Author: Wartawan WartaRakyat

  • Suami isteri antara tiga didakwa miliki, edar dadah

    Suami isteri antara tiga didakwa miliki, edar dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEPASANG suami isteri dan adik lelaki berkenaan dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan iaitu memiliki dan mengedar dadah pada awal bulan ini.

    Tertuduh tersebut S. Avinash Anantha, 33, bersama isteri, K. Elengkeswary, 34 dan adik Avinash iaitu S. Rajiv Anantha, 28.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, semua mereka didakwa bersama-sama di rumah beralamat 2, (PTD 213384) Jalan Pulai Perdana 7/3, Taman Sri Pulai Perdana di Johor Bahru pada 10 Januari lalu, mengedar dadah berbahaya jenis cannabis anggaran berat 23,810 gram.

    Ketiga-tiganya didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan.

    Bagi pertuduhan kedua, semua tertuduh didakwa di nombor 2, (PTD 213384) Jalan Pulai Perdana 7/3, Taman Sri Pulai Perdana di sini pada 12.30 tengah malam, 10 Januari lalu, didapati memiliki 171 gram ketamine.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-dua sekali jika disabit kesalahan.

    Kesemua tertuduh mengangguk faham apabila tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret dalam Bahasa Melayu, namun tiada pengakuan direkodkan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Shakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datin Freda Josephine Gonzales.

    Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.

    Majistret R. Salini menetapkan 15 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Isu pemimpin kerajaan Terengganu tidak sambut kehadiran PM hanya ‘terlebih sudu daripada kuah’

    Isu pemimpin kerajaan Terengganu tidak sambut kehadiran PM hanya ‘terlebih sudu daripada kuah’

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    MINGGU lalu kecoh seluruh Terengganu apabila kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri ini dikatakan tidak mendapat perhatian serta kerjasama sewajarnya daripada para pemimpin kerajaan negeri.

    Malah, ada pihak mendakwa, apa yang mengecewakan selain Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kelibat anggota Exco dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas juga tidak kelihatan.

    Susulan itu, maka ‘berperanglah’ para netizen menerusi medium media sosial dalam memperdebatkan isu tersebut.

    Ada yang mengatakan dakwaan mengenai isu berkenaan secara sengaja diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak sehaluan dengan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas.

    Selain itu, ada juga mengatakan dakwaaan itu hanya bersifat ‘terlebih sudu daripada kuah’.

    Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

    Isu itu dikatakan mula tercetus setelah Pakatan Harapan (PH) Terengganu mengeluarkan kenyataan mendakwa tindakan pimpinan kerajaan negeri yang tidak kelihatan sewaktu kehadiran PM ke negeri ini pada Khamis lalu sebagai biadab dan tidak menghormati tetamu.

    Justeru, Ketua Penerangan PH, Mohd Sufian Mat Ali menganggap, ketiadaan MB dan exco kerajaan negeri dilihat seperti meremehkan kunjungan pertama pemimpin utama negara ke Terengganu selepas dilantik sebagai PM.

    Menurutnya, alasan tiada makluman rasmi daripada pejabat Perdana Menteri (PMO) dianggap sebagai tidak berasas memandangkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil hadir bagi menyambut PM.

    Ketika menjawab isu berkenaan, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa kerajaan negeri sebenarnya menerima kehadiran PM dengan menyediakan keperluan sepertimana diminta oleh Pejabat Perdana Menteri.

    Sambil menafikan dakwaan berlakunya masalah antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam isu berkenaan beliau menyatakan, secara asasnya beliau tahu PMO ada hubungi kerajaan negeri, namun tidak dimaklumkan secara jelas tujuan kedatangan serta siapa yang dilibatkan.

    Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

    Disebabkan perkara itu ketika kunjungan PM baru-baru ini persiapan yang diberikan adalah dari segi logistik dan pengangkutan sepertimana diminta.

    Oleh itu, Ahmad Samsuri ketika bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, di Kuala Berang menyifatkan isu tersebut telah selesai dan tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya masalah komunikasi.

    Sehubungan itu, beliau juga meminta semua pihak agar tidak memanjangkan isu tersebut sambil menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

    Dengan penjelasan ini diharap tiada lagi pihak-pihak yang cuba memanjang serta memperbesarkan isu tersebut dengan hasrat untuk ‘melaga-lagakan’ antara kerajaan Persekutuan dengan negeri.

