Author: Wartawan WartaRakyat

  • Selangor Baharu, Kita Bangkit tema baharu PN Selangor

    Selangor Baharu, Kita Bangkit tema baharu PN Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran itu merangkumi tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.

    Tawaran pertama dalam manifesto berkenaan adalah bagi menangani isu tekanan kos sara hidup.

    “Untuk itu kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan PN akan memastikan keterjaminan bekalan makanan pada harga yang munasabah melalui pelbagai inisiatif antaranya memperuntukkan dana khas Tani Bangkit sebanyak RM100 juta kepada usahawan tani muda.

    “Manifesto PN Selangor turut menawarkan pengecualian bayaran parkir di kawasan letak kenderaan bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor Utara.
     
    “Menaikkan elaun bulanan yang dibayar oleh kerajaan negeri kepada penggerak masjid dan surau iaitu imam sebanyak RM1,700, bilal RM800, siak RM600 dan nazir RM600,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Negeri Selangor di sebuah hotel terkemuka di Shah Alam malam ini .

    Selain itu, PN Selangor akan mewujudkan skim Rumah Pertama Darul Ehsan merangkumi pemilikan rumah pangsa tiga bilik bagi golongan yang memerlukan selain meluaskan Skim Peduli Sihat termasuk Skim Perlindungan Perubatan dan Kesihatan kepada rakyat Selangor dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah.

    Tidak ketinggalan, PN Selangor turut memberi pengecualian fi lesen perniagaan untuk penjaja, gerai dan pasar serta mengecualikan sepenuhnya bayaran sewa tapak perniagaan milik PBT bagi penjaja yang berdaftar.

    “Kepada rakyat Selangor, PN peka dan mendengar keluhan rakyat berhubung bantuan air percuma.

    “Oleh sebab itu, program air percuma melalui inisiatif 20 meter padu air percuma akan diperluaskan kepada pemegang akaun dengan pendapatan isi rumah RM15,000 dan ke bawah,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Keterjaminan bekalan makanan pada harga munasabah antara tawaran PN Selangor

    Keterjaminan bekalan makanan pada harga munasabah antara tawaran PN Selangor

    MENYEDARI isu tekanan kos sara hidup yang menghimpit rakyat hari ini, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) akan berusaha memastikan keterjaminan bekalan makanan pada harga yang munasabah melalui pelbagai inisiatif.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara inisiatif tersebut ialah memperuntukkan dana khas Tani Bangkit sebanyak RM100 juta kepada usahawan tani muda untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran agromakanan melalui penggunaan teknologi dan automasi.

    “Selain itu mewujudkan Hab Mega Makanan melalui insentif Dana Makanan Selangor (DaMaS) bernilai RM150 juta bagi meningkatkan hasil pengeluaran, termasuk tanaman, ternakan dan perikanan berskala besar dan berteknologi tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya, lapor SatuBerita.

    Beliau berkata demikian ketika melancarkan Tawaran PN Selangor bertemakan Selangor Baharu, Kita Bangkit di Shah Alam malam ini.

    Tawaran tersebut merangkumi tujuh tunjang utama yang dilaksanakan menerusi 25 pendekatan dan 112 tawaran.

    Muhyiddin berkata, PN Selangor juga akan memperkenalkan program Kebun Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi setiap kebun komuniti yang berpotensi untuk dikembangkan.

    Selain itu, usaha memperkukuhkan rantaian bekalan makanan di Selangor melalui rangkaian Gerai Prihatin Rakyat untuk menyediakan makanan asas pada harga berpatutan di setiap DUN.

  • PN tawar Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor

    PN tawar Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion bagi membantu rakyat di negeri itu meringankan bebanan kos sara hidup serta merancakkan perniagaan dan ekonomi negeri.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif tersebut terkandung dalam tawaran PN yang bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ kepada pengundi Selangor.

    “Tawaran ini merangkumi 7 tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran,” katanya berucap melancarkan Tawaran PN Selangor di Shah Alam malam ini.

    Berikut merupakan tujuh tunjang utama berkenaan.

