Author: Wartawan WartaRakyat

  • Suami isteri maut, tujuh cedera dalam kemalangan 4 kenderaan

    Suami isteri maut, tujuh cedera dalam kemalangan 4 kenderaan

    SEPASANG suami isteri meninggal dunia manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kilometer (km) 41.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Selawa, Merchang, pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan tersebut membabitkan Proton Wira, Proton Satria Neo, Perodua Myvi dan Perodua Axia.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Satria dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu terbabas kerana hilang kawalan dan dipercayai terlanggar lopak air di tengah jalan.

    “Kereta tersebut memasuki laluan bertentangan dan melanggar tiga kenderaan lain yang sedang bergerak di laluan bertentangan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut Mohd. Zain, mangsa, Rozita Mamat, 41, yang merupakan penumpang hadapan Perodua Axia berasal dari Kampung Bukit Depu di Kuala Terengganu disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu, Ahmad Arshad Mamat, 50, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Merchang.

    Beliau berkata, tiga lagi penumpang dalam Perodua Axia mengalami kecederaan parah.

    Semua mangsa cedera katanya, dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Wanita 91 tahun dibunuh selepas disamun

    Wanita 91 tahun dibunuh selepas disamun

    SEORANG wanita warga emas ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kilometer 16 Kampung Pulai Darat, Merlimau, Jasin, hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, mangsa, Misah Md. Amin, 91, ditemui terbaring di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

    “Polis menerima maklumat kejadian daripada orang awam pada pukul 3.54 pagi yang memaklumkan ada kejadian samun sehingga menyebabkan kematian di sebuah rumah.

    “Sebaik sampai di lokasi, mangsa yang tinggal seorang diri didapati telah pun meninggal dunia dan mayatnya kemudian dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya kepada media.

    Menurutnya, bertindak atas maklumat awam, seorang suspek berusia 20 tahun berjaya diberkas di kawasan berhampiran pada jam 8 pagi.

    Tambahnya, suspek merupakan penganggur dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes samun di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Dua rentung treler terbakar di lebuh raya

    Dua rentung treler terbakar di lebuh raya

    SEORANG pemandu bersama kelindannya ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah treler di Kilometer (KM) 259 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Seremban, pukul 8.40 pagi tadi.

    Kejadian berkenaan menyebabkan semua lorong terhalang di laluan berkenaan dan berlaku kesesakan lalu lintas hingga sejauh lebih enam kilometer, setakat pukul 11.30 pagi, dengan rakaman video oleh pengguna jalan raya juga tular dalam laman sosial.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, kedua-dua mangsa dijumpai rentung dalam treler yang membawa kontena itu selepas pasukan berjaya memadamkan api yang memusnahkan keseluruhan bahagian kepala kenderaan terbabit.

    “Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.42 pagi sebelum sepasukan petugas dengan kekuatan sembilan anggota serta pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban bergegas ke lokasi.

    “Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Sementara itu, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menerusi laman Facebook memaklumkam kejadian berkenaan menyebabkan semua lorong terhalang di laluan berkenaan.

    “Status terkini setakat pukul 9.28 pagi tadi, semua lorong masih terhalang. Kenderaan dilencongkan ke Plaza Tol Port Dickson,” menurutnya.

  • Jurutera rugi RM2.9 juta ditipu Macau Scam

    Jurutera rugi RM2.9 juta ditipu Macau Scam

    SEORANG jurutera kerugian RM2.9 juta selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam baru-baru ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata mangsa berusia 45 tahun itu sebelum ini dihubungi seorang individu mendakwa dari syarikat kurier, memaklumkan ada bungkusan terlarang yang tiba pada 1 Disember lalu.

    Katanya, pemanggil kemudiannya memberitahu mangsa terdapat MyKad dan kad mesin juruwang automatik (ATM) milik orang lain berada dalam bungkusan berkenaan.

    “Individu itu juga memberitahu mangsa yang pihaknya akan membuat laporan polis serta menafikan beliau terlibat dalam kes berkenaan.

