Author: Wartawan WartaRakyat

  • 2.57 juta pelancong ke Langkawi tahun lalu

    2.57 juta pelancong ke Langkawi tahun lalu

    Oleh BADLISHAH MAT

    DI sebalik pelbagai kekangan terutamanya isu perjalanan feri yang terhad, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berjaya merekodkan seramai 2.57 juta orang pelancong ke Langkawi pada tahun lalu sekali gus mengatasi sasaran 2.5 juta pengunjung.

    Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1.45 juta pelancong memilih untuk memasuki Langkawi menggunakan perkhidmatan feri dan 1.12 juta orang pula menggunakan laluan udara.

    “Daripada jumlah 2.57 juta itu juga, 2.51 juta adalah pelancong domestik dan 63,000 orang lagi merupakan pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan dianggarkan mencecah RM3.9 bilion pada tahun lalu.

    “Pada tahun ini, LADA menyasarkan 78 peratus pelancong domestik dan selebihnya adalah pelancong antarabangsa dengan jumlah keseluruhan sekitar 3.2 juta pelancong,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Sesi Perjumpaan Pemain Industri Pelancongan Langkawi Bil. 1/2023 di Kompleks LADA, hari ini.

    Jadual perjalanan feri yang tidak menentu disebabkan faktor air pasang surut dan mendapan lumpur di Jeti Kuala Kedah dan Kuala Perlis didakwa menjejaskan kemasukan pelancong ke Pulau Langkawi sepanjang tahun lalu.

    Malah, kerja-kerja pengerukan lumpur juga masih berjalan ketika ini di Kuala Perlis sementara proses itu siap sepenuhnya di Kuala Kedah pada penghujung Disember lalu.

    Jelas Nasaruddin, sasaran kemasukan sehingga 3.2 juta pelancong itu juga dibuat berdasarkan faktor kesalinghubungan melalui laluan udara atau laut dengan purata perjalanan feri sebanyak 105 perjalanan dan 229 penerbangan setiap minggu.

    Ujarnya, beberapa program promosi juga akan dilaksanakan bagi memastikan sasaran itu dicapai seperti menyertai Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bagi pelancong domestik dan promosi di India, Australia, Thailand, Timur Tengah, Jepun dan London.

    “LADA bersama Tourism Malaysia juga akan berunding bagi membuka semula laluan feri dari Koh Lanta, Krabi di Thailand ke sini selepas menerima lawatan daripada Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Pipat Ratchakitprakarn pada Jumaat lalu dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong asing ke Langkawi,” kataya.

    Selain itu, beliau turut menyatakan tahun ini merupakan tahun yang penting kerana status geopark oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) akan dibuat penilaian semula pada Jun nanti.

    Katanya, LADA yakin akan mengekalkan kad hijau bagi status tersebut melalui aktiviti kelestarian yang telah diadakan sejak tahun lalu dalam usaha mengekalkan status geopark berkenaan.

    “Di samping itu, kita turut meminta kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) bagi memastikan kerja pengerukan di alur pelayaran Kuala Perlis dapat disiapkan sebelum penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) nanti.

    “Sepatutnya ketika ini kerja pengerukan sudah capai 83 peratus, tetapi status terkini adalah pada kadar 68 peratus sahaja yang menjadikan kerja tersebut lewat daripada jadual. Kita harap laluan feri Kuala Perlis dapat dipulihkan seperti sedia kala bagi membolehkan jadual feri dapat disusun dengan tetap seperti di Kuala Kedah,” ujarnya.

  • Lelaki Myanmar maut, sepupu ditahan cuba larikan diri

    Lelaki Myanmar maut, sepupu ditahan cuba larikan diri

    POLIS menahan seorang lelaki warganegara Myanmar selepas disyaki terlibat dalam kejadian bunuh membabitkan rakan senegaranya, semalam.

    Lelaki berusia 21 tahun itu yang juga merupakan sepupu kepada mangsa, ditahan pada hari sama tidak jauh dari tempat kejadian semasa cubaan melarikan diri.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Ghani, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3 pagi daripada seorang penternak haiwan memaklumkan kejadian tersebut.

