Author: Wartawan WartaRakyat

  • Imigresen bongkar kegiatan keluarkan kad pelarian tidak sah

    Imigresen bongkar kegiatan keluarkan kad pelarian tidak sah

    JABATAN Imigresen membongkar satu kegiatan pengeluaran kad pelarian kepada etnik Chin dari Myanmar yang didalangi sebuah pertubuhan tidak berdaftar hasil serbuan di kawasan flat di Jalan Imbi fi Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata pertubuhan berkenaan beroperasi di sebuah rumah flat di kawasan berkenaan sejak 2009 berdasarkan kepada papan tanda dan dokumen yang dirampas.

    Beliau berkata pertubuhan berkenaan mengeluarkan kad yang tidak diiktiraf kerajaan menggunakan mesin sendiri di pejabat mereka dan mengenakan bayaran keahlian RM500 seorang serta pelbagai bayaran lain.

    “Berdasarkan resit-resit bayaran yang dirampas dianggarkan seramai 1,000 orang etnik Chin telah menjadi anggota pertubuhan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi selama dua jam itu yang berakhir pada 2.30 pagi tadi.

    Menurut Khairul Dzaimee kad memaparkan bahawa pemegang merupakan pelarian etnik Chin yang sedang menunggu kebenaran untuk ke negara ketiga.

    Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan mengesan dalang pertubuhan berkenaan dan percaya ia didalangi individu daripada etnik berkenaan.

    “Barangan yang dirampas pada operasi ini akan dirujuk kepada agensi-agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri seperti Jabatan Pendaftar Pertubuhan,” katanya.

    Mengulas mengenai operasi tengah malam tadi, Khairul Dzaimee berkata seramai 1,051 warga asing dari Bangladesh, Pakistan, Nepal, Myanmar, Indonesia dan India diperiksa.

    Beliau berkata 544 daripadanya yang berusia lingkungan setahun hingga 68 tahun ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti tiada dokumen perjalanan, dokumen perjalanan tamat tempoh dan salah guna pas lawatan sosial.

    Turut ditahan 30 kanak-kanak etnik Chin berusia antara setahun dan 10 tahun.

    Menurutnya semua yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

    “Seramai 115 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen dibantu 43 anggota lain-lain jabatan seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi ini,” katanya.

  • Tak munasabah judi kukuhkan keharmonian kaum

    Tak munasabah judi kukuhkan keharmonian kaum

    Oleh MOHD. AZAM MOHD. ATAN

    HANYA orang yang hilang akal sahaja boleh mengatakan bahawa judi dan loteri boleh mengekalkan keharmonian kaum dan mengelakkan masalah sosial.

    Oleh sebab itu apabila Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor meminta Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong mengemukakan bukti bagi menunjukkan tabiat itu berfaedah, puak-puak yang menyokong judi diam seribu bahasa.

    Teh sebelum ini berkata, DAP masih berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula keputusan menamatkan semua lesen perjudian dan loteri di Kedah.

    Katanya, langkah itu wajar dipertimbang semula bertujuan mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial.

    Menurutnya, tindakan tidak membenarkan premis judi dibuka dilihat akan memberi lebih banyak masalah kepada masyarakat kerana ia secara tidak langsung menggalakkan aktiviti perjudian haram.

    Sungguh pelik bukan? Bahkan jika kita tanya kepada sesiapa pun, adalah mustahil untuk disenaraikan kebaikan-kebaikan yang dapat diperolehi daripada tabiat berjudi melainkan keruntuhan institusi keluarga, kehilangan harta benda dan pelbagai jenayah lain.

    Judi, tidak kiralah sama ada berlesen atau tidak adalah tabiat yang merosakkan banyak aspek malah tiada mana-mana agama yang bersetuju dengan perbuatan itu kerana kesan daripada tabiat itu yang secara jelas dan nyata telah merosakkan hidup bermula daripada diri kaki judi itu sendiri hinggalah kepada orang sekeliling.

    Oleh itu, adalah amat menghairankan bagaimana pemimpin DAP boleh membantah keputusan kerajaan Kedah untuk menutup pusat judi dan loteri di negeri itu.

