Author: Wartawan WartaRakyat

  • Manipulasi pasaran saham: Ahli perniagaan Malaysia dipenjara 36 tahun di Singapura

    Manipulasi pasaran saham: Ahli perniagaan Malaysia dipenjara 36 tahun di Singapura

    SEBUAH mahkamah Singapura menjatuhi hukuman penjara 36 tahun ke atas ahli perniagaan Malaysia John Soh Chee Wen kerana menjadi dalang bagi salah satu manipulasi pasaran saham terbesar republik itu.

    Menurut laporan The Straits Times, pengkomplotnya Quah Su-Ling turut dijatuhi hukuman 20 tahun.

    Kedua-duanya didapati memanipulasi harga saham Kumpulan Blumont, Asiasons Capital dan Lion-Gold Corp – secara kolektif dikenali sebagai BAL – antara Ogos 2012 dan Oktober 2013, dan melenyapkan hampir SGD8 bilion (RM27 bilion) dalam permodalan pasaran pada akhir kegiatan mereka.

    Lapor Free Malaysia Today, kedua-duanya merayu hukuman yang dijatuhkan.

    Soh disabitkan atas beberapa tuduhan, termasuk manipulasi pasaran dan perdagangan palsu.

    Penjatuhan hukuman ini menjadi penutup hampir 200 hari perbicaran, dengan 349 tuduhan berjaya.

    Pendakwa raya memohon hukuman penjara 40 tahun untuk Soh, yang disabitkan atas 180 tuduhan, dan 19 tahun setengah untuk Quah, yang disabitkan atas 169 tuduhan.

    Soh, 63, telah direman sejak 2016, manakala Quah, 58, bekas ketua eksekutif Ipco (kini dinamakan semula sebagai Renaissance United), bebas dengan jaminan SGD4 juta (RM13 juta).

    The Straits Times sebelum ini melaporkan pihak pendakwaan sebagai berkata, skim Soh melibatkan lebih 50 individu, termasuk ketua pegawai eksekutif dan individu bernilai tinggi.

  • Sekatan dan larangan penceramah di masjid, TV pasca PRU15 cetus persoalan

    Sekatan dan larangan penceramah di masjid, TV pasca PRU15 cetus persoalan

    TIMBUL persoalan mengenai beberapa siri pendakwah dilarang muncul di televisyen dan berceramah di masjid sejak pembentukan kerajaan dengan yang terbaru penyingkiran pengerusi masjid di Pulau Pinang yang dipilih melalui proses undian majoriti.

    MalaysiaNow melaporkan, sebelum ini, penceramah terkenal Mohd Ridhuan Tee Abdullah disekat menjadi panel dalam program Forum Perdana Ehwal Islam terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

    Malah, siaran program bual bicara Islam itu pada 14 Disember lalu turut dibatalkan kerana penampilannya sebagai panel tetamu.

    Ridhuan merupakan antara salah seorang panel penceramah tetap dalam program tersebut sejak disiarkan pada awal tahun 2000.

    Sementara itu di Pahang, seorang ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilarang berceramah di sebuah masjid di Jengka yang menjadi tempatnya aktif bersyarah sejak tiga tahun lalu.

    Majlis agama negeri itu menyekat ADUN Chenor Mujibur Rahman Ishak membuat kuliah agama meskipun beliau menegaskan tidak pernah menyentuh unsur politik dalam ceramah.

    Di Pulau Pinang pula, pihak pengurusan sebuah masjid yang baru berusia dua tahun sejak penubuhannya meluahkan kekecewaan dengan mendakwa Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) melanggar peraturan dan ketetapan yang dilaksanakan melalui proses pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) sesebuah masjid di negeri itu.

    Ini ekoran isu tular yang berlaku di Masjid Bandar Tasek Mutiara, Simpang Empat yang menyaksikan peletakan jawatan keseluruhan 14 orang AJK masjid berkenaan.

    Bercakap kepada MalaysiaNow, salah seorang ahli jawatankuasa tersebut mendakwa ianya berpunca apabila MAIPP tidak akur kepada keputusan pemilihan oleh jemaah dan kariah masjid pada Ogos lalu.

