Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ustaz Fauzi ketuai ADUN PN angkat sumpah hari ini

    Ustaz Fauzi ketuai ADUN PN angkat sumpah hari ini

     SERAMAI sebelas wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang yang menang pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang (PRN) ke-15 mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Undangan Negeri, hari ini.

    Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Law Choo Kiang pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama (Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri-ADUN) Sidang DUN ke-15.

    Selain itu, 29 wakil rakyat kerajaan negeri mengangkat sumpah dalam majlis yang sama diketuai Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

    Ustaz Mohd. Yusni Mat Piah mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat pembangkang buat kali kedua kali tidak keseorangan sebaliknya ditemani dengan sepuluh muka baharu wakil rakyat pembangkang, lapor Harakahdaily.

    Sesi angkat sumpah giliran pembangkang bermula dengan ADUNSungai Dua iaitu Pesuruhjaya Pas negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu, Zulkefli Bakar sebagai ADUN Penanti, diikuti ADUN Penaga, Ustaz Mohd. Yusni Mat Piah, ADUN Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali, ADUN Telok Ayer Tawar, Azmi Alang.

    Seterusnya ialah ADUN Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim; ADUN Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah; ADUN Permatang Berangan, Mohd. Sobri Salleh; ADUN Telok Bahang, Muhamad Kasim; ADUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff dan Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah.

  • PRK: Sambutan rakyat kepada PN makin baik, PH tertekan

    PRK: Sambutan rakyat kepada PN makin baik, PH tertekan

    NAIB Presiden Pas Datuk Idris Ahmad yakin sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) akan meningkat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram. 

    Katanya, ini susulan luahan daripada warga emas yang ditemui kelmarin yang mengharapkan kemenangan kepada PN.

    Menurutnya kumpulan warga emas itu meluahkan rasa tidak puas hati dan penolakan terhadap kepimpinan Presiden UMNO sekarang. 

    “Ini salah satu indikator, kalau itu fikiran orang tua, maka insya-Allah gelombang ini bukan sahaja berlaku di kalangan orang muda tetapi penolakan tehadap Pakatan Harapan semakin meluas,” katanya ketika ditemui di Bilik Operasi DUN Simpang Jeram. 

    Begitu juga, kata beliau sambutan masyarakat Simpang Jeram dalam ceramah, sesi calon bertemu masyarakat menunjukkan penerimaan yang sangat baik. 

    “Perkara ini diakui sendiri oleh Dr Mazri yang pernah bertanding pada tahun 2018. Ketika itu sukar untuk mendapat sokongan rakyat berbanding sekarang. 

    “Ini menunjukkan bahawa sambutan masyarakat terhadap PN semakin meningkat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai menurut Harakahdaily.

    Justeru, kata beliau ini menyebabkan pimpinan Pakatan Harapan sekarang berada dalam suasana tertekan melalui kenyataan yang dibuat oleh mereka.

  • Lelaki ceroboh rumah Nabil Ahmad untuk ‘lepak’ tidur didenda RM3,000

    Lelaki ceroboh rumah Nabil Ahmad untuk ‘lepak’ tidur didenda RM3,000

    SEORANG penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Rembau hari ini, selepas mengaku bersalah sengaja menceroboh rumah pelakon dan pengacara Ahmad Nabil Ahmad atau lebih dikenali Nabil.

    Tertuduh Fadzril Aqmal Abdul Anif, 31 dari Rembau, mengaku salah melakukan perbuatan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

    Memetik laporan Berita Harian, perbuatan itu dilakukan tertuduh pada jam 7.50 malam, 4 Januari 2022 bertempat di Kampung Senama Tengah, Rembau.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 442 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

    Majistret turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh masuk ke dalam rumah berkenaan secara menolak pintu dengan kuat, selain makan, berehat dan tidur di dalam rumah berkenaan.

    Sebaik dimaklumkan rumah berkenaan diceroboh, adik kepada Ahmad Nabil yang ditugaskan menjaga kediaman itu bergegas memeriksa kediaman itu sebelum dan mendapati kejadian itu adalah benar.

    Pemeriksaan menjumpai sehelai baju t-shirt, tiga helai seluar tracksuit dan sepasang kasut dan di dalam poket track suit turut ditemui MyKad milik tertuduh.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • Bekas Ahli Parlimen Jasin meninggal dunia

    Bekas Ahli Parlimen Jasin meninggal dunia

    BEKAS Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd. Said Yusof meninggal dunia di Hospital Melaka malam tadi.

    Berita itu dimaklumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Facebook.

    “Salam takziah buat ahli keluarga di atas kepulangan ke rahmatullah Allahyarham Mohd Said Haji Yusof malam tadi,” katanya, lapor FMT.

    Allahyarham dipilih sebagai Ahli Parlimen Jasin pada PRU 2004 selepas menewaskan calon Pas, Jasme Tompang dengan majoriti 21,334 undi.

    Said pernah dilantik pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, yang kini dikenali Institut Tun Perak.