    Tidakkah pelik apabila sesuatu perbuatan yang negatif mendapat sokongan daripada sebuah parti yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) yang kini sedang menjadi gabungan tunjang dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    Ia juga dilihat tidak selari dengan pendekatan kerajaan pusat sebelum ini yang kononnya mahu menunjukkan mereka tidak ‘mesra’ judi dengan mengurangkan cabutan judi daripada 22 kali kepada lapan.

    Keputusan DAP Kedah itu juga nampaknya ‘tidak kena’ dengan apa yang telah diperkatakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang sebelum ini memuji Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang katanya tegas dalam menentang isu judi.

    Sepatutnya PKR yang menjadi rakan komponen PH ataupun Anthony sendiri dapat menasihati DAP Kedah dalam isu judi itu supaya tidak menampakkan kecelaruan dalam pendirian mereka berhubung isu judi.

    Bukan itu sahaja, UMNO yang kini sudah lunak dengan DAP apabila sudah bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan sepatutnya menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan DAP Kedah itu bagi menunjukkan di mana UMNO berada.

    Penulis perhatikan, sejak isu penutupan judi di Kedah menjadi topik hangat, tiada apa-apa komen daripada pemimpin UMNO berhubung isu itu.

    Seperti mana orang lain, penulis juga ingin tahu pendirian UMNO adakah mereka juga sebenarnya sudah bersetuju dengan kenyataan DAP Kedah ataupun bersama dengan umat Islam lain yang menentang judi.

    Pada masa sama, penulis puji langkah Perlis yang turut sama mempertimbangkan keputusan untuk mengikuti langkah Kedah dalam menutup pusat judi dan loteri di negeri itu.

    Walaupun ada sesetengah pihak yang mengatakan ia adalah langkah yang akan menyebabkan kaki judi beralih ke judi online, ia sebenarnya satu permulaan yang positif untuk membentuk masyarakat sihat tanpa judi.

    Dalam usaha untuk mengekang judi online pula, usaha itu sebenarnya adalah menjadi tanggungjawab kerajaan ketika ini yang mempunyai kuasa dari segi penguatkuasaan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta PDRM.

    Kesimpulannya, jika kita serius dalam membanteras judi, usaha berani seperti yang dilakukan seperti negeri Kedah seharusnya disokong oleh semua pihak melangkui kepentingan politik kerana kesan negatif judi adalah lebih besar impaknya kepada masyarakat.

    Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi

  • Bomba potong jeriji tingkap, selamatkan dua beranak daripada kebakaran

    Bomba potong jeriji tingkap, selamatkan dua beranak daripada kebakaran

    DUA beranak berjaya diselamatkan anggota bomba apabila rumah mereka musnah terbakar di Bandar Universiti, Seri Iskandar awal pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas memotong jeriji tingkap bagi mengeluarkan dua mangsa iaitu ibu dan anak perempuannya.

    Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.04 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dengan dibantu BBP Parit bergegas ke lokasi.

    “Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A berkeluasan 20×70 yang musnah terbakar 30 peratus.

    “Dua mangsa wanita iaitu ibu dan anak perempuannya berjaya diselamatkan oleh anggota bomba, dengan memotong jeriji tingkap dan keluar melalui tingkap.

    “Tiada kecederaan yang dialami oleh mangsa tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Astro AWANI.

    Katanya lagi, anggota bomba membuat kerja pemadaman dengan menggunakan satu aliran 100 kaki dua pancutan dengn sumber air dari tangki jentera.

    Operasi yang diketuai oleh PPgB Muhamad Ashraf Mat Isa itu tamat pada pukul 4.15 pagi.

  • Langkah London fitnah pemimpin UMNO takut bayang-bayang sendiri

    Langkah London fitnah pemimpin UMNO takut bayang-bayang sendiri

    SPEKULASI terdapat gerakan politik bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada yang digelar Langkah London sebenarnya merupakan satu fitnah jelik daripada kelompok pemimpin tertentu dalam UMNO yang takut kepada bayang-bayang sendiri.

    Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata dakwaan gerakan menjatuhkan kerajaan itu didalangi Perikatan Nasional (PN) juga merupakan tuduhan palsu yang cuba mengalihkan perhatian daripada isu masalah dalaman kronik UMNO.

    Lebih menarik, Ahli Parlimen Machang itu percaya dakyah disebarkan segelintir ‘penjilat’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu sebenarnya bertujuan untuk mencari kambing hitam dari parti itu sendiri supaya ahli-ahli UMNO membencinya dan terus menyokong Ahmad Zahid.