    “Ustaz An Nur dipilih secara demokrasi sebagai pengerusi jawatankuasa.

    “Tetapi individu yang dipilih untuk jawatan kedua dan ketiga diangkat sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi tanpa alasan serta penjelasan daripada pihak MAIPP.

    “Ini mengelirukan kariah kerana ramai yang mempersoal mengapa pemilihan Ustaz An Nur disingkirkan,” katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

    MalaysiaNow difahamkan peletakan jawatan kesemua AJK tersebut berkuatkuasa pada 1 Januari depan.

    Pada Isnin, tular satu video bersurai 11 minit menunjukkan seorang lelaki membuat pengumuman tentang peletakan jawatannya sebagai AJK masjid diikuti dengan beberapa nama lain pada pengumuman yang sama.

    Mengulas lanjut, AJK tersebut berkata Ustaz An Nur bertanding bagi jawatan pengerusi tanpa pencabar lain menjadikan undi yang diterimanya daripada jemaah masjid mencatatkan jumlah undi paling tertinggi.

    “Sebenarnya ini proses yang panjang (pemilihan). Kami sebagai jawatankuasa ni cuba untuk mengikuti apa yang majlis agama tetapkan. Kita buat pendaftaran ahli kariah, dah banyak masa terbuang di situ.

    “Upah orang untuk masukkan nama-nama kariah dalam database semata-mata untuk buat pemilihan ini. Tapi akhirnya, keputusan pemilihan ini tak diikuti.”

    Bercerita lebih lanjut, beliau memberitahu sejak pembukaan masjid tersebut pada tahun 2020, mereka menerima beberapa aduan yang disifatkan terlalu “melampau” kerana menyerang peribadi individu berbanding membuat aduan tentang keadaan fasiliti masjid.

    “Ustaz An Nur ni sejarah latar belakangnya memang ahli PAS, tetapi perjalanan kuliah dan ceramahnya tiada langsung unsur politik.

    “Masjid kami pun, masa buka puasa tahun lepas menjemput semua pemimpin-pemimpin parti politik di sini hadir. DAP, PAS dan Umno juga hadir,” katanya sambil menambah alasan parti politik seharusnya tidak menjadi isu.

    Katanya, sehingga kini kenyataan balas yang diberikan oleh Pengerusi MAIPP Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman masih tidak kukuh dan jelas.

    Beliau yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang hanya menghantar wakil daripada majlis agama tersebut untuk berbincang mengenai permasalahan itu dengan AJK masjid berkenaan.

    “Sepanjang proses ini beliau hanya gunakan pejabat agama dan MAIPP pun langsung tak nak jumpa dengan kami.

    “Keputusan untuk letak jawatan ini dibuat tanda solidariti pertamanya kepada ahli kariah yang memilih dan kedua kepada Ustaz An Nur yang dipilih.”

    Siri sekatan dan larangan terhadap penceramah ini turut mendapat perhatian ramai termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyididin Yassin yang berharap pihak berwajib tidak mengambil sebarang tindakan kepada golongan itu semata-mata kerana berlainan fahaman politik.

    “Pihak berwajib yang mentadbir urusan agama Islam tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan orang Islam.

    “Demikian juga pengurusan masjid yang dibuat dengan memilih AJK secara demokratik oleh ahli-ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

    Menurut Muhyiddin , beliau menyedari ramai pihak yang berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan selebriti terkenal memberikan sokongan secara terbuka kepada PN pada PRU15 lalu.

    Bagaimanapun, katanya, terdapat juga beberapa pihak lain yang turut menyatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

    “Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik.

    “Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif.”

  • Remaja hilang ditemui selamat, 3 individu ditahan polis

    Remaja hilang ditemui selamat, 3 individu ditahan polis

    TIGA individu termasuk seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes remaja perempuan yang hilang selepas keluar dari inap desa disewa keluarganya di Taman Salak Maju, Sepang, Ahad lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, dua daripadanya, lelaki dan wanita berusia 19 dan 18 tahun ditahan dalam serbuan pertama di sebuah unit kondominium di Seksyen 13, Shah Alam.