  • Warga Bosnia hargai inisiatif Muhyiddin selamatkan negara itu daripada Covid-19

    Warga Bosnia hargai inisiatif Muhyiddin selamatkan negara itu daripada Covid-19

    TIDAK ramai tahu, Malaysia yang pernah menjadi negara pertama menghulurkan bantuan kepada Bosnia Herzegovina ketika Perang Balkan telah mengulangi usaha murni itu sekali lagi – kali ini ketika negara itu berdepan ancaman pandemik Covid-19.

    Menurut seorang warga Bosnia, Mirza Vejzagic, ketika pandemik memuncak, Bosnia mencatat kadar kematian paling tinggi di Eropah.

    Pada ketika itu ujarnya, penduduk Bosnia benar-benar memerlukan bantuan untuk hidup.

    “Seperti pada awal 1990an ketika perang, Malaysia antara negara pertama menghulurkan bantuan kepada Bosnia, kali ini Malaysia juga menjadi pertama tetapi bantuan dalam bentuk vaksin dan bekalan perubatan.

    “Insan mulia yang membuat keputusan untuk membantu rakyat Bosnia adalah Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Pada saat ini saya hanya mampu memberi tunduk hormat dan setinggi-tinggi terima kasih kepada beliau,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini, lapor SatuBerita.

    Hantaran itu turut disertai beberapa keping gambar Mirza mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin.

    Mirza yang difahamkan berasal dari Sarajevo dan kini menyambung pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut merakamkan terima kasih kepada Datuk Marzuki Mohamad kerana menjayakan pertemuannya bersama Muhyiddin itu.

    Warga Bosnia dan Hazergovina, Mirza Vejzagic bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin (Foto Facebook)
  • Syarikat pelancongan ‘lesap’, impian 40 orang bercuti di Krabi terbantut

    Syarikat pelancongan ‘lesap’, impian 40 orang bercuti di Krabi terbantut

    KETERUJAAN 40 individu untuk bercuti ke Krabi, Thailand terbantut apabila mereka ditipu sebuah agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian lebih RM30,000.

    Peserta rombongan Kartini Arshad, 58, berkata, perkara itu hanya diketahui mereka pukul 4 petang semalam apabila seorang wanita yang berurusan dengan pekerja syarikat pelancongan terbabit memaklumkan berlaku masalah membabitkan bas yang akan dinaiki mereka nanti.

    “Kami sepatutnya menaiki bas dari Seremban ke sempadan Thailand pada pukul 6 petang dan masing-masing semuanya dah bersiap sedia kerana ada yang datang dari Melaka, Kuala Lumpur dan Batu Pahat, Johor.

    “Tapi kami diberitahu bas yang akan dinaiki di Krabi pada Jumaat nanti terbabit kemalangan. Kami tak percaya dan paksa syarikat guna bas dari Malaysia untuk perjalanan kami di sana,” katanya, lapor Sinar Harian hari ini.

    Bagaimanapun katanya, sehingga pukul 8 malam tiada bas yang datang dan pekerja syarikat pelancongan itu tidak lagi dapat lagi dihubungi.

    Dia yang menguruskan 25 peserta rombongan itu berkata, setiap peserta telah dikenakan bayaran RM900 untuk menyertai pakej percutian selama lima hari terbabit.

    Ujarnya, mereka membuat tempahan pada Julai tahun lalu dan telah membuat bayaran sebanyak tiga kali dengan diuruskan oleh seorang wanita yang bertanggungjawab berurusan dengan pekerja syarikat pelancongan itu.

    “Bila sampai waktunya tak sangka pula jadi macam ini. Saya pun jadi serba salah sebab saya yang uruskan 25 peserta yang terdiri daripada kawan-kawan dan keluarga.

    “Kita telah hubungi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pelancongan itu, tapi malangnya dia beri alasan tak bertanggungjawab kerana tidak menerima duit daripada pekerja yang menguruskan trip pelancongan itu,” katanya.

    Sementara itu suri rumah Najihah Rosli, 25, berkata, tidak menyangka percubaan pertama kali bercuti menggunakan khidmat syarikat pelancongan menjadi pengalaman pahit buatnya dan suami.

    “Saya dan suami dah mula ragu-ragu bila diberitahu bas tak dapat datang kerana terlibat kemalangan.

    “Rasa terkilan juga kerana ini kali pertama kami nak pergi Krabi. Tapi nampaknya tak kesampaian,” katanya yang datang dari Melaka.

    Tidak puas hati menjadi mangsa penipuan pelancongan, sebahagian mereka telah membuat laporan polis, semalam.

  • Hilang semasa memancing, mayat lelaki jatuh tebing dijumpai

    Hilang semasa memancing, mayat lelaki jatuh tebing dijumpai

    MAYAT Muhammad Ikhram, 23 tahun, yang dilaporkan hilang ketika memancing pada Selasa ditemui dalam keadaan sempurna berseluar tanpa baju pada pada pukul 8.37 pagi tadi.

