Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pukul anak OKU kekasih sehingga maut, buang dalam semak

    Pukul anak OKU kekasih sehingga maut, buang dalam semak

    KANAK-KANAK lelaki orang kurang upaya (OKU) dipukul sehingga mati sebelum mayatnya dicampak di kawasan semak di Kampung Kranji, di Bau, Sarawak.

    Sebelum penemuan tersebut ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya pada 21 Disember lalu.

    Penemuan tersebut dipercayai berlaku kira-kira lima hari sebelum ibu mangsa membuat laporan polis.

    Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Poge Nyaon berkata, anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang menjalankan siasatan membuat tangkapan terhadap lelaki berusia 35 tahun pukul 3 petang semalam.

    “Hasil soal siasat, suspek memberitahu memukul anak bongsu teman wanitanya sehingga tidak bernyawa sebelum membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan semak.

    “Pihak polis dipandu suspek kemudian dibawa ke tempat kanak-kanak itu dibuang pada 6.45 petang semalam, dan ibu mangsa mengesahkan identiti anaknya berdasarkan pakaian dan anak patung yang dipegang mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, ibu kanak-kanak itu berusia 34 tahun juga ditahan untuk siasatan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

    Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Pihak polis akan menjalankan siasatan secara rapi dan profesional,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Lima ceti haram ditahan dipercayai khianat bakar SUV

    Lima ceti haram ditahan dipercayai khianat bakar SUV

    POLIS menahan lima ahli ahli sindiket yang dipercayai terbabit dalam perbuatan khianat api dengan membakar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di sebuah taman perumahan di Batu Pahat pada 14 Disember lalu.

    Suspek terdiri daripada tiga lelaki, seorang wanita warga tempatan dan warga asing yang berumur dalam lingkungan 31 hingga 62 tahun.

    Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, semua suspek direman selama enam hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

    “Pada 14 Disember lalu, lebih kurang jam 4.30 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima satu laporan yang menyatakan kenderaan pengadu seorang lelaki berusia 40-an yang sudah dibakar.

    “Perbuatan berkenaan dipercayai dilakukan oleh sindiket peminjam wang tanpa lesen ataupun ceti haram kerana terdapat satu notis yang ditinggalkan supaya membayar hutang.

    “Anak saudara pengadu yang berhutang dan menghilangkan diri tetapi menggunakan alamat mangsa untuk membuat pinjaman dengan ceti haram atau along terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, semua suspek ditahan pada 24 Disember lalu dengan hasil bantuan IPD Brickfield dan mereka diserahkan kepada IPD Batu Pahat semalam.

    “Pihak polis juga turut merampas kenderaan yang digunakan suspek, buku nota, cat berwarna merah, sebotol air mineral yang mengandungi cecair disyaki petrol dan kad akaun bank tempatan yang digunakan dalam melakukan jenayah,” katanya.

    Beliau berkata, pihak IPD Batu menjalankan siasatan untuk mengesan saki baki saspek dan pembabitan mereka dalam kes lain di Batui Pahat.

    “Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Warga emas mengaku tidak bersalah cabul kanak-kanak 9 tahun

    Warga emas mengaku tidak bersalah cabul kanak-kanak 9 tahun

    SEORANG peniaga kedai runcit didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan.

    Tertuduh, Talib Ali, 69, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, lapor Astro Awani.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun tujuh bulan.

    Kesalahan itu dilakukan pada 31 Disember lalu di sebuah kedai di daerah Kuala Terengganu, pukul 5 petang.

    Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

  • Kerajaan Sabah bakal tumbang lagi? Shafie Apdal umum ada sokongan ADUN?

    Kerajaan Sabah bakal tumbang lagi? Shafie Apdal umum ada sokongan ADUN?

    PRESIDEN Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka mengadakan sidang media dalam masa terdekat dipercayai untuk mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

    Dalam jemputan media, sidang media itu dijangka diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, lapor Astro Awani.

    Setakat ini, kerajaan Sabah dipimpin Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.

    Warisan mempunyai 19 ADUN di Sabah dan dipercayai mendapat sokongan ADUN Barisan Nasional (BN).

    Warta Rakyat sedang memantau perkembangan ini dari masa ke semasa.