    TUNJANG 1: SEMARAK MASYARAKAT HARMONI

    1. PN komited untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri, termasuk menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor. Kami bertekad melindungi hak setiap individu untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa meminggirkan hak mana-mana golongan bagi menjalani kehidupan yang aman, harmoni dan sejahtera.
    2. Untuk tujuan ini, PN akan menyediakan dana khas Selangor Harmoni berjumlah RM10 juta kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi pelaksanaan program yang memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum. Sebuah agensi khusus Kerajaan negeri juga bakal ditubuhkan bagi memperkasa usaha meningkatkan taraf sosioekonomi kumpulan minoriti khususnya masyarakat India dan komuniti Orang Asli dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

    TUNJANG 2: SEJAHTERAKAN KEHIDUPAN RAKYAT

    1. Untuk menangani isu tekanan kos sara hidup, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan PN akan memastikan keterjaminan bekalan makanan pada harga yang munasabah melalui pelbagai inisiatif. Antaranya:

    a. Memperuntukkan dana khas Tani Bangkit sebanyak RM100 juta kepada usahawan tani muda untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran agromakanan melalui penggunaan teknologi dan automasi;

    b. Mewujudkan Hab Mega Makanan melalui insentif Dana Makanan Selangor (DaMaS) bernilai RM150 juta bagi meningkatkan hasil pengeluaran, termasuk tanaman, ternakan dan perikanan berskala besar dan berteknologi tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa;

    c. Memperkenalkan program Kebun Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi setiap kebun komuniti yang berpotensi untuk dikembangkan; dan

    d. Memperkukuhkan rantaian bekalan makanan di Selangor melalui rangkaian Gerai Prihatin Rakyat untuk menyediakan makanan asas pada harga berpatutan di setiap DUN.

    1. Selain itu, PN juga akan:

    a. Memperkenalkan inisiatif Bantuan Prihatin Keluarga Selangor dengan peruntukan sebanyak RM312 juta setahun. Inisiatif ini dijangka dapat membantu 65,000 keluarga yang memerlukan menerusi pemberian bantuan bulanan bernilai RM400 bagi pembelian barangan asas;

    b. Mewujudkan inisiatif Bantuan Prihatin Nelayan Selangor berjumlah RM5 juta setahun dengan menyalurkan bantuan seperti enjin bot dan alatan akuakultur;

    c. Mengecualikan bayaran parkir di kawasan letak kenderaan bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor Utara;

    d. Menaikkan elaun bulanan yang dibayar oleh Kerajaan negeri kepada penggerak masjid dan surau iaitu imam sebanyak RM1,700, bilal RM800, siak RM600 dan nazir RM600;

    e. Mewujudkan skim Rumah Pertama Darul Ehsan merangkumi pemilikan rumah pangsa tiga bilik bagi golongan yang memerlukan serta menyediakan kuota khas bagi keluarga muda;

    f. Memperluaskan Skim Peduli Sihat termasuk Skim Perlindungan Perubatan dan Kesihatan kepada rakyat Selangor dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah; dan

    g. Memperluaskan kemudahan pengangkutan percuma ‘Van Selangor Care’ bagi memudahkan pergerakan warga emas dan OKU ke pusat kesihatan, serta menyediakan dana berjumlah RM15 juta untuk inisiatif jaringan perkhidmatan Ambulans Komuniti Selangor (AKoS).

    1. Bagi menggalakkan penglibatan anak muda dalam bidang sukan serta merancakkan arena sukan di Selangor, pelbagai program pembangunan sukan akan diperkenalkan seperti:

    a. Memperuntukkan dana Infra Sukan Selangor sebanyak RM30 juta setahun bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara fasiliti sukan mesra rakyat;

    b. Menyediakan dana khas Sukan Olimpik dan Paralimpik bagi mencungkil potensi dan menggilap bakat anak Selangor dalam bidang sukan untuk bersaing di peringkat dunia; dan

    c. Menyediakan insentif Darul Ehsan E-Sports (DEES) dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

    1. Untuk kesejahteraan warga emas, PN akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk:

    a. Menambah dan memperkasa pusat aktiviti warga emas melalui penyaluran dana sebanyak RM5,000 setahun;

    b. Memperkenalkan Skim Desa Pesara Selangor untuk menyediakan kawasan kediaman warga emas yang dilengkapi dengan kemudahan kerohanian, kesihatan dan rekreasi melalui kerjasama dengan pihak swasta; dan

    c. Mewujudkan Program Ekonomi Warga Emas bagi menyantuni golongan warga emas untuk melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi dan kesukarelawanan.