    Mangsa bersama rakannya dilaporkan pergi memancing di Jambatan Mempatih, Lanchang, Temerloh, dan dipercayai terjatuh dari tebing sungai pada pukul 10.56 malam.

    Anggota Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab dan Unit pengesan K9 menemui mayat mangsa pada jarak 1.5 kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh.

    Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat daripada polis sebelum ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Anggota pasukan bomba bertindak memulakan operasi SAR di sekitar tempat kejadian sebelum ditangguhkan dan bersambung pada pagi ini.

    “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan sempurna dan berseluar. Mangsa tidak memakai baju ketika terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

  • Bersatu akan failkan ke mahkamah secepat mungkin

    Bersatu akan failkan ke mahkamah secepat mungkin

    PARTI Pribumi bersatu Malaysia (Bersatu) dalam proses menyiapkan dokumen untuk dibawa dan difailkan ke pihak mahkamah sebelum tempoh yang ditetapkan iaitu tiga bulan.

    Perkara itu merujuk kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengenai kedudukan semasa empat kerusi Parlimen di Sabah yang tidak perlu dikosongkan, selepas Ahli Parlimen berkenaan didakwa ‘melompat parti’.

    Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata pihaknya akan menghantar dokumen tersebut secepat mungkin untuk diputuskan seadilnya oleh mahkamah.

    “Sekarang kita sedang failkan semua dokumen yang diperlukan untuk dibawa ke mahkamah, kita akan segerakan perkara itu untuk dihantar ke mahkamah,” katanya, lapor SatuBerita, hari ini.

    Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikai keputusan Johari terhadap empat kerusi Parlimen di Sabah iaitu Papar, Batu Sapi, Ranau serta Sipitang, yang tidak perlu dikosongkan dan bercadang untuk merujuk perkara itu ke mahkamah.

    Muhyiddin dalam kenyataan mendakwa, keputusan dibuat Johari adalah berdasarkan tafsiran Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, namun menurutnya Yang Dipertua Dewan Rakyat bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan parti.

    Justeru kata Muhyiddin, Johari terkhilaf dalam membuat tafsiran serta keputusan.

    Bagaimanapun, Johari dalam kenyataan kelmarin turut menjelaskan, keputusan berhubung empat ahli Parlimen berkenaan adalah muktamad dan segala justifikasi dan alasan berhubung keputusan itu telah dijelaskan olehnya dalam surat bertarikh 16 Januari yang dihantar kepada Bersatu.

    “Seperti yang saya dah jawab (dalam surat kepada Bersatu, itulah dia (keputusan), muktamad.

    “Terpulang kepada Bersatu (untuk rujuk ke mahkamah), mereka ada hak dan boleh menggunakan segala hak mereka,” katanya ringkas.

    Mengulas lanjut, ketika ditanya adakah Bersatu yakin keputusan mahkamah akan berpihak kepadanya, Ro­nald yakin dengan keputusan mahkamah berdasarkan dokumen yang dihantar oleh pihaknya nanti.

    “Kita percaya hanya pihak mahkamah sahaja boleh menentukan perkara ini dengan seadilnya berkaitan perlembagaan dengan Perkara 49 seperti yang disebutkan,” katanya.

  • Pemandu lori didakwa lakukan amang seksual fizikal terhadap anak

    Pemandu lori didakwa lakukan amang seksual fizikal terhadap anak

    SEORANG pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya.

    Tertuduh berusia 40 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berumur 13 tahun 10 bulan di sebuah rumah di Dungun, jam 10.15 pagi 6 Januari lalu.

    Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

    Mahkamah kemudian menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes, dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Shahir Mat Jusoh lapor BH.

  • Shabery ingatkan pemimpin PH, kerajaan Anwar bukan jambatan konkrit

    Shabery ingatkan pemimpin PH, kerajaan Anwar bukan jambatan konkrit

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini menegur tindakan segelintir pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang suka menyerang secara terbuka sesama sendiri meskipun bersama dalam satu kerajaan.

    “Kerjasama yang terjalin adalah ibarat jambatan besi yang menggunakan banyak skru dan bukannya jambatan konkrit.

    “(Kerajaan hari ini ibarat) jambatan segera pakai besi. Banyak skruu. Kalau tercabut, cepatlah runtuh.

    “Nak buat yang konkrit makan masa,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Walaupun tidak menyebut sebarang nama, bekas menteri itu dipercayai merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin PH yang menyerang sesama rakan dalam kerajaan hari ini.