    “Ini adalah fitnah batil daripada golongan dalam UMNO yang takut dengan bayang-bayang, yang takut dengan kebangkitan ahli-ahli UMNO sendiri.

    “Mereka tahu mereka mempunyai seorang Presiden yang gagal dan menyebabkan prestasi UMNO sangat teruk dengan hanya meraih 26 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Justeru, kumpulan penjilat Presiden UMNO ini sebenarnya sedang mencari kambing hitam supaya orang-orang UMNO lain membenci kambing hitam ini dan terus menyokong Presiden mereka yang gagal,” ujarnya kepada Sinar Premium.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi dakwaan Langkah London yang dikaitkan dengan satu pertemuan sulit di antara Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan beberapa pemimpin koalisi itu selain pemimpin UMNO di London baru-baru ini.

    Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal juga menyifatkan spekulasi gerakan berkenaan dibangkitkan menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 termasuklah tuduhan ada boneka PN dalam UMNO adalah perkara tidak masuk akal yang bertujuan memburukkan reputasi koalisi itu.

    “Kita pun tahu UMNO-BN kalah teruk pada PRU15, cuma tuduhan ada boneka PN dalam UMNO tidak masuk akal.

    “Tidak mengapa mereka hendak melemparkan tuduhan berkenaan, tetapi janganlah heret nama PN, atau mencipta persepsi ada Langkah London dan sebagainya kononnya berpunca daripada pihak kami.

    “Sekali lagi, Ini merupakan permainan jelek pimpinan UMNO yang takut kebangkitan ahli-ahli parti itu sendiri,” tegasnya.

  • UMNO bukan milik Zahidi Hamidi 

    UMNO bukan milik Zahidi Hamidi 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DALAM nada cukup tegas, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail mengingatkan bahawa parti itu bukan dimiliki oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Justeru katanya, sebarang keputusan tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa mempedulikan akar umbi.

    “UMNO bukan milik Zahid Hamidi! Jangan buat keputusan sesuka hati tanpa sedikit pun menghormati kami ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi.

    “Jangan cabar suara keramat ahli UMNO,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

    Sementara itu katanya, ketika ini dapat dilihat sesetengah ahli UMNO yang asyik ‘meratib’ tidak mahu perpecahan dan porak-peranda dalam parti sebagai alasan untuk mengelak daripada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan.

    “Hakikatnya mereka inilah yang selama ini paling kuat memecah belahkan parti, memporak-perandakan keluarga UMNO, tabur fitnah sana-sini sampai rakyat naik muak dengan politiking UMNO.

    “Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pun UMNO kalah tetapi tidaklah seteruk PRU-15. Ketika itu boleh saja Datuk Seri Najib Tun Razak letak jawatan sebagai Presiden dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melepaskan jawatan Naib Presiden.

    “Itulah namanya ‘collective responsibility’” katanya.

    Tambahnya, selepas itu Ahmad Zahid memangku jawatan Presiden sebelum pemilihan diadakan dengan beliau sendiri menyokong semua jawatan dipertandingkan.
     
    Pertandingan ketika itu katanya menyaksikan pertembungan lima penjuru dan Ahmad Zahid memenanginya.

    “Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin pun menang. Tidak berlaku pun perpecahan dalam UMNO dengan semua pihak menghormatinya kerana kemenangan itu adalah sah dan adil.

    “Kami di akar umbi mengharapkan ‘top 5’ ini terus berjuang demi kembalikan zaman gemilang UMNO. Malangnya bukan saja parti kalah, malah kekalahan itu lebih teruk berbanding PRU-14.

    “Bukan kami tak hormat tetapi kalau itulah keadaannya, tidakkah tergerak hati untuk berundur dan mengambil tanggungjawab? Setidak-tidaknya bukalah ruang untuk semua jawatan dipertandingkan dan kenapa nak takut?” soalnya.

    Beliau berkata, pemilihan itu juga menyaksikan Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah kalah tetapi mereka berdua tetap bersama UMNO.

    “Malah Khairy tetap menerima untuk menjadi calon di Sungai Buloh dan berjaya menurunkan majoriti Pakatan Harapan (PH) dari 26,000 kepada 2,000 saja. Ini yang rakyat nak lihat bahawa UMNO sebagai sebuah parti terbuka dan bukan milik sesetengah individu kemaruk kuasa.

