Author: Wartawan WartaRakyat

  • Menteri pernah dikecam buat kenyataan tentang ayam kini nasihat Rafizi

    Menteri pernah dikecam buat kenyataan tentang ayam kini nasihat Rafizi

    HAMPIR sedekad lalu, seorang menteri pernah dikecam kerana nasihatnya yang meminta rakyat tidak memakan ayam sekiranya harga komoditi itu menjadi terlalu mahal.

    Kini, Datuk Seri Hasan Malek mempunyai kata nasihat buat Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, selepas kenyataannya minggu lalu yang hampir serupa dengan apa yang pernah dikatakan bekas menteri itu mengundang kecaman ramai.

    Bercakap kepada MalaysiaNow, Hasan turut menasihatkan menteri ekonomi itu supaya tidak ‘ambil hati’ dengan kritikan yang dilontarkan dan harus menumpukan kepada tugasnya dalam menyelesaikan segala kesulitan yang dihadapi rakyat.

    “Masa itu, dia (Rafizi) berada di pihak pembangkang jadi dia belum tahu dan menghayati tanggungjawab (menteri) yang menjaga hal ehwal pengguna,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Jadi, tidak mengapa. Baru dia tahu sekarang.”

    Pada 2013, Hasan yang juga merupakan bekas ahli Parlimen Kuala Pilah dikecam teruk termasuk dari Rafizi apabila beliau menasihatkan rakyat supaya beralih kepada sumber protein lain ketika harga ayam meningkat.

    Malah, kenyataannya supaya rakyat ‘elak makan ayam ketika harga naik’ masih diguna pakai sehingga hari ini sebagai tanda menyindir mana-mana menteri yang mengeluarkan kenyataan atau membuat keputusan yang tidak memihak kepada pengguna.

    Baru-baru ini, ramai pihak termasuk pakar ekonomi mengkritik Rafizi apabila mengeluarkan kenyataan ‘By right (sepatutnya), kalau harga ayam mahal, kurangkan makan ayam’ pada sidang medianya, dan mereka turut menyamakan kenyataan itu dengan apa yang dikatakan oleh Hasan pada 2013.

    Bagaimanapun, Hasan berkata beliau tidak berdendam dengan kritikan yang dibuat orang ramai.

    “Jadi, Rafizi perlu terima kritikan rakyat, ini adalah lumrah menjadi menteri.

    “Dia perlu cari jalan, jangan cakap saja, sebab semua orang boleh bercakap dan semua orang boleh beri pandangan tetapi realitinya tidak begitu,” kata Hasan yang turut menyifatkan kritikan terhadap Rafizi tidak jauh beza dengan apa yang dialaminya sembilan tahun lalu.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia Saravanan Thambirajah berkata, Rafizi tidak boleh sekadar memberi ulasan mengenai punca kenaikan harga ayam.

    Sebaliknya, beliau berharap ahli Parlimen Pandan itu akan lebih fokus kepada usaha mencari jalan penyelesaian kerana itu apa yang dimahukan rakyat.

    Walaupun beliau memuji inisiatif Rafizi yang cuba menerangkan mengenai kenaikan harga ayam dari sudut pandangan bekalan dan permintaan, namun keutamaan sekarang ialah memastikan bekalan tetap ada.

    “Sebab itu kita memilih 222 ahli Parlimen untuk bantu selesaikan masalah yang dihadapi.

    “Kalau ayam tiada di Malaysia, kami rakyat tak boleh import ayam dari negara lain, kerajaan yang boleh buat keputusan itu,” tambah beliau.

  • Tambang bas sekolah dijangka naik pada Januari

    Tambang bas sekolah dijangka naik pada Januari

    TAMBANG bas sekolah mungkin akan naik pada Januari disebabkan kos overhed yang meningkat, kata badan persatuan bas sekolah.

    Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia Amali Munif Rahmat memetik harga alat ganti yang lebih tinggi, kenaikan gaji pemandu, dan persaingan daripada pengusaha tidak berlesen.

    Setiausaha Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Tunku Munawirah Putra memberikan maklum balas dengan berkata, kerajaan perlu menyediakan subsidi tambang bas dalam bentuk baucar bagi meringankan beban keluarga B40 yang mempunyai anak bersekolah.

    Menurut Amali, pengusaha bas sekolah terjejas apabila sekolah ditutup untuk tempoh yang lama ekoran wabak Covid-19, menyebabkan ramai antara mereka gulung tikar dan pemandu dibuang kerja.

    Katanya, sukar mencari pemandu tanpa memberikan gaji yang lumayan. Gaji semasa RM2,000 sebulan tidak menarik kerana pemandu boleh memperoleh jumlah itu untuk kerja yang kurang tekanan.

    “Kami pernah mempunyai kira-kira 16,000 pengusaha tetapi telah berkurangan kepada kira-kira separuh,” katanya kepada FMT.

    “Selain kenaikan kos operasi, bas sekolah berlesen berdepan cabaran serius daripada pengusaha haram yang menawarkan perkhidmatan yang lebih murah.

    “Sukar mendapatkan pemandu sekarang ini kerana mereka lebih gemar memandu koc ekspres dan lori, bukan sahaja mereka dibayar lebih tetapi juga kurang tekanan. (Jika memandu bas sekolah), mereka malah tidak boleh cuti sakit kerana akan mengganggu persekolahan murid.”

    Mengenai unjuran tambang yang lebih tinggi, Amali berkata, pihaknya telah mengeluarkan garis panduan mengenai kadar bulanan mengikut perkhidmatan yang disediakan dan jarak, serta faktor lain. Tambang boleh menjadi antara RM50 hingga RM1,000 kerana segelintir ibu bapa mahukan bas yang sangat selesa serta boleh dikesan dengan GPS.

    Tunku Munawirah menegaskan bahawa tambang bas sekolah yang lebih mahal ialah isu yang sering dibangkitkan, tetapi tiada penyelesaian ditemui. Justeru, katanya, kerajaan perlu campur tangan.

    “Kerajaan harus memberikan baucar tunai kepada mereka yang memerlukannya, terutama keluarga B40. Sesetengah ibu bapa mungkin tidak mampu untuk menghantar anak mereka ke sekolah dan ini boleh menyebabkan mereka tercicir (dalam persekolahan) jika tidak dibantu,” katanya.

    Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) N Marimuthu berkata, isu itu mesti diselesaikan sebelum penggal persekolahan dibuka kerana ada keluarga yang terpaksa membayar tambang bas sekolah sebanyak RM500 untuk anak-anak mereka.

    “Secara khususnya, keluarga B40 memerlukan sokongan kerajaan kerana mereka mungkin mempunyai sehingga lima anak. Selain itu, pengusaha dan pemandu bas sekolah juga akan mendapat manfaat daripada subsidi kerana mereka terjejas teruk oleh wabak.

    “Ramai pemandu kehilangan pekerjaan dan subsidi akan membantu mereka bangkit semula,” katanya.

  • ‘Tragedi Batang Kali: Pemilik tanah, kerajaan negeri bertanggungjawab’

    ‘Tragedi Batang Kali: Pemilik tanah, kerajaan negeri bertanggungjawab’

    SELAIN pemilik tanah, kerajaan negeri juga perlu bertanggungjawab terhadap kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali sehingga mengorbankan 31 nyawa.

    Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nor Shahidah Mohd Nazer, berkata pemilik tanah berkenaan bersalah kerana memanipulasi kawasan pertanian itu untuk dijadikan tempat rekreasi tanpa pengetahuan pihak berwajib.

    “Kerajaan negeri seharusnya mengambil tanggungjawab yang berlaku dalam kawasan pentadbirannya itu.

