Author: Wartawan WartaRakyat

  • 4 hari bersembunyi, pekerja ladang bakar isteri ditahan polis

    4 hari bersembunyi, pekerja ladang bakar isteri ditahan polis

    SELEPAS empat hari menyembunyikan diri, seorang pekerja ladang yang membakar isterinya sehingga mengakibatkan kecederaan parah dalam kejadian di Tasek Gelugor, Pulau Pinang Isnin lalu akhirnya berjaya ditahan polis.

    Suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah kawasan di Nibong Tebal, Pulau Pinang kira-kira pukul 12.30 tengah hari, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang untuk mendapatkan perintah reman pagi esok.

    Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berusia 35 tahun melecur 27 peratus di anggota badan selepas suspek menyimbah petrol dan membakar mangsa di rumah mereka di kawasan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor.

    Pasangan suami isteri yang telah berkahwin sejak 15 tahun itu dikatakan bertengkar sebelum suspek bertindak demikian kira-kira pukul 9.30 malam.

    Hasil siasatan mendapati, pasangan suami isteri itu tinggal di kediaman yang disediakan untuk pekerja di ladang berkenaan.

    Susulan kejadian itu, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

  • Sanusi ingatkan Saifuddin jangan melampaui batas

    Sanusi ingatkan Saifuddin jangan melampaui batas

    MENTERI Besar, Datuk  Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi peringatan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail jangan agar melampaui kuasa diperuntukkan kepada Menteri Dalam Negeri itu. 

    Beliau mengingatkan Setiausaha Agung PKR itu agar tidak berbuat sewenang-wenangnya semasa di Kedah, tetapi mesti menghormati setiap peranan yang ada di Kedah. 

    “Ni duk melawat loji rawatan ayaq (LRA) rata (pergi). Macam harta pak dia. Negeri ni ada tuan hoi. Kampung pun ada tuan, tambahlah negeri. Buat masa la ni Tuanku (Sultan) lantik saya jadi MB, sayalah tuan dia.  

    “Tuanku Sultan bagi tauliah kepada 12 orang Dato’-Dato’ Pegawai Daerah (DO), jaga tiap-tiap daerah ni. Apa jadi dalam daerah, hang (Saifuddin) nak jadi kut mana apa, orang susah, pembangunan projek apa, kena rujuk kat DO. 

    “Pi jumpa depa dulu, nak pi tengok tang mana pun. Ni hang langgar ikut dan ni. Awat hang ingat negeri ni tak dak tuan? Nak jadi Menteri kena mengaji (belajar) sikit dulu. Nak masuk rumah orang kena bagi salam.  Dia kata Perdana Menteri arahkan saya, wei negeri ini ada Raja, ada Sultan negeri ini. Ada Menteri Besar, ada Exco. Perdana Menteri pun tak boleh arah sembarangan. Kalau hangpa mengaji betul-betul.  

    “Ini dak, ini langgar ikut dan. Dapur rumah aku pun hang mai selongkar. Jurus (simbah) ayaq (air) panas baru hang tahu,” seloroh beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), lapor HarakahDaily.

    Beliau yang juga calon PN DUN Jeneri berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra  malam tadi. 

    Sanusi turut membidas dakwaan Saifuddin bahawa LRA berkenaan adalah peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dan menggambarkan boleh sesukanya untuk mengadakan lawatan pada bila-bila masa. 

    “Weh Pudin, duit itu aku pinjam oi. Walaupun Kerajaan Pusat, tapi kita pinjam dan kita bayar balik. Dah hang bagi pinjam, hang kata hang bagi. Mana boleh lagu itu? Ada tatakelola, ada kaedah, ada proses, ada prosedur dia.  

    “Ooh…. dia kata bila Kerajaan Pusat bagi duit, jadi projek Kerajaan Pusat? Dak, projek itu state punya kerajaan negeri punya. Semua projek, lima projek LRA itu adalah projek kerajaan negeri, bukan projek Kerajaan Persekutuan.  

    “Mengaji undang-undang Akta WSIA 2006, mengaji undang-undang SPAN, mengaji undang-undang sikit bab hutang kerajaan negeri, mengaji lagi Pudin,” tempelak Sanusi terhadap Saifuddin.

