Author: Wartawan WartaRakyat

  • Covid-19:Adakah pisang akan berbuah dua kali

    Covid-19:Adakah pisang akan berbuah dua kali

    KITA semua tidak akan lupa ketika Covid-19 mengganas di China dan rakyat Malaysia kira-kira tiga tahun lalu menjadi penonton melihat bagaimana pandemik itu melumpuhkan kesihatan dan ekonomi negara kuasa besar dunia itu.

    Malaysia pada waktu tersebut juga masih ‘suci’ daripada penyebaran penyakit berkenaan dan kelihatan begitu yakin tidak akan mengalami nasib sama seperti mana yang berlaku di negara yang mempunyai penduduk berbilion orang itu.

    Ia terbukti apabila kerajaan PH yang memerintah pada masa itu tidak menunjukkan reaksi yang mereka bimbang kemasukan pelancong dari China akan menyebabkan penyakit berkenaan merebak kepada rakyat Malaysia.

    Contohnya pada 26 Januari 2020, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata situasi Covid-19 (pada waktu itu dipanggil koronavirus 2019-nCoV) di China belum lagi kritikal hingga memaksa kerajaan untuk menghalang kemasukan pelancong China daripada memasuki Malaysia.

    Padahal ketika membuat keputusan itu, Malaysia sudah merekodkan empat kes dan kes terkini ialah seorang lelaki berusia 40 tahun dari Wuhan, China yang tiba dengan bas di Johor Bharu dari Singapura. Lelaki itu masuk ke Malaysia bersama kumpulan 17 pelancong China termasuk isteri dan anak-anak mereka.

    Disebabkan kebimbangan Malaysia akan menjadi seperti China dan kes-kes positif yang mula menular, rakyat Malaysia melancarkan petisyen online membantah kemasukan rakyat China dengan 149,000 orang telah menurunkan tanda tangan.

    Bantahan orang ramai tidak dipedulikan dan akhirnya kebimbangan itu menjadi nyata apabila Malaysia terjebak sama dengan kes jangkitan dan kematian yang mana kebanyakan daripada kita berpengalaman melalui pengalaman hitam dijangkiti dan yang paling perit kehilangan ahli keluarga disebabkan virus itu.

    Kehidupan sosial dan ekonomi kita juga dibadai apabila semua sektor terpaksa ditutup bagi mengelakkan kes terus memuncak, kematian bertambah dan bagi menghalang perlindungan kesihatan kita daripada lumpuh.

    Dan setelah kita berjaya melalui tiga tahun yang perit itu dan mahu mula bernafas, dunia dikejutkan semula dengan peningkatan kes yang mendadak di China yang tarikhnya hampir sama iaitu ketika dekatnya dengan sambutan Tahun Baru Cina.

    Maka, rakyat Malaysia secara automatik sudah pasti tidak mahu apa yang terjadi sebelum ini berulang semula kerana kita semua sudah tidak sanggup untuk melalui semula episod hitam yang begitu ‘menyeramkan’ itu.

    Tok Chey, seperti mana orang lain mahu kerajaan bertindak tegas menghalang kemasukan pelancong China kerana bimbang varian baru yang didakwa lebih berbahaya itu merebak ke negara kita dan mengancam rakyat negara ini.

    Walaupun kedatangan mereka dapat meningkatkan ekonomi sektor pelancongan, tetapi mudarat disebabkan virus itu dibimbangi akan lebih besar berbanding pendapatan yang akan kita perolehi.

    Bahkan kebimbangan rakyat Malaysia berasas apabila sudah terdapat negara yang bertindak pantas mengenakan sekatan terhadap pelancong dari negara China seperti Maghribi manakala Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Itali dan Sepanyol turut menguatkuasakan perjalanan baharu bagi pelancong yang datang dari China.

    Kenyataan daripada Menteri Pelancongan, Tiong King Sing yang meminta rakyat Malaysia supaya berhati-hati dengan komen supaya rakyat China tidak merasa tersisih apabila datang ke Malaysia nampak benar seperti kepentingan rakyat negara ini tidak penting bagi kerajaan yang ditunjangi PH-BN.

    Oleh itu, Tok Chey harap kerajaan Perpaduan dan menteri Kabinet dapat mengambil pengajaran kejadian sebelum ini supaya pisang tidak berbuah dua kali yang kesannya kita bimbang lebih parah berbanding apa yang kita alami pada gelombang pertama.

  • Jurulatih tampar pemain bola tampar wanita:KPM mohon saksi tampil

    Jurulatih tampar pemain bola tampar wanita:KPM mohon saksi tampil

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menyiasat dan tidak akan berkompromi terhadap tindakan individu dipercayai jurulatih yang menampar pemain bola tampar perempuan dalam video tular dalam media sosial, baru-baru ini.

    Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan perkara berkenaan dan laporan penuh akan menyusul nanti.

    “KPM mohon saksi untuk tampil beri keterangan. Tekad mewujudkan sekolah selamat untuk semua murid akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter, semalam.

    Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan beliau sudah berbincang dengan Fadhlina mengenai perkara berkenaan.

    “Ini (kejadian tampar) adalah salah. Kami (bersama Fadhlina) sedang mendapatkan lebih maklumat mengenai perkara ini,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini, lapor Harian Metro.

    Sebelum ini, media melaporkan satu video memaparkan individu dipercayai jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain tular di media sosial, baru-baru ini.

    Kejadian itu dipercayai berlaku ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja bawah 14 tahun (B-14) 2022 bagi kategori perempuan pada 16 Disember lalu.

    Difahamkan perlawanan penentuan tempat ketiga itu membabitkan pasukan Melaka menentang Johor di sebuah sekolah di Johor.

    Berdasarkan video yang disiarkan secara langsung di Facebook itu, individu dipercayai jurulatih pasukan Melaka dilihat menampar dua pemain yang menyebabkan kehilangan mata sebelum tempoh rehat permainan.

  • Polis siasat video tular lelaki bawa pistol bergaduh dengan penarik kereta

    Polis siasat video tular lelaki bawa pistol bergaduh dengan penarik kereta

    POLIS membuka kertas siasatan kes seorang lelaki yang didakwa membawa sepucuk pistol ketika bertengkar dengan sekumpulan ejen penarik kereta di kawasan parkir Taman Jambu, Jalan Sin Onn, Tawau, pukul 2.30 petang Jumaat lalu.

    Insiden tersebut tular dalam media sosial sejak kelmarin dan laporan polis sudah dibuat kedua-dua pihak terbabit.

    Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran dan salah faham di antara ejen penarik kereta dan seorang lelaki merupakan ahli perniagaan berkenaan kereta yang didakwa milik isterinya.

    “Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan rakaman percakapan telah diambil daripada kedua-dua mereka.

    “Semakan juga mendapati ahli perniagaan itu mempunyai lesen pemilikan senjata api,” kata Jasmin, lapor Astro Awani, hari ini.

    Menurutnya, polis akan mengemukakan hasil siasatan kes kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

    Jasmin memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

    “Polis juga mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan,” katanya.

  • Dua beradik rentung dalam kebakaran

    Dua beradik rentung dalam kebakaran

    DUA beradik rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanguit Gombak, Shah Alam, awal pagi ini.

    Mangsa, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, ditemui rentung dalam kejadian itu.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.53 pagi.

    “Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan Rawang termasuk Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Norazam berkata, semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan mangsa dipercayai cuba keluar berdasarkan keadaan mayat, namun pintu jeriji dalam keadaan terkunci.

    “Kedua-dua beradik itu ditemui rentung pada pukul 4.43 pagi tadi selepas kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pukul 4.13 pagi,” ujarnya

    Jelasnya, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah teres kelas A berkeluasan 6×24 meter persegi dengan 70 peratus terbakar.

    “Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Polis siasat dakwaan individu guna barang mangsa tanah runtuh

    Polis siasat dakwaan individu guna barang mangsa tanah runtuh

    POLIS menyiasat dakwaan bahawa terdapat individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan kad Touch N Go milik mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali.

    Dakwaan tersebut tular menerusi satu hantaran dipercayai dimuat naik oleh ahli keluarga mangsa tragedi tersebut.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, dua laporan polis diterima berkaitan perkara tersebut.

    “Laporan polis diterima pada pukul 2.47 petang berkaitan penggunaan kad Touch N Go milik mangsa tragedi tanah runtuh itu dan kertas siasatan dibuka bagi menyiasat kes tersebut.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Beliau meminta orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

    “Jangan menularkan sebarang perkara yang belum dipastikan kesahihan dan merujuk kepada polis atau pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat tepat.

    “Ahli keluarga mangsa juga dinasihatkan agar menghubungi polis sekiranya mempunyai isu berkaitan kehilangan barang milik mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Pada 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di Hulu Selangor.

    Seramai 61 daripada mereka terselamat, manakala 31 terkorban, membabitkan 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

    Operasi SAR melibatkan seramai 80 anggota meliputi 27 daripada JBPM, 25 Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lapan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tiga Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

    Selain itu 10 anjing pengesan dan sembilan jengkaut turut digerakkan dalam operasi SAR ini untuk mengesan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh itu.

