Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pemandu mabuk lawan arus punca kemalangan di LDP direman

    Pemandu mabuk lawan arus punca kemalangan di LDP direman

    TINDAKAN lelaki mabuk memandu secara melawan arus mengakibatkan kemalangan dua kenderaan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran jejambat Taman Megah, dekat Petaling Jaya, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu, 6.09 pagi tadi.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku akibat Honda Civic dipandu secara melawan arus oleh seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol berusia 27 tahun.

    “Tindakan itu menyebabkan kenderaan berkenaan terlanggar sebuah Proton Saga yang datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kemalangan itu menyebabkan dua penumpang kereta Honda Civic serta pemandu kereta Proton Saga cedera.

    “Semua mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan.

    “Pemandu kereta Honda Civic itu pula direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Juwita Selamat di talian 019-2841667 bagi membantu siasatan.

  • Kes dera: Tahanan wanita terduduk, menangis dibenar tatap jenazah anak

    Kes dera: Tahanan wanita terduduk, menangis dibenar tatap jenazah anak

    LULUH hati seorang tahanan wanita ketika dibenarkan menatap wajah anaknya buat kali terakhir sebelum jenazah kanak-kanak lelaki yang dipercayai menjadi mangsa dera itu dikafankan hari ini.

    Wanita berusia 39 tahun itu dilihat terduduk dan menangis ketika melihat jenazah anaknya itu buat kali terakhir.

    Dia yang masih berada dalam tahanan Penjara Simpang Renggam, Kluang diberi peluang kira-kira lima minit melihat jenazah anak bongsunya selepas selesai dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

    Lapor Berita Harian, wanita yang memakai pakaian tahanan berwarna ungu itu, dilihat menangis sebaik keluar menuju ke van sambil diiringi dua pegawai penjara.

    Difahamkan, ibu kepada 11 anak itu, hanya diberitahu mengenai kejadian malang menimpa anaknya itu sebaik tiba di bilik mayat kerana wadar ingin mengawal emosi ibu terbabit sepanjang dalam perjalanan dari penjara.

    Datuk saudara kepada kanak-kanak itu, Ruslan Ahmad, 47, melahirkan rasa terkilan mengenangkan nasib malang menimpa kanak-kanak itu.

    Katanya, dia tidak menyalahkan ibu kepada cucu saudaranya itu, tetapi terkilan kerana kanak-kanak terbabit tidak diserahkan semula kepadanya atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila wanita itu ditahan semula polis pada September lalu.

    “Saya betul-betul terkilan. Kalau saya tahu perkara ini nak berlaku, memang saya ‘simpan’ dia, tak mahu serah pada ibunya. Ketika itu, saya diberitahu ibu arwah sudah pulih, sudah dilepaskan (daripada tahanan) dan dia mohon nak jaga anak dia, saya dan JKM berbincang beri dia peluang.

    “Sepanjang dalam jagaan ibunya selama sebulan, saya difahamkan keadaan arwah baik. Saya juga bertanya khabar hampir setiap hari dan mereka maklumkan arwah sihat dan semuanya ‘okay’.

    “Tetapi, lama kelamaan saya gagal hubungi ibu arwah dan apabila saya dimaklumkan tentang kejadian menimpa arwah, saya baharu dapat tahu yang ibu arwah ditahan semula dan arwah dijaga kakaknya,” katanya yang ditemui ketika hadir menuntut jenazah kanak-kanak yang dipanggil Lokman itu di HSI, hari ini.

    Ruslan yang juga bapa saudara kepada bapa kanak-kanak itu adalah individu yang diberikan hak penjagaan sementara oleh JKM sejak kedua ibu bapa kanak-kanak itu ditahan dan dimasukkan ke dalam penjara akibat kes dadah.

    Bapa kanak-kanak yang berusia 40-an itu juga kini berada dalam tahanan Penjara Sungai Udang, Melaka.

    Ruslan yang turut menjaga seorang lagi adik-beradik arwah, berkata dia reda dengan kejadian menimpa cucu saudaranya itu dan akan menyelesaikan amanah dan tanggungjawab diberikan sehingga ke proses pengebumian.

    “Saya pernah menjaga arwah selama sebulan ketika dia baharu lahir sebelum JKM menjaganya selama tiga tahun. Kemudian saya diberi hak penjagaan lagi selama sebulan sebelum diserahkan kepada ibu arwah.

    “Jadi pada saya, biarlah saya yang menguruskan jenazah Lokman kerana saya menyayanginya sejak masih bayi lagi. Saya reda, perkara pun dah berlaku,” katanya yang membawa pulang jenazah ke Labis, Segamat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gatom.

    Ruslan turut berharap siasatan polis terhadap insiden yang meragut nyawa cucu saudaranya itu dijalankan seadil-adilnya dan mereka yang terlibat dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

    Kelmarin, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia selepas tiga hari dirujuk ke HSI akibat pengsan di rumahnya dekat Senggarang, Batu Pahat.