    “Majikan tersebut memberitahu pekerjanya, rakyat Myanmar berusia 26 tahun telah meninggal dunia di sebuah kandang ternakan di Selaru, Dangi di Kuala Pilah.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dipukul dengan menggunakan alat tumpul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, pihak forensik Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan telah menjumpai sebatang kayu yang padan dengan luka kecederaan pada kepala mangsa termasuk lain-lain bukti di lokasi kejadian.

    “Bertindak atas maklumat kes tersebut, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki Myanmar di tepi jalan Selaru, Dangi kurang satu jam selepas laporan diterima,” katanya.

    Beliau berkata, turut dirampas adalah beg galas yang berisi pakaian, telefon bimbit dan botol arak.

    “Tangkapan telah mendapat perintah tahanan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, Amran berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi talian hotline IPD Kuala Pilah 06-48429999.

  • Misi hantar ‘pakej’ gagal, penghantar ganja ditahan

    Misi hantar ‘pakej’ gagal, penghantar ganja ditahan

    BARU sebulan bekerja sebagai penghantar dadah, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan dalam serbuan di Johor Bahru, 9.40 malam kelmarin.

    Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek merampas dadah dipercayai ganja seberat 2.15 kilogram yang dianggarkan bernilai RM5,000.

    Menurut laporan Harian Metro, beliau berkata wang tunai berjumlah RM1,100 dan motosikal turut dirampas.

    “Suspek sebelum ini pernah menghantar ganja seberat 1 kg dan mendapat upah RM200 untuk kerja itu. Kali kedua suspek diberi tugasan untuk menghantar 2.15 kg dadah tetapi berjaya ditahan.

    “Hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati suspek negatif sebarang jenis dadah.

    “Suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah dibawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

    Tambah Raub, suspek direman tujuh hari sehingga 15 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Kubur musnah, mayat didakwa dimakan beruang

    Kubur musnah, mayat didakwa dimakan beruang

    KEMUNCULAN seekor beruang dewasa di Kampung Dakoh, Pos Balar di Gua Musang, membimbangkan lebih 100 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar kerana haiwan itu didakwa memusnahkan kubur dan memakan mayat.

    Dalam kejadian 27 Disember tahun lalu itu, penduduk mendakwa beruang terbabit menggali kubur, Amek Along, 48, selain memakan sebahagian badannya.

    Suami Amek, Mazlan Aluij, 50, berkata, dia menyedari kejadian kubur arwah isterinya digali haiwan liar itu, pukul 9.20 pagi, 27 Disember lalu.

    Katanya, arwah isterinya meninggal pada 1 Disember tahun lalu akibat sakit strok dan dikebumikan di kawasan Perkuburan Kampung Dakoh.

    “Jarak rumah dengan tanah perkuburan hanya 300 meter (m) sahaja. Sudah menjadi rutin kami melawat dan membersihkan kubur, tetapi sebelum ini tidak ada apa yang mencurigakan.

    “Namun, pada 26 Disember lalu, saya bersama anak lelaki datang untuk membersihkan kubur seperti biasa dan melihat ada kesan tapak kaki serta najis beruang di kawasan kubur arwah isteri.

    “Keesokannya saya datang bersama penduduk kampung dan memeriksa kawasan sekitar. Kami dapati mayat arwah isteri sudah dimakan beruang dan haiwan liar itu masih berkeliaran di kawasan perkuburan,” katanya ketika ditemui.

    Mazlan berkata, takut kejadian sama berulang dan risaukan keselamatan penduduk kampung, dia bertindak membuat laporan di Balai Polis Gua Musang.

    “Beruang terbabit juga dilihat berkeliaran di belakang rumah saya dan hampir menyerang anjing peliharaan. Kami juga sudah membuat aduan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya tindakan segera dapat diambil.

    “Menurut adat kami, mayat itu tidak dapat dialihkan dan hanya dibiarkan di situ,” katanya, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, media melaporkan lebih 200 penduduk Orang Asli di Kampung Perawas, Pos Balar, berada dalam kebimbangan berikutan kehadiran seekor beruang dewasa dekat kawasan penempatan mereka, sejak minggu lalu.