    1. Keperluan Orang Kurang Upaya (OKU) turut menjadi keutamaan PN. Untuk itu, PN akan:

    a. Mewujudkan peluang ekonomi kepada golongan OKU serta mempergiatkan usaha untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran pekerjaan;

    b. Menubuhkan pusat aktiviti, bimbingan dan latihan untuk golongan OKU merentas semua peringkat umur termasuk individu autistik; dan

    c. Menyediakan pusat intervensi dan pembangunan OKU untuk kanak-kanak dan remaja;

    1. PN juga akan memberi tumpuan kepada usaha menyantuni keluarga muda dengan menawarkan pelbagai inisiatif-inisiatif. Antaranya:

    a. Mewujudkan inisiatif Bina Keluarga Selangor (BKS) sebanyak RM500 untuk pasangan pengantin baharu;

    b. Menyediakan insentif Lahir Selangor bernilai RM500 kepada ibu bersalin; dan

    c. Memperbanyak rumah transit dan projek perumahan rakyat di kawasan terpilih untuk sewaan kepada pasangan belia yang baru berkahwin.

    Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

    TUNJANG 3: JUNJUNG PRINSIP TADBIR URUS DAN POLITIK YANG BERSIH

    1. Bagi memperkasa ekosistem pentadbiran Kerajaan Negeri yang prihatin, bersih dan stabil, sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai ahli pakar pelbagai bidang akan dibentuk bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung di dalam Tawaran PN Selangor.
    2. Sebaik sahaja PN membentuk kerajaan negeri Selangor, sebuah Majlis Tindakan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor akan diwujudkan supaya tindakan-tindakan segera boleh diambil oleh kerajaan negeri dengan kerjasama pihak industri untuk merancakkan semula ekonomi negeri Selangor dan menyegerakan penyelesaian masalah kos sara hidup rakyat.
    3. Sebagai langkah mengiktiraf peranan dan sumbangan sektor awam terhadap pembangunan negeri, elaun khas tahunan sekurang-kurangnya 2 bulan gaji akan diberikan kepada anggota perkhidmatan awam di negeri Selangor. Jika kedudukan kewangan mengizinkan, kita akan pertimbangkan 3 bulan gaji.
    4. Untuk memastikan perkhidmatan Kerajaan negeri yang cekap dan bertaraf dunia, penggunaan teknologi digital dan data raya pula akan dioptimumkan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan demi manfaat rakyat.

    TUNJANG 4: EKONOMI MASA HADAPAN YANG UTUH

    1. Sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, Selangor mesti maju ke hadapan mengambil kira ekonomi masa hadapan. Untuk tujuan ini, PN telah merangka beberapa agenda khususnya melibatkan tenaga kerja muda termasuk:

    a. Membina Selangor sebagai hab tenaga kerja masa hadapan dengan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dalam bidang berkemahiran tinggi;

    b. Menjadikan Selangor sebagai negeri Just Energy Transition bagi menjamin kelestarian ekonomi masa hadapan;

    c. Mempercepatkan perkembangan industri masa hadapan bernilai tinggi termasuk tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik, aeroangkasa dan ekonomi digital seperti pusat data, AI dan robotik melalui kerjasama pemain industri;

    d. Memperuntukkan RM50 juta untuk memperkasa Invest Selangor bagi mempermudah serta mempercepat pelaburan industri masa hadapan bernilai tinggi; dan

    e. Memperuntukkan dana tambahan RM20 juta bagi meningkat dan meluaskan pasaran eksport produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi termasuk memperkenalkan inisiatif Buy Selangor Products di pasaran antarabangsa.

    1. Sejajar dengan pembangunan bakat baharu berkemahiran tinggi, langkah proaktif akan diambil bagi:

    a. Meningkatkan peluang latihan industri dalam agensi dan anak syarikat Kerajaan negeri dengan kadar elaun minimum RM1,500 sebulan untuk anak Selangor;

    b. Mewujudkan Pelan Industri Kreatif Selangor (PIKS) bagi mempergiat penglibatan belia dalam industri kreatif, termasuk animasi dan kebudayaan;

    c. Memperkenalkan inisiatif NextGen Selangor dengan peruntukan berjumlah RM10 juta bagi menyediakan program coding, robotik dan cloud computing secara percuma untuk murid di negeri Selangor; dan

    d. Memperkasa kolej dan universiti milik Kerajaan negeri seperti Universiti Selangor (UNISEL), INPENS International College dan Universiti Islam Selangor (UIS) sebagai peneraju pendidikan tinggi dan penyelidikan bagi ekonomi masa hadapan.