    Katanya, mangsa yang berusia 13 tahun kemudiannya berjaya diselamatkan dalam serbuan itu.

    “Kami turut menahan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun di sebuah pasar raya di Seksyen 13 Shah Alam jam 9.30 malam tadi,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, polis turut merampas tiga telefon bimbit, sebuah motosikal Yamaha R15 yang dipercayai digunakan ketika kejadian, dua baju, dua seluar dan satu topi keledar.

    “Hasil soal siasat awal dilakukan mendapati kedua-dua suspek lelaki mengaku terbabit dalam kes itu.

    “Mereka juga mengaku menaiki motosikal bersama ke kawasan berdekatan dengan inap desa berkenaan untuk berjumpa dengan mangsa,” katanya.

    Menurutnya, seorang daripada suspek lelaki kemudian menaiki kenderaan e-hailing bersama mangsa, manakala rakannya (suspek kedua) menaiki motosikal pulang ke kediaman di Seksyen 13, Shah Alam.

    “Suspek wanita pula tidak mengaku terbabit dalam kes itu dan berada bersama dua suspek lelaki serta mangsa di lokasi tangkapan.

    “Semakan dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

    Wan Kamarul berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan.

    Media melaporkan mengenai kehilangan remaja terbabit selepas keluar meninggalkan rumah inap desa (homestay) yang disewa keluarganya di Taman Salak Maju itu.

    Laporan polis dibuat oleh abangnya selepas menyedari adiknya yang bernama Salsabila Putri Md Nasir itu didapati tiada di inap desa terbabit.

  • Haramkan wanita ke universiti langkah terkebelakang Taliban – Pemuda Pas

    Haramkan wanita ke universiti langkah terkebelakang Taliban – Pemuda Pas

    KEPUTUSAN kerajaan Taliban di Afghanistan untuk melarang wanita belajar di universiti adalah langkah terkebelakang yang dilaksanakan oleh mereka, kata Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

    Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, pendidikan adalah asas yang amat penting bagi membina sebuah tamadun yang sejahtera bahkan Islam menekankan umatnya untuk mencari ilmu bagi memajukan diri serta masyarakat.

    Menurutnya, pendidikan juga menjadi suatu wadah yang amat penting dalam membina sebuah peradaban, bukan sahaja kaum lelaki, malah golongan wanita juga turut memainkan peranan dalam perkembangan ilmu.

    “Atas sebab itu, Dewan Pemuda Pas Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap polisi Kerajaan Islam Afghanistan, yang menggantung akses wanita negaranya daripada memasuki universiti di negara tersebut.

    “Sebelum ini, Taliban membenarkan pelajar wanita untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat universiti dengan syarat tertentu.

    “Malangnya, polisi ini digantung sementara selepas arahan terbaru yang dikeluarkan tempoh hari. Ini sebuah langkah terkebelakang yang dilaksanakan oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, tanpa sekalipun menafikan kewajipan untuk menutup aurat kepada semua umat Islam, tindakan kerajaan Taliban dilihat sebagai perkara yang tidak tepat pada pelaksanaannya.

    Katanya, langkah itu juga tidak wajar berlaku dalam memastikan budaya keilmuan terus berkembang dari semasa ke semasa.

    “Terdapat kaedah-kaedah perlaksanaan lain yang lebih sesuai, serta boleh dikuatkuasakan dalam memastikan isu hijab ini boleh dilaksana, di samping hak pendidikan kepada seluruh warganegara juga terjaga.

    “Dalam melaksanakan sesuatu perubahan, ianya mestilah dibuat secara berhati-hari dan tidak bersifat drastik sehingga mencemarkan nama Islam.

    “Rasulullah SAW juga pernah mengajar umatnya untuk melakukan perubahan secara berperingkat atau “Tadarruj”. Ini penting bagi memastikan penerapan nilai Islam dalam perubahan tersebut, agar ia mencapai maqasid syariah yang digariskan serta tidak menjadi fitnah yang mencemarkan nama Islam itu sendiri,” jelasnya.