    “Beberapa jam selepas itu, mangsa yang bekerja di Bayan Lepas menerima panggilan telefon daripada seorang lagi individu yang mengaku sebagai ‘pegawai polis dari Kontinjen Perak’ dan meminta mangsa mengikut arahan yang diberikan termasuk membuat pemindahan wang ke akaun yang diberikan atau berdepan dengan tindakan atas dakwaan terbabit dengan kegiatan jenayah.

    “Selepas menerima panggilan itu, mangsa terus memindahkan wangnya ke 26 akaun berbeza melalui perbankan dalam talian dan secara deposit tunai. Mangsa membuat tindakan itu kerana panik dan memindahkan wang simpanannya sebanyak RM1.9 juta.

    “Dia juga membuat pinjaman sebanyak RM700,000 daripada keluarga dan rakan-rakannya serta membuat pinjaman bank berjumlah RM300,000 dan memindahkan wang berkenaan ke akaun yang diberikan,” katanya kepada media membuat tinjauan di Pasar Taman Selamat sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

    Mohd Shuhaily berkata, secara keseluruhannya, mangsa membuat sebanyak 129 transaksi antara 1 Disember hingga 6 Januari lalu.

    Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada rakannya sebelum membuat laporan polis semalam lapor BH.

  • Dakwaan Anwar dapat gaji RM15 juta sebahagian ceramah pilihan raya-Muhyiddin

    Dakwaan Anwar dapat gaji RM15 juta sebahagian ceramah pilihan raya-Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya tersinggung dengan kritikan dan persoalan dikemukakan terhadapnya dalam ceramah politik.

    “Sebagai ketua menerajui kerajaan perpaduan, pemimpin Pakatan Harapan dan perdana menteri hari ini, Anwar sepatutnya secara terbuka dan berlapang dada menjawab persoalan dikemukakan dan menafikan sebarang dakwaan yang dikatakan palsu.

    “Mengambil kira kedua-duanya (Muhyiddin dan Anwar) merupakan tokoh dan pemimpin dalam parti masing-masing, sudah pasti mereka kerap berdepan dakwaan yang mana disalah tafsir, salah petik atau dipetik di luar konteks oleh media,” katanya dalam pernyataan pembelaan menjawab saman difailkan Anwar terhadapnya.

    “Kenyataan itu dibuat sebagai sebahagian daripada ceramah pilihan raya dan merupakan acara terlindung. Ia tidak dirancang untuk menjejaskan plaintif,” katanya lagi.

    Bulan lalu, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berhubung dakwaannya pada pilihan raya Parlimen Padang Serai yang mendakwa Anwar menerima RM15 juta daripada kerajaan Selangor ketika menjadi penasihat ekonomi.

    Beliau juga memohon injuksi terhadap Muhyiddin daripada mengulang semula, menulis, menerbit atau mengedarkan apa yang didakwa fitnah itu dalam bentuk perkataan, atau perkataan yang mempunyai kesan sama atau serupa.

    Sambil menyatakan pembelaan kelayakan istimewa dan ulasan adil, Muhyiddin menafikan apa yang dikatakan kata-kata fitnah atau libel adalah fitnah, sambil menambah ia mengandungi luahan pendapat, yang mana dianggap ulasan adil berhubung perkara berkepentingan awam.

    Katanya, beliau disediakan maklumat bahawa Anwar dibayar RM15 juta oleh pegawai tidak dinamakan dalam kerajaan Selangor.

    “Berdasarkan perkara itu dan dakwaan plaintif (Anwar) menolak gaji sebagai Perdana Menteri, ia adalah ulasan adil mengenai perkara berkaitan kepentingan awam yang menyentuh sama sekali kempen politik dijanjikan plaintif,” katanya dalam pernyataan pembelaan difailkan semalam, yang dilihat FMT.

    Muhyiddin berkata, sebagai ahli politik dan pengerusi Perikatan Nasional, hubungan sedia ada dan terjalin antara dirinya dengan pengundi di kawasan Padang Serai.

    Justeru, beliau berkata, beliau mempunyai tanggungjawab absah menyediakan maklumat kepada ahli parti dan pengundi menyatakan pandangannya terhadap kelayakan mereka yang memegang jawatan awam.

