Author: Wartawan WartaRakyat

  • Wanita warga emas parah dimuka, rugi RM2,000 disamun

    Wanita warga emas parah dimuka, rugi RM2,000 disamun

    SEORANG wanita warga emas bukan hanya mengalami kederaan parah di bahagian muka serta mata malah turut kerugian sebanyak RM2,000 selepas disamun dalam kejadian di kedai penapis air, di Jelutong, Pulau Pinang pada 24 Disember lalu.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang berusia 50-an berada seorang diri di kedai berkenaan sebelum didatangi suspek lelaki berusia 50-an.

    Difahamkan, suspek kemudian memukul mangsa menggunakan objek tumpul di bahagian muka sehingga mengakibatkan kecederaan parah dan mangsa kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V. Saravanan, mangsa pada mulanya didatangi suspek di kedainya yang kononnya mahu berjumpa suami mangsa.

    “Bagaimanapun, setelah dimaklumkan suaminya tiada di kedai, suspek bertindak memukul mangsa sehingga mangsa cedera parah di bahagian muka dan kerugian RM2,000” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Saravanan, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 50-an ditahan pada keesokan harinya kerana disyaki menyamun dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

    Jelas beliau, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu di bawah di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

    “Kedai berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan kita memohon mana-mana saksi yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan,” katanya.

  • 32 mesin simulator perjudian bernilai lebih RM10,000 dilupuskan

    32 mesin simulator perjudian bernilai lebih RM10,000 dilupuskan

    SEBANYAK 32 buah mesin simulator perjudian bernilai lebih RM10,000 dilupuskan oleh polis daerah Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V. Saravanan berkata, kesemua mesin yang dilupuskan itu melibatkan dua kes perjudian yang disiasat pada 2017 dan 2018 di bawah seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan 1998.

    Jelas beliau, pelupusan hari ini melibatkan barang kes perjudian yang telah dijatuhi hukuman oleh pihak mahkamah dan dilupuskan di bawah seksyen 16A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    “Terdapat banyak lagi mesin simulator perjudian yang akan dilupuskan selepas ini dan program pelupusan barang kes hari ini turut disaksikan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),” katanya dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut, di George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Menurut beliau, proses pelupusan barang kes turut diadakan pada 21 Mac lalu bersama-sama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pulau Pinang.

    Jelasnya, sebanyak 50 barang kes am dan perjudian dari IPD Timur Laut telah dilupuskan ketika itu di Padang Kawad Pasukan Simpanan Persekutuan No. 3, Ayer Itam.

    “Sepanjang tahun 2022 juga, IPD Timur Laut telah membuat serbuan melibatkan kes perjudian sebanyak 416 kes,” katanya.

  • Pakar beri amaran risiko Covid-19 ketika Malaysia berdepan kemasukan pelancong China

    Pakar beri amaran risiko Covid-19 ketika Malaysia berdepan kemasukan pelancong China

    KERAJAAN digesa mempertimbangkan langkah ‘ketat’ bagi membendung kemasukan pengembara dari China, ketika negara itu mencatatkan gelombang baru Covid-19. 

    Pakar perubatan awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, perkembangan terbaru di republik itu disifatkan sebagai ‘tricky’.

    “Peningkatan Covid-19 di China adalah benar dan membimbangkan.

    “China telah benarkan warganya keluar. Ini seperti membuka ‘floodgate’ dan melimpahkan kes ke serata dunia,” katanya, lapor MalaysiaNow.

    Katanya, langkah itu termasuk pemantauan harian dan jika perlu, menimbangkan sekatan jika kes terlalu tinggi. 

    “Pelancong yang hendak masuk perlu lengkap vaksinasi mereka, mengadakan ujian saringan Covid-19 selain perlu diawas dengan ketat.

    “Lakukan ujian secara rawak mengikut penerbangan,” tambahnya.

    Datuk Dr Zainal Ariffin Omar

    Gesaan itu sama seperti apa yang disuarakan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) yang mahu kerajaan menangguhkan kemasukan pelancong dari republik itu.

    Semalam, media melaporkan hampir separuh penumpang pesawat China yang tiba di Itali dilaporkan positif Covid-19.

    Beijing baru-baru ini membenarkan warganya ke luar negara, menamatkan dasar sifar Covid-19 di negara itu, meskipun peningkatan kes Covid-19.

    Ia mencetuskan kebimbangkan gelombang dan varian baru yang berkemungkinan tersebar di seluruh dunia. 

    Amerika Syarikat (AS) merupakan antara negara yang mengenakan sekatan terhadap pengembara dari republik itu.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke pula berkata negara akan menyaksikan peningkatan trafik udara pada 2023 ekoran pembukaan sempadan oleh China. 