    Pada 20 Dis, kerajaan Taliban mendapat kritikan global kerana menggantung akses untuk pelajar perempuan ke universiti sehingga diberitahu kelak – mendakwa ini kerana mereka tidak mematuhi “kod berpakaian” yang betul.

    Taliban juga berkata beberapa mata pelajaran seperti kejuruteraan dan pertanian, tidak sesuai untuk kaum wanita.

  • Jika pimpinan berubah, Nazri yakin UMNO tak khianat PH

    Jika pimpinan berubah, Nazri yakin UMNO tak khianat PH

    PERUBAHAN kepimpinan tertinggi UMNO andai berlaku pada pemilihan parti tidak menggugat kestabilan kerajaan sedia ada susulan parti itu sudah menandatangani perjanjian membentuk kerajaan.

    Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, sebagai “orang lama” dalam parti, beliau sendiri akan “memastikan” tidak akan berlaku pengkhianatan dalam kerajaan perpaduan jika berlaku perubahan pimpinan UMNO.

    “Saya tidak fikir kalau ada perubahan dalam UMNO (selepas pemilihan parti), maka kita tidak akan bersama dengan PH (Pakatan Harapan), saya tidak fikir begitu kerana kita sudah membuat perjanjian.

    “Jadi, kalau kata ada perubahan di UMNO mungkin akan beri kesan kepada kerajaan, saya tidak fikir ia akan berlaku kerana pertama sekali kita sudah menandatangani (perjanjian) sebagai satu kumpulan bersama dengan PH,” lapor Berita Harian.

    Nazri ketika mengulas lanjut, berkata pembentukan kerajaan hari ini dibuat atas titah Yang di-Pertuan Agong.

    “(Pembentukan kerajaan) dibuat atas titah dan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Jadi, janganlah kita mengatakan mempertahankan institusi kesultanan, tetapi pada masa sama, titah Tuanku tak nak dengar.

    “Tidak akan berlaku ketidakstabilan politik dan saya sebagai orang lama dalam UMNO akan pastikan tidak akan berlaku pengkhianatan kepada perjanjian ini dan penderhakaan kepada kehendak Tuanku.

    “Kita tidak akan membelakangkan keputusan PRU15 yang dikehendaki pengundi, yang meletakkan PH sebagai parti terbesar dalam PRU15,” katanya.

    Pada 16 Dis, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH bagi mengukuhkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan, diterajui Anwar Ibrahim.

    Gabungan itu membabitkan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

  • MASA tawar geran penyelidikan MPDP 2.0

    MASA tawar geran penyelidikan MPDP 2.0

    INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menawarkan geran penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) kali kedua atau MPDP 2.0 bagi tahun 2023.

    Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, MPDP 2.0 ditawarkan kepada badan pemikir, para penyelidik dan ahli akademia dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).

    Menurutnya, MPDP 2.0 menawarkan geran sehingga RM15,000 untuk setiap kertas cadangan penyelidikan yang terpilih.

    “Pemohon yang berjaya perlu menghasilkan ringkasan polisi dan digalakkan untuk menerbitkan hasil penyelidikan dalam media cetak, media elektronik dan/atau jurnal terkemuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Azril berkata, mereka yang berminat perlu mengemukakan kertas cadangan penyelidikan mengikut kategori dan tema terpilih bersandarkan kepada lapan fokus utama sebagai persediaan dalam menangani cabaran kemelesetan ekonomi 2023 dan tahun-tahun akan datang.

    Katanya, fokus tema atau isu itu melibatkan, Rumah Mampu Milik; Keselamatan Makanan; Perlindungan Sosial; Perubahan Iklim; Memacu Perniagaan; Meningkatkan Kemahiran Secara Berkala; Membina Daya Tahan Kesihatan & Kesiapsiagaan Krisis Masa Depan dan Menangani Keciciran Pembelajaran.