    “Ahli Parti dan pengundi mempunyai kepentingan sosial dan moral sepadan dalam menerima maklumat dan pandangan terbabit.

    “Dalam keadaan itu, defendan mempunyai kewajipan dan/atau kepentingan sah untuk menyampaikan kata-kata yang dikatakan fitnah itu kepada mereka.

    “Demi kebajikan masyarakat, perlu ada pertukaran maklumat dan pendapat secara terus terang bagi mereka yang memegang jawatan awam dan menyekat perkara itu seperti melanggar kebebasan bersuara mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

  • Kelindan lori maut dipukul ketika cuba edar dadah

    Kelindan lori maut dipukul ketika cuba edar dadah

    SEORANG lelaki yang cuba mengedar dadah maut dipukul dalam satu kejadian di Olak Lempit, Banting di Kuala Langat, minggu lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian pergaduhan berhampiran sebuah kedai runcit sehingga menyebabkan kematian di lokasi terbabit.

    Hasil siasatan yang dijalankan katanya, pada 11 Januari lalu, kira-kira pukul 10.45 malam, mangsa seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun bekerja sebagai kelindan lori disyaki mengedar dadah di kawasan itu.

    “Semasa kejadian, mangsa dipukul oleh beberapa individu. Siasatan di lokasi kejadian menemui satu beg berisi 10 paket tiub syabu seberat 3.63 gram dianggarkan bernilai RM2,000 di bawa mangsa.

    “Mangsa yang tidak sedarkan dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut selama lima hari.

    “Bagaimanapun, Isnin lalu pukul 2.15 pagi pihak HTAR mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat berlaku hentakan yang kuat di bahagian kepala menggunakan objek keras dan tumpul,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, hari ini.

    Ahmad Ridhwan berkata, susulan kes terbabit, polis berjaya menangkap seorang lelaki tempatan di sekitar Banting pukul 2.15 pagi, Jumaat lalu.

    “Soal siasat dijalankan membawa kepada tangkapan suspek kedua pada Isnin lalu, 7 malam juga sekitar Banting.

    “Kedua-dua suspek masing-masing berumur 40 tahun dan 31 tahun di mana kedua-dua bekerja sebagai pengawal keselamatan. Suspek yang berumur 40 tahun mempunyai rekod jenayah lampau.

    “Kedua-dua suspek direman selama enam hari di Lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat,” katanya. lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    “Polis menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk tampil ke Balai Polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat iaitu ASP Zamrus bin Zakaria di talian 019-6892777 / 03-31872222,” katanya.

  • Penganggur mengaku salah menyamar polis, merompak

    Penganggur mengaku salah menyamar polis, merompak

    SEORANG penganggur dijatuhkan hukuman penjara empat tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas kesalahan menyamar sebagai anggota polis untuk merompak seorang lelaki warga Bangladesh.

    Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan Muhammad Yusof Abdullah, 55, dipenjara empat tahun atas kesalahan merompak, manakala penyamaran anggota polis dikenakan penjara setahun.

    Hukuman itu berjalan serentak bermula 16 Mac tahun lalu iaitu tarikh Muhammad Yusof ditahan, lapor Astro Awani.

    Lelaki berkenaan dikenakan hukuman penjara selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu menyamar sebagai penjawat awam dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis serta merompak mangsa mengakibatkan kerugian RM2,500 di hentian bas Batu 5, Jalan Ipoh, 27 Februari 2022.

    Kesalahan merompak mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, manakala penyamaran berkenaan di bawah Seksyen 170 KK yang membawa kepada hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis memeriksa badan mangsa sebelum memintanya menyerahkan pasport serta kad vaksin.

    Penganggur itu kemudian menyelongkar beg mangsa dan mengambil wang tunai RM1,900, telefon bimbit jenis Oppo, 300 taka (mata wang Bangladesh), pasport serta kad vaksin, sebelum membawa mangsa menaiki kereta dan meninggalkannya ketika diminta membeli air.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

    Bagaimanapun, peguam bela Muhammad Yusof, Shamsul Sulaiman, memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang kini tidak bekerja perlu menanggung dua anak.