    Siasatan awal polis mendapati kematian kanak-kanak itu adalah dipercayai akibat didera dengan terdapat pelbagai kesan kecederaan baharu dan lama di seluruh tubuh badannya.

    Antara kecederaan yang dapat dilihat adalah kesan dicucuh api atau benda panas di seluruh badan mangsa, termasuk di kemaluan dan digigit di telinga.

    Lima suspek ditahan polis termasuk kakak mangsa dan suami serta tiga rakan kepada wanita berkenaan, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Beroperasi lebih 2 tahun, NTF dibubar secara rasmi

    Beroperasi lebih 2 tahun, NTF dibubar secara rasmi

    PASUKAN National Task Force (NTF) yang bertanggungjawab atas pengendalian Operasi Benteng (Op Benteng) sejak 2020, dibubarkan secara rasmi hari ini.

    Perkara itu diumumkan oleh Panglima Angkatan Tentera (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

    Lapor Berita Harian, NTF beroperasi selama dua tahun, tujuh bulan dan 25 hari.

    NTF ditubuhkan pada 6 Mei 2020 membabitkan gabungan 18 agensi penguat kuasa dan keselamatan kerajaan yang bertanggungjawab mengekang penyebaran wabak COVID-19.

    Ia susulan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 29 April 2020 melalui Op Benteng.

    Op Benteng melalui kuasa Akta 342 iaitu Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, digerakkan oleh NTF bagi membanteras kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke dalam negara serta mengekang penyebaran wabak COVID-19.

  • Kes kehilangan Zalina: Mayat tanpa identiti tak sepadan

    Kes kehilangan Zalina: Mayat tanpa identiti tak sepadan

    POLIS masih belum menerima maklumat terbaharu mengenai bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman, 58, yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

    Malah, pemeriksaan serta analisa yang dijalankan terhadap beberapa mayat tanpa identiti juga tidak sepadan dengan wanita berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kes berkenaan masih dikategorikan sebagai orang hilang (OH) dan polis masih terbuka jika ada maklumat terbaharu yang ingin disalurkan orang awam.

    “Kita masih belum terima maklumat terkini daripada orang awam dan setakat ini, pemeriksaan terhadap mayat tanpa identiti yang kita jumpai tiada yang ‘match’ (sepadan) dengan Zalina.

    “Selain pemeriksaan terhadap mayat tanpa identiti yang ditemui di Kuala Lumpur dan Selangor, ia turut membabitkan penemuan di negeri-negeri lain berikutan profile Zalina sudah kita hantar ke Jabatan Kimia.

    “Kita tidak sama sekali menutup siasatan kes ini dan orang ramai masih diberi ruang untuk menyalurkan apa-apa maklumat terbaharu mengenai kehilangan Zalina,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini, lapor Harian Metro.

    Kehilangan Zalina dilaporkan anak lelakinya berusia 33 tahun pada 29 November tahun lalu.

    Polis sebelum ini mendedahkan keyakinan bahawa wanita itu masih berada di Malaysia susulan tiada pergerakan keluar dikesan pihak berkuasa.

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang lupus bot, peralatan nelayan bernilai RM192,000

    Maritim Malaysia Pulau Pinang lupus bot, peralatan nelayan bernilai RM192,000

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang hari ini melupuskan bot nelayan asing dan tempatan serta peralatan menangkap ikan bernilai RM192,000 setelah mendapat keputusan lucut hak oleh mahkamah di Limbongan Batu Maung, Pulau Pinang.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pelupusan yang dilakukan melalui kaedah hancur musnah itu melibatkan sebanyak lima buah bot nelayan asing Indonesia; sebuah bot fiber nelayan tempatan; 492 set bubu naga dan dua unit pukat lohong hasil tangkapan yang dilakukan sepanjang tahun lalu.

    Jelas beliau, kes pelupusan lucut hak itu melibatkan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 seperti tiada permit menangkap ikan di perairan Malaysia terutama bot nelayan asing Indonesia; penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan iaitu bubu naga dan pukat lohong serta bot tempatan yang tidak memiliki nombor pendaftaran.

    “Pelupusan secara lupus musnah itu adalah mesej jelas oleh Maritim Negeri Pulau Pinang yang tegas dalam melaksanakan undang-undang dalam memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi.
    “Selain itu, ia juga menunjukkan kita tidak berkompromi dengan mana-mana pihak terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang berlaku di dalam perairan negara demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mengulas lanjut tambah Abd. Razak, sepanjang tahun ini setakat November lalu, sebanyak 4,379 pemeriksaan dan penggeledahan dilakukan oleh pegawai dan anggota Maritim Negeri Pulau Pinang.