  • Lelaki hilang dari pusat jagaan ditemui lemas

    Lelaki hilang dari pusat jagaan ditemui lemas

    MAYAT seorang lelaki warga emas ditemui terapung di Sungai Pinang, George Town hari ini.

    Mayat Kang Tan Bok Ghee, 72, ditemui tiga pemancing di pinggir laut berhampiran Lebuh Macallum yang kemudiannya menghubungi Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan, berkata pihaknya mengarahkan anggota ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung penemuan mayat pada jam 10.06 pagi.

    “Lelaki beralamat di Butterworth itu tinggal di sebuah rumah jagaan orang tua dikendalikan sebuah persatuan dan didapati hilang kira-kira pukul 9 pagi semalam.

    “Pihak polis berjaya mengesan keluarga mangsa yang kemudiannya hadir membuat pengesahan identiti,” katanya, hari ini lapor BH.

    Saravanan berkata, anak saudara mangsa memaklumkan Bok Ghee tinggal di pusat jagaan berkenaan sejak setahun lalu.

    Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

  • Pelajar tingkatan empat ditahan berkhalwat

    Pelajar tingkatan empat ditahan berkhalwat

    PELAJAR tingkatan empat ditahan selepas disyaki berkhalwat bersama seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dalam sebuah hotel bajet di Kota Bharu, pagi tadi.

    Pelajar berkenaan ditahan pada pukul 4 pagi menerusi Operasi Ambang 2023 oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUS) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd. Zain berkata, remaja berkenaan memberi alasan keluar untuk menyambut tahun baru 2023.

    “Ketika operasi, remaja terbabit disyaki duduk berdua-duaan di bilik hotel dalam keadaan yang mencurigakan.

    “Pasangan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 50 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 kerana kesalahan khalwat yang menimbulkan syak dan bertentangan dengan hukum syarak.

    “Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata, pada operasi sama bermula 4 petang dan berakhir 4.30 pagi itu, seramai 11 wanita diberi notis kehadiran khidmat nasihat kerana berkelakuan tidak sopan, manakala satu kes diberi amaran keras.

    Menurutnya, fokus utama operasi adalah untuk memantau dan menyedarkan masyarakat berkenaan kesalahan syariah.

    “Kita menasihatkan kepada semua supaya tidak melakukan kesalahan syariah termasuk kemungkaran dan sentiasa menjaga diri.

    “Selain itu, pihak kita juga mengedarkan risalah berkaitan kesalahan syariah kepada orang awam termasuk di pasar raya dan tempat tumpuan ramai untuk memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya lapor Harian Metro.

  • Selamatkan bangsa daripada sikap liberalisme, sosialisme bukan rasis

    Selamatkan bangsa daripada sikap liberalisme, sosialisme bukan rasis

    USAHA mempertahan dan menyelamatkan bangsa Melayu daripada disesat serta dihanyutkan terus oleh fahaman liberal serta sosialis, wajib dilakukan oleh umat Islam tanpa mengira ideologi politik.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan usaha mempertahan dan menyelamatkan itu bagaimanapun, berbeza dengan sikap asabiyyah atau rasis yang bertentangan dengan Islam.

    Memetik hadis Rasulullah diriwayatkan Abu Dawud (no 5121), Presiden Pas itu mengingatkan perbezaan antara mempertahankan bangsa yang disesatkan dan menyelamatkan mereka, dengan mempertahan bangsa atas prinsip asabiyyah.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata sekarang ini telah lahir fahaman liberal atau sosialis yang menghapuskan kewujudan bangsa secara mutlak.

    “Fahaman ini hendak dibawa ke dalam masyarakat Islam, sehingga memisahkan peranan Islam daripada menyelamatkan bangsanya sendiri dan diheret oleh musuh Islam yang menyesatkan dengan menindas bangsanya sendiri kerana Islam yang dianuti.

    “Sehinggakan, ada kalangan mereka yang berwala’ kepada musuh Islam yang mahu merosakkan bangsanya dengan ideologi dan kefahaman yang sesat.

    “Hal ini sekali gus menunjukkan bahawa menentang kaum bukan Islam yang menunjukkan permusuhan terhadap Islam, sama ada terhadap syariatnya atau penganutnya atau kedaulatannya bukanlah sebahagian daripada ‘asabiyyah atau rasis.

    “Bahkan, perkara itu merupakan kewajipan besar dengan perintah Allah SWT dan Sunnah Rasulullah SAW. Mereka yang menentang pendekatan Islam ialah musuh Islam dan umatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini (1 Januari 2023), tanpa merujuk kepada mana-mana pihak berfahaman liberal dan bangsa yang perlu diselamatkan.

    Semalam, Abdul Hadi mengibaratkan UMNO sebagai itik yang pandai berenang dan dihalau oleh tuannya perlu diselamatkan.