    Justeru, Shabery menasihatkan mereka supaya menjadikan apa yang berlaku kepada kerajaan PH selepas pilihan raya ke-14 pada 2018 apabila mereka berjaya membentuk kerajaan sebagai iktibar.

    “Virus yang menyerang kerajaan PH 22 bulan dulu ialah suka mengata sesama sendiri secara terbuka. Tak jumpa jalan saluran dalaman. Virus begini belum ditemui vaksin.

    “Semasa pembangkang siapa pun boleh bercakap dan syok bercakap. Tak payah disiplin.

    “Jadi kerajaan susah sikit. Sebab orang nak tengok bila ringgit nak sama seperti 2018, bila pasaran saham nak melonjak semula seperti sebelum 2018, bila pelabur datang berduyun-duyun seperti dulu. Berapa tinggi pulak dividen Tabung Haji (TH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan lain-lain. Paling susah pasal ayam dan telur,” katanya.

    Pada 16 Jan lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim secara terbuka bersimpati dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang terpaksa menanggung bebas dibawa BN.

    Hassan secara terbuka ‘menyerang’ Presiden UMNO, DatuK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan masih mempunyai pertuduhan di mahkamah.

    Situasi itu katanya menghalang Anwar melaksanakan tatakelola yang baik dalam kerajaan seperti mana dijanjikan.

    Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P. Ramasamy menyifatkan Zahid sebagai ‘beban’ bukan hanya kepada parti itu, tetapi juga buat PH dan kerajaan perpaduan.

    Dia menegaskan keputusan dibuat melalui Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang mungkin melegakan, tetapi kelihatannya seperti duri dalam daging buat Umno, PH dan kerajaan diterajui Anwar.

    Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, sebagai parti rakan gabungan dalam kerajaan mereka perlu bekerja dengan lebih kuat bukannya cari pasal sesama sendiri dalam kerajaan.

    “Susah semua ni. Kena ada formula yang betul dan kena kerja kuat kurang cakap. Bukan cari pasal dengan rakan-rakan yang sama-sama dalam kerajaan,” katanya, lapro Malaysiakini.

  • Ibu tekup bayi sampai mati selepas bermalam dengan kekasih

    Ibu tekup bayi sampai mati selepas bermalam dengan kekasih

    SEORANG ibu muda ditahan bersama teman lelakinya kerana disyaki menekup dan mencekik anaknya selepas bermalam bersama kekasihnya di sebuah kondominium di Cyberjaya pada 12 Januari lalu.

    Difahamkan, suspek yang berusia 20 tahun bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta sedang dalam proses penceraian selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang merupakan seorang penganggur.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam keterangan awal suspek yang berusia 20 tahun mendakwa mangsa terjatuh dari sofa sebelum dihantar ke Hospital Cyberjaya bagi menerima rawatan.

    “Sekitar jam 11.30 pagi doktor berkenaan telah menerima seorang pesakit kanak-kanak lelaki berusia satu tahun enam bulan yang dihantar oleh ibu kandungnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Hasil pemeriksaan awal, doktor berkenaan mendapati ada pendarahan di kedua-dua belah anak mata yang berkemungkinan disebabkan oleh penderaan dan pesakit berada dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Kamarul berkata, pihaknya menerima laporan daripada pasukan perubatan Hospital Cyberjaya pada Ahad selepas kanak-kanak malang berkenaan disahkan meninggal dunia setelah tiga hari menerima rawatan.

    Katanya, sejurus menerima laporan, pihak polis cuba menghubungi kembali ibu mangsa yang merupakan suspek utama, namun gagal malah wanita itu juga tiada di alamat kediaman yang diberikan.

    “Hasil maklumat risikan, pihak polis membuat serbuan di sebuah rumah flat di Putra Perdana, Dengkil dan berjaya menahan suspek sekitar jam 12.15 pagi pada 16 Januari.

    “Suaminya turut ditahan pada hari sama,” katanya.

    Beliau berkata, hasil soal siasat suspek mengaku menekup muka mangsa menggunakan bantal semasa anaknya sedang tidur kerana mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga serta keluarga.

    “Bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada mangsa di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan.

    “Terdapat juga kesan calar di pipi kiri serta lebam di leher dipercayai akibat dicekik.

    “Punca kematian disebabkan asfiksia ataupun kekurangan oksigen dipercayai berpunca dari tindakan ibu mangsa menekup muka mangsa,” ujarnya.

    Katanya, suami suspek yang berusia 20 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis kerana dipercayai tidak terlibat berikutan tiada di lokasi semasa kejadian berlaku.