    Daripada jumlah itu jelasnya, sebanyak 76 tangkapan dilakukan melibatkan kesalahan atas pelbagai akta manakala 10 kes pengusiran dibuat melibatkan bot nelayan asing Indonesia.

    Sementara itu, ditanya mengenai kekerapan pencerobohan nelayan asing di perairan negara, Abd. Razak berkata, faktor hasil laut yang banyak di perairan negara menjadi antara faktor nelayan warga asing berkenaan mengambil risiko menangkap ikan sehingga menceroboh perairan negara.

    Tambah beliau, pihaknya turut memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan maritim antarabangsa seperti Australian Border Force khususnya dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan, penyeludupan barang kawalan, kontraban atau dadah serta penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia.

    “Kita juga mengalu-alukan orang awam menyalurkan sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut dengan segera menghubungi talian hotine Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Skuad Prihatin Bersatu santuni tahfiz terjejas banjir

    Skuad Prihatin Bersatu santuni tahfiz terjejas banjir

    SKUAD Prihatin Bersatu hari ini menyantuni lebih 50 warga Madrasatul Quran Sahabat di Kampung Bukit Biah, DUN Telemung, antara tempat yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

    Mereka menerima sumbangan kit pembersihan diri yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

    “Semoga Allah melindungi anak-anak tahfiz disini kerana merekalah pelapis guru-guru agama kepada anak-anak kita nanti, insyaAllah,” kata Rosol lapor BeritaBersatu.

    Antara barangan keperluan harian untuk kegunaan anak-anak tahfiz seperti toto (tilam), tuala, berus gigi dan sabun.

    Sumbangan tersebut adalah kerjasama Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Hulu Terengganu.

  • Pelajar berlagak samseng jalanan ditahan

    Pelajar berlagak samseng jalanan ditahan

    TINDAKAN seorang pelajar memberhentikan kenderaannya di tengah Jalan SS 8/2, di Petaling Jaya membawa padah apabila suspek diberkas Sabtu, lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di tepi jalan Sungai Penchala di sini.

    “Suspek yang berumur 19 tahun itu ditahan pada jam 3.20 petang bagi siasatan berkaitan tindakannya menerusi satu video yang tular pada Jumaat.

    “Suspek direman tiga hari bagi siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Jumaat lalu, seorang pemandu kereta berlagak samseng dengan memberhentikan kenderaannya di tengah Jalan SS 8/2, di Petaling Jaya.

    Kejadian tersebut telah dikesan melalui satu video tular berdurasi dua minit 20 saat di aplikasi Twitter yang memaparkan tindakan lelaki terbabit.

    Suspek turut mengeluarkan sebatang rotan panjang dari kenderaannya ketika kejadian.

  • Rafizi angkuh, patut diganti dengan Johari Ghani – Wan Saiful

    Rafizi angkuh, patut diganti dengan Johari Ghani – Wan Saiful

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran untuk melantik bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Ekonomi bagi menggantikan Rafizi Ramli.

    Ini kerana, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Rafizi sebagai individu yang angkuh dan tidak kompeten kerana menetapkan matlamat yang tidak wajar sebagai seorang menteri.

    Katanya, matlamat itu menunjukkan pendekatan kerajaan yang dianggotai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berbeza dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    “Matlamat kerajaan bukan untuk bagi sesiapa terduduk, tapi matlamat kerajaan ialah membantu rakyat tanpa mengira pegangan politik.

    “Semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN memegang kuasa, kita prihatin menjaga kebajikan semua rakyat dan kita langsung tak pernah terniat supaya PH terduduk. Tak kira PN atau PH, semua kita bantu. Itulah beza kerajaan PN yang adil dan PH-BN yang angkuh dan tidak kompeten.

    “Sifat angkuh PH-BN inilah yang menyebabkan mereka sentiasa salah sasaran. Sasaran sebenar sepatutnya menghasilkan idea bantu rakyat tapi disebabkan angkuh, sasaran PH-BN masih lagi nak balas dendam jika ada orang kritik mereka. Akibatnya idea penyelesaian masalah rakyat belum ada,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya lagi, kerajaan seharusnya melihat bagaimana untuk memulakan pembaharuan terhadap bekalan makanan supaya ada penyelesaian jangka panjang berkaitan harga barang.

    “Dasar berkaitan insentif, percukaian, subsidi, peraturan eksport, semuanya adalah perkara yang boleh kerajaan gunakan untuk bantu rakyat.

    “Sekiranya Rafizi terus menerus angkuh, saya cadangkan Anwar gantikan dia dengan Johari Abdul Ghani. Johari jauh lebih berwibawa dan tidak kebudak-budakan sehingga nak buat sesiapa terduduk semata-mata sebab dendam politik,” katanya lapor Utusan Malaysia.