    “Kerana pada hakikatnya, kawasan bercerun yang juga diklasifikasikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar paling banyak taburannya adalah di Selangor, berbanding di negeri lain di negara ini.

    “Jadi kerajaan negeri sepatutnya sedar potensi kejadian tanah runtuh yang akan berlaku apabila tibanya musim hujan seterusnya perlu bertindak lebih proaktif dan langkah susulan.

    “Antaranya dengan mengadakan langkah ketat ke atas semua aktiviti yang dilakukan manusia di kawasan tanah tinggi dan berisiko bagi membendung isu kegiatan haram yang mungkin memberi kesan langsung ke atas keselamatan alam sekitar,” katanya kepada BH.

    Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember lalu adalah kejadian kedua terbesar membabitkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.

    Tragedi kira-kira pukul 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

    Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan berkenaan.

    Sementara itu, berkongsi pandangan sama, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata bencana yang berlaku itu disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

    Tanpa mahu menuding jari kepada sesiapa, Meor Razak berkata perkara itu dapat dielakkan sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan amanah yang diberikan.

    “Ia boleh dielakkan jika segala syarat dipatuhi serta pemantauan oleh pihak berkuasa diadakan dengan lebih kerap terutamanya di kawasan yang dikesan sebagai sensitif.

    “Sebagaimana kita sedia maklum kawasan itu adalah tanah milik syarikat atau individu yang melaksanakan pertanian tanaman organik, jadi pemiliknya perlu mematuhi syarat nyata pemilikan tanah berkenaan.

    “Tanah itu dikhususkan untuk pertanian, dalam geran tanah itu sepatutnya sudah disertakan dengan syarat tertentu mengenai pemilikan dan kegunaan tanah.

    “Bila syarat nyata itu ditulis untuk pertanian, maknanya ia khusus untuk pertanian dan tidak boleh dibangunkan chalet, hotel, resort mahupun tapak perkhemahan secara komersial. Di sini kita nampak yang pemilik tanah tidak mematuhi apa yang sudah ditetapkan dalam syarat nyata pemilikan tanah berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, dengan kegunaan tanah yang disertakan dalam geran berkenaan, pihak berkuasa perlu memastikan setiap pemilik tanah mematuhi Rancangan Tempatan Daerah (RTD) di kawasan masing-masing.

    “Setiap daerah mempunyai RTD dan sekiranya kawasan itu dikhususkan sebagai zon pertanian, bagaimana pemilik tanah itu ‘boleh terlepas’ menjadikan ia sebagai tapak komersial.

    “Ia dipanggil sebagai kawasan komersial kerana bukan hanya satu dua khemah yang dipacakkan di kawasan itu untuk diduduki oleh seorang dua individu, tetapi ia dibuka kepada orang ramai dan mereka ini perlu bayar kepada pemilik tanah untuk menginap di situ, ini sudah salah kerana sepatutnya pemilik perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

    “Dan PBT pula tidak boleh luluskan ia sebagai kawasan komersial kerana ia adalah zon pertanian, sebab itu sepatutnya PBT ini bila sudah tahu ia digunakan sebagai tapak perkhemahan komersial sepatutnya dari awal diambil tindakan.

    “Bukan sahaja PBT, malah Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga boleh ambil tindakan kerana pemilik itu tidak mempunyai permit dan melanggar syarat-syarat kegunaan tanah,” katanya.

    Meor Razak berkata, beliau tidak mahu menuduh sesiapa yang bersalah namun peraturan dan peruntukan undang-undang sudah ada dan mengapa ia tidak dikuatkuasakan oleh pihak yang sepatutnya dan mengambil tindakan lebih awal sebelum kejadian itu berlaku.

    “Jika tindakan sudah diambil lebih awal, ia secara tidak langsung boleh elakkan berlakunya insiden kehilangan nyawa. Bencana tetap akan berlaku, kerana jika dilihat kepada RTD kawasan itu, ia diletakkan sebagai kawasan sensitif tahap satu dan dua, jadi tidak mustahil akan berlakunya bencana.