    “Sepatutnya, inilah yang akan menguatkan imej UMNO,” katanya.

    Tambahnya, disebabkan perkara itu sama ada rela atau tidak, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu diadakan.

    “Biar 150,000 perwakilan yang layak mengundi dalam pemilihan buat pilihan terbaik. Siapa menang, kita beri sokongan sepenuhnya,” katanya.

  • Masidi nafi fakwaan Bung terhadap Hajiji, minta jangan heret TYT dalam konflik politik Sabah

    Masidi nafi fakwaan Bung terhadap Hajiji, minta jangan heret TYT dalam konflik politik Sabah

    SETIAUSAHA Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Masidi Manjun menafikan dakwaan Pengerusi Barisan Nasional Sabah (BN) Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Datuk Seri Hajiji Noor tidak mempunyai locus standi (hak berdiri) untuk terus menjadi Ketua Menteri.

    “Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah yang dipetik Bung jelas menunjukkan bahawa tiada satu parti pun berjaya memperolehi lebih 50 peratus daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16)” tegasnya..

    Justeru katanya pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri merupakan keputusan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berdasarkan Fasal 6(3) dengan mengenepikan Fasal 6(7) yang tidak berkaitan dengan isu tersebut.

    “Selepas PRN16, TYT akan memilih ADUN yang pada hemat beliau akan mendapat kepercayaan majoriti ADUN berdasarkan Fasal 6(3).

    “Fasal 6(7) pula menyatakan apabila parti politik memenangi majoriti kerusi dalam DUN, pemimpin parti itu dianggap menguasai majoriti.

    “Pada PRN 2020, tiada satu pun parti politik memenangi lebih 50 peratus daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

    “Oleh itu, berikutan tafsiran Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terhadap Perkara 6(7) (kes Tan Sri Musa Aman dan Juhar), TYT pertama kali memerhatikan bahawa tiada satu parti politik pun memenangi lebih daripada 50 peratus kerusi DUN dan dengan itu mengenepikan Perkara 6(7) kerana ia tidak terpakai.

    “TYT kemudiannya menggunakan kuasanya secara tepat di bawah Perkara 6(3) dan melantik Hajiji sebagai Ketua Menteri.

    “Oleh itu, Hajiji secara perlembagaan dan sahnya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri mengikut undang-undang dan mandat demokrasi rakyat Sabah,” ujar Masidi dalam satu kenyataan awal pagi ini.

    Masidi yang merujuk kepada kes di antara Musa dan Juhar sewaktu pergolakan politik pada 2018 turut menegaskan, definisi majoriti di dalam Fasal 6(7) dijelaskan oleh Mahkamah Tinggi sebagai ‘lebih daripada 50 peratus’ jumlah kerusi dan bukannya ‘mempunyai kerusi terbanyak’ bagi satu-satu parti politik.

    Oleh itu, katanya, tuduhan Bung bahawa Hajiji tidak mempunyai locus standi untuk terus menjadi Ketua Menteri berdasarkan Fasal 6(7) tidak mempunyai merit sama sekali.

    “Ini kerana, Hajiji bersama semua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar parti pada Disember lepas merupakan ahli langsung GRS.

    “Terdapat lebih daripada cukup majoriti ADUN, dan GRS merupakan parti politik terbesar dalam DUN Sabah,” tambahnya.

    Pada masa sama, beliau turut berharap agar pemimpin politik yang terlibat menunjukkan rasa hormat terhadap TYT dengan tidak mengheret institusi istana ke dalam perebutan kuasa yang sedang berlaku ketika ini.

    Tambahnya, sebarang cubaan membawa akuan bersumpah kepada Juhar tidak harus digalakkan.

    “Takrifan ‘majoriti’ dijelaskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Tan Sri Musa Aman lawan Tun Juhar & Anor (2019) di mana Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie menyatakan ‘majoriti’ itu bukan bermaksud ‘kerusi terbanyak’ tetapi lebih daripada 50 peratus kerusi dalam DUN.

    “Adalah menjadi asas kepada Perlembagaan Sabah bahawa TYT tidak boleh diheret ke dalam agenda politik, pertikaian atau perebutan kuasa.