  • 2 pasangan pengasas kosmetik mengaku tidak bersalah cederakan wanita

    2 pasangan pengasas kosmetik mengaku tidak bersalah cederakan wanita

    DUA pasang suami isteri yang juga pengasas produk kosmetik di negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas tuduhan mencederakan dua peniaga pada Julai tahun lalu.

    Pengasas terbabit, Nur Farhana Ismail, 32, dan suaminya, Muhammad Hakimi Mohd. Azmi, 33, serta Anes Ayunie Osman, 21, dan suaminya, Ahmad Weldan Zulkefli, 22.

    Turut didakwa atas tuduhan sama adalah pekerja mereka, Muhammad Firdaus Alias, 21.

    Sinar Harian melaporkan, semua mereka membuat pengakuan tersebut atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencederakan An Nur Amani Nazifa Anuar, 19, sehingga menyebabkan kecederaan di kepala, tangan dan leher serta Mohamad Nurhisyam Afandi Mahadi, 30, yang mengalami cedera di tangan, kaki dan lutut sebelah kiri di hadapan sebuah kedai di Jalan Padang Garong di sini pada jam 3 pagi, 9 Julai 2022.

    Pada pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

    Pada prosiding itu, Siti Edabayu menawarkan jaminan berjumlah RM5,000 setiap seorang bagaimanapun Ahmad ‘Adha ‘Amir memohon supaya anak guamnya diberi jaminan yang rendah.

    Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan kesemua mereja membayar jamin.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Februari depan.

    Akhbar sebelum ini melaporkan, polis menahan dua wanita pengasas produk kosmetik bagi membantu siasatan kes pukul.

  • Sumbang mahram anak tiri, peniaga warung dijel 15 tahun, 19 sebatan

    Sumbang mahram anak tiri, peniaga warung dijel 15 tahun, 19 sebatan

    SEORANG lelaki yang melakukan sumbang mahram dan seks luar tabii terhadap anak tiri yang ketika itu berusia 12 tahun menerima balasan apabila dihukum penjara 15 tahun dan 19 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini.

    Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang merupakan peniaga warung berusia 38 tahun selepas dia membuat pengakuan bersalah terhadap tujuh pertuduhan.

    Surita turut berharap hukuman itu dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

    Mengikut enam pertuduhan, tertuduh telah melakukan persetubuhan dengan anak tirinya yang kini berusia 14 tahun di dua lokasi di Jempol.

    Kesalahan itu dilakukan antara pukul 8 malam hingga 2 pagi iaitu antara 1 Januari 2021 hingga 10 Disember 2022.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

    Selain itu tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan iaitu melakukan hubungan seksual menggunakan objek terhadap kanak-kanak tersebut.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah warung di Jempol pada jam 8 malam antara 11 April 2021 hingga 20 April 2021.

    Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun serta sebatan.

    Sebelum itu tertuduh merayu hukumannya dikurangkan dan mengakui menyesal atas perbuatannya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memohon mahkamah memberi hukuman yang setimpal dan boleh memberi pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam kerana ia merupakan kesalahan serius.

    Ujarnya, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa yang ketika itu baru berusia 12 tahun dan bukannya menganiayanya.

    “Emosi mangsa yang masih kanak-kanak juga akan terganggu sehingga dewasa kelak,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan fakta kes, mangsa yang kini berusia 14 tahun telah dirogol sebanyak enam kali oleh tertuduh yang merupakan ayah tiri hasil perkahwinan dengan ibu mangsa pada 2014.

    Mangsa memaklumkan kepada kakaknya bahawa dia telah lama dirogol oleh ayah tiri tetapi takut untuk menceritakan kejadian itu sebelum laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol pada Disember lalu.

  • Benarkan pengeluaran KWSP RM10,000 atau separuh sekali lagi

    Benarkan pengeluaran KWSP RM10,000 atau separuh sekali lagi

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kerajaan Pusat membenarkan pengeluaran KWSP maksimum RM10,000 atau 50 peratus (yang mana lebih rendah) kepada pencarum yang mempunyai wang simpanan kurang daripada jumlah tersebut.