  • Mayat wanita ditemui dalam semak

    Mayat wanita ditemui dalam semak

    MAYAT seorang wanita tanpa identiti ditemukan di dalam kawasan semak di Kampung Alor Gali, Marang, hari ini.

    Pihak polis menerima panggilan pukul 2.30 petang tadi berhubung penemuan mayat yang dianggarkan berusia antara 20-an hingga 30-an.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, mayat yang lengkap berpakaian itu dijumpai orang awam yang mencari daun palas di kawasan berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan awal pihak polis tidak menemukan sebarang kesan jenayah pada mangsa.

    “Selain itu barang perhiasan seperti cincin dan rantai leher masih berada di leher dan tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa telah empat hari meninggal dunia berdasarkan keadaan mayat.

    Katanya lagi, setakat ini tiada petunjuk bagi mengesahkan sama ada mangsa telah dibunuh dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

  • Pemuda Singapura didakwa edar, masukan dadah dalam badan di IPD

    Pemuda Singapura didakwa edar, masukan dadah dalam badan di IPD

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEOARANG lelaki warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengedar dadah di Iskandar Puteri, Johor pada 13 Januari lalu.

    Tertuduh, Muhammad Hairezal Mohd Rafpi, 33, turut berdepan tuduhan positif dadah jenis methamphetamine ketika berada dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 14 Januari lalu.

    Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Hairezal didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Nimetazepam seberat 22,217 gram di sebuah kediaman di Persiaran Medini 3, Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri pada pukul 10.30 malam, 13 Januari lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan.

    Sementara pertuduhan kedua, dia didakwa memberikan dadah berbahaya jenis Methamphetamine ke dalam diri sendiri di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada pukul 5 pagi, 14 Januari lalu.

    Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan perintah pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

    Tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Samsuddin dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

    Selepas pertuduhan dibacakan, tertuduh dilihat bertanyakan sama ada dia boleh diberikan jaminan namun mahkamah memaklumkan dia tidak layak kerana membabitkan kes hukuman mati sekiranya disabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ahmad Rofaif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 8 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan.

  • Rampas rokok seludup bernilai RM10.8 juta dalam gudang

    Rampas rokok seludup bernilai RM10.8 juta dalam gudang

    TAKTIK sindiket menyembunyikan rokok seludup dalam gudang di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, terbongkar selepas pihak polis melakukan serbuan semalam.

    Serbuan dilakukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pukul 12.14 tengah malam itu menemukan ribuan kotak mengandungi 143,950 karton rokok seludup bernilai RM10,864 juta.

    Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi berkata, serbuan yang dijalankan berdasarkan maklumat dan hasil risikan itu memberkas empat individu terdiri daripada lelaki warga tempatan berumur 23 hingga 30 tahun yang bekerja sebagai pekerja stor dan pengedar rokok seludup tersebut.

    “Turut dirampas melibatkan 2,455 kotak berwarna coklat yang mana setiap kotak mengandungi 50 karton rokok seludup hitam, 265 kotak mengandungi 80 karton rokok seludup putih, dua buah lori dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di IPD Sungai Buloh hari ini.

    Katanya, siasatan awal sindiket ini dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran rokok seludup bagi kawasan Lembah Klang dan sudah aktif sejak tahun lalu.

    “Siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti pengedaran dalam skala yang besar berdasarkan dari jumlah rampasan ini bagaimanapun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti lokasi kesemua rokok seludup ini dibawa masuk.

    “Kita percaya masih terdapat saki baki ahli sindiket yang masih menjalankan kegiatan ini dan usaha mengesan dan memburu mereka yang terlibat masih dijalankan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Ujar Sasikala, siasatan dijalankan turut mendapati antara suspek yang ditahan ini merupakan pengedar.

    “Arahan diterima menerusi media sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran rokok seludup ini. Kaedah ini digunakan dipercayai bagi mengaburi dan mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak yang terlibat dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran rokok seludup ini.

    “Kerjasama dijalankan bersama pihak Kastam Diraja Malaysia dalam usaha membanteras aktiviti ini.

    “Selain itu, kerjasama orang awam turut menyumbang kepada kejayaan dalam menumpaskan aktiviti pengedaran rokok seludup ini,” katanya.