Author: Wartawan WartaRakyat

  • Presiden UMNO perlu dicabar bagi menentukan keabsahan

    Presiden UMNO perlu dicabar bagi menentukan keabsahan

    PERHIMPUNAN Agung UMNO 2022 (PAU2022) dan pemilihan parti merupakan pentas bagi menentukan ‘keabsahan’ Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menerajui parti berkenaan.

    Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Mohd. Faizal Mohd. Said berkata, keabsahan itu penting bagi Ahmad Zahid seiring dengan langkah yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu.

    “Saya rasa Presiden UMNO perlu dicabar bagi menentukan keabsahan segala tindak-tanduk dan keputusan parti yang dikemukakannya, sama ada benar-benar mencerminkan hasrat akar umbi parti atau sebaliknya.

    “Tanda tanya keputusan Ahmad Zahid membawa UMNO-Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan benar-benar mencerminkan suara sebenar akar umbi UMNO juga hanya akan terjawab melalui pemilihan UMNO,” katanya dalam satu kenyataaan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau percaya masih ada ramai pemimpin UMNO yang mempunyai kewibawaan untuk mencabar kedudukan Ahmad Zahid seperti Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Kenyataan itu dibuat Mohd Faizal selepas Ahmad Zahid secara terbuka menyatakan kesediaan untuk dicabar.

    Ahmad Zahid dalam perebutan jawatan nombor satu UMNO itu pernah dicabar dalam pemilihan parti pada 2018.

    Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan empat pesaing lain antaranya dua nama besar UMNO iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas Ahli Parlimen Gua Musang.

    Ketika itu, Khairy memperoleh 51 undi, manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mendapat 23 undi.

    Dua lagi pencabar kerusi berkenaan yang kurang dikenali iaitu ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd. Yusof Musa gagal memperoleh sebarang undi.

  • Bung Moktar beri bayangan kemelut politik Sabah akan selesai

    Bung Moktar beri bayangan kemelut politik Sabah akan selesai

    TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi bayangan kemelut politik dan pentadbiran di Sabah dijangka selesai dalam masa terdekat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

    Bung Moktar yang berkongsi empat gambar pertemuan itu dalam Facebook miliknya, memberikan isyarat bahawa situasi semasa yang melanda pentadbiran di Sabah akan ada pengakhirannya.

    Berdasarkan catatan di media sosial itu, Bung Moktar memaklumkan bahawa pertemuan terbabit diadakan bagi memberi penjelasan berkenaan isu pergolakan politik di Sabah.

    “Setiap yang bermula pasti akan ada pengakhirannya…perjuangan baharu bermula dan perjalanan masih jauh dan panjang,” katanya menerusi entri terbaharu tersebut.

    Selain bertemu Presiden UMNO, beberapa pemimpin lain parti itu turut berada pada pertemuan dengan Bung Moktar yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.

    Antara yang dilihat dalam gambar itu ialah Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

    Kemelut politik di Sabah bermula apabila terdapat cubaan menggulingkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melalui ‘Langkah Kinabalu’.

    ‘Langkah Kinabalu’ itu dikatakan ada kaitan dengan gerakan daripada pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

    Ketika ini kerajaan Sabah ditunjangi Gerakan Rakyat Sabah (GRS) bersama BN atau disebut Kerajaan GRS-BN dengan 46 kerusi, selain turut disokong Pakatan Harapan Sabah sejajar pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan yang ditunjangi PH.

    UMNO dan BN Sabah sebelum ini menamatkan kerjasama membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

    Ini berikutan pengumuman dibuat Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar malam ini berhubung keputusan pihaknya untuk menarik diri daripada kerjasama itu.

  • 5 ADUN BN Sabah desak Bung Moktar letak jawatan

    5 ADUN BN Sabah desak Bung Moktar letak jawatan

    LIMA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mendesak supaya Datuk Seri Bung Moktar Radin meletakkan jawatan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dengan serta-merta.

    Desakan itu dibuat menerusi satu kenyataan yang diketuai ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya bersama ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya; ADUN Sugut, Datuk James Ratib; ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusuf Yacob dan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd. Arsad Bistari.

    “Kami telah dikejutkan oleh tindakan beberapa pihak tertentu khususnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang telah berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Sabah yang sah.

