Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sarjan polis mengaku tak bersalah terima rasuah RM1,500

    Sarjan polis mengaku tak bersalah terima rasuah RM1,500

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG sarjan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,500 pada November 2020.

    Tertuduh, Muhamad Fitry Ismail, 32, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

    Bersandarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang rasuah tersebut dari seorang lelaki yang kini berumur 26 tahun.

    Suapan tersebut didakwa diterima tertuduh yang juga bapa kepada dua anak setelah dia kononnya telah membantu menyelesaikan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 terhadap lelaki berkenaan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di luar pintu utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kira-kira pukul 11.34 malam, 18 November 2020.

    Sewaktu kesalahan itu didakwa dilakukan, tertuduh bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Cawangan Narkotik, IPD Kubang Pasu.

    Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fauzee Azizan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

    Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan agar mahkamah menetapkan kadar jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, dan memohon agar tertuduh diperintahkan untuk melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

    Peguam mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar kadar jaminan dipertimbangkan untuk ditetapkan pada kadar minimum, memandangkan tertuduh tidak pernah gagal hadir bagi melapor diri di pejabat SPRM sejak ditahan pada 18 November 2020.

    Mengambil kira perkara itu dan latar belakang lain, peguam tersebut percaya bahawa tertuduh yang sudah lapan tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan berisiko untuk melarikan diri.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh turut diarahkan untuk melapor diri di Pejabat SPRM Langkawi sebulan sekali,

    Tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac 2023.

  • Kebebasan bersuara bukan alasan hina kesucian Islam-Pas

    Kebebasan bersuara bukan alasan hina kesucian Islam-Pas

    KEBEBASAN bersuara diamalkan di Barat tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghina kesucian agama Islam mahupun mana-mana agama lain.

    Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Pas mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran dan menyifatkannya sebagai ekstrem serta menghina kesucian agama Islam.

    “Ini adalah amat tidak wajar untuk mana-mana individu dengan sewenang-wenangnya menghina agama lain terutama dalam bentuk provokasi seperti membakar al-Quran mahupun melukis karikatur berupa Nabi Muhammad SAW.

    “Ia adalah satu tindakan yang amat rasis dan Islamofobia yang melampau, ia telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

    “Di saat dunia berada di ambang ketidaktentuan, insiden seperti ini perlu dihalang agar tidak berlaku pertembungan antara agama yang mampu membawa kepada kesan yang amat buruk,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook hari ini.

    Kelmarin, Rasmus yang menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

    Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

    Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, umat dan dunia Islam sewajarnya mengecam tindakan biadab itu yang telah mencemarkan kesucian agama Islam.

    “Menjadi tanggungjawab setiap individu umat Islam untuk mempertahan dan membela agama Islam yang mulia ini daripada terus dihina dan dicemarkan kesuciannya,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Budaya derma sudah jadi darah daging Pas – Razman

    Budaya derma sudah jadi darah daging Pas – Razman

    PAS Perak menyifatkan kenyataan UMNO yang menyamakan budaya sedekah dengan amalan rasuah sebagai kecelaruan yang boleh membahayakan negara.

    Pesuruhjayanya Razman Zakaria berkata, ini kerana budaya pemberian derma yang menjadi tuntutan agama telah dihidupkan oleh Pas sejak sekian lama.

    Katanya, sebagai contoh, Pas Perak kini sedang menggerakkan usaha membangunkan kompleks sendiri di atas tanah seluas 10 ekar hasil infak dan derma yang digerakkan melalui kutipan di kawasan-kawasan Pas.

    Tambah Razman lagi, semua aktiviti Pas yang dijalankan adalah hasil derma oleh ahli dan rakyat yang menyokong parti sehingga ia dikenali dengan nama ‘parti tin Milo’.

    “Suka saya tegaskan bahawa budaya derma telah menjadi darah daging dan sebati dalam perjuangan ahli Pas.

    “Mungkin mereka yang biasa bergelumang dengan rasuah melihat setiap pemberian itu bermaksud kepentingan diri.

    “Bagi Pas dan ahlinya, setiap sumbangan derma bermatlamat akhirat dan rasuah adalah sesuatu yang keji di dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Sebelum ini, media melaporkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menempelak kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya hanya ibarat sedekah kepada pengundi.