  • Hilang seminggu, lelaki ditemui mati di kawasan hutan berbukit

    Hilang seminggu, lelaki ditemui mati di kawasan hutan berbukit

    SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu, ditemui maut di kawasan hutan berbukit di Kampung Bambangan Tudon, Penampang.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, laporan kehilangan Kevin Lokuman, 32, diterima 24 Ogos lalu.

    Berdasarkan maklumat awal, katanya, mangsa dilaporkan keluar rumah tanpa memaklumkan keluarga pada 5 pagi 22 Ogos lalu.

    “Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat digerakkan dan mangsa ditemui penduduk kampung pada hari kelima,” katanya menurut Harian Metro.

    Mayat lelaki itu ditemui kira-kira 3 kilometer dari kawasan Kampung Bambangan Tudon pada 10.30 pagi semalam.

    Jurucakap itu berkata, pasukan bomba tiba di pusat kawalan tempat kejadian pada 12.50 tengah hari dan ke lokasi mangsa ditemui penduduk kampung.

    Katanya, pasukan bomba mengambil masa akibat laluan sukar kerana kawasan hutan berbukit.

    “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis pada 6.14 petang.”

  • Sampai bila UMNO hanya mahu jadi penumpang kuasa: Tajuddin

    Sampai bila UMNO hanya mahu jadi penumpang kuasa: Tajuddin

    DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman kecewa melihat keadaan UMNO sekarang yang terpaksa menumpang dengan parti lain hanya semata-mata mahu berkuasa dan semakin hilang pengaruh di kalangan orang Melayu.

    Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, orang Melayu khususnya pasti kecewa melihat keadaan yang sedang dihadapi UMNO sekarang ini apabila sekadar menjadi penumpang dan kuasa tidak berada di tangan parti itu lagi.

    “Kita kembali kepada keadaan seperti 2018 (kejatuhan UMNO pada PRU-14). Ramai orang kita (Melayu) tak kira UMNO atau Pas tak sedih. Ini bukan soal politik sahaja, ini soal perjuangan untuk bangsa.

    “UMNO cuma tumpang kuasa (dalam kerajaan campuran), saya bimbanglah apa yang kita boleh buat dengan menumpang. Kuasa tidak di tangan kita sebaliknya di tangan orang,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

    Tajuddin berkata demikian semasa mengadakan sidang akhbar di kediamannya hari ini.

    Tegasnya, Pas dan UMNO perlu mencari jalan ‘menang-menang’ untuk kembali bermuafakat seperti yang pernah diwujudkan dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini yang pada akhirnya terkubur disebabkan pimpinan masing-masing membawa haluan berbeza.

    “Saya nak minta sebelum pilihan raya (PRU-16) UMNO bangkit semula, Melayu bangkit semula dan berdiri di atas kaki sendiri. Bekerjasama dengan Pas seperti dulu.

    “Orang Pas pun jangan berlagak sangat, menang banyak kerusi bukan main gah lagi. Orang UMNO, Pas jangan berlagak sesama sendiri, kalau mahu tunjuk hebat, tunjuk pada orang lain,” katanya.

    Pada masa sama beliau berkata, UMNO tidak boleh menumpang kuasa dengan gabungan lain selamanya sebaliknya perlu mengumpulkan kekuatan dan kembali menjadi dominan dalam kerajaan.

    “Takkan kita hendak begini selamanya, UMNO jadi parti kecil dalam komponen Kerajaan Perpaduan. Kita mahu UMNO kembali gagah. Harapannya satu hari nanti ia akan kembali dominan dalam kerajaan,” katanya.

    Pada PRU-15, UMNO yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang 26 kerusi, manakala empat kerusi lagi dimenangi wakil MCA dan MIC.

    Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi 79 kerusi Parlimen pada PRU-15, daripada jumlah itu, Pas memenangi kerusi paling banyak iaitu, 49 kerusi manakala 30 lagi adalah milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

  • Sultan Selangor titah polis kesan pemfitnah isu sekolah tahfiz

    Sultan Selangor titah polis kesan pemfitnah isu sekolah tahfiz

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya pihak polis mengesan kumpulan pemfitnah yang menyebarkan dakwaan kononnya lebih 200 buah sekolah tahfiz di negeri itu telah diarahkan tutup.

    “Golongan ini perlu segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab ini dan andai kata mereka meneruskan perbuatan fitnah dan khianat ini, beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

    “Pada hakikatnya beta telah menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam hari ini.

    Sultan Sharafuddin bertitah fitnah sebegini amat tidak bertanggungjawab dan amat dikesali baginda.

    “Kerana ianya telah secara tidak langsung merisaukan para ibubapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di negeri Selangor.

    “Beta mahu mereka yang sering melemparkan fitnah dan tohmahan agar mendapatkan fakta yang tepat sebelum melontarkan sebarang tohmahan yang tidak berasas,” titah baginda lagi.

    Sebelum ini muncul dakwaan Selangor sedang dalam proses menutup ratusan sekolah agama persendirian dan ia dikaitkan dengan DAP.