    1. PN juga akan menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan berkualiti dan berprestij. Ini termasuk menyediakan insentif Selangor Destinasi Pilihan bernilai RM200 juta untuk menjadikan Selangor sebagai negeri tarikan utama pelancong.
    2. Bagi merancakkan pemulihan ekonomi negeri, kami akan membangunkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdaya saing dan digital-ready. Antaranya termasuk:

    a. Memperkenalkan semula dan memperkasa Skim Mikro Kredit (HIJRAH) bagi mengupaya peniaga-peniaga kecil yang memerlukan modal perniagaan dengan dana pusingan berjumlah RM500 juta untuk manfaat 100,000 peniaga kecil;

    b. Memberikan pengecualian fi lesen perniagaan untuk penjaja, gerai dan pasar;

    c. Mengecualikan sepenuhnya bayaran sewa tapak perniagaan milik PBT bagi penjaja yang berdaftar;

    d. Mewujudkan dana Food Truck Selangor (FTS) berjumlah RM50 juta setahun bagi menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada penjaja untuk memiliki food truck bagi mengembangkan perniagaan mereka;

    e. Menyediakan dana Restart Selangor RM50 juta setahun untuk membiayai penggantian peralatan perniagaan rosak akibat bencana atau musibah; dan

    f. Mewujudkan dana Digital Niaga Selangor (DiNiS) berjumlah RM50 juta setahun bagi membantu usahawan muda Selangor mengoptimumkan potensi perniagaan melalui teknologi digital serta khidmat nasihat dan latihan;

    1. Golongan belia merupakan tunjang masa depan negara. Justeru, PN amat prihatin dengan kebajikan para belia bagi memastikan tiada anak Selangor yang tercicir. Untuk itu, PN menawarkan beberapa inisiatif antaranya:

    a. Mewujudkan Tabung Biasiswa Industri Masa Hadapan Selangor berjumlah RM20 juta untuk anak Selangor daripada keluarga yang memerlukan bagi melanjutkan pengajian dalam bidang industri masa hadapan yang terpilih;

    b. Memperkenalkan skim EduStart Selangor dengan bantuan awal pengajian iaitu RM1,500 kepada semua pelajar tahun pertama anak Selangor yang akan mendaftar masuk ke IPT, manakala RM500 kepada semua pelajar baharu matrikulasi dan tingkatan enam anak Selangor;

    c. Memberi insentif khas GigEduSelangor sebanyak RM1,500 kepada pekerja sektor ekonomi gig anak Selangor yang ingin melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi; dan

    d. Menawarkan Skim Perumahan Mikro Belia Mampu Sewa di bandar-bandar utama.

    1. Sebagai tanda pengiktirafan belia yang terlibat dalam industri p-panggilan (p-hailing), PN juga akan memperkenalkan skim Selangor Riders kepada mereka untuk mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan motosikal serta perlindungan insurans bernilai RM700 setahun.

    Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
    TUNJANG 5: WANITA TERAS MASYARAKAT DAN EKONOMI NEGERI

    1. Khusus untuk golongan wanita, PN akan melaksanakan beberapa inisiatif antaranya:

    a. Mewujudkan inisiatif Wanita BEST bagi memperkasa 30,000 perniagaan milik usahawan wanita yang berdaya saing melalui penyediaan geran sehingga RM10,000;

    b. Memperkenalkan inisiatif Srikandi Profesional (SriPro) dengan dana pemula sehingga RM50,000;

    c. Membina 20 Selangor Child Care Centre setahun yang dilengkapi kemudahan moden dan tenaga pengajar profesional;

    d. Memperuntukkan dana khas berjumlah RM50 juta kepada agensi kerajaan negeri dan syarikat swasta bagi membuka pusat asuhan baharu di tempat kerja; dan

    e. Menyediakan bantuan yuran pengasuhan kanak-kanak sebanyak RM150 sebulan untuk 50,000 kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan.

    1. Bagi meningkatkan kesejahteraan wanita dan keluarga, Inisiatif Wanita Waja akan diperkenalkan untuk wanita yang berpisah atau kematian suami dan memerlukan bantuan serta sokongan. Inisiatif ini merangkumi tiga komponen iaitu bantuan sebanyak RM500 sebulan bagi tempoh 3 bulan, bantuan khidmat kaunseling dan motivasi serta bantuan latihan kemahiran dan pementoran.
      TUNJANG 6: MODAL INSAN GEMILANG
    2. Untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan anak-anak negeri Selangor, kerajaan pimpinan PN akan:

    a. Menubuhkan Akademi Sains Selangor dengan menyediakan pendidikan peringkat sekolah rendah yang memfokuskan pendidikan sains, teknologi dan inovasi;

    b. Mewujudkan dana pembelajaran khas sebanyak RM2 juta setahun bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK);

    c. Menyalurkan Dana Bantuan PIBG sebanyak RM5,000 setahun kepada semua sekolah Kerajaan di negeri Selangor termasuk SJK (C) dan SJK (T) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5 juta.