    “Kawasan sensitif tahap satu dan dua ini perlu dipelihara sebagai kawasan perlindungan bukannya dijadikan tempat komersial,” katanya.

  • Adik maut, kakak parah dirempuh kereta

    Adik maut, kakak parah dirempuh kereta

    SEORANG penunggang motosikal maut, manakala dua lagi parah dalam kemalangan di Jalan Pekan Gurney, dekat sini, tengah malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Azizi Zakaria, berkata sebuah kereta dipandu seorang lelaki bertembung dengan motosikal ditunggangi dua beradik.

    Menurut Mohd Azizi, akibat perlanggaran itu, Mohammad Azman Faizal, 20, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala kakaknya, Siti Norazualina Faizal, 26, parah.

    “Berdasarkan maklumat dari saksi kejadian, kereta masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal.

    “Pemandu kereta yang berumur 33 tahun itu dikeluarkan oleh orang awam dan turut parah,” kata Mohd Azizi ketika dihubungi hari ini.

    Menurut Mohd Azizi, kedua-dua mangsa yang parah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Seri Manjung, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, pihak BBP Sitiawan menerima panggilan kecemasan jam 12.35 tengah malam. Operasi menyelamat ditamatkan jam 1.47 pagi lapor BH Online.

  • Anwar dijadual bentang Bajet 2023 24 Februari depan

    Anwar dijadual bentang Bajet 2023 24 Februari depan

    BAJET 2023 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari tahun depan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang mengesahkan perkara itu berkata, tempoh tiga minggu diperuntukkan bagi keseluruhan proses pembentangan Bajet 2023 berlangsung termasuk perbahasan sebelum ia diluluskan.

    “Ya Bajet 2023 akan dibentangkan pada 24 Februari depan berikutan sebelum ini hanya Bajet mini yang dibentang bagi perbelanjaan perkhidmatan dan pembayaran gaji.

    “Secara keseluruhan proses pembentangan bajet, perbahasan termasuk urusan jawatankuasa dan dasar akan mengambil masa 21 hari,” katanya kepada BH, di sini.

    Pada masa sama, Johari berkata, persidangan Dewan Rakyat akan bermula 13 Februari depan selama 29 hari.

    Beliau berkata, mesyuarat pertama Dewan Rakyat Parlimen ke-15 itu akan membuka tirainya dengan titah ucapan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

    20 Disember lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.

    Keputusan itu dimaklumkan oleh Johari selepas tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Perdana Menteri.

    Anwar membentangkan peruntukan khas untuk perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107,718,676,650.

  • Kematian isteri dan anak akibat nahas, lelaki gagal saman LPT

    Kematian isteri dan anak akibat nahas, lelaki gagal saman LPT

    MAHKAMAH Sesyen Temerloh menolak saman sivil difailkan seorang lelaki terhadap syarikat konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) susulan kematian anak dan isterinya di Pahang, dua tahun lalu.

    Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim memutuskan Redza Hassan gagal membuktikan tuntutannya terhadap Anih Bhd berdasarkan imbangan kebarangkalian, selepas mendengar keterangan lima saksi.

    Menurutnya, tindakan Redza bergantung kepada laporan media untuk membuktikan kewujudan lopak air di KM119 lebuh raya berkenaan adalah tidak mencukupi.

    Isteri Redza, Norhadiyatul Akma Jaafar maut dalam kemalangan bersama seorang anak mereka, Amer Asyraf, ketika memandu sebuah pikap dari Temerloh ke Kuala Lumpur pada kira-kira 6 petang 2 Februari 2020.

    Tiga lagi anak mereka, Ammar Wafiy, Rania Zulfa dan Adeeb Rayyan yang juga berada dalam kenderaan itu, bagaimanapun terselamat.

