Author: Wartawan WartaRakyat

  • MIDF jangka OPR naik sekali lagi pada Januari

    MIDF jangka OPR naik sekali lagi pada Januari

    BANK Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan meneruskan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari 2023 bagi mengekang inflasi, demikian kata penganalisis.

    Dengan inflasi teras mencecah paras tertinggi baharu sebanyak 4.2 peratus pada November 2022, kebanyakan penganalisis menjangkakan momentum optimis akan berterusan dan mendorong bank pusat menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada bulan depan.

    MIDF Research berkata, trend inflasi yang tinggi di Malaysia didorong oleh permintaan pengguna yang kukuh, manakala petunjuk bagi inflasi kos sudah berkurangan sejak kebelakangan ini.

    Ia berkata, pasaran pekerjaan mulai meningkat, dengan pertumbuhan guna tenaga melebihi tiga peratus bagi tujuh bulan sejak April 2022, manakala import barangan penggunaan dan jualan perdagangan pengedaran terus berkembang pada kadar dua angka dengan masing-masing sebanyak 21.6 mata dan 15.2 peratus pada Oktober 2022.

    Katanya, aliran inflasi keseluruhan menyederhana walaupun kekal pada 4.0 peratus pada November 2022.

    “Dengan momentum yang memberangsangkan ini, kami percaya BNM berkemungkinan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.00 peratus dalam mesyuarat MPC pertama tahun depan pada 23 Januari,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

    Kenanga Research juga menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari 2023 untuk menyelaraskan semula dengan trend pengetatan monetari global dan membendung inflasi teras yang sentiasa tinggi.

    Walau bagaimanapun, ia menjangkakan kebarangkalian 50 peratus kenaikan kadar pada paras sama pada Mac 2023 berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat dan potensi kelembapan domestik pada tahun itu.

    “Oleh itu, kami jangka kadar terminal adalah sekitar 3.00 peratus hingga 3.25 peratus, selaras dengan purata OPR jangka panjang.

    “Selepas itu, kami menjangkakan BNM akan mengekalkannya tidak berubah untuk sepanjang 2023,” katanya.

    BNM sudah menaikkan OPR secara kumulatif 100 mata asas kepada 2.75 peratus sejak Mei 2022 berikutan tekanan permintaan yang meningkat di tengah-tengah pemulihan ekonomi domestik yang kukuh dan turun naik tidak menentu yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan.

    KAF Investment Bank Bhd berpandangan bahawa BNM belum selesai dengan kitaran meningkat kadar penanda aras pinjaman dan deposit di negara ini.

    Ia menjangkakan bank pusat itu akan terus mengetatkan dasar monetarinya dengan OPR meningkat 50 mata asas kepada 3.25 peratus pada separuh pertama 2023 dan dijangka kekal pada paras itu menjelang akhir 2023.

    Katanya, jangkaan itu lebih tinggi berbanding 3.00 peratus sebelum ini memandangkan bank pusat berusaha untuk menyediakan penampan dasar yang lebih besar terhadap kesan buruk yang tidak dijangka peristiwa ekonomi dan tekanan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.

    “BNM dijangka menamatkan kitaran kenaikan kadarnya apabila tanda-tanda pertumbuhan perlahan dalam data ekonomi mula muncul, berkemungkinan pada pertengahan 2023,” katanya, lapor BH Online.

  • Awal Ashaari kemuka representasi gugur pertuduhan rosak palang pagar

    Awal Ashaari kemuka representasi gugur pertuduhan rosak palang pagar

    SELEBRITI Awal Ashaari telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara.

    Peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, berkata pihaknya memfailkan representasi itu pada bulan November lepas.

    “Mahkamah menetapkan 26 Jan depan bagi mengetahui status representasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Pada 17 Mei lepas, personaliti televisyen itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Bicara bela diri Siti Bainun kekal 5 Jan

    Bicara bela diri Siti Bainun kekal 5 Jan

    PERBICARAAN bagi pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella, dijadualkan bermula 5 Januari ini.

    Peguamnya, Nurul Hafidzah Hassan berkata, anak guamnya tidak mempunyai tarikh pembedahan selepas diberi sijil cuti sakit (MC) akibat masalah kesihatan yang dihadapi sebelum ini.

