanjut mengenai telur ayam import yang diterima oleh pasar raya Mydin, Ameer berkata, ketika ini bekalan yang diperoleh mereka hanya cukup untuk dijual menerusi cawangan Subang Jaya.

    “Telur ayam import itu sudah diterima dan setakat ini dianggarkan jumlah itu cukup untuk menampung bekalan antara dua hingga tiga hari di cawangan Subang Jaya.

    “Minggu depan akan masuk lagi bekalannya dan akan diagihkan kepada semua cawangan Mydin di negara ini,” katanya.

    Dalam pada itu, Ameer berharap selepas telur ayam kembali stabil, kerajaan membiarkan ia dijual pada harga pasaran, tidak meletakkannya di bawah harga kawalan.

    Katanya, kerajaan tidak perlu takut dengan kenaikan harga telur ayam kerana mengikut perkiraan ia hanya akan meningkat sekitar lima hingga tujuh sen sahaja.

    Malah katanya, tindakan itu juga dapat mengelakkan pembekal ‘main harga’ dengan mengenakan caj tambahan kepada perkara lain.

    “Kalau bekalan telur ayam pada pembekal tempatan ini sudah mencukupi, kita tidak perlu lagi import dari luar. Kita mahukan situasi menang-menang. Diharapkan selepas perayaan Krismas ini kerajaan tidak buat harga kawalan kepada telur.

    “Setiap kali adanya kawalan harga sudah tentu terdapat ‘underground economy’ di sebaliknya. Mungkin kerajaan kini tidak tahu, walaupun ada harga kawalan ia akan disekalikan dengan ‘underground economy’.

    “Ini bermakna harga barangan itu dijual lebih mahal, kalau harga kawalan menetapkan sebiji telur itu dijual dengan harga 45 sen sebiji, tetapi peniaga ini tidak akan mendapat bekalan dengan harga berkenaan,” katanya.

    Ameer mendedahkan, hanya mereka yang sanggup bayar lebih sahaja akan menerima bekalan daripada pembekal.

    “Walaupun dalam invois harga telur ayam ini akan kekal sama, namun pembekal bertindak ‘main harga’ dengan mengenakan caj tambahan pada pengangkutan atau caj pengendalian.

    “Ini tidak betul, ia babitkan harga yang mahal namun dengan cara yang tidak telus, disebabkan kerajaan nak semua dibuat secara telus jadi kita cadangkan untuk tidak membuat harga kawalan selepas perayaan Krismas ini,” katanya.