    d. Menawarkan insentif khas bagi sekolah tahfiz dan agama negeri untuk menyertai sistem kemahiran TVET; dan

    e. Memperkenalkan inisiatif Selangor Prihatin Anak Sekolah (SPAS) dengan bantuan tambang bas sekolah sebanyak RM100 sebulan kepada 20,000 anak Selangor melalui kerjasama pengusaha bas sedia ada.

    1. Bagi memastikan persekitaran pendidikan yang kondusif, sejumlah RM120 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran termasuk aspek pendigitalan pendidikan, di samping pembinaan sekolah agama rakyat integrasi sains dan teknologi baharu. Bantuan yuran KAFA juga akan diberi kepada murid daripada keluarga yang memerlukan dengan peruntukan RM6 juta setahun.

    TUNJANG 7: ALAM LESTARI DAN INFRASTRUKTUR BESTARI

    1. Saya ingin berkongsi satu berita gembira kepada rakyat Selangor. PN peka dan mendengar keluhan rakyat berhubung bantuan air percuma. Oleh sebab itu, program air percuma melalui inisiatif 20 meter padu air percuma akan diperluaskan kepada pemegang akaun dengan pendapatan isi rumah RM15,000 dan ke bawah.
    2. Negeri Selangor tidak terkecuali daripada menerima impak perubahan iklim. Untuk itu, PN akan mempergiat usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi sebarang bencana alam. Antaranya:

    a. Menubuhkan Yayasan Perlindungan Alam Selangor bagi melindungi hutan rimba, taman alam, pesisiran pantai dan sungai;

    b. Mengguna pakai teknologi terkini untuk membina sistem penjanaan tenaga boleh diperbaharui termasuk on-road energy harvesting; dan

    c. Menyediakan dana sebanyak RM10 juta sebagai insentif kepada NGO untuk pelaksanaan aktiviti serta program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

    1. Bagi memastikan pengurusan kemudahan utiliti telekomunikasi, infrastruktur asas serta perkhidmatan air yang efisien, kerajaan negeri pimpinan PN akan:

    a. Menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM200 juta untuk mengatasi masalah paip pecah dan melaksanakan program penggantian paip-paip lama di 100 kawasan hotspot;

    b. Memperuntukkan RM10 juta untuk inisiatif Alam Lestari sejajar usaha membudayakan amalan konservasi air, termasuk melalui rain water harvesting;

    c. Memperkenalkan rapid response team bagi mengambil tindakan pantas terhadap aduan berkaitan jalan berlubang dan kerosakan lampu jalan; dan

    d. Memperluas akses liputan capaian internet 5G di seluruh negeri.

  • PN janji elaun sehingga 3 bulan gaji untuk penjawat awam Selangor

    PN janji elaun sehingga 3 bulan gaji untuk penjawat awam Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) menjanjikan elaun khas tahunan berjumlah dua hingga tiga bulan gaji akan diberikan kepada penjawat awam di Selangor sekiranya gabungan itu menang dalam pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif kepada penjawat awam itu diperuntukkan sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan sektor awam terhadap pembangunan negeri.

    “Elaun khas tahunan sekurang-kurangnya dua bulan gaji akan diberikan kepada anggota perkhidmatan awam di Selangor.

    “Jika kedudukan kewangan mengizinkan, kita akan pertimbangkan tiga bulan gaji,” katanya dalam Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Negeri Selangor di Ballroom, Doubletree Hilton, Shah Alam
    , malam ini.

    Janji itu terkandung dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’, lapor Malaysiakini.

  • Sedia debat dengan MB, akui bawa masuk pelaburan ke N Sembilan, bukan Aminuddin

    Sedia debat dengan MB, akui bawa masuk pelaburan ke N Sembilan, bukan Aminuddin

    BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan mendakwa, beliau dan pasukannya yang membawa masuk pelaburan ke Negeri Sembilan, bukannya Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun.

    Menurut Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek, pencapaian yang dibanggakan oleh kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Aminuddin itu adalah hasil usaha kerasnya bersama pasukan menarik pelaburan ke negeri itu sebelum ini.

    Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan itu sedia berdebat dengan Aminuddin jika ingin menafikannya.