    Sebab itu, katanya Pas sejak awal lagi mengajak UMNO untuk bergabung dalam Muafakat Nasional (MN) yang sahih bersama parti-parti Melayu Islam dan Bumiputera yang terbesar, UMNO, Pas dan Bersatu, kemudian disertakan bersama dalam Perikatan Nasional yang bergabung dengan semua pihak yang tidak ekstrem.

    Bagaimanapun, kepimpinan UMNO ‘yang terpacak itu’ menolak dengan rakus kerana ramalan nujumnya yang salah bahawa UMNO boleh menang besar, sehingga sekurang-kurangnya mereka mampu memperoleh majoriti kecil tanpa kerjasama dengan parti lain.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata kini ramai juga kalangan mereka terpengaruh dengan teori asing yang bukan daripada ajaran Islam, sehingga mereka terperangkap dalam kefahaman yang salah dan sesat, walaupun dalam satu aspek tertentu sahaja.

    “Antaranya, aspek kewujudan bangsa dan kaum yang hendak dihapuskan, tanpa menyedari telah mencabar kekuasaan Allah Pencipta alam, termasuklah manusia yang ditetapkan peranannya untuk beribadat, berkhilafah dan memikul amanah bagi melaksanakan syariat Allah SWT.

    “Hal ini sekali gus mewajibkan hubungan yang berkonsepkan ta‘awun (bertolong-menolong) antara satu sama lain secara tabii dan hubungan yang berkonsepkan ta‘aruf (berkenalan dan berhubungan) dalam kalangan pelbagai bangsa itu dalam perkara kebajikan serta mentaati Allah SWT.

    “Diharamkan ‘asabiyyah’ kaum dan bangsa (fanatik perkauman), apabila perjuangan bangsa atau kaum dijadikan aqidah yang mengatasi Islam. Sehingga menyebabkan mereka itu berlaku zalim atau membela kaumnya yang zalim,” katanya lapor Agenda Daily.

  • Tapir ‘raikan’ tahun baharu di hotel Melaka cetus kekecohan

    Tapir ‘raikan’ tahun baharu di hotel Melaka cetus kekecohan

    MELAKA sememangnya menjadi lokasi percutian pilihan ramai lebih-lebih ketika sambutan Tahun Baharu 2023 hari ini.

    Namun begitu, sebuah hotel di Melaka bukan sahaja menjadi pilihan untuk menyambut tahun baharu tetapi juga ‘menyambut’ kehadiran seekor haiwan liar.

    Keadaan itu berlaku selepas seekor Tapir Malaya muncul sebagai tetamu tidak diundang sekali gus mencetuskan kekecohan.

    Memetik laporan The Star Online, Pengurus Besar Kumpulan Hatten Hotel Worldwide, Datuk Chuck Kassim berkata, haiwan itu dilihat berkeliaran di sekitar Hotel Estadia, Bandar Hilir, Melaka, pagi tadi.

    Menurut beliau, kehadiran tapir di sekitar kawasan hotel itu disedari tetamu.

    “Ia benar-benar satu kejutan tahun baharu untuk kami semua di Hatten Group,” katanya.

    Dalam pada itu, memetik laporan portal Melaka Hari Ini, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Sofian Hassan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kelibat haiwan liar itu di tingkat lima tempat parkir bangunan itu pada pukul 9.04 pagi.

    Beliau berkata, haiwan itu dipercayai masuk ke tempat parkir tersebut melalui jalan masuk kereta dan sesat untuk keluar semula dari bangunan berkenaan.

    Katanya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati haiwan itu berkeliaran di kawasan terbabit.

    “Anggota bomba mengalami sedikit kesukaran sedikit untuk menangkap tapir berkenaan berikutan haiwan itu bertindak agresif sehingga merosakkan bahagian stor hotel terbabit dan beberapa kereta yang diletakkan di parkir tersebut,” katanya.

    Tapir Malaya atau nama saintifiknya, tapirus indicus juga dikenali sebagai Tapir Asia dalah spesis yang berasal dari Semenanjung Malaysia dan Sumatera.

    Haiwan berkenaan telah disenaraikan sebagai terancam oleh Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

  • Litar pintas punca kebakaran Wisma Jakel

    Litar pintas punca kebakaran Wisma Jakel

    KEBAKARAN di Wisma Jakel cawangan Shah Alam yang berlaku awal pagi tadi, dipercayai berpunca daripada litar pintas.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, berkata kebakaran bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

    “Polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan sekitar pukul 7 pagi dan anggota polis bertugas menjalankan kawalan lalu lintas serta keselamatan di lokasi kejadian.

    “Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas di premis itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini lapor BH.