    Kerajaan negeri menafikan dakwaan itu dan menegaskan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu semua institusi terbabit didaftarkan bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

    Menurut Kerajaan Selangor, Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) yang dibangkitkan bermula sejak awal 2021 lagi serta bagi mengelakkan kejadian seperti kebakaran maut di institusi agama sebelum ini.

    Sesebuah sekolah agama persendirian juga dikehendaki mematuhi beberapa syarat keselamatan.

    Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin pada hari ini bertitah supaya institusi tahfiz swasta dan persendiran yang belum berdaftar dengan pihak berkuasa agama Islam negeri agar segera melaksanakannya.

    “(Ini) supaya bantuan dan peruntukan dapat disalurkan seperti mana yang diterima oleh Institusi pendidikan Islam yang berdaftar.

    “Beta juga mencadangkan agar pihak Jakim menyediakan kertas kerja bagi membuat dasar dan prosedur yang komprehensif bagi pendaftaran anstitusi-institusi tahfiz swasta dan persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri,” titah baginda lagi, lapor Malaysiakini.

  • Polis berkas tukang urut ‘mahu rumah Anwar meletup’

    Polis berkas tukang urut ‘mahu rumah Anwar meletup’

    SEORANG tukang urut ditahan susulan didakwa membuat hantaran berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri dalam serbuan di sekitar Taman Desa Budiman, Bidong, Kedah, semalam.

    Menurut Utusan Malaysia, lelaki itu dalam hantarannya ‘mahu membuat letupan’ di rumah Anwar Ibrahim kerana didakwa menzalimi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Lelaki berusia 41 tahun itu ditangkap pada 2.30 petang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, satu laporan diterima berhubung ancaman melalui akaun Facebook JoeJebatTajudin.

    “Hasil siasatan, kita sudah kenal pasti suspek dan membuat tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang bekerja sebagai tukang urut,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.

    Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan narkotik.

    “Suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya.

    Menurut laporan itu, suspek yang dipercayai pemilik akaun Facebook bernama JoeJebatTajudin berkongsi satu klip video dari YouTube memaparkan kejadian letupan di Beirut, Lubnan.

    Suspek dikatakan memuat naik kapsyen: “Memang sempoi kalau letupan macam itu kat rumah PMX yang menzalimi para pencarum KWSP.

    “Mudah mudahan Allah (SWT) akan cabut nyawa PMX dalam masa terdekat ini.. Amin.”

  • Tiga wanita Singapura termasuk dua warga emas maut dalam kemalangan

    Tiga wanita Singapura termasuk dua warga emas maut dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA wanita Singapura termasuk dua warga emas meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Ladang Cenas, Bandar Tenggara, Kota Tinggi hari ini.

    Kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan lori jenis Roll On Roll Off (RORO) mengorbankan tiga wanita iaitu Toh Poh Kian yang berusia 56 tahun dan Soon Mohd Tan serta Wong Lan Yew masing-masing berusia 61 tahun.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Norul Fazudin Shafie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 1.52 petang.

    Susulan itu katanya, seramai enam anggota dengan dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Tiga yang maut merupakan penumpang MPV berkenaan. Semua mangsa yang merupakan warga Singapura meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, pemandu MPV berkenaan yang juga warga Singapura, Omg Cheow Lam, 59, dan pemandu lori RORO berkenaan, Ahmad Zaini Karimon, 49, terselamat.

    Tambahnya, operasi tersebut selesai pada pukul 2.35 petang.

  • ADUN Bersatu jadi Ketua Pembangkang di DUN Negeri Sembilan

    ADUN Bersatu jadi Ketua Pembangkang di DUN Negeri Sembilan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang mewakili blok Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

    Timbalan Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan, Muhammad Noraffendy Mohd Salleh berkata, keputusan itu dibuat oleh pucuk pimpinan PN, namun siapa yang dinamakan masih belum diputuskan.

    “PN telah putuskan yang Ketua Pembangkang di Negeri Sembilan akan dipilih daripada Bersatu dan di Negeri Sembilan ini kita ada dua ADUN Bersatu.

    “Ia boleh jadi ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad atau ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu, PN menang di DUN Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang dan Labu yang mana tiga daripadanya diwakili Pas.

    Selain itu katanya, satu sekretariat khas akan dibentuk bagi membantu lima ADUN PN memantau perjalanan kerajaan negeri selain memastikan gabungan itu dapat memainkan peranan sebagai pembangkang dengan lebih efektif.

    Ujarnya, sekretariat itu bukan sahaja terdiri daripada kepimpinan parti tetapi juga badan bukan kerajaan(NGO).

    “Sekretariat ini bukannya mahu mengawal wakil rakyat tetapi kita nak membantu membawa usul-usul yang lebih komprehensif kepada Dewan.

    “Ini kerana kesemua ADUN kita tiada pengalaman sebagai wakil rakyat, jadi perlunya untuk kita sama-sama memainkan peranan sebagai semak dan imbang.”