    “Saya yakin mereka tak berani lawan saya, kalau lawan lagi banyak cerita saya buka.

    “Sebab saya pengasas parti (PKR), dalam parti pun saya tahu, kerajaan negeri pun saya tahu apa masalahnya, jadi sebab itu kalau dia berani nak lawan…lawanlah.

    “Ada penganalisis (berdasarkan laporan media) bagi tahu tentang kejayaan Aminuddin, bukan Aminuddin yang buat, saya boleh hujah panggil berdebat dengan saya, dia ke yang buat.

    “Pelaburan di Negeri Sembilan dia buat atau saya buat, itu yang nak berdebat dengan dia,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Seremban, hari ini.

    Pada 29 Julai lalu, Aminuddin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, keahlian Mohamad Rafie dalam PKR tergugur secara automatik, susulan tindakannya menjadi calon Bebas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk mempertahankan kerusi Ampangan.

    Selain itu Aminuddin berkata, ahli-ahli parti yang menyokong tindakan bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban itu juga akan dikenakan tindakan.

    Mengulas lanjut, Mohamad Rafie berkata, pelaburan di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan yang ketara disebabkan usaha kerasnya dengan pasukannya.

    Katanya, banyak kejayaan membanggakan telah dicapai sepanjang beliau memegang jawatan Exco negeri.

    Namun katanya, amat malang apabila PKR menyingkirkannya daripada mempertahankan kerusi berkenaan setelah sekian lama bersama parti itu.

    Malah, Mohamad Rafie menganggap beliau telah dianiyayai PKR apabila tidak dicalonkan dalam PRN kali ini.

    Mengulas mengenai penyingkirannya, Mohamad Rafie berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memaklumkan kepadanya bahawa Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Aminuddin tidak mahukannya dicalonkan bagi kerusi berkenaan.

    “Anwar hubungi saya…bagi tahu Rafizi tak nak you (saya), Aminuddin tak nak you, saya kata you are president (anda presiden parti).

    “(Tapi) Anwar kata susahlah (untuk buat keputusan)… Ini kali kedua saya kena, 2013 saya kena benda yang sama. Saya sepatutnya bertanding tapi digugurkan pada saat akhir,” katanya lagi.

    Mengulas mengenai kerjasama dengan parti politik jika menang dalam PRN 12 Ogos nanti atas tiket Bebas, Mohamad Rafie terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, namun akan diputuskan selepas berjaya memenangi kerusi berkenaan.

  • Bapa tak pengaruhi saya keluar UMNO, perjuangan sudah tersasar, kata Afiq Amani Annuar

    Bapa tak pengaruhi saya keluar UMNO, perjuangan sudah tersasar, kata Afiq Amani Annuar

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Afiq Amani Annuar menjelaskan tindakannya yang keluar parti itu dibuat atas kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi oleh pihak lain termasuk bapanya.

    Jelasnya yang juga anak kepada Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, keputusan tersebut diambil susulan perjuangan UMNO sudah tidak selari dengan perjuangan asal.

    Katanya, susulan peletakan jawatan dan keluar dari UMNO, beliau tidak menyertai mana-mana parti termasuk Pas, sebaliknya mahu berehat daripada politik, namun akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

    Menurutnya, selepas beberapa bulan menjadi Ketua Pemuda UMNO Ketereh dan pada masa sama beliau melihat UMNO banyak tersasar daripada perjuangan asal.

    “Perkara yang nyata apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mempertahankan kenyataan Lim Guan Eng yang jelas berbaur perkauman.

    “Selain itu, UMNO dilihat mengenepikan rakan-rakan dalam parti sebaliknya menjulang rakan baru seperti DAP,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu hari ini.

    Terdahulu Warta Rakyat melaporkan, beliau dan 17 kepimpinan bahagian tersebut mengumumkan meletak jawatan masing-masing dan keluar parti UMNO sekali gus menyatakan sokongan terhadap PN.

    Dalam sidang akhbar tersebut, Annuar turut mengumumkan jawatankuasa UMNO Cabang Tiga Haji Musa terbubar selepas 20 kepimpinannya mengumumkan peletakan jawatan, hari ini.

    Ini termasuk Afiq Amani yang juga Ketua Pemuda Cabang berkenaan dan pengerusi tetap serta timbalan pengerusi tetap.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, atas beberapa faktor berkenaan menyebabkan beliau tidak mempunyai semangat untuk terus berada dalam UMNO.