  • Sangat pelik…dulu pantang sebut DAP…kini UMNO berpeluk dengan DAP’’ – Muhyiddin

    Sangat pelik…dulu pantang sebut DAP…kini UMNO berpeluk dengan DAP’’ – Muhyiddin

    ’PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa parti UMNO tidak seperti dahulu sebaliknya sudah rosak dan digambarkan juga sebagai sudah koyak serta rabak.

    Muhyiddin turut mendakwa prinsip asal perjuangan UMNO juga telah tiada, ia telah dikorbankan oleh masalah 47 pertuduhan yang dihadapi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Katanya, sejak dahulu lagi UMNO tidak sehaluan dengan DAP dan menjadi kepantangan untuk menyebut DAP.

    “Zaman berzaman lagi, sejak saya menjadi ahli UMNO pun jangan sebut DAP, pantang memang tak sebulu, bukan parti yang harus didokong oleh orang Melayu. Saya bukan nak bercakap soal perkauman tetapi saya tahu…perjuangan mereka tidak mengambarkan yang memahami hasrat dan cita-cita orang Melayu.

    “Sebab itu UMNO sejak dahulu lagi tidak mahu bersepakat dengan DAP, tidak boleh. Tetapi macam mana hari ini berbeza? Jadi ini sangat pelik, UMNO dengan DAP dengan Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) berpeluk-peluk,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Parlimen Tampin di Felda Jelai 4 di Tampin, malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau tidak menolak sebahagian yang hadir pada program malam ini (Rabu) merupakan ahli-ahli UMNO.

    “Semua yang ada di sini adalah mahabah, saya ingin mengingatkan dan saya nak menyebut juga sebab saya bekas Timbalan Presiden UMNO dahulu, walaupun saudara-saudara masih UMNO (ahli) jangan fikir bahawa UMNO macam dahulu,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN akan mengumumkan manifesto bagi Selangor pada Jumaat ini sebagai tawaran kepada pengundi-pengundi di negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Katanya, setiap negeri yang terbabit dalam PRN akan diketengahkan manifesto masing-masing.

    “Saya nak katakan janji kami…memperkenalkan beberapa perkara dalam manifesto Negeri Sembilan iaitu mahu bangunkan ekonomi, pendidikan, sosial dan bidang-bidang lain. Ini janji kami dan bila kami berjanji, kami akan laksanakan,” katanya.

  • Kewajipan besar PN menang di enam negeri

    Kewajipan besar PN menang di enam negeri

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini amat penting untuk membuat perubahan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu yang sudah ditadbir oleh PN ketika ini juga wajib dipertahankan.

    “Tinggal Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang (untuk dimenangi). Kewajipan kita adalah mempertahankan negeri yang kita berjaya dan ambil alih tiga negeri lagi.

    “Ia merupakan satu kewajipan yang sangat besar,” katanya ketika berucap pada Jelajah Mega PN Best di Dataran Darul Aman, di Jitra.

    Justeru, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN meminta semua pengundi menunaikan kewajipan masing-masing dengan keluar mengundi PN pada 12 Ogos ini.

    “Pilih calon yang kita kemukakan, calon yang boleh membawa mesej kita sama ada dengan kuasa memerintah kalau menang atau suara untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran kalau jadi pembangkang.

    “Marilah kita ajak mereka yang tidak hadir (ceramah) supaya bersama PN untuk membuat perubahan yang kita perjuangkan. Tegakkan Islam berkuasa memerintah, tegakkan Islam semua selamat,” ujarnya.

    Sementara itu, Abdul Hadi meminta orang bukan Islam supaya tidak takut jika Islam memerintah negara ini kerana akhlak umat Islam masih tinggi.

    “Orang bukan Islam boleh hidup di Kedah, Kelantan dan Terengganu kerana ada adab dalam Islam.

    “Mereka (bukan Islam) tidak dipaksa, jangan bimbang. Kalau pilih yang lain berlaku ekstrem dalam Islam (itu) yang merisaukan diri sendiri,” katanya.