    Naib Presidennya, Datuk Baljit Singh berkata, pengeluaran KWSP itu sedikit sebamyak dapat membantu rakyat dalam keadaan ekonomi yang membebankan dan tidak stabil pada masa ini.

    “Inisiatif ini sekaligus dapat meringankan beban mereka dengan kenaikkan harga barang keperluan seperti telur, minyak, ayam dan lain-lain.

    “Realitinya masih ramai rakyat berharap pengeluaran KWSP dibenarkan lagi terutamanya kepada peminjam bank yang risau OPR akan naik tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Baljit mencadangkan Kerajaan Perpaduan berunding dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pengeluaran tersebut.

    “Saya cadangkan kerajaan boleh membuat pengeluaran KWSP secara bersyarat.

    “Contohnya pencarum hanya boleh keluarkan RM10,000 maksima dan bagi pencarum yang kurang daripada jumlah tersebut hanya dibenarkan 50 peratus daripada jumlah baki sedia ada,” ujarnya.

    Menurut beliau, Gerakan yakin dan percaya inisiatif itu sangat membantu rakyat termausk untuk dijadikan wang simpanan ekoran kemungkinan berlaku gelombang kedua varian baharu Covid-19.

  • Lelaki maut, warga emas parah selepas pikap dirempuh kereta api

    Lelaki maut, warga emas parah selepas pikap dirempuh kereta api

    SEORANG lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki dirempuh sebuah kereta api.

    Kejadian dilapor berlaku di Sala Lamduan, Mueang Sa Kaeo, Thailand pada petang semalam.

    Memetik laporan News.ch7, Ketua Polis Muang Sakaeo, Superintendan Akanan Hukaew berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 4 petang.

    Beliau berkata, kemalangan berlaku sewaktu kereta api terbabit daam perjalanan dari Bangkok ke Aranyaprathet.

    “Hasil pemeriksan kamera litar tertutup mendapati pikap terbabit telah bertindak melalui celah laluan penghadang lintasan kereta api sebelum dirempuh.

    “Akibat rempuhan itu, kenderaan terbabit terjatuh ke dalam parit.

    “Seorang warga emas berusia 77 tahun yang turut berada di dalam kenderaan cedera parah,” katanya.

    Sementara itu, hasil soal siasat bersama saksi kejadian mendapati mereka terkejut akan insiden terbabit dan tidak sempat membuat apa-apa.

    “Saya mendengar bunyi wisel kereta api dari jauh ketika kereta terbabit bertindak melintasi bahagian penghadang dengan laju dan tanpa brek.

    “Saya fikir pikap itu akan berjaya melintasi laluan tersebut pada masa yang tepat, tetapi tidak berhasil apabila dilanggar kereta api tersebut,” ujar saksi.

  • Kebangkitan ‘gelombang hijau’ semakin menebal, penyokong Pas tidak segan pakai baju PN di tempat awam

    Kebangkitan ‘gelombang hijau’ semakin menebal, penyokong Pas tidak segan pakai baju PN di tempat awam

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TSUNAMI Melayu yang dikaitkan melanda dunia politik negara ketika berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu dijangka akan kekal berterusan.

    Malah kemenangan besar gabungan parti yang bernaung di bawah logo Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu dan Pas dalam PRU15 disifatkan sebagai isyarat awal kebangkitan gabungan tersebut.

    Berdasarkan pencapaian dan keputusan dalam pilihan raya umum lalu, sepatutnya PN sudah pun berjaya menerajui tampuk pemerintahan negara.

    Namun, sebagaimana kita ketahui hanya disebabkan aspek teknikal sahaja PN gagal berbuat demikian.

    Melihat kepada perkembangan dunia politik semasa, banyak pihak percaya bahawa sokongan Melayu kepada PN akan terus kekal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak lama lagi.

    Ada pakar dan penganalisis politik meramalkan Terengganu, Kelantan dan Kedah bakal meneruskan pencapaian cemerlang untuk memenangi PRN nanti.

    Ini memandangkan sokongan Melayu kepada PN di tiga negeri tersebut amat memberangsangkan sebaik sahaja gabungan tersebut berjaya menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri terbabit.

    Sebagai contoh di Terengganu, kemenangan PN yang berjaya mendominasi kerusi parlimen termasuk di kubu kuat Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai satu fenomena.