    “Berdasarkan keterangan lima saksi ini, mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan kecuaian di pihak pemilik konsesi lebuh raya dalam menyenggara lebuh raya berkenaan,” kata Che Wan Zaidi dalam penghakiman yang dibacakan secara dalam talian, lapor Free Malaysia Today.

    Katanya, dua saksi iaitu seorang anggota polis dan pegawai penyiasat, telah memberi keterangan bahawa tiada bukti menunjukkan kehadiran lopak di tempat kejadian seperti didakwa, yang bertentangan dengan laporan media.

    Sebaliknya, katanya, berdasarkan keterangan pegawai penyiasat, Norhadiyatul lebih berkemungkinan hilang kawalan terhadap kenderaannya akibat cara pemanduannya ketika hujan.

    Che Wan Zaidi turut tidak mengambil kira lima laporan media mengenai kemalangan di bahagian lain lebuh raya berkenaan kerana tidak relevan dengan kes ini.

    Susulan itu, Redza berkata beliau akan memfailkan rayuan dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM1.8 juta.

    KS Naicker dan Rosmaria Daud mewakili Anih Berhad, manakala Ranizan Mokhtar dan Amirul Faliq mewakili Redza.

  • Sanusi ingatkan orang ramai tak tertipu dengan iklan palsu guna wajahnya

    Sanusi ingatkan orang ramai tak tertipu dengan iklan palsu guna wajahnya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BERIKUTAN populariti dimilikinya, wajah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut tidak terlepas daripada digunakan sebagai ‘pelaris’ oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk iklan pelaburan yang cukup meragukan di laman media sosial.

    Memuat naik iklan tersebut di laman media sosialnya hari ini, Muhammad Sanusi turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu.

    “Ini ‘scammer’ guna gambar saya. Harap jangan ada yang tertipu,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

    Iklan tersebut memaparkan mengenai pelaburan yang didakwa patuh syariah menggunakan operasi mudah, pantas, selamat dan boleh dipercayai.

    Pelaburan itu jelas meragukan apabila iklan tersebut mendakwa pelabur boleh mendapat keuntungan hanya dalam masa empat jam.

    Para pelabur juga boleh didakwa bolej mendapat keuntungan hingga RM9,000 dengan pelaburan hanya RM300, RM16,000 untuk pelaburan berjumlah RM500 serta RM29,000 untuk pelaburan bernilai RM1,000.

    Bagi menyakinkan orang ramai, iklan berkenaan turut mendakwa kononnya pelaburan itu sah dan berisiko rendah, 100 peratus menambah aset selain pelabur akan mendapati gantian modal semula secara penuh.

    Taktik sama sering digunakan oleh pemilik perniagaan atau produk-produk tertentu terutamanya kecantikan sebelum ini.

  • Pengerusi Muda Perak dipecat kerana ‘Langkah Tapah’

    Pengerusi Muda Perak dipecat kerana ‘Langkah Tapah’

    PENGERUSI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak, Mutalib Uthman yang juga pengasas bersama parti itu dipecat dan keahliannya digantung selama tiga tahun berkuatkuasa semalam.

    Pemecatan penggiat buku Indie itu susulan tindakannya mengumumkan bertanding untuk Parlimen Tapah dalam pilihan raya umum lalu, ketika parti itu masih berunding kerusi pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH).

    Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi berkata, tindakan Mutalib itu melanggar perlembagaan parti yang menetapkan supaya anggotanya menghormati keputusan dan memelihara nama baik serta maruah parti.

    Mutalib pada 20 Oktober lalu dalam hantaran Facebook mengumumkan akan bertanding di Tapah, kubu kuat BN yang disandang oleh Timbalan Presiden MIC M Saravanan selama tiga penggal.

    Sebelum itu Naib Presiden PKR K Saraswathy dijangka bertanding di kerusi itu.

    “Keputusan ini dibuat susulan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi mengenai status kerusi Tapah dan Sg Siput (Perak) serta Sembrong (Johor) adalah untuk kerjasama politik dengan Muda dan PSM,” katanya.