    “Borang permohonan MPDP 2.0 yang lengkap perlu dihantar selewat-lewatnya pada 30 Januari 2023 (Isnin). Untuk makluman lanjut, sila layari laman sesawang MASA di https://bit.ly/MPDP_2-0 atau hubungi Bahagian Dasar dan Penyelidikan menerusi emel [email protected],” tambahnya.

    MPDP diperkenalkan julung kalinya pada September 2021 dan mendapat sambutan memberangsangkan dengan penerimaan sejumlah 134 kertas cadangan daripada 21 buah IPTA dan IPTS.

    MPDP merupakan suatu usaha rintis dalam mempromosi penyelidikan dasar yang telah menjadi sebahagian daripada projek flagship MASA sepanjang tahun 2021 dan 2022, seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dijajarkan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

    Sebanyak 30 Ringkasan Polisi berjaya dihasilkan – merangkumi penyelidikan dasar dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan pembangunan lestari.

  • Warga emas maut jengkaut dikendali jatuh gaung

    Warga emas maut jengkaut dikendali jatuh gaung

    SEORANG warga emas maut selepas jengkaut dikendali jatuh ke dalam gaung dalam kejadian di Jalan Assan Nunggang, Jalan KJD di Sibu, hari ini.

    Mangsa, John ak Singke, 62, maut akibat tersepit di dalam jentera berat itu.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 3.38 petang.

    Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Pasukan operasi dimaklumkan kemalangan melibatkan sebuah jengkaut jatuh gaung dan terdapat seorang mangsa tersepit.

    “Jarak ke lokasi dari jalan utama dalam anggaran 400 meter dan anggota berjalan kerana tiada akses untuk jentera ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kata kenyataan itu lagi, mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan ‘Air Lifting Bag’.

    “Mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian pada pukul 5.51 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. lapor Harian Metro.

  • Zuraida, setiausaha agung antara 11 pemimpin dipecat PBM

    Zuraida, setiausaha agung antara 11 pemimpin dipecat PBM

    BEKAS Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin, Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Nor Hizwan Ahmad antara 11 individu yang digugurkan jawatan dan dipecat dari parti itu.

    Lapor Free Malaysia Today, pemecatan mereka kerana gagal memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh tujuh hari.

    Mereka antara 13 individu yang diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Disiplin PBM pada 19 Dis lalu.

    Selain Zuraida dan Hizwan, PBM juga memecat Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden 2, Dr Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahari; Ketua Pemuda, Na’im Brundage; dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid.

    Turut dipecat empat Ahli Majlis Tertinggi PBM Abd Aziz Ab Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

    Bagaimanapun PBM hanya memecat Timbalan Presiden 1 Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi dari jawatan, dan mereka berdua masih kekal sebagai ahli biasa.

    Menerusi kenyataan, unit penerangan PBM memaklumkan bahawa tindakan ke atas 13 individu itu dibuat selepas Ahli Jawatankuasa Disiplin membuat perbincangan lanjut hari ini mengikut Perlembagaan parti.

    “Mereka telah diberi peluang untuk menjelaskan dan membela diri dan diberi tempoh tujuh hari, akan tetapi telah gagal memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin Parti PBM.

    “Maka dengan ini, demi kepentingan Parti PBM, Jawatankuasa Disiplin PBM telah membuat keputusan bahawa keahlian, jawatan individu-individu tersebut ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 27hb Disember 2022,” menurut kenyataan itu.

    Zuraida sebelum ini turut menyifatkan Presiden PBM Larry Sng sebagai tidak matang dan angkuh dalam menguruskan PBM selain membuat ugutan.

    Susulan itu Sng memberi respons kepada Zuraida supaya berhenti daripada politik dan muhasabah diri kerana pengundi di Ampang turut menolak bekas menteri itu pada pilihan raya umum ke-15.

    Kemelut melanda PBM semakin parah apabila Sng menggantung keahlian dan jawatan 12 Ahli Majlis Tertinggi parti itu, kerana mendakwa penglibatan individu berkenaan didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinan.