  • 17 tawaran dalam manifesto PN Kedah

    17 tawaran dalam manifesto PN Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERIKATAN Nasional (PN) menawarkan 17 perkara untuk dilaksanakan di Kedah dalam manifesto mereka sekiranya gabungan tersebut terus diberi mandat oleh rakyat bagi mentadbir negeri ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    Tawaran pertama dalam manifesto tersebut adalah memperteguh tadbir urus negeri yang profesional dan berintegriti, dengan menekankan keadilan serta kesejahteraan semua kaum selain mempertahankan hak dan bidang kuasa kerajaan negeri, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Tawaran kedua pula adalah meningkatkan kecekapan institusi kepimpinan wakil rakyat, penghulu, ketua kampung serta imam dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan buat rakyat.

    Selain itu, antara tawaran dikemukakan adalah penyediaan 100,000 peluang pekerjaan berdaya saing dalam tempoh 30 tahun melalui pelaburan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi termasuklah projek yang sudah dirancang seperti Bandar Raya Getah Kedah (KRC), Kedah Aerotropolis, dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

    PN Kedah juga berazam untuk memastikan komitmen pelaburan domestik dan antarabangsa dengan pelbagai projek berimpak tinggi dengan sasaran RM10 bilion setahun seperti digariskan dalam Pelan Kedah 2035.

    Dalam memastikan setiap rakyat memiliki rumah kediaman, PN turut membuat tawaran untuk menyediakan lot tanah kediaman mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah serta meneruskan proses kelulusan permohonan hak milik tanah yang tertunggak sejak sekian lama.

    PN juga dalam masa sama berhasrat membina dan menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik melalui inisiatif kerajaan dan swasta untuk pembeli rumah pertama dengan sasaran jumlah 15,000 rumah menjelang 2030.

    Tawaran itu turut menyatakan hasrat PN untuk membaik pulih 1,000 unit rumah golongan asnaf dan kurang berkemampuan setiap tahun.

    PN turut berazam untuk menyelesaikan isu berkaitan bekalan air bersih di negeri ini yang berlarutan sejak sekian lama, secara meyeluruh selain mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) kepada 25 peratus menjelang 2037.

    Institusi masjid turut mahu diperkasa sebagai pusat utama kegiatan masyarakat, pengajian dakwah dan kebajikan melalui pelaksanaan program amar makruf nahi mungkar serta pemupukan budaya murni dengan kerjasama melibatkan institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan wanita serta belia agensi kerajaan serta penduduk setempat di sesebuah kawasan.

    Kesemua 17 perkara yang ditawarkan dalam manifesto itu didedahkan dalam Program Jelajah Mega PN Best di Dataran Darul Aman, Jitra, Kedah malam tadi yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

  • DAP bimbang hilang 20 peratus undi Cina

    DAP bimbang hilang 20 peratus undi Cina

    PULAU PINANG dianggap negeri selamat untuk DAP tetapi nampaknya terdapat kebimbangan yang semakin meningkat bahawa pengundi Cina boleh mencetuskan kejutan pada tarikh 12 Ogos depan.

    Memetik beberapa tinjauan yang tidak dinyatakan, Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying mendakwa sebilangan besar pengundi Cina mungkin mengundi PN, tidak keluar mengundi atau membuang undi rosak.

    Dakwanya, tinjauan itu menyebut PN dapat menembusi Pulau Pinang dan gabungan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu boleh menawan Negeri Sembilan dan meraih lebih banyak kerusi di Selangor.

    “Saya tidak pasti sama ada ini benar atau tidak, tetapi saya telah menerima banyak (mesej) yang memberitahu saya supaya jangan leka,” kata Lim yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, lapor Malaysikini.

    Memandangkan sokongan DAP di Pulau Pinang datang terutamanya daripada masyarakat Cina, Lim berkata kehilangan 20 peratus undi akan menjadi situasi yang membimbangkan.

    “Jangan leka, jangan fikir kita pasti menang. Tadi saya dapat satu lagi mesej mengatakan Pulau Pinang (DAP) kehilangan 20 peratus sokongan kaum Cina. Mereka mungkin memilih untuk tidak mengundi, merosakkan undi mereka, atau mengundi PN,” kata Lim semasa majlis perasmian pusat gerakan kempen DAP di Pengkalan Kota hari ini.