    Siapa sangka kerusi Parlimen Besut dan Hulu Terengganu yang selama ini menjadi milik UMNO-BN kini telah bertukar tangan kepada PN.

    Malah, kehebatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akhirnya longlai apabila beliau tersungkur di kerusi Parlimen Kemaman.

    Sokongan Melayu kepada PN di tiga negeri tersebut amat memberangsangkan sebaik sahaja PN berjaya menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri terbabit.

    Begitu juga dengan Setiausaha Agong UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat yang tersungkur di Hulu Terengganu dan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad rebah di Hulu Besut.

    Sepertimana laporan awal sebelum ini, antara faktor menyebabkan BN tewas di semua kerusi parlimen di Terengganu ialah tsunami Melayu dan juga kehadiran pengundi berusia 18 tahun.

    Selain itu, penulis juga difahamkan kemangan PN turut dibantu oleh ahli-ahli UMNO sendiri yang memilih calon PN ekoran berasa meluat terhadap pucuk pimpinan parti itu di peringkat Pusat.

    Di Parlimen Marang misalnya, dalam PRU15 lalu, semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di kubu kuat BN iaitu Pengkalan Berangan dilaporkan berpihak kepada PN.

    Pengkalan Berangan tewas sebanyak 7,216 undi, Alor Limbat (12,031 undi), Bukit Payong (9,672 undi) dan Rhu Rendang (12,810 undi).

    Antara faktor menyebabkan BN tewas di semua kerusi parlimen di Terengganu ialah tsunami Melayu dan juga kehadiran pengundi berusia 18 tahun.

    Memandangkan kebangkitan dan semangat ‘Gelombang Hijau’ dalam kalangan ahli dan penyokong PN semakin menebal, banyak pihak menjangkakan momentum kemenangan di kerusi Parlimen akan terus kekal dalam PRN nanti.

    Kerjasama BN dengan DAP yang selama ini sangat dibenci pengundi Melayu antara faktor utama kenapa BN dikatakan tewas dalam PRN nanti.

    Selain menguasai media sosial, semangat ahli dan penyokong PN sama ada Bersatu atau Pas turut dizahirkan menerusi logo termasuk tidak segan memakai baju PN di kawasan terbuka seperti di pasar dan kedai makan.

    Perkembangan ini seolah olah sudah menjadi satu budaya kepada ahli dan penyokong khususnya Pas apatah lagi ada dalam kalangan Muslimat parti tersebut tidak berasa segan berbuat demikian.

  • Agihan kerusi PN untuk PRN ditentukan sebelum Tahun Baharu Cina

    Agihan kerusi PN untuk PRN ditentukan sebelum Tahun Baharu Cina

    RUNDINGAN pengagihan kerusi antara parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri akan diadakan sebelum Tahun Baharu Cina.

    Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, rundingan pengagihan kerusi itu penting untuk disegerakan bagi membolehkan jentera parti komponen PN melakukan persiapan dan gerak kerja bagi menghadapi PRN berkenaan.

    Ujar beliau, parti-parti komponen PN ketika ini juga mengadakan mesyuarat di enam buah negeri yang terlibat dengan PRN terbabit setiap bulan.

    “Berdasarkan pengalaman dalam pilihan raya sebelum ini, rundingan mengenai soal-soal PRN termasuk agihan kerusi ini juga akan dijalankan secara berterusan sehingga hari penamaan calon,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

    Enam buah negeri iaitu Kedah; Pulau Pinang; Selangor; Negeri Sembilan; Kelantan dan Terengganu akan mengadakan PRN selepas tidak membubarkan DUN masing-masing serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

    Dalam pada itu, Dominic berpendapat PRN di enam buah negeri terbabit paling sesuai diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

    Bagaimanapun jelas beliau, ia tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri masing-masing untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan.

    Dalam perkembangan berkaitan, Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, beliau akan mengetuai jawatankuasa persediaan untuk menghadapi PRN di negeri itu.

    “PN akan bertanding dan memberi fokus di kesemua 40 kerusi DUN Pulau Pinang, berapa agihan kerusi antara parti komponen PN akan diputuskan nanti,” katanya.