    Keadaan itu membawa kebimbangan apabila Malaysia dilaporkan antara 10 negara paling diminati pelancong China untuk bercuti ketika sambutan Tahun Baru China. 

    Seramai sejuta pelancong China dijangka tiba ke negara ini pada tahun depan, menurut satu laporan media. 

    Negara lain termasuk Jepun, Thailand, Korea Selatan, AS, Singapura, Australia dan United Kingdom.

    Di Malaysia, kebimbangan juga semakin meningkat terutama menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang biasanya menyaksikan kebanjiran pelancong dari China.

    Satu laporan menganggarkan sejuta pelancong China bakal tiba di negara pada 2023.

    Malaysia pertama kali menutup sempadannya pada Mac 2020, beberapa bulan selepas wabak itu mula menular.

    Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini berkata sempadan negara tidak perlu ditutup.

    Dalam pada itu, Zainal berkata Malaysia sedang hampir dalam usaha keluar sepenuhnya daripada fasa pandemik. 

    Meskipun liputan imunisasi tinggi, liputan dos penggalak pertama dan kedua masih rendah.

    “Kemungkinan tahap imunisasi penduduk semakin menurun. Amalan pencegahan juga semakin longgar.

    “Mari kita berdoa. Masih segar memori Disember 2019 hingga 2021,” katanya merujuk kepada tempoh penutupan sempadan dan perintah kawalan pergerakan. 

    Beliau menggesa kerajaan bersiap-sedia meningkatkan liputan dos penggalak pertama dan kedua, selain kesedaran amalan pencegahan.

  • Kematian Pele: Brazil umum tiga hari berkabung

    Kematian Pele: Brazil umum tiga hari berkabung

    BRAZIL mengisytiharkan tempoh berkabung tiga hari berikutan kematian legenda bola sepak Brazil, Pele pada Khamis.

    “Tempoh berkabung itu bermula dari tarikh penerbitan Dekri ini sebagai tanda kesedihan atas kematian Edson Arantes do Nascimento, Pele, bekas pemain bola sepak,” lapor Anadolu Agensi memetik dekri yang ditandatangani Presiden Jair Bolsonaro.

    Bolsonaro menerusi ciapan di Twitter berkata Pele membawa nama Brazil di persada dunia menerusi bola sepak dan mengubah sukan itu menjadi kesenian dan kegembiraan.

    Penghormatan terakhir untuk Pele akan berlangsung pada Isnin sehingga 10 pagi Selasa, menurut portal berita Brazil G1.

    Orang ramai dibenarkan untuk melakukan penghormatan terakhir dalam tempoh itu.

    Ikon bola sepak itu akan dikebumikan pada 3 Jan di Memorial Necropole Ecumenica.

    Pencapaian ‘Raja Bola Sepak’ belum dapat ditandingi kerana Pele adalah satu-satunya pemain bola sepak yang menjulang Piala Dunia sebanyak tiga kali pada 1958, 1962 dan 1970.

  • Adakah TPM patut diberi layanan lebih tinggi berbanding Agong-Tun M

    Adakah TPM patut diberi layanan lebih tinggi berbanding Agong-Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang masih berdepan pendakwaan mahkamah.

    Menerusi entri terbaharu di akaun Twitter, bekas Perdana Menteri itu berpendapat perlu satu bentuk reformasi terhadap jawatan tersebut.

    “Ini berlandaskan ketidakselarasan peruntukan di bawah Perkara 33A Perlembagaan Persekutuan.

    “Ketika saya sedang mengimbas Perlembagaan Persekutuan, tiba-tiba saya mendapati ketidakselarasan peruntukan di bawah Perkara 33A

    “Ia berbunyi seperti berikut: Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang diPertuan Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan.

    “Ia jelas sekali menunjukkan bahawa pertuduhan atas sebarang kesalahan adalah sangat serius sehingga seseorang seperti Yang di-Pertuan Agong perlu menghentikan fungsi sebagai Ketua Negara.

    “Pada masa sama, ia tidak menyatakan bahawa baginda perlu didapati bersalah sebelum baginda menghentikan tugasnya.

    “Ia secara jelas menyatakan sudah didakwa juga cukup serius untuk Perlembagaan menetapkan pemberhetian fungsinya,” ujar beliau.

    Sehubungan itu, Dr. Mahathir mempersoalkan bagaimana pula pemimpin yang lebih rendah kedudukannya berbanding Yang di-Pertuan Agong seperti Timbalan Perdana Menteri (TPM).