    “Teman lelaki suspek yang merupakan seorang pelajar kolej berusia 21 tahun bagaimanapun tidak mengaku terlibat.

    “Dia hanya hadir ke rumah yang dijadikan rumah inap berkenaan untuk bermalam dengan suspek dan semasa kejadian lelaki berkenaan telah beredar,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, suspek dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula 16 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).

  • Majoriti CEO di Malaysia yakin ekonomi sedang merosot

    Majoriti CEO di Malaysia yakin ekonomi sedang merosot

    KIRA-KIRA 74 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia percaya pertumbuhan ekonomi global akan merosot dalam tempoh 12 bulan akan datang, demikian menurut Tinjauan CEO Global Tahunan ke-26 PwC.

    Menurut Berita Harian, menerusi tinjauan yang disiarkan hari ini, angka berkenaan adalah hampir sama dengan sentimen membabitkan CEO seluruh dunia yang mencatatkan 73 peratus.

    “Tinjauan CEO yang suram kali ini adalah pandangan CEO yang paling pesimis terhadap pertumbuhan ekonomi global sejak kami mula bertanyakan soalan ini 12 tahun yang lalu.

    “Ia adalah perubahan ketara daripada prospek 2021 dan 2022 yang lebih optimis, apabila lebih daripada tiga perempat di seluruh dunia (masing-masing 76 peratus dan 77 peratus) berpendapat pertumbuhan ekonomi akan bertambah baik.

    “Trend ini adalah serupa di Malaysia, yang mana sentimen tempatan berbeza pada 2022 (apabila 92 peratus CEO Malaysia menyatakan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi global) dan pada 2021 (71 peratus menyatakan optimistik),” katanya.

    Tinjauan itu dibuat membabitkan 4,410 CEO di 105 negara dan wilayah pada Oktober dan November 2022.

    Selain itu, tinjauan berkenaan melaporkan, di samping persekitaran mencabar, hampir 40 peratus CEO di seluruh dunia dan 51 peratus CEO Malaysia berpendapat organisasi mereka tidak akan berdaya maju daripada segi ekonomi dalam tempoh sedekad ini jika mereka meneruskan hala tuju semasa.

    Corak ini katanya, adalah konsisten merentas pelbagai sektor di seluruh dunia, termasuk telekomunikasi (46 peratus), pembuatan (43 peratus), penjagaan kesihatan (42 peratus) dan teknologi (41 peratus).

    “Di peringkat global, keyakinan CEO terhadap prospek pertumbuhan syarikat mereka sendiri juga merosot secara mendadak sejak tahun lalu (-26 peratus), penurunan terbesar sejak krisis kewangan 2008-2009 apabila penurunan sebanyak 58 peratus direkodkan,” katanya.

    Menurut tinjauan itu lagi, sebagai tindak balas kepada iklim ekonomi semasa, CEO sedang mencari kaedah untuk mengurangkan kos dan merangsang pertumbuhan hasil.

    52 peratus daripada CEO global (74 peratus di Malaysia) melaporkan mahu mengurangkan kos operasi, manakala 51 peratus secara global (40 peratus di Malaysia) melaporkan kenaikan harga dan 48 peratus secara global (63 peratus di Malaysia) melaporkan mempelbagaikan penawaran produk dan perkhidmatan, katanya.

    “Bagaimanapun, lebih separuh di seluruh dunia atau 60 peratus, mengatakan mereka tidak merancang untuk mengurangkan saiz tenaga kerja dalam tempoh 12 bulan akan datang.

    “Sebilangan besar di seluruh dunia atau 80 peratus pula menunjukkan mereka tidak bercadang untuk mengurangkan imbuhan kakitangan bagi mengekalkan bakat atau mengurangkan tenaga kerja.

    “Perkadaran itu lebih tinggi dalam kalangan CEO Malaysia, dengan 71 peratus tidak merancang untuk mengurangkan tenaga kerja, dan 83 peratus tidak merancang untuk mengurangkan imbuhan, kerana mereka berusaha untuk mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan jangka panjang dan isu operasi semasa,” katanya.

    Rakan Pengurusan PwC Malaysia, Soo Hoo Khoon Yean, berkata implikasi isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam bidang teras perniagaan menjejaskan keyakinan CEO.

    Katanya, rantaian bekalan ialah bidang yang dijangka paling ketara terjejas oleh risiko perubahan iklim dalam tempoh 12 bulan akan datang (51 peratus CEO Malaysia berbanding 42 peratus daripada rakan sejawatan global).

    “Ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai kepercayaan pelanggan, yang bergantung pada keseimbangan seandainya terjejas oleh gangguan rantaian bekalan,” katanya.