    “Sesungguhnya kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan dengan ini kami mendesak agar beliau meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah dengan serta-merta kerana tindakan tersebut mencemarkan nama baik parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Jelas lima ADUN berkenaan, bersama-sama rakyat Sabah mereka berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa ini bukan masanya untuk merebut kuasa politik.

    “Sebaliknya, sudah tiba masanya untuk bersatu agar kerajaan negeri sekarang dan semua pihak dapat terus menumpukan masa, tenaga dan sumber untuk memulih dan memajukan ekonomi negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat,” kata kenyataan itu, lapor Sinar Harian.

    Sehubungan itu, lima ADUN berkenaan mengisytiharkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri yang sah di sisi perlembagaan.

  • Hajiji selesai bertemu Yang di-Pertua Negeri Sabah

    Hajiji selesai bertemu Yang di-Pertua Negeri Sabah

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah selesai bertemu dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin petang ini.

    Rombongan kereta yang dinaiki Hajiji dilihat tiba di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada pukul 4.22 petang dan kemudian meninggalkan bangunan istana terbabit pada pukul 5.12 petang.

    Pertemuan dalam tempoh kurang dari sejam itu dipercayai berkaitan kemelut politik yang melanda negeri itu ketika ini.

    Harian Metro melaporkan, pengamal media mula berkumpul di hadapan pintu pagar utama Istana Seri Kinabalu sejak pagi tadi.

    Sehingga kini, pengamal media masih berkumpul bagi meninjau situasi semasa di hadapan pintu pagar utama Istana Seri Kinabalu.

  • Anak Beckham, Romeo sertai Brentford

    Anak Beckham, Romeo sertai Brentford

    ROMEO Beckham, anak kepada bekas kapten England, David Beckham, akan bermain untuk Brentford secara pinjaman daripada Inter Miami II sehingga akhir musim, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu.

    Pemain sayap berusia 20 tahun itu menyertai sekutu simpanan pasukan Bola Sepak Liga Utama bapanya, Inter Miami – dahulunya dikenali Fort Lauderdale CF pada 2021 selepas berehat enam tahun dalam karier bola sepak yang bermula di Akademi Arsenal.

    Romeo menghabiskan latihan musim penutup MLS Next Pro bersama pasukan remaja Brentford sebelum berpindah.

    “Kami sangat gembira dengan Romeo sejak dia tiba bersama kami.

    “Dia datang dari Inter Miami dengan tujuan untuk bekerja dengan kami. Romeo telah mempamerkan karakter dirinya dengan sangat baik. Saya suka standardnya dan cara dia berkelakuan dalam dan luar padang.

    “Dia boleh menjadi lebih cergas sepanjang bersama kami, ia meletakkan dia di tempat yang baik untuk kini melangkah ke hadapan setelah menyertai kami secara pinjaman,” kata pengendali Brentford B, Neil MacFarlane.

    Romeo mengetuai MLS Next Pro dengan 10 bantuan gol musim lalu, membuat 20 penampilan dan menjaringkan dua gol, lapor Sinar Harian.

  • Kenapa bekalan babi jadi keutamaan, soal Pemuda PN

    Kenapa bekalan babi jadi keutamaan, soal Pemuda PN

    EXCO Pemuda Perikatan Nasional (PN) Selangor, Khidir Jamil tampil mempersoalkan kerajaan mengutamakan bekalan daging babi daripada mengatasi isu kekurangan bekalan ayam dan telur yang masih belum selesai sepenuhnya.

    “Kerajaan mahu membincangkan bekalan babi secara teliti dalam kabinet, sedangkan isu ayam dan telur masih belum berjaya diselesaikan.

    “Tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan cadangan kawalan kestabilan harga daging babi dibawa ke mesyuarat kabinet Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai ‘double standard’, ujarnya.

    Jelasnya, jalan penyelesaian yang cuba dilaksanakan oleh Salahuddin itu disifatkan sebagai ‘double standard’ kerana tidak berusaha menyelesaikan isu yang dihadapi oleh majoriti masyarakat tetapi lebih menjaga kepentingan golongan minoriti.

    “Ia seolah suatu tindakan solusi ‘double standard’ kerana ketika mana rakyat di dalam negara masih lagi berhadapan dengan isu kekurangan bekalan ayam dan telur dalam pasaran di sesetengah kawasan, isu bekalan daging babi pula mahu diperjuangkan.

    “Apakah pengemar daging babi lebih ramai daripada kumpulan masyarakat yang makanan utamanya adalah telur dan ayam di negara kita ini?