    Mengulas mengenai tinjauan itu, ketua dan Ketua Menteri sementara DAP Pulau Pinang Chow Kow Yeow, yang hadir pada majlis itu, juga mendapati ia kurang menyenangkan.

    Chow juga mengulangi kebimbangan Lim bahawa DAP tidak sepatutnya berpuas hati.

    “Hasil (tinjauan) menunjukkan kita tidak boleh ambil mudah dan mesti terus bekerja keras untuk merayu setiap undi,” katanya.

    Menjawab kehadiran besar pada ceramah mega PN di Sungai Dua malam tadi, Chow berkata semua parti mempunyai kubu kuat masing-masing.

    “Saya juga jelaskan malam tadi (pada pelancaran manifesto bersama DAP dan BN Pulau Pinang) walaupun kita yakin, kita hanya yakin di 26 kerusi. Kami tidak boleh mendakwa kami boleh memenangi lebih daripada 35 hingga 40 kerusi. Kerusi-kerusi ini masih memerlukan lebih banyak usaha,” tambahnya.

    DAP Pulau Pinang juga berdepan krisis dalaman berikutan pemecatan beberapa penyandang Adun daripada barisan calon PRN.

    Terdapat juga dakwaan kumpulan yang berpihak kepada Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng sedang berusaha untuk menggantikan Chow sebagai Ketua Menteri.

    Pada pilihan raya umum 2018, PH menang 37 dari 40 kerusi DUN termasuk dua yang dimenangi oleh wakil Bersatu ketika bersama gabungan itu, manakala BN memperoleh dua, dan PAS satu kerusi.

    Pada Februari 2020, Bersatu keluar daripada PH. Krisis dalam PKR juga menyaksikan dua Adun parti itu dipecat – Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

    Pada Mac tahun ini, empat Adun Bersatu terpaksa mengosongkan kerusi mereka di bawah undang-undang anti-lompat negeri.

    Komposisi terkini DUN Pulau Pinang sebelum pembubarannya ialah PH memegang 33 kerusi, diikuti BN (dua) dan PAS (satu).

  • Aktiviti REE di Kedah patuhi tatakelola, kata Fathul Bari

    Aktiviti REE di Kedah patuhi tatakelola, kata Fathul Bari

    AKTIVITI  penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Kedah mematuhi tatakelola ditetapkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan mengikut Akta 525 atau Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Enakmen Mineral Negeri Kedah.

    Pemegang saham dalam Prospek Suria Sdn Bhd, Dr Fathul Bari Mat Jahya, berkata ini kerana segala kerja bagi mengeluarkan hasil dan melombong hanya boleh dilakukan selepas menerima Lesen Melombong (Mining License) daripada Pejabat Tanah Galian (PTG) negeri serta Jabatan Mineral dan Geosains.

    “Untuk makluman tiga lesen diperlukan untuk membenarkan operasi perlombongan bermula, pertama adalah Lesen Penjelajahan yang dipohon sejak 2020 sebelum mendapat kelulusan pada Januari 2021.

    “Lesen kedua ialah Lesen Pajakan Melombong yang diberikan pada Ogos lalu serta ketiga adalah Lesen Melombong yang diperoleh membabitkan kelulusan penilaian alam sekeliling (EIA) dan prosedur operasi standard oleh Kerajaan Persekutuan.

    “Saya ingin menjelaskan bahawa segala proses untuk mendapatkan lesen pertama dan kedua mematuhi tatakelola yang ditetapkan oleh kerajaan negeri agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini bagi menjelaskan surat yang tular sebelum ini, lapor Berita Harian.

    Fathul Bari turut menjelaskan, pembabitannya adalah sebagai pemegang saham yang bertanggungjawab memastikan industri REE dapat berkembang di Malaysia.

    Menurutnya, secara profesional beliau melihat kaedah perlombongan adalah mesra alam sekitar dan tidak mempunyai kesan jangka panjang kepada alam sekitar.

    “Saya terlibat dalam sesi pembentangan dan libat urus bersama agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan antaranya, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah.

    “Saya turut sertai sesi pembentangan kepada semua agensi-agensi terlibat di bawah Kerajaan Negeri Kedah yang dipengerusi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, berkenaan potensi dan kepentingan industri REE di negeri Kedah,” katanya.