    Tanpa menamakan mana-mana individu, Dr. Mahathir turut mempersoalkan, sekiranya individu tersebut berdepan pendakwaan sehingga lebih 40 pertuduhan namun dilantik menggalas jawatan tersebut.

    “Adakah TPM sepatutnya diberi layanan lebih baik berbanding YDPA?” soalnya lagi, lapor Astro Awani.

    Mengakhiri entri tersebut, Dr. Mahathir dengan nada berseloroh menulis agar diabaikan sahaja penulisannya itu kerana beliau mahu kembali menjaga cucunya.

  • TLDM siasat bot tempur berlanggar sewaktu demonstrlasi

    TLDM siasat bot tempur berlanggar sewaktu demonstrlasi

    TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian pelanggaran bot tempur semasa Hari Terbuka Armada (HTA2022), semalam.

    Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden berlaku ketika sebuah bot tempur TLDM telah hilang kawalan dan terlanggar KD Laksamana Tan Pusmah sewaktu melaksanakan demonstrasi manuvra bagi memintas bot mencurigakan di jeti Pangkalan TLDM Lumut.

    Insiden kira-kira pukul 11.30 pagi tersebut telah mengakibatkan badan kapal KD Laksamana Tan Pusmah terkoyak sepanjang 2 x 1m dan Bot Tempur kemek di bahagian haluan.

    “Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat insiden ini. Insiden juga tidak menjejaskan perjalanan HTA22 yang akan diteruskan mengikut atur cara telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

    Sambutan HTA22 sedang berlangsung bermula semalam hingga esok di Pangkalan TLDM Lumut. – Bernama

  • Langkah bebas tahanan Sosma mampu ancam keselamatan negara – Penganalisis

    Langkah bebas tahanan Sosma mampu ancam keselamatan negara – Penganalisis

    PEMBEBASAN tahanan Sosma secara serta merta boleh mendatangkan bahaya dan mengancam keselamatan serta kedaulatan negara, kata penganalisis keselamatan.

    Pakar kajian hubungan antarabangsa, keselamatan dan undang-undang di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Mizan Mohammad Aslam berkata, tahanan Sosma terbabit dengan pelbagai kesalahan serius seperti pengintipan, jenayah terancang dan keganasan.

    Katanya, penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) penting untuk negara kerana ia bertujuan mengekang jenayah berbahaya.

    Mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer supaya tahanan Sosma dibebaskan serta-merta sementara menunggu sesi libat urus berhubung penambahbaikan akta itu selesai, Mizan berkata, cadangan wakil rakyat DAP itu tidak mencerminkan patriotisme.

    “Rayer tidak melihat kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi. Tahanan Sosma terbabit dengan pelbagai kesalahan serius termasuk pengintipan, pengkhianatan, jenayah terancang, keganasan dan segala bentuk perbuatan subversif yang boleh mendatangkan bahaya dan mengancam keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya, lapor FMT.

    Mizan berkata, cadangan Rayer supaya tahanan Sosma dibebaskan akan meletakkan negara dalam keadaan berisiko walaupun negara mempunyai undang-undang lain.

    “Rayer harus faham bahawa kesalahan bawah Sosma adalah serius dan cukup bahaya. Kita belajar daripada apa yang berlaku selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibatalkan.

    “Selepas ISA dibatalkan, negara mengalami peningkatan kes jenayah, keselamatan negara terancam dan lain-lain lagi sehingga memaksa kerajaan, dalam kadar yang segera, melaksanakan undang-undang alternatif dengan memperkenalkan Sosma pada 2012,” katanya.

    Tambahnya, mana-mana pihak tidak perlu bimbang berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh polis bawah Sosma kerana ia boleh ditangani melalui Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

    “IPCC akan memantau dan mengambil tindakan ke atas mana-mana anggota polis yang menyalahgunakan kuasa dalam melaksanakan tanggungjawab yang termaktub dalam perlembagaan.

    “Malah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sendiri bersetuju bahawa IPCC akan dilaksanakan mulai Jun 2023. Penubuhan IPCC juga adalah hasil perjuangan pelbagai pihak, termasuk Rayer sendiri,” katanya.

    Tambahnya, jika kerajaan bersetuju membebaskan juga tahanan Sosma, ia tidak boleh dilakukan secara automatik dan perlu diteliti berdasarkan kes dan darjah penglibatan mereka dalam sesuatu jenayah.

    “Sementara menunggu sesi libat urus tersebut selesai, penubuhan satu jawatankuasa untuk meneliti setiap kes mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya.

    Semalam, Rayer menggesa agar Sosma tidak digunakan lagi dan tahanan dibebaskan serta-merta sehingga sesi libat urus antara kerajaan dan pihak berkepentingan diadakan.