    Muda bagaimanapun menafikan akan meletakkan calon di situ kerana ia kerusi PH.

    Mutalib bagaimanapun kemudian mendapat kerusi parlimen Masjid Tanah, Melaka tetapi akhirnya kecundang di tangan tokoh Perikatan Nasional (PN) Mas Ermieyati Samsuddin yang telah berkhidmat dua penggal di situ.

    ‘Ada niat mahu sabotaj’

    Sementara itu, Amir juga menuduh Mutalib “menunjukkan niat untuk melakukan sabotaj kepada parti” dengan menukar kata laluan akaun rasmi Muda Perak.

    “Beliau juga, selepas dihubungi, menolak untuk menurunkan poster yang telah dinaikkan, dan hanya akan menurunkan sekiranya dijanjikan kerusi dalam pilihan raya,” dakwanya, lapor Malaysiakini.

    Amir bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Mutalib yang telah bersama parti itu sejak hari pertama.

    “Untuk itu, Muda mengucapkan ribuan terima kasih. Sebarang keputusan rayuan kepada keputusan JKEP (Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) ini, akan diputuskan usai rayuan diterima,” katanya.

    Sementara itu, Mutalib dalam reaksi segeranya kepada Malaysiakini menyifatkan keputusan itu sebagai “keras”.

    Bagaimanapun, katanya ringkas, “parti sudah pun bersuara”.

  • Pasangan Rusia ceroboh panjat Menara Merdeka 118 disiasat

    Pasangan Rusia ceroboh panjat Menara Merdeka 118 disiasat

    POLIS akan menjalankan siasatan terhadap pasangan dari Rusia yang dipercayai menceroboh bagi memanjat Menara Merdeka 118, di ibu negara, baru-baru ini.

    Jelas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, pihaknya akan memanggil pasangan itu untuk dirakam keterangan.

    “Kedua-dua individu berkenaan akan disiasat atas tuduhan menceroboh,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

    Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.

    Dalam hantaran dimuat naik Ivan di laman sesawang itu, dia memaklumkan pengalaman berada di atas puncak menara berkenaan sebagai sesuatu yang ‘gila’.

    Sementara itu, Angela menerusi hantaran di Twitter, menulis dia tidak ditahan semasa memanjat menara terbabit yang belum lagi dibuka kepada umum.

    “Saya sudah melakukan perbuatan ‘gila’ dan tidak ditahan. Ia pengalaman menakutkan, tetapi dengan penamat yang menggembirakan,” katanya.

    Pasangan itu sememangnya dikenali dengan lagak aksi di beberapa bangunan tinggi di seluruh dunia.

  • Sesi persekolahan penggal 3 bermula 1 Januari – Fadhlina

    Sesi persekolahan penggal 3 bermula 1 Januari – Fadhlina

    KALENDAR Akademik Penggal 3 Sesi 2022-2023 akan bermula pada 1 Januari 2023 bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan A.

    Bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan B pula akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Januari 2023.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi kenyataan di akaun media sosial beliau.

    Fadhlina Sidek

    “Kalendar Akademik Penggal 3 Sesi 2022-2023 akan bermula pada 1 Jan 2023 bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan A.

    “Manakala sekolah-sekolah dalam Kumpulan B akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Januari 2023.

    “Saya ucapkan selamat kembali ke sekolah tidak lama lagi,” katanya hari ini.

    Berdasarkan infografik yang dikongsi, Kumpulan A adalah sekolah-sekolah yang berada di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Bagi kumpulan B, sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

    Sementara itu berdasarkan infografik berkenaan, cuti persekolahan bagi sekolah dalam kumpulan A bermula pada 17 Februari hingga 18 Mac 2023.

    Cuti persekolahan bagi sekolah dalam kumpulan B pula bermula pada 18 Februari hingga 19 Mac 2023.