    “Saya berharap pemimpin politik tertentu memerhati perkara ini dan menunjukkan TYT dan institusinya rasa hormat.

    “Oleh itu, amalan membawa akuan berkanun yang ditandatangani ke istana baru-baru ini sebagai bukti keyakinan ADUN terhadap kerajaan adalah sesuatu yang tidak diingini dan harus dihentikan,” katanya.

    Semalam, Bung Moktar mendakwa, Hajiji bukan lagi ketua parti politik bagi maksud Fasal 6(7) apabila beliau mengisytiharkan keluar daripada Bersatu, iaitu pihak di dalam perjanjian persefahaman politik.

    Menurut beliau, dengan penarikan sokongan kepercayaan itu, Hajiji hilang majoriti di dalam DUN dan tidak layak dilantik sebagai Ketua Menteri.

  • Lima ADUN BN Sabah bakal dikenakan tindakan, kata Bung Moktar

    Lima ADUN BN Sabah bakal dikenakan tindakan, kata Bung Moktar

    TINDAKAN tegas akan diambil terhadap mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sabah yang tidak menyokong keputusan parti menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

    Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyedari terdapat lima ADUN BN Sabah tidak menyokong tindakan parti.

    “Kita sedar bahawa ada lima orang daripada ADUN BN, UMNO tidak menyokong tindakan kita tetapi bagi saya tiada masalah.

    “Bagi saya keputusan parti adalah muktamad dan kita mengambil apa juga langkah dan tindakan tegas termasuk tindakan disiplin kepada mana-mana ADUN UMNO yang khianat tidak menyokong keputusan parti,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Sabah di Kota Kinabalu, semalam.

    Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, BN Sabah mempunyai 18 ADUN termasuk ADUN Segama iaitu Datuk Mohamaddin Ketapi.

    Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai siapa lima ADUN berkenaan, beliau tidak mahu menyatakan secara jelas namun sekali lagi menegaskan bahawa keputusan itu dilakukan oleh parti.

    Ditanya mengenai kemungkinan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau peralihan kerajaan, Bung Moktar berkata, ia terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

    Diminta mengulas jika beliau ada melakukan pertemuan dengan Presiden Parti Warisan (Warisan), Bung Moktar berkata, ada banyak pertemuan sebelum ini.

    Sementara itu ditanya mengenai kehadiran ADUN BN yang mengadakan pertemuan dengan Hajiji pada kelmarin, Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan menjelaskan bahawa ia adalah atas persetujuan Bung Moktar.

    “Sebenarnya saya semalam berada di rumah Hajiji adalah atas persetujuan dan restu daripada Pengerusi kita untuk saya membawa misi mandat daripada Pengerusi untuk saya sampaikan kepada beliau,” katanya lapor Sinar Harian.

  • UMNO Sabah tarik sokongan terhadap Hajiji

    UMNO Sabah tarik sokongan terhadap Hajiji

    UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah umumkan menarik diri daripada kerajaan Sabah selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

    Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, selepas mesyuarat parti itu malam ini.

    Bung Moktar mendakwa, tindakan Hajiji memungkirkan janji antara sebab mereka membuat keputusan tersebut.

    Selain itu, kata Bung Mokhtar, Perlembagaan juga tidak membenarkan Hajiji terus menjadi Ketua Menteri sebaik sahaja  Hajiji meninggalkan parti Bersatu.

    ‘’Kami di dalam Barisan Nasional Sabah membuat perjanjian dengan Perikatan Nasional selepas Pilihan Raya Negeri pada tahun 2020.

    ‘’Tetapi jelas, beliau melanggar perjanjian apabila memecat ADUN Usukan Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhanazah dan mengancam untuk membuat rombakan Kabinet.

    ‘’(Oleh itu) Kami secara sebulat suara menarik sokongan terhadap kerajaan dan Hajiji sebagai Ketua Menteri,’’ katanya.

    Bung Moktar berkata, beliau menjangkakan 12 daripada 17 ADUN UMNO termasuk bekas ADUN Parti Bangsa Malaysia, Datuk Mohammadin Ketapi menyokong langkah tersebut.

  • Isu Menara KL: SPRM tahan dua datuk

    Isu Menara KL: SPRM tahan dua datuk

    DUA pengarah kanan syarikat bergelar ‘Datuk’ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

    Kedua-dua mereka berusia antara 49 dan 59 tahun ditahan petang tadi di Ibu Pejabat SPRM.

