Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis jamin siasatan telus, adil kes inspektor didakwa rogol remaja 16 tahun

    Polis jamin siasatan telus, adil kes inspektor didakwa rogol remaja 16 tahun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SIASATAN terhadap inspektor polis berusia 30 tahun yang didakwa merogol remaja perempuan berumur 16 tahun di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan minggu lalu, kini dijalankan oleh pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan siasatan tersebut dijalankan secara telus, adil dan saksama.

    Selain itu katanya, kertas siasatan berhubung kes tersebut akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri Kedah dengan kadar segera agar penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan walaupun dia merupakan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), tanpa kompromi.

    ” Suspek telah ditahan dan direman untuk tujuan siasatan hingga esok. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, suspek boleh dipenjara hingga 20 tahun dan disebat.

    “Pihak polis sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab seagai agensi penguatkuasa utama negara. PDRM Kedah memberi jaminan bahawasa siasatan yang telus, adil dan saksama akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam, kredibiliti polis serta mengganggu siasatan dijalankan.

    “Orang ramai juga disarankan memberi kerjasama serta membantu PDRM membanteras perlakuan jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

  • Ismail Sabri nafi terbabit ‘Langkah London’, sifatkannya fitnah jahat

    Ismail Sabri nafi terbabit ‘Langkah London’, sifatkannya fitnah jahat

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan beliau antara dua Naib Presiden UMNO terbabit dalam usaha menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelang perhimpunan agung parti itu minggu depan.

    Ia susulan dakwaan seorang penulis blog yang tular media sosial bahawa dua Naib Presiden UMNO mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin di London untuk menjatuhkan Zahid sebagai Presiden UMNO.

    Menurut dakwaan itu, gerakan yang dinamakan “Langkah London” bertujuan menjatuhkan Zahid dalam usaha menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ismail menyifatkan tuduhan yang mengaitkan beliau dengan gerakan seperti itu sebagai fitnah yang sengaja dicipta untuk memburukkan namanya.

    Bekas perdana menteri itu menjelaskan beliau bercuti dengan keluarganya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 22 Dis hingga 3 Jan lalu, tarikh yang didakwa beliau menemui beberapa pemimpin politik di London.

    “Saya menafikan sekeras-kerasnya. Ini merupakan fitnah jahat.

    “Saya berdiam diri selepas PRU15 sehingga kini, tiada kenyataan mengenai Umno, tiada kenyataan mengenai kerajaan. Tujuan saya berdiam diri supaya tiada spekulasi dan fitnah mengaitkan saya.

    “Tapi pemfitnah yang tidak mengenal dosa ini masih terus mengaitkan saya, sebab itu saya menganggap ini merupakan fitnah berniat jahat,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today melalui WhatsApp.

    November lalu, Ismail menafikan dakwaan pertemuan tertutup membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS diadakan di Tropicana Golf & Country Resort.

    Ismail dilaporkan berkata, semua tindakannya disalah tafsir sehingga dirinya dianggap pengkhianat jika bertemu rakan daripada Pas, manakala pihak yang bertemu pimpinan Pakatan Harapan pula dianggap hero

  • Rasuah urus jenazah: Dua penolong pegawai perubatan dipenjara, denda

    Rasuah urus jenazah: Dua penolong pegawai perubatan dipenjara, denda

    DUA penolong pegawai perubatan di Hospital Kajang dipenjara masing-masing lapan dan enam hari oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah antara 2019 dan 2021.

    Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Redzuan Che Husain, 34, dan Mohd Fariq Ariffin, 34, selepas masing-masing mengaku bersalah atas empat dan tiga pertuduhan pilihan.

    Mahkamah menjatuhi hukuman penjara dua hari bagi setiap pertuduhan kepada kedua-dua tertuduh dan memerintahkan hukuman itu berjalan secara berturut-turut bermula hari ini.

    Mahkamah juga mengenakan hukuman denda keseluruhan RM20,000 atau penjara 24 bulan kepada Mohd Redzuan bagi empat pertuduhan pilihan manakala Mohd Fariq didenda RM11,000 atau penjara 18 bulan (tiga pertuduhan pilihan).