  • Tian Chua sifatkan pemecatannya tidak profesioal, tidak sopan

    Tian Chua sifatkan pemecatannya tidak profesioal, tidak sopan

    BEKAS Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menyifatkan tindakan mengumumkan pemecatan beliau dan empat lagi ahli parti itu kepada media terlebih dahulu sebagai tidak profesional dan sopan.

    Beliau amat kesal dengan tindakan yang dilakukan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datin Dr. Tan Yee Kew.

    “Pengerusi Jawatankuasa Disiplin telah memilih untuk mengumumkan pemecatan saya kepada media sebelum menghantar sebarang pemberitahuan kepada saya dan individu-individu lain yang berkenaan.

    “Perbuatan yang sangat tidak profesional ini amat dikesali dan tidak sopan,” kata Tian Chua dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Semalam, PKR secara rasmi memecat Tian Chua ekoran tindakan pemimpin itu bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Tian Chua berkata, sebagai aktivis PKR yang menyaksikan kelahiran gerakan dan terlibat berterusan dalam perjuangan selama lebih dua dekad, sudah tentunya beliau sedih dan kecewa dengan keputusan tersebut.

    Katanya, sepanjang perjalanan perjuangan dengan parti itu, beliau tidak pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip atau objektif politik parti.

    “Hati nurani saya bersih. Sejak awal lagi saya bersedia menerima akibat bertanding dalam pilihan raya tanpa restu pucuk pimpinan parti. Saya akur bahawa parti perlu menjaga disiplin organisasi.

    “Walau demikian dalam konteks senario pasca-PRU15, pihak-pihak yang berlawan telah mengetepikan permusuhan semasa pilihan raya.

    “Bahkan musuh lama termasuk mereka yang didakwa pengkhianat telah berdamai dan berikrar untuk bekerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Tambahnya, tanpa mempertikaikan kuasa kepemimpinan, tindakan keras menerapkan peraturan adalah bertentangan dengan arus rekonsiliasi dan keterangkuman dalam suasana politik ketika ini.

    Tian Chua menegaskan bahawa beliau mengambil tanggungjawab atas semua tindakan yang dikenakan tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

    “Saya menyertai perjuangan Reformasi sejak tahun 1998 hanya dengan tujuan membawa perubahan demokrasi kepada tanah air. Hari ini saya bangga melihat usaha bertahun-tahun tidak sia-sia.

    “Saya sedikit pun tidak menyesali setiap minit yang ditabur dalam perjuangan ini. Masih banyak lagi cabaran di hadapan kita,” katanya.

    Beliau turut berjanji kepada para penyokong untuk tidak akan memperlahankan langkah kegiatan untuk melakukan pembaharuan.

    “Saya tidak akan undur daripada berjuang untuk membela hak dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

  • Krisis politik Sabah: Bung Moktar dakwa ‘game still on’

    Krisis politik Sabah: Bung Moktar dakwa ‘game still on’

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan kemelut politik susulan langkah digerakkan beliau untuk menarik balik sokongan kepada pentadbiran pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, belum bernoktah.

    “Game still on (tindakan masih berterusan),” katanya mengulas dakwaan Hajiji mempunyai sokongan majoriti membabitkan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk kekal memimpin sebagai Ketua Menteri Sabah.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

    Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagaimanapun berkata, keputusan berhubung kemelut politik itu dijangka dicapai, malam esok.

    Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan bertemu semua pemimpin parti politik di negeri ini, esok.

    “Kita menunggu Perdana Menteri yang akan datang, esok. Beliau akan berjumpa kita, Parti Warisan (WARISAN) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS)… barulah kita akan bercakap mengenai itu.

    “Keputusan akan dibuat pada malam esok,” katanya, lapor Berita Harian.

    Ditanya mengenai kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah susulan isu berkenaan pula, Bung Moktar enggan mengulas lanjut.