  • Banjir: Penduduk sifatkan terburuk, anggar kerugian cecah RM10,000

    Banjir: Penduduk sifatkan terburuk, anggar kerugian cecah RM10,000

    PENDUDUK Taman Desa Tanjung Damai (TDTD), Gong Badak, Kuala Nerus tidak dapat menahan kesedihan mereka pasca banjir yang berlaku di Terengannu baru-baru ini apabila pelbagai barangan dalam rumah mereka rosak dengan kerugian dianggar mencecah hingga RM10,000.

    Penduduk di kawasan perumahan yang mempunyai hampir 1,000 ketua isi rumah (KIR) itu menyifatkan bah kali ini adalah yang terburuk selepas empat kali kawasan itu dinaiki air banjir sejak 2015.

    Seorang penduduk, Mohd Azmi Awi, 37, berkata, rumahnya pernah dinaiki air banjir namun tidak seteruk pada kali ini.

    Menurutnya, air memasuki rumah agak tinggi sedalam paras lutut dewasa selain terpaksa berpindah selama enam hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak.

    “Lebih memilukan banyak barangan perabot seperti almari, meja, sofa serta barangan elektrik rosak dan terpaksa dibuang kerana tidak boleh digunakan lagi.

    “Selain itu dokumen kerja saya serta buku sekolah anak juga turut alami kerosakan kerana ditenggelami banjir ‘termenung’. Saya anggarkan jumlah kerugian tidak kurang RM10,000.

    “Walaupun sedih melihat barangan rosak kerana bukan mudah untuk membelinya semula, saya tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat daripada perkara yang tidak diingini,” katanya, lapor Berita Harian.

    Banjir di perumahan berkenaan yang berlaku mulai Selasa minggu lalu adalah sedalam satu meter dalam rumah manakala di luar rumah sedalam 1.5 meter.

    Seorang lagi penduduk, Roslina Abd Rahim, 50, berkata dia hilang kata-kata dan menangis selepas barangan perabot dan elektrik rumahnya rosak akibat ditenggelami banjir selama lima hari.

    Ibu tunggal yang sudah menetap di taman berkenaan sejak tujuh tahun lalu bagaimanapun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan selain struktur bangunan tidak rosak.

    “Selepas dibenarkan pulang ke kediaman, saya menangis kerana banyak barangan perabot dan elektrik rosak, barangan lain juga turut rosak, saya anggarkan kerugian hampir RM10,000 kerana tidak boleh digunakan lagi dan terpaksa dibuang.

    “Saya harap pihak berkuasa dapat menaikkan taraf Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi memastikan kejadian malang ini tidak berulang lagi,” kata suri rumah itu ketika ditemui di kediamannya.

    Berdasarkan rekod, banjir yang melanda negeri ini adalah yang terburuk dalam sejarah dengan lebih 40,000 mangsa terpaksa berteduh di PPS.

    Terdahulu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Terengganu masing-masing mengumumkan ‘saguhati’ RM1,000 kepada setiap KIR mangsa banjir.

  • 320kg syabu bernilai RM11.5 juta dirampas

    320kg syabu bernilai RM11.5 juta dirampas

    SEBANYAK 320 kilogram syabu bernilai RM11.5 juta berjaya dirampas polis selepas menumpaskan sindiket dadah yang menjadikan sebuah rumah teres sebagai stor simpanannya dekat Setiawangsa, Kuala Lumpur Sabtu lalu.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, polis turut menemui 13 guni diisi dengan 310 bungkusan teh cina berwarna kuning keemasan dan hijau dalam serbuan itu.

    “Bungkusan teh cina itu digunakan untuk memuatkan dadah yang disyaki jenis syabu.

    “Polis turut menyita sebuah kereta Toyota Vios dianggarkan bernilai RM20,800,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

    Mengulas lanjut, Yahaya berkata, sindiket pengedaran dadah yang dikesan aktif sejak September lalu digempur dalam Op Lambkin membabitkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan IPK Kuala Lumpur.

    Susulan serbuan itu katanya, polis juga menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang bekerja sebagai jurujual kereta dan mempunyai rekod satu kes dadah dan dua kes jenayah curi.

    Keputusan air kencing mendapati suspek positif dadah.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu bernilai RM11.5 juta yang dirampas selepas berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan membongkar stor simpanan dadah di Setiawangsa ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Namun seorang lagi suspek berusia 34 tahun yang bekerja sebagai jurujual dalam talian dengan satu rekod kes dadah, didapati negatif ujian kencing.

    Yahaya berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 25 sehingga 31 Disember ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Serbuan ini adalah rampasan terbesar yang dilakukan Polis Kuala Lumpur tahun ini.

    “Kita mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah.

    “Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999.

    “Maklumat melalui aplikasi Whatsapp boleh disalurkan di talian JSJN Bukit Aman 012-2087222,” katanya, lapor Berita Harian.