    Berdasarkan kesemua pertuduhan pilihan itu, kedua-dua tertuduh yang semasa kejadian bertugas di Unit Forensik, masing-masing menerima suapan RM1,550 dan RM1,000 daripada Nur Azlan Azmi melalui akaun CIMB Bank milik mereka tanpa sebarang balasan daripada Nur Azlan yang diketahui oleh kedua-dua lelaki itu ada kaitan dengan tugas rasmi mereka iaitu bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing di sebuah cawangan CIMB Bank di Ipoh, Perak dan Petaling Jaya, dekat sini antara 14 Ogos 2019 dan 21 Jan 2021.

    Bagi kesemua kesalahan itu, kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi. – BERNAMA

  • BF.7 dibimbangi ‘virulence’, sekat segera pelancong China – PERDIM

    BF.7 dibimbangi ‘virulence’, sekat segera pelancong China – PERDIM

    PENULARAN wabak COVID-19 subvarian Omicron atau BF.7 perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak kerana wujud kebimbangan ianya bersifat ‘virulence’ atau berbahaya.

    Jika ia berbahaya sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan kes tahap 4, 5 serta kematian pada ketika individu lengkap divaksin seperti di China, maka dunia kini berdepan masalah besar.

    Menurut Timbalan Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Norzaidi Zakaria, keadaan itu akan menyebabkan dunia perlu menghasilkan vaksin baharu bagi mendepani BF.7.

    Oleh itu beliau menggesa kerajaan supaya segera memperketatkan semula kemasukan pelancong luar khususnya dari China bagi mengelak subvarian ini daripada terus menular.

    Beliau menegaskan agar jangan diulangi sikap berlengah-lengah seperti suatu masa dahulu sehingga menyebabkan kes COVID-19 negara kini mencecah lebih 5 juta orang.

    “Dekat China kebanyakannya ambil Sinovac, (negara) dunia lain ambil Pfizer, outcome Sinovac dan Pfizer ini mungkin juga menyebabkan hasil dia sekarang, kita bebas bercampur sekarang tapi kesan ICU, stage COVID itu tak nampak ketara sangat.

    “(Bimbang) mungkin juga BF.7 ini Pfizer pun tak tahan, bila tak tahan dia akan jadi macam China, peningkatan kes stage 4, 5 dan kematian.

    “Kita sudah dapat vaksin, tiba-tiba katalah dia jadi virulence, so kita kena mula dari awal balik. Mungkin kena cari vaksin yang khas untuk dia (BF.7),” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.

    Sehubungan itu, Dr Zaidi menyarankan semua pihak untuk kembali menggunakan pelitup muka terutamanya di kawasan sesak atau tumpuan ramai.

    Beliau turut memohon kerajaan supaya mengaktifkan semula penggunaan aplikasi MySejahtera bagi mengawal penularan di peringkat awal.

    “Saya rasa sekurang-kurangnya kalau nak masuk tempat-tempat yang sesak kena pakai balik mask.

    “Ujian kendiri kadang-kadang kalau kita periksa hanya 30 peratus sahaja masuk dalam MySejahtera. Saya rasa itu kena kembali kepada asal, kena ada hitam putih,” katanya lagi.

  • Pelantikan Farhash burukkan lagi pertalian perniagaan-politik di Malaysia

    Pelantikan Farhash burukkan lagi pertalian perniagaan-politik di Malaysia

    PELANTIKAN Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd adalah bertentangan dengan tata kelola yang baik dan memburukkan lagi pertalian perniagaan-politik di Malaysia.

    Berikut kenyataan penuh Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor berhubung pelantikan bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang berkuat kuasa, semalam.

    Oleh MEJAR JENERAL (B) DATUK KHLIR MOHD NOR

    KAMI merujuk kepada perlantikan Farhash Wafa Salvador, bekas setiausa politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebagai pengerusi rantaian 7-Eleven kepunyaan Vincent Tan serta perlantikannya minggu lepas juga sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Equity.

    Kesemua ini berlaku dalam masa sebulan lebih sahaja setelah Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri. Ianya adalah pengetahuan umum bahawa Farhash adalah sekutu rapat Anwar Ibrahim dan juga bekas setiausaha politik beliau.