    “Sehinggakan isu tersebut terpaksa menunggu giliran untuk dibincangkan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan bagi mendapatkan penyelesaian menyeluruh daripada terus bergantung kepada bekalan import yang tidak berkualiti,” soalnya, lapor Sinar Harian hari ini.

    Mengulas lanjut, Khidir berkata, pihak kerajaan dan menteri terlibat sepatutnya perlu menasihati pengguna dan penggemar daging babi agar tidak makan daging babi jika harga daging tersebut meningkat mahal sama seperti yang dicadangkan individu-individu tertentu sebelum ini.

    Tegasnya, kerajaan sewajarnya lebih peka dan sensitif dalam merencanakan agenda kawalan rantai bekalan makanan dan menyelesaikan satu persatu mengikut populasi serta penggemar makanan utama rakyat.

    Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan diharap dapat memberi tumpuan dan fokus utama kepada permasalahan rakyat berkenaan pembekalan makanan dengan lebih teliti, bukannya membuat keputusan yang dilihat berat sebelah serta beralih kepada tajuk lain.

    “Adakah tindakan yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan ini bertujuan untuk cuba menjaga kepentingan melibatkan taikun dan penguasa tokey pasaran telur dan ayam dengan menimbulkan isu daging babi?

    “Bagi saya, tindakan seumpama ini bukanlah suatu tindakan bijak oleh Kerajaan Perpaduan terutama dalam menjaga kepentingan dan kebajikan seluruh masyarakat,” katanya.

  • Zuraida, Redzuan dilantik timbalan presiden Muafakat Nasional

    Zuraida, Redzuan dilantik timbalan presiden Muafakat Nasional

    DUA bekas menteri Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Seri Redzuan Md. Yusof dilantik sebagai timbalan presiden NGO Muafakat Nasional (MN).

    Presidennya, Tan Sri Annuar Musa turut mengumumkan pelantikan penceramah terkenal Dr. Ridhuan Tee Abdullah dan bekas Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara Kumar ke jawatan itu.

    Beliau mengumumkan pelantikan itu selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tertinggi MN pertama selepas ditubuhkan bulan lepas.

    Zuraida, bekas Ahli Parlimen Ampang, dipecat daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 27 Disember lepas bersama 10 individu lain selepas didakwa melanggar disiplin parti.

    Redzuan ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Sejak dibuka untuk pendaftaran, MN kini mempunyai lebih 25,000 ahli daripada pelbagai parti dan dalam kalangan golongan profesional.

    Sementara itu, Annuar berkata, mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk menubuhkan enam kluster utama bagi mengukuhkan struktur organisasinya.

    Kluster berkenaan terdiri daripada Ekonomi; Sosial dan Kebajikan; Pendidikan dan Kenegaraan; Politik dan Kepimpinan; Belia dan Mahasiswa; serta Media Sosial dan Seni Budaya.

    “Enam kluster dibentuk supaya setiapnya membuat susulan perbincangan dalam aspek yang lebih spesifik,” katanya lapor FMT.

  • Budak sembur cat tin pada kereta dicari polis

    Budak sembur cat tin pada kereta dicari polis

    POLIS Pulau Pinang sedang mengesan seorang kanak-kanak yang disyaki melakukan perbuatan vandalisme dengan menyembur cat tin pada beberapa buah kereta di Jalan Tingkat Kenari 5, Bayan Lepas, semalam.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kanak-kanak tersebut dipercayai menyembur cat tin pada kenderaan dengan menulis perkataan tidak senonoh.

    “Pada 6 Januari (semalam) terkesan satu posting yang dimuat naik dalam akaun Facebook ‘inforoadblock’ berhubung dakwaan seorang kanak-kanak yang dipercayai melakukan perbuatan vandalism dengan menyembur cat tin pada kenderaan dengan menulis perkataan tidak senonoh.

    “Kejadian tersebut berlaku di Jalan Tingkat Kenari 5, Bayan Lepas pada 6 Januari (semalam) dan terdapat lima laporan polis berhubung isu sama,” katanya dalam kenyataan di media sosial Facebook hari ini.

    Sebelum ini, tular di media sosial mengenai beberapa buah kereta yang disembur cat berwarna hitam dengan perkataan tidak senonoh.