    “Tarikh prosiding itu terpaksa diteruskan sebab tiada tarikh pembedahan. Pembelaan bersedia untuk prosiding itu, namun tak tahu jika Siti Bainun sihat atau sebaliknya pada masa itu.

    “Mengikut undang-undang, Siti Bainun kena hadir dalam prosiding bela diri. Dia yang akan memberi keterangan dahulu,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

    Mahkamah Sesyen pada 9 Disember lalu menetapkan tarikh baharu perbicaraan bela diri itu selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari (sembilan hari) diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari (tujuh hari) dan 6 hingga 10, 27 hingga 30 Mac (sembilan hari).

    Siti Bainun sebelum ini disahkan diberi cuti sakit selama 22 hari berakhir 19 Disember lalu akibat masalah kesihatan.

    Dia dijangkiti bakteria yang memerlukan pengambilan antibiotik selama 15 hari sebelum menjalani pembedahan hempedu hasil prosedur perubatan diagnostik atau endoskopi dan ujian darah di hospital.

    Pada 24 November lalu, dia diarahkan membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan untuk membela diri awal bulan ini dan lima saksi pembelaan akan dipanggil bagi memberi keterangan termasuk Siti Bainun.

    Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Badan pemikir persoal kenyataan Rafizi berkait punca inflasi

    Badan pemikir persoal kenyataan Rafizi berkait punca inflasi

    PUSAT Pendidikan Pasaran (CME) menyifatkan kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung inflasi dan tabiat belanja pengguna, minggu lalu, sebagai ‘komunikasi yang tidak tepat’.

    Pada sidang media minggu lalu, Rafizi berkata, tabiat belanja menjadi pendorong utama kepada inflasi.

    Katanya, dalam teori ekonomi, permintaan sepatutnya berkurang apabila harga meningkat, namun trend itu tidak dapat dilihat di Malaysia.

    Rafizi berkata, keadaan itu berlaku terutama membabitkan kategori makanan dan bukan alkohol, yang mana permintaan tidak menurun walaupun harga meningkat.

    Memetik pemenang hadiah Nobel ekonomi, Friedrich August von Hayek, CME menjelaskan ‘maksud asal inflasi dan sebetulnya adalah peningkatan berlebihan kuantiti wang, sehingga membawa kepada peningkatan harga’.

    “Walaupun kita memahami sasaran untuk ‘menggegar’ pengguna dengan kenyataan sedemikian, kita juga percaya pihak kementerian boleh menghantar jelas tanpa menjejaskan ketepatan alasan ekonomi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CME Carmelo Ferlito, dalam kenyataan.

    “Sekiranya kerajaan serius menangani inflasi, ia patut bermula dengan mengenalpasti sewajarnya punca dan melaksanakan dasar komunikasi secukupnya.

    “Selain itu, sekiranya kerajaan mahu rakyat berhemah menguruskan perbelanjaan mereka, kerajaan patut menghantar isyarat dengan berhemah dalam kewangannya, yang mana wang dipungut daripada rakyat menerusi percukaian,” lapor FMT.

    Ferlito berkata, dasar fiskal dan monetari besar Malaysia yang diumumkan sebelum ini merupakan usaha mengurangkan kesan ekonomi susulan pandemik Covid-19 – RM305 bilion (23% daripada KDNK) pada 2020 dan RM225 bilion (15% daripada KDNK) pada 2021 – menjadi ‘akar tunjang’ isu inflasi yang sedang melanda.

    Katanya, bagi menangani inflasi sewajarnya, kerajaan sepatutnya secara berkala memotong perbelanjaannya untuk mengurangkan kuantiti wang dalam pasaran.

    Ferlito juga menggesa pelaksanaan reformasi bagi mengembalikan bajet seimbang mengikut keutamaan.

    Dalam maklum balas terhadap kritikan diterimanya, Rafizi berkata, mesej utama yang mahu disampaikan adalah keperluan menangani bekalan dan permintaan untuk mewujudkan ‘keanjalan permintaan’ lebih besar mempengaruhi harga barangan.

  • Siasatan tragedi tanah runtuh Batang Kali 90 peratus siap

    Siasatan tragedi tanah runtuh Batang Kali 90 peratus siap

    SIASATAN polis berhubung tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Dis yang mengorbankan 31 nyawa kini telah hampir 90 peratus lengkap, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

    Beliau berkata kini hanya tinggal siasatan di lokasi kejadian, rakaman percakapan anggota pasukan penyelamat dan laporan patologi daripada pihak hospital untuk mengetahui punca kematian mangsa yang terlibat.