    Perlantikan Farhash untuk jawatan-jawatan besar ini sebaik sahaja selepas Anwar Ibrahim diangkat ke Pejabat Perdana Menteri adalah suatu yang bertentangan dengan prinsip tata-kelola yang baik didalam negara ini, dan adalah suatu perkara yang jijik dan dipandang serong. Mana pergi janji-janji yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan untuk tata-kelola yang baik dan integriti dalam mentadbir negara? Perlantikan Farhash adalah bukti bahawa agenda “reformasi” yang dilaung-laungkan oleh PH dan Anwar sekian lama adalah bohong dan merupakan taktik politik untuk memperdaya pengundi.

    Kami menyeru Anwar Ibrahim untuk tidak terus membisu dalam isu jawatan-jawatan baru Farhash ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana ia adalah konsisten kepada konsep reformasi dan tata kelola yang baik. Majlis Pimpinan Tertinggi PH, yang selama ini telah mencanangkan nilai-nilai ini untuk bertahun-tahun semasa menjadi pembangkang, juga wajib menjelaskan pendirian mereka atas jawatan-jawatan Farhash ini.

    Paling penting, apakah Anwar selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, akan memberitahu rakyat jika ada lagi perlantikan seperti ini, samada melibatkan Farhash atau sekutu-sekutu rapat Anwar yang lain, yang bakal diumumkan?

    Penulis adalah Ahli Parlimen Ketereh

  • Judi: Kalau RM400 juta pun saya hentikan, inikan pula RM400,000

    Judi: Kalau RM400 juta pun saya hentikan, inikan pula RM400,000

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan kerajaan negeri tetap akan menghentikan operasi premis perjudian di negeri itu walaupun meraih pendapatan sehingga jutaan ringgit hasil cukai, bayaran papan iklan atau pendapatan berkaitan kegiatan itu.

    Beliau berkata, ‘kos’ membaiki kerosakan angkara perjudian lebih teruk diperlukan terutamanya terhadap masyarakat yang terjebak dalam kegiatan itu dan pihak-pihak lain yang menerima akibat ekoran kegiatan tidak bermoral itu.

    Justeru katanya, kerajaan negeri langsung tidak terkesan dengan langkah menghentikan operasi premis perjudian dan loteri di seluruh negeri itu walaupun sektor berkenaan menyumbang pendapatan kira-kira RM400,000 setahun.

    “Saya dah tengok pada tahun 2021 keseluruhan pendapatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri untuk premis-premis perjudian hanya sekitar RM400,000 setahun sahaja.

    “Kalau RM400 juta pun saya nak ‘stop’ juga, ini kan pula RM400,000 lagi kena ‘stop’ sebab kesan dia buruk dan teruk.

    “Nak ‘baiki’ masyarakat, ahli keluarga yang berselerak kerana bapa jadi tahi judi balik tabuh (pukul) anak, tabuh mak, juai harta, curi duit kerana gila judi lebih teruk daripada RM400,000 kerugian itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

    Kerajaan Kedah menghentikan pengeluaran lesen baharu kepada kesemua premis perjudian dan loteri di seluruh negeri itu bermula 1 Januari 2023 setelah membuat keputusan terbabut ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November 2021.

    Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga tidak akan melayani apa-apa desakan untuk kajian semula langkah terbabit.

    “Takdak kerugian apa-apa, malah ada untungnya (kerana) masyarakat kita selamat, insha-Allah. Tindakan itu saya harap dapat sokongan dan Allah berkati usaha yang kita buat ini kerana ianya selari dengan tuntutan Allah.

    “Allah akan tolong kita dapat hasil lebih banyak daripada sumber yang lain di samping dapat selamatkan masyarakat kita daripada kerosakan disebabkan perjudian.

    “Takdak orang jadi kaya kerana judi, tokey judi sahaja kaya (sebaliknya) tahi judi, tikam nombor, bomoh karang (ramal nombor) takdak seorang yang kaya, semuanya papa kedana,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi meminta pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan untuk memainkan peranan masing-masing bagi mengatasi dakwaan masih terdapat premis-premis yang beroperasi secara haram.

    “Apa-apa kegiataan tidak berlesen ada agensi dan badan bertanggungjawab yang menguatkuasakan undang-undang. Kalau judi, pelacuran ada undang-undangnya dan kalau judi dalam talian ada agensi dan jabatan bertanggungjawab yang patut pantau perkara itu.