    Desakan Rayer itu menyusuli kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh pada 23 Dis yang memaklumkan Saifuddin bersetuju untuk mengkaji dan mengadakan perbincangan mengenai peruntukan Sosma.

  • Kerajaan diminta gantung sementara penerbangan keluar masuk dari China

    Kerajaan diminta gantung sementara penerbangan keluar masuk dari China

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN perlu segera menggantung penerbangan keluar masuk ke China buat sementara waktu berikutan penularan Covid-19 yang sedang mengganas di negara itu.

    Menurut Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa, Syed Hairoul Faizey Syed Ali, tindakan tersebut perlu diambil bagi memastikan Covid-19 tidak kembali menular secara berleluasa seperti sebelum ini.

    Selain itu katanya, kerajaan turut disyorkan mengambil beberapa langkah berjaga-jaga termasuk menyekat kemasukan rakyat China ke negara ini buat sementara waktu.

    “Perkasa dengan tegas menggesa kerajaan menggantung sementara penerbangan keluar masuk China ke negara ini kerana penularan Covid-19 sedang melonjak naik di negara tersebut.

    “Dengan angka amat membimbangkan di China ketika ini, kerajaan disyorkan unntuk mengambil langkah berjaga-jaga antaranya menyekat kemasukan negara itu ke Malaysia untuk satu tempoh ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di hari ini.

    Baru-baru ini terdapat laporan menyatakan separuh daripada penumpang yang menaiki dua pesawat ke Milan, Itali dari China didapati positif Covid-19.

    Semalam pula Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) secara konservatif menyasarkan kira-kira 300,000 pelancong dari China ke negara ini tahun depan, susulan kelonggaran protokol kuarantin terhadap pengembara yang masuk ke negara itu berkuat kuasa 8 Januari 2023.

    Mengulas lanjut Syed Hairoul berkata, kedatangan pelancong asing ke negara ini diakui akan merancakkan lagi sektor ekonomi negara yang baru saja hendak pulih ekoran serangan Covid-19 sebelum ini.

    Begitu pun katanya, semua pihak tidak seharusnya lupa akan hakikat betapa Covid-19 kini sedang mengganas di China.

    “Kalangan pelancong perlu kembali diwajibkan melakukan ujian kendiri dan saringan ujian kesihatan di negara ini.
    Selain itu, laporan Mysejahtera turut perlu dilaksanakan di setiap pintu masuk ke negara ini bagi membendung Covid-19.

    “Sejarah membuktikan bahawa penularan Covid-19 di awal tahun 2020 datangnya dari China. Maka kita perlu mengambil langkah untuk berjaga-jaga,” katanya.

  • Adakah Malaysia bersedia gelombang baharu Covid-19?

    Adakah Malaysia bersedia gelombang baharu Covid-19?

    BEKAS Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad melontarkan persoalan adakah kerajaan sudah bersedia untuk berhadapan dengan gelombang baharu Covid-19 dari China, berikutan situasinya yang dilihat masih kritikal.

    Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, ramai rakyat negara berkenaan disahkan positif di Itali sejurus satu pemeriksaan dibuat ketika mereka tiba di Lapangan Terbang Milan, baru-baru ini.

    “Dengan lebih daripada 50 peratus rakyat China disahkan positif sebaik tiba di Lapangan Terbang Milan, koordinasi peringkat global perlu lebih bersedia.

    “Adakah Malaysia bersedia?” soalnya dalam satu ciapan di Twitter, semalam, lapor Sinar Harian.

    Memetik laporan antarabangsa, Malaysia merupakan antara 10 negara pilihan rakyat China untuk melancong menerusi carian di laman web Trip.com Group.

    Pengendali laman web berkenaan turut menyenaraikan beberapa negara lain yang menjadi pilihan warga tersebut seperti Jepun, Thailand, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Singapura, Australia, United Kingdom, Macau dan Hong Kong.

    Sebelum ini, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China pada Isnin mengumumkan pelancong yang tiba ke negara itu tidak lagi perlu dikuarantin bermula 8 Januari depan sekali gus menamatkan polisi hampir tiga tahun.

    Pihak berkuasa juga memaklumkan, warganya turut dibenar untuk melancong ke luar negara tanpa perlu memberikan butiran perjalanan.

  • Pele meninggal dunia

    Pele meninggal dunia

    IKON bola sepak Brazil Pele yang dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dan pemenang Piala Dunia tiga kali meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun.

    “Semua yang boleh kami ungkapkan kepada anda adalah terima kasih. Kami menyayangi anda tidak terhingga. Berehatlah dengan tenang,” tulis anak perempuan Pele, Kely Nascimento di Instagram.