    “Saya tidak tahu… yang saya tahu, kerajaan tidak ada (kini) sebab kerajaan ini ditubuhkan bersama-sama.

    “Jadi apabila kita tarik diri, bukan berhenti, bermakna Ketua Menteri pun tidak ada,” dakwanya.

    Berhubung perjumpaan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO, semalam, Bung Moktar berkata, mereka membincangkan hala tuju parti dan isu pergolakan politik di Sabah.

  • Atlet MMA Victoria Lee meninggal dunia pada usia 18 tahun

    Atlet MMA Victoria Lee meninggal dunia pada usia 18 tahun

    ATLET sukan seni bela diri campuran (MMA), Victoria Lee dilaporkan meninggal dunia pada 26 Disember lalu.

    Memetik laporan CNA, kakaknya, Angela Lee mengesahkan kematian Victoria yang baru berusia 18 tahun itu pada hari ini (8 Januari).

    “Pada 26 Disember 2022 keluarga kami mengalami keadaan yang diharapkan tidak perlu dilalui oleh keluarga lain,” kata Angela Lee dalam catatan di Instagram.

    Kata Angela Lee lagi, amat berat untuk memberitahu berita ini kepada pengikutnya.

    “Amat sukar untuk mengumumkan hal ini. Victoria kami meninggal dunia. Dia pergi terlalu cepat dan keluarga kami benar-benar hancur sejak itu. Kami merinduinya. Lebih daripada segala-galanya di dunia ini. Keluarga kami tidak akan pernah sama. Kehidupan tidak akan pernah sama,” tulisnya, lapor Astro Awani.

    Kematian Victoria Lee di Hawaii diumumkan secara terbuka oleh Taman Memorial Valley of the Temples di Kaneohe, Jumaat lalu namun punca kematiannya tidak diberitahu kepada umum.

    Dilahirkan di Hawaii, Victoria Lee mewakili dua negara iaitu Amerika Syarikat dan Singapura sebagai ahli pasukan MMA United dan Evolve MMA.

    Victoria dilantik sebagai penolong tenaga pengajar di Evolve MMA, rangkaian gim seni bela diri di Singapura.

    Menurut South China Morning Post, mendiang dijadualkan bertanding dalam perlawanan MMA Profesional keempatnya menentang Zeba Bano di India pada 14 Januari di Bangkok.

  • Ada ADUN yang hati mereka masih bersatu dengan Bersatu – Hamzah

    Ada ADUN yang hati mereka masih bersatu dengan Bersatu – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa ada di kalangan ADUN Sabah yang keluar parti bulan lepas berat hati meninggalkan parti itu.

    Beliau berkata mereka yang mengikut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk keluar Bersatu berbuat demikian semata-mata untuk mengekalkan kestabilan kerajaan negeri.

    “Saya telah bercakap dengan mereka (bekas ADUN Bersatu Sabah), ada yang kata bahawa hatinya masih bersatu dengan Bersatu.

    “Tapi atas sifat untuk menentukan bahawa kepimpinan Sabah itu tidak bertukar so they would like to remain with Hajiji (Mereka ingin kekal bersama Hajiji,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

    Tidak jelas bila Hamzah bertemu bekas ADUN Bersatu Sabah, atau berapa ramai daripada mereka yang masih setia kepada parti itu ‘secara rahsia’.

    Hajiji mengetuai sebahagian besar ADUN Bersatu Sabah keluar daripada parti itu bulan lepas untuk menjadi ahli langsung gabungan GRS.

    Ini selepas GRS menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai perdana menteri dan bukannya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai isu lompat parti di peringkat persekutuan membabitkan empat ahli parlimen GRS yang kini sedang diperhalusi oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

    Mereka yang melompat parti mendakwa membatalkan keahlian dalam Bersatu sebelum pilihan raya umum ke-15, dengan menyertai GRS sebagai ahli langsung.

    ‘UMNO patut ikut perjanjian’

    Di sebalik pengkhianatan itu, Hamzah yang merupakan ketua pembangkang Parlimen berkata, kestabilan di Sabah adalah penting.