    “Ini kerana kegiatan judi dalam talian tiada bidang kuasa kerajaan negeri, ianya di bawah Kerajaan Persekutuan dan jika mereka beralih kepada judi dalam talian saya harap agensi berkaitan ambil tindakan sewajarnya, saya hanya kuat kuasa apa yang ada bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

  • 3 termasuk janda anak tiga ditahan disyaki edar dadah

    3 termasuk janda anak tiga ditahan disyaki edar dadah

    SEPASANG kekasih termasuk wanita janda anak tiga antara tiga individu yang ditahan polis Pulau Pinang disyaki anggota sindiket pengedaran dadah jenis heroin dalam beberapa serbuan di Tanjong Tokong dan Gelugor pada 29 dan 30 Disember lalu.

    Selain penahanan suspek berumur antara 30 hingga 44 tahun itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat kira-kira 7.18 kilogram bernilai RM36,162.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek pertama berusia 34 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pemasangan talian internet ditahan pada 29 Disember lalu di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor, kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

    Jelasnya, suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi cuba melarikan diri ketika cuba ditahan dengan memecut kereta sekitar lima hingga 10 meter sebelum melanggar sebuah lori yang berada di kawasan tersebut.

    Menurutnya, pemeriksaan lanjut polis di dalam kereta suspek menjumpai tiga paket plastik heroin seberat 1.37 kilogram (kg) serta sembilan paket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 110 gram yang disimpan di dalam sebuah beg berwarna hitam.

    Ujar beliau, susulan tangkapan suspek pertama itu, polis kemudian menahan suspek kedua iaitu lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di tepi jalan Jalan Perusahaan, Seberang Perai, pukul 7.15 petang hari sama.

    “Polis kemudian menyerbu sebuah rumah flat di kawasan Tanjung Bungah pukul 1 pagi, 30 Disember lalu dan menahan seorang wanita berusia 30 tahun.

    “Wanita itu yang bekerja sebagai pembantu kedai merupakan janda anak tiga dan kekasih kepada suspek pertama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di George Town hari ini.

    Menurut Soffian, polis turut merampas enam ketulan mampat dadah disyaki ganja dengan anggaran berat 5,700 gram iaitu bekalan dadah yang diperoleh daripada suspek kedua di rumah suspek wanita berkenaan.

    Ujarnya, hasil ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah serta mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan dadah serta jenayah.

    “Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 30 Disember lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Hanya benarkan pelancong China negatif COVID-19 masuk negara – MMA

    Hanya benarkan pelancong China negatif COVID-19 masuk negara – MMA

    PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan memastikan semua pelancong dari China menunjukkan keputusan negatif Covid-19 sebelum tiba di Malaysia.

    Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya perlu membenarkan pelancong dari China yang lengkap divaksin dan negatif ujian RT-PCR.

    Menurutnya, kerajaan juga disaran menerima kedatangan pengembara dari China secara beransur-ansur dan hanya melonggarkan prosedur itu apabila situasi COVID-19 di republik berkenaan bertambah baik.

    “Apabila tiba di pintu masuk atau dalam tempoh 24 jam, pengembara perlu menjalani saringan Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) profesional untuk Covid-19.

    “Perkara yang sama juga perlu dilakukan bagi pelancong dari negara lain yang mengalami peningkatan kes yang ketara (Covid-19),” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

    Dr Muruga pada masa sama berkata, MMA juga menggesa KKM mengambil semua langkah yang perlu bagi mencegah lonjakan kes di negara ini selain langkah pencegahan semasa.

    Menurutnya, walaupun varian COVID-19 yang dominan di China sudah dikesan di Malaysia, semua langkah berjaga-jaga harus diambil untuk mengelakkan lonjakan.

    “MMA bimbang sistem penjagaan kesihatan kita mungkin terganggu sekiranya kes yang memerlukan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) meningkat sedangkan ada kekurangan tenaga kerja di kemudahan penjagaan kesihatan awam,” katanya.

    Mengakui Malaysia akan mendapat manfaat daripada kunjungan pelancong dari China khususnya dalam aspek ekonomi, Dr Muruga mengingatkan, kesihatan dan keselamatan awam harus dipastikan kekal sebagai keutamaan.

    “Namun dengan pengalaman selama tiga tahun, Malaysia pastinya mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap COVID-19 kini. Apa yang penting rakyat Malaysia juga perlu mengambil langkah pencegahan seperti suntikan penggalak dan pelitup muka,” katanya.