    Beliau berkata semua sedia maklum industri REE adalah antara yang terpenting di dunia dan sedang dalam permintaan tinggi di pasaran.

    “Menyedari akan peri pentingnya industri ini dan juga kepada kitaran ekonomi yang mantap kepada negara, saya menyahut inisiatif untuk menjayakan usaha perlombongan REE ini secara lestari dan mengikut tatacara serta SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Saya percaya industri ini adalah salah satu ‘game-changer’ kepada membina ekonomi Malaysia yang lebih mampan,” katanya.

    Terdahulu, tular satu dokumen bertarikh 3 Ogos 2020 berkaitan kawasan hutan Bukit Enggang di Sik daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk memohon pas lawatan pekerja asing dari China untuk bekerja di kawasan hutan simpan terbabit.

    Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bukti terbaharu isu kecurian REE termasuk gambar Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bersama seorang warga China yang dikaitkan dengan kegiatan itu.

    Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata, gambar individu yang dipercayai So Loi Fat itu adalah seorang daripada dua pekerja mahir yang dibawa masuk Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.

    Selain itu, Saifuddin turut mendedahkan dokumen permohonan Pas Lawatan Ikhtisas yang dipohon dan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Muhammad Sobri Osman.

    Bagaimanapun, Sanusi menegaskan bahawa warga China yang dikatakan terbabit dalam penerokaan REE sudah berada di negara ini, sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Besar pada 2020.

    Sanusi menjelaskan, selepas beliau dilantik sebagai Menteri Besar, Loi Fat yang juga pemilik syarikat, Prospek Suria, pernah datang ke pejabatnya bersama seorang peguam yang juga rakan baik kepada Saifuddin.

  • Presiden Gerakan nafi diminta tinggalkan ceramah PN

    Presiden Gerakan nafi diminta tinggalkan ceramah PN

    PRESIDEN Gerakan, Datuk Dominic Lau menafikan laporan beliau diminta meninggalkan ceramah Perikatan Nasional (PN) di Sungai Dua, Pulau Pinang, malam tadi

    Lau berkata, beliau ke ceramah itu bertemu Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas Presiden Pas itu memberitahu mahu  bertemunya pukul 9 malam sebelum ceramah. Bagaimanapun Abdul hanya tiba pada 10.30 malam.

    “Saya ada di sana untuk bertemu dengannya, namun majlis berlanjutan lewat jadi saya tidak sempat bercakap dengannya lalu beredar untuk ke mesyuarat. Tak betul saya diminta pergi,” katanya lapor FMT.

    Bagaimanapun kata Lau beliau sempat bercakap dengan Abdul Hadi selepas itu.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sin Chew yang mendakwa calon Bayan Lepas berkenaan diminta meninggalkan majlis ceramah kerana hadir tanpa jemputan.

    Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong sebelum itu mengesahkan partinya tidak dijemput hadir ceramah tersebut, sambil menambah beliau hanya mengetahui penganjuran rapat umum dalam Facebook “live”.

    Insiden semalam timbul susulan laporan sekumpulan ahli akar umbi Pas membantah pencalonan Lau di Bayan Lepas, sebaliknya mahu ahli Pas disenarai untuk bertanding di kerusi majoriti Melayu.Lau bagaimanapun menolak dakwaan akar umbi Pas tidak menyokongnya, sambil menyatakan ada pemimpin tempatan papar sokonga

  • MIC kecewa dengan Zahid, Vigneswaran dakwa dianaktirikan

    MIC kecewa dengan Zahid, Vigneswaran dakwa dianaktirikan

    TAN Sri S.A. Vigneswaran secara terbuka meluahkan kekecewaan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Presiden MIC itu berkata, partinya menyifatkan mereka dianaktirikan Zahid yang juga Presiden UMNO dan perkara itu disampaikan secara terbuka semasa pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

    “Saya tidak dapat baca ucapan teks hari ini secara umum lebih-lebih lagi dengan kehadiran media hari ini. Saya seperti tidak dapat bercakap kerana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada di sini hari ini, kita juga hanya dapat tahu beliau akan hadir pada saat akhir.

    Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berucap pada Majlis Pertemuan Khas Perdana Menteri bersama ahli-ahli MIC di Ibu Pejabat MIC Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Bagaimanapun ingin saya cakap di hadapan semua tentang rasa kurang senang kami terhadap tindak tanduk khasnya dalam BN itu sendiri. Kami telah dianaktirikan dalam soal pembahagian kerusi dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada Majlis Pertemuan Khas Perdana Menteri bersama ahli-ahli MIC di Ibu Pejabat MIC Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurut Vigneswaran, MIC telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi untuk Kerajaan Perpaduan namun tidak tanduk yang kurang menyenangkan menyebabkan akar umbi parti berasa kecewa.

    Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil diperhatikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan pada Majlis Pertemuan Khas Perdana Menteri bersama ahli-ahli MIC di Ibu Pejabat MIC Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Malah katanya, terdapat ahli parti yang menyangka beliau ‘mendapat sesuatu’ dan ini menyebabkan beliau mengambil pendekatan untuk bercakap secata terbuka.

    “Selama ini juga apabila masyarakat melemparkan tohmahan, kita terus setia bersama BN dan UMNO sehinggalah komuniti ini bertindak menjauhkan diri dari kami, semua isu kami dipersalahkan. Kami terima dan terus berjuang bersama komponen sehingga saat ini, jadi mengapa anak tirikan komponen MIC dan MCA?

    Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil diperhatikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan pada Majlis Pertemuan Khas Perdana Menteri bersama ahli-ahli MIC di Ibu Pejabat MIC Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya hargai semua komitmen dan bantuan yang Datuk Seri Anwar lakukan untuk MIC. Saya dan MIC cukup berterima kasih dengan dana RM25 juta yang diberikan oleh beliau, juga ikrar beliau untuk memastikan segala isu-isu menghantui komuniti India akan cuba diselesaikan olehnya dalam tempoh setahun ini. Kami maklum dan berterima kasih,” ujarnya.

    Vigneswaran berkata, MIC tidak sepatutnya mengahdapi situasi seperti itu lagi dan ia perlu ditangani secara terhormat.

    “Kalau tidak beri jawatan juga tidak apa, tapi berilah penghormatan yang sewajarnya kepada kita,” katanya, lapor Agenda Daily.

  • Zuraida tidak menolak sertai Gerakan

    Zuraida tidak menolak sertai Gerakan

    DATUK Zuraida Kamaruddin tidak menolak menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) selepas turun padang berkempen untuk Presiden parti itu, Datuk Dr. Dominic Lau yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.

    Katanya, beliau mahu membawa imej lebih terbuka yang boleh diterima semua lapisan masyarakat.

    “Mungkin…ada kemungkinan (masuk Gerakan) saya akan cari platform yang saya sebut akan membawa kepelbagaian bangsa,” katanya selepas sesi tinjauan mesra di Jalan Mahkamah dan Pasar Sungai Ara, Bayan Lepas, hari ini.

    Zuraida yang pernah menyertai Bersatu dan Parti Bangsa Malaysia (Bersatu) berkata, beliau tidak berehat daripada politik dan mahu membantu Perikatan Nasional (PN) menembusi kawasan bukan Melayu.

    Zuraida dan Dominic Lau bertemu orang ramai semasa berkempen di Jalan Mahkamah, Jalan Bayan Lepas, hari ini. – Foto Facebook Datuk Dominic Lau

    “Saya lebih menumpukan kepada usaha membantu PN menembusi kawasan bukan Melayu serta mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu kerana saya rasa saya boleh main peranan itu,” katanya.

    Selain itu, beliau turut bercadang tampil di pentas ceramah PN dalam memberi penerangan terutama membabitkan isu berkaitan pengalamannya ketika menjadi menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

    “Hasrat saya membantu PN mendapatkan pengundi bukan Melayu kerana saya lihat Pas sudah ramai pemimpin Melayu, Bersatu ada Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Seri Azmin Ali, ada Peja (DatuK Seri Faizal Azumu),” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Sebelum menyertai Bersatu dan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zuraida adalah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan antara ‘pemain utama’ dalam Langkah Sheraton bersama Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden parti itu.