    Justeru, beliau berkata BN dan UMNO Sabah sepatutnya mengotakan janji pada 2020 untuk menyokong Hajiji sebagai ketua menteri.

    “Hajiji dilantik mengikut apa yang dinyatakan dalam perjanjian sementara itu UMNO patut ikut perjanjian itu,” katanya, lapor Malaysiakini.

    BN dan Bersatu menjalinkan kerjasama pada pilihan raya negeri Sabah 2020.

    Pada Jumaat lalu, BN Sabah yang mempunyai 17 kerusi menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri.

    Ini selepas Hajiji memecat Datuk Salleh Said Keruak sebagai pengerusi Qhazanah Sabah dan usaha untuk merombak kabinet negeri.

    Bagaimanapun, rampasan kuasa yang dirancang itu gagal selepas lima ADUN BN Sabah mengekalkan sokongan kepada Hajiji yang kini mempunyai sokongan 44 ADUN untuk terus berkuasa.

  • UMNO tak pelawa rakan parti kerajaan ke PAU 2022

    UMNO tak pelawa rakan parti kerajaan ke PAU 2022

    UMNO tidak mempelawa pemimpin parti lain termasuk yang menganggotai kerajaan perpaduan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 dari 11 hingga 14 Jan ini.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, PAU 2022 hanya membabitkan ahli UMNO, parti komponen Barisan Nasional (BN) dan “Friends of BN”.

    Katanya, ia untuk menyelesaikan isu dalaman parti serta gabungan itu.

    “Bukan sahaja parti lain, malah duta asing juga kita tak jemput, tidak seperti sebelum ini. Setakat ini, itulah keputusannya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Ahmad berkata, keputusan tidak menjemput parti lain dan duta asing itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru-baru ini.

    Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Umno mungkin menghantar jemputan kepada setiausaha agung setiap parti gabungan dalam kerajaan perpaduan untuk menghadiri majlis perasmian PAU 2022.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau tidak menerima jemputan untuk menghadiri PAU 2022 dari 11 hingga 14 Jan ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

  • 5 ADUN UMNO serah SD sokong Hajiji, kata Shahelmey

    5 ADUN UMNO serah SD sokong Hajiji, kata Shahelmey

    ADUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya mengesahkan beliau dan empat wakil rakyat UMNO lain menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Hajiji Noor kekal sebagai ketua menteri Sabah.

    Menurutnya, beliau masih ahli UMNO dan menyerahkan kepada parti sekiranya mahu mengambil tindakan terhadapnya.

    “Pendirian saya teguh untuk sokong Hajiji sebagai ketua menteri, tidak berubah kerana bagi saya, bukan waktunya untuk menukar kerajaan buat masa ini.

    “Saya belum menukar kedudukan saya dalam parti, saya masih ahli UMNO dan jika ada sebarang tindakan yang perlu dibuat, saya serahkan kepada parti,” katanya ketika ditanya sama ada tindakannya itu bakal memberi kesan kepada kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Putatan mengikut Akta Anti-lompat Parti.

    Selain Shahelmey, empat ADUN UMNO lain yang menandatangani SD itu ialah Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Yusuf Yacob (Sindumin) dan Arsad Bistari (Tempasuk).

    Shahelmey berkata, beliau belum dipanggil atau bercadang menemui Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin.

    “Saya tidak mendapat maklumat yang beliau akan datang ke Kota Kinabalu dan buat masa ini, tiada apa yang berlaku.

    “Saya juga telah membantah keputusan beliau (Bung) sebelum ini, jadi tidak (akan bertemu dengan Bung),” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, Hajiji mengumumkan beliau memiliki sokongan 44 daripada 79 ADUN Sabah untuk terus kekal sebagai ketua menteri, menerusi akuan bersumpah yang diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin semalam.

    Beliau dilaporkan berkata, rombakan Kabinet negeri akan dilakukan kelak.

    Menurut sumber, Hajiji meminta anggota baharu Kabinet Sabah mengangkat sumpah esok dan sedang menunggu jawapan daripada pihak istana.