    Seorang kanak-kanak disyaki melakukan perbuatan vandalisme dengan menyembur cat tin pada beberapa buah kereta di Jalan Tingkat Kenari 5, Bayan Lepas, semalam

    Kamarul Rizal berkata, siasatan awal polis mendapati perbuatan itu disyaki dilakukan seorang suspek kanak-kanak antara pukul 2 hingga 2.30 petang.

    “Menurut salah seorang pemilik kenderaan, ini merupakan kejadian pertama sepanjang tempoh tiga tahun dia tinggal di situ.

    “‘Pemilik kenderaan menyedari kejadian ini apabila ingin kembali ke rumah setelah pulang dari kerja di kilang berdekatan pada pukul 5 petang dan dia terus membuat laporan polis berhubung kes ini,” katanya.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

    “Usaha untuk mengesan suspek masih diteruskan, sekiranya orang awam mempunyai maklumat mereka boleh berhubung dengan pegawai penyiasat jenayah, Wan Muhammad Syamim Wan Azmi di talian 04-8662222,” katanya.

  • Politik Sabah: Hajiji hilang kelayakan, perlu ikut undang-undang, letak jawatan- Shafie

    Politik Sabah: Hajiji hilang kelayakan, perlu ikut undang-undang, letak jawatan- Shafie

    SEORANG Ketua Menteri yang bersendirian tanpa sebarang kepastian sama ada dia mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, perlu meletakkan jawatan sepertimana termaktub dalam Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

    Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Datuk Seri Hajiji Noor yang meninggalkan parti itu telah hilang kelayakan sebagai Ketua Menteri Sabah apabila beliau dan barisan ADUN serta pemimpin bertindak keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Ini seperti termaktub dalam Perkara 6(3), dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, yang menyatakan bahawa Ketua Menteri hendaklah daripada ketua parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada 2020,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Warisan di Kota Kinabalu hari ini.

    Ditanya sama ada Hajiji yang juga ADUN Sulaman perlu meletak jawatan, Mohd. Shafie berkata ia perlu mengikut lunas undang-undang dan menyifatkan Hajiji mengetahui mengenainya.

    “Buat masa sekarang, tidak perlu untuk menyatakan siapa yang ada sokongan, sebaliknya menyerahkan kepada perundangan.

    “Sehubungan itu, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin mempunyai kuasa untuk meleraikan kemelut politik ini,” katanya, lapor Astro Awani.

  • PH Sabah tidak setuju DUN dibubarkan

    PH Sabah tidak setuju DUN dibubarkan

    PAKATAN Harapan (PH) Sabah tidak bersetuju Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan sekiranya kemelut politik di negeri ini berterusan.

    Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH Sabah dalam satu kenyataan bersama, mengulangi pendirian mereka untuk tidak menyokong sebarang usaha menggulingkan kerajaan melalui cara ‘pintu belakang’.

    “Kami berasa amat kesal melihat Sabah sekali lagi berhadapan dengan kemelut politik yang sepatutnya tidak berlaku.

    “Kami mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa kami tidak menyokong sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui cara ‘pintu belakang’.

    “Pada masa yang sama, kami tidak bersetuju untuk DUN dibubarkan sekiranya kemelut ini terus berterusan dan kedudukan DUN buat masa ini terus tergantung (kerajaan negeri tergantung),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, tujuh ADUN PH Sabah memberi sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga ADUN Sulaman.

    “Ini adalah selari dengan prinsip kami untuk memastikan kestabilan politik terus mantap di Sabah dan tidak terlibat dalam langkah seperti ‘Langkah Sheraton’.

    “Susulan sokongan ini, kami bersetuju bahawa satu Kerajaan Perpaduan Sabah boleh dibentuk seperti amalan di peringkat Persekutuan,” kata kenyataan itu, lapor Sinar Harian.

    Tambah kenyataan itu, seharusnya fokus utama ketika ini adalah memastikan matlamat perjuangan membantu rakyat dan membangun ekonomi serta bersama-sama berusaha untuk memastikan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) direalisasikan selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Kami berdoa agar kemelut politik akan berakhir dalam masa terdekat dan kesejahteraan rakyat Sabah terus dibela dengan sokongan ini,” kata kenyataan itu.

    Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh ADUN Api-api, Datuk Christina Liew; ADUN Tanjung Papat, Datuk Poon Fung Ming; ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick; ADUN Kapayan Jannie Lasimbang; ADUN Luyang Phoong Jin Zhe; ADUN Likas, Tan Lee Fatt dan ADUN Inanam, Peto Galim.