    China dijangka membuka pintu sempadannya 8 Januari ini walaupun republik itu ketika ini berdepan peningkatan jangkitan COVID-19 yang serius.

    Sebelum ini, Malaysia menetapkan pengembara yang tiba dari luar, termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA).

    Sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil untuk ujian PCR di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan seterusnya bagi penjujukan genom sekiranya ada yang dikesan positif COVID-19.

    Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menetapkan kemasukan pengembara asing ke Malaysia akan dikawal dengan lebih ketat, tanpa menumpukan kepada mana-mana negara.

  • Mahkamah dengar rayuan bekas pembantu Anwar 7 April

    Mahkamah dengar rayuan bekas pembantu Anwar 7 April

    MAHKAMAH Rayuan akan mendengar rayuan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan tuntutan balas terhadap dakwaan salah laku seksual pada 7 April ini.

    Mahkamah itu juga akan mendengar rayuan Yusoff Rawther terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membuang beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan presiden PKR itu.

    Peguam Navpreet Singh yang mewakili Anwar berkata, tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Zuhrina Mohamed Nor hari ini.

    “Pihak-pihak itu telah diarah memfailkan hujahan bertulis mereka menjelang 9 Mac. Prosiding akan dijalankan dalam talian,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Johan Lee dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Sept tahun lalu berkata, permohonan Yusoff tanpa merit dan saman itu perlu dibicarakan dalam perbicaraan penuh.

    Ia berhubung saman difailkan Yusoff terhadap Anwar pada 14 Julai 2021 yang mendakwa serangan seksual oleh bekas majikannya.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar di Segambut.

    Dakwanya, akibat kejadian itu, dia dituduh merancang untuk menjatuhkan Anwar dan merosakkan kerjaya politiknya dan ini menjejaskan kesihatan mentalnya.

    Dia menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan, serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Yusoff memfailkan satu permohonan pada Disember 2021 untuk mengeluarkan beberapa perenggan dalam pembelaan Anwar yang didakwanya tidak relevan dengan saman itu.

    Katanya, tuntutan balas Anwar bersifat spekulatif, kabur dan tidak mempunyai kejelasan serta butiran.

    Beliau berkata, tuntutan balas itu tidak mengenal pasti sebarang punca tindakan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

  • Letupan Pandan Indah: Cemburu dipercayai motif suspek

    Letupan Pandan Indah: Cemburu dipercayai motif suspek

    PASANGAN suami isteri yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes letupan bom buatan sendiri di Pandan Indah, Ampang Jaya, Khamis lalu sehingga menyebabkan seorang tukang masak maut, direman selama tujuh hari.

    Lapor Berita Harian, kedua-dua suspek iaitu lelaki berusia 33 tahun dan isterinya berusia 30 tahun ditahan di Serdang, Kedah, malam tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

    Mereka kemudian terus dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk siasatan dan tindakan lanjut. Kedua-dua suspek terbabit direman bermula hari ini sehingga 10 Januari ini.

    Setakat ini kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu lelaki yang ditahan terhadap mangsa.

    Dalam kejadian pukul 8.50 malam, pada 29 Disember lalu, seorang tukang masak sebuah restoran di Pandan Indah, maut selepas membuka sebuah bungkusan yang diletakkan atas bonet keretanya.

    Bungkusan berkenaan kemudian meletup secara tiba-tiba sebelum mangsa mengalami kecederaan serius pada badan dan tangannya.

    Mangsa maut pada pukul 9.50 malam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

    Setakat ini, daripada siasatan polis di tempat kejadian, polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.

    Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Polis percaya suspek kejadian letupan itu menggunakan bom buatan sendiri.

    Rumusan itu dibuat susulan penemuan objek tertentu di lokasi kejadian yang mana polis percaya ia adalah kandungan untuk menghasilkan bom.

    Antara bahan yang ditemui adalah peranti powerbank, serpihan pisau pemotong kertas dan bateri.

    Polis turut tidak menolak kemungkinan ada lagi bahan-bahan lain yang digunakan untuk menghasilkan letupan namun ia mungkin sudah hangus semasa kejadian.

    Polis juga mengesyaki kemahiran membuat bahan letupan dipelajari menerusi media sosial.