    “Saya sudah dewasa dan tidak dipaksa oleh sesiapa atas tindakan yang dibuat hari ini termasuk bapa. Jika benar saya mahu mengikut perjuangan bapa, saya sudah keluar parti dari awal,” katanya, lapor Harian Metro.

  • UMNO Ketereh lumpuh, 18 pemimpin bahagian keluar parti, umum sokong PN

    UMNO Ketereh lumpuh, 18 pemimpin bahagian keluar parti, umum sokong PN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMNO Ketereh disifatkan ‘lumpuh’ selepas 18 pemimpin utama bahagian tersebut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing dan beramai-ramai keluar daripada UMNO berkuat kuasa hari ini.

    Semua mereka memberi sokongan kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan yang akan berlangsung 12 Ogos ini.

    Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, kepimpinan itu terdiri daripada Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Ketereh iaitu Kamaruddin Said bersama Ketua Wanita UMNO Bahagian Ketereh, Sabariah Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani Annuar.

    “Selain itu, 18 kepimpinan melibatkan setiausaha, ahli jawatan kuasa (AJK) Wanita, ketua penerangan, AJK Pemuda dan pelbagai peringkat UMNO Bahagian Ketereh turut berbuat tindakan sama hari ini.

    “Selain itu, 20 AJK Jawatan Kuasa UMNO Cawangan Cabang Tiga Haji Musa di Kota Bharu termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap secara beramai-ramai meletakan jawatan serta-merta.

    “Keadaan itu juga menjadikan bahawa Jawatan Kuasa UMNO Cawangan Cabang Tiga Haji Musa dibubarkan,” katanya dalam sidang akhbar dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang di Seri Puri, Bukit Marak di Kota Bharu hari ini.

    Hadi Awang, Annuar bersama tokoh, pemimpin dan ahli UMNO yang mengumumkan keluar UMNO dan menyatakan sokongan terhadap PN selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang di Seri Puri, Bukit Marak di Ktota Bharu hari ini.

    Annuar memberitahu, beliau tidak dapat memberikan jumlah sebenar ahli UMNO Bahagian Ketereh yang keluar daripada parti tersebut.

    “Jumlah itu tidak boleh dihitung. Semua yang keluar ini terdiri daripada pemimpin UMNO Ketereh. Kemungkinan anak, isteri, sahabat dan menantu mengikut jejak langkah mereka selepas ini.

    “Saya tidak boleh menyatakan angka. Jika kata 1,000 orang, itu sedikit. Mungkin puluh-puluh ribu yang menyertai mereka. Apa pun tunggu kiraan peti undi pada selepas mengundi nanti,” katanya.

  • Annuar Musa umum lebih 100 tokoh, pemimpin, ahli tinggalkan UMNO sokong PN

    Annuar Musa umum lebih 100 tokoh, pemimpin, ahli tinggalkan UMNO sokong PN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAN Sri Annuar Musa hari ini mengumumkan lebih 100 ahli UMNO daripada pelbagai peringkat kepimpinan bahagian serta cawangan secara sukarela telah meletak jawatan dalam parti itu dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu, mereka terdiri daripada bekas pemimpin di peringkat bahagian dan sayap parti selain bekas calon pilihan raya serta mereka yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

    “Pada 1 Ogos lalu dalam ceramah saya di Kok Lanas, saya telah menyebut bahawa akan mengumumkan beberapa kepimpinan UMNO Bahagian serta cawangan yang akan meletak jawatan.

    “Hari ini iaitu pada 4 Ogos saya ingin memaklumkan bersama-sama saya melebihi 100 ahli UMNO daripada pelbagai peringkat kepimpinan bahagian serta cawangan secara sukarela telah meletak jawatan dalam UMNO.

    “Turut bersama saya juga beberapa orang bekas penjawat awam serta tokoh-tokoh tempatan di antaranya mantan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Sirajuddin Salleh.

    “Semua tokoh tersebut menyatakan sepenuhnya sokongan mereka kepada PN dan akan membantu memperkasakan lagi PN bagi memenangi pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan pada 12 Ogos nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mereka semuanya mengumumkan keluar UMNO dan menyatakan sokongan kepada PN dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang di Seri Puri, Bukit Marak di Kota Bharu hari ini.

    Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, dianggarkan lebih ramai lagi yang akan berhijrah ke PN dan meninggalkan UMNO selepas PRN kelak.