    Memetik laporan Berita Harian (BH), difahamkan, seorang yang ditahan ialah pengarah urusan syarikat yang didakwa terbabit mengambil alih saham Syarikat Menara KL.

    Seorang lagi pula ialah ahli perniagaan yang dipercayai menjadi ‘orang tengah’ dalam urusan pengambilalihan syarikat itu.

    Menurut sumber kepada BH, siasatan mendapati antara habuan yang diperolehi permintaan wang rasuah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah.

    Itu dikatakan hadiah kepada ‘orang atasan’ untuk membantu pengambilalihan itu.

    BH difahamkan, beberapa saksi termasuk pegawai kanan Telekom Malaysia (TM), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Digital, serta syarikat tertentu sudah diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Beliau enggan mengulas lanjut dan menasihati semua pihak agar tidak menimbulkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan SPRM.

    BH sebelum ini melaporkan, SPRM sudah memulakan siasatan berhubung isu pengambilalihan pengurusan Menara KL, yang didedahkan di media sosial.

    Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoal keputusan TM melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

    Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

  • KWSP, Petronas organisasi paling dipercayai rakyat Malaysia

    KWSP, Petronas organisasi paling dipercayai rakyat Malaysia

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjadi organisasi dan institusi tabung amanah yang paling dipercayai rakyat Malaysia bagi tahun lalu.

    Berdasarkan kajian terbaharu oleh Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos), KWSP meraih 76 mata dalam indeks kepercayaan, manakala Petronas 72 mata.

    Pengarah Bersekutunya, Lars Erik Lie berkata, tahun 2022 menyaksikan pandemik yang melanda dunia sebelum ini semakin kurang membimbangkan orang ramai.

    “Kerisauan tersebut kini beralih kepada isu inflasi, kos sara hidup dan kenaikan kadar faedah yang menyebabkan peralihan kepada fasa pasca pandemik berlangsung dalam keadaan kurang lancar daripada jangkaan dan harapan pada peringkat permulaan.

    “Bagaimanapun, di tengah-tengah ketidaktentuan ini, tahap kepercayaan penduduk Malaysia terhadap syarikat dan institusi didapati kekal teguh pada 2022.

    “Sama seperti tahun sebelumnya, tahap kepercayaan kepada syarikat dan agensi-agensi pengawal selia secara khususnya kekal utuh, menyaksikan KWSP dan Petronas menduduki dua tangga teratas sebagai entiti yang paling dipercayai di Malaysia,” katanya menerusi laporan Ipsos, hari ini lapor Sinar Harian.

    Kajian sama menunjukkan Nestle, Laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Petron merupakan nama-nama baharu dalam lima kedudukan teratas bagi 2022.

    Nestle dan PLUS berkongsi mata sama iaitu 71 mata, manakala 70 mata dicatatkan oleh Petron.

    Ujar Erik Lie, pemansuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan orang ramai mula keluar berjalan, sekali gus menyumbang pada peningkatan tahap interaksi antara kumpulan pengguna dan jenama-jenama seperti Plus dan Petron.

    Sementara itu, jelasnya, syarikat yang menghasilkan barang pengguna cepat laris (FMCG) mencatatkan peningkatan kepercayaan dalam tempoh setahun yang lalu walaupun barangan pengguna mengalami kenaikan harga.

    “Situasi ini menunjukkan orang ramai faham bahawa kenaikan harga barangan berlaku kerana kuasa makro yang berada di luar kawalan syarikat-syarikat tersebut,” kata beliau.

    Tambahnya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mewarnai liputan media pada tahun lalu juga menyumbang kepada pengiktirafan orang ramai terhadap sektor media dengan mencatatkan lonjakan kepercayaan tertinggi pada 2022.

    Kajian sama merekodkan tahap kepercayaan terhadap sektor kewangan adalah sederhana, meskipun ia mencatatkan peningkatan kecil berbanding 2021.

    “Kenaikan kadar faedah berterusan yang berlarutan sehingga ke 2023 sama sekali tidak membantu situasi ini,” ujarnya.

    Kajian kepercayaan Ipsos melibatkan 6,000 responden yang ditemu bual secara bersemuka mewakili seluruh pelusuk negara.