    “Sehingga kini polis telah merakam keterangan daripada 77 orang saksi melibatkan mangsa yang cedera dan keluarga mangsa, operator dan pekerja tapak perkhemahan dan anggota pasukan penyelamat, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan serta Akta Kerajaan Tempatan 1974,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi hari ini.

    Arjunaidi Mohamed

    Seramai 66 orang pelatih yang merupakan pelajar UKM menerima sijil selepas berjaya menamatkan latihan masing-masing di majlis berkenaan.

    Sementara itu Arjunaidi berkata pihaknya telah mengesan 20 kenderaan yang tertimbus dalam kejadian berkenaan dan sedang mengenal pasti pemiliknya.

    “Pihak polis tidak akan mengeluarkan kenderaan itu kerana ia tertimbus terlalu dalam, jadi ia terpulang kepada pemilik kenderaan itu nanti untuk berbincang dengan pihak insurans mereka berkaitan dengan tuntutan,” katanya.

    Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi 16 Dis itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

    Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

  • 11 nelayan asing ditahan ceroboh perairan negara

    11 nelayan asing ditahan ceroboh perairan negara

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan seramai 11 warga asing bersama sebuah bot nelayan tempatan dan sebuah bot nelayan Indonesia dalam operasi berasingan di perairan negeri ini pada 22 dan 24 Disember lalu.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kesemua warga asing itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri serta permit bekerja yang sah.

    Menurut beliau, dalam operasi pertama, kapal ronda Maritim Malaysia menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 25 kilometer dari barat Pulau Kendi pukul 4.17 petang, 22 Disember lalu.

    Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pulau Pangkor, Perak itu dikendalikan lima nelayan warga asing iaitu tiga warga Myanmar dan dua warga Thailand berumur antara 19 hingga 52 tahun.

    “Mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, dalam operasi berasingan, sebuah bot nelayan Indonesia ditahan pada kedudukan 96 kilometer dari Pulau Kendi pukul 12.10 tengah hari, 24 Disember lalu dalam rondaan Op Tanjung.

    Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan asing yang berpangkalan di Belawan, Indonesia itu mendapati ia dikendalikan enam kru warga Indonesia berumur antara 24 hingga 42 tahun.

    “Kesemua mereka juga didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya.

    Tambahnya, kesemua nelayan warga asing itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan negara tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

    Ujar beliau, kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan dan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan mengingatkan semua komuniti nelayan tempatan termasuk pemilik bot mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan perairan negara sentiasa terkawal dari isu pencerobohan bot nelayan asing.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Kaji tambah baik Sosma, bukan hapus- bekas KPN

    Kaji tambah baik Sosma, bukan hapus- bekas KPN

    BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mahu kerajaan mengkaji untuk menambah baik peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma sedia ada dan bukan menghapuskan akta itu.

    “Sosma tak sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kalau ISA, mereka ditahan 60 hari tanpa bicara mahkamah. Berbeza dengan Sosma yang memberi kuasa kepada pihak polis untuk menahan seseorang selama 28 hari bagi menjalankan siasatan,” katanya.

    Menurut beliau, individu tersebut akan dibebaskan kemudian sekiranya tiada pertuduhan mahkamah daripada polis.

    “Jadi, saya menganggap Sosma perlu dikekalkan, ‘review’ (semakan) untuk baiki semula, bukan untuk hapuskan,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir di Dewan Al-Mukhlisin, Alam Damai, lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

  • Guru maut motosikal terbabas langgar penghadang

    Guru maut motosikal terbabas langgar penghadang

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG guru lelaki maut apabila motosikal dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang besi di Kilometer 91.8, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Sungai Petani, pagi tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 8.35 pagi itu, mangsa, Muhammad Nasuha Mustaffa, 34, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Alor Setar mengalami kecederaan dalaman.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai terbabas sendiri.