    “Saya bersama sahabat-sahabat semua komited untuk meneruskan agenda Muafakat Nasional dalam memperkasakan penyatuan ummah dan keharmonian negara berlandaskan perlembagaan persekutuan yang sedia ada dan membangun bersama masyarakat majmuk di seluruh negara,” katanya.

  • ‘Jangan pelik saya minum kopi dengan calon parti lawan’

    ‘Jangan pelik saya minum kopi dengan calon parti lawan’

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit, Asri Daud memilih pendekatan damai dan harmoni sepanjang tempoh berkempen termasuk berkunjung ke rumah pemimpin parti lawan.

    Asri yakin melalui sentuhan dan tautan damai akan menjayakan visinya untuk membentuk masyarakat bersatu-padu.

    “Konsep saya sendiri adalah turun ke semua rumah-rumah penduduk, termasuklah mereka penyokong parti-parti yang lain seperti PKR, UMNO dan Amanah, saya turun semua.

    “Ke rumah calon (lawan), wakil calon, dan bekas calon parti lawan dan mereka memberi respon yang baik.

    “Mereka sendiri sebut kita berlawan ini dalam liga persahabatan, maknanya saya faham situasi itu dan mereka faham kerana wadah parti yang meletakkan kita bertanding,” katanya dalam sidang media harian calon-calon PN Kelantan, di Kota Bharu, semalam.

    Beliau berkata, semua itu kerana semua calon berkongsi visi sama dengannya untuk membina masyarakat di situ walaupun berbeza parti.

    “Jadi jangan peliklah saya boleh minum di kopi bersama orang UMNO dan PKR misalnya,” kata bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan itu.

    Beliau dicalonkan mewakili Pas bagi menggantikan penyandangnya Mumtaz Md Nawi yang kini merupakan anggota parlimen Tumpat.

    Asri akan berdepan dengan calon mewakili PH-BN yang mempertaruhkan bekas Pegawai Daerah, Ismail Ghani daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

    Sementara itu, Asri juga berkesempatan turun berkempen dengan menziarahi rumah bekas calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 dan PRU ke-14 di kerusi berkenaan.

    Beliau bersyukur kerana kehadiran ke rumah De Wan Ahmad Kamil iaitu bekas calon PH DUN Demit dan Wan Mohd. Nazi Wan Hamat (bekas calon BN DUN Demit) diterima baik walaupun mereka daripada parti berbeza.

    “Saya juga pergi ke rumah bekas calon yang bertanding sebelum ini dan mereka berterima kasih dan gembira kerana saya calon pertama hadir ke rumahnya.

    “Jadi maksudnya Alhamdulillah sentuhan begitu dirasakan menjadi satu tautan. Itulah hasrat saya untuk bertemu sesiapa saja dalam menjayakan visi ini,” jelasnya, lapor Malaysiakini.

  • PH eksploitasi insiden Lau ‘dihalau’ Pas, kata Zuraida

    PH eksploitasi insiden Lau ‘dihalau’ Pas, kata Zuraida

    BEKAS Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuduh Pakatan Harapan (PH) mengeksploitasi insiden antara Pas Pulau Pinang dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dr. Dominic Lau untuk kepentingan mereka.

    Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, insiden itu yang menyaksikan Lau dihalang daripada masuk ke ceramah Pas, bukan seperti digambarkan di media.

    “Saya berada di ceramah itu dan saya rasa terdapat salah faham. PH mentafsirkan isu itu demi kepentingan mereka,” katanya pada sidang media,” lapor FMT hari ini.

    Sebelum ini, tular video yang mendakwa Lau ‘dihalau’ dan diminta meninggalkan ceramah mega PN Best dianjurkan Pas di Sungai Dua, Selasa lalu.

    Lau kemudian menafikan dihalau dan berkata, beliau ke majlis berkenaan untuk bertemu Tan Sri Abdul Hadi Awang tetapi Presiden Pas itu lewat dan beliau perlu segera beredar kerana ada majlis lain perlu dihadiri.

    Bagaimanapun, hari ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memohon maaf kepada Lau dan menegaskan pucuk pimpinan tidak merestui perbuatan ahli parti itu.

    Mengulas mengenai laporan akan menyertai Gerakan, Zuraida berkata, beliau mahu memainkan peranan strategik dalam pilihan raya kali ini.

    “Dua lagi parti dalam PN (Pas dan Bersatu) didominasi Melayu, jadi saya tak fikir mereka perlukan seorang lagi pemimpin Melayu seperti saya.

    “Saya bukan ahli Gerakan tetapi saya adalah aktivis PN,” katanya.