    Ahmad Zahid berkata, sebagai ulama, pemimpin Pas seharusnya mempunyai integriti dan tidak boleh ‘menukar fatwa’ sesuka hati.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan fahaman sesetengah pihak yang menganggap sesuatu pemberian bagi meraih undi dalam pilihan raya sebagai sedekah adalah salah dan boleh merugikan negara serta masyarakat.

    Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, perbuatan berkenaan sebenarnya adalah satu bentuk rasuah kepada pengundi.

    Sabtu lalu, Abdul Hadi dilaporkan menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanya sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

    Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas tindakan UMNO Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15, lapor Astro Awani.

  • Cemburu mungkin motif tembakan malam Tahun Baharu Cina

    Cemburu mungkin motif tembakan malam Tahun Baharu Cina

    POLIS sedang menyiasat sama ada cemburu atau pertikaian peribadi menjadi motif insiden tembakan pada malam sambutan Tahun Baru Cina yang mengorbankan 11 orang.

    Huu Can Tran, 72, menggunakan pistol separa automatik dalam insiden amuk di Monterey Park yang terletak di pinggir bandar Los Angeles dan membunuh lelaki dan wanita berusia antara 50 dan 70-an

    Berita Harian yang memetik laporan AFP memaklumkan, penembak kemudian memandu ke lokasi berlainan sebelum tindakan pantas seorang pemuda merampas senjata itu daripadanya, menghalang insiden lain daripada berlaku.

    Beberapa jam kemudian, Tran membunuh diri selepas polis menemui van putih miliknya.

    Penduduk Monterey Park, Chester Hong memberitahu bahawa beliau percaya pertikaian domestik berhubung jemputan ke pesta malam Tahun Baru Cina menjadi punca serangan itu.

    “Isteri (dijemput) menyertai parti (tetapi) suami tidak dijemput. Kemungkinan suami mungkin kecewa dan cemburu,” katanya.

    Kejadian amuk pada malam Sabtu lalu adalah insiden tembakan terburuk di Amerika Syarikat (AS) sejak tragedi bersenjata di Uvalde, Texas membunuh 21 orang di sebuah sekolah rendah, pada Mei tahun lalu.

    Jumlah korban dari Monterey Park, salah satu komuniti Asia terbesar di California, meningkat kepada 11 orang, apabila salah seorang mangsa yang cedera dalam serangan itu, meninggal dunia di hospital.

    Pusat Perubatan Los Angeles dan Universiti Southern California berkata, seramai empat mangsa dirawat di hospital dan seorang masih dalam keadaan kritikal.

    Koroner di Los Angeles berkata, kesemua mangsa yang meninggal dunia berusia antara 50 hingga 70-an.

    Dua wanita yang terkorban dikenali sebagai My Nhan, 65, dan Lilan Li, 63.

    Rakaman keselamatan menunjukkan Brandon Tsay, 26, bergelut dengan Tran di lobi Lai Lai Ballroom & Studio di Alhambra ketika cuba merampas senjata separa automatik 9mm Cobray M11.

    “Saya menerpa ke arah penembak dan merebut senjata dan bergelut. Kami kemudian bergelut di dalam lobi, cuba menjauhkan pistol daripada satu sama lain.

    “Dia memukul belakang kepala saya, ketika cuba menggunakan siku untuk menjauhkan pistol daripadanya,” katanya.

    Tsay akhirnya berjaya menjauhkan pistol dan menolaknya ke tepi.

    “Saya kemudian mengacukan pistol untuk menakut-nakutkannya dan menjerit, ‘Pergi sini. Saya akan tembak. Pergi jauh… Pergi,” katanya.

  • Peniaga sanggah kenyataan Rafizi

    Peniaga sanggah kenyataan Rafizi

    BEBERAPA pengusaha restoran di Kuala Lumpur tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli, berhubung harga makanan kerana ia tidak menggambarkan situasi peniaga secara menyeluruh.

    Bella Muhd, yang mengusahakan perniagaan makanan Kelantan dan asam pedas berkata, sejak beberapa hari lalu harga ikan, sayur, dan bahan kering naik mendadak ketika harga ayam turun kepada RM9.20 sekilogram.

    “Bagaimana nak kurangkan harga makanan? Ayam turun RM0.20 tapi barangan lain naik harga,” katanya lapor FMT.

    Selain harga bahan mentah bukan ayam katanya, Rafizi juga perlu ambil kira keperluan lain seperti gaji minimum untuk pekerja.

    “Sekarang ni untuk sektor makanan, jika kami tawarkan RM1,500 tiada pekerja yang mahu bekerja. Jadi perlu tawarkan gaji RM1,800 ke atas dengan faedah-faedah lain untuk mereka,” katanya, yang berniaga di medan selera di ibu negara.

    Senada dengan Bella, Desonny Tuzan berkata menteri hal ehwal ekonomi perlu teliti keadaan pengusaha secara menyeluruh, dan bukan hanya berpandu kepada harga bahan mentah.

    Peniaga di Taman Desa, Kuala Lumpur ini seterusnya menyenaraikan faktor lain yang dipertimbangkan apabila menentukan harga jualan, seperti sewa kedai, kos operasi, dan harga barangan import yang tidak menurun.

    “Harga mentega, mayonis, dan rempah ratus yang diimport saban tahun meningkat,” katanya.

    Justeru, Desonny merasakan tidak adil menteri menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke kedai makan yang tidak menurunkan harga atas alasan harga bahan mentah, sedangkan banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan oleh pengusaha.

    Di Melaka, seorang pengusaha restoran nasi lemak, Suardi Muhammad, berkata harga bahan mentah seperti daging tidak menurun dengan banyak.

    “Susah kami nak turunkan harga makanan tanpa menjejaskan untung yang kami perolehi,” katanya, yang sudah berniaga lebih 20 tahun di Ujong Pasir.

    Beliau berkata peniaga pun tidak boleh sewenang-wenangnya menetapkan harga baharu.

    “Dulu waktu harga barang naik pun saya tak naikkan sangat.”

    Rafizi baru-baru ini menggesa peniaga restoran dan kedai makan menyemak harga jualan supaya seimbang dengan harga bahan mentah yang kini telah turun.

    Katanya lagi, sesetengah peniaga masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman, meskipun harga bahan mentah mengalami penurunan,

    Memetik laporan Bernama, beliau juga menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.

  • Harga bahan mentah masih tidak turun – Peniaga

    Harga bahan mentah masih tidak turun – Peniaga

    GOLONGAN peniaga mendakwa harga bahan mentah tidak turun malah kebanyakannya masih sama seperti sebelum ini, sekali gus menyukarkan mereka menurunkan harga jualan makanan seperti disarankan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

    Kumpulan peniaga gerai makanan dan restoran yang ditemui turut tidak bersetuju dengan teguran Rafizi yang mendakwa sesetengah mereka sengaja enggan menurunkan harga makanan dan minuman.

    Menurut pemilik restoran Kak Som Tomyam Kampung Bharu, Linda Sabri, dia tidak melihat ada sebarang penurunan harga bahan mentah lagi setakat ini.

    “Sekarang ni walau menteri kata harga bahan mentah turun tapi pembekal yang kita ambil tidak menunjukkan sebarang penurunan harga, masih sama.

    “Kalau kita sendiri nak turunkan harga jualan makanan tapi kita beli bahan mentah dengan harga pasaran semasa, rugilah kami,” katanya lapor Astro Awani.

    Sementara itu, peniaga air di Ampang, Hyrul Ameer Mydin mempersoalkan kenyataan bahawa harga barang mentah sudah turun.

    “Sekarang barang mana ada turun. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu susu satu karton dijual pada harga RM105. Sekarang jadi RM145. Harga Milo untuk dua kilogram dulu RM33 sekarang dah RM39.50 manakala Nescafe dulu RM34 sekarang RM44.

    “Macam mana mereka kata macam itu, harga barang apa yang turun,” soalnya.

    Bagi Yarni M. Nasir yang menjual nasi campur selama belasan tahun di Ampang, katanya tiada bahan mentah yang turun harga, sebaliknya harga ikan semakin mahal.

    “Harga barang tak turun pun, saya beli harga sama saja dari dulu sampai sekarang. Yang saya tahu ada peningkatan harga ikan, ikan jadi mahal.

    “Kadang-kadang memang tak sampai hati nak jual kepada pelanggan. Kalau kita beli ikan sekilogram dah RM20, bila dah masak seekor jadi RM5… mesti nak jual harga lebih untuk ambil sedikit keuntungan.

    “Perlu juga kira kos pekerja, harga minyak dan sebagainya,” katanya.

    Sebelum ini, Rafizi dilapor menegur sikap sesetengah peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman mereka, meskipun harga bahan mentah di pasaran telah turun.

    Beliau berkata kerjasama daripada peniaga restoran dan kedai makan untuk menyeimbangkan harga jualan mereka dengan bahan mentah amat penting untuk membantu rakyat menambah ruang perbelanjaan dan mengurangkan beban kewangan mereka.

  • Dua pelajar maut, guru cedera kejadian tembakan di sekolah

    Dua pelajar maut, guru cedera kejadian tembakan di sekolah

    DUA pelajar maut manakala seorang guru cedera parah dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah di Iowa, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

    Menurut jurucakap polis Des Moines, Sarjan Paul Parizek, kejadian berlaku di Sekolah Des Moines kira-kira pukul 1 petang waktu tempatan.

    Polis berjaya mengesan suspek yang cuba melarikan diri menggunakan sebuah kereta dan mengesahkan tiga individu telah ditahan.

    Kejadian berlaku ketika sekolah berkenaan mengadakan program ‘Starts Right Here’ yang bertujuan untuk membantu pelajar berisiko terlibat dalam jenayah.

    Program berkenaan diasaskan Will Holmes, sorang penyanyi rap yang dikenali sebagai Will Keeps.

    Motif kejadian masih dalam siasatan, lapor Astro Awani memetik laporan agensi berita asing.

  • Lebih 1,400 kemalangan hari kelima Op Selamat 19

    Lebih 1,400 kemalangan hari kelima Op Selamat 19

    SEBANYAK 1,445 kemalangan direkodkan di seluruh negara pada hari kelima Op Selamat 19, semalam.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata ia melibatkan 1,724 kenderaan dengan kereta mencatatkan kemalangan tertinggi iaitu 1,310 kes, diikuti pacuan empat roda dengan 230 kes, motosikal (144), lori (17), bas (11), van (sembilan), teksi (dua) dan ambulans (satu).

    Dalam pada itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan pendekatan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

    “Inisiatif yang dilaksanakan adalah langkah pencegahan kemalangan, memberi penekanan berkenaan keselamatan di jalan raya selain mendidik pengguna mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Mat Kasim berkata tumpuan lokasi advokasi adalah di stesen-stesen minyak, kawasan rehat dan rawat, restoran dan pusat beli-belah.

    Op Selamat 19 dilaksanakan selama 10 hari mulai Rabu lepas hingga 27 Jan ini di seluruh negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina. – BERNAMA

  • Harga makanan di gerai makan, restoran naik hingga 40 peratus

    Harga makanan di gerai makan, restoran naik hingga 40 peratus

    PENGUSAHA gerai dan restoran didapati terpaksa menaikkan harga makanan sehingga 40 peratus susulan bekalan bahan mentah yang mahal dikenakan pembekal.

    Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, tinjauan harga purata makanan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan peningkatan harga makanan yang membimbangkan pengguna.

    “Nampaknya dalam sub kumpulan makanan dan minuman (bukan alkohol), harga daging dan ayam meningkat. Akibatnya inflasi ayam dan daging tertinggi berbanding barangan lain, meningkatkan harga makanan bermasak di kedai makan, termasuk di gerai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Azmi berkata, aduan yang diterima daripada pengguna mendapati pengusaha gerai dan restoran menaikkan harga pada kadar 10 hingga 40 peratus.

    “Pengguna berasa kenaikan terlalu tinggi dan ini menjejaskan kunjungan pelanggan harian restoran. Pengusaha kedai makan dan minuman memberi alasan mereka terpaksa menaikkan harga kerana harga banyak bahan mentah meningkat.

    “Barangan seperti minyak masak, gula, sayur-sayuran, ikan dan bijirin, telur serta daging yang mereka beli daripada pembekal telah dinaikkan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, MAPIM berpandangan walaupun harga bahan mentah naik, harga makanan bermasak dan minuman tidak harus dinaikkan tanpa kawalan.

    Mohd Azmi yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, berkata harga makanan masak dan minuman bukan alkohol didapati semakin tinggi dengan sepinggan nasi berlauk kini meningkat dan sangat dirasai pengguna.

    “Hampir semua restoran telah meningkatkan harga, malah ada mengenakan caj hingga 60 sen segelas ais kosong. Kenaikan harga makanan siap masak di kedai atau restoran sedang dirasai pengguna yang bergantung kepada kedai sebagai pilihan utama setiap hari untuk makan.

    “Mereka yang bekerja dan makan di luar setiap hari menghadapi kesan yang sangat berat, terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya.

    Katanya, golongan berpendapatan rendah tidak punya pilihan, melainkan membeli makanan dan akan menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin berat.

    “Menaikkan harga makanan bermasak secara berlebihan akhirnya akan menjejaskan peniaga sendiri apabila pengguna membuat pilihan. Pengguna boleh guna kuasa mereka untuk membeli atau tidak.

    “Oleh sebab itu, kenaikan harga yang melampau perlu dikawal. Pihak berkuasa perlu memantau keadaan di pasaran. Walaupun tanda harga wajib dipamerkan di setiap restoran dan gerai, tetapi harga ditetapkan oleh peniaga dan pengusaha,” katanya.

    Beliau berkata, faktor bekalan dan harga bahan mentah juga harus ditangani dan kerajaan perlu mengambil langkah meningkatkan pengeluaran domestik serta mengurangkan kebergantungan kepada import.

    “Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 perlu dikuatkuasakan secara berkesan. Namun kuasa pengguna juga perlu diguna jika ada pengusaha meraih keuntungan keterlaluan,” katanya turut menyarankan pengguna mengurangkan tabiat makan di luar sebagai langkah penjimatan.

  • Langkah bawa pakar HDB Singapura ada udang di sebalik batu?

    Langkah bawa pakar HDB Singapura ada udang di sebalik batu?

    RANCANGAN membawa masuk kontraktor perumahan Singapura untuk berkongsi kepakaran mereka dalam membina rumah mampu milik di Malaysia merupakan satu tindakan yang bakal mencabul kedaulatan dan keselamatan negara.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mempersoalkan sama ada negara sudah ketandusan pakar-pakar perancangan bandar tempatan sehingga Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming beriya-iya memanggil kontraktor dari negara jiran itu.

    “Bagi sebuah negara merdeka, soal kedaulatan dan keselamatan negara tidak harus dikompromikan walau dengan apa jua alasan.

    “Lebih-lebih lagi jika alasan yang diberikan langsung tak masuk akal dan dilihat sebagai usaha untuk memperbodohkan rakyat.

    “Langkah menteri DAP KPKT mahu membawa masuk pakar Housing & Development Board (HDB) Singapura boleh menjadi suatu pencabulan yang jelas ke atas kedaulatan dan keselamatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor BeritaBersatu.

    Faiz berkata demikian berikutan laporan yang memetik Nga sebagai berkata kerajaan Singapura telah memberikan lampu hijau kepada kontraktor rumah pangsa HDB untuk melawat kementeriannya pada bulan depan, untuk berkongsi pengetahuan tentang rumah mampu milik.

    “Kita bimbang penglibatan agensi Singapura itu bukan sahaja meliputi penglibatan dalam soal perancangan perumahan tetapi juga diberi akses kepada maklumat sensitif kerajaan negara kita berkaitan demografi.

    “Soalnya apa istimewa HDB Singapura hingga menteri DAP KPKT beriya benar nak bawa masuk ke Malaysia? Dah pupus ke pakar-pakar perancangan bandar tempatan?

    “Atau ada udang di sebalik batu untuk menyusun struktur penduduk dan pemilikan hartanah negara kita menjadi seperti Singapura? Nampaknya tembelang dan kiblat sebenar DAP dah mula keluar,” kata Faiz.

    Beliau turut mempertikaikan apakah tindakan Nga itu telah mendapat kebenaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Malah, Faiz turut mempersoalkan di mana suara pemimpin UMNO berhubung langkah tersebut.

    “Saya bimbang ada grand design politik yang besar di sebalik usaha ini. Kita tahu DAP sudah lama membawa masuk model HDB Singapura dan HKHA Hong Kong di Pulau Pinang.

    “Lihatlah apa jadi kepada Pulau Pinang dan pemilikan hartanah di sana. Agenda halus yang disusun menyebabkan ramai yang hanya mampu melihat sahaja rumah-rumah atau projek pembangunan khususnya di kawasan pulau, sedangkan orang lain membelinya.