    “Ketika kejadian motosikal mangsa sedang bergerak dari arah utara menghala ke Selatan. Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang sedang bergerak di lorong kecemasan itu hilang kawalan dan terlanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Zaidy, akibat kemalangan itu, mangsa yang berasal dari Kampung Alor Melintang Mukim Gunong, Alor Setar meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk ujian saringan Covid-19 dan proses bedah siasat,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Pencuri kasut, selipar di Batu Pahat tumpas

    Pencuri kasut, selipar di Batu Pahat tumpas

    POLIS Daerah Batu Pahat, berjaya merampas kasut serta selipar pelbagai jenama bernilai RM7,000 yang dipercayai merupakan barangan curi, susulan penahanan seorang lelaki di Sri Gading, Batu Pahat, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sekitar 4 pagi, dengan bantuan tiga pengawal keselamatan di kawasan perumahan berkenaan.

    “Ketika ditahan, polis turut merampas 12 pasang kasut di dalam kenderaan dipandu lelaki tersebut yang turut dipercayai merupakan kenderaan yang baru dicurinya.

    “Sejak awal tahun, IPD Batu Pahat telah menerima 21 laporan kehilangan kasut yang berlaku di sekitar daerah ini, khususnya di kawasan Yong Peng yang menimbulkan kegelisahan masyarakat.

    “IPD Batu Pahat telah meningkatkan rondaan taman-taman perumahan serta meminta penduduk segera menghubungi pihak polis jika ada yang mencurigakan,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau menjelaskan, tindakan susulan yang dibuat telah berjaya merampas 125 pasang kasut dan 24 selipar pelbagai jenama di rumah suspek di Jalan Labis, Yong Peng.

    “Siasatan awal juga mendapati saspek menjual kasut dan selipar yang dicurinya di pasar tani di kawasan Parit Yaani, Batu Pahat,” kata beliau.

    Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan merupakan suspek yang dikehendaki di IPD Alor Gajah atas kesalahan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan mempunyai lima rekod jenayah.

    Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan didapati negatif dadah, katanya.

    Ismail memberitahu, suspek telah direman selama empat hari sehingga Rabu dan kes disiasat bawah Seksyen 457 serta 379 Kanun Keseksaan.

    Sementara itu, pihaknya percaya penangkapan suspek telah berjaya membantu menyelesaikan kes-kes kecurian kasut dan selipar di daerah Batu Pahat.

  • Korea Selatan rekod kes pertama ‘amoeba pemakan otak’

    Korea Selatan rekod kes pertama ‘amoeba pemakan otak’

    KOREA Selatan melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria fowleri yang biasanya dirujuk sebagai ‘amoeba pemakan otak’, menurut pihak berkuasa kesihatan semalam.

    Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) mengesahkan kematian warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 50-an selepas mangsa kembali dari Thailand pada 10 Disember lalu setelah menetap selama empat bulan di sana.

    “Dia dimasukkan ke hospital pada keesokan harinya dan meninggal dunia pada Rabu lalu. Kami telah melakukan ujian genetik ke atas tiga jenis patogen yang menyebabkan Naegleria fowleri untuk mengesahkan punca kematiannya.

    “Keputusan ujian itu menunjukkan gen dalam tubuh lelaki itu adalah 99.6 peratus sama dengan yang ditemui pada pesakit meningitis di luar negara,” jelas KDCA.

    Difahamkan, ia adalah kes pertama jangkitan itu yang dilaporkan di Seoul selepas Naegleria fowleri muncul di Virginia pada 1937.

    Naegleria fowleri ialah amoeba atau organisma sel tunggal yang hidup di dalam tanah dan air tawar hangat seperti mata air panas, tasik dan sungai di seluruh dunia.

    Ia memasuki tubuh manusia melalui hidung dan menuju ke otak.

    Antara simptom awal termasuk sakit kepala yang teruk, demam, loya atau muntah dan tempoh inkubasi Naegleria fowleri biasanya dua hingga tiga hari atau boleh mencecah sehingga 15 hari.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, KDCA telah menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti berenang di kawasan di mana penyakit itu dikesan walaupun penyebaran antara manusia adalah mustahil.

    Sehingga 2018, sebanyak 381 kes Naegleria fowleri telah dilaporkan di seluruh dunai termasuk India, Thailand, Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun.

    Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di AS, sebanyak 154 kes jangkitan ‘amoeba pemakan otak’ dilaporkan dari 1962 hingga 2021 dan hanya empat pesakit terselamat dengan kadar kematian lebih 97 peratus, lapor Sinar Harian.