  • Tujuh tan dekorasi ayat al-Quran dibuang di tapak pelupusan haram

    Tujuh tan dekorasi ayat al-Quran dibuang di tapak pelupusan haram

    LONGGOKAN pelbagai dekorasi berasaskan ayat suci al-Quran ditemui di lokasi pembuangan sampah haram dekat Jalan P/AM 2 Kawasan Perindustrian Arab Malaysia, di Nilai, tengah hari tadi.

    Ia ditemui penguat kuasa SW Corp yang sedang meronda di kawasan itu kira-kira pukul 12.15 tengah hari sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan polis.

    Menurut Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah, berdasarkan pemerhatian awal ia disyaki dibuang peniaga perabot dari Kawasan Perindustrian Nilai 3.

    “Daripada maklumat berkenaan, JHEAINS, SW Corp, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai bergegas ke lokasi dan mendapati pelbagai ayat suci al-Quran dibuang di kawasan ini.

    “Ia seperti bingkai dan perhiasan yang tertulis ayat suci seperti nama Allah, Muhammad, empat Qul, ayat seribu dinar dan sebagainya. Ia bukan helaian kertas daripada kitab al-Quran,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut Ahmad Zaki berkata, kesemua perhiasan itu dibawa menggunakan lori milik MBS dengan kerjasama semua agensi berkenaan dan akan dibawa ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Seremban untuk tindakan selanjutnya.

    “Berdasarkan jumlah barang yang ditemui, jumlahnya boleh dimuatkan dalam lori tujuh tan. Kami yakin ia bukan perbuatan individu.

    “Bagaimanapun, kami mungkin menghadapi masalah melupuskan ayat suci ini kerana material bukan diperbuat daripada kertas. Kami mungkin terpaksa mencari tempat pelupusan persendirian,” katanya.

    Ahmad Zaki berkata, perbuatan itu sebenarnya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 50Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mencela, menghina, dan sebagainya agama Islam.

    “Ini bukan cara yang betul untuk melupuskan ayat suci al-Quran. Ia melambangkan kesucian dan kemuliaan agama Islam, malah perbuatan ini boleh menimbulkan rasa sakit hati umat Islam.

    “Saya menyeru peniaga di sini supaya menghubungi pihak JHEAINS jika mahu melupuskan sebarang ayat suci al-Quran dan kami akan membantu mereka. Kami risau ia akan menjadi amalan jika tidak dibendung.

    “Kami juga mengucapkan terima kasih kepada MBS, SW Corp dan PDRM yang berganding bahu menyelesaikan kejadian ini kerana ia membabitkan bidang kuasa banyak pihak,” katanya.

  • SOSMA perundangan digeruni, tak perlu dikaji semula

    SOSMA perundangan digeruni, tak perlu dikaji semula

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) selama ini berjaya menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam menangani aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd. Rais berkata, akta itu juga berjaya membendung aktiviti gengsterisme dan elemen keganasan lain.

    “Oleh itu, apakah kewajaran akta tersebut dikaji semula oleh kerajaan sekarang.

    “Ini termasuklah membanteras keganasan terancang dan berjaya mengekang pemerdagangan orang dan penyeludupan migrain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mahathir berkata, SOSMA sebenarnya perlu ditambah baik bukan dilonggarkan sebagaimana usaha yang pernah dibuat oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Katanya, tumpuan sebenar terhadap SOSMA haruslah berpaksikan bagaimana ia boleh berfungsi untuk menjaga keamanan negara.

    “Saya berharap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dapat membuat keputusan yang terbaik.

    “Kita tiada akta yang digeruni dan SOSMA adalah satu-satunya undang-undang yang membolehkan seorang pegawai polis dengan tanpa waran boleh menangkap dan menahan mana-mana pihak yang dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Saifuddin sebelum ini dilaporkan memberi bayangan akta tersebut tidak akan disemak kembali dan menyatakan individu yang ditahan boleh mengambil khidmat peguam sekiranya dihadapkan ke mahkamah.

    Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo meminta Saifuddin mempertimbangkan keputusan tersebut kerana ia bertentangan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju dengan